Pengikut

Ahad, 22 September 2013

KIES 9 - Bab 18/19



Bab 18

Hari ini aku cuba untuk berpuasa setelah beberapa kali aku melihat Mak Engku dan beberapa penghuni lain berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Malah Wirdah dan kawan-kawannya turut berpuasa. Aku lihat mereka cukup ceria dan seolah-olah mereka tidak letih walaupun tidak makan. Aktiviti mereka dilakukan seperti biasa. Disebabkan persekolahan telah bermula, Wirdah dan kawan-kawannya telah ke sekolah dalam keadaan mereka berpuasa sunat. Sesuatu yang mengagumkan bagiku.
Apabila aku bertanya Wirdah, dia menjawab yang dia telah terbiasa dengan amalan itu. Malah dahulu pun hidupnya susah. Jadi soal berlapar adalah perkara biasa. Termenung aku seketika mendengar cerita Wirdah. Kemiskinan dan kesusahan mengajarnya menjadi kuat. Kuat semangat dan cekal mengharungi hidup lebih-lebih lagi setelah kematian kedua-dua orang tuanya. Dia tinggal sebatang kara. Adik beradiknya hanyalah penghuni rumah anak-anak yatim itu.
“Sha tak apa-apakah?” soal Mak Engku yang melihat aku agak goyah ketika menunaikan solat sunat Zohor.
“Tak apa Mak Engku. Sha cuma rasa letih sikit. Nak berdiri pun rasa tak larat,” ujarku sambil tersenyum.
“Sha, sebenarnya harus bagi sesiapa sahaja yang bersolat sunat untuk melakukannya dalam keadaan duduk walaupun tanpa keuzuran. Jadi kalau Sha tak larat berdiri, Sha duduklah.”
Aku menganggukkan kepala tanda faham. Selesai menunaikan solat, kami meneruskan dengan pengajian al-Quran. Agak membanggakan buat diriku kerana aku mampu menghafal surah pendek dan ayat-ayat dalam solat. Malah aku juga telah mengenal huruf-huruf di dalam al-Quran. Aku bangga kerana aku mulai celik al-Quran.
Aku pulang ke rumah setelah menunaikan solat Asar. Tubuh rasa amat letih dan aku membaringkan diri di atas katil. Iskandar pulang seketika kemudian. Dia masuk ke bilik dan menegurku.
“Sayang penatkah?” soalnya sambil memicit lembut tanganku.
Aku biarkan sahaja. Terasa selesa urutannya. Hilang rasa lenguh.
“Abang, pertama kali Sha berpuasa dan Sha rasa macam nak berbuka aje. Letih dan kering tekak Sha. Tapi bila tengok Wirdah, Sha nak teruskan juga. Keadaan Wirdah buat Sha terfikir dan ingin rasa macam mana hidup orang susah. Wirdah beritahu Sha yang dia selalu makan sehari sekali aje. Pergi sekolah jalan kaki tanpa sarapan. Hidup dia susah tapi dia begitu kaya dengan budi pekerti dan taat pada agama. Pandang dia pun, hati dah rasa tenang. Tak pernah Sha jumpa remaja sebegini.”
“Sebab tu dia jadi kesayangan penghuni di sini. Nadhir tu pun tak dapat tahan hati nak dekati dia. Tapi dia macam yang Sha kenal. Tegas dalam pendiriannya, sentiasa tunduk dan patuh pada suruhan dan larangan agama. Pendek kata dia adalah contoh muslimah sejati,” Iskandar turut memuji.
Entah kenapa, aku tidak rasa cemburu ketika Iskandar memuji Wirdah padahal Wirdah adalah perempuan dan Iskandar boleh menikahinya. Malah kalau menjadi maduku pun, boleh.
“Sha sukakan Wirdah. Kalau kita jadikan dia, adik angkat kita boleh tak?” soalku sambil tersenyum.
“Adik angkat?” soal Iskandar kembali.
“Ya, adik angkat kita berdua. Kita tanggung semua perbelanjaan dia. Jika boleh, Sha nak hantar dia belajar ke luar negara. Mesir atau Jordan seperti yang dia impikan.”
Iskandar tersenyum dan kemudian menganggukkan kepala.
“Kalau Sha rasa nak ambil dia jadi adik, abang setuju aje. Nanti Sha beritahu Mak Engku dan dia. Sha kena terima apa aje keputusan Wirdah sebab dia berhak memilih untuk menjadi adik kita atau tak.”
“Baiklah. Nanti Sha tanyakan pendapat Mak Engku.”
“Sha nak makan apa hari ni? Biar abang masak sebagai meraikan Sha berpuasa hari ni,” ujar Iskandar setelah lama kami mendiamkan diri.
“Abang masak apa aje pun tak apa. Sha akan makan.”
Jika dahulu aku sering memilih dan cerewet ketika makan, tetapi kini perangai itu telah dapat aku hindari. Sekarang, aku boleh makan apa sahaja yang terhidang di hadapanku. Janji halal dan bersih, aku akan makan. Aku belajar mensyukuri rezeki yang ALLAH beri.
“Kalau begitu, abang nak masak nasi ayam Hainan buat Sha.”
“Wah! Sedap tu. Sha nak tengok cara abang masak,” kataku dengan wajah teruja.
Sejak akhir-akhir ini apa sahaja yang dimasak oleh Iskandar amat sedap pada tekakku. Aku akan makan sehingga habis apa sahaja yang Iskandar hidang. Sebenarnya Iskandar lebih banyak memasak berbandingku. Aku memang tidak pandai dalam soal ini dan lebih banyak melihat. Iskandar akan menerangkan padaku langkah untuk memasak dan kerap kali aku akan menolongnya.
“Sha boleh tahankah? Takut nanti tengok ayam, tak tahan nak buka puasa pula.”
“Insya-ALLAH Sha akan tahan.”
Sejak berada di tempat ini aku telah pandai menggunakan perkataan Insya-ALLAH, ALHAMDULILLAH dan SUBHANALLAH.
“Kalau begitu, jom tolong abang di dapur.”
Aku bingkas bangun dan mengekori langkah Iskandar ke dapur. Iskandar menyuruhku duduk di kerusi sambil memerhati kerja-kerja yang dilakukannya. Iskandar mengeluarkan ayam yang telah dibersihkan dari peti sejuk. Aku hanya memerhati Iskandar memerap ayam dengan memasukkan kicap, minyak bijan, bawang putih yang ditumbuk dan sedikit garam. Dia kemudiannya menumis bawang dan memasukkan air ke dalam periuk. Kiub ayam turut dimasukkan. Beras dibasuh dan ditoskan di dalam bekas penapis.
“Kenapa abang tak masukkan beras tu dalam air?” soalku kehairanan.
Setahu aku apabila hendak memasak nasi, beras dimasukkan bersama-sama air.
“Kena didihkan air dulu baru boleh masukkan beras. Ini petua nak masak nasi yang ada perencah macam nasi tomato, nasi beriani atau nasi ayam. Kawan abang yang kerja chef beritahu abang. Nasi mudah masak dan tak mentah.”
“Oooo....” Aku berbunyi begitu dengan mulut dimuncungkan seolah aku memahami apa yang Iskandar terang.
“Panjangnya O. Faham tak?” ujar Iskandar dengan senyuman.
Aku cepat menggeleng tanda tidak faham. Berderai tawa Iskandar. Aku turut ketawa. Iskandar meneruskan kerjanya dan aku menolongnya mengupas kulit timun. Ayam yang diperap tadi dikukus oleh Iskandar. Terpesona aku melihat tingkah Iskandar. Dalam diam aku mengaguminya.
Ada pendapat menyatakan apabila lelaki memasak, mereka nampak seksi. Aku tidak tahu tetapi dia memang kelihatan sungguh menarik dalam apron berbelang biru. Orang cakap, ‘hot stuff’. Memang hot! Tambahan pula berada di dapur dan menggunakan api. Merenik peluhnya di dahi. Aku begitu asyik merenung Iskandar sambil menompang dagu di meja.
“Kenapa tenung abang macam tu? Sha kena ingat Sha masih berpuasa. Jangan nanti terbatal puasa sedangkan tak sampai sejam lagi nak berbuka. Abang ni tak apalah sebab tak puasa.” Kata-kata Iskandar menyedarkan aku yang terleka.
“Tak faham. Apa maksud abang?”  Aku kerut dahi berfikir sejenak.
 “Sha renung-renung, takut abang tergoda. Nanti Sha yang susah,” ujar Iskandar lalu ketawa.
Aku menampar geram bahunya. Suka benar dia mengenakan aku. Aku pula kadangkala lurus bendul. Memang jadi bahan gurauan Iskandar. Tetapi selalunya aku tidak marah. Sekadar geram sayang. Siapa tak sayang suamikan?
Iskandar menghidang makanan dan aku menolongnya. Setelah kedengaran azan, Iskandar membacakan doa. Buat pertama kalinya aku berbuka puasa. Kurma yang tidak aku pandang suatu ketika dahulu, kini masuk ke perutku. Terasa segar dan manis kurma yang kumakan. Semanis perasaanku kini. Aku berbangga kerana berjaya menahan diri sepanjang hari daripada lapar dan dahaga. Mungkin beginilah rasanya perasaan orang yang susah. Berlapar kerana terpaksa. Tiada makanan untuk dimakan. Tetapi apabila dapat menjamah makanan, begitu nikmat terasa.
“Abang, bagaimana Wirdah dapat menahan lapar sedangkan dia masih kecil waktu ibu bapa dia masih ada? Tentu perit hidup dia. Makan sehari sekali dan kadangkala berlaukkan ikan kering atau sayur yang dikutip aje. Bapa dia pula tak mampu nak sedia makanan yang sempurna,” ujarku yang tiba-tiba teringatkan cerita Wirdah tentang kehidupannya diwaktu kecil.
Bapa Wirdah sebenarnya buta dan hanya melakukan kerja-kerja menghasilkan barang kraf. Barang itu dijual kepada peraih dan di pasar sehari. Ibu Wirdah akan menolong bapanya ketika mereka menjual di pasar sehari. Mereka dilanggar lari oleh sebuah kereta ketika pulang daripada menjual. Disebabkan itu, Wirdah menjadi yatim piatu dalam usianya masih mentah.
“Itulah salah satu hikmah berpuasa. Kita akan dapat merasa penderitaan orang yang tidak berkemampuan ataupun saudara kita yang ditimpa peperangan atau bencana. Macam di Palestin atau Kemboja. Rakyat hidup susah dan makan ala kadar.”
“Untung kita hidup di Malaysia. Serba mewah hingga kadangkala makanan terbuang begitu aje. Dulu Sha pun macam tu. Kalau tak suka makanan tu, Sha buang. Lepas tu beli yang lain. Perangai Sha begitu buruk masa tu. Ada ketika Sha hina makanan yang terhidang padahal itulah rezeki Sha. Sha tak tahu bersyukur,” ujarku menginsafi diri.
“Bersyukurlah sebab Sha dah sedar. Abang bangga dengan Sha sebab mahu berubah. Dulu abang sangka abang perlukan masa yang panjang untuk bentuk diri Sha tetapi rupanya ALLAH permudahkan tugas abang. Mungkin berkat doa bonda yang memang nak lihat Sha berubah. Bonda yang beria-ia minta abang tolong ubah Sha.”
“Bonda? Bukan ayahanda yang jodohkan kita?” soalku sambil memandang tepat ke wajah Iskandar.
“Ayahanda setuju setelah bonda yakinkan ayahanda. Masa tu, ayahanda takut Sha bertindak liar dan terus menjauh daripada mereka kalau tahu yang Sha akan dikahwinkan dengan abang. Bila Sha kata setuju, terus ayahanda atur perkahwinan kita dan jadi wakil Sha.”
Aku terdiam dan tertunduk menahan rasa sebak. Ingatan terhadap bonda dan ayahanda seringkali buat aku ingin menangis. Iskandar yang terperasan akan perubahan wajahku segera memegang tanganku seolah memujukku.
“Maafkan abang jika kata-kata abang buat Sha sedih.”
“Tak apa. Sesekali teringat Sha rasa sedih. Tapi Sha, okey. Abang jangan risau,” ujarku sambil mengorak senyum kepada Iskandar.
“Cepat habiskan makanan tu. Kata nak ke surau tadi.”
Aku mengangguk dan menyambung makan. Selesai makan, aku menolong Iskandar mengemas dan kemudian bergerak mengambil wuduk. Kami solat maghrib bersama-sama dan kemudian melangkah menuju ke surau untuk mengikuti pengajian agama.



Bab 19

Selama tiga bulan aku menjalani kehidupan yang aman damai di Darul Durrani. Aku sudah mampu melakukan ibadat solat wajib dan solat-solat sunat dengan baik. Malah aku sudah mampu membaca al-Quran walaupun masih bertatih. Kegiatan harianku banyak dipenuhi dengan pengisian agama. Di masa lapang aku turut membantu anak-anak yatim di situ dalam bidang pelajaran terutama Bahasa Inggeris. Iskandar sentiasa ada untukku dan dia terus memberi semangat serta kekuatan buatku.
“Sayang, berat rasa hati abang nak tinggalkan sayang untuk tiga hari di sini. Sepanjang abang tak ada, sayang jaga diri. Kalau sunyi, sayang boleh ajak Wirdah dan yang lain tidur di sini,” ujar Iskandar setelah selesai kami bersarapan.
Iskandar memberitahuku bahawa dia terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana ada sedikit urusan keluarga di sana. Aku tidak diberitahu urusan apa tetapi dia menyatakan abah dan ibunya akan pulang dari New Zealand. Disebabkan aku masih tidak selamat untuk bebas ke sana sini, jadi aku memilih untuk terus tinggal di sini. Walaupun hati rasa keberatan untuk berpisah, tetapi aku terpaksa akur.
“Baiklah. Tapi Sha harap abang telefon Sha selalu.”
Sebelum ini Iskandar telah membeli telefon dan nombor yang baru buatku. Tetapi aku hanya dibenarkan untuk menghubunginya sahaja. Ini untuk mengelakkan aku dikesan musuh. Jika tidak dipesan pun, aku memang tidak mahu menghubungi sesiapa selain dia. Padaku, hidupku di sini lebih bermakna dan aman. Kehidupanku yang lalu ingin aku tinggalkan. Malah aku rasa malas untuk mengambil tahu hal syarikatku. Padaku harta dan kekayaan itulah yang membuat aku terpisah dengan kedua ayahanda dan bonda. Aku tak mahu disebabkan harta itu, aku terpisah pula daripada Iskandar.
“Abang akan telefon Sha setiap malam. Kalau waktu siang, abang akan hantar mesej jika perlu. Abang tak mahu ganggu waktu Sha belajar.”
“Sha akan tunggu abang telefon setiap malam. Sha nak abang teman Sha tidur seperti selalu walaupun hanya suara abang yang Sha dengar.”
Iskandar tersenyum sambil menarikku ke dalam pelukannya. Lama kami dalam keadaan itu. Terasa begitu sukar untukku melepaskannya pergi. Air mata yang kutahan mengalir juga.
“Jangan menangis, sayang. Abang pergi sekejap aje. Selesai kerja abang, abang akan pulang secepat mungkin. Sha tunggu abang dan jangan nakal-nakal,” ujar Iskandar sambil menyeka air mataku.
Aku tersenyum dan menggenggam tangannya. Tangan itu kukucup lama sebelum aku lepaskannya.
“Abang jangan lupakan Sha, ya.”
“Abang tak mungkin lupa permaisuri hati abang. Sha sabar, ya. Nanti lepas kes ni selesai, kita bebas ke mana aje. Masa tu abang nak bawa Sha honeymoon di Switzerland.”
Aku tersenyum membayangkannya.
“Tak sabar rasanya Sha nak ke sana dengan abang. Sha harap kes ni cepat selesai. Polis masih tak dapat bukti siapa yang terlibat?”
“Masih samar-samar tapi suspek utama, Ayah Bad. Dia ada motif yang kuat untuk rampas syarikat dan harta benda Sha. Sekarang dia berkuasa penuh dalam syarikat Sha setelah Sha serah semua urusan pada dia. Cuma abang tertunggu-tunggu apa tindakan dia seterusnya.”
“Bagaimana kalau Sha lepaskan semua saham pada dia? Sha rasa harta tu buat Sha kehilangan orang tersayang. Sha nak hidup aman di sini. Biar kita hidup susah, janji kita bersama. Boleh tak abang jumpa Ayah Bad dan bincang soal ni. Kita buat perjanjian dengan dia. Sha serah harta dan dia beri kebebasan buat Sha. Jadi dengan itu kes ni akan selesai. Soal dia terlibat atau tidak dengan pembunuhan ayahanda dan bonda, kita serahkan hal itu pada polis.”
“Tapi syarikat tu adalah titik peluh ayahanda. Takkan Sha nak lepaskan begitu aje?”
“Apa ada pada harta jika nyawa galang gantinya?” soalku sedikit geram. Aku bersungguh untuk memudahkannya, Iskandar pula seolah menyukarkannya.
“Abang tak mahu Sha menyesal kemudian hari. Tapi kalau Sha bersungguh, nanti abang jumpa peguam dan bincang soal ni. Kena minta pendapat dia dulu. Abang nak buat perjanjian secara rasmi dan minta jaminan Ayah Bad supaya hidup kita tidak akan diganggu lagi selepas ni,” ujar Iskandar seolah memujukku.
“Baiklah. Abang boleh jumpa peguam ayahanda. Minta dia uruskan soal ni. Kalau boleh, Sha nak urusan ni disegerakan.”
“Baiklah, boss.” Iskandar menarik hidungku.
Aku terjerit kecil sambil menggosok hidung yang pastinya telah memerah. Iskandar ketawa dan aku turut ketawa bersamanya. Iskandar mencapai kunci van dan menyalami aku sebelum melangkah keluar. Sempat juga dia menghadiahkan ciuman di dahiku. Aku melambaikan tangan dengan linangan air mata. Aku memerhati hingga van itu hilang daripada padangan mata.
Ketika aku ingin melangkah ekor mataku sempat melihat ada sebuah kereta CRV memasuki perkarangan rumah anak-anak yatim. Mungkin pembekal atau penderma yang ingin berjumpa Mak Engku,  fikirku. Aku menyambung langkah dan memasuki rumah. Ketika aku ingin menutup pintu, mataku terpandang arah pemandu CRV tadi. Hatiku seolah terhenti berdegup melihat wajahnya. Tetapi aku tidak pasti kerana hanya nampak dari arah tepi.
Betulkah dia atau orang lain? Kalau betul, apa harus aku buat? bisik hatiku penuh cuak.
Aku membiarkan daun pintu renggang agar dapat aku pastikan orang itu. Lelaki itu turun daripada keretanya tetapi wajahnya tidak begitu jelas. Mungkin kerana jarak rumah Mak Engku dan tempat aku mengintai, agak jauh. Tambahan pula, dia sedang berbual di telefon dan tangannya menghalang sebahagian mukanya. Aku dapat melihat Batrisya berlari ke arah lelaki itu. Lelaki itu merendahkan diri lalu memeluk dan mendukung Batrisya. Batrisya kelihatan sangat gembira. Aku hanya dapat melihat belakang lelaki itu yang melangkah masuk ke rumah Mak Engku.
Hmm...ayahanda Batrisya rupanya. Bukan dialah, bisik hatiku meyakinkan diri sendiri. Tetapi kenapa debar hatiku masih ada? Seolah lelaki yang kulihat tadi adalah Raja Azrin Shah.
Tanpa mahu memikirkan persoalan itu, aku melangkah ke dapur dan membasuh pinggan yang berada di singki. Tengah hari nanti aku bercadang untuk makan bersama-sama Wirdah dan anak-anak yatim yang lain. Selesai melakukan kerja mengemas, aku melangkah keluar menuju arah dewan makan untuk mencari Wirdah.
Aku terpaksa melalui jalan hadapan rumah Mak Engku untuk ke dewan makan. Sempat aku mengerling nombor plat CRV yang tertera.
Plat Wilayah. Betullah ni ayahanda Batrisya bukan mangkuk tu, bisik hatiku.
Batrisya pernah memberitahuku bahawa ayahandanya bekerja di Kuala Lumpur. Aku terus melangkah tanpa melihat rumah Mak Engku. Wirdah, kulihat sedang duduk di meja batu di bawah pokok tidak jauh dari dewan makan. Mungkin dia sedang mengulangkaji pelajaran kerana terdapat beberapa buku di atas meja. Begitu tekun dia mencoret sesuatu di buku.
“Assalamualaikum,” aku memberi salam lalu duduk di sebelahnya.
“Waalaikumusalam,” Wirdah tersenyum sambil menjawab salamku.
“Wirdah seorangkah? Mana kawan-kawan yang lain?”
“Syahmina balik ke bilik dan Izyan ke tandas sekejap. Kak Sha tolonglah ajar Wirdah Bahasa Inggeris ni. Wirdah tak pandai nak buat ayat,” pinta Wirdah dengan muka mengharap. Tampak comel wajah itu di mataku.
Aku anggukkan kepala dan melihat bersama-samanya buku yang terbentang. Aku menerangkan cara membuat ayat untuk karangannya. Wirdah begitu tekun mencatat segala ajaranku dan sesekali bertanya maksud perkataan yang tidak difahaminya. Izyan menghampiri kami berdua dan memberi salam. Kami menjawab salam Izyan serentak. Izyan mengambil tempat di sebelahku. Aku terus membantu mereka berdua mengulangkaji pelajaran.
Aunty!” panggil Batrisya yang muncul di situ secara tiba-tiba.
Aku dapat melihat wajahnya yang kemerahan dan berpeluh. Pasti dia berlari sebentar tadi.
“Ya, Risya. Risya cari aunty ke?” soalku sambil tersenyum.
“Ayahanda nak jumpa aunty,” ujar Batrisya sambil menunjuk arah lelaki yang sedang berdiri tidak jauh dari situ.
Berderau darahku melihat lelaki itu. Aku pandang Batrisya dan kemudian lelaki itu. Patutlah wajah Batrisya membuat aku teringatkan dia. Lelaki yang pernah bertahta di hatiku. Lelaki yang mengharu-birukan hidupku. Batrisya begitu mirip wajah Raja Azrin. Rupanya benar gerak hatiku tadi. Memang itu Raja Azrin Shah.
Aku alihkan wajahku ke arah Wirdah. Wirdah dan Izyan memerhati tingkahku. Aku tahu mereka pasti hairan kerana aku membelakangkan Batrisya. Tidak pernah aku bersikap begitu bila bersua Batrisya sebelum ini. Selalunya aku layan Batrisya dengan sangat mesra.
Aunty Sha,” panggil Batrisya lagi.
Aku palingkan sedikit wajahku untuk melihat Batrisya. Dalam hati rasa kasihan padanya tetapi aku perlu bertegas. Tak mahu aku mengulangi kisah silam atau mengharapkan dirinya lagi. Segalanya telah aku noktahkan setelah hatiku, kuserah pada Iskandar.
“Maafkan aunty. Aunty tak mahu jumpa ayahanda Risya. Uncle Nain tak ada di sini. Jadi aunty rasa tak manis buat begitu. Risya pun tahukan? Macam yang ustazah pernah ajar. Lelaki dan perempuan bukan mahram tak boleh berjumpa berduaan. ”
Aku beralasan sehabis baik untuk tidak mengecilkan hati Batrisya.
Aunty jangan risau, Risya ada. Bukan nak jumpa berdua.” Risya cuba memujuk.
Wirdah dan Izyan hanya memerhati tanpa kata. Sesekali mata mereka mencuri pandang ke arah Raja Azrin.
“Tapi aunty...”
“Maaf Risya, aunty tak boleh.”
“Tengku Kiesha Khalila! I nak cakap dengan you sebentar.”
Terdengar suara Raja Azrin yang berdiri di belakang Batrisya. Aku tak tahu bila dia menghampiri kami. Mungkin kerana aku memusingkan badan membelakanginya, jadi aku tidak perasan.
“Maaf. Saya tak kenal awak. Jadi, jangan ganggu saya.”
Aku masih membelakanginya. Aku melihat wajah Wirdah. Cuba mencari kekuatan diri ketika itu. Wirdah yang seolah memahami, menggenggam tanganku. Matanya lunak menyapa wajahku.
“Tak kenal atau pura-pura tak kenal?” soal Raja Azrin.
Aku tunduk mendiamkan diri.
“Risya, kalau Risya nak tahu inilah mama Risya. Mama yang lahirkan Risya bukan bonda,” ujar Raja Azrin mengejutkan semua di situ.
“Apa maksud kau ni Rain?” soalku marah. Aku bingkas bangun menghadapnya.
“Kenal pun rupanya. Tadi sombong sangat,” kata Raja Azrin sambil mencebikkan bibirnya.
“Ayahanda, betulkah ni mama Risya? Mama kandung Risya?” soal Batrisya sambil melihat aku dan Raja Azrin, silih berganti. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.
“Ya, sayang. Inilah mama Risya yang sebenarnya. Ayahanda ambil Risya di hospital selepas mama Risya lahirkan Risya. Masa tu bonda Risya baru kehilangan baby yang lahir tak cukup bulan. Mama Risya pula tak mahukan Risya. Jadi, ayahanda ambil dan bawa Risya jumpa bonda. Bonda sukakan Risya dan anggap Risya seperti anak dia sendiri,” ujar Raja Azrin sambil tersenyum memandangku.
Hatiku terasa menggelegak.
“Oh! Rupanya kaulah yang curi Risya masa di hospital tu. Kau memang tak berhati perut!” mulutku menghamburkan kemarahan.
Tanpa sedar, aku terus meluru ke arah Raja Azrin. Inginku tumbuk dan patah-patahkan tulangnya. Biar dia tahu perasaan sakit hatiku. Tangan yang kulayangkan ke muka Raja Azrin dapat ditangkap olehnya. Aku cuba menendang tetapi dia pantas mengilas tanganku ke belakang. Aku mengadui kesakitan. Tenaga wanita tidak mampu mengatasi tenaga lelaki.
“Kiesha! Berhenti meronta dan ikut I jika tak mahu terus jadi perhatian ramai,” ucap Raja Azrin hampir di telingaku.
Aku berhenti meronta dan melihat ke hadapan. Ramai anak-anak yatim yang memerhatikan kami. Wirdah cuba membantu aku tetapi langkahnya terhenti apabila Raja Azrin mengangkat tangan dan mengisyaratkan agar berhenti.
“Lepaskan aku!”
“I akan lepaskan you, sayang. Tapi ikut I. Kita perlu selesaikan hal ni.”
“Baiklah. Tapi aku nak bawa Wirdah sekali. Tak elok jika hanya kita berdua.”
“Okey. I akan bawa Risya dan Wirdah untuk temankan you.”
Raja Azrin melepaskan tangannya. Aku menggosok-gosok tangan yang dikilas tadi. Terasa masih sakit kerana Raja Azrin mengilas dengan agak kuat. Wirdah dan Izyan menghampiriku.
“Hanya Wirdah yang boleh ikut. Yan tunggu di sini,” ujar Raja Azrin memberi arahan.
Aku melihat wajah Wirdah dan Wirdah mengangguk tanda setuju. Aku memegang tangan Wirdah dan mengikut langkah Raja Azrin yang telah bergerak bersama-sama Batrisya. Sesekali Batrisya menoleh untuk melihatku. Aku tahu Batrisya pasti keliru saat ini. Kami tiba di kereta Raja Azrin. Batrisya terlebih dahulu masuk ke dalam kereta dan duduk di ruang hadapan bersebelahan pemandu. Raja Azrin membuka pintu belakang untukku dan Wirdah.
“Azrin!” panggil Mak Engku.
Dia menyarungkan sandalnya dan bergerak ke arah kami dalam keadaan gopoh- gapah. Dia cuba menghalang Raja Azrin daripada membawaku.
“Bonda, biar Rain selesaikan hal ni dengan Kiesha. Bonda tak perlu campur tangan.”
“Rain, dengar cakap bonda. Sha isteri orang. Jangan buat begini, berdosa. Tak baik nak runtuhkan masjid yang telah terbina.”
“Bonda... Si Nain tu dah bohongkan Kiesha dan bonda. Dia tak pernah pun kahwin dengan Kiesha. Rain tahulah sebab Rain ikuti perkembangan diri Kiesha. Mana ada majlis akad nikah antara mereka berdua. Kalau bonda tak percaya, cuba tanya Kiesha bila tarikh dan masa dia bernikah.”
Aku dan Wirdah hanya memerhati perdebatan kedua-dua beranak itu. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku boleh mendiamkan diri. Ingin aku dengar cerita Raja Azrin tentang Iskandar. Mungkin kerana perasaan curigaku terhadap Iskandar masih terselit di hati.
“Sha, cuba beritahu Mak Engku betul atau tidak apa yang Rain kata?” soal Mak Engku sambil memandang tepat ke wajahku.
 “Abang Nain beritahu Sha yang kami dinikahkan oleh ayahanda dua minggu sebelum kejadian pembunuhan tu. Kalau tak silap pagi hari Khamis, 15 Mac lepas. Akad nikah di pejabat kadi.”
“Kiesha, you ada tak surat nikah untuk sahkan hal ni?” soal Raja Azrin.
“Abang Nain beritahu dia tertinggal surat nikah di Kuala Lumpur dan yang Sha punya ada dalam simpanan ayahanda. Ayahanda tak sempat nak beri pada Sha sebab lepas akad nikah tu, ayahanda dan Abang Nain ke Madinah,” ujarku dengan yakin.
“Bodoh betul you ni, Kiesha. Mudah kena tipu. Nain tu pembohong besar. I kenallah dia tu. Pasti dia nak tipu dan rampas harta you.” Raja Azrin mencebik mulutnya. Hatiku makin panas mendengar tuduhan itu.
“Kalau you dah kenal sangat hubby I, cuba you beritahu kenapa you panggil dia pembohong besar?” soalku dengan nada yang kian tinggi.
“Sha... Rain... lebih baik kita semua masuk ke dalam rumah untuk bincang soal ni. Tak perlu keluar sebab Sha tak minta izin Nain. Lagi pun Nain dah pesan pada Mak Engku agar tengok-tengokkan Sha waktu dia tiada di sini,” ujar Mak Engku perlahan tetapi tegas.
Aku mengangguk dan memegang tangan Wirdah. Padaku Wirdah perlu ada untuk menyuntik semangat buat diriku.
“Wirdah tak perlu ada jika kita tak keluar,” ujar Raja Azrin Shah apabila melihat Wirdah mengikutku.
“Jika Wirdah tak ada, Sha tak nak berbincang. Wirdah adik Sha dan Sha perlukan dia.” Aku bertegas.
“Baiklah. I tak ada masalah. Cuma takut you yang termalu nanti dengan Wirdah,” perli Raja Azrin.
Aku menjeling marah pada Raja Azrin tetapi aku tetap memasuki rumah Mak Engku. Aku perlu pertahankan apa yang aku miliki sekarang. Tidak mahu lagi aku menoleh ke belakang. Sejarah silam perlu dilenyapkan.

KIES 9 - Bab 16 dan 17



Bab 16

Hari ini aku berhasrat untuk  menolong Mak Cik Gayah iaitu tukang masak di situ bagi menyediakan makan tengah hari. Kebanyakan kerja-kerja memasak akan dibantu oleh penghuni di situ secara bergilir. Aku melihat Wirdah dan beberapa remaja lain turut berada di situ.
“Kak Sha, marilah duduk di sini,” pelawa Syahmina yang duduk di sebelah Wirdah.
Aku tersenyum dan mengambil tempat di sebelah Syahmina. Dia menghulurkan pisau untuk mengupas bawang kepadaku. Aku menyambut hulurannya sambil mengucapkan terima kasih. Wirdah asyik sekali memotong kacang panjang yang kami kutip pagi tadi.
“Kak Wirdah!” panggil Batrisya yang tiba-tiba muncul di situ.
“Ya, Risya. Ada apa?” soal Wirdah sambil melihat wajah Batrisya yang kemerahan dan berpeluh-peluh. Mungkin disebabkan Batrisya berlari sebentar tadi.
“Abang Nadhir bagi ni.”
Batrisya menghulurkan kertas yang berlipat kepada Wirdah tetapi Wirdah enggan menyambutnya.
“Risya, dah berapa kali Kak Wirdah bagi tahu, jangan terima pesan atau apa-apa aje yang Abang Nadhir bagi. Kak Wirdah tak nak terlibat dengan cinta sebelum kahwin.”
“Tapi Kak Wirdah, Abang Nadhir kata dia ikhlas nak kawan dengan kakak. Dia kata sekadar kawan bukan nak bercinta. Nak bercinta lepas kahwin, kata dia.”
Batrisya bersungguh-sungguh menyampaikan pesan. Aku asyik memerhati perbualan mereka. Penolakan Wirdah sedikit sebanyak menarik perhatianku. 
“Tapi Kak Wirdah tak mahu. Memanglah alasan nak kawan aje. Lepas kawan, tentu nak pandang, nak balas-balas surat. Lepas tu apa? Nak jumpa, lahirkan rasa rindu dendam. Itu yang Kak Wirdah tak mahu. Zina mata dan zina hati.”
Syahmina terangguk-angguk menyetujui kata-kata Wirdah. Izyan yang berada di sebelah Syahmina seolah tidak bersetuju dengan kata-kata Wirdah.
“Tapi Wirdah, tak salahkan kalau Wirdah terima dia sebagai kawan. Kitakan sama-sama membesar di sini. Jadi Yan rasa, elok Wirdah bagi peluang pada dia. Mana tahu satu hari nanti jodoh Wirdah dengan dia,” ujar Izyan.
“Yan, itu yang Wirdah nak elak. Kita nak ambil SPM hujung tahun ni, jadi seharusnyalah kita dahulukan soal pelajaran. Soal jodoh tak perlu fikirkan. Bukankah ALLAH dah tetapkan jodoh kita sejak azali? Jadi kenapa nak susahkan diri fikir soal jodoh?”
“Kitakan manusia biasa yang punya perasaan untuk mencinta dan dicintai. Ianya suatu fitrah yang tak boleh Wirdah nafikan,” ujar Izyan lagi.
Batrisya mengambil tempat di sebelahku. Mata kami tertumpu kepada Izyan dan juga Wirdah yang sedang berbahas soal cinta. Tidak aku sangka kedua-dua remaja ini mempunyai pandangan berbeza tentang soal cinta.
“Ya, betul tak boleh dinafikan. Tapi Yan fikirlah sendiri. Adakah cinta Yan dan Mizwar dapat keberkatan ALLAH? Dulu Yan kata Yan boleh kawal cinta Yan pada dia. Tapi Wirdah tengok makin lama makin susah Yan nak padam namanya daripada ingatan Yan. Hari-hari nak tengok walaupun dari jauh. Yan berbalas surat walaupun tak berjumpa secara bersemuka. Apa faedah yang Yan dapat? Selain buat Yan khayal, pelajaran Yan juga mulai merosot. Hafazan Yan pun tak lancar seperti dulu,” balas Wirdah panjang lebar.
“Yang Wirdah nak babitkan diri Yan dalam soal ni kenapa? Yan tahulah urus diri Yan sendiri. Yan cuma nak nasihatkan Wirdah supaya jangan jual mahal. Sementara ada lelaki yang sukakan Wirdah, terimalah. Dunia sekarang perempuan lebih ramai daripada lelaki. Jika Wirdah tak berusaha cari jodoh Wirdah, silap-silap jadi anak dara tua Wirdah nanti. Lainlah kalau Wirdah secantik ratu dunia. Tak payah petik jari pun orang nak.”
Wirdah hanya menggelengkan kepalanya. Pasti dia tidak bersetuju dengan kenyataan Izyan. Walaupun Wirdah berkulit hitam manis tetapi pada aku dia nampak sopan dan comel dalam pakaian muslimahnya.
“Apa pendapat Kak Sha tentang cinta? Mana lebih baik, cari cinta atau biarkan cinta mencari kita?” soal Syahmina tiba-tiba.
Semua mata tertumpu kepadaku. Bicara soal cinta, siapa pun pasti suka. Termasuklah Batrisya yang masih kanak-kanak. Terlangut dia memerhati wajah-wajah di hadapannya. Asyik sekali hingga tidak berganjak walaupun namanya dipanggil oleh teman seusianya. Dia sekadar mengangkat tangan, tanda tunggu.
Aku tersenyum seketika. Bagaimana hendak kujawab persoalan cinta yang diingini oleh remaja di hadapanku? Aku pernah tewas gara-gara cinta dan sekarang aku bercinta lagi walaupun aku tidak jelas siapa sebenarnya Iskandar itu.
“Kak Sha bukanlah layak nak nasihatkan kamu semua tentang cinta. Hidup Kak Sha sendiri juga pincang akibat cinta. Tapi pada Kak Sha cinta itu mulia. Cinta antara lelaki dan perempuan tidak salah jika kena pada tempatnya. Macam yang Wirdah kata, ALLAH dah tetapkan jodoh kita. Jadi walau macam mana kita berusaha mencintai seseorang itu tetapi jika dia bukan jodoh kita, tetap tak akan bersatu. Disebabkan dah terlanjur mencintainya, maka hati akan kecewa. Merana dan berduka bila ditinggalkan oleh si dia.”
“Jadi Kak Sha pernah bercinta dengan Abang Nain sebelum kahwin?” soal Izyan yang nampak berminat mengenai cinta sebelum kahwin.
“Kak Sha tak kenal Abang Nain dan Kak Sha tak hadiri majlis akad nikah kami. Ayahanda Kak Sha yang jadi wakil dan wali. Tapi lepas hidup bersama, terasa manisnya cinta. Lebih manis daripada cinta sebelum kahwin.”
Aku tersenyum melihat Wirdah dan Syahmina yang terangguk-angguk. Tentu mereka gembira dengan pandanganku itu.
“Kak Sha pernah juga bercinta sebelum kenal suami Kak Sha. Orang kata cinta pertama meninggalkan kesan mendalam dalam hati kita. Kak Sha pun begitu juga. Bila cinta tu gagal, hidup Kak Sha jadi tunggang langgang. Kalau Izyan nak tahu, Kak Sha letakkan semua cinta pada dia dengan harapan dialah jodoh Kak Sha. Tapi sebenarnya Kak Sha dah tersilap. Setahun menyemai cinta yang penuh rasa rindu dan kasih sayang, tapi semuanya musnah sekelip mata bila hati dia berubah dan kahwin dengan orang lain. Kak Sha yang ditinggalkan makan hati, merana seorang diri. Hingga sekarang Kak Sha masih merawat luka tu. Rasanya cinta Abang Nain dah buat Kak Sha pulih sedikit demi sedikit.”
Berubah wajah Izyan mendengar ceritaku. Mungkin dia juga seperti aku yang dahulu. Mencintai seorang lelaki dengan sepenuh hati dan berharap dialah jodoh yang telah ditetapkan. Aku tahu, aku perlu menyedarkan Izyan agar tidak terleka dengan mainan cinta. Cinta mereka tidak akan ke mana. Malah boleh merosakkannya.
“Izyan, Kak Sha dah lakukan kesilapan. Pada Kak Sha, Izyan patut mencontohi Wirdah. Jangan mudah percaya pada kata-kata lelaki. Belum mereka dapat, mereka tak akan berhenti. Tapi bila sudah dapat, mudah sahaja mereka tinggalkan. Mereka berpaling dan memilih jodoh yang suci serta tak tercemar. Izyan tanyalah mana-mana lelaki pun, pasti mereka nak pilih isteri yang terbaik walaupun mereka tidak baik. Kalau boleh nak isteri yang tak pernah bersentuh kulit dengan lelaki. Suci sesucinya.”
“Tapi Izyan dan Mizwar tak adalah berhubung secara langsung. Jadi soal tercemar tak mungkin berlaku,” sanggah Izyan.
“Walaupun tak berjumpa, hati Izyan macam mana? Pasti merindukan? Nak tengok dari jauh untuk lepaskan rindu. Bukankah itu menunjukkan hati Izyan dah tercemar? Penuh virus cinta. Asyik ingatkan dia hingga lupa soal lain. Pelajaran pun dah merosot. Sebaiknya Izyan lupakan dulu soal cinta. Bila sampai masanya bercintalah. Tak ada sesiapa nak larang.”
Aku terus menasihati remaja itu walaupun aku tahu sukar baginya untuk menerima. Apa yang penting aku telah menasihat. Aku tidak mahu dia juga menjadi sepertiku. Leka dengan cinta plastik hingga tergadai maruah diri. Bila tersedar, keadaan telah terlambat dan tidak mampu berpatah kembali. Apa yang kukesalkan aku tidak kuat menghadapi kekecewaan hingga aku menyalahkan semuanya. Aku lari daripada kenyataan dan cuba mencari jalan keluar tetapi jalan yang kupilih jauh tersasar daripada kebenaran.
“Hai! Asyik bersembang aje. Bila nak siap buat kerja?” teguran Mak Engku menyedarkan kami semua.
Wirdah dan Syahmina segera mengambil sayur-sayuran yang telah siap dipotong untuk dimasak. Izyan juga turut bangun untuk menolong mereka.
“Sha, mari ikut Mak Engku sekejap,” ujar Mak Engku sambil melangkah keluar dari ruang dapur.
Aku segera bangun dan mengekori langkahnya. Batrisya turut bangun dan memegang tanganku. Kami jalan beriringan menuju ke wakaf. Mak Engku melabuhkan punggung di atas bangku. Aku dan Batrisya turut duduk berhampiran Mak Engku.
“Bagaimana perasaan Sha tinggal di sini?” soal Mak Engku memulakan bicara.
“Seronok dan rasa tenang,” jawabku sopan.
“Baguslah jika begitu. Mak Engku ucapkan takziah pada Sha dan harap Sha tabah hadapi dugaan hidup. Jika Sha ada masalah, jangan segan-segan untuk bertanya. Anggaplah Mak Engku macam bonda Sha sendiri. Mak Engku akan bantu selagi terdaya,” ujar Mak Engku sambil menggenggam tanganku.
Aku rasa tersentuh dengan kata-katanya. Aku bersyukur kerana ada yang sudi menganggap aku seperti anak. Genggaman tangannya kubalas sambil tersenyum kepadanya.
“Sha hargai pertolongan Mak Engku dan Sha harap dapat belajar agama di sini. Sha jahil dan banyak dosa pada ALLAH. Selama ini Sha enggan sujud pada ALLAH. Seteruk-teruk Iblis, dia tetap sujud pada ALLAH walaupun enggan sujud pada Nabi Adam. Tapi disebabkan keengganannya, dia dibuang dari syurga dan akan di masukkan ke neraka. Sha pula enggan sujud pada ALLAH dan enggan patuh pada ajaran Nabi Muhammad. Sha lebih teruk daripada iblis sebenarnya.” Aku mengeluh penuh kesal.
“Sha, pintu taubat sentiasa terbuka. Bila Sha dah sedar dan mahu berubah, ALLAH berikan pahala dan kebaikan untuk Sha. Ikhlaskan hati Sha untuk mencari ALLAH, Insya-ALLAH Sha akan berjaya. Nanti Sha ikutlah kelas agama dengan penghuni dewasa di sini lepas solat Zohor. Ustazah Nurul Jannah akan datang mengajar. Nanti Mak Engku kenalkan Sha pada dia.”
“Baiklah, Mak Engku. Sha minta diri dulu. Nanti Sha datang belajar,” ujarku dengan bersemangat.
“Alhamdulillah. Mudah-mudahan Sha akan memperoleh ketenangan dan mudah menerima apa yang diajarkan.” Doa Mak Engku buatku.
Aku bangun dan melangkah ke rumah tetamu. Batrisya memanggilku dari arah belakang. Aku berhenti dan menoleh ke arahnya.
Aunty, Risya nak buat apa dengan surat ni? Kak Wirdah tak mahu. Tadi Abang Nadhir suruh bagi juga-juga. Tak boleh tidak,” ujar Batrisya sambil menunjukkan surat di tangannya.
“Risya, jangan risau. Surat ni biar aunty yang serahkan pada Nadhir.”
Aunty nak serahkan sendiri? Aunty kenal diakah?”
Batrisya mendongak memandang wajahku dengan pelik.
Aunty bagi pada suami aunty. Nanti dia boleh beri pada Nadhir,” ujarku menjelaskan maksudku tadi.
“Baiklah kalau begitu. Aunty ambillah surat ni,” ujar Batrisya sambil menyerahkan surat itu.
Aku mengambil surat itu dan berlalu pergi. Dari jauh aku dapat melihat Iskandar bersama-sama beberapa remaja lelaki sedang mengecat wakaf berhampiran surau. Aku melangkah menghampiri mereka.
“Abang,” panggilku.
Iskandar menghentikan kerjanya dan mendapatkan aku. Dia mengajak aku duduk di bangku berhampiran surau yang dijadikan tempat untuk mereka berehat. Aku menurut langkahnya. Iskandar menuang air sirap lalu menyisip sedikit. Kemudian gelas itu dihulurkan kepadaku. Aku menyambut dengan senyuman dan turut menyisip air itu. Walaupun air itu tawar, tetapi tetap manis buatku.
“Sha, tadi abang dah belikan lauk dan nasi. Nanti kita makan sama-sama, ya.”
“Kenapa kita tak makan bersama-sama anak-anak yatim tu?” soalku kerana agak hairan. Kami tinggal dalam kawasan yang sama, jadi apa salahnya jika aku dan Iskandar turut makan bersama-sama mereka.
“Tak salah sebenarnya. Mak Engku pun ada pelawa abang tapi abang nak kita makan berdua dan bina rumah tangga kita sendiri. Jika kita asyik makan dengan mereka, bila masa untuk kita bersama? Nanti bila dah mula belajar, mungkin masa Sha bersama-sama abang agak terhad. Jadi, masa makanlah masa untuk kita selain waktu tidur. Waktu tidur pula dah tentu tak berbualkan?” ujar Iskandar sambil mencuit hidungku.
Aku tersenyum dan menyetujui kata-katanya.
“Abang kenal Nadhir tak? Tadi dia ada beri surat ni pada Risya dan suruh sampaikan pada Wirdah. Sha kagum dengan Wirdah. Dia tolak cinta yang Nadhir hulurkan atas alasan tak mahu cinta sebelum kahwin mengganggu hidupnya. Dia nak tumpukan perhatian pada pelajaran dan biarkan soal jodoh dalam ketentuan ALLAH,” ujarku sambil menghulur surat Nadhir.
Iskandar menyambut surat yang diberikan olehku. Dia memusingkan badannya dan melaung nama Nadhir. Nadhir menghentikan kerja mengecat dan menghampiri kami. Iskandar menyuruh Nadhir duduk di bangku bersebelahannya.
“Ini surat Nadhir yang dipulangkan oleh Wirdah.”
Iskandar menghulurkan surat itu dan Nadhir menyambutnya dengan wajah yang kelat. Tentu dia kecewa ketika itu.
“Nadhir, Abang Nain nak nasihatkan Nadhir. Harap Nadhir terima dengan hati yang terbuka. Nadhir masih lagi belajar, jadi seharusnya tumpukan perhatian pada pelajaran. Suatu hari nanti, Nadhir akan jadi ketua keluarga. Jika Nadhir tidak melengkapkan diri dengan sebaiknya, bagaimana Nadhir nak jaga isteri dan anak nanti? Adakah dengan cinta sahaja Nadhir dapat menjamin mereka hidup bahagia?”
“Tapi, Nadhir bukan nak ajak dia kahwin. Hanya berkawan dan janji akan tunggu Nadhir hingga dewasa,” sanggah Nadhir.
“Kita ni lelaki dan ada tanggungjawab yang berat untuk diri serta orang yang di bawah tanggungjawab kita. Jangan sebab kita, ada jiwa yang merana. Kalau alasan Nadhir hanya nak berkawan, sekarang pun kira berkawan sebab tinggal di tempat yang sama. Tapi abang rasa Nadhir ada maksud lain. Nadhir nak ajak dia bercinta macam remaja yang lainkan?” soal Iskandar.
Nadhir mengangguk lemah.
“Itu yang silapnya Nadhir. Abang rasa Wirdah lebih tahu membentengkan diri daripada masalah yang sering menghantui remaja. Abang dulu pun remaja dan pernah jatuh cinta. Tapi abang kecewa bila dia memilih orang lain. Pelajaran abang merosot dan hampir dibuang daripada asrama. Masa tu abang ada di MRSM. Abang diberi kaunseling dan dinasihatkan oleh seorang ustaz. Dia kata, jika kita mencari ALLAH tanpa memperdulikan yang lain, Insya-ALLAH perkara yang lain tu akan datang dengan sendirinya. Malah lebih baik daripada apa yang kita kejarkan selama ini. Kalau perempuan, yang kita akan peroleh adalah perempuan yang terbaik buat kita.” Terang Iskandar panjang lebar.
Kata-kata Iskandar menyentuh hatiku. Aku bukanlah perempuan yang terbaik buat Iskandar. Aku telah tercemar. Apa yang dia dapat daripada diriku? Jika kesetiaan, aku masih meraguinya. Kalau cinta, aku mencintainya tetapi tidak sepenuh hati. Mungkin juga aku tertarik dengannya kerana susuk tubuhnya, sikap penyayangnya dan mungkin juga kerana dia teman tidurku. Jadi, apakah yang terbaik daripada diriku?
“Jadi apa yang harus Nadhir buat? Nadhir sukakan dia dan tak mahu dia jatuh hati pada lelaki lain. Kalau boleh, Nadhir nak jadikan dia isteri bila besar nanti,” ujar Nadhir dengan wajah yang sugul.
“Nadhir, rasa cinta tu tak salah. Tapi jangan letakkan di tempat yang salah. Jika Nadhir nak Wirdah sebagai isteri, hormati pendiriannya. Dia nak tumpu pada pelajaran dan berjaya dalam hidup. Bagi dia peluang tu dan jangan ganggu dia. Sebaiknya Nadhir juga memasang azam seperti Wirdah. Selepas berjaya nanti, pinanglah Wirdah. Insya-ALLAH waktu tu Wirdah akan terima Nadhir dengan tangan terbuka.”
“Tapi kalau Wirdah terima orang lain sebelum sempat Nadhir pinang dia, bagaimana?” soal Nadhir masih tidak berpuas hati.
“Jika jodoh Nadhir adalah Wirdah, lari hingga ke hujung dunia pun pasti bersatu juga. ALLAH dah tetapkan jodoh kita. Apa yang perlu Nadhir buat, berdoa pada ALLAH agar ditetapkan hati. Pohonlah pada ALLAH jodoh yang baik. Mudah-mudahan Nadhir mendapat isteri yang terbaik dan sesuai dengan Nadhir suatu hari nanti,” ujar Iskandar sambil menepuk bahu Nadhir.
Nadhir kemudiannya meminta maaf dan berterima kasih atas nasihat Iskandar. Mereka saling bersalaman. Aku hanya tersenyum melihat keadaan itu.












Bab 17

Iskandar mengajakku pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Kami berjalan berpegangan tangan sambil berbual.
“Abang, kenapa abang pilih Sha? Kenapa tak pilih perempuan yang lebih baik untuk dijadikan isteri?”
“Sebab Sha yang terbaik buat abang.”
“Walaupun Sha telah tercemar?” soalku dengan hairan.
“Itu kisah silam Sha. Sha yang sekarang bukan Sha yang dulu. Abang rasa Sha tak kurang apa-apa pun. Malah Sha cukup sempurna buat abang. Sha isteri yang patuh dan taat pada suami, manja dan menerima abang seadanya.”
 “Tapi Sha rasa abang terlalu sempurna dan seharusnya memiliki isteri yang suci dan baik akhlaknya. Sha rasa malu pada abang. Sha kotor dan bergelumang dosa sedangkan abang seorang lelaki yang bersih dan mulia.”
“Abang bukanlah sempurna. Abang juga sering berbuat dosa. Tetapi ALLAH beri kita peluang untuk berubah. Sha tahu tak kisah taubat Malik bin Dinar?”
“Tak. Siapa Malik bin Dinar tu?” soalku sambil memandang Iskandar yang sedang membuka kunci rumah.
“Sekejap. Kita masuk dulu.”
Kami masuk ke dalam rumah dan duduk di kerusi ruang hadapan. Aku tidak sabar untuk mendengar cerita itu. Iskandar memulakan ceritanya.
Malik bin Dinar adalah seorang tabi’in yang terkenal. Tetapi permulaan hidupnya dipenuhi dengan minuman memabukkan dan berbuat maksiat. Dia pernah berbuat zalim pada orang lain, mengambil hak orang lain, mengamalkan riba, memukul dan melakukan kezaliman sesuka hati. Tiada maksiat yang tidak dilakukannya. Disebabkan itu, ramai orang mulai menjauhinya.
Suatu hari, dia berkahwin dan mendapat seorang anak perempuan. Dia sangat menyayangi Fatimah, anaknya itu. Ajaibnya anak ini seolah tahu kalau dia memegang botol arak, anaknya akan mendekati. Fatimah akan menjauhkan botol itu dari bapanya, sedangkan ketika itu dia baru berusia dua tahun. Seakan ALLAH mengatur Fatimah untuk berkelakuan begitu. Semakin hari dia semakin mendekati ALLAH sehinggalah Fatimah yang berusia tiga tahun meninggal dunia.
Malik bin Dinar menjadi seorang yang lebih buruk dari sebelumnya. Dia masih belum memiliki kesabaran orang yang beriman sehingga syaitan berjaya memperdayakannya. Suatu hari, dia mabuk akibat meminum arak sepanjang malam. Dia bermimpi melihat dirinya di hari kiamat. Dia melihat ular yang besar lagi ganas berjalan sambil membuka mulutnya menyebabkan dia berlari sehinggalah menemui seorang lelaki tua yang lemah.
Dia cuba meminta tolong tetapi lelaki itu menjawab, “Aku lemah anakku, Aku tidak dapat menolongmu. Pergilah ke arah gunung itu, mungkin kau akan selamat.
Malik berlari ke arah gunung dan ular itu semakin hampir mengekorinya. Dia terlihat Fatimah di puncak gunung lalu dia memanggil anaknya itu.  Anaknya menolong dan menyambut dengan tangan kanannya, lalu mengusir ular tersebut dengan tangan kirinya. Sedangkan Malik kelihatan seperti mayat waktu itu kerana ketakutan.
Fatimah menerangkan bahawa ular itu adalah amalan buruk Malik yang dibesarkan dan semakin bertambah setiap hari. Segala amal di dunia akan berubah menjadi jasad di akhirat kelak. Lelaki tua itu, amal soleh Malik yang lemah dan tak mampu melakukan sesuatu untuk membantunya. Sekiranya Malik tidak mempunyai anak dan anaknya mati ketika kecil, tentu tidak ada yang bermanfaat baginya.
Malik terbangun daripada tidur dan berteriak, “Telah datang wahai Tuhanku…telah datang, wahai Tuhanku…”
Dia keluar dan bersiap untuk solat subuh. Sewaktu melangkah masuk masjid, dia mendengar imam membaca, “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati ALLAH.”
Sejak dari itu Malik pun bertaubat sehingga dikenali kerana hampir setiap hari dia menghabiskan masa di masjid. Dia selalu menangis sepanjang malam sambil berdoa,Ya RABBku, KAU sendirilah yang tahu penghuni syurga dan penghuni neraka, lalu aku termasuk yang mana? Ya ALLAH, jadikanlah aku dari penghuni syurga, dan jangan KAU jadikan aku dari penghuni neraka.
“Begitulah ceritanya. Jadi Sha tak perlu rasa gusar. ALLAH Maha Pengampun dan penerima taubat. Berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, ‘Siapa yang mendekatiKU sejengkal, maka AKU akan mendekat padanya sehasta. Lalu siapa yang mendekatiKU dengan sehasta, AKU akan mendekatinya sedepa. Dan siapa yang mendekatiKU dengan berjalan, maka AKU akan mendekatinya sambil berlari kecil. Ini menunjukkan ALLAH amat menyukai sesiapa yang berusaha mencari ALLAH,” terang Iskandar panjang lebar.
Aku bangun dan mencapai tangannya. Air mataku berlinangan di pipi. Ada rasa terharu di sudut hati.
“Abang, terima kasih kerana menerima Sha yang serba kekurangan dan hina ini. Abang buat Sha rasa tenang dan yakin dengan ALLAH. Sha tak kenal abang tapi abang bersusah payah menolong Sha. Malah begitu sabar melayani kerenah Sha. Sha sayangkan abang,” ujarku lalu mencium tangannya.
Iskandar menarikku ke dalam pelukannya.
“Sha tahu tak? Abang rasa satu kemenangan apabila berjaya menyedarkan seorang umat Muhammad tentang kewajipannya pada ALLAH. Lebih-lebih lagi orang itu di bawah tanggungjawab abang. Sebab tu abang kata abang tak salah pilih. Orang yang pernah berdosa dan bertaubat bersungguh-sungguh kepada ALLAH adalah bersih dan suci daripada dosanya apabila ALLAH mengampunkan segala dosanya. Jadi, abang harap Sha terus berada di jalan ALLAH dan jangan berpaling kembali kepada kesesatan,” ujar Iskandar lalu mencium dahiku. Dia turut memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH.
“Abang, Sha janji akan menjadi isteri yang baik buat abang dan akan belajar agama dengan bersungguh-sungguh. Sha pun nak jadi macam Malik bin Dinar. Beribadah dan terus beribadah pada ALLAH. Sha harap abang akan tolong Sha.”
“Insya-ALLAH, sayang. Abang nak kita sama-sama beribadah dan mencari keredaan ILAHI.”
Iskandar tersenyum dan aku membalas senyumannya.
“Jomlah kita makan. Abang dah lapar ni.”
Aku tergelak kecil lalu bangun menuju ke dapur. Iskandar menurut langkahku dan kami sama-sama menghidangkan makanan di meja. Setelah Iskandar membaca doa, kami makan dengan gembiranya. Dalam hati aku berdoa agar ALLAH kekalkan kasih sayang kami berdua. Sungguh aku cintakan suamiku.

Azan Zohor berkumandang di surau. Aku segera bergegas menuju ke ruang sembahyang perempuan. Aku telah tahu cara menjawab azan kerana Iskandar telah mengajarku sebelum ini. Ruang solat telah dipenuhi oleh penghuni di situ. Seperti biasa, apabila yang lain menunaikan solat sunat, aku hanya memerhati. Terasa diri begitu bodoh saat itu. Tetapi aku berazam untuk mempelajari semua jenis solat sunat agar aku tidak terus berada dalam kebodohan.
Kami semua memulakan solat dengan aku di saf yang belakang sekali. Aku memilih untuk berada di belakang agar mudah bagiku untuk melihat dan mengikut pergerakan jemaah di saf hadapanku. Ketika berdoa, aku dapat melihat sekelilingku hanya berwarna putih. Semua memakai putih termasuk diriku.
Suasana menjadi hening. Apa yang kulihat hanyalah warna putih tanpa objek. Semata-mata, putih. Aku menggosok kedua-dua mata, menyangka mataku silau. Apabila terbukanya mata, aku melihat nun jauh di hadapan terbujur kaku tubuh yang berbalut dengan kain berwarna putih. Aku menghampiri tubuh itu. Baru aku sedar bukan aku sahaja mendekati tubuh itu. Malah ramai yang mengelilinginya. Aku dapat melihat Mak Engku memangku tubuh itu.
Aku terkejut. Tubuh itu amat kukenali. Sangat-sangat kenal kerana tubuh itu adalah aku. Jika tubuhku di situ, kenapa aku berdiri di sini? Adakah sudah bercerai nyawa daripada badan? Aku dah mati? Oh! Tidak. Aku nak hidup lagi. Nak bertaubat, nak beribadat, nak jadi isteri solehah buat Iskandar. Ya, ALLAH tolonglah aku.
Aku melihat anak-anak yatim duduk mengelilingiku sambil membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Begitu juga penghuni yang lain. Aku rasa terawang-awang. Aku dapat melihat wajah Iskandar yang cemas. Dia mengambil alih tubuhku daripada pangkuan Mak Engku. Air disapu ke mukaku dan sesekali Iskandar menghembus di telingaku. Terasa sejuk dan mendamaikan.
“Sha, mengucap Sha,” arah Iskandar.
Tubuhku masih kaku dan aku masih terawang-awang di udara. Seolah begitu ringan. Aku ingin kembali ke tubuhku tetapi ada yang menghalang. Aku dapat melihat ular besar di belakangku membuka mulutnya seluas-luasnya. Perasaan takut dan cemas menyelubungiku. Aku tahu jika ular itu membahamku, pasti aku tidak akan terselamat. Aku berlari sekuat hati. Lari dan terus lari. Tiba-tiba aku ternampak Iskandar di hujung lorong yang bercahaya.
Aku menjerit memanggil Iskandar dan menghulur tangan kepadanya. Iskandar menyambut tanganku dan serentak itu aku memeluk erat tubuhnya. Aku menangis semahu-mahunya. Iskandar memujuk dan menenangkan aku.
“Apa yang terjadi?” soalku kepada Iskandar, setelah aku rasa tenang.
“Sha pengsan secara tiba-tiba. Tubuh Sha macam tak bernyawa tadi. Risau abang dibuatnya. Tapi syukurlah Sha dah sedar sepenuhnya.”
“Semangat Sha ni masih lemah,” ujar Mak Engku.
“Nain harap, Mak Engku boleh tolong Sha.”
“Insya-ALLAH Nain. Kita sama-sama bantu Sha untuk kuatkan semangatnya,” ujar Mak Engku.
Iskandar menganggukkan kepalanya. Aku memusingkan badan dan duduk menghadap Mak Engku. Mak Engku menghulurkan air untukku. Aku menyambut hulurannya dan minum beberapa teguk. Aku menceritakan kepada mereka apa yang aku alami sewaktu dalam keadaan pengsan. Mak Engku yang tahu rawatan secara Islam telah merawatku. Tubuhku terasa segar semula.
“Macam mana Sha? Sha nak sambung belajar atau balik berehat?” soal Mak Engku sambil memegang tanganku.
“Sha nak belajar,” jawabku dalam nada yang masih lemah.
“Baiklah. Tapi kalau Sha rasa letih, Sha boleh rehat.”
Aku menganggukkan kepala. Iskandar meminta diri untuk beredar dari situ kerana kawasan itu akan digunakan oleh penghuni perempuan untuk mempelajari al-Quran bersama Ustazah Nurul Jannah. Aku disuruh belajar membaca Qiraati terlebih dahulu oleh Mak Engku. Mak Engku turut mengajarku cara berdoa dan berzikir bagi memulihkan semangatku. Aku bersungguh-sungguh mempelajarinya walaupun beberapa kali lidahku tergeliat untuk menyebut perkataan yang asing bagiku.
Selesai mempelajari asas al-Quran, aku menunaikan solat Asar bersama-sama jemaah yang lain. Aku hanya berehat sebentar dan kemudian menyambung kembali pelajaran agama selepas waktu maghrib. Walaupun terasa letih, tetapi hatiku gembira.
Aku pulang ke rumah tetamu ketika hampir jam 11.30 malam. Iskandar menyambutku dengan senyuman. Gembira kerana aku tampak bersungguh-sungguh untuk berubah. Setelah bersalaman dengannya aku terus melangkah ke bilik. Tanpa menyalin pakaian, aku merebahkan diri di katil.
“Sayang letihkah?” soal Iskandar setelah melihat aku terbaring kelesuan.
“Ya. Sha letih tapi rasa seronok. Banyak yang Sha pelajari hari ni,” ujarku sambil tersenyum.
“Salin baju dulu sebelum tidur,” ujar Iskandar sambil menghulurkan baju tidur kepadaku.
Dengan perasaan malas aku bangun dan menyalin pakaian. Iskandar mengutip pakaian yang kutanggal lalu di masukkan ke bakul basuhan. Sememangnya Iskandar agak pembersih dan tidak suka melihat benda yang bersepah. Selalunya dia akan mengemas tanpa banyak soal. Tetapi dia tidak pernah menyuruhku mengemas apa yang aku sepahkan. Salah satu perangainya yang aku kagum. Sangat bersabar denganku.
Aku memeluk dan menghadiahkan ciuman di pipi Iskandar tanda penghargaanku kepadanya. Iskandar hanya tersenyum melihatku.
“Terima kasih kerana bersabar dengan Sha. Sha dah banyak menyusahkan abang. Tapi abang tak pernah merungut atau marahkan Sha. Sha sayangkan abang,” ujarku sambil mengemaskan pelukan di tubuh Iskandar.
“Dah tanggungjawab abang jaga Sha. Abang tahu Sha perlu diberi semangat. Jadi abang cuba sedaya upaya untuk bantu Sha. Abang juga sayangkan Sha. Sayang sangat-sangat sebab tu abang sanggup buat apa aje untuk Sha.”
Aku mendongak memandang Iskandar. Iskandar turut memandang wajahku.
“Abang, kenapa kita lambat kenal?”
Iskandar ketawa kecil.
“Dah tertulis jodoh kita bertemu dalam bulan ni. Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya dalam kekuasaan ALLAH. Kita hanya mampu merancang tapi ALLAH yang tentukan. Jika ikut perancangan, ayahanda nak kenalkan abang dengan Sha seminggu selepas tarikh akad nikah kita. Tapi ayahanda dan abang terpaksa ke Madinah urus soal perniagaan. Bila balik ke sini, mak abang pula jatuh sakit dan abang balik ke rumah dia. Segala apa yang dirancang tak menjadi.”
“Abang ke Madinah dengan ayahanda? Sha pergi ke air port masa tu. Tapi kenapa tak nampak abang?” soalku sambil melabuhkan punggung di katil. Iskandar turut duduk di sebelahku.
“Abang ada tapi ke belakang sikit bersama-sama kawan-kawan abang. Sengaja kami tak masuk sekali atau datang bersama supaya tak ada yang mengenali abang sebagai pembantu ayahanda termasuk Sha. Kami sengaja nak beri kejutan pada Sha.”
“Abang ada? Kenapa Sha tak perasan pun?”
“Nak perasan macam mana? Asyik bergayut telefon aje. Lepas tu, Sha tak tunggu ayahanda masuk ke balai berlepas pun. Tergesa-gesa aje Sha keluar dari situ. Kalau Sha tunggu sekejap, Sha akan nampak abang salam dengan bonda.”
Aku menundukkan wajah. Ingatan terhadap ayahanda dan bonda membuat kurasa sedih. Lebih-lebih lagi mengingatkan perangaiku yang tidak mengambil berat tentang mereka. Malah aku keluar daripada lapangan terbang setelah menerima panggilan Jenny yang mengajak aku membeli belah. Aku sanggup tinggalkan kedua-dua ayahanda dan bonda kerana kawan. Padahal kawanku itu tidak langsung muncul menolongku kala aku kesusahan.
Suatu pengajaran padaku. Kawan ketawa beribu-ribu bilangannya, kawan menangis satu dalam seibu. Sewaktu aku susah hanya Shila yang ada untuk aku mengadu. Sekarang aku terpisah dengannya. Tapi aku tahu dia mampu mengendalikan kerja-kerja di syarikatku. Aku telah mengamanahkan kepadanya agar menolong kerja-kerja Ayah Bad bagi melicinkan perjalanan syarikat. Walaupun Tengku Badri dan Tengku Budriz ada di syarikat itu tetapi aku lebih mempercayai Shila.
“Sha menung apa? Ingatkan ayahanda dan bonda?” soal Iskandar sambil menyentuh tanganku. Aku angguk, lemah.
“Maafkan abang sebab buat Sha rasa sedih.”
 “Tak mengapa. Sha dah boleh terima pemergian mereka. Cuma sesekali terasa sedih. Tapi Sha dah boleh kawal,” kataku dengan yakin.
Iskandar mengusap lembut tanganku seolah memujuk dan memberiku kekuatan.
“Kalau abang tanya, Sha jangan kecil hati, ya.”
Aku memandang wajah Iskandar dan kemudian menganggukkan kepala.
“Ayahanda kata dia pernah tanyakan Sha untuk kahwinkan Sha dengan pilihan ayahanda dan Sha setuju. Tapi Sha pernah kata yang Sha tak tahu dan tak beri persetujuan untuk kahwin. Macam mana ayahanda dapatkan tanda tangan Sha dalam keadaan Sha sedar? Abang masih rasa pelik tentang soal ni.”
Otakku ligat mengingat kembali peristiwa yang menyebabkan aku pernah memberi persetujuan lisan kepada ayahanda. Cuma ketika itu aku hanya menganggap perkara itu adalah gurauan. Malah ketika itu aku dan ayahanda sedang bermain catur.
“Sebenarnya apa yang Sha kata pada ayahanda Sha anggap gurauan aje. Waktu tu Sha main catur dengan ayahanda. Buah Queen, Sha gerakkan untuk lindung King. Masa gerakkan tu, Sha kata yang Sha nakkan suami yang kuat dan mampu lindungi Sha bukannya macam buah King yang ada di papan catur tu. Asyik Queen yang tolong dia. King tu macam hampas, lembik. Sebab tu semua buah kena jaga dia.”
Aku tersenyum memandang wajah Iskandar yang tekun mendengar ceritaku.
“Ayahanda kata yang dia ada calon suami untuk Sha. Orangnya gagah perkasa dan mampu lindungi Sha atau sesiapa aje yang bawah tangungjawab dia. Apa yang penting tak lembik atau hampas macam buah king. Sha anggap itu hanya gurauan, jadi Sha pun kata setuju untuk kahwin jika betul orang sebegitu wujud. Rupanya ayahanda tak bergurau.”
“Sayang menyesal?”
“Tak. Malah bersyukur sangat sebab ayahanda dah carikan Sha seorang suami yang gagah perkasa, penyayang dan penyabar,” ujarku sambil menggenggam tangan Iskandar.
Iskandar tersenyum lalu mencuit hidungku. Kami ketawa serentak. Aku merebahkan badan di katil. Kepenatan membuatku ingin merehatkan diri. Iskandar menutup lampu dan kemudian berbaring di sebelahku. Tangannya menggenggam tanganku. Aku tersenyum sambil memejamkan mata. Seribu kesyukuran kupanjatkan kepada ILAHI atas anugerah ini.