Pengikut

Sabtu, 28 September 2013

KIES 9 - Bab 20 && 21



 Bab 20
Aku dan Wirdah memilih untuk duduk di sofa berdua. Raja Azrin pula duduk di sofa berhadapanku. Mak Engku dan Batrisya duduk bersama-sama di sofa bersebelahan Raja Azrin. Mata mereka tertumpu ke arahku.
“Kak Sha jangan risau. Walau apa pun yang terjadi, Wirdah akan tetap bersama Kak Sha. Kak Sha tak perlu rasa malu atau rendah diri. Hadapi soal ni dengan tenang dan sabar. Insya-ALLAH, ALLAH bersama Kak Sha,” kata Wirdah memberi semangat.
Aku menggenggam erat tangan Wirdah. Hati yang panas menggelegak terasa surut sedikit demi sedikit. Itulah istimewanya Wirdah. Mampu mendamaikan hati bila dia menasihat.
“I nak tanya you, Rain. Kenapa you panggil suami I pembohong besar? Apa bukti you yang dia berbohong?” ujarku setelah aku dapat mengawal emosi marahku sepenuhnya.
“You tahu apa pekerjaan Nain?” soal Raja Azrin sambil memandang tepat ke wajahku.
“Dia kerja dengan ayahanda I dan jadi bodyguard I.”
“Maknanya you tak tahulah dia pernah kena penjara kerana belasah orang sampai mati? Tentu you tak percayakan? Dia bukan saja bunuh orang tapi dia juga peras ugut orang-orang kaya untuk bayar wang pelindungan kepada dia. Sebenarnya, dia orang kedua dalam kumpulan gangster. Kapten tu pula, ketua dia.”
Aku agak terkejut mendengar kata-kata Raja Azrin. Betulkah cakapnya atau dia sengaja mereka-reka cerita?
“Rain...bonda tak rasa Nain begitu. Mungkin Rain silap orang.” Mak Engku mencelah.
“Rain nak tanya bonda. Bonda kenal siapa Nain dan Kapten? Kapten yang bonda sebut tu dah dapat bonda hubungi?” soal Raja Azrin bertubi-tubi.
“Bonda tak kenal sangat Kapten tu. Bonda kenal dia pun sebab dia pernah datang untuk bagi bantuan buat anak-anak yatim. Dia bagi nombor telefon rumah dan bonda dah telefon. Isteri dia kata dia keluar Negara dan tak mahu beri nombor telefon Kapten. Segala urusan Kapten, isteri dia tak tahu. Bonda tak dapat maklumat Nain sebab isteri kapten enggan berbual panjang. Tapi pada bonda, Nain sangat baik dan banyak menolong kerja-kerja di sini. Dia baiki paip yang bocor dan wakaf yang rosak.”
“Hanya kerana dia tolong bonda, bonda kata dia sangat baik? Kalau Rain, bonda kata jahat. Inilah kelemahan bonda. Mudah terpedaya dengan orang. Anak sendiri tak mahu percaya. Ada perniagaan serah pada anak pungut. Anak sendiri ditolak ke tepi. Memang padanlah kalau kena tipu,” sindir Raja Azrin Shah.
“Rain! Jangan nak ungkit hal Zain pula. Rain pun tahu, bukan bonda yang tentukan siapa berkuasa dalam perniagaan kita. Arwah ayahanda Rain sendiri yang putuskan. Pada bonda, Zain memang layak untuk terajui perniagaan kita dan terbukti dia cukup beramanah serta gigih memajukannya. Kalau serah pada Rain yang boros, silap-silap bungkus dah. Muflis, bankrap. Jangan-jangan tempat ni pun, Rain jual.”
Kenyataan Mak Engku agak mengejutkan aku. Sebenarnya aku tidak mengenali kaum keluarga Raja Azrin sebelum ini. Sepanjang perkenalan kami, dia jarang bercerita tentang keluarganya. Malah aku mengenalinya dengan nama Azrin atau Rain sahaja. Aku tidak tahu dia berketurunan raja sehinggalah aku terlihat kad keahlian kerabat dirajanya ketika dia membuka beg duitnya. Dia pernah memberitahuku bapanya, Raja Azhan adalah seorang diplomat dan menjadi duta di Arab Saudi. Disebabkan Raja Azrin masih belajar di tahun akhir, jadi dia tinggal seorang diri di Malaysia. Aku pula ketika itu baru memasuki universiti yang sama dengannya.
“Asyik-asyik Zain. Tapi tak apa. Hari ni Rain tak mahu sentuh soal Zain. Rain nak fokus soal Nain, si pembohong besar. Kalau bonda nak tahu, Kapten tu dah pakat dengan Nain konon ada musuh yang nak bunuh Kiesha tapi sebenarnya mereka yang sengaja nak bolot harta Kiesha. Orang yang nak bunuh Kiesha tu, orang mereka. Tengku Badri adalah big boss mereka dan merupakan dalang dalam pembunuhan ibu bapa Kiesha.” Terang Raja Azrin dengan penuh yakin.
“You bohong! Tak mungkin Abang Badri tergamak buat begitu pada bapa saudara dia sendiri. Abang Badri seorang yang baik dan sangat sayangkan ayahanda. Tak mungkin dia membunuh semata-mata kerana harta,” ujarku tidak percaya. Mataku bulat merenung wajah Raja Azrin. Tuduhannya terhadap Tengku Badri sukar untuk aku percayai.
“You ni terlalu naif. Mereka telah rancang dengan teliti. Sebelum malam kejadian tu, sengaja Nain beri alasan yang emaknya meninggal supaya dia dapat mengelakkan diri daripada dituduh sebagai pembunuh. Tapi sebenarnya dia pulang sebaik sahaja selesai perkebumian emak dia tu. Tentu dia beritahu you yang dia ada di kampung. Betul tak Kiesha?” soal Raja Azrin dengan begitu yakin.
Aku agak terkejut mendengar kata-kata Raja Azrin. Bagaimana dia tahu Iskandar berkata begitu kepadaku? Hatiku mulai keliru. Siapa yang bercakap benar sekarang ini?
“Apa bukti you tuduh dia?” soalku walaupun keraguan telah berbayang di hati.
“Apa bukti yang you ada untuk menafikannya? Tentu tak adakan? You tak kenal dia. Bila dia datang konon tolong you, you terus percaya pada dia. Pasti you serah tubuh badan you dengan mudah. Bila you sedar you dah tersilap, dia yakinkan you yang dia dan you dah kahwin. Jadi you akan terus percaya pada dia. Dia dapat body you dan nanti dapat harta you.” Raja Azrin tersenyum sinis kepadaku.
Sakit hatiku bukan kepalang. Dia menuduhku seolah-olah aku begitu murah dan mudah menyerahkan diri pada sesiapa sahaja. Mungkin dahulu aku begitu murah di matanya tetapi aku tidak mahu dia terus menganggap aku sebegitu. Aku ada harga diri. Aku ada maruah. Tapi kalau benar kata-katanya tentang Iskandar, di mana harga diriku? Pasti aku lebih teruk daripada dahulu. Tinggal sebumbung dan sekatil dengan lelaki yang kuanggap suami. Hakikatnya? Tidak dapat aku bayangkan jika itu benar. Pasti hancur luluh hatiku. Tapi, kenapa harus aku mempercayai kata-katanya?
“Rain! Jangan buat fitnah. Kalau apa yang Rain kata tak betul, Rain dah berdosa. Bonda tak percaya Nain begitu. Solat tak tinggal dan amalan agamanya pun sangat baik. Tak mungkin mereka tak kahwin lagi,” bantah Mak Engku yang wajahnya jelas menunjukkan kemarahan.
“Kalau bonda nak tahu, Kiesha ni sebenarnya ibu kandung Risya. Risya anak kami berdua. Jadi bonda jangan terkejut jika dia boleh tinggal dengan Nain tanpa nikah sebab dia mudah serah diri pada lelaki,” ujar Raja Azrin mengejutkan Mak Engku dan Wirdah.
Batrisya hanya memerhati dengan mata terkebil-kebil. Mungkin tidak memahami perkara yang berlaku ketika itu. Hatiku terasa amat sakit. Dia menghina aku di hadapan insan-insan yang aku hormati. Aku bangun untuk menumbuk mulut berbisa Raja Azrin tetapi terhalang kerana Wirdah lebih pantas memelukku dan menyuruhku bersabar.
“Sabar, Kak Sha. Jangan bertindak melulu. Jika tuduhan ini fitnah, Kak Sha perlu hadapinya dengan tenang. Kalau Kak Sha yakin yang Kak Sha benar, pertahankanlah. Jangan mudah mengalah. Wirdah akan sokong Kak Sha. Kak Sha tak keseorangan,” ujar Wirdah melunakkan hatiku.
Aku duduk kembali bersama-sama Wirdah. Tangan Wirdah kugenggam untuk mendapatkan kekuatan. Wirdah turut membalasnya. Aku mendiamkan diri bagi menenangkan perasaan. Wajah Iskandar terbayang di ruang mata. Selalunya bila aku hadapi tekanan, Iskandar ada untukku. Pelukannya mampu menenangkan hatiku. Tetapi hari ini hatiku tidak menentu. Apa yang aku harap, aku mampu bertahan.
“Apa maksud Rain yang Risya anak Sha? Bukanlah Arysa yang lahirkan Risya?” soal Mak Engku setelah melihatku tenang.
“Rain akui yang Rain terlanjur dengan Kiesha. Tapi waktu tu bonda dan ayahanda dah tunangkan Rain dengan Arysa. Ayahanda desak Rain terima Arysa sebab dah terhutang budi dengan keluarga Arysa. Semuanya kerana perniagaan ayahanda. Rain tak ada pilihan dan terpaksa tinggalkan Kiesha. Anak yang Arysa kandung alami masalah dan lahir tak cukup bulan. Baby tu meninggal dunia. Kebetulan masa tu, Kiesha lahirkan Risya dan dia tak mahu bayi dia. Rain dapat tahu hal tu daripada seorang jururawat dan dia tolong Rain dapatkan Risya. Rain bawa Risya dan tunjuk pada Arysa. Arysa sukakan Risya dan anggap macam anak dia. Lepas tu Rain beritahu semua orang yang itu anak Arysa. Semua orang percaya termasuk bonda,” terang Raja Azrin dengan panjang lebar.
“Kenapa you sanggup berbohong Raja Azrin Shah? Apa yang you dapat dengan pembohongan ni?” tempikku keras sambil bangun berdiri. Wirdah turut bangun dan memaut lenganku.
“Mengaku ajelah Kiesha.” Raja Azrin tersenyum sumbing tanpa mempedulikan kemarahanku. Begitu sakit hatiku melihat wajahnya yang selamba.
“Nak mengaku apa kalau I tak pernah mengandung apatah lagi nak lahirkan bayi. I tak tahu kenapa you sanggup buat semua ni. You tak sayangkan anak you kah? Jangan jadikan Risya mangsa permainan you. Cukup I rasa sakit diperbodohkan oleh you, dulu. You ragut kesucian I dengan cara salah. Lepas tu, you tuduh I perempuan murah kerana you nak bersama Arysa. I tak sangka hati you begitu busuk, Rain. Menyesal I kenal dan jatuh cinta pada you.”
“You jangan bohonglah, Kiesha. I dengar sendiri you mengaku you mengandungkan anak I. Tapi waktu tu I terpaksa tinggalkan you. Sekarang I nak tebus kesilapan I dan penuhi impian you. Kahwin dengan I, Kiesha. Risya perlukan mama dia dan I perlukan you. Kita lupakan kesilapan lalu.”
Panas hatiku makin meningkat. Boleh dia melamarku dalam keadaan begini? Setelah apa yang dilakukan terhadapku, dia ingat mudah untukku menerimanya.
“You dah gila ke? I dah kahwin dan kalau tak kahwin lagi pun, I memang tak mahu berbalik pada you. Cukup segala kesakitan yang you hadiahkan buat I. I tak mahu ulanginya lagi.”
“I cuma bagi you peluang yang you dah terlepas. Terima ajelah Kiesha. Bukankah you cintakan I?”
“Cukup! Hentikan semua cerita karut ni. I nak balik. Lepas ni jangan muncul lagi depan muka I. I bencikan you. Tolong betulkan kembali tanggapan Risya yang I ni bukan mama dia. Jangan rosakkan pemikiran anak you demi kepentingan you.”
Aku melangkah dari situ bersama-sama Wirdah. Raja Azrin sempat menyambar tanganku. Aku merentap kasar. Terlepas pegangannya. Makin membuak rasa marahku terhadapnya.
“Kiesha! Jangan pergi. Kita tak habis bincang lagi.”
“Nak bincang apa lagi?” jerkahku.
Aku dapat melihat Batrisya memeluk nendanya. Mungkin kerana takut melihat kemarahanku atau suaraku yang memetir. Hati rasa simpati padanya tetapi aku tidak dapat berlembut dengan ayahandanya.
“Okey! I minta maaf. Tapi dengar dulu apa yang I nak kata,” ujar Raja Azrin cuba berdiplomasi.
“Apa?” soalku, masih kasar.
“Kita lupakan segala kisah lalu dan kita mulakan lembaran baru. I nak kahwin dengan you demi Batrisya. I tahu, dia ingin sangat you jadi mama dia. Dia selalu telefon I dan beritahu tentang you. Segala-gala tentang you menambat hatinya. Dia perlukan seorang mama, Kiesha. Tolong jadi mama buat dia, please.”
Raja Azrin memujukku dengan nada yang lembut. Selembut pujukannya ketika ingin mendapatkan diriku. Aku tahu pujukannya mampu mencairkan hatiku. Jadi sebelum aku terperangkap dalam mainannya, aku perlu bertindak.
“Mak Engku maafkan Sha. Sha harap Mak Engku nasihatkan anak Mak Engku supaya tak ganggu isteri orang. Besar dosanya mengganggu hak orang apatah lagi berniat merampasnya. Sha sayangkan Nain dan tak akan terima sesiapa selain Nain,” ujarku lalu aku menarik tangan Wirdah agar melangkah keluar dari situ dengan segera.
“Kiesha!” Raja Azrin cuba menghalang tetapi langkahnya dihalang oleh Mak Engku.
“Rain! Cukuplah memalukan bonda. Sha isteri orang dan tak mungkin jadi isteri Rain,” tegas suara mak Engku.
“Tapi bonda...”
“Tak ada tapi-tapi. Bonda tak suka perangai Rain ni. Jangan ganggu Sha lagi.”
“Ahh!!” tempik Raja Azrin.
Aku dan Wirdah mempercepatkan langkah tanpa mahu berpaling lagi. Kami berlari anak untuk segera sampai ke rumah. Bimbang Raja Azrin mengekori. Tetapi kami menarik nafas lega apabila kelibatnya tidak kelihatan.

Bab 21

Aku keresahan memikirkan kata-kata Raja Azrin tentang Iskandar. Mundar-mandir aku berjalan di ruang hadapan. Wirdah yang duduk di sofa hanya memerhati tingkahku.
“Kak Sha, duduklah dan bertenang. Kalau Kak Sha mundar-mandir tak akan selesai masalah tapi akan menambahkan rasa resah. Sebaiknya Kak Sha berselawat banyak-banyak agar hati Kak Sha tenang.”
Aku mengikut saranan Wirdah dan duduk di sebelahnya. Dalam hati aku berselawat berulangkali. Tanganku mendail nombor telefon Iskandar buat ke sepuluh kali.
“Wirdah, kenapa Abang Nain tak angkat telefon dia? Asyik masuk peti suara aje,” ujarku sambil meletakkan telefon.
“Mungkin dia tutup telefon sebab dah dekat masuk waktu solat Jumaat. Nanti lepas solat, dia telefon Kak Sha. Jangan risau sangatlah,” ujar Wirdah seakan memujuk.
“Hmm... mungkin juga. Tak terfikir Kak Sha tadi. Pasti dia berhenti untuk solat dulu. Nanti bila dia telefon, Kak Sha nak tanya dia. Kata-kata Raja Azrin tadi buat Kak Sha tak senang hati.”
“Kak Sha, kalau tak keberatan Wirdah nak tanyakan Kak Sha tentang Risya.”
“Wirdah pun fikir Kak Sha yang lahirkan Risya?” soalku sambil memandang wajah Wirdah.
“Tak, bukan itu maksud Wirdah. Cuma Wirdah nak dengar cerita Kak Sha tentang Risya. Dulu Kak Sha pernah cerita, kawan Kak Sha lahirkan anak bernama Risya Kirana. Lepas tu dia dicuri dan hilang hingga ke hari ni. Adakah benar Risya tu adalah Batrisya?”
“Wirdah percayakan siapa? Kak Sha atau dia?” soalku agak garang.
“Maafkan Wirdah. Bukan Wirdah nak campur tangan dalam soal Kak Sha.”
Aku tatap wajah Wirdah yang kelihatan takut-takut. Rasa bersalah terbit di hatiku kerana memarahinya. Aku mencapai tangannya dan menariknya ke dalam pelukanku sambil memohon maaf.
“Kak Sha, kalau soal Risya buat Kak Sha tak selesa, kita lupakan saja. Wirdah tak nak Kak Sha tertekan dan susah hati.”
“Terima kasih Wirdah. Sebenarnya sukar untuk Kak Sha ceritakan sejarah silam. Banyak sangat kenangan yang menguris hati Kak Sha. Dulu, Kak Sha marah sangat bila dapat tahu Raja Azrin akan berkahwin dengan Puteri Arysa yang merupakan senior Kak Sha. Kak Sha bohongkan dia dan kata Kak Sha mengandung.”
“Jadi, Kak Sha bukanlah ibu Risya?”
Aku hanya tersenyum kelat tanpa mahu mengulas panjang.
“Kalau Wirdah nak tahu, Puteri Arysa ni alim sikit dan sentiasa menutup aurat. Dia juga terlibat dalam kumpulan usrah dan dakwah. Pernah kumpulannya tegur pemakaian Kak Sha dan nak dakwah Kak Sha. Tapi Kak Sha tak suka. Lebih-lebih lagi sebab dia rampas Raja Azrin daripada Kak Sha.”
“Wirdah pernah tengok arwah masa dia datang ke sini. Masa tu dia tengah mengandung. Dia nampak baik. Engku Rain pun nampak gembira dan bahagia. Lepas tu, Wirdah dapat tahu dia lahirkan Risya. Tak sampai setahun umur Risya, Puteri meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Mak Engku bawa balik Risya ke sini dan kerapkali Engku Rain balik tengok Risya.”
“Kak Sha tak tahu semua tu. Masa tu Kak Sha sendiri pun tengah hadapi masalah dalam diri. Kak Sha kesal dengan sikap Raja Azrin yang lepas tangan. Tak mahu mengaku perbuatan dia walaupun Kak Sha dah berlembut dan tak ambil tindakan undang-undang.”
“Kenapa Kak Sha biarkan dia terlepas selepas apa yang dia buat pada Kak Sha? Bonda dan ayahanda Kak Sha tak marahkah?”
“Kak Sha tak cerita pun pada mereka apa yang Raja Azrin buat pada Kak Sha. Mungkin kerana Kak Sha terlalu sayangkan dia. Dia rayu dan minta maaf. Dia kata dia tersilap dan tak dapat kawal nafsu bila tengok Kak Sha. Kak Sha yang bodoh ni, percaya pada janji dia yang kata akan pinang Kak Sha secepat mungkin. Tapi lepas sebulan daripada kejadian tu, dia tinggalkan Kak Sha.” Aku duduk di sebelah Wirdah sambil melepaskan sebuah keluhan.
“Tak patut Engku Rain buat begitu pada Kak Sha. Kenapa Kak Sha tak jumpa Mak Engku untuk beritahu hal ni? Mungkin Mak Engku akan terima Kak Sha.”
“Kak Sha tak dapat fikir dengan waras ketika tu. Kak Sha malu nak ceritakan kejadian tu. Hanya Shila yang tahu dan dia nasihatkan Kak Sha buat laporan polis. Tapi Kak Sha tak mahu sebab akan memalukan ayahanda dan bonda Kak Sha. Sebab tu, Kak Sha pilih untuk sambung belajar keluar Negara bagi lupakan masalah tu.”
“Adakah Kak Sha dapat lupakannya?”
 “Kak Sha tak dapat lupakan walaupun pelbagai cara Kak Sha buat termasuk yang haram. Makin lama, hidup Kak Sha makin jauh menyimpang. Tinggal di tempat asing dan bergaul dengan orang bukan Islam buat Kak Sha hidup seperti mereka. Hidup tanpa aturan agama. Tapi Kak Sha bersyukur kerana ALLAH beri kesempatan untuk Kak Sha bertaubat,” ujarku sambil tersenyum memandang Wirdah.
“Kak Sha, kalau kita nak pastikan seseorang tu anak kita atau tidak, kita boleh jalankan ujian DNAkan? Kalau Engku Rain berkeras nanti, Kak Sha buatlah ujian tu. Kalau ada maklumat tu, pasti akan tahu siapa ibu kandung Risya.”
“Betul juga. Kenapalah Kak Sha tak terfikir tadi. Lepas ni kalau Rain berkeras juga, Kak Sha akan minta kami semua buat ujian tu. Lepas tu baru boleh sahkan Risya anak siapa.”
Wirdah tersenyum melihatku. Dia menganggukkan kepala tanda setuju.
“Wirdah dah lama tinggal di sinikan?”
“Ya.”
“Tentu Wirdah tahu serba sedikit hal keluarga Mak Engku. Kak Sha hairan kenapa Mak Engku tinggal di sini seorang diri. Siapa Zain? Kenapa Raja Azrin panggil dia anak pungut?” aku menyoal seolah-olah Wirdah tahu kesemuanya.
“Setahu Wirdah, dulu tempat ni diurus oleh Raja Hussin, bapa Mak Engku. Lepas Raja Hussin meninggal, Mak Engku upah Haji Kassim untuk uruskannya. Tapi lepas tu, Mak Engku datang dan tinggal di sini. Kata Mak Engku, dia nak hilangkan rasa sedih lepas kematian Pak Engku. Abang Zain sebenarnya anak yatim piatu yang dijadikan anak angkat oleh Mak Engku. Sejak kecil lagi, Mak Engku dah pelihara dia. Walaupun tak ada pertalian darah, tapi Mak Engku sangat sayangkan dia. Abang Zain seorang yang baik dan bertanggungjawab. Dia kahwin dengan Ustazah Husna yang juga anak yatim piatu. Sekali-sekala mereka akan ke sini untuk lawat Mak Engku.”
“Baguslah begitu. Raja Azrin tu bukan boleh diharap. Kak Sha hairan kenapa dia bersungguh-sungguh nak Kak Sha mengaku sebagai mama Risya. Ajak kahwin pula tu. Kalau dulu mungkin Kak Sha akan terima dia tapi sekarang memang Kak Sha tak mahu. Abang Nain cukup membahagiakan Kak Sha.”
“Jadi, Kak Sha jangan perduli sangat kata-kata dia tadi. Abang Nain aje yang boleh sahkan yang dia memang suami Kak Sha,” ujar Wirdah sambil tersenyum.
“Betul tu. Tak perlu risau. Jomlah kita pergi makan. Kak Sha rasa mungkin Raja Azrin dah pergi masjid. Jadi tak adalah dia nak ganggu Kak Sha buat masa ni.”
Wirdah mengikutku keluar dan menuju ke dapur dewan makan. Kami makan bersama-sama penghuni perempuan yang lain. Penghuni lelaki sebenarnya telah makan terlebih dahulu sebelum ke masjid. Selesai makan, kami beramai-ramai ke surau untuk solat Zohor. Aku terus berada di surau kerana mengikuti pengajian agama yang di sampaikan oleh Ustazah Nurul Jannah. Sepanjang waktu itu aku membiarkan telefonku berada dalam mod senyap. Aku berharap apabila Iskandar menelefon, aku akan perasan. Tetapi aku hampa kerana Iskandar tidak menghubungiku.
Aku pulang sekejap ke rumah pada lewat petang untuk mandi dan menyalin pakaian. Kesempatan itu aku gunakan untuk menghubungi Iskandar. Hatiku mulai terasa pelik. Pelbagai persoalan menjelma di lubuk fikiran. Andaian buruk menerpa di minda. Kata-kata Raja Azrin tentang Iskandar yang dianggap pembohong besar, terngiang-ngiang di telinga. Sedaya upaya aku melawan perasaan itu. Aku cuba sedapkan hati sendiri dengan beranggapan yang baik sahaja.
Maghrib itu aku solat di surau dan mengikuti kuliah Maghrib. Hatiku makin tidak tenang. Apa yang disampaikan oleh Ustaz Kassim tidak menarik perhatianku. Minda asyik mengingati Iskandar.
Kenapa abang tak hubungi Sha? Adakah benar apa yang Rain kata? Kalau benar macam mana hidup Sha? bisik hatiku, mulai meragui. Astaghfirullah! Aku dalam majlis agama. Majlis untuk ingatkan ALLAH. Kenapa aku ingatkan yang lain? Fokus Sha, fokus!
Aku cuba memberi tumpuan semula tetapi agak hampa kerana Ustaz Kassim telah menutup kalamnya dengan bacaan doa. Seketika kemudian laungan azan Isyak kedengaran. Aku menunaikan solat sunat dan solat Isyak bersama jemaah yang lain. Solatku juga seolah terganggu dengan lintasan-lintasan di hati yang masih mengingati Iskandar. Aku tahu, tidak sepatutnya aku bersikap begitu tetapi apakan daya, imanku masih lemah. Syaitan mudah menyelinap dalam hati yang lalai.
“Kak Sha, kita pergi makan dulu sebelum balik ke rumah Kak Sha,” ujar Wirdah setelah kami keluar daripada surau.
“Hmm...baiklah,” jawabku lemah.
“Tak semangat aje Kak Sha malam ni,” tegur Syahmina yang ada bersama kami.
“Kak Sha risaulah Mina,” ujarku berterus terang.
Sebenarnya aku rasa selesa berbual dengan Syahmina dan Wirdah dan boleh berkongsi cerita dengan mereka berdua. Kadangkala pandangan mereka agak matang daripada usia mereka. Mungkin kemiskinan dan cara hidup di situ membuatkan mereka lebih fokus soal hidup secara Islam dan mengamalkannya. Kehidupan yang sederhana dan diberkati ALLAH.
“Kak Sha kena bertenang. Jangan fikirkan masalah yang belum Kak Sha tahu benar atau tidaknya. Kita makan dulu dan nanti kita fikirkan apa yang perlu dibuat,” ujar Wirdah sambil memegang tanganku.
Aku tersenyum melihat mereka tersenyum. Kakiku terhenti apabila aku terlihat kelibat Raja Azrin berhampiran pintu masuk untuk lelaki di dewan makan itu. Aku ingin berpatah balik tetapi kehadiran Mak Engku membuatkan aku serba salah.
“Jom masuk Sha. Kita makan sama-sama,” ujar Mak Engku, menyentuh bahuku.
Aku terpaksa menurut dengan rasa longlai. Wirdah yang terperasan keadaanku, terus menggenggam tanganku.
Be strong Kak Sha,” bisiknya perlahan.
Aku mengorak senyum dan melangkah masuk ke ruang makan. Aku dapat melihat Raja Azrin merenung aku dari jauh. Segera aku palingkan muka dan mengambil makanan yang terhidang secara buffet. Nasib baik ruang makan antara lelaki dan perempuan dipisahkan. Maka aku terselamat buat seketika daripada gangguan Raja Azrin. Mak Engku turut mengambil makanan dan duduk di sebelahku.
“Sha, Mak Engku minta maaf di atas ketelanjuran kata Rain tengah hari tadi. Mak Engku harap Sha tak marah kalau Mak Engku tanya,” ujar Mak Engku.
“Tak mengapa Mak Engku. Sha tak marahkan Mak Engku. Tanyalah apa dia?” ujarku cuba memaniskan muka.
“Mak Engku nampak Sha makan sikit sangat. Tengah hari tadi pun sikit. Malam ni pun sikit. Sha tak sihat ke?” soal Mak Engku sambil memandang wajahku.
“Sha sihat cuma fikiran Sha agak terganggu. Abang Nain tak telefon Sha dari siang tadi. Sha risaulah Mak Engku,” kataku meluahkan rasa hati.
“Sha tak telefonkah?”
“Sha dah telefon berkali-kali tapi tak dapat.”
“Sabarlah Sha. Insya-ALLAH tak apa-apa. Mungkin Nain ada hal penting dan tak sempat nak telefon. Mungkin esok-esok dia telefonlah. Lagipun bukan lama dia di sana. Tiga hari aje. Nanti baliklah tu. Usah risau,” ujar Mak Engku memujukku.
Hatiku agak terharu dengan sikap Mak Engku yang mengambil berat tentang diriku sejak hari mula aku berada di situ. Malah aku merasakan Mak Engku seperti bondaku.
“Terima kasih Mak Engku. Sha akan cuba bersabar. Malam ni Sha nak minta izin Mak Engku. Sha nak ajak Wirdah dan Mina tidur di rumah Sha. Boleh tak?”
“Boleh. Tadi pun Wirdah dan Mina dah beritahu Mak Engku. Kalau Sha ada masalah, Sha beritahu Mak Engku. Telefon pun boleh.”
Aku menganggukkan kepala dan kemudian menyambung makan. Wirdah yang berada di hadapanku tersenyum memandangku. Aku turut tersenyum kepadanya.

Ahad, 22 September 2013

KIES 9 - Bab 18/19



Bab 18

Hari ini aku cuba untuk berpuasa setelah beberapa kali aku melihat Mak Engku dan beberapa penghuni lain berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Malah Wirdah dan kawan-kawannya turut berpuasa. Aku lihat mereka cukup ceria dan seolah-olah mereka tidak letih walaupun tidak makan. Aktiviti mereka dilakukan seperti biasa. Disebabkan persekolahan telah bermula, Wirdah dan kawan-kawannya telah ke sekolah dalam keadaan mereka berpuasa sunat. Sesuatu yang mengagumkan bagiku.
Apabila aku bertanya Wirdah, dia menjawab yang dia telah terbiasa dengan amalan itu. Malah dahulu pun hidupnya susah. Jadi soal berlapar adalah perkara biasa. Termenung aku seketika mendengar cerita Wirdah. Kemiskinan dan kesusahan mengajarnya menjadi kuat. Kuat semangat dan cekal mengharungi hidup lebih-lebih lagi setelah kematian kedua-dua orang tuanya. Dia tinggal sebatang kara. Adik beradiknya hanyalah penghuni rumah anak-anak yatim itu.
“Sha tak apa-apakah?” soal Mak Engku yang melihat aku agak goyah ketika menunaikan solat sunat Zohor.
“Tak apa Mak Engku. Sha cuma rasa letih sikit. Nak berdiri pun rasa tak larat,” ujarku sambil tersenyum.
“Sha, sebenarnya harus bagi sesiapa sahaja yang bersolat sunat untuk melakukannya dalam keadaan duduk walaupun tanpa keuzuran. Jadi kalau Sha tak larat berdiri, Sha duduklah.”
Aku menganggukkan kepala tanda faham. Selesai menunaikan solat, kami meneruskan dengan pengajian al-Quran. Agak membanggakan buat diriku kerana aku mampu menghafal surah pendek dan ayat-ayat dalam solat. Malah aku juga telah mengenal huruf-huruf di dalam al-Quran. Aku bangga kerana aku mulai celik al-Quran.
Aku pulang ke rumah setelah menunaikan solat Asar. Tubuh rasa amat letih dan aku membaringkan diri di atas katil. Iskandar pulang seketika kemudian. Dia masuk ke bilik dan menegurku.
“Sayang penatkah?” soalnya sambil memicit lembut tanganku.
Aku biarkan sahaja. Terasa selesa urutannya. Hilang rasa lenguh.
“Abang, pertama kali Sha berpuasa dan Sha rasa macam nak berbuka aje. Letih dan kering tekak Sha. Tapi bila tengok Wirdah, Sha nak teruskan juga. Keadaan Wirdah buat Sha terfikir dan ingin rasa macam mana hidup orang susah. Wirdah beritahu Sha yang dia selalu makan sehari sekali aje. Pergi sekolah jalan kaki tanpa sarapan. Hidup dia susah tapi dia begitu kaya dengan budi pekerti dan taat pada agama. Pandang dia pun, hati dah rasa tenang. Tak pernah Sha jumpa remaja sebegini.”
“Sebab tu dia jadi kesayangan penghuni di sini. Nadhir tu pun tak dapat tahan hati nak dekati dia. Tapi dia macam yang Sha kenal. Tegas dalam pendiriannya, sentiasa tunduk dan patuh pada suruhan dan larangan agama. Pendek kata dia adalah contoh muslimah sejati,” Iskandar turut memuji.
Entah kenapa, aku tidak rasa cemburu ketika Iskandar memuji Wirdah padahal Wirdah adalah perempuan dan Iskandar boleh menikahinya. Malah kalau menjadi maduku pun, boleh.
“Sha sukakan Wirdah. Kalau kita jadikan dia, adik angkat kita boleh tak?” soalku sambil tersenyum.
“Adik angkat?” soal Iskandar kembali.
“Ya, adik angkat kita berdua. Kita tanggung semua perbelanjaan dia. Jika boleh, Sha nak hantar dia belajar ke luar negara. Mesir atau Jordan seperti yang dia impikan.”
Iskandar tersenyum dan kemudian menganggukkan kepala.
“Kalau Sha rasa nak ambil dia jadi adik, abang setuju aje. Nanti Sha beritahu Mak Engku dan dia. Sha kena terima apa aje keputusan Wirdah sebab dia berhak memilih untuk menjadi adik kita atau tak.”
“Baiklah. Nanti Sha tanyakan pendapat Mak Engku.”
“Sha nak makan apa hari ni? Biar abang masak sebagai meraikan Sha berpuasa hari ni,” ujar Iskandar setelah lama kami mendiamkan diri.
“Abang masak apa aje pun tak apa. Sha akan makan.”
Jika dahulu aku sering memilih dan cerewet ketika makan, tetapi kini perangai itu telah dapat aku hindari. Sekarang, aku boleh makan apa sahaja yang terhidang di hadapanku. Janji halal dan bersih, aku akan makan. Aku belajar mensyukuri rezeki yang ALLAH beri.
“Kalau begitu, abang nak masak nasi ayam Hainan buat Sha.”
“Wah! Sedap tu. Sha nak tengok cara abang masak,” kataku dengan wajah teruja.
Sejak akhir-akhir ini apa sahaja yang dimasak oleh Iskandar amat sedap pada tekakku. Aku akan makan sehingga habis apa sahaja yang Iskandar hidang. Sebenarnya Iskandar lebih banyak memasak berbandingku. Aku memang tidak pandai dalam soal ini dan lebih banyak melihat. Iskandar akan menerangkan padaku langkah untuk memasak dan kerap kali aku akan menolongnya.
“Sha boleh tahankah? Takut nanti tengok ayam, tak tahan nak buka puasa pula.”
“Insya-ALLAH Sha akan tahan.”
Sejak berada di tempat ini aku telah pandai menggunakan perkataan Insya-ALLAH, ALHAMDULILLAH dan SUBHANALLAH.
“Kalau begitu, jom tolong abang di dapur.”
Aku bingkas bangun dan mengekori langkah Iskandar ke dapur. Iskandar menyuruhku duduk di kerusi sambil memerhati kerja-kerja yang dilakukannya. Iskandar mengeluarkan ayam yang telah dibersihkan dari peti sejuk. Aku hanya memerhati Iskandar memerap ayam dengan memasukkan kicap, minyak bijan, bawang putih yang ditumbuk dan sedikit garam. Dia kemudiannya menumis bawang dan memasukkan air ke dalam periuk. Kiub ayam turut dimasukkan. Beras dibasuh dan ditoskan di dalam bekas penapis.
“Kenapa abang tak masukkan beras tu dalam air?” soalku kehairanan.
Setahu aku apabila hendak memasak nasi, beras dimasukkan bersama-sama air.
“Kena didihkan air dulu baru boleh masukkan beras. Ini petua nak masak nasi yang ada perencah macam nasi tomato, nasi beriani atau nasi ayam. Kawan abang yang kerja chef beritahu abang. Nasi mudah masak dan tak mentah.”
“Oooo....” Aku berbunyi begitu dengan mulut dimuncungkan seolah aku memahami apa yang Iskandar terang.
“Panjangnya O. Faham tak?” ujar Iskandar dengan senyuman.
Aku cepat menggeleng tanda tidak faham. Berderai tawa Iskandar. Aku turut ketawa. Iskandar meneruskan kerjanya dan aku menolongnya mengupas kulit timun. Ayam yang diperap tadi dikukus oleh Iskandar. Terpesona aku melihat tingkah Iskandar. Dalam diam aku mengaguminya.
Ada pendapat menyatakan apabila lelaki memasak, mereka nampak seksi. Aku tidak tahu tetapi dia memang kelihatan sungguh menarik dalam apron berbelang biru. Orang cakap, ‘hot stuff’. Memang hot! Tambahan pula berada di dapur dan menggunakan api. Merenik peluhnya di dahi. Aku begitu asyik merenung Iskandar sambil menompang dagu di meja.
“Kenapa tenung abang macam tu? Sha kena ingat Sha masih berpuasa. Jangan nanti terbatal puasa sedangkan tak sampai sejam lagi nak berbuka. Abang ni tak apalah sebab tak puasa.” Kata-kata Iskandar menyedarkan aku yang terleka.
“Tak faham. Apa maksud abang?”  Aku kerut dahi berfikir sejenak.
 “Sha renung-renung, takut abang tergoda. Nanti Sha yang susah,” ujar Iskandar lalu ketawa.
Aku menampar geram bahunya. Suka benar dia mengenakan aku. Aku pula kadangkala lurus bendul. Memang jadi bahan gurauan Iskandar. Tetapi selalunya aku tidak marah. Sekadar geram sayang. Siapa tak sayang suamikan?
Iskandar menghidang makanan dan aku menolongnya. Setelah kedengaran azan, Iskandar membacakan doa. Buat pertama kalinya aku berbuka puasa. Kurma yang tidak aku pandang suatu ketika dahulu, kini masuk ke perutku. Terasa segar dan manis kurma yang kumakan. Semanis perasaanku kini. Aku berbangga kerana berjaya menahan diri sepanjang hari daripada lapar dan dahaga. Mungkin beginilah rasanya perasaan orang yang susah. Berlapar kerana terpaksa. Tiada makanan untuk dimakan. Tetapi apabila dapat menjamah makanan, begitu nikmat terasa.
“Abang, bagaimana Wirdah dapat menahan lapar sedangkan dia masih kecil waktu ibu bapa dia masih ada? Tentu perit hidup dia. Makan sehari sekali dan kadangkala berlaukkan ikan kering atau sayur yang dikutip aje. Bapa dia pula tak mampu nak sedia makanan yang sempurna,” ujarku yang tiba-tiba teringatkan cerita Wirdah tentang kehidupannya diwaktu kecil.
Bapa Wirdah sebenarnya buta dan hanya melakukan kerja-kerja menghasilkan barang kraf. Barang itu dijual kepada peraih dan di pasar sehari. Ibu Wirdah akan menolong bapanya ketika mereka menjual di pasar sehari. Mereka dilanggar lari oleh sebuah kereta ketika pulang daripada menjual. Disebabkan itu, Wirdah menjadi yatim piatu dalam usianya masih mentah.
“Itulah salah satu hikmah berpuasa. Kita akan dapat merasa penderitaan orang yang tidak berkemampuan ataupun saudara kita yang ditimpa peperangan atau bencana. Macam di Palestin atau Kemboja. Rakyat hidup susah dan makan ala kadar.”
“Untung kita hidup di Malaysia. Serba mewah hingga kadangkala makanan terbuang begitu aje. Dulu Sha pun macam tu. Kalau tak suka makanan tu, Sha buang. Lepas tu beli yang lain. Perangai Sha begitu buruk masa tu. Ada ketika Sha hina makanan yang terhidang padahal itulah rezeki Sha. Sha tak tahu bersyukur,” ujarku menginsafi diri.
“Bersyukurlah sebab Sha dah sedar. Abang bangga dengan Sha sebab mahu berubah. Dulu abang sangka abang perlukan masa yang panjang untuk bentuk diri Sha tetapi rupanya ALLAH permudahkan tugas abang. Mungkin berkat doa bonda yang memang nak lihat Sha berubah. Bonda yang beria-ia minta abang tolong ubah Sha.”
“Bonda? Bukan ayahanda yang jodohkan kita?” soalku sambil memandang tepat ke wajah Iskandar.
“Ayahanda setuju setelah bonda yakinkan ayahanda. Masa tu, ayahanda takut Sha bertindak liar dan terus menjauh daripada mereka kalau tahu yang Sha akan dikahwinkan dengan abang. Bila Sha kata setuju, terus ayahanda atur perkahwinan kita dan jadi wakil Sha.”
Aku terdiam dan tertunduk menahan rasa sebak. Ingatan terhadap bonda dan ayahanda seringkali buat aku ingin menangis. Iskandar yang terperasan akan perubahan wajahku segera memegang tanganku seolah memujukku.
“Maafkan abang jika kata-kata abang buat Sha sedih.”
“Tak apa. Sesekali teringat Sha rasa sedih. Tapi Sha, okey. Abang jangan risau,” ujarku sambil mengorak senyum kepada Iskandar.
“Cepat habiskan makanan tu. Kata nak ke surau tadi.”
Aku mengangguk dan menyambung makan. Selesai makan, aku menolong Iskandar mengemas dan kemudian bergerak mengambil wuduk. Kami solat maghrib bersama-sama dan kemudian melangkah menuju ke surau untuk mengikuti pengajian agama.



Bab 19

Selama tiga bulan aku menjalani kehidupan yang aman damai di Darul Durrani. Aku sudah mampu melakukan ibadat solat wajib dan solat-solat sunat dengan baik. Malah aku sudah mampu membaca al-Quran walaupun masih bertatih. Kegiatan harianku banyak dipenuhi dengan pengisian agama. Di masa lapang aku turut membantu anak-anak yatim di situ dalam bidang pelajaran terutama Bahasa Inggeris. Iskandar sentiasa ada untukku dan dia terus memberi semangat serta kekuatan buatku.
“Sayang, berat rasa hati abang nak tinggalkan sayang untuk tiga hari di sini. Sepanjang abang tak ada, sayang jaga diri. Kalau sunyi, sayang boleh ajak Wirdah dan yang lain tidur di sini,” ujar Iskandar setelah selesai kami bersarapan.
Iskandar memberitahuku bahawa dia terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana ada sedikit urusan keluarga di sana. Aku tidak diberitahu urusan apa tetapi dia menyatakan abah dan ibunya akan pulang dari New Zealand. Disebabkan aku masih tidak selamat untuk bebas ke sana sini, jadi aku memilih untuk terus tinggal di sini. Walaupun hati rasa keberatan untuk berpisah, tetapi aku terpaksa akur.
“Baiklah. Tapi Sha harap abang telefon Sha selalu.”
Sebelum ini Iskandar telah membeli telefon dan nombor yang baru buatku. Tetapi aku hanya dibenarkan untuk menghubunginya sahaja. Ini untuk mengelakkan aku dikesan musuh. Jika tidak dipesan pun, aku memang tidak mahu menghubungi sesiapa selain dia. Padaku, hidupku di sini lebih bermakna dan aman. Kehidupanku yang lalu ingin aku tinggalkan. Malah aku rasa malas untuk mengambil tahu hal syarikatku. Padaku harta dan kekayaan itulah yang membuat aku terpisah dengan kedua ayahanda dan bonda. Aku tak mahu disebabkan harta itu, aku terpisah pula daripada Iskandar.
“Abang akan telefon Sha setiap malam. Kalau waktu siang, abang akan hantar mesej jika perlu. Abang tak mahu ganggu waktu Sha belajar.”
“Sha akan tunggu abang telefon setiap malam. Sha nak abang teman Sha tidur seperti selalu walaupun hanya suara abang yang Sha dengar.”
Iskandar tersenyum sambil menarikku ke dalam pelukannya. Lama kami dalam keadaan itu. Terasa begitu sukar untukku melepaskannya pergi. Air mata yang kutahan mengalir juga.
“Jangan menangis, sayang. Abang pergi sekejap aje. Selesai kerja abang, abang akan pulang secepat mungkin. Sha tunggu abang dan jangan nakal-nakal,” ujar Iskandar sambil menyeka air mataku.
Aku tersenyum dan menggenggam tangannya. Tangan itu kukucup lama sebelum aku lepaskannya.
“Abang jangan lupakan Sha, ya.”
“Abang tak mungkin lupa permaisuri hati abang. Sha sabar, ya. Nanti lepas kes ni selesai, kita bebas ke mana aje. Masa tu abang nak bawa Sha honeymoon di Switzerland.”
Aku tersenyum membayangkannya.
“Tak sabar rasanya Sha nak ke sana dengan abang. Sha harap kes ni cepat selesai. Polis masih tak dapat bukti siapa yang terlibat?”
“Masih samar-samar tapi suspek utama, Ayah Bad. Dia ada motif yang kuat untuk rampas syarikat dan harta benda Sha. Sekarang dia berkuasa penuh dalam syarikat Sha setelah Sha serah semua urusan pada dia. Cuma abang tertunggu-tunggu apa tindakan dia seterusnya.”
“Bagaimana kalau Sha lepaskan semua saham pada dia? Sha rasa harta tu buat Sha kehilangan orang tersayang. Sha nak hidup aman di sini. Biar kita hidup susah, janji kita bersama. Boleh tak abang jumpa Ayah Bad dan bincang soal ni. Kita buat perjanjian dengan dia. Sha serah harta dan dia beri kebebasan buat Sha. Jadi dengan itu kes ni akan selesai. Soal dia terlibat atau tidak dengan pembunuhan ayahanda dan bonda, kita serahkan hal itu pada polis.”
“Tapi syarikat tu adalah titik peluh ayahanda. Takkan Sha nak lepaskan begitu aje?”
“Apa ada pada harta jika nyawa galang gantinya?” soalku sedikit geram. Aku bersungguh untuk memudahkannya, Iskandar pula seolah menyukarkannya.
“Abang tak mahu Sha menyesal kemudian hari. Tapi kalau Sha bersungguh, nanti abang jumpa peguam dan bincang soal ni. Kena minta pendapat dia dulu. Abang nak buat perjanjian secara rasmi dan minta jaminan Ayah Bad supaya hidup kita tidak akan diganggu lagi selepas ni,” ujar Iskandar seolah memujukku.
“Baiklah. Abang boleh jumpa peguam ayahanda. Minta dia uruskan soal ni. Kalau boleh, Sha nak urusan ni disegerakan.”
“Baiklah, boss.” Iskandar menarik hidungku.
Aku terjerit kecil sambil menggosok hidung yang pastinya telah memerah. Iskandar ketawa dan aku turut ketawa bersamanya. Iskandar mencapai kunci van dan menyalami aku sebelum melangkah keluar. Sempat juga dia menghadiahkan ciuman di dahiku. Aku melambaikan tangan dengan linangan air mata. Aku memerhati hingga van itu hilang daripada padangan mata.
Ketika aku ingin melangkah ekor mataku sempat melihat ada sebuah kereta CRV memasuki perkarangan rumah anak-anak yatim. Mungkin pembekal atau penderma yang ingin berjumpa Mak Engku,  fikirku. Aku menyambung langkah dan memasuki rumah. Ketika aku ingin menutup pintu, mataku terpandang arah pemandu CRV tadi. Hatiku seolah terhenti berdegup melihat wajahnya. Tetapi aku tidak pasti kerana hanya nampak dari arah tepi.
Betulkah dia atau orang lain? Kalau betul, apa harus aku buat? bisik hatiku penuh cuak.
Aku membiarkan daun pintu renggang agar dapat aku pastikan orang itu. Lelaki itu turun daripada keretanya tetapi wajahnya tidak begitu jelas. Mungkin kerana jarak rumah Mak Engku dan tempat aku mengintai, agak jauh. Tambahan pula, dia sedang berbual di telefon dan tangannya menghalang sebahagian mukanya. Aku dapat melihat Batrisya berlari ke arah lelaki itu. Lelaki itu merendahkan diri lalu memeluk dan mendukung Batrisya. Batrisya kelihatan sangat gembira. Aku hanya dapat melihat belakang lelaki itu yang melangkah masuk ke rumah Mak Engku.
Hmm...ayahanda Batrisya rupanya. Bukan dialah, bisik hatiku meyakinkan diri sendiri. Tetapi kenapa debar hatiku masih ada? Seolah lelaki yang kulihat tadi adalah Raja Azrin Shah.
Tanpa mahu memikirkan persoalan itu, aku melangkah ke dapur dan membasuh pinggan yang berada di singki. Tengah hari nanti aku bercadang untuk makan bersama-sama Wirdah dan anak-anak yatim yang lain. Selesai melakukan kerja mengemas, aku melangkah keluar menuju arah dewan makan untuk mencari Wirdah.
Aku terpaksa melalui jalan hadapan rumah Mak Engku untuk ke dewan makan. Sempat aku mengerling nombor plat CRV yang tertera.
Plat Wilayah. Betullah ni ayahanda Batrisya bukan mangkuk tu, bisik hatiku.
Batrisya pernah memberitahuku bahawa ayahandanya bekerja di Kuala Lumpur. Aku terus melangkah tanpa melihat rumah Mak Engku. Wirdah, kulihat sedang duduk di meja batu di bawah pokok tidak jauh dari dewan makan. Mungkin dia sedang mengulangkaji pelajaran kerana terdapat beberapa buku di atas meja. Begitu tekun dia mencoret sesuatu di buku.
“Assalamualaikum,” aku memberi salam lalu duduk di sebelahnya.
“Waalaikumusalam,” Wirdah tersenyum sambil menjawab salamku.
“Wirdah seorangkah? Mana kawan-kawan yang lain?”
“Syahmina balik ke bilik dan Izyan ke tandas sekejap. Kak Sha tolonglah ajar Wirdah Bahasa Inggeris ni. Wirdah tak pandai nak buat ayat,” pinta Wirdah dengan muka mengharap. Tampak comel wajah itu di mataku.
Aku anggukkan kepala dan melihat bersama-samanya buku yang terbentang. Aku menerangkan cara membuat ayat untuk karangannya. Wirdah begitu tekun mencatat segala ajaranku dan sesekali bertanya maksud perkataan yang tidak difahaminya. Izyan menghampiri kami berdua dan memberi salam. Kami menjawab salam Izyan serentak. Izyan mengambil tempat di sebelahku. Aku terus membantu mereka berdua mengulangkaji pelajaran.
Aunty!” panggil Batrisya yang muncul di situ secara tiba-tiba.
Aku dapat melihat wajahnya yang kemerahan dan berpeluh. Pasti dia berlari sebentar tadi.
“Ya, Risya. Risya cari aunty ke?” soalku sambil tersenyum.
“Ayahanda nak jumpa aunty,” ujar Batrisya sambil menunjuk arah lelaki yang sedang berdiri tidak jauh dari situ.
Berderau darahku melihat lelaki itu. Aku pandang Batrisya dan kemudian lelaki itu. Patutlah wajah Batrisya membuat aku teringatkan dia. Lelaki yang pernah bertahta di hatiku. Lelaki yang mengharu-birukan hidupku. Batrisya begitu mirip wajah Raja Azrin. Rupanya benar gerak hatiku tadi. Memang itu Raja Azrin Shah.
Aku alihkan wajahku ke arah Wirdah. Wirdah dan Izyan memerhati tingkahku. Aku tahu mereka pasti hairan kerana aku membelakangkan Batrisya. Tidak pernah aku bersikap begitu bila bersua Batrisya sebelum ini. Selalunya aku layan Batrisya dengan sangat mesra.
Aunty Sha,” panggil Batrisya lagi.
Aku palingkan sedikit wajahku untuk melihat Batrisya. Dalam hati rasa kasihan padanya tetapi aku perlu bertegas. Tak mahu aku mengulangi kisah silam atau mengharapkan dirinya lagi. Segalanya telah aku noktahkan setelah hatiku, kuserah pada Iskandar.
“Maafkan aunty. Aunty tak mahu jumpa ayahanda Risya. Uncle Nain tak ada di sini. Jadi aunty rasa tak manis buat begitu. Risya pun tahukan? Macam yang ustazah pernah ajar. Lelaki dan perempuan bukan mahram tak boleh berjumpa berduaan. ”
Aku beralasan sehabis baik untuk tidak mengecilkan hati Batrisya.
Aunty jangan risau, Risya ada. Bukan nak jumpa berdua.” Risya cuba memujuk.
Wirdah dan Izyan hanya memerhati tanpa kata. Sesekali mata mereka mencuri pandang ke arah Raja Azrin.
“Tapi aunty...”
“Maaf Risya, aunty tak boleh.”
“Tengku Kiesha Khalila! I nak cakap dengan you sebentar.”
Terdengar suara Raja Azrin yang berdiri di belakang Batrisya. Aku tak tahu bila dia menghampiri kami. Mungkin kerana aku memusingkan badan membelakanginya, jadi aku tidak perasan.
“Maaf. Saya tak kenal awak. Jadi, jangan ganggu saya.”
Aku masih membelakanginya. Aku melihat wajah Wirdah. Cuba mencari kekuatan diri ketika itu. Wirdah yang seolah memahami, menggenggam tanganku. Matanya lunak menyapa wajahku.
“Tak kenal atau pura-pura tak kenal?” soal Raja Azrin.
Aku tunduk mendiamkan diri.
“Risya, kalau Risya nak tahu inilah mama Risya. Mama yang lahirkan Risya bukan bonda,” ujar Raja Azrin mengejutkan semua di situ.
“Apa maksud kau ni Rain?” soalku marah. Aku bingkas bangun menghadapnya.
“Kenal pun rupanya. Tadi sombong sangat,” kata Raja Azrin sambil mencebikkan bibirnya.
“Ayahanda, betulkah ni mama Risya? Mama kandung Risya?” soal Batrisya sambil melihat aku dan Raja Azrin, silih berganti. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.
“Ya, sayang. Inilah mama Risya yang sebenarnya. Ayahanda ambil Risya di hospital selepas mama Risya lahirkan Risya. Masa tu bonda Risya baru kehilangan baby yang lahir tak cukup bulan. Mama Risya pula tak mahukan Risya. Jadi, ayahanda ambil dan bawa Risya jumpa bonda. Bonda sukakan Risya dan anggap Risya seperti anak dia sendiri,” ujar Raja Azrin sambil tersenyum memandangku.
Hatiku terasa menggelegak.
“Oh! Rupanya kaulah yang curi Risya masa di hospital tu. Kau memang tak berhati perut!” mulutku menghamburkan kemarahan.
Tanpa sedar, aku terus meluru ke arah Raja Azrin. Inginku tumbuk dan patah-patahkan tulangnya. Biar dia tahu perasaan sakit hatiku. Tangan yang kulayangkan ke muka Raja Azrin dapat ditangkap olehnya. Aku cuba menendang tetapi dia pantas mengilas tanganku ke belakang. Aku mengadui kesakitan. Tenaga wanita tidak mampu mengatasi tenaga lelaki.
“Kiesha! Berhenti meronta dan ikut I jika tak mahu terus jadi perhatian ramai,” ucap Raja Azrin hampir di telingaku.
Aku berhenti meronta dan melihat ke hadapan. Ramai anak-anak yatim yang memerhatikan kami. Wirdah cuba membantu aku tetapi langkahnya terhenti apabila Raja Azrin mengangkat tangan dan mengisyaratkan agar berhenti.
“Lepaskan aku!”
“I akan lepaskan you, sayang. Tapi ikut I. Kita perlu selesaikan hal ni.”
“Baiklah. Tapi aku nak bawa Wirdah sekali. Tak elok jika hanya kita berdua.”
“Okey. I akan bawa Risya dan Wirdah untuk temankan you.”
Raja Azrin melepaskan tangannya. Aku menggosok-gosok tangan yang dikilas tadi. Terasa masih sakit kerana Raja Azrin mengilas dengan agak kuat. Wirdah dan Izyan menghampiriku.
“Hanya Wirdah yang boleh ikut. Yan tunggu di sini,” ujar Raja Azrin memberi arahan.
Aku melihat wajah Wirdah dan Wirdah mengangguk tanda setuju. Aku memegang tangan Wirdah dan mengikut langkah Raja Azrin yang telah bergerak bersama-sama Batrisya. Sesekali Batrisya menoleh untuk melihatku. Aku tahu Batrisya pasti keliru saat ini. Kami tiba di kereta Raja Azrin. Batrisya terlebih dahulu masuk ke dalam kereta dan duduk di ruang hadapan bersebelahan pemandu. Raja Azrin membuka pintu belakang untukku dan Wirdah.
“Azrin!” panggil Mak Engku.
Dia menyarungkan sandalnya dan bergerak ke arah kami dalam keadaan gopoh- gapah. Dia cuba menghalang Raja Azrin daripada membawaku.
“Bonda, biar Rain selesaikan hal ni dengan Kiesha. Bonda tak perlu campur tangan.”
“Rain, dengar cakap bonda. Sha isteri orang. Jangan buat begini, berdosa. Tak baik nak runtuhkan masjid yang telah terbina.”
“Bonda... Si Nain tu dah bohongkan Kiesha dan bonda. Dia tak pernah pun kahwin dengan Kiesha. Rain tahulah sebab Rain ikuti perkembangan diri Kiesha. Mana ada majlis akad nikah antara mereka berdua. Kalau bonda tak percaya, cuba tanya Kiesha bila tarikh dan masa dia bernikah.”
Aku dan Wirdah hanya memerhati perdebatan kedua-dua beranak itu. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku boleh mendiamkan diri. Ingin aku dengar cerita Raja Azrin tentang Iskandar. Mungkin kerana perasaan curigaku terhadap Iskandar masih terselit di hati.
“Sha, cuba beritahu Mak Engku betul atau tidak apa yang Rain kata?” soal Mak Engku sambil memandang tepat ke wajahku.
 “Abang Nain beritahu Sha yang kami dinikahkan oleh ayahanda dua minggu sebelum kejadian pembunuhan tu. Kalau tak silap pagi hari Khamis, 15 Mac lepas. Akad nikah di pejabat kadi.”
“Kiesha, you ada tak surat nikah untuk sahkan hal ni?” soal Raja Azrin.
“Abang Nain beritahu dia tertinggal surat nikah di Kuala Lumpur dan yang Sha punya ada dalam simpanan ayahanda. Ayahanda tak sempat nak beri pada Sha sebab lepas akad nikah tu, ayahanda dan Abang Nain ke Madinah,” ujarku dengan yakin.
“Bodoh betul you ni, Kiesha. Mudah kena tipu. Nain tu pembohong besar. I kenallah dia tu. Pasti dia nak tipu dan rampas harta you.” Raja Azrin mencebik mulutnya. Hatiku makin panas mendengar tuduhan itu.
“Kalau you dah kenal sangat hubby I, cuba you beritahu kenapa you panggil dia pembohong besar?” soalku dengan nada yang kian tinggi.
“Sha... Rain... lebih baik kita semua masuk ke dalam rumah untuk bincang soal ni. Tak perlu keluar sebab Sha tak minta izin Nain. Lagi pun Nain dah pesan pada Mak Engku agar tengok-tengokkan Sha waktu dia tiada di sini,” ujar Mak Engku perlahan tetapi tegas.
Aku mengangguk dan memegang tangan Wirdah. Padaku Wirdah perlu ada untuk menyuntik semangat buat diriku.
“Wirdah tak perlu ada jika kita tak keluar,” ujar Raja Azrin Shah apabila melihat Wirdah mengikutku.
“Jika Wirdah tak ada, Sha tak nak berbincang. Wirdah adik Sha dan Sha perlukan dia.” Aku bertegas.
“Baiklah. I tak ada masalah. Cuma takut you yang termalu nanti dengan Wirdah,” perli Raja Azrin.
Aku menjeling marah pada Raja Azrin tetapi aku tetap memasuki rumah Mak Engku. Aku perlu pertahankan apa yang aku miliki sekarang. Tidak mahu lagi aku menoleh ke belakang. Sejarah silam perlu dilenyapkan.