Pengikut

Ahad, 6 Julai 2014

Tergolek Hatiku Kerana Kamu


Bakal terbit september ini...tunggu ye....

Bab 1
Kesepian mengundang lara di hati. Kematian kedua-dua ayahanda dan bonda beri impak mendalam di jiwaku. Sangkaku, tanpa mereka aku tak mengapa. Konon tabah, konon degil. Tapi baru dua minggu mereka pergi, hidupku jadi huru hara. Perit getir makin terasa. Apatah lagi, diriku pula jadi sasaran musuh.
Pandangan kosong kulemparkan ke arah Inspektor Azni. Hampir tiga hari aku tinggal bersama Inspektor Azni di rumahnya. Pilihanku sendiri, demi keselamatan diri. Kini aku akan dipindahkan ke tempat yang masih dirahsiakan. Atas persetujuanku juga. Vest kalis peluru yang terdampar di hadapanku, aku tolak ke tepi. Inspektor Azni yang melihat perbuatanku menghampiri.
“Tengku Kiesha Khalila tolong bagi kerjasama! Pakai baju ni untuk keselamatan.” Tegas arahan Inspektor Azni. Apabila dia menyebut nama penuhku, bermakna dia serius.
Mahu tak mahu, aku terpaksa sambut hulurannya. Lambat-lambat kutanggalkan blaus dan sarung vest kalis peluru. Inspektor Azni menolongku mengenakan butang vest. Bila selesai, aku pakai semula blausku. Inspektor Azni tersenyum sekilas. Puas hati barangkali.
“Kita dah boleh gerak sekarang. Skuad pengiring pun dah siap sedia kat luar.”
Aku angguk dan turut langkah Inspektor Azni keluar dari rumah itu. Sebuah Alphard putih dengan pintu terbuka menantiku. Aku diarah masuk ke dalam. Tanpa soal, aku patuh. Aku tahu tugas mereka lindungi nyawaku.
“Azni, saya nak call Ayah Bad jap. Nak bagi tau yang saya selamat,” pintaku setelah beberapa ketika.
“Okey, jap je tau. Tapi jangan bagitau arah kita, takut ada orang curi dengar,” arah Inspektor Azni.
Aku angguk, faham. Sejak semalam aku tidak dibenarkan hubungi sesiapa. Mereka nak pastikan keadaan terkawal dan selamat. Aku dail nombor Ayah Bad atau nama sebenarnya Tengku Badrul Zaman, bapa saudara yang aku sayangi. Ayah Bad, sangat ambil berat tentang diriku lebih-lebih lagi setelah kejadian pembunuhan kedua-dua bonda dan ayahanda. Hati terasa gembira apabila Ayah Bad menjawab panggilanku.
“Syukurlah Kiesha selamat. Ayah Bad bimbang sangat tak dapat hubungi Kiesha. Kiesha ada kat mana sekarang?” Tengku Badrul Zaman bersuara girang.
“Ayah Bad jangan risau. Kiesha on the way ke tempat perlindungan. Kami dah masuk lebuh raya arah utara. Tapi Kiesha tak boleh bagitau Ayah Bad tempat tu.”
“Takpe Kiesha. Janji Kiesha selamat. Ayah Bad tak mau kehilangan Kiesha pulak.”
“Sepanjang Kiesha takde, Ayah Bad tolong tengokkan syarikat, ye.”
“Jangan bimbang. Ayah Bad akan jaga syarikat dengan baik. Nanti bila kes ni selesai, Kiesha ambil alih balik syarikat tu. Ayah Bad akan tunggu Kiesha.”
“Terima kasih, Ayah Bad. Jika takde Ayah Bad, Kiesha tak tahu nak buat macam mana.”
“Dah kewajipan Ayah Bad jaga Kiesha. Ayah Bad sayangkan Kiesha dan tak mahu Kiesha diapakan pulak. Polis pun masih tak dapat tangkap pembunuh tu. Jadi, Kiesha perlu jaga diri baik-baik tau. Nanti bila dah sampai, Kiesha bagitau Ayah Bad ye.”
“Okey. Kiesha minta diri dulu.”                
“Eh, Kiesha! Riz kirim salam. Dia ada kat sini. Dia pun risaukan Kiesha.”
“Oh, Riz pun ada? Bagitau dia yang Kiesha okey je. Nanti Kiesha call dia bila lapang.”
Terlayar di minda wajah kacak sepupuku, Tengku Budriz anak Tengku Badrul Zaman dengan isteri keduanya Tengku Indah Maheran.
“Okey. Bye Kiesha.”
Bye.”
Telefon kucampak ke dalam beg sandang. Mataku sempat kerling Inspektor Azni yang asyik bercakap di telefon. Dua anggota polis lelaki di hadapanku dalam keadaan siap sedia, awasi jalan. Pemandu Alphard pula memandu dengan tenang. Aku bersandar dengan mata terpejam. Mengharap encik mimpi datang bertandang.
“Puan!!”
 Tempikan kuat mengejutkanku. Terpisat-pisat aku bangun. Sebuah kereta pacuan empat roda memintas laju. Beberapa das tembakan dilepaskan. Peluru melayang-layang mengenai cermin dan dinding kereta. Mataku celik luas. Jantung seolah berhenti berdegup. Aku terkaku. Takut dan panik meresap kalbu. Inspektor Azni menarikku agar meniarap. Badannya dijadikan perisai melindungi tubuhku. Kereta yang kami naiki hilang kawalan. Menghentam tembok. Pemandu tersepit di tempat duduk. Kepala terkulai. Darah membasahi wajah.
“Tengku! Tengku okey?” Inspektor Azni, cemas. Dia segera memeriksa tubuhku.
“Okey.”
“Saya akan lindungi Tengku. Jangan bangun, terus meniarap,” bisiknya. Matanya tajam mengawasi keadaan di luar.
Dua anggota polis yang bersama kami, berbalas tembakan dengan penyerang. Aku pejamkan mata. Takut dengar bunyi tembakan yang kuat. Jantungku bagaikan luruh. Tak tahu apa yang perlu aku lakukan.
“Kita terkepung puan!”
“Terus bertahan. Saya dah minta bantuan.”
Aku tidak tahu bila masanya dia minta bantuan. Mungkin aku terlalu takut hingga tak dengar apa-apa kecuali bunyi tembakan sahaja. Menggeletar tubuhku tiap kali bunyi tembakan mengenai dinding kereta. Kepada siapa harusku gantung pengharapan agar nyawaku tidak berakhir di sini? Adakah kepada Allah sedangkan aku tidak pernah sujud kepada-Nya? Tanpa sedar mulutku menyebut nama Ilahi.
‘Ya Allah, selamatkanlah diriku, ya Allah!’ Doaku dalam hati. Doa orang berdosa. Orang yang selama ini menjauhi Allah kerana mengejar keseronokan dunia.
Keadaan jadi semakin genting apabila kedua-dua polis itu tewas dalam drama tembak menembak. Bunyi derap kaki semakin jelas menghampiri kami.
“Azni, saya takut.” Air mata berlinangan. Terasa nyawaku di hujung tanduk.
“Saya akan lindungi Tengku. Jangan bangun,” arah Inspektor Azni.
 Tangannya pantas memasukkan peluru ke pistol. Dia panggungkan kepala dan melepaskan tembakan. Aku terus berdoa. Malu menerpa ke dasar hati. Sekian lama aku tidak menyebut nama Ilahi. Aku begitu sombong dan riak dengan kekayaan ayahandaku yang merimpah ruah hingga aku lupa segalanya. Sedangkan itu adalah daripada Allah.
Aku sedar yang aku abaikan segalanya. Rukun Iman dan rukun Islam aku tolak ke tepi. Agamaku hanya tertera di kad pengenalan bukan di hati. Hidupku bergelumang dosa. Dalam keadaan terdesak, tahu pula aku mengingati Allah. Hati mengutuk diri sendiri.
Tembakan makin mendekat. Menarik pergi semangatku. Dapat aku rasakan pintu kereta di buka kasar. Serentak dengan itu tubuh Inspektor Azni menghempap belakangku. Aku toleh sedikit dan terpandang wajahnya yang dipenuhi darah, terkulai di atas kepalaku. Darahnya menitis mengenai pipiku. Aku ingin jerit tetapi mulutku seakan terkunci. Diri dibius ketakutan. Aku tahu bila-bila masa sahaja ajalku akan tiba.
“Ya Allah, Ya Allah! Ampunkanlah segala dosaku. Berilah peluang untukku bertaubat kepada-Mu. Aku janji akan berubah. Selamatkanlah diriku Ya Allah.”
Aku terus berdoa dan berjanji dengan getaran hebat di dada. Menggigil seluruh tubuhku. Seluruh urat nadiku seolah telah membeku. Kematian terbayang di mata. Ketakutan bermaharaja di jiwa. Tiada daya upayaku di saat itu kecuali menyerah pada Yang Esa.
‘Ya Allah... tolonglah,’ rayuku dalam hati.
 “Cepat alihkan dia!” Terdengar suara memberi arahan.
Aku dapat rasakan tubuh Inspektor Azni sedang dialihkan. Air mataku makin laju membasahi pipi. Aku pasrah jika begini pengakhiran hidupku. Mataku pejam serapat-rapatnya. Bimbang  jika aku buka mata, aku akan melihat pistol yang akan menghancur lebur kepalaku. Makin kuat aku berdoa memohon keampunan Ilahi. Terdengar picu ditarik.
Hatiku mengucap kalimah syahadah berulang kali. Menunggu saat kepalaku bersepai. Tentu sakit dan azab kematianku. Malaikat maut tentu merentap nyawaku dengan kasar sesuai dengan dosa-dosaku yang menggunung. Aku takut. Benar-benar takut. Terasa sia-sia hidupku selama ini. Segala apa yang aku banggakan tidak dapat membantuku. Adakah Allah akan ampunkan segala dosaku? Taubat di hujung nyawa, adakah diterima Allah?
‘Ya Allah, jika ini pengakhiran hidupku, ampunkanlah dosaku ya Allah. Allah... Allah... Allah,’ bisik hatiku pasrah. Saat kematian mendekati, aku hanya mampu menyebut nama Ilahi.
Tembakan kuat bergema di hujung kepala. Jantungku seakan terhenti. Suasana hening menyelubungi diri. Adakah aku telah mati? Mataku masih tertutup rapat. Telingaku menangkap suara mengerang kesakitan. Tiba-tiba, tubuhku ditarik. Aku cuba melawan dan meronta walaupun aku tahu, aku tidak mungkin terselamat.
 “Ku Kiesha, berhenti meronta! Saya kawan Azni.” Lelaki yang menarikku, memperkenalkan diri.
Aku segera memeluknya, erat. Sangat erat sebenarnya kerana aku dapat mendengar degupan jantungnya. Terasa kehadirannya amat bererti saat aku di ambang maut. Seolah dia ‘malaikat penyelamatku’. Pelukanku dileraikannya. Mukanya tampak sedikit terkejut dengan perbuatanku.
“Kita perlu beredar. Cepat gerak!” tegas lelaki itu sambil menyelitkan pistol semi automatik ke pinggangnya.
Aku angguk, tetapi mataku tetap terpaku melihat raut wajahnya yang ditumbuhi jambang meliar.
‘Selekeh,’ bisik hatiku. Sempat lagi aku menilai dirinya di saat genting begini.
 Dia membuka jaket yang terikat di pinggang dan memakaikannya ke tubuhku. Aku seperti terpukau membiarkan perlakuan itu. Mataku melekat ke bola matanya yang bagaikan helang. Pandangannya tajam memukau. Zip jaket ditarik hingga hujung daguku.
Aku tersentak. Nafasku sesak. Hembusan nafasnya menyapa mukaku. Dia mencapai beg sandangku lalu disangkutkan ke bahuku. Aku sedikit terkejut. Tanganku ditarik pantas ke motorsikal berkuasa tinggi. Aku terpaksa berlari anak mengikut langkahnya yang panjang.
“Apa nama awak?” tanyaku sambil berlari.
“Israr.”
“Israr? Pelik nama tu? Israr bin apa?” tanyaku bertalu-talu.
Tanpa mahu menjawab soalanku dia mencapai topi keleder jenis bertutup penuh lalu disarungkan ke kepalaku. Aku terdiam ketika tangannya pantas mengenakan tali pengikat. Terpaku mataku melihat aksinya yang kelihatan ala-ala hero pujaanku Bruce Willis dalam filem Die Hard. Pantas dan cekap setiap gerakannya. Penuh dengan sifat kelakian. Mulutku hampir terlopong. Mengagumi seketika lelaki Melayu itu.
 “Naik cepat!”
Arahan kerasnya mengejutkanku. Segera aku duduk di belakangnya. Sebelum sempat aku betulkan duduk, dia memecut laju membelah kegelapan malam. Mataku tertangkap mayat yang bergelimpangan bermandikan darah. Ngeri terasa. Badan kurapatkan ke belakang Israr serapatnya apabila terasa tubuhku tidak stabil. Tanganku memeluk tubuhnya, kemas. Aku mudah mabuk bila melihat darah. Lebih-lebih lagi bau hanyir darah Inspektor Azni masih terlekat di mukaku.
“Hey, jangan rapat sangat!” jerit Israr kepadaku.
 Dia terpaksa menjerit bagi mengatasi deruman enjin motorsikal. Aku angkat pelindung muka plastik pada topi keleder.
 “Saya rasa peninglah. Bukannya nak menggatal!” tempikku geram.
‘Tolonglah, setakat muka serabut macam mawas, aku tak heran!’ bisik hatiku dengan sombong.
“Kenapa?” jeritnya lagi.
“Mabuk darah!”
“Okey, kau boleh peluk tapi jangan rapatkan badan kau.”
‘Huh, jika tak terpaksa aku tak ingin peluk kau! You are not my type. Serabut dan berbau,’ kutuk hatiku.
Dalam mengutuk, tanganku tetap memeluk erat tubuhnya. Cuma badan aku tidak dirapatkan seperti tadi. Terasa ketul-ketulan ototnya yang hanya dibaluti baju T putih. Aku amati baju T itu.
‘Ah, baju T murah! Takde class langsung,’ cemuh hatiku. Aku terfikir kemudian, ‘jaket yang aku pakai ni jaket dia. Tentu busuk dan berbau dah badan aku dengan peluh dia. Eee... bencinya! Tapi nak buat macam mana? Kalau aku tanggalkan nanti jatuh pulak. Lepas ni kalau berhenti, aku tak mahu dah pakai jaket dia. Eh, kenapa baju dia basah? Peluh ke? Tapi agak melekit.’
Aku paut tubuhnya dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi aku bawa ke hidungku. Aku ingin memastikan rasa melekit yang kupegang adalah peluh atau darah. Manalah tahu dia terluka ketika menyelamatkan aku. Aku hidu bau itu.
‘Hamis! Dia berdarah?’ Berkali-kali aku mengesat-ngesat tanganku di belakang bajunya.
“Hoi, kau buat apa?” tempiknya lalu memperlahankan kelajuan motorsikalnya.
Aku terkejut dan menghentikan perbuatanku serta merta.