Pengikut

Ahad, 16 September 2012

Abang King Control ke? - 2




Razif memandu kereta berwarna hitam dengan berhati-hati. Razif merupakan seorang lelaki yang begitu cermat dan sentiasa mematuhi peraturan jalanraya. Apabila tiba di Pasar Mini dia mendapati tempat parkir telah penuh. Razif memerhati kalau-kalau ada kenderaan yang ingin keluar dari situ. Nasibnya agak baik kerana ada sebuah kereta sedang mengundur. Razif memberi isyarat untuk memasuki parkir sambil menunggu kereta itu keluar.
Sebelum sempat Razif memasuki parkir, dia terkejut kerana sebuah kereta Kancil berwarna merah jambu telah memintasnya dengan laju dan mengambil parkir itu. Bahang kemarahan hinggap di hati dengan sikap biadap pemandu kereta Kancil. Razif memberhentikan keretanya betul-betul di belakang kereta Kancil.
“Hoi! Kenapa ambil parking aku?” tanya Razif kepada pemandu kereta Kancil.
“Amboi! Cantiknya bahasa. Ingat orang tak ada nama? Main hoi-hoi, pula,” jawab gadis berbaju merah jambu dan bertudung putih yang memandu kereta Kancil.
“Dah aku tak tahu nama kau. Lagipun kenapa kau biadap sangat ambil parking aku?”
Parking kau? Mana ada nama kau di sini dan aku rasa kau yang biadap. Letak kereta kau belakang kereta aku buat apa? Ingat hebat sangat?”
“Kau yang salah tak mahu mengaku. Kalau kau tak mahu ubah kereta kau, aku tak akan alihkan kereta aku,” ugut Razif dalam geram.
“Wei, Burung gagak! Kalau kau tak ubah kereta kau, aku tak jamin kereta hitam kau masih hitam lagi nanti. Takut bertukar warna jadi pink.”
“Amboi! Mulut tak ada insuran. Ingat aku takut sangat dengan kau? Kalau kau berani sentuh kereta aku, aku pun tak jamin kereta pink kau masih pink lagi. Silap-silap jadi hitam semuanya.” Balas Razif tidak mahu kalah.
“Kak Irdina, jangan dilayan orang begini. Jomlah masuk,” kata gadis berbaju biru yang berada di sebelah gadis berbaju merah jambu itu.
“Betul tu! Lagi lama aku layan gagak hitam yang biadap ni, lagi lambat kita boleh balik,” kata Irdina kepada sepupunya Balkis.
Walaupun hatinya masih membengkak terhadap Razif, Irdina tetap mengekori Balkis. Razif hanya melihat langkah mereka yang memasuki Pasar Mini berhadapan parkir itu. Hati Razif mengerutu marah. Dia kemudiannya membiarkan keretanya menghalang kereta Kancil dan turut masuk ke Pasar Mini yang sama. Razif mengambil bakul yang tersedia dan mula mencari barang yang diperlukannya. Ketika meneliti pisau cukur yang terletak di rak, telinganya dapat menangkap percakapan kedua-dua gadis tadi yang berada di lorong bersebelahan rak itu.
“Kak Irdina, Mamat gagak tadi nampak handsome juga. Aku rasa Kak Irdina dan dia memang padan.” Balkis ketawa.
“Simpang malaikat empat puluh empat. Tak mahu aku lelaki macam tu,” ujar Irdina sambil matanya meneliti label barangan yang diambilnya.
“Jangan takbur sangat. Nanti ALLAH jodohkan Kak Irdina berdua, baru tahu,” usik Balkis lagi. Makin kuat ketawanya.
“Apa kena kau ni? Mamat tu pun kita tak kenal, yang kau pandai-pandai doakan aku dengan dia buat apa? Entah-entah laki orang, bapak ayam atau pendatang tanpa izin. Tak mahulah aku cari bala. Masalah yang aku tanggung pun dah banyak. Tarik balik doa kau.” Marah Irdina. Balkis hanya tersengih tanpa kata.
Razif yang mendengar terasa hangat di hati. Geram kerana dia dituduh yang bukan-bukan oleh Irdina.
‘Aku yang handsome dia kata pendatang tanpa izin. Bapak ayam? Huh! Memang kurang ajar. Kalau aku dapat perempuan ni, aku tenyeh-tenyeh mulut dia. Biar dia tahu siapa aku sebenarnya.’ Gerutu Razif di dalam hati. Mahu sahaja rasanya dia bersemuka dengan gadis bermulut celupar itu dan membidas setiap tuduhan yang dilontarkan. Tetapi apabila difikirkan malu kepada orang lain, dia hanya mendiamkan diri.
“Balkis, tengok senarai sekejap. Apa lagi yang nak kena beli?” tanya Irdina.
“Kicap dan telur tak ambil lagi,” jawab Balkis.
“Okey. Aku cari kicap, kau ambil telur.”
Razif turut teringat bahawa dia tidak mengambil kicap lagi. Dia bergerak ke arah rak yang menempatkan pelbagai jenis botol. Dari jauh dia dapat melihat kicap kegemarannya. Tangannya segera mengambil botol kicap yang terdapat di rak itu.
“Hoi, pak cik! Kenapa ambil kicap aku?” tanya Irdina yang tiba-tiba terjengul di hadapan Razif.
“Banyaklah pak cik kau. Bila aku kahwin dengan mak saudara kau?” soal Razif sambil merenung tepat ke wajah Irdina. Dia dapat merasakan itulah peluangnya untuk membalas rasa sakit hatinya terhadap tuduhan Irdina sebentar tadi.
“Tak semestinya kahwin dengan mak saudara aku, baru di panggil pak cik. Aku panggil pak cik sebab hormatkan kau yang dah tua. Satu lagi, pulangkan kicap aku!”
‘Eh! Aku yang masih muda ni dikatakan tua? Tak apa. Aku tahulah nak ajar kau. Tunjuk biadap sebab nak pikat akulah ni. Bukan aku tak tahu perangai perempuan jenis gedik, semua sama saja’, bisik hati Razif penuh perasan.
“Kau punya?” tanya Razif sengaja menayang botol kicap itu di hadapan mata Irdina.
“Ya, aku yang punya,” Irdina cuba mengambil botol di tangan Razif.
Tanpa sedar, jaraknya makin dekat dengan Razif. Razif segera menyorokkan botol itu di belakangnya. Jangkauan Irdina terhenti. Tidak mungkin dia merapatkan lagi jaraknya ke tubuh Razif. Bibirnya diketap rapat tanda geram. Matanya bulat merenung wajah Razif. Razif mencebik sinis.
“Mana ada nama kau di botol ni. Lagipun banyak lagi kicap atas rak tu. Kenapa nak berebut dengan aku? Kau ni memang gedikkan?” Razif memasukkan botol kicap ke dalam bakulnya.
Irdina geram dengan perbuatan Razif. Kicap yang diambil Razif itu merupakan botol terakhir yang terdapat di situ. Irdina hanya menyukai kicap jenama itu dan tidak yang lain. Dia perlu mendapatkannya.
“Tolonglah beralah sikit dengan orang perempuan. Ambillah kicap lain. Beri aku kicap tu,” Irdina menukar taktik bercakap dengan lebih lembut. Dia berharap Razif akan memberikan kicap itu.
“Kenapa lelaki saja yang perlu beralah? Ini kicap kegemaran aku. Jadi aku tak akan beri pada orang lain, walaupun kau jadi tunang aku!”
“Siapa yang ingin jadi tunang kau? Perangai dahlah teruk, kedekut pula tu,” kata Irdina geram.
“Aku pun tak ingin, gedik!” Razif melepaskan geram sebagai balasan kerana Irdina mengutuknya tadi.
“Apa gedik-gedik? Sejak tadi kau asyik panggil aku begitu.”
Razif tersenyum sumbing. Seronok boleh membalas kutukan Irdina dan seronok bertikam lidah dengannya.
“Gedik syok sendiri! Nak mengorat aku tapi buat-buat kata nak ambil kicap di tangan aku.” Ketawa Razif terhambur juga.
“Kurang ajar! Ingat aku gedik sangat dengan kau. Kalau tak kerana kicap tu, aku tak mau cakap dengan kau. Bagi balik kicap tu pada aku!” kata Irdina, keras. Mukanya telah merah menahan marah.
 “Maaf. Aku dah ambil. Kalau kau nak, cari yang lain.” Razif bergerak ke arah kaunter bayaran sambil tersenyum puas. Terasa kemenangan di pihaknya.
Irdina yang tidak berpuas hati merengus marah. Dia melihat sekeliling. Terdapat beberapa orang yang memerhatikan gelagat mereka sedari tadi. Ada yang ketawa dan ada yang menggeleng kepala. Malu menyerbu ke mukanya.
“Kak Irdina, kenapa bergaduh dengan Mamat tu? Pasal kicap pun riuh sekedai. Buat malu saja orang tengok,” tegur Balkis yang muncul di hadapan Irdina.
“Aku bukan nak gaduh tapi dia tak mahu bagi kicap aku. Kicap tu tinggal satu saja lagi. Kalau tak ada kicap tu, aku tak seleralah nak makan.”
“Kak Irdina ni macam budak-budak. Makan apa saja mesti nak letak kicap tu. Kicap lain banyak lagi, ambillah.”
“Aku mana makan kicap jenama lain selain kicap tu.”
“Hrmm… aku rasa elok Kak Irdina kahwin dengan tauke kicap Qaseh tu. Hari-hari boleh dapat kicap percuma,” kutuk Balkis sambil ketawa.
Irdina hanya menjeling melihat Balkis. Hatinya geram tiap kali disindir begitu. Walaupun begitu dia tidak pernah marah pada Balkis. Irdina bertanyakan pekerja Pasar Mini kalau-kalau masih ada kicap Qaseh di dalam simpanan mereka. Tetapi jawapan yang diberikan oleh pekerja itu mengecewakannya. Kicap yang diambil oleh Razif adalah kicap terakhir. Mereka berdua melangkah keluar setelah membuat bayaran. Irdina mendapati kereta Razif masih menghalang keretanya untuk keluar. Kepalanya ditoleh ke kiri dan kanan untuk mencari Razif tetapi hampa. Razif tidak kelihatan.
“Mangkuk tingkat bocor betul Mamat gedik ni,” marah Irdina.
Balkis turut bercekak pinggang melihat kereta Razif. Sakit hati Irdina terasa membuak-buak. Sudahlah kicap kegemarannya diambil oleh Razif dan dirinya digelar gedik syok sendiri, keretanya pula tersekat di parkir. Dia menekan hon kereta beberapa kali untuk menarik perhatian Razif.
“Mamat gedik ni pekak ke apa? Dah beberapa kali aku hon, tak muncul-muncul lagi. Melingkup ke mana?”
“Apa kata kita tengok di kedai makan hujung sana. Mungkin dia ada di situ,” cadang Balkis.
Irdina terpaksa bersetuju dengan Balkis dan mula melangkah menuju ke kedai yang dimaksudkan. Dari jauh dia dapat melihat Razif sedang duduk berbual dengan seorang lelaki yang memakai kopiah.
“Kak Irdina berani ke masuk ke situ? Ramainya orang lelaki… seram.”
“Seram juga aku nak masuk. Tapi kalau kita tak masuk, macam mana kita nak balik? Perut aku dah berkeroncong ni. Tentu Laila tengah tunggu kita balik untuk makan,” jawab Irdina dengan wajah kelat.
Akhirnya mereka memberanikan diri memasuki kedai makan yang majoriti di dalamnya adalah lelaki. Perlahan-lahan mereka menuju ke meja yang di duduki oleh Razif dan Ustaz Azmi.
“Saudara! Tolong ubah kereta. Kami nak keluar,” pinta Irdina tetapi matanya memandang ke arah Balkis. Dia sengaja tidak mahu memandang Razif. Sakit hatinya masih ada.
“Apa? Saudari cakap dengan siapa?” tanya Razif pura-pura tidak tahu. Sengaja dia mengambil peluang itu untuk mengajar Irdina yang dirasakan biadap.
“Hoi, saudara! Jangan nak cari gaduh. Bagi mukalah sikit pada kami. Tolonglah ubah kereta kau tu kalau tak mahu aku langgar,” ujar Irdina yang mula radang dengan sikap Razif yang dirasakan sengaja mengambil kesempatan.
“Tengoklah ustaz! Perempuan zaman sekarang. Dahlah tak sopan, berani pula tu ugut aku. Anak siapalah dia ni, gediknya! Kesian pada mak dan bapa dia.” Razif sengaja menyakitkan hati Irdina.
Ustaz Azmi hanya tersenyum melihat gelagat mereka berdua.
“Ustaz, tolong nasihatkan lelaki perasan ni. Minta dia ubah kereta dia. Saya ni bukanlah baik sangat. Kalau sabar saya hilang, silap-silap kereta dia saya hancurkan nanti. Masa tu jangan nak nangis,” kata Irdina sambil memandang Ustaz Azmi. Matanya tidak sanggup memandang Razif ketika itu. Membahang sahaja rasanya.
“Sabar, jangan ikutkan rasa marah. Perkara kecil tak perlu dibesar-besarkan. Razif, aku rasa elok kau ubah kereta kau supaya tak mengganggu urusan mereka,” nasihat Ustaz Azmi, lembut.
“Tapi perempuan macam ni perlu diajar agar berbudi bahasa. Suka-suka hati dia tengking orang dan tak minta maaf pula tu. Sombong bukan main. Nasib baik bukan bini aku. Kalau bini aku tahulah aku nak ajarnya,” Razif masih enggan beralah.
Hati Irdina terasa makin panas. Mahu sahaja dia menjawab kata-kata Razif tetapi disebabkan oleh gelengan Balkis membuatkannya mendiamkan diri. Dia hanya memerhati Ustaz Azmi, mohon simpati.
“Razif pergilah ubah kereta tu,” pinta Ustaz Azmi yang faham pandangan mata Irdina.
Razif terpaksa akur dengan permintaan Ustaz Azmi yang merupakan sahabat baiknya. Dia bangun dan melangkah keluar kedai. Irdina dan Balkis mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Azmi dan memohon maaf atas gangguan mereka. Mereka juga melangkah keluar menuju ke tempat meletak kereta. Razif menunggu di keretanya sehingga Irdina dan Balkis tiba. Mereka agak hairan kerana Razif tidak mengubah lagi kereta tetapi sebaliknya hanya bersandar di tepi kereta Irdina.
“Hah! Kenapa tak ubah lagi?” tanya Irdina, keras.
“Aku boleh ubah jika kau minta maaf pada aku. Ingat, orang perempuan jangan sombong sangat dan perlu sopan bila berkata.” Razif menasihat dalam sindiran.
“Aku bukan isteri kau untuk kau nasihatkan. Lagipun, kau juga buat salah. Pasal apa aku saja yang kena minta maaf?” tanya Irdina dengan matanya terjegil memandang Razif.
“Kau ingat suami saja boleh beri nasihat? Nasihat boleh diberi oleh sesiapa saja. Ingat, kau tu perempuan. Kalau kau bini orang, aku simpati pada laki kau,” kata Razif lagi.
“Kalau aku bini orang pun apa kau peduli? Laki aku boleh nasihatkan aku, orang lain kirim salam. Cepat ubah kereta kau sebelum aku panggil laki aku,” balas Irdina, bengang.
Razif hanya mencebikkan bibirnya dan kemudian masuk ke keretanya. Dia sengaja melambat-lambatkan untuk mengubah kereta itu hingga membuatkan Irdina mengambil tindakan mengundurkan keretanya. Razif yang terkejut segera menekan pedal minyak untuk mengelak rempuhan kereta Irdina. Nasibnya baik kerana berjaya mengelak. Dia mengurut-urut dada yang terkejut dengan tindakan berani Irdina.
“Kak Irdina ni buat aku terkejut saja.” Balkis turut mengurut dadanya, terkejut walaupun dia sebenarnya amat maklum dengan sikap Irdina ketika memandu. Watak lembut Irdina akan berubah bila memegang stereng.
“Siapa suruh dia sengaja buat lambat-lambat?” tanya Irdina sambil memandu keluar daripada kawasan itu.
“Bila Kak Irdina ada laki? Siap nak panggil konon,” tanya Balkis lalu ketawa.
Irdina juga turut ketawa kerana tadi dia telah mengaku pada Razif mempunyai suami padahal dia masih belum berkahwin.

Sabtu, 8 September 2012

Abang King Control ke? - 1

Cerita ini telah diolah semula untuk penambahbaikan. Jalan cerita tidak berubah cuma terdapat sedikit perubahan di bab-bab awal. Sila abaikan tahun dan komen2 di bawah jika tidak sama dengan bab yang tersiar. Saya telah memadam post lama dan meletakkan post baru bagi menyesuaikan dengan buku yang bakal diterbitkan...insya Allah.
...............................................................................................................
Bab 1



Razif meneliti penampilan dirinya. Berpakaian serba hitam. Rambut tersisir kemas. Cukup bergaya dan menawan. Sesuai dengan umurnya yang telah mencecah tiga puluhan. Masih solo, masih teruna ‘trang tang-tang’. Bukan tiada siapa yang mahu, tetapi dia yang terlebih perasan hingga sukar mencari pasangan. Nak buat macam manakan? Senah Senget yang setengah gila minatkan dia pun tidak dilayan, inikan pula yang tidak gila. Itulah Razif, anak kedua Mak Cik Sopiah yang agak cerewet dan memilih.
Pewangi badan disembur sebagai pelengkap dandanan. Kunci kereta dicapai lalu dia melangkah keluar dari bilik. Razif menyanyi kecil walaupun sedar suaranya ibarat katak memanggil hujan. Nyanyiannya terhenti tiba-tiba. Bukanlah kerana terlupa lirik tetapi hairan dan terkejut sahaja. Gara-gara emaknya tidak pernah berkelakuan sedemikian. Buang tabiatkah dia? Terhendap-hendap di tepi tingkap seperti sedang mengintip sesuatu.
‘Mak skodeng siapa tu?’ Bisik hati Razif.
Jika hendak dikatakan mengendap jiran sebelah, setahunya rumah sewa di sebelah rumahnya itu masih tidak berpenghuni. Jadi apa yang menarik minat emaknya? Tidak mungkin Pak Ishak kerana emaknya tidak suka dikaitkan dengan lelaki itu.
            “Mak!”
            Tiada respon. Begitu asyik Mak Cik Sopiah memandang ke luar hingga tidak sedarkan kehadiran Razif di belakangnya.
 “Hah! Mak buat apa tu?” sergah Razif membuatkan Mak Cik Sopiah terlompat ke tepi. Lompatannya tidak ubah seperti katak tua bersaiz besar, membuatkan Razif ketawa.
“Kurang asam punya anak! Nasib baik mak tak ada penyakit jantung. Kalau tak, Razif kena buat kenduri arwah untuk mak,” ujar Mak Cik Sopiah sambil mengurut dada. Terasa melayang semangatnya apabila disergah begitu.
Razif berhenti ketawa dan tersengih tanpa rasa bersalah.
“Hah! Mak tengah skodeng Pak Ishakkan? Daripada mak simpan rasa, lebih baik mak luahkan saja. Mana tahu, terbuka hati Pak Ishak nak beristeri tua,” usik Razif.
“Amboi! Tak sayang mulut. Seronok sangat padankan mak dengan Pak Ishak. Razif betul-betul nak jadi anak tiri dia? Nanti kalau dia jadi bapa tiri, tentu Senah jadi adik tiri Razif. Sudah pasti dia akan ikut Razif ke mana saja sebab dah jadi abang dia. Nakkah macam tu?”
“Tak nak...tak nak. Selisih malaikat empat puluh empat...huhuhu.”
Kepala Razif tergeleng-geleng apabila teringatkan Hasnah atau Senah Senget. Hasnah dipanggil senget kerana kadang-kadang dia mengalami masalah mental atau gangguan jiwa. Senah Senget sering mengekor dan mengajak Razif berkahwin dengannya, membuatkan Razif tidak senang duduk.
“Kalau tahu tak nak, jangan usik mak dengan Pak Ishak lagi.”
“Baiklah. Razif janji tak usik mak dengan Pak Ishak lagi.” Razif mengangkat tangan seolah berikrar.
Mak Cik Sopiah tersenyum senang. Dia dan anak-anak sering bergurau dan selalunya dia tidak ambil hati atas gurauan anak-anaknya. Padanya itulah perencah kemesraan mereka dan pengerat kasih sayang. Sejak kematian suaminya sepuluh tahun lalu, dia terpaksa mengambil alih tugas membesarkan anak-anak secara sendirian.
“Apa yang mak tengok sampai tak sedar Razif panggil?” soal Razif sambil memanjangkan lehernya untuk melihat apa yang menjadi tarikan emaknya sebentar tadi.
“Cuba Razif tengok gadis yang pakai baju pink tu. Mak rasa dia sesuai dengan Razif.”
Razif melihat sekilas kelibat gadis berbaju merah jambu yang ditunjuk oleh Mak Cik Sopiah. Bukanlah dia anti perempuan, tetapi sebenarnya Razif tidak menyukai warna pakaian gadis itu. Warna merah jambu adalah warna yang dibencinya.
“Perempuan macam tu mak nak buat menantu? Tak payahlah mak. Bagi free pun Razif tak nak.”
“Amboi, sombongnya! Free pun tak nak, ya? Baiklah, mak doakan Razif bertemu jodoh dengan dia nanti,” ujar Mak Cik Sopiah separuh geram. Sakit hatinya apabila Razif berkata begitu. Seolah diri Razif sangat sempurna.
“Eh! Mak ni. Main doa ikut suka hati. Razif tak naklah. Mak pun tahu pendirian Razifkan? Kalau boleh Razif nak perempuan yang sentiasa patuh dan taat pada suami dan dapat menjaga mak. Biar tak cantik tapi pekerti dia cukup cantik dan sempurna.”
Razif mengulangi pendiriannya. Tetapi emaknya bagaikan tidak memahami. Pada Razif, mencari isteri bukan seperti mencari ikan di pasar. Hendak mencari ikan pun kena pilih juga. Bukan main borong sahaja. Silap-silap terbeli ikan yang busuk di kepala. Perempuan pun macam ikanlah juga. Kena pilih, kena tengok. Bukan main sambar sahaja. Takut terpilih yang sudah membusuk atau sudah di robek kucing peliharaan.
Sememangnya Razif seorang yang agak cerewet. Tapi bukan salah Mak Cik Sopiah bila Razif  jadi begitu. Semuanya salah perempuan di luar sana. Bukan lelaki, bukan pondan. Tetapi PEREMPUAN! Semuanya telah jelas. Bukti pun ada. Akhbar yang dibaca semalam menyiarkan laporan kajian yang mendapati seramai 39% wanita di Malaysia bersikap curang pada pasangan. Tinggi peratusannya. Malah menduduki tempat ke tiga di dunia! Hebat bukan kecurangan perempuan? Siaran radio pun hangat membicarakan soal itu.
“Mak tak fahamlah dengan Razif ni. Rahayu, anak Ustaz Zaki yang baru pulang dari Mesir tu bukannya calang-calang orang. Lulusan universiti. Ustazah pula tu. Kalau Razif nak, boleh mak pinangkan,” kata Mak Cik Sopiah berharap.
“Razif tak mahu orang hebat macam tu. Takut apa yang berlaku pada Abang Hamzah, jadi pada Razif pula. Bekas isteri Abang Hamzah dulu pun macam tu. Tengok apa yang jadi? Kena tangkap basah dengan suami orang.” Razif mengingatkan Mak Cik Sopiah tentang sepupunya itu.
“Takkan semua macam Najwa. Mungkin satu dalam seribu. Razif tak boleh samakan Rahayu macam tu. Mak yakin Rahayu budak baik dan boleh jadi isteri yang solehah.”
“Mula-mula memanglah nampak baik. Kak Najwa dulu pun baik. Pijak semut pun tak mati. Tapi dalam senyap boleh main kayu tiga dengan suami orang. Lepas Abang Hamzah buat umrah dan berdoa di Mekah, semuanya terbongkar. Selama ni bila Abang Hamzah out station, dia bawa masuk jantan lain.”
Razif mencapai akhbar yang dibelinya kelmarin lalu ditunjukkan kepada emaknya.
“Cuba mak tengok surat khabar ni. Peratus perempuan curang, tinggi di Malaysia. Sebab tu nak pilih isteri kena hati-hati. Takut terpilih buku tebu. Jangan kata manis, makan pun tak boleh.”
Mak Cik Sopiah mencebikkan bibirnya. “Mak tak yakin dengan kajian ni. Apa bukti kata benda ni betul? Tak ada pun orang datang tanya mak soal ni masa mereka buat soal selidik.”
“Aduh mak! Bukan semua orang mereka tanya. Soal selidik ni berdasarkan sejumlah kecil penduduk di Malaysia,” jelas Razif sambil menggeleng kepala. Kadangkala Mak Cik Sopiah boleh tahan loyar buruknya.
“Jadi kajian tu tak boleh pakailah sebab mereka tak tanya semua orang termasuk mak. Macam mana nak tentukan wanita curang sebanyak tu? Mereka sukat pakai apa? Takkan sukat pakai gantang, macam beras.”
“Entahlah mak. Kalau kita bahaskan benda ni pun tak selesai. Pokok pangkalnya, ramai perempuan yang curang tapi tak termasuk mak. Mak tetap setia dengan arwah abah hingga akhir hayat abah. Kalau boleh, Razif nak cari isteri seperti mak. Sempurna!”
“Mak tak sempurna, Razif. Banyak kekurangan mak. Mak harap Razif jangan terlalu memilih. Isteri boleh dididik. Yang penting diri Razif sendiri. Mantapkan keimanan Razif.” Mak Cik Sopiah cuba menyedarkan Razif.
“Mak, jika satu hari nanti Razif bertemu dengan gadis yang memenuhi syarat, Razif akan beritahu mak. Buat masa sekarang, mak jangan risaukan sangat soal jodoh Razif. Lagipun Razif bukannya tua, baru 32 tahun.”
“Tak tua lagi? Razman dulu umur baya Razif ni dah ada anak dua. Jika tak kerana bercerai dengan Hanis dulu, mungkin anak dia dah bersusun papan sekarang.” Mak Cik Sopiah mengingati anak sulungnya, Razman.
“Sebab tulah Razif tak mahu kahwin terburu-buru. Umur belum masuk 40 tahun dah bercerai-berai. Yang jadi mangsa anak-anak.”
Mak Cik Sopiah hanya menggelengkan kepala. Matanya sempat mengerling Razif yang sedang memusingkan kunci kereta di hujung jari.
“Mak, Razif nak ke Pasar Mini dan jumpa Azmi sekejap. Mak nak pesan apa-apa tak?”
“Hrmm... Razif belikan telur sepapan dan kicap.”
“Lain?”
“Itu sajalah. Nanti jangan balik lewat sangat. Mak nak guna telur untuk buat kek. Rosnah nak bawa kek ke sekolah esok.”
Razif menganggukkan kepala dan meninggalkan Mak Cik Sopiah keseorangan di rumah. Mak Cik Sopiah telah lama menjanda setelah kematian suaminya sepuluh tahun yang lalu. Kini Mak Cik Sopiah tinggal bersama-sama Razif dan anak bongsunya Rosnah. Razman pula menetap di Kedah setelah berkahwin semula dengan perempuan di sana.