Pengikut

Jumaat, 30 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 11

Sara Raihana mengambil pakaian malam dan pakaian untuk bekerja sebelum bertolak ke rumah Mak Zainab. Malam itu buat pertama kalinya dia tidur di rumah ibu mentuanya. Rumah Mak Zainab agak besar dan mempunyai lima bilik tidur termasuk bilik tetamu. Mak Cik Rohaya dan Pak Majid diberi bilik tetamu pada malam itu manakala Sara Raihana diberi bilik Izzat Hafis.

Hati Sara Raihana menjadi hiba apabila dia memasuki bilik tersebut. Matanya memerhati keseluruhan bilik yang telah dikemas rapi. Terdapat gambar Izzat Hafis yang tersenyum sambil memakai jubah graduan. Dia mengambil gambar tersebut dan mendakapnya erat. Air matanya berjuraian di pipi. Rindunya pada Izzat Hafis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kenangan bersama-sama Izzat Hafis berputar satu per satu di minda.
Riak-riak air di tasik kelihatan seolah-olah bergerak apabila ditiup angin. Udara sungguh nyaman dan redup kerana banyak pokok-pokok besar terdapat di situ sehinggakan bentuk pokok-pokok itu seolah-olah payung besar yang memayungi jalan di tepi tasik tersebut. Taman Tasik Taiping merupakan tempat yang cantik dengan taman semula jadi untuk pelbagai aktiviti riadah.
“Cuba lihat di sana.” Izzat Hafis menunjukkan ke arah sepasang pengantin berpakaian sedondon berwarna merah yang sedang mencari posisi untuk mengambil gambar. Sara Raihana turut memandang pasangan tersebut dengan senyuman di bibir.
“Kenapa? Abang pun nak ambil gambar macam tu nanti ke?” tanya Sara Raihana menduga.
“Kalau Sara mahu, kita ke Cameron Highland dan ambil gambar di sana. Kita pakai baju pengantin di tengah-tengah ladang teh. Tentu cantikkan?” Izzat Hafis tersenyum membayangkannya.
“Hish! Tak naklah tangkap gambar dengan pakai baju pengantin. Malulah orang tengok,” kata Sara Raihana sambil mencuit hidung Izzat Hafis.
“Cuba tengok couple tu, tak malu pun. Siap posing baring-baring lagi,” kata Izzat Hafis sambil matanya memandang pasangan pengantin yang sedang baring mengiring di atas rumput. Betul-betul macam cerita Hindustan. Mungkin sudah menjadi trend, pengantin Melayu pun bergambar ala-ala pengantin Cina.
“Tak nak lah posing macam tu. Tapi kalau macam couple yang pakai baju ungu tu, okey lah. Nampak sopan,” kata Sara Raihana sambil jarinya ditunjukkan ke arah satu lagi pasangan pengantin yang berada di lokasi bertentangan dengan pasangan pertama. Pasangan tersebut hanya mengambil gambar secara duduk dan berdiri sahaja.
“Macam tu tak best lah. Macam tiang je, tak ada perasaan. Abang suka kalau nampak lebih natural dan santai. Tak adalah nampak macam kahwin paksa saja,” sahut Izzat Hafis sambil ketawa.
Sara Raihana mencubit sayang pinggang Izzat Hafis dan menyebabkan Izzat Hafis makin galak mengusiknya. Saat itu terasa sungguh bahagia, bagaikan dunia milik mereka berdua sahaja.
“Abang, lepas hari ini jika Sara lalu ikut kawasan ini untuk pergi ke sekolah pasti Sara akan ingatkan abang dan janji abang untuk bawa Sara ambil gambar di Cameron Highland.”
“Baguslah kalau Sara ingatkan abang. Jangan ingat orang lain pula.”
“Hish… abang ni. Nak ingatkan siapa pula? Dalam hati Sara hanya ada abang seorang,” jawab Sara Raihana pura-pura merajuk.
“Manalah abang tahu. Jangan-jangan Sara ingatkan couple yang macam pak pacak tu je,” usik Izzat Hafis sambil menarik hujung selendang Sara Raihana.
“Tak kuasa nak ingatkan mereka.” Sara Raihana menarik kembali hujung selendangnya yang terselit di jari Izzat Hafis. Dia membetulkan kedudukan selendang yang telah senget akibat ditarik.
Izzat Hafis hanya ketawa gembira. Tinggal beberapa hari sahaja lagi persekolahan akan bermula dan keluarganya telah membantu Sara Raihana mencari rumah sewa. Hari itu Sara Raihana telah datang untuk melihat rumah tersebut dan sekali gus membayar wang pendahuluan. Setelah selesai segala urusan di rumah sewa tersebut, Izzat Hafis membawa tunangnya, Sara Raihana bersiar-siar di Taman Tasik. Lokasi kegemaran pasangan bercinta.
“Bila abang nak bertolak ke Muar?” tanya Sara Raihana setelah diam seketika.
“Esok pagi. Kenapa? Sara nak ikut ye?” Izzat Hafis masih mahu bercanda.
“Kalau boleh Sara nak ikut abang. Ke mana saja abang pergi Sara akan ikut asalkan ada abang.” Jawapan Sara Raihana cukup membahagiakan Izzat Hafis.
“Nanti bila dah dapat surat nikah, Sara isi borang pertukaran. Ikut abang tinggal di Muar. Lepas beberapa tahun kita sama-sama minta balik ke sini.”
“Kenapa balik ke sini? Kenapa tak balik Penang saja?”
“Ha… tadi kata ke mana saja abang pergi, Sara akan ikut. Ni belum apa-apa dah nak ke tempat lain, tak nak ikut abang.”
“Okey… okey… Sara silap. Sorry ya. Kalau Sara dah jadi isteri abang, Insya Allah Sara akan ikut abang.”
“Ikut abang, janji?”
“Janji!”
“Jadi, kalau abang ke tandas pun Sara akan ikutlah, ya?” kata Izzat Hafis sambil mengenyit mata, nakal.
“Abang ni…” Sara Raihana ingin memukul lengan Izzat Hafis tetapi Izzat Hafis segera bangun dan mengelak pukulan tersebut. Sara Raihana yang tidak berpuas hati kerana telah dipermainkan oleh tunangnya itu cuba untuk memukulnya lagi. Mereka berpusing-pusing di sekitar bangku batu yang menjadi tempat duduk mereka sedari tadi.
“Okey… okey… Abang menyerah,” kata Izzat Hafis sambil duduk kembali di bangku tersebut. Sara Raihana duduk di sebelah Izzat Hafis. Masih bersisa ketawanya. Terasa malu seketika kerana perbuatan mereka tadi telah menjadi tontonan beberapa pengunjung di situ.
 “Pukullah.” Izzat Hafis menyuakan lengannya.
“Tak nak.” Sara Raihana menolak lembut lengan Izzat Hafis.
“Betul tak nak? Lepas kita kahwin Sara mana boleh pukul abang lagi. Rugi kalau tak pukul sekarang.”
“Siapa kata tak boleh pukul lagi?”
“Kalau Sara pukul abang, abang balas balik, tapi di sini.”  Tangannya menunjukkan ke arah bibir Sara Raihana sambil memberikan ciuman di udara.
“Abang ni saja je nak kenakan Sara.” Wajah Sara Raihana merona merah kerana malu.
“Sara ni kalau merajuk nampak makin comel.”
“Ada-ada saja abang ni.” Sara Raihana ketawa sambil matanya memandang pasangan pengantin yang masih bergambar di seberang tasik.
Air mata yang mengalir dibiarkan menitis sehinggakan beberapa titisannya mengenai gambar Izzat Hafis yang masih ditatapnya. Perlahan-lahan air yang terkena gambar itu dilap dengan jari-jarinya yang masih berinai.
“Sara, mari makan nak. Mak dah hidangkan nasi.” Terdengar suara Mak Zainab memanggilnya, mematikan semua lamunan. Air matanya diseka dengan lengan baju dan gambar Izzat Hafis diletakkan kembali di atas meja. Perlahan-lahan dia melangkah ke luar pintu.
“Maafkan mak, Sara. Mak bukan sengaja nak buat Sara sedih dengan menyuruh Sara tidur di bilik Izzat. Bilik tetamu rumah ni hanya ada satu. Jadi bilik Izzat sajalah yang paling sesuai untuk Sara,” kata Mak Zainab yang kelihatan serba salah bila dia melihat masih ada kesan menangis di wajah menantunya itu.
“Tak apalah mak. Sara tak kisah tidur di bilik Izzat malah berterima kasih kerana mak sudi beri Sara peluang berada di sini,” jawab Sara Raihana perlahan.
“Janganlah Sara anggap Sara sebagai tetamu, tetapi Sara adalah menantu mak. Sama tarafnya dengan anak mak sendiri.” Jawapan Mak Zainab membuatkan Sara Raihana menangis dan memeluknya. Terasa hangatnya pelukan tersebut sehangat pelukan sewaktu majlis Akad Nikah yang lalu.
“Sudahlah Sara. Mari kita makan. Mak dan abah Sara dah menunggu di sana,” kata Mak Zainab sambil memegang tangan Sara Raihana untuk dibawa ke meja makan.
Sara Raihana mengambil tempat bersebelahan Mak Zainab dan bertentangan dengan ibunya Mak Cik Rohaya. Mereka makan sambil sesekali berbual ringan. Sara Raihana merenung nasi yang terhidang di hadapannya. Mak Zainab melayannya bagaikan puteri dengan mencedok lauk ke pinggannya dan menuangkan air. Sara Raihana terharu dengan layanan tersebut dan sebab itulah dia menggagahi untuk makan agar tidak mengecewakan hati ibu mentuanya.
 Mak Cik Rohaya tersenyum puas kerana hari ini Sara Raihana makan walaupun hanya beberapa mulut. Dia berharap agar kesedihan Sara Raihana terubat jua. Tadi sengaja dia membiarkan Mak Zainab mengajak Sara Raihana makan kerana dia tahu Sara Raihana akan menolak jika dia yang memanggil seperti yang selalu dilakukan oleh Sara Raihana sewaktu di rumah mereka di Bukit Mertajam.
Malam itu Sara Raihana tidur di atas katil yang menjadi pembaringan suaminya selama ini. Bantal suaminya dicium untuk mendapatkan bau Izzat Hafis. Tapi dia hampa kerana sarung bantal dan cadar tersebut hanya berbau pewangi kain sahaja. Dia menepuk-nepuk bantal itu beberapa kali dan berharap agar dapat bertemu Izzat Hafis di dalam mimpi. Tetapi matanya begitu payah untuk dilelapkan walaupun dia berusaha untuk lena. Hampir setiap malam Sara Raihana berkeadaan begitu, kesukaran untuk tidur atau insomnia. Dialihkan badannya sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Bantal Izzat Hafis dipeluk bagai memeluk suaminya. Masih gagal untuk lena. Akhirnya dia berzikir di dalam hati dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Lama kelamaan dia tertidur ketika waktu telah merangkak pagi.
 gambar dari google
baca sambungan di http://buku.karangkraf.com/ilham/

Rabu, 28 November 2012

Abang King Control Ke? - Bab 9



Razif mengambil telefon Irdina dan juga bungkusan ubat. Kemudian dia melihat nombor telefon Irdina lalu memindahkan nombor tersebut ke telefonnya. Dia merancang untuk menelefon Irdina dan bersemuka kemudian nanti. Razif melihat Irdina keluar dari bilik tamu dan dia mendapatkan Irdina.
“Ni telefon dan ubat awak. Harap awak tak buat alasan untuk ke sini lagi,” ujar Razif sambil menghulurkan telefon dan bungkusan ubat.
Irdina menyambut huluran Razif. Hatinya terfikir untuk menyakitkan hati Razif lagi.
‘Alang-alang mak dia dah salah faham, biar aku buat dia kena marah kaw-kaw. Biar padan muka dia.’
 Mak Cik Sopiah hanya memerhati mereka berdua.
“Terima kasih, abang sayang. Lain kali kita jumpa lagi.” Irdina bersuara manja sambil tersenyum penuh gedik.
Radang hati Razif makin bertambah. Mukanya masam mencuka. Kalau ikutkan hati, hendak di tampar mulut itu tetapi akalnya masih waras. Dia perlu bersabar. Lagi pun tak mancho lelaki yang menampar perempuan.
“Mak cik, saya ucapkan berbanyak terima kasih dan minta maaf jika kelakuan saya menyinggung perasaan mak cik. Budi baik mak cik tidak akan saya lupakan.” Irdina bersalaman dengan Mak Cik Sopiah.
“Baiklah. Mak cik pun minta maaf pada Irdina. Harap Irdina pertimbangkan cadangan mak cik untuk kahwinkan Irdina dengan Razif.” Mak Cik Sopiah benar-benar berharap.
Irdina hanya tersenyum dan menggeleng-geleng kepalanya. Dia kemudian meminta diri untuk pulang. Mak Cik Sopiah menuruti langkahnya hingga keluar rumah.
“Eh! Ustaz tak balik lagi?” tegur Irdina, ramah.
“Tak. Saya tunggu Razif. Dia kata nak tunjukkan sesuatu kepada saya,” terang Ustaz Azmi.
“Saya minta diri dulu.”
“Awak tak takut kalau-kalau Abang Burn kacau lagi?”
“Bakar ganggu Irdina ke?” tanya Mak Cik Sopiah, hairan.
“Ya, dia ganggu Irdina tadi. Tapi disebabkan saya tegur dia, dia terus balik.”
“Balkis dan Laila dah balik belum?”
“Belum. Mungkin lewat sedikit,” jawab Irdina.
“Jika begitu, Irdina jangan balik lagi. Tunggu sehingga mereka balik.” Risau Mak Cik Sopiah, tidak mahu bakal menantunya menjadi mangsa Bakar.
“Mak cik jangan risau. Saya tahu jaga diri. Insya ALLAH tak apa-apa. Abang Burn tentu tak berani nak buat sebarangan lagi.”
“Tapi mak cik rasa elok Irdina tinggal di sini dulu. Kalau apa-apa terjadi pada Irdina, mak cik tak akan maafkan diri sendiri.”
“Mak cik, saya nak balik sebab dah seharian saya tak mandi.”
“Kalau begitu, mandi saja di sini.”
“Mak cik, kalau mak cik risau sangat suruhlah Rosnah temankan saya sebentar.”  Irdina memberi cadangan.
“Rosnah nak ke kelas tambahan malam ni. Kalau begitu, biar mak cik saja yang temankan Irdina.”
“Baiklah. Mana-mana pun tak mengapa, janji saya boleh balik dan mandi.”
“Tunggu sebentar, mak cik nak ambil barang mak cik.”
Irdina terpaksa menunggu Mak Cik Sopiah.
“Patutlah ada bau kambing. Rupanya awak tak mandi seharian,” usik Ustaz Azmi sambil ketawa kecil.
“Kambing pun ada bodyguard tau.” Irdina membalas gurauan Ustaz Azmi.
“Itu tandanya kambing tu amat berharga. Kalau saya pun, saya nak jadi bodyguard kambing tu.”
“Kalau ustaz sudi, kambing tu tentu gembira.” Irdina tersenyum penuh makna.
“Agak-agak kambing tu ada nombor telefon tak? Bolehlah saya nak berjumpa dengan gembalanya untuk menentukan harganya. Rasanya saya ingin memiliki kambing tu,” Ustaz Azmi berkias.
“Betul? Ustaz tak main-main?” tanya Irdina. Faham maksud tersirat Ustaz Azmi.
“Insya ALLAH. Saya tak main-main. Kalau awak sudi, berilah nombor telefon awak.”
Irdina memberikan nombor telefonnya kepada Ustaz Azmi. Ustaz Azmi mengucapkan terima kasih kepada Irdina. Dia memang berhajat untuk meminang Irdina kerana hatinya telah terpikat dengan kelembutan dan keperibadian Irdina. Mak Cik Sopiah keluar dan kemudian mengajak Irdina pulang. Irdina sempat melambaikan sedikit tangannya kepada Ustaz Azmi. Ustaz Azmi memandang Irdina dengan senyum meleret. Dia tahu, dia tidak bertepuk sebelah tangan.
“Hai! Tengok Irdina sampai tak berkelip mata tu,” tegur Razif.
“Tak adalah Razif. Aku cuma kasihankan dia.” Ustaz Azmi memberi alasan.
“Kasihan atau kasih?” tanya Razif menduga.
“Ada-ada saja kau ni. Mana barang yang kau nak tunjuk pada aku?” Ustaz Azmi mengubah topik perbualan.
“Ni… cuba kau tengok.” Razif menunjukkan duit syiling lama.
Ustaz Azmi meneliti duit yang mempunyai bentuk orang tua yang bongkok sambil memegang tongkat dan di sebelah muka lagi berbentuk rama-rama.
“Ini duit yang dijadikan azimat untuk pelaris. Kau guna pelaris untuk klinik kau?” tanya Ustaz Azmi.
“Taklah. Ada orang beri pada aku. Sebab tu aku nak tahu.”
“Guna pelaris dalam berjual beli adalah berdosa. Ini kerana ia bercanggah dengan akidah dan boleh membawa kepada syirik kepada ALLAH. Berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud ‘sesungguhnya jampi, tangkal, azimat dan ubat guna-guna adalah syirik.’ Oleh itu, jauhkanlah diri daripada perbuatan yang sedemikian,” terang Ustaz Azmi.
“Ya, aku tahu. Sebab tu aku nak minta pendapat kau. Adakah patut aku simpan benda ni atau buangkan saja?”
“Sebaiknya kau buangkan saja. Benda ni ada jin yang berdamping dengannya.”
“Tak memudaratkan diri aku ke kalau buang?”
“Insya ALLAH tak. Jangan simpan sebab hukumnya haram.”
“Baiklah. Aku akan buang di sungai sewaktu aku nak ke klinik nanti.”
“Aku nak minta diri dulu. Dah lama aku berada di sini.” Ustaz Azmi bangun dan bersalaman dengan Razif.
Razif hanya melihat Ustaz Azmi menaiki kereta Proton Wira. Setelah Ustaz Azmi berlalu pergi, Bakar menghampiri Razif.
“Razif! Irdina dah balik ke belum?” tanya Bakar.
“Yang Abang Burn sibuk tanya dia, kenapa? Dia bukan isteri Abang Burn.”
“Aku nak tahulah. Kalau dia mahu, aku nak ambil dia jadi isteri kedua.”
“Jangan beranganlah Abang Burn. Dia tu tak suka lelaki tua. Dengan saya, padanlah.” Razif sengaja menyakitkan hati Bakar.
“Kau jangan ingat aku tak mampu pikat dia. Ini Abang Burnlah. Sekali aku ayat, cair dia.” Bakar mendabik dada.
“Jangan takbur sangat. Ingat sama yang Abang Burn tu ada isteri dan anak-anak. Jangan sebab seorang perempuan rumah tangga Abang Burn kacau bilau.”
“Kau tahu apa? Isteri pun kau tak ada. Orang perempuan ni nampak saja macam garang. Tapi kalau kena gayanya, boleh melutut di kaki kita.”
“Wow! Hebatnya Abang Burn. Saya pun nak belajarlah dari Abang Burn.” Sengaja Razif memuji untuk melihat reaksi Bakar.
“Kalau kau nak belajar, tolong aku minta nombor telefon Irdina. Melalui telefon aku boleh ayatkan dia. Nanti kau tengok dia datang berlutut di kaki aku.”
“Betul? Saya pun nak ayatkan dia supaya dia pun boleh berlutut depan saya.”
“Kau janganlah berebut dengan Abang Burn. Kau pikatlah Balkis tu.”
“Tapi saya suka Irdina. Senyuman dia manis dengan lesung pipit di pipi.” Razif sengaja menambah bara di hati Bakar.
“Kau jangan nak cari pasal dengan aku. Dia hak aku.”
Razif hanya ketawa mendengar kata-kata Bakar. Padanya Bakar hanyalah berangan-angan dan tak mungkin berjaya memikat Irdina.
“Kenapa kau ketawa?” tanya Bakar.
“Sengaja nak lihat siapalah yang malang dapat berkahwin dengan Irdina,” kata Razif sambil melangkah masuk ke rumahnya.
Bakar hanya mencebikkan mulutnya. Dia rasa terhina dengan kata-kata Razif. “Jaga kau Razif. Satu hari aku akan ajar kau cukup-cukup,” ujar Bakar yang masih berdendam dengan Razif.
Bakar melangkah pulang ke rumahnya apabila mendengar azan maghrib berkumandang di udara. Dia melihat rumah Irdina yang terang benderang dengan cahaya lampu. Tahulah dia bahawa Irdina telah pulang ke rumah. Ada senyuman di bibirnya.
Mak Cik Sopiah mengambil wuduk dan kemudiannya menunaikan solat berjemaah dengan Irdina. Mereka berdoa bersama-sama dan kemudiannya duduk membaca Surah Yassin. Irdina merasa tenang setelah selesai membaca Yassin. Dia bersalaman dengan Mak Cik Sopiah dan mencium tangannya.
“Irdina, marilah ke rumah mak cik. Di rumah ni tentu tak ada makanan,” ajak Mak Cik Sopiah.
“Saya seganlah mak cik. Nanti Abang Razif kata apa pula. Tadi pun dia dah marahkan saya.”
“Tak mengapa. Dia tak maksudkan apa yang dia kata tu.”
“Biarlah mak cik. Saya boleh beritahu Balkis untuk belikan saya makanan.” Irdina cuba menolak pelawaan Mak Cik Sopiah.
“Buat apa nak beli sedangkan dah ada makanan di rumah mak cik? Nanti ajak sekali Balkis makan di rumah mak cik.”
“Tapi, saya tak mahu jumpa Abang Razif lagi. Malu rasanya.”
Mak Cik Sopiah hanya tersenyum. “Dia pun tentu dah ke klinik sekarang ni. Rosnah pun mungkin dah ke kelas tambahan. Tak ada siapa di rumah mak cik waktu sekarang.”
Irdina tidak mampu menolak pelawaan Mak Cik Sopiah. Akhirnya dia bersetuju. Irdina menelefon Balkis untuk mengajaknya makan di rumah Mak Cik Sopiah. Balkis menyetujuinya dan dia di dalam perjalanan pulang.
“Mak cik selalu tinggal seorang diri waktu begini?” tanya Irdina.
“Tak juga. Cuma hari Selasa bila Rosnah ke kelas tambahan. Malam-malam lain, Rosnah ada. Kadang-kadang Razif tak ke klinik waktu malam bila dia kerja dari pagi.”
Irdina hanya mendiamkan dirinya mendengar kata-kata Mak Cik Sopiah. Mak Cik Sopiah memanaskan sup untuk Irdina. Dia menyuruh Irdina menunggu di sofa dan tidak membenarkan Irdina menolong di dapur. Mak Cik Sopiah tahu yang Irdina masih lemah walaupun demamnya sudah berkurangan. Irdina melihat siaran televisyen sementara menanti ketibaan Balkis.
“Kak Irdina!” panggil Balkis yang berada di pintu hadapan.
Irdina bangun untuk membuka kunci dan membiarkan Balkis masuk.
“Laila tak balik lagi ke?” tanya Balkis.
“Dia kata mungkin lewat sikit.”
“Jumpa tunang dialah, sebab tu lewat.” Balkis meneka.
“Entahlah. Aku dulu pun ada tunang tapi jarang jumpa.”
“Bekas tunang Kak Irdina duduk jauh, tu yang jarang jumpa. Tunang Laila kerja di sini.”
Irdina duduk semula di sofa. Balkis memerhati sekitar rumah itu mencari-cari Mak Cik Sopiah.
“Kenapa Kak Irdina tak tolong Mak Cik Sopiah?”
“Mak Cik yang tak beri aku tolong.”
Balkis melangkah ke dapur untuk menolong Mak Cik Sopiah. Dia membiarkan Irdina keseorangan di ruang menonton. Irdina meneruskan tontonannya. Tiba-tiba telefon Irdina berbunyi. Irdina melihat di skrin tertera nombor yang tidak dikenalinya. Dia menjawab panggilan itu untuk mengetahui siapa yang memanggil. Irdina menjawab salam yang diberi.
“ Irdina, ini Abang Azmi.”
“Oh! Ustaz rupanya.”
“Janganlah panggil ustaz. Panggillah abang.”
“Baiklah, abang.” Lebar senyuman Irdina.
“Irdina ada di rumah ke?”
“Tak, Irdina ada di rumah Mak Cik Sopiah. Dia ajak Irdina dan Balkis makan di sini.”
“Baguslah tu. Risau juga abang jika Abang Burn kacau Irdina lagi.”
“Tak mengapa. Balkis pun dah balik.”
“Alhamdulillah. Kalau ada apa-apa masalah, Irdina telefonlah abang. Insya ALLAH abang akan datang.”
“Terima kasih. Abang, boleh tak Irdina nak tanya sikit.”
“Tanyalah, apa dia?”
“Kalau boleh, Irdina nak tahu sikit sebanyak latar belakang abang. Nanti kalau emak bapak Irdina tanya, senang nak cerita.”
“Baguslah begitu. Irdina beritahu mereka yang umur abang 32 tahun. Anak sulung daripada empat orang adik beradik. Abang sajalah anak lelaki dan tiga lagi, perempuan. Bapa abang dah meninggal dunia. Abang tinggal dengan mak dan dua orang adik. Seorang adik abang dah kahwin. Seorang masih belajar di universiti dan yang bongsu masih di sekolah rendah. Irdina pula macam mana? Abang pun nak tahu latar belakang Irdina. Nanti senang nak beritahu mak abang.”
“Irdina anak kedua daripada tiga orang adik beradik. Abang Irdina dah kahwin dan adik Irdina masih belajar di UniMAP. Mak dan bapak Irdina masih ada. Dulu, Irdina pernah bertunang. Tapi bekas tunang Irdina lesap, lepas buat pinjaman. Irdina jadi penjamin dia. Hingga sekarang Irdina masih tanggung hutang dia.” Irdina berterus terang.
“Sungguh tak bertanggungjawab lelaki begitu. Berapa tahun lagi baru habis nak bayar pinjaman tu?” tanya Ustaz Azmi. Ada rasa simpati dengan nasib Irdina.
“Ada setahun lagi.”
“Abang simpati dengan Irdina. Insya ALLAH abang tak akan sia-siakan Irdina bila kita telah bersatu. Abang harap Irdina dapat bersabar dan tunggu pinangan abang. Abang akan minta izin mak abang terlebih dahulu.”
“Insya ALLAH, Irdina akan tunggu. Bila abang dah dapat persetujuan mak abang, beritahu Irdina, ya.”
“Ya, abang akan beritahu dengan segera.” Ceria kedengaran suara Ustaz Azmi.
Rasa gembira menyelubungi hati Irdina. Ciri-ciri lelaki idamannya ada pada Ustaz Azmi. Itu yang membuatkannya terpaut hati. Malah sikap Ustaz Azmi yang berterus terang ingin menghalalkan hubungan mereka walaupun baru mengenalinya membuatkannya makin menghormati Ustaz Azmi. Bagi Irdina, bercinta sesudah kahwin lebih kukuh dan manis berbanding cinta sebelum halal. Irdina mendengar Mak Cik Sopiah memanggil namanya. Dia kemudiannya meminta diri dan memutuskan talian telefon.
“Hai! Sembang dengan siapa? Siap berabang-abang lagi.” Balkis mengusik Irdina.
“Adalah. Takkan semua nak kena lapor pada kau,” ujar Irdina sambil tersenyum.
Mak Cik Sopiah mendengar perbualan itu hanya tersenyum. Dia menyangka Irdina berbual dengan Razif. Rasa sejuk hatinya melihat wajah ceria Irdina.
 “Makanlah Irdina,” ujar Mak Cik Sopiah ketika melihat Irdina masih tidak menjamah makanannya.
Irdina memasukkan sedikit nasi ke mulutnya. Selera makannya masih belum pulih sepenuhnya. Mak Cik Sopiah bangun untuk mengambil kicap untuk Irdina. Dia menyangka Irdina tidak berselera makan kerana tiada kicap.
“Ini kicap kegemaran Irdina.” Mak Cik Sopiah menghulurkan kicap kepada Irdina.
Irdina hanya tersenyum melihat Mak Cik Sopiah. Dia terharu dengan kebaikan Mak Cik Sopiah. Perlahan-lahan tangannya menuang kicap ke atas nasi. Irdina mengagahkan diri menghabiskan nasi di pinggan.
“Tambah lagi Irdina,” pelawa Mak Cik Sopiah.
“Dah kenyanglah mak cik. Malam-malam saya tak makan banyak dan kadangkala saya tak makan pun.” Irdina memberitahu tabiat makannya.
“Patutlah badan Irdina kurus,” Mak Cik Sopiah tersenyum.
Irdina bangun untuk membasuh pinggannya.
“Tinggalkanlah di situ, Irdina.”
“Tak apalah mak cik. Bukannya banyak pun.” Irdina membasuh pinggan dan gelasnya.
Setelah mereka selesai makan dan mengemaskan meja, Mak Cik Sopiah mengajak mereka duduk di ruang hadapan.
“Esok Irdina cuti lagikan?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Ya. Kenapa mak cik?”
“Esok Irdina nak makan apa? Nanti mak cik buatkan.”
“Tak perlulah mak cik. Kalau saya dah sihat, saya boleh buat sendiri.”
“Kak Irdina nak masak apa? Barang-barang dapur, kebanyakannya dah habis.” Balkis kehairanan.
Irdina menjegilkan matanya kepada Balkis. Hatinya terasa geram kerana Balkis telah memberitahu perkara sebenar. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan Mak Cik Sopiah dan yang penting tidak mahu berjumpa Razif lagi.
“Jadi tak ada apa-apa di rumah Balkis?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Setakat sardin dan mee segera adalah. Di dalam peti ais hanya ada buah-buahan dan air saja,” ujar Balkis berterus terang.
“Kami minta diri dulu, mak cik. Saya rasa dah mengantuk.” Irdina memberi alasan. Geram dengan pengakuan Balkis. Tetapi bukan salah Balkis kerana Balkis tidak mengetahui masalahnya.
“Awal pula Kak Irdina mengantuk. Selalunya hampir pukul dua belas baru nak tidur.”
“Kali ni aku demam. Nak tidur awal.” Irdina semakin geram dengan sikap terus terang Balkis.
“Baiklah. Jom kita balik.” Tanpa mengetahui niat sebenar Irdina, Balkis bangun dan bersalaman dengan Mak Cik Sopiah.
Balkis dan Irdina berjalan beriringan pulang ke rumah. Mak Cik Sopiah hanya melihat dari muka pintu langkah mereka berdua. Dia menutup pintu setelah melihat Irdina dan Balkis memasuki rumah mereka.
“Kenapa kau pecah lubang tadi?” tanya Irdina sambil merenung wajah Balkis. Geramnya masih bersisa.
“Pecah lubang apa?” tanya Balkis. Berkerut dahinya melihat perlakuan Irdina yang dirasakan pelik.
“Kau beritahu yang kita tak ada bahan untuk masak dan pasal aku tidur lewat. Kau dah menyusahkan aku. Esok tentu Mak Cik Sopiah panggil aku makan di rumah dia lagi. Aku nak lari ke mana?”
“Nak lari buat apa? Kak Irdina pergilah rumah dia. Kalau aku, orang ajak makan aku tak tolak.”
“Kau tak tahu apa yang jadi hari ni. Aku rasa serik dan malu nak ke rumah Mak Cik Sopiah.”
“Kenapa?”
Irdina menceritakan keseluruhan kisah yang berlaku terhadapnya sepanjang hari itu. Cuma yang tidak diceritakan hubungannya dengan Ustaz Azmi. Hal itu sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan Balkis. Takut Balkis akan menghebahkan perhubungannya dengan Ustaz Azmi kepada orang lain. Dia bukan tidak tahu sikap Balkis yang kadangkala terlebih ramah.
“Aku rasa elok Kak Irdina jelaskan perkara sebenar pada Mak Cik Sopiah. Takut nanti dia mengharap Kak Irdina jadi menantu dia sedangkan Kak Irdina dan doktor tu bermusuhan.”
“Aku pun rasa begitu. Esok aku akan jelaskan kepada Mak Cik Sopiah dan minta maaf pada doktor tu. Aku tak mahu memanjangkan permusuhan kami. Kita hidup berjiran, tak elok jika bermasam muka.”
“Eloklah tu. Aku nak pergi mandi. Dah melekit badan aku ni,” ujar Balkis.
“Okey. Aku pun nak makan ubat dulu. Kepala aku dah mula rasa pusing.” Irdina melangkah ke dapur untuk mengambil ubatnya.
Walaupun Irdina tidak menyukai ubat, tetapi dia terpaksa menelannya juga. Berkali-kali dia meminum air untuk melancarkan perjalanan ubat itu. Dalam kepayahan, akhirnya dia berjaya juga menelan kesemua ubat itu. Irdina kemudiannya memasuki bilik tidurnya lalu ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia menunaikan solat isyak. Setelah selesai dia melabuhkan badannya di atas katil. Walaupun dia cuba untuk melelapkan matanya, tetapi masih tidak berjaya.