Pengikut

Ahad, 23 September 2012

Abang King Control Ke? - bab 4




Irdina terbangun setelah dikejutkan oleh bunyi jam loceng. Dia memasuki bilik air untuk  membersihkan diri dan berwuduk. Seusai solat, Irdina mengejutkan Laila dan Balkis yang masih diulit mimpi.
“Wei! Bangun. Nanti terlepas Subuh pula,” gerak Irdina tetapi tidak dipedulikan oleh mereka berdua. Berkali-kali Irdina memanggil tetapi tetap tidak berkesan. Akhirnya Irdina bangun dan menutup tubuh mereka berdua dengan selimut.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Daripada ALLAH mereka datang kepada ALLAH mereka dikembalikan,” kata Irdina menyebabkan Laila dan Balkis bingkas bangun.
“Wei! Kami belum mati lagilah.” Laila menggosok matanya.
 “Solat itu lebih baik daripada tidur,” tegas Irdina.
“Aku tahulah,” kata Laila.
“Kalau tahu, bangunlah.”
Laila dan Balkis bangun dan menuju ke bilik air. Rumah itu mempunyai dua bilik air. Satu di belakang dan satu lagi di bilik Irdina yang merupakan bilik utama.
“Kan bagus macam tu. Bila kita tidur, syaitan mengikat kita dengan tiga ikatan. Bila kita bangun berzikir pada ALLAH, maka akan lepas satu ikatan. Jika kita berwuduk, maka akan lepas lagi satu ikatan dan bila kita solat maka terlepaslah kita dari ketiga-tiga ikatan tersebut,” terang Irdina setelah Laila dan Balkis berada di bilik itu semula.
“Baiklah ustazah.” Balkis ketawa kecil.
Laila juga turut ketawa dan menyebabkan Irdina yang mulanya serius turut ketawa. Mereka memang gemar bergurau dan saling tegur menegur antara satu sama lain.
Mereka bersiap-siap untuk ke tempat kerja setelah menunaikan solat. Laila menaiki keretanya sendiri dan keluar lebih awal daripada Irdina dan Balkis. Ketika Irdina dan Balkis keluar dari rumah, mereka ternampak jiran sebelah kiri rumah itu yang belum sempat dikenali mereka.
“Assalamualaikum,” Irdina menyapa wanita yang berumur lewat 30an itu.
Salamnya dijawab tetapi wanita itu masih tidak memandang wajah Irdina. Irdina cuba menegurnya buat kali kedua.
“Kak, apa khabar? Saya Irdina dan ini Balkis.”
“Hrmm...” jawab wanita itu acuh tak acuh sambil tangannya membuka pintu kereta.
“Apa nama kakak?” tanya Irdina lagi.
“Zetty. Aku tak ada masa nak layan kamu.” Agak kasar jawapan yang diberikan oleh Zetty.
Zetty masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi. Irdina pandang Balkis. Balkis pandang Irdina. Irdina kerut muka, Balkis angkat bahu dan tersengih.
“Maaflah jika isteri abang agak kasar tadi,” ujar seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di tepi kereta mereka.
“Tak mengapa,” jawab Irdina sopan.
“Nama abang, Bakar tapi orang panggil Burn. Adik, panggillah Abang Burn,” terang lelaki itu sambil tersenyum kepada mereka. Dia cuba menyuakan tangan untuk bersalam tetapi tidak disambut oleh Irdina dan Balkis. Akhirnya dia menarik kembali tangannya, kehampaan.
“Saya Irdina dan ini Balkis, sepupu saya.”
“Manis nama tu semanis orangnya.” Bakar senyum meleret memandang wajah Irdina.
“Abah! Jomlah cepat. Nanti lambat adik nak ke tadika.” Seorang kanak-kanak menarik seluar Bakar.
“Nantilah! Abah nak sembang dengan kakak ni kejap.”
Irdina melihat jam dan memasuki keretanya. Balkis telah duduk di kerusi sebelah pemandu.
“Janganlah pergi lagi. Abang nak kenal adik berdua. Minggu lepas abang sekeluarga balik kampung. Itu yang tak kenal penghuni rumah ni. Dah lama abang nak sapa adik-adik tapi tak berkesempatan. Masing-masing sibuk dengan kerja.” Bakar cuba menghalang.
“Maaflah Abang Burn. Kami dah lambat ni. Bila lapang kita berbual lagi.”
Irdina memasukkan gear dan memandu keluar daripada kawasan itu. Matanya sempat mengerling Bakar yang melambai-lambaikan tangan kepada mereka.
“Aduh! Yang suami terlebih ramah pula.” Rungut Irdina dan disambut tawa Balkis.
“Biasalah Kak Irdina. Lelaki mana tak terpikat tengok perempuan berdahi licin macam Kak Irdina.”
“Petang nanti aku nak ke kedai perabot. Nak beli katil dan tilam. Kau nak ikut tak?” tanya Irdina tanpa memberi respon ulasan Balkis.
“Okey, saja. Tapi aku rasa nak guna tilam toto yang ada tu,” kata Balkis.
“Terpulang pada kau.”
Mereka kemudiannya tiba di tempat kerja dan memulakan kerja seperti biasa. Petang itu, selepas waktu pejabat Irdina dan Balkis terus singgah di kedai perabot untuk membeli katil dan tilam. Setelah selesai urusan tersebut, mereka melangkah ke kereta untuk pulang. Balkis terperasan yang Irdina asyik memegang pipi sendiri.
“Kenapa Kak Irdina?” tanya Balkis.
“Aku rasa sakit gigilah. Berdenyut-denyut dibuatnya,” jawab Irdina sambil menghidupkan enjin kereta.
“Elok Kak Irdina pergi klinik gigi buat pemeriksaan.”
“Jumpa doktor gigilah perkara yang aku tak gemar.”
“Takkan nak biar sakit tu?”
“Aku makan penahan sakitlah nanti.”
“Jangan amalkan makan ubat penahan sakit. Lebih baik jumpa doktor. Takkan Kak Irdina takut?” Balkis ketawa kecil.
“Aku tak takut cuma tak gemar saja.” Irdina mempertahankan diri. Malu untuk mengaku yang dia sebenarnya takut berjumpa doktor gigi.
“Kalau begitu, pergilah klinik gigi. Jangan cakap saja,” cabar Balkis.
Irdina tersenyum kelat. Dia terpaksa menurut cadangan Balkis kerana sakit giginya agak mengganggu. Mereka tiba di rumah dan Irdina terus memasuki biliknya. Dia mandi dan berehat sambil menanti ketibaan perabot yang dipesan. Lewat petang itu, barulah perabotnya tiba.
“Aku ingat Kak Irdina nak beli katil dan tilam saja. Rupanya beli dengan set sofa  sekali.” Laila duduk di atas sofa sambil menguji keanjalannya.
“Aku rasa kosong sangat ruang depan ni. Sebab tu aku beli.”
“Baguslah. Bolehlah lepak sambil tengok tv di sini.”
 “Hari ni aku nak pergi klinik gigi. Siapa nak teman?”
“Malam ni aku dah janji dengan Irfan nak keluar beli perkakas dapur.” Laila beralasan.
“Aku pun nak jumpa Ariff.” Balkis turut memberi alasan.
Irdina tahu bahawa dia terpaksa pergi bersendirian ke klinik gigi. Setelah melakukan solat maghrib, Irdina bersiap-siap untuk ke klinik gigi. Dia tidak mengambil makan malam kerana kesakitan melunturkan seleranya. Dia memandu sendirian ke klinik gigi dan memarkirkan kereta berhampiran klinik itu. Itulah pertama kali dia menjejakkan kaki ke klinik gigi itu. Nasibnya baik kerana tidak ramai pelanggan di klinik ketika itu.
Irdina mendaftarkan namanya di kaunter. Menunggu dengan sabar gilirannya sambil membaca majalah yang terdapat di rak. Pembantu klinik memanggil nama Irdina seketika kemudian. Irdina masuk ke bilik rawatan dan duduk di atas kerusi khas untuk pemeriksaan gigi. Matanya meliar ke arah peralatan yang terdapat di ruang itu. Kecut perutnya. Semua rasa bercampur baur. Kaki dan tangannya mulai sejuk dan menggigil. Ingin bangun dan lari, terasa malu.
“Irdina Ilmuna, awak takut?” tanya doktor lelaki yang memakai penutup mulut.
“Ya… err… maksud saya tak.” Irdina, gugup.
Doktor itu ketawa kecil.
“Awak nak palam atau cabut gigi?” tanya doktor itu sambil merenung wajah kelat Irdina.
“Saya tak pasti. Tapi saya rasa sakit sangat gigi sebelah atas.” Irdina menunjukkan arah gigi itu.
Doktor  memeriksa gigi Irdina dengan alat di tangannya.
“Aduh!” Irdina mengaduh apabila doktor menyentuh bahagian yang bengkak.
“Saya tak boleh buat apa-apa hari ni. Gusi awak dah bengkak dan ada nanah di dalamnya. Saya akan beri ubat dan awak perlu makan untuk hilangkan bengkak serta nanah tu. Minggu depan awak perlu datang semula ke sini.”
Doktor itu menarik penutup mulutnya.
“Awak?” terkejut Irdina melihat wajah doktor itu. Semangatnya bagaikan hilang.
“Kenapa? Tak percaya?” tanya doktor itu sambil tersenyum.
Mata Irdina terpaku melihat senyuman doktor itu. Air liur yang ditelan menjadi kelat. Terasa ingin ghaibkan dirinya ketika itu juga. Tetapi apakan daya, dirinya bukan jin atau halimuman yang boleh menghilang sekelip mata.
“Saya minta maaf jika kelakuan saya sebelum ini menyakitkan hati doktor,” ujar Irdina, sopan. Dia tahu dia perlu berbuat baik kerana dia masih perlu ke klinik itu untuk rawatan seterusnya.
“Lain kali jangan sombong sangat. Kalau buat salah, cepat-cepat minta maaf.”
Razif masih merenung wajah Irdina. Dia terperasan lesung pipit yang terdapat di kedua-dua belah pipi Irdina ketika tersenyum. ‘Manis pula bila tersenyum,’ bisik hati Razif.
“Baiklah. Sekali lagi saya minta maaf,” ujar Irdina yang masih bersandar di kerusi. Rasa tidak selesa mencengkam hati.
“Saya pun minta maaf kerana bersikap kasar pada awak hari tu.” Razif tersenyum. Dia perlu bersikap profesional apabila bertugas. Lebih-lebih lagi, ketika itu Irdina adalah pelanggannya.
Irdina mengangguk. Matanya masih tepat memandang wajah Razif.
“Awak perlu menjaga kebersihan mulut dan gosok gigi dua kali sehari. Awak boleh gunakan flos untuk keluarkan sisa makanan di celah gigi. Tingkatkan pengambilan kalsium dan vitamin C. Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan kopi.” Nasihat Razif tentang penjagaan gigi.
‘Kenapalah banyak sangat pesan Mamat ni? Rasanya dia yang gedik sekarang ni,’ rungut Irdina di dalam hati.
“Awak dengar tak ni?” tanya Razif setelah melihat Irdina seperti acuh tak acuh.
“Saya dengar tuan doktor.” Perlahan jawapan Irdina.
“Jangan dengar saja, amalkan.”
‘Banyak songeh betul dia ni,’ bisik hati Irdina.
“Dapatkan pemeriksaan doktor gigi dua kali setahun dan sebelum mengandung. Awak mengandung tak?” Razif sengaja hendak mempermainkan Irdina.
“Kahwin pun belum, nak mengandung macam mana?” jawab Irdina, geram.
“Oo… tak kahwin lagi! Ingatkan dah kahwin. Hari tu siap nak panggil suami lagi.” Razif tersenyum mengejek.
“Dah habis ke belum? Kalau dah habis saya nak balik.” Irdina cuba untuk bangun.
“Tunggu sekejap.” Razif sengaja menahan Irdina daripada bangun. Entah kenapa, hatinya terasa ingin berbual lebih lama dengan Irdina.
“Apa lagi?” Irdina mulai marah.
“Boleh tak awak jangan marah-marah. Awak perlu datang minggu depan dan minggu berikutnya.”
“Kenapa pula?” Irdina cuak.
“Minggu depan saya nak cabut gigi yang rosak tu dan minggu berikutnya saya nak tampal gigi awak. Jika tak tampal, gigi tu akan rosak teruk. Awak perlu jaga gigi dengan lebih baik. Jika tak, gigi awak akan rosak lebih banyak lagi.”
Irdina menelan liur mendengar kata-kata Razif. Perasaannya antara mahu percaya dengan tidak kata-kata Razif. ‘Jangan-jangan doktor ni nak balas dendam pada aku tak? Sebab tu dia takut-takutkan aku,’ bisik hati Irdina.
“Jangan ingat saya nak balas dendam pada awak. Walaupun musuh saya, tapi saya kena rawat juga sebab itu adalah tugas doktor,” Razif menegakkan kerusi yang di duduki Irdina.
‘Macam tau-tau pula dia ni,’ hati Irdina berbisik lagi.
“Awak boleh pergi dan nanti ambil ubat di kaunter. Makan bagi habis ubat tu jangan buang,” pesan Razif.
Irdina tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada Razif. Dia melangkah keluar dan menunggu di kaunter ubat. Setelah membuat bayaran dan mengambil ubat, Irdina pulang ke rumah.
Apabila tiba di rumah dia mendapati Laila dan Balkis masih belum pulang. Dia menuju ke dapur untuk mengambil air. Ubat yang dipesan oleh Razif tidak dimakannya. Dia lebih rela menanggung sakit daripada menelan ubat terutama jenis tablet. Setelah itu dia masuk ke bilik untuk melakukan solat isyak.
“Aduh! Berdenyutnya rasa.”
Irdina membaringkan diri di atas katil. Matanya dipejamkan. Suasana menjadi sunyi dan sepi. Tiba-tiba Irdina dikejutkan oleh bunyi yang kuat dari arah luar rumah. Bunyi bising suara bertengkar. Irdina menyelak sedikit langsir tingkap. Dia dapat melihat beberapa orang lelaki dan perempuan sedang berdiri mengerumuni sebuah kereta. Disebabkan mereka betul-betul berada berhadapan pintu pagar rumahnya, jadi segala percakapan mereka dapat didengar dengan jelas.
“Siapa suruh kau tak beri isyarat nak belok?” soal seorang pemuda yang masih memakai topi keledar.
“Aku nak masuk kawasan rumah aku tak perlulah bagi isyarat. Mata kau letak di mana? Salahkan aku pula,” marah perempuan yang merupakan pemandu kereta Honda City itu.
“Kau yang salah. Buat apa aku nak bayar kau. Kau yang patut bayar,” balas  penunggang motorsikal.
Keadaan bertambah kecoh dengan campur tangan beberapa orang lelaki yang berada di situ. Irdina dapat melihat Laila yang baru pulang, terpaksa memberhentikan keretanya agak ke belakang. Laila melihat kejadian itu buat beberapa ketika dan kemudian masuk ke rumah. Irdina keluar daripada biliknya dan menyapa Laila.
“Laila, kenapa mereka tu?” tanya Irdina.
“Bergaduh sebab masing-masing tak mahu mengaku salah. Yang tengok bukan nak leraikan, jadi batu api pulak. Sekarang ni tengah tunggu polis datang. Aku rasa lambat lagilah baru nak selesai masalah mereka,” jawab Laila.
Irdina mengeluh sendiri. Gusinya terasa berdenyut-denyut. Dia memegang pipinya sambil menahan sakit.
“Kenapa Kak Irdina?” tanya Laila kehairanan.
“Sakit gigi, berdenyut-denyut. Rasa seram sejuk macam nak demam. Tadi doktor tu kata ada nanah dalam gusi aku.”
“Dah makan ubat?”
“Belum, kejap lagi aku makan.” Irdina sekadar menyedapkan hati Laila. Hakikatnya dia tidak mahu menelan sebarang ubat tablet kecuali jika ubat jenis cecair. Itupun yang manis sahaja. Yang pahit dia tidak akan telan.
“Ubat demam tak ada ke?”
“Tak ada. Tadi tak demam pun,” jawab Irdina.
“Kak Irdina nak beli ubat demam ke?” tanya Laila.
“Tak mengapalah. Mungkin sekejap lagi, kurang sikit sakitnya.”
“Betul? Kalau Kak Irdina nak, aku boleh pergi belikan ubat demam.”
“Tak payahlah. Aku tak apa-apa.”
“Kalau macam tu aku minta diri dulu. Nak masuk tidur.”
Irdina menganggukkan kepala dan melihat Laila masuk ke bilik. Irdina melangkah menuju ke dapur untuk mengambil air. Apabila dia meminum air, terasa ngilu pada giginya. Dia menahan rasa sakit buat seketika. Perlahan-lahan dia bergerak masuk ke biliknya untuk tidur. Bunyi bising masih kedengaran di luar rumah. Rasa tidak selesa menyelubungi jiwanya.
‘Kenapalah mereka ni tak boleh bertolak ansur. Hidup berjiran, kalau bermasam muka dan bergaduh takkan aman,’ rungut Irdina dalam hati.
Irdina memusing ke kiri dan kanan. Matanya sukar dilelapkan walaupun kepalanya terasa berat. Panas badannya makin meningkat dan dia menggigil menahan sakit. Irdina menyelubungkan dirinya dengan selimut tebal. Seketika kemudian Irdina tidak lagi mendengar bunyi bising di luar rumah. Dia tertidur buat beberapa ketika dan kemudian terjaga semula. Keadaan itu berlarutan sepanjang malam.

Khamis, 20 September 2012

Abang King Control ke? - 3




“Razif, mak dah ajak jiran baru kita makan di sini malam ni. Razif janganlah ke mana-mana sebab mak nak kenalkan Razif dengan gadis yang mak sebutkan hari tu.” Mak Cik Sopiah tersenyum lebar menyatakan hasratnya.
“Razif tak kisah kalau mak nak jemput siapa pun makan di sini. Tapi jangan ajak Razif atau nak kenalkan Razif pada mana-mana perempuan.” Razif melipat akhbar yang dibacanya lalu diletakkan di atas meja.
Mak Cik Sopiah melepaskan sebuah keluhan. Pelbagai usaha telah dilakukannya untuk mencari jodoh buat Razif tetapi hasilnya tetap sama. Razif enggan dan menolak mentah-mentah pilihan emaknya.  Disuruh cari sendiri, pelbagai alasan diberi.
“Budak ni lain Razif. Mak tengok dia cukup sopan, taat pada agama dan mahu ikut mak ke surau dengar ceramah agama. Mana ada gadis yang macam tu di sini? Selalu yang pergi ke surau, golongan tua. Umur dia pun padan dengan Razif, baru dua puluh enam tahun.” Mak Cik Sopiah masih tidak berputus asa untuk mempromosikan jiran baharunya itu. Berharap agar Razif berminat.
“Lain apanya mak? Perempuan semuanya sama. Mak belum kenal hati budi dia, jadi mak kata semuanya baiklah. Walaupun dia rajin ke surau, tak semestinya dia sesuai untuk Razif. Apa kata mak perkenalkan saja pada Azmi. Azmi pun masih solo.”
“Mak dah kenalkan Azmi dengan dia masa kami ke surau semalam. Tapi mak tak rasa dia padan dengan Azmi. Lebih padan dengan Razif.”
“Apa yang istimewa sangat dia tu sampai mak beria-ia nak jodohkan dia dengan Razif?” Razif mulai cuak dengan sikap emaknya yang masih mendesak.
“Banyak keistimewaannya kalau nak cerita. Tapi paling mak suka sikap sabar dia. Dulu dia pernah kena tipu dengan tunang dia. Bekas tunang dia minta dia buat pinjaman untuk majlis perkahwinan mereka. Lepas dapat duit, tunang dia lesap. Dia cukup sabar walaupun sangat malu. Macam-macam orang kata pada dia tapi dia tak balas.”
“Mana mak tahu semua cerita dia ni? Dia yang ceritakan pada mak ke?” Razif mencebikkan bibirnya.
“Kawan dia yang cerita masa dia tak ada di rumah. Mak sengaja tanyakan  kawan dan sepupu dia sebab nak kenal hati budi dia. Memang tak silap pilihan mak.” Mak Cik Sopiah berbangga dengan risikannya itu.
“Pada Razif, dia adalah seorang yang bodoh dan mudah dipermainkan oleh lelaki. Entah-entah bekas tunang dia tinggalkan dia sebab dia dah ditebuk tupai. Manalah kita nak tahukan? Luar nampak cukup baik, tapi dalam siapa tahu?”
“Hisy! Tak baik buruk sangka pada orang. Razif tak kenal dia, jadi Razif tak layak nak nilai dia macam mana. Mak dah dua minggu kenal dengan dia. Jadi mak tahulah betul atau tak cerita kawan dan sepupu dia tu.” Mak Cik Sopiah, bengang.
“Hati-hati mak. Razif hanya nasihatkan aje. Terpulang pada mak. Tapi Razif tetap tak nak jumpa dia atau mana-mana perempuan pun. Razif nak minta diri dulu. Lepas solat maghrib nanti, Razif nak keluar jumpa Azmi.”
Mak Cik Sopiah hanya mampu memandang langkah Razif yang menuju ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Hampa terasa di hati. Rancangan yang diatur, gagal lagi.
‘Hrmm...Tak menjadi lagi. Susah betul nak suruh kawin. Takkan anak aku pondan pula? Err...tak...tak. Dia hanya memilih, bukan pondan.’ Tergeleng-geleng kepala Mak Cik Sopiah menafikan sendiri apa yang bermain di fikirannya. Tangannya terus mengacau kuah mee kari di dalam periuk.
“Mak!”
“Eh! Pondan...eh...anak bertuah...eh....”
Mak Cik Sopiah terlatah dan senduk yang di tangannya terpelanting. Sekejap dia memegang kepalanya dan sekejap memegang pipi Rosnah, adik Razif. Rosnah ketawa terkekeh-kekeh. Mak Cik Sopiah mengurut-urut dadanya apabila kewarasannya datang semula. Semput dibuatnya dengan gelagat anak-anak yang suka menyergah.
“Ros nak bagi mak mati cepatkah?”
“Maaflah mak. Ros tak sengaja. Ros panggil mak berkali-kali tapi mak buat dek aje.” Rosnah mengambil senduk di lantai dan meletakkannya ke dalam singki. Makcik Sopiah menutup api dapur dan kemudian menarik kerusi untuk duduk. Rosnah turut menarik kerusi sebelah emaknya lalu duduk.
“Jadi tak rancangan yang mak atur tu?”
“Tak.” Lemah jawapan Mak Cik Sopiah.
“Hrmm...Ros dah agak. Abang Razif tentu tak mahu. Jadi macam mana malam ni?”
“Teruskan juga sebab mak dah masak banyak. Mereka pun dah setuju nak datang.”
“Abang Razif ni tolak tuah betul. Orang nak bagi kawin pun tak mahu. Kalau Ros, lama dah setuju,” ujar Rosnah lalu ketawa.
“Huh! Tak habis belajar dah fikir nak kawin. Ingat, SPM hujung tahun ni. Jangan nak seronok saja.”
“Relakslah mak. Ros hanya bergurau. Takkan Ros nak kawin sedangkan cita-cita Ros tak tercapai lagi.”
“Tahu tak apa. Ros pergilah mandi. Maghrib pun dah nak masuk sekejap lagi. Nanti lepas maghrib, Ros tolong mak siapakan meja.”
“Baiklah mak. Ros naik dulu.”
Rosnah meninggalkan Mak Cik Sopiah seorang diri. Lama Mak Cik Sopiah duduk sambil memikirkan rancangan lain bagi memperkenalkan Razif dengan pilihannya itu. Setelah azan berkumandang, Mak Cik Sopiah bangun dan menuju ke biliknya.
Seusai menunaikan solat, Razif bergegas keluar rumah. Tidak mahu dia bertembung dengan tetamu emaknya itu. Sebenarnya, Razif tidak pernah melihat jiran barunya sejak mereka menduduki rumah itu. Dia hanya mengetahui kewujudan mereka melalui cerita-cerita yang disampaikan oleh emaknya.
Razif menuju ke kedai makan yang sering dikunjunginya. Sengaja dia menghabiskan masa berbual panjang dengan kawan baiknya Ustaz Azmi. Setelah yakin tetamu-tetamu emaknya telah pulang, barulah Razif balik ke rumah.
Mak Cik Sopiah yang masih belum tidur, menyambut kepulangan anaknya. Razif duduk di sofa dan Mak Cik Sopiah turut mengambil tempat bersebelahan Razif.
“Razif, kenapa lambat sangat? Tetamu kita dah pun balik”
“Razif seganlah mak. Mereka semuanya perempuan. Biarlah mak dan Ros saja yang layan mereka.”
“Apa yang nak disegankan? Mak dan Ros pun ada. Mereka tu jiran kita. Kena saling kenal mengenal. Manalah tahu, kalau terserempak di jalan, boleh juga tegur menegur.” Mak Cik Sopiah cuba memasukkan jarum.
“Tak kenal pun tak apa. Tak rugi apa-apa pun,” jawab Razif acuh tak acuh.
“Mak rasa rugi. Mereka tu semuanya baik-baik belaka. Terutama...” sebelum sempat Mak Cik Sopiah menghabiskan ayatnya, Razif terus memotong.
 “Razif tak mahu!. Mak ni mudah sangat tertipu dengan luaran seseorang. Kita tak tahu hati budi dia. Jangan-jangan dia pun termasuk kategori 39% perempuan curang di Malaysia.”
“Hisy! Tak baik beranggapan buruk terhadap orang. Mak bukan nak suruh Razif terus kahwin. Kenal-kenallah dulu. Kalau sesuai, mak boleh masuk meminang.”
Razif tidak menjawab saranan emaknya. Dia bangun dan meminta diri untuk ke biliknya. Mak Cik Sopiah hanya mampu mengeluh dan turut melangkah menaiki anak tangga menuju bilik sendiri. Razif yang telah memasuki biliknya, menghampiri pintu gelungsur. Dia membuka pintu lalu berdiri di balkoni. Matanya memerhati ke arah rumah sewa sebelah.
‘Eh! Macam pernah nampak kereta pink tu. Minah gedik tu ke jiran aku?’ bisik hati Razif.
Dia cuba mengamati nombor plat kereta Kancil berwarna merah jambu tetapi kedudukan kereta itu yang sedikit terlindung menyukarkan Razif mengecamnya.
‘Tak mungkin Minah gedik tu. Diakan dah kahwin. Aku rasa ada lagi Minah yang minat warna pink. Warna perempuan gedik.’ Razif bermonolog sendiri.
Dia sememangnya tidak menyukai warna merah jambu kerana bekas kakak iparnya dahulu menyukai warna itu. Padanya, wanita yang menyukai warna merah jambu wanita yang tidak setia dan suka menggoda. Sama seperti bekas kakak iparnya dahulu.
‘Mak nak suruh aku kenal dengan Minah begitu? Huh! Bagi free pun aku tak mahu.’ bisik hati Razif, sombong.
Razif melangkah masuk semula ke dalam biliknya. Dia mengunci pintu dan kemudian menyalin pakaiannya. Pakaian kotor dimasukkan ke dalam bakul cucian. Dia menyarung pakaian tidur dan merebahkan badannya di atas katil. Matanya memerhati biliknya yang kelihatan kemas dan bersih. Razif amat teliti tentang kebersihan dan dia sentiasa memastikan biliknya teratur dan bersih. Matanya sukar dilelapkan. Kata-kata emaknya tentang mencari jodoh, seakan-akan bergema di telinganya.
‘Siapakah jodoh aku nanti? Aku harap akan mendapat isteri yang patuh dan taat padaku. Tak curang dan sentiasa mendahulukan diri aku. Aku nak isteri aku menepati ciri-ciri isteri solehah. Jika tak jumpa begitu, aku tak mahu kahwin,’ bisik hati Razif sambil mulutnya mengukir senyum. Perlahan-lahan matanya terlelap juga.