Pengikut

Selasa, 24 November 2015

Zombi Betty La Soya - Bab 3



Zulkamal dan Hassan terus bergegas ke bahagian dapur sebaik selesai menunaikan solat isyak berjemaah di masjid. Secara automatik mereka jadi ringan tulang menolong kerja-kerja menghidang jika ada kenduri yang dibuat di masjid. Jika tiada kenduri, tiadalah muka mereka di masjid itu. Malam itu, rezeki mereka agak murah. Gulai kambing kegemaran turut menjadi hidangan. Mereka makan hingga tiada lagi ruang dalam perut yang boleh diisi. Sendat sesendatnya.
“Zul, aku rasa tak larat nak bangun dah ni. Macam nak tidur kat sini je,” ujar Hassan yang tersandar di dinding masjid.
“Mata aku pun dah berat ni. Tapi takkan la kita nak tidur kat sini. Nanti bising pulak mak aku. Jomlah kita blah.”
Zulkamal menarik tangan Hassan bagi memudahkan Hassan bangun. Hassan mengekori langkah Zulkamal ke tempat letak motorsikal. Setelah enjin motorsikal dihidupkan, mereka berdua meninggalkan pekarangan masjid.
“Zul, berhenti jap! Aku nak terkencing.” Hassan yang membonceng menepuk bahu Zulkamal.
Zulkamal memberhentikan motorsikal dan menoleh ke belakang. Hassan melompat turun dan berlari ke tepi semak untuk membuang air. Tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari arah hadapan menyuluh lampu tinggi ke arah Zulkamal. Zulkamal mengangkat tangannya menghadang muka yang terasa silau. Kereta itu berhenti di hadapan motorsikal Zulkamal dan merendahkan suluhan lampunya. Zulkamal tetap di atas motorsikal sambil memerhati pemandu lelaki yang keluar dari kereta mewah itu.
“Assalamualaikum!” sapa lelaki itu, agak mesra.
“Waalaikumusalam,” jawab Zulkamal, separuh hairan.
“Tumpang tanya, kat mana rumah Ustaz Zulkamal?”
“Ustaz Zulkamal? Setahu saya, tak dak ustaz nama gitu kat kampung ni. Kalau Zulkamal, tu nama saya.”
Lelaki itu berpatah balik ke kereta dan bercakap dengan lelaki berbaju kot yang berada di bahagian tempat duduk belakang. Seketika kemudian, lelaki berbaju kot keluar dan menghampiri Zulkamal. Hassan yang selesai dengan urusan hajat kecilnya turut menyertai.
“Saya Datuk Zain.” Lelaki itu berjabat tangan dengan Zulkamal dan Hassan.
“Saya Syukor.” Lelaki yang memandu memperkenalkan diri.
Zulkamal dan Hassan turut memberitahu nama mereka berdua.
“Sabiha yang bagi tau, Zul ni seorang ustaz. Kami datang sini pun sebab dia rekomen,” terang Datuk Zain.
“Kak Biha gurau saja tu. Saya ni tak layak dipanggil ustaz.” Zulkamal ketawa.
Hassan turut ketawa. Dia dan Zulkamal sebenarnya hanya lulus SPM setakat cukup makan sahaja. Kerja pun tidak menentu. Kerap kali kena buang sebab curi tulang dan ponteng kerja. Datuk Zain menyangka Zulkamal sengaja merendah diri dengan berkata begitu. Kebetulan pula Zulkamal memakai jubah mini dan serban milik arwah bapanya. Sudah menjadi kebiasaan Zulkamal akan memakai pakaian itu jika ke masjid. Pada pendapatnya, jika dia memakai pakaian arwah bapanya, maka bapanya turut mendapat pahala. Penampilan diri Zulkamal dengan janggut sejemput, membuatkan dirinya kelihatan ala-ala imam muda lagaknya.
“Sebenarnya saya nak minta tolong Zul, halau jin kat rumah yang baru saya beli. Biha bagi tau yang Zul ni hebat orangnya dan serba boleh. Hari tu pun Zul dah tolong dia. Sebab tu saya cari Zul hari ni. Saya ni kurang percaya bomoh sebab selalu jumpa jenis penipu. Mungkin ustaz tak macam tu. Jadi, buat permulaan saya akan bagi dua ribu ringgit. Jika masalah ni selesai, saya akan tambah lagi lima ribu sebagai upah.”
Terlopong mulut Hassan mendengar jumlah yang ditawarkan. Jumlah itu besar bagi mereka berdua dan boleh menyelesaikan masalah kewangan mereka yang meruncing. Tanpa berlengah, Hassan terus bersuara.
“Kacang saja tu Datuk. Bab tangkap-tangkap jin ni, Zul memang terer. Jin dalam botol kicap, dalam botol cuka, dalam botol oren, semua dia tangkap.”
Terbeliak mata Zulkamal melihat Hassan. Tidak menyangka Hassan akan berkata begitu. Mana dia tahu tangkap jin? Tangkap ayam pun selalu terlepas, inikan pula nak tangkap jin yang bersifat angin, tak nampak pada pandangan mata. Tak kenal bentuk atau rupa.
‘Nak petik pun agak-agak la,’ kutuk hati Zulkamal. “San, kau jangan nak pandai-pandai. Aku mana boleh buat semua tu,” marah Zulkamal.
“Betul ke Datuk akan bagi kami duit sebanyak tujuh ribu?” soal Hassan tanpa memperdulikan Zulkamal. Duit lebih mengujakannya.
 “Ya, betul. Saya akan bayar tujuh ribu ringgit kalau masalah saya selesai.”
“Hah, tujuh ribu? Gila apa ni?”  Zulkamal agak terkejut bila dia menyedari jumlah keseluruhan yang ditawarkan oleh Datuk Zain. Mulut terlopong, lidah bagai diglu.
Datuk Zain yang melihat wajah Zulkamal mula rasa tak senang hati. Pada pendapatnya jumlah yang ditawarkan adalah rendah. Mungkin disebab itu, Zulkamal hanya bungkam tanpa reaksi untuk bersetuju.
“Err...tak cukup ke? Kalau gitu saya tambah seribu lagi jadi lapan ribu.” Datuk Zain membuat tawaran. Kalau boleh dia hendak Zulkamal segera bersetuju kerana dia tidak mahu membazirkan masa mencari orang lain untuk menyelesaikan masalah itu.
“Hah, lapan ribu? Kami setuju.” Hassan terus memberi persetujuan tanpa berunding dengan Zulkamal.
“Aku tak boleh San.” Zulkamal mulai cuak.
“Setuju saja la Zul. Aku empat, kau empat. Kira adillah tu. Kau nak banyak mana lagi? Aku rasa Datuk dah murah hati bagi banyak tu.”
“Kami ni datang dari jauh. Takkan nak hampakan pulak? Jadi, setuju sajalah ustaz Zul.” Syukor mencelah.
Ketika Zulkamal hendak membuka mulut, Datuk Zain bersuara.
“Sebenarnya Zul, kami dah dengar cerita Biha tentang jasa Zul pada mereka berdua. Kalau takde Zul dan Hassan malam tu, tentu Biha dan Zimah dah jadi mangsa bomoh penipu tu. Sebab tu saya percaya pada Zul dan Hassan. Zul dan Hassan sajalah harapan kami. Kena tolong jugak-jugak, tak boleh tidak.”
“Tapi...”
Sebelum sempat Zulkamal menyambung ayatnya Hassan pula memintas.
“Bila boleh kami pergi tengok rumah tu?”
“Kalau boleh esok pagi kita ke sana. Esok kami datang ambil Zul dan Hassan.”
“Baiklah kalau gitu. Bagi nombor telefon Datuk supaya senang kami hubungi,” tambah Hassan dengan semangat.
Datuk Zain menghulurkan kad niaganya kepada Hassan dan mengambil nombor telefon Hassan. Mereka bersalaman setelah Datuk Zain meminta diri untuk beredar.
“San! Kenapa kau tipu Datuk tu? Aku bukannya tahu nak halau jin,” sergah Zulkamal setelah kereta Datuk Zain bergerak meninggalkan mereka.
“Relaks brother relaks! Small matter je ni. Esok kita tengok dulu rumah Datuk tu. Ada jin atau tak, belakang kira. Janji lapan ribu milik kita.”
“Gila kau! Buatnya ada jin betul, nahas kita. Kalau jin tu ikut kau balik rumah, padan muka nanti!” Zulkamal masih rasa ragu dengan rancangan Hassan.
“Huh, capoi sungguh mulut tu! Dah la kita berdiri tengah jalan gelap dan sunyi ni. Bulu roma aku dah berdiri. Jomlah balik. Esok kita cerita lain.” Hassan menggosok kedua-dua lengannya.
“Kau ni pandai-pandai je mengaku kat Datuk tu. Esok-esok aku jugak yang susah.”
Hassan tidak membalas kata-kata Zulkamal. Dia tahu benar sikap Zulkamal. Kalau marah selalunya tidak lama. Malah apabila seseorang meminta tolong, pasti Zulkamal akan menolong. Zulkamal menghantar Hassan pulang. Dia kemudian memecut laju motorsikalnya membelah kegelapan malam. Kumat kamit mulutnya membaca surah al-Quran apabila terpaksa melintasi tanah perkuburan yang terletak pertengahan jalan menuju ke rumahnya. Takut juga Zulkamal jika cerita tentang ‘perempuan’ membonceng motorsikal menjadi kenyataan.

Ahad, 29 Mac 2015

Ada Hantu (Zombi Betty la soya) - bab 2



Zulkamal menyimpan pancing dan kemudian menanggalkan kain putih yang menyelubungi tubuhnya. Hassan yang bersembunyi di sebalik pokok mendapatkan Zulkamal. Mereka ketawa terbahak-bahak sambil berjalan ke arah tebing sungai.
“Tak sangka, tok moh pun penakut. Misai melenting tak guna seduit.” Hassan mengutuk Pak Midon.
“Bodoh betul perempuan berdua tu. Senang saja kena tipu dengan Pak Midon.” Zulkamal menambah.
Sabiha yang mendengar kata-kata mereka, terasa sakit hati. Tetapi dia tetap mematikan diri. Memasang telinga segala perbualan Zulkamal dan Hassan.
 “Dua-dua dah pengsan. Kita nak tinggalkan atau nak kejutkan mereka?” soal Hassan.
“Kejutkan la. Kalau kita tinggalkan takut nanti orang jahat jumpa, nahas pulak. Jadi kes rogol dan bunuh, menyesal kita.”
Mereka membersihkan bedak yang bertepek di muka dengan air sungai. Muka yang basah dilap dengan baju sendiri. Zulkamal mencabut daun keladi di tepi tebing lalu diceduknya air menggunakan daun keladi itu. Dengan pantas dia melangkah ke arah Zimah dan Sabiha. Tiba-tiba kakinya tersandung batu menyebabkan air yang berada dalam daun keladi tertumpah ke muka Sabiha.
Kelam kabut Sabiha bingkas duduk. Sesak nafas seketika bila air yang tercurah, masuk ke dalam lubang hidungnya. Dia terbatuk-batuk kecil setelah berjaya mengeluarkan air dari rongga hidung. Perit terasa di hidung, membuat hatinya bertambah radang.
“Opss... sorry kak. Tak sengaja,” ujar Zulkamal dalam sengih.
 Sabiha hanya menjeling Zulkamal. Tangannya sibuk menggoncang tubuh Zimah yang masih tidak sedar. Hassan datang membawa air di dalam daun keladi.
“Kak, nah air. Sapukan sikit ke muka dia,” ujar Hassan selajur menyua daun keladi berisi air.
Sabiha mengambil sedikit air lalu disapukan ke muka Zimah. Perlahan-lahan Zimah membuka kelopak mata. Menyedari kehadiran Zulkamal dan Hassan membuatkan Zimah berusaha untuk duduk. Sabiha membantunya.
“Kamu berdua ni siapa?” soal Sabiha.
“Saya Zulkamal dan yang ni, Hassan.”
Makin lebar sengih Zulkamal dan Hassan. Zimah memandang keliling tanpa memperdulikan Zulkamal dan Hassan.
“Eh, mana Pak Midon? Tak kan dia pun pengsan tengok hantu?”
“Dah cabut lari,” ujar Sabiha sambil berdiri.
Dia menghulurkan tangan membantu Zimah untuk berdiri. Zimah menyambut tangan Sabiha dan berdiri perlahan-lahan.
“Kamu berdua nampak tak hantu tadi?” soal Sabiha pura-pura tidak tahu.
Zulkamal dan Hassan saling berpandangan. Hassan memberi isyarat agar Zulkamal merahsiakan perkara sebenar.
“Sebenarnya kak, kami yang jadi hantu tadi. Tapi tujuan kami baik. Kami nak selamatkan kakak berdua dari jadi mangsa Pak Midon. Lagipun, perbuatan mandi bunga dan buang sial, tak dak dalam Islam. Tu semua amalan khurafat.” Zulkamal berterus terang.
“Oh, hantu yang kat pokok dan jambatan tu kamu berdua la? Yang kepala terapung tu, kamu buat macam mana?” soal Sabiha tidak puas hati.
“Yang bertenggek kat pokok tu, Hassan. Saya berdiri kat atas jambatan dan guna pancing, turun naikkan kepala patung tu. Tak sangka pula kakak berdua boleh pengsan. Ingatkan lari macam Pak Midon. Maafkan kami berdua, kak”.
“Maaf? Mudah je kau cakap, maaf. Nasib baik kami tak lemah jantung. Kalau kami mati tadi, tak sempat nak kawin,” bebel Sabiha.
“Kakak berdua patut ucap terima kasih kat kami, bukannya marah. Kami dah tolong kakak sebenarnya. Pak Midon tu, bomoh penipu. Banyak dah orang bandar yang dia tipu. Tapi yang pelik, masih ada yang percayakan dia. Sanggup habis duit beribu-ribu ringgit.” Zulkamal mula berceramah.
Sabiha mencebikkan bibir. Zimah tertunduk malu. Terfikir juga di mindanya kebenaran kata-kata Zulkamal. Patutlah hatinya tidak tenang bila menemani Sabiha berubat dengan Pak Midon. Pernah juga dia suarakan rasa itu tetapi cepat-cepat disangkal oleh Sabiha yang sangat percayakan kaedah berbomoh. Zimah tahu, Sabiha telah banyak berhabis duit berjumpa dengan pelbagai jenis bomoh. Tetapi dia bernasib baik, tidak ada bomoh yang mengambil kesempatan mencabul atau merogolnya. Cuma wang ringgit sahaja yang habis.
“Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Berdoalah supaya Allah percepatkan jodoh kakak berdua. Jika kakak masih melakukan perbuatan khufur, macam mana Allah nak tunaikan permintaan kakak?” Hassan pula menambah, sesi kaunseling tepi sungai.
Berdesing telinga Sabiha. Nasihat Zulkamal dan Hassan dirasakan seperti menyindirnya. Dia rasakan Zulkamal dan Hassan hanya berlagak alim. Zimah pula terasa malu dan kesal mengikut Sabiha.
“Maafkan kakak berdua. Kakak rasa malu pada adik berdua. Memang hati kecil kakak, rasa benda yang kakak buat ni tak betul. Mungkin desakan dan rasa terhina kerana sukar dapat jodoh, buat kakak pilih cara ni,” akui Zimah.
Terjegil mata Sabiha melihat Zimah. Tidak menyangka Zimah termakan kata-kata Zulkamal dan Hassan. Zimah yang perasan renungan Sabiha, menggenggam tangan Sabiha.
“Biha, betul kata mereka berdua ni. Kita dah tersasar jauh dalam usaha nak cari jodoh. Niat bukan menghalalkan cara, Biha.”
“Tapi...”
“Baik kita balik je Biha. Nasib baik jugak jadi gini. Selamat lima ribu ringgit tu,” sambung Zimah tanpa memberi peluang Sabiha berkata.
“Lima ribu? Mak ai, banyaknya.” Tergeleng-geleng kepala Zulkamal.
“Bagi kat kami pun berbaloi. Boleh le kami tolong kakak berdua cari jodoh.” Hassan tersengih.
Sabiha tidak berkata apa-apa. Hati berdongkol geram mendengar kata-kata Hassan. Dia merasakan Hassan sengaja memperolokkan dirinya.
“Terima kasih la buat adik berdua. Boleh tak bagi kakak nombor telefon adik? Nanti senang kakak nak minta tolong atau tanya bab agama yang kakak tak tau.”
Sabiha bermanis muka, sekadar untuk mendapatkan nombor telefon Zulkamal. Dalam hati tersimpan dendam serta azam untuk mengenakan Zulkamal dan Hassan. Teragak-agak Zulkamal untuk memberi nombor telefonnya. Tetapi melihat mimik muka Sabiha yang mengharap, Zulkamal memberikannya.
“Terima kasih sekali lagi dan maafkan kakak berdua. Hari pun dah lewat ni, kakak minta diri dulu,” ujar Sabiha dengan senyuman yang sengaja diukir.
Sabiha dan Zimah terus berlalu ke kereta yang terletak di bawah pokok. Zulkamal dan Hassan melambaikan tangan setelah kereta Sabiha melepasi mereka. Zulkamal berjabat tangan dengan Hassan. Puas hati mereka kerana berjaya menghalang Pak Midon melakukan perkara khurafat.