Pengikut

Selasa, 30 Julai 2013

Kies 9 Cinta Selamanya - bab 10



Aku membantu Iskandar mengelap rambutnya dengan tuala setelah dia membersihkan diri. Aku turut menyikat rambutnya yang kusut. Iskandar membiarkan aku memanjakan dirinya sebagai tanda aku meminta maaf.
“Sha, abang nak ikut Adli ke bengkel dia. Nak tengok van yang dia sediakan untuk kita. Dia kata dia ada buat ubah suai sikit bahagian dalam van tu. Sha duduk di rumah dan jangan hubungi sesiapa pun. Selagi tak jelas siapa yang terlibat, Sha jangan hubungi mereka.”
“Baiklah. Sha janji tak akan hubungi sesiapa. Boleh tak kalau Sha keluar jalan-jalan dalam kawasan kampung ni?”
“Jangan. Kita tak tahu musuh ada di mana. Sha boleh tengok TV atau baca buku. Tadi abang dah pesan pada Adli belikan buku untuk Sha.”
Aku anggukkan sahaja dan melabuhkan punggung di sebelah Iskandar.
“Kalau van tu dah siap, esok bolehlah kita bertolak ke Kelantan,” ujar Iskandar dengan senyuman.
“Tempat Mak Engku tu di Kelantan rupanya. Rumah mak abang di mana?” aku menyoal setelah teringat yang aku tidak tahu lokasi rumah ibunya.
“Rumah mak di Kuala Kedah. Nanti bila semua ni dah selesai, abang akan bawa Sha melawat ke situ.”
Aku terdengar suara Adli memanggil Iskandar. Tanpa kami sedar, Adli dan Mak Cik Melur telah pulang. Iskandar segera membuka pintu dan keluar mengikut Adli. Aku pula menuju ke dapur bagi membantu Mak Cik Melur. Aku dapat melihat Mak Cik Melur sedang membuka pintu peti sejuk. Tangannya ligat menyimpan barang yang dibeli.
“Pergilah rehat Tengku. Bukan ada kerja yang nak dibuat di sini,” kata Mak Cik Melur setelah aku memperlawa diri untuk menolongnya.
“Boringlah, tak tahu nak buat apa.”
“Pergilah tengok TV atau baca buku. Tadi Adli ada beli majalah dan buku untuk Tengku. Ada di depan sana, atas meja.”
Aku mengikut saranan Mak Cik Melur dan bergerak ke ruang hadapan. Bungkusan majalah dan buku aku buka. Setelah membelek tajuk-tajuknya aku letak ke tepi. Tiada mood untuk membaca ketika itu. Alat kawalan TV kutekan. Berita terkini sedang tersiar di skrin.
 Mataku terpaku mendengar berita tentang Inspektor Azni. Berita menyatakan bahawa pasukan polis yang diketuai Inspektor Azni bertembung dengan penjenayah bersenjata yang amat dikehendaki polis. Dua orang polis terbunuh manakala Inspektor Azni cedera parah dan masih koma. Pemandu kereta juga tercedera tetapi sudah sedarkan diri. Enam orang penjenayah terbunuh di tempat kejadian.
Hatiku memanjatkan kesyukuran ke hadrat ILAHI kerana Inspektor Azni masih hidup. Aku berdoa agar dia selamat. Menitis air mataku mengingatkan kecekalan dan keberaniannya melindungiku. Tiada berita yang menyebut tentang diriku. Mungkin pihak polis mahu merahsiakan kejadian sebenar. Aku tahu, itu semua untuk keselamatanku juga.
“Kesian polis tu. Muda lagi umur dia. Mudah-mudahan dia selamat,” kata Mak Cik Melur yang mengambil tempat di sebelahku.
“Ya, mudah-mudahan dia selamat dan pulih seperti biasa.”
Aku mengulas tanpa mahu memberitahu Mak Cik Melur kejadian sebenar. Aku tahu Iskandar tidak menceritakan hal tersebut kepadanya.
“Dulu masa Adli jadi bodyguard, mak cik selalu risau. Takut dia terkena tembakan macam polis tu. Tapi syukurlah sekarang ni dia dah berhenti dan buka bengkel kereta.”
“Adli pun pernah jadi bodyguard? Ingatkan Is sahaja.”
“Dah lama Adli buat kerja tu. Kali terakhir dia kerja di England, jadi bodyguard anak Tengku yang belajar di sana. Lepas balik dari sanalah dia minta berhenti.”
“Anak Tengku? Mak cik tahu tak nama dia? Saya dulu pun belajar di England.” Aku cuba mengorek rahsia Adli dan sekali gus Iskandar.
“Mak cik tak tahu tapi dia kata anak Tengku tu perempuan. Bapa dia suruh Adli ikut sebab bimbang keselamatan anak dia. Duduk di tempat orang tentu banyak cabarannya. Silap-silap boleh sesat jika ikut perangai orang barat,” ujar Mak Cik Melur.
“Is ikut sekali tak mak cik?”
“Entah, mak cik tak tahu. Tapi masa Adli di sana, Is ada juga datang ke sini jenguk mak cik dengan ibunya. Masa tu dia kata nak ke Kuala Kedah.”
Air mukaku mulai berubah. Terdetik di hati, siapa sebenarnya Iskandar?
“Bukankah ibu Is dah meninggal dua minggu lepas?”
“Eh! Taklah. Ibu dia masih hidup dan tinggal di Kuala Lumpur. Bapa dia pun ada lagi. Kenapa Tengku tanya? Tengku tak pernah jumpa merekakah?” tanya Mak Cik Melur dengan muka berkerut. Mungkin hairan menantu tidak mengenal mentua sendiri.
“Ya, saya tak pernah jumpa. Masa akad nikah tu, ayahanda saya yang jadi wakil saya. Saya tak kenal Is sebelum ni. Perkahwinan saya pun ayahanda yang atur. Kenduri kami pun belum ditentukan tarikhnya lagi.”
“Oh! Begitu rupanya. Patutlah Is tak banyak cerita tentang Tengku. Masa mak cik tanya bila nak kenduri, dia kata lambat lagi. Dia kata ada masalah sikit dengan keluarga Tengku. Nanti bila dah selesai, baru dia nak fikirkan soal kenduri tu. Mak cik tak tahu apa masalah keluarga Tengku tapi harap Tengku dapat bersabar,” jelas Mak Cik Melur, jujur.
Aku mengangguk lemah. Mendengar cara Mak Cik Melur bercakap, mungkin dia tidak tahu apa sebenarnya terjadi kepada ayahanda dan bondaku. Aku kemudian mencapai bungkusan buku dan majalah lalu meminta diri. Alasanku hendak membaca di bilik.
Siapa yang aku nak percaya sekarang? Aku tak kenal siapa Is yang sebenarnya. Dia kata mak dia dah meninggal tapi Mak Cik Melur kata mak dia masih hidup. Kenapa Is nak tipu aku? Betulkah dia suami aku? Otakku ligat memikirkan persoalan itu.
Aku kena ikut rentak Is. Bila ada peluang, aku akan telefon Shila. Aku rasa semua ni ada kaitan dengan syarikat ayahanda dan harta peninggalannya. Menurut wasiat, sesiapa yang menjadi suamiku, boleh mewarisi harta bendaku. Kini aku mempunyai saham tertinggi di dalam syarikat. Rakan kongsi ayahanda yang berada di Madinah memiliki saham sebanyak tiga puluh peratus sahaja.
Aku sebenarnya tidak mengenali rakan kongsi itu kerana dia tidak pernah muncul dan kerap kali menghantar wakil untuk urusan perniagaan. Ayahanda Bad pula hanya memiliki sepuluh peratus saham. Jadi, Is ada motif yang kuat untuk merebut hartaku.
Tapi, kenapa dia bertungkus lumus selamatkan aku? Kalau difikirkan, boleh jadi juga itu semua angkara dia. Dia boleh berpakat dengan penjenayah atau mungkin dialah ketua mereka. Hisy! Makin bingung aku dibuatnya. Aku merebahkan diri di atas katil. Tangan diletakkan di atas dahi. Otakku ligat merangka strategi untuk membongkar misteri yang melingkari hidupku kini.
Iskandar pulang lewat petang itu. Sengaja aku memerap di dalam bilik sambil membaca majalah yang dibeli oleh Adli. Walaupun majalah berkenaan keluarga kurang menarik minatku sebelum ini, tetapi aku terpaksa membacanya untuk menghilangkan bosan. Buku-buku agama, aku biarkan sepi. Belum masanya untuk kubaca.
Iskandar menolak pintu bilik dan memberi salam kepadaku. Aku menjawab sambil tersenyum kepadanya. Matlamatku kini, buat baik padanya di samping mendapatkan maklumat sebanyak mungkin.
“Sha tak mandikah?” soal Iskandar sambil duduk di sebelahku.
Aku masih berbaring dengan buku di tangan. Konon-konon membaca padahal, otak merawang entah ke mana.
“Sha dah mandi pagi tadi.”
“Itu pagi. Petang ni tak mandi?”
“Tak. Sejuk,” jawabku acuh tak acuh.
“Abang nak mandi. Sha nak ikut?”
Aku mencebikkan mulut. Iskandar ketawa sambil menanggalkan baju T.
“Abang, kalau Sha tanya abang boleh berterus terang tak?”
“Terpulang atas apa yang Sha nak tanya.”
“Bapa abang masih hidup atau dah meninggal?”
“Kenapa Sha tanya?” Iskandar memandang tepat ke wajahku.
“Sha nak kenal siapa mentua Sha. Kalau dia masih hidup, Sha nak jumpa dia satu hari nanti.”
“Abah abang masih hidup tapi kita tak boleh jumpa dia buat masa ni. Insya-ALLAH lepas semua ni selesai, kita jumpa ibu dan abah abang. Nak pergi pun jauh sangat sebab mereka ada di New Zealand sekarang ni.”
Aku kerutkan dahi. Mulai pening dengan maklumat terbaru ini. Mak Cik Melur kata ibu dan bapa Iskandar ada di Kuala Lumpur, tapi Iskandar kata di New Zealand.
“Mak tu siapa pula? Bapa abang kahwin duakah?” soalku dengan wajah yang keliru.
“Mak yang abang maksudkan tu sebenarnya pengasuh abang sejak kecil. Dia yang jaga abang sepenuh masa sebab ibu abang agak sibuk. Ibu selalu keluar negara ikut abah. Abang rapat dengan pengasuh abang sampai abang panggil dia, mak.”
“Oo...begitu rupanya.”
“Kenapa? Sha syak abang bohongkan Sha?”
Iskandar seolah dapat membaca fikiranku.
“Bukan begitu. Sha cuma keliru dan nak kenal abang dengan lebih dekat.”
Iskandar duduk di sebelahku. Dia menarik tanganku ke dalam genggamannya.
“Sha kena percayakan abang. Apa pun tindakan abang, itu adalah untuk lindungi Sha.”
“Ya, Sha percayakan abang,” Aku menceriakan wajah.
Hatiku masih tidak mempercayainya. Aku perlu berhati-hati selagi tidak tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Dah nak Maghrib. Abang nak mandi dulu. Sha nak solat tak? Tadi Adli belikan buku panduan solat, Sha dah baca belum?”
“Tak berapa nak fahamlah. Abang solatlah. Sha tengok dulu,” jawabku malas.
“Hisy! Nak nanti apa lagi? Jom ikut abang ke bilik mandi. Abang nak ajar Sha berwuduk. Nanti kita solat sama-sama. Jangan asyik bertangguh. Ajal takkan bertangguh bila sampai masanya.”
Aku terkelu. Perlahan-lahan aku mencapai tuala dan mengikut langkah Iskandar ke bilik mandi. Iskandar mengajarku dengan bersungguh-sungguh cara berwuduk. Aku menurut segala suruhannya dalam keterpaksaan.
“Sha naik dulu dan pakai telekung siap-siap. Lepas abang mandi, kita solat berjemaah.”
Aku melangkah ke bilik dan mengeluarkan telekung yang masih berlipat kemas di dalam bungkusan. Pertama kali mengenakan telekung, aku rasa agak janggal dan rimas. Tanganku pantas menyelak buku panduan solat yang masih belum kusentuh. Mataku terpaku pada bait-bait yang tertera.
Orang yang tidak solat akan diseksa dengan lima belas seksaan, enam daripadanya akan diterima di dunia, tiga daripadanya tatkala hendak mati, tiga seksaan ketika berada di dalam kubur dan tiga lagi di hari kiamat.
Aku telan air liur kelat. Tidak mahu terus berada dalam kalangan orang yang meninggalkan solat. Segera aku meneliti gambar di muka surat berikutnya dan ayat yang patut di baca. Nasib baik ada tulisan rumi yang disertakan bersama-sama ayat al-Quran. Tulisan rumi itu memudahkan sesiapa yang buta al-Quran sepertiku untuk membacanya. Aku membaca ayat dalam tulisan rumi tersebut. Merangkak-rangkak bacaanku.
Iskandar masuk ke dalam bilik dan kemudian berpakaian untuk bersolat. Dia membentangkan sejadah untukku dan dirinya. Aku diarahkan mengikut sahaja apa yang Iskandar buat. Buat pertama kalinya aku bersolat dengan membaca ayat yang begitu asing buat diriku. Sedikit sebanyak, terasa juga ketenangan menerpa ke sudut kalbu.


Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf

Kies 9 cinta selamanya - bab 9



Aku tersedar daripada lena dan memandang sekeliling. Sunyi sepi tanpa kelibat Iskandar di situ. Aku bangun dan bersandar di kepala katil. Mengingati kembali apa yang terjadi sebelum ini, membuat aku termenung sendiri.
Adakah apa yang aku buat ini betul? Hatiku memang mengharapkan dia sentiasa ada untukku. Menegur dan membimbingku ke jalan ALLAH. Tapi jika tiada ikatan antara aku dan dia, tidakkah itu mengundang dosa? Bagaimana nak mensucikan diri jika dalam waktu yang sama diri bergelumang dosa? Aku dah janji nak berubah tapi aku masih ulang kesalahan yang sama, aku bermonolog sendiri.
Cincin di jari kutatap lama. Cuba mencari maksud di sebalik pemberian Iskandar itu. Adakah Iskandar juga seperti Dennis dan Nancy kawanku yang berkahwin bulan lepas? Tetapi sebelum berkahwin secara rasmi, mereka berdua duduk bersama dan saling bertukar cincin. Mereka menganggap pemberian cincin itu melambangkan perkahwinan mereka. Mendaftarkan perkahwinan, sekadar memenuhi syarat sahaja.
Bolehkah di dalam agama Islam berbuat seperti Dennis dan Nancy? Hatiku berbelah bagi. Sejahil-jahil aku, rasanya perkara itu tidak dibolehkan. Setahu aku, seorang perempuan perlu menyatakan persetujuan jika ingin mengahwini seseorang lelaki. Malah lelaki itu perlu melafazkan akad. Tetapi aku tidak menjalani sebarang upacara tersebut. Jadi jelas dan nyata, aku bukan isteri Iskandar.
Pintu bilikku dibuka dan Iskandar terjengul di pintu. Dia tersenyum sambil menghampiriku.
“Sayang dah bangun rupanya. Macam mana sekarang? Dah okey?” tanya Iskandar sambil duduk di sebelahku.
Aku tersenyum dan mengangguk. Aku membiarkan Iskandar memegang dan mencium tanganku. Rasa bahagia diperlakukan begitu. Tetapi tidakkah perbuatan ini juga berdosa?
“Abang, tidakkah perbuatan kita ni berdosa? Sha nak bertaubat tapi abang buat dosa Sha makin bertambah. Bukankah kita dah lakukan dosa besar kerana berzina dan hidup macam suami isteri tanpa ikatan yang sah?” ujarku meluahkan apa yang terbuku di hati.
Wajah Iskandar jelas terkejut. Tubuhku dipusing bagi menghadap dirinya. Matanya tajam melihat ke bola mataku. Berdesup rasanya hingga ke jantungku.
“Siapa kata kita berdosa? Sha isteri abang dan hubungan kita halal. Tiada istilah zina tapi apa yang kita lakukan adalah ibadah. Sha dapat pahala sebab layan abang dengan baik. Bagaimana Sha boleh fikir yang kita tiada ikatan?” soal Iskandar, tegas.
“Tapi Sha tak tahu pun bila akad nikah kita? Serasanya Sha tak pernah bersetuju nak kahwin dengan abang. Kenal abang pun tak.” Aku mulai keliru.
“Ayahanda kata, Sha sendiri yang setuju dan Sha tandatangan surat beri izin ayahanda jalankan akad nikah bagi pihak Sha. Takkan Sha dah lupa?” ujar Iskandar dengan dahi berkerut. Mungkin hairan kerana aku tidak mengetahuinya.
“Bila masa Sha bersetuju? Ayahanda tak beri apa-apa surat pun untuk Sha tandatangan. Abang tengok tak surat tu?” soalku masih tidak berpuas hati.
“Abang tengok sendiri surat tu. Memang tandatangan Sha pun. Takkan Sha tak baca masa tandatangan?”
“Masalahnya, Sha tak tahu pun surat tu wujud. Kebiasaannya Sha akan baca terlebih dahulu sebelum turunkan tandatangan pada mana-mana dokumen.”
Iskandar garu kepala yang tidak gatal. Aku merenungnya untuk mencari jawapan. Jika benar aku isterinya, aku amat bersyukur. Jika tidak, aku ingin halalkan hubungan kami.
“Itu abang tak tahu. Apa yang pasti, memang Sha dah setuju. Ayahanda dan bonda yang sahkannya. Sha jangan risau, akad nikah kita sah dan menepati hukum syarak. Ayahanda wakil dan wali Sha. Jadi tanpa kehadiran Sha pun akad nikah tetap sah.”
Berkerut dahiku memikirkan kata-kata Iskandar. Sebahagian hatiku menerima dan sebahagian lagi menolak.
“Kalau kita dah kahwin, tentu ada surat nikahnya. Mana? Tunjukkan pada Sha.”
“Surat tu abang tertinggal di rumah sewa abang di Kuala Lumpur. Surat nikah Sha tak adakah? Ayahanda kata nak serahkan sendiri pada Sha bersama-sama duit mas kahwin dan hantaran. Abang dah beri cek RM10,000 pada ayahanda.”
“Sha tak tahu sama ada surat nikah dan cek tu ada atau tidak. Ayahanda tak kata apa-apa pun tentang perkahwinan Sha. Bonda pun tak cakap apa-apa sedangkan bonda selalunya beritahu Sha apa aje yang berlaku dalam keluarga. Bila tarikh akad nikah kita?”
“Tiga minggu lepas, iaitu hari Khamis 15 Mac. Mungkin bonda dan ayahanda tak sempat nak beritahu Sha atau mungkin juga mereka nak beri kejutan pada Sha. Kalau ikut perancangan, dua bulan lagi baru majlis resepsi kita akan dibuat.”
Aku terdiam memikirkan kata-kata Iskandar. Jika benar kata Iskandar, bagaimana ayahanda atau bonda mendapatkan tandatanganku? Adakah aku menandatangai surat itu sewaktu mabuk atau khayal? Seingat aku, aku tidak pernah pulang ke rumah jika mabuk dan aku tidak pernah mengambil pil khayal. Ketika di rumah, aku sentiasa memastikan diriku waras dan normal dipandangan mata bonda dan ayahanda.  Aku hanya akan minum ketika di kelab malam atau di parti kawanku. Di tempat lain, aku elakkan berbuat begitu.
“Abang, Sha lapar. Ada apa-apa tak untuk dimakan?”
Aku sengaja mencari alasan untuk elakkan diri daripada terus memikirkan masalah ini. Apa yang aku hadapi sekarang terlalu berat untuk diselesaikan dalam masa yang singkat. Buat masa sekarang, aku terima segala kata-kata Iskandar. Tetapi bila ada peluang, aku akan siasat kebenarannya. Aku perlu mendapatkan telefon untuk menghubungi Shila, sepupu merangkap pembantu peribadiku.
“Marilah ke dapur. Tadi Adli datang hantar makanan tengah hari. Abang tunggu Sha bangun untuk makan bersama,” ujar Iskandar dengan wajah ceria.
Aku bangun dan menuruti langkah Iskandar ke dapur. Suasana rumah begitu sunyi dan kelibat Mak Cik Melur juga tiada.
“Mak Cik Melur tak balik lagi?” soalku sambil mencuci tangan di singki.
 Aku turut membasuh sedikit wajahku. Takut jika ada tahi mata yang bertempek. Maklumlah aku baru bangun tidur.
“Dia dah balik. Tadi dia kata nak ikut Adli ke Bandar. Nak beli barang dapur,” jawab Iskandar sambil menarik kerusi untukku.
Aku duduk di kerusi dan memandang lauk di hadapanku. Selera makanku seolah tertutup melihat ayam goreng bersalut tepung. Ayam sebegitu mengingatkan aku makanan kegemaran Raja Azrin Shah. Telah lama aku tidak menjamah ayam goreng bagi mengelakkan diri mengingatinya. Tetapi kerap kali aku gagal. Ternyata hatiku masih merinduinya.
Iskandar menyendukkan nasi untukku. Dia meletakkan daging masak hitam ke dalam pingganku. Aku membiarkan dan mengambil sedikit sayur. Apabila Iskandar ingin meletakkan ayam goreng, aku menghalang.
“Sha tak makan ayam goreng.” Aku memberi alasan.
“Oh! Maaf, abang tak tahu.”
“Tak mengapa,” jawabku lemah.
Mataku labuhkan ke pinggan nasi. Aku gagahkan diri menyuap nasi ke mulut. Bau ayam goreng yang dimakan oleh Iskandar benar-benar mengganggu ketenanganku. Terlayar di minda wajah Raja Azrin yang menyaup cebisan ayam goreng ke mulutnya. Ketika itu kami berada di restoran makanan segera kegemaran Raja Azrin.
“Rain, kita kahwin,” ujarku setelah lama memerhati wajah Raja Azrin.
“Kenapa?” soalnya acuh tak acuh.
“Takkan kita nak terus begini? You tak rasa berdosakah?”
“I ingat you tak kisah soal dosa.”
“I cintakan you sepenuh hati. Sebab tu I masih terima you walaupun you dah nodai I. I nak you kotakan janji you dan bertanggungjawab atas apa yang you buat pada I. Kita kahwin dan I akan maafkan semua kesalahan you.”
 Aku merayu untuk ke sekian kalinya. Telah banyak kali Raja Azrin Shah cuba mengelak jika soal kahwin dibangkitkan. Pelbagai alasan diberikan. Khabar angin yang kudengar tentang hubungannya dengan Puteri Arysa benar-benar merungsingkanku.
“I tak minta, tapi you sendiri yang serahkan body you. You ingat dengan serah body, you dah boleh ikat I? Sorry, family I dah tetapkan jodoh I. I kena ikut pilihan family. I harap you faham dan hubungan kita setakat ini aje.”
“Apa maksud you sebenarnya? You bawa I ke rumah you dan masukkan pil khayal dalam minuman I. Bila I tak sedar, you rogol I. Itu yang you kata I serahkan body pada you? Pandai you pujuk I supaya tak ambil tindakan terhadap you. You kata nak bertanggungjawab tapi sekarang you nak putuskan hubungan kita?” suaraku lantang bagaikan panahan petir.
Aku tidak memperdulikan banyak mata yang melihat adegan spontan yang kami paparkan.
“Ya! Kita putus. Bagi I, perempuan macam you tak layak dijadikan isteri. Belum apa-apa dah serah body pada lelaki.  Entah berapa jantan sebelum ni pun I tak tahu. You sengaja ikut I balik ke rumah dan goda I. Itu perangkap you untuk kahwin dengan I kan? I tak nak kutip sisa orang. I nak isteri yang masih suci macam Arysa.”
Berdesing telingaku mendengar kata-katanya. Akukah yang bersalah dalam soal ini? Setelah dia merosakkan diriku dengan mudah dia memutuskan hubungan kami. Mana pergi janji manisnya selama ini? Janji akan mencintai dan membahagiakanku selamanya. Bodohnya aku kerana mempercayai janji seorang ‘buaya’.
“Baru sekarang you kata I tak layak jadi isteri you. Masa you nakkan tubuh I, macam-macam taktik you guna. Tak dapat cara baik, you guna cara keji. Beribu janji you tabur, pujuk rayu semanis madu semuanya palsu belaka. I tak perduli apa alasan you. I nak you bertanggungjawab atas apa yang you dah buat pada I. I mengandungkan anak you, tahu tak?”  Lava kemarahanku kian menggelegak melihatkan wajah Raja Azrin yang bersahaja.
 “You mengandung? So, you ingat jika you mengandung, I akan kahwin dengan you? I tak rasa itu anak I. Mungkin jantan lain yang buntingkan you dan you senang-senang nak perangkap I.”
“Ini anak you! I tak ada hubungan dengan orang lain. Sama ada you suka atau tidak, you kena bertanggungjawab.”
“Hey! Kiesha. You dengar baik-baik apa yang I nak kata. I tak boleh terima you walau apa pun alasan you. I cadangkan you carilah jantan lain yang rela jadi pak sanggup atau you gugurkan aje kandungan you tu,” ujar Raja Azrin Shah dengan senyum sinisnya.
Aku tidak dapat menerima kata-katanya. Begitu hina sekali dia perlakukan diriku. Setelah maruahku dicarik-carik, begitu mudah dia berlepas tangan. Habis madu sepah di buang. Aku merenung Raja Azrin, marah.
Tanganku mencapai gelas berisi air oren di hadapanku. Marah yang membahang membuat aku menyimbah air ke muka lelaki yang sedang leka mengunyah ayam goreng. Jelas terlihat di mataku rupanya yang terkejut. Bulat matanya merenungku.
“Sayang, kenapa ni?” soalnya kehairanan.
Mendengar suaranya membuatkan aku kembali ke alam nyata. Terlopong mulutku melihat wajah Iskandar yang basah bermandikan air oren. Segera aku bangun dan menghampirinya. Serba salah aku dibuatnya. Pantas jari jemariku mengesat wajahnya tanpa menyedari aku belum membasuh tangan.
“Ahh!” terjerit Iskandar apabila jari jemariku yang masih terlekat cili mengenai matanya.
“Maafkan Sha. Sha tak sengaja.”
Aku makin panik melihat Iskandar menutup matanya yang kepedihan.
“Sha, bawa abang ke singki,” arah Iskandar sambil tangannya terawang-awang cuba mencapai tanganku.
Aku memaut tubuh Iskandar dan membawanya ke singki. Paip air kubuka dan dia mulai membasuh mukanya. Aku turut membasuh tanganku.
“Abang, Sha minta maaf. Abang tak apa-apakah?”
Aku mulai risau dan membelek wajahnya bagi memastikan dia tidak tercedera. Iskandar membuka matanya dan merenung wajahku penuh tanda tanya.
“Kenapa Sha mandikan abang dengan air oren?”
“Err... Sha minta maaf. Tadi terbawa-bawa. Rasa macam Raja Azrin yang ada depan Sha. Sha marahkan dia dan Sha pernah curahkan air ke wajah dia,” terangku takut-takut.
Aku gigit bibir. Berdebar menanti kata-kata daripada Iskandar. Iskandar tersenyum dan menarikku ke dalam pelukannya.
“Eee...abang basah.” Aku menahan diri daripada dipeluk.
“Sha yang buat abang basah. Abang tak kira, abang nak peluk Sha juga.”
Iskandar cuba mencapai tubuhku tetapi aku cepat melarikan diri ke ruang hadapan. Dia mengejarku menyebabkan aku terpusing-pusing sekeliling sofa bagi mengelakkan diri.
“Sha tak larat dah. Maafkan Sha.”
Aku berhenti setelah penat berpusing-pusing beberapa kali. Iskandar menarikku ke dalam pelukannya dan aku hanya menurut. Habis basah bajuku apabila terkena tubuh Iskandar yang basah dan melekit. Iskandar ketawa dan aku turut ketawa bersama-samanya.


Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf

Kies 9 cinta selamanya - bab 8



“Sayang, bangun. Dah pagi ni.” Suara Iskandar lembut mengejutkan aku daripada tidur. Aku mengeliat kecil sambil membuka mata. Iskandar tersenyum memandangku. Haruman badan lelaki terbau di hidungku. Pasti Iskandar telah mandi dan menunaikan solat.
Aku bangun dan duduk bersandar di kepala katil. Selimut kutarik bagi menutup tubuhku. Aku cuba mengingati apa yang terjadi malam tadi. Tidak pasti perasaan sendiri, sama ada suka atau tidak. Tetapi apa yang terjadi adalah atas kerelaanku. Iskandar duduk di sebelahku. Aku hanya menjeling ke arahnya sekilas. Rambutku yang agak kusut, kubetulkan.
“Pukul berapa dah sekarang?” soalku sambil mengikat rambut dengan getah pengikat.
“Dah pukul tujuh setengah pagi. Pergilah mandi. Nanti boleh kita sarapan bersama-sama.” Iskandar menggosok-gosok pahaku.
Terasa meremang bulu romaku. Pantas aku memegang tangannya bimbang dia terus-terusan menggodaku. Cukup sekali. Aku berazam tak akan mengulangi. Cik hati! Jangan jatuh lagi.
“Abang tak rasa salahkah apa yang kita buat semalam?”
 Aku menyoal setelah melihat Iskandar seperti tidak kisah apa yang terjadi. Seolah dia tidak berdosa melakukannya. Malah boleh solat dan menghadap ALLAH seperti biasa. Sedangkan di hatiku terasa berdosa.
“Kenapa? Sha menyesal? Bukankah Sha pun rela?” soal Iskandar tanpa mahu menjawab soalanku.
“Ya, Sha rela. Tapi Sha hairan. Abang masih bersolat sedangkan abang dah buat dosa. Adakah dengan solat, dosa akan hilang?”
“Melalui solat kita dapat memohon keampunan atas dosa-dosa yang kita lakukan. Ketika solat, kita hampir dengan ALLAH. Waktu kita sujud, kita sebenarnya merendahkan diri dengan kebesaran ALLAH. Pintalah ampun dengan seikhlas hati, nescaya ALLAH Maha Mendengar apa yang kita pinta. Termasuklah pengampunan dosa-dosa kita selagi mana kita tidak menyekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain,” jelas Iskandar, panjang lebar.
“Maksud abang, lepas kita buat dosa kita minta ampun pada ALLAH. Lepas ALLAH ampun, kita boleh buat dosa semula?”
“Itu namanya tak ikhlas meminta ampun. Keampunan sebenarnya milik ALLAH. Kita hanya perlu meminta. Manusia memang sering membuat dosa. Disebabkan itulah ALLAH buka pintu taubat selagi tidak terbitnya matahari di sebelah barat.”
“Matahari terbit sebelah barat? Apa maksud abang? Sha makin keliru.”
Aku berterus terang kerana apa yang dikatakan oleh Iskandar amat baru pada pendengaranku. Iskandar hanya tersenyum dan menarikku ke dalam pelukannya. Dia mencium pipiku setelah aku membiarkan perlakuannya itu. Terus terang aku amat menyenangi berada di dalam pelukan Iskandar. Terasa selamat dan dilindungi. Jiwaku turut rasa tenteram.
“Sha, nanti-nantilah abang terangkan pada Sha tentang kebesaran ALLAH. Insya-ALLAH di tempat yang kita nak pergi ni, Sha boleh belajar agama. Sha boleh tanyakan apa sahaja persoalan tentang agama yang Sha tak faham. Sekarang ni abang nak Sha pergi mandi sebab Sha dah berbau busuk.”
“Busuk-busuk pun abang nak peluk.”
Iskandar menarik hidungku sambil ketawa. Aku menampar manja lengannya. Cik hati dah jatuh tergolek. Tak boleh ditarik balik.
“Sha tahu mandi wajib?” soal Iskandar ketika aku bangun untuk mengambil tuala.
Aku tidak tahu kenapa aku membiarkan Iskandar melihat tubuhku seolah aku milik mutlaknya. Tiada rasa bersalah di hatiku. Aku membalut tubuh dengan tuala dan berdiri di hadapannya.
“Mandi apa?” soalku sambil mengerutkan dahi.
“Sayang tak pernah mandi wajibkah selama ni?” soal Iskandar, hairan.
Aku sudah mula selesa dipanggil sayang.
“Hari-hari Sha mandi.” Aku makin hairan.
“Takkan hari-hari sayang berhadas besar?” soalnya dengan nada lembut.
“Hadas besar pula? Terus teranglah abang. Sha tak faham apa yang abang maksudkan.”
“Mula-mula abang nak tahu, sayang faham tak apa itu mandi wajib?”
“Tak.”
Iskandar menarik tanganku agar duduk di sebelahnya. Aku duduk dan memerhati wajahnya. Hati melonjak ingin mengetahui apa yang akan dikatakan kepadaku.
“Ada beberapa perkara yang menyebabkan seseorang itu wajib mandi antaranya sebab haid, nifas, wiladah, keluar air mani dan berjimak. Jika sayang lepas haid atau lepas berjimak, sayang kena mandi. Mandi ni pula bukan macam mandi biasa tapi dengan rukunnya. Rukun tu ada tiga sahaja iaitu niat, menghilangkan najis di badan dan meratakan air ke seluruh badan yang zahir. Air hendaklah sampai ke dalam rambut dan pangkalnya.”
“Err... Sha tak pernah buat macam tu. Abang tolong ajarkan, boleh?”
“Baiklah. Tapi sebelum sayang keluar, pakai baju jangan berkemban macam ni. Abang tak mahu ada orang lain yang tengok tubuh sayang.”
Aku tersenyum dan mencapai baju T di hujung katil. Dia menjaga dan menegurku seolah aku isterinya. Tetapi aku suka dia berbuat begitu. Terasa diriku miliknya dan dia milikku. Setelah berpakaian, aku mengikutnya keluar daripada bilik.
“Tak nampak Mak Cik Melur pun. Dia tak bangun lagi?” tanyaku selepas melepasi ruang dapur.
“Mak Cik Melur dah ke rumah jirannya di hujung jalan. Dia kata ada pakatan kenduri, kena tolong sediakan makan. Tapi tadi dia dah sediakan kita nasi lemak,” jelas Iskandar sambil membantuku menuruni anak tangga.
“Patutlah abang setuju nak ajar Sha mandi wajib. Rupanya Mak Cik Melur tak ada.”
“Kalau ada Mak Cik Melur pun abang tetap akan ajar Sha. Perkara ni asas fardu ain dan juga kebersihan. Abang tak nak Sha sentiasa berada dalam keadaan hadas besar. Untuk pengetahuan Sha, mandi ni dapat mencegah daripada serangan penyakit serta mengembalikan kekuatan yang hilang. Pendek kata suci jasad, suci jiwa.”
Aku sekadar mengangguk dan memasuki bilik air. Iskandar menerangkan kepadaku perkara-perkara yang perlu aku lakukan ketika mandi wajib. Dia membacakan lafaz niat dan aku mengikutinya. Terasa begitu bodohnya diriku. Aku memiliki segulung ijazah luar Negara tetapi perkara asas dalam bersuci pun aku tidak tahu. Jika aku tidak bersih daripada hadas, bagaimana aku hendak lakukan ibadat yang lain?
Terasa segar dan jiwaku turut damai setelah selesai mandi wajib. Mungkin betul apa yang Iskandar katakan tadi. Suci jasad, suci juga jiwa. Aku berpakaian dan kemudian menyertai Iskandar di meja makan. Dia telah menyediakan air untuk kami berdua. Nasi yang terhidang begitu menyelerakan tekakku. Aku makan hingga habis padahal sebelum ini aku tidak suka memakan nasi di sebelah pagi.
“Sedaplah nasi yang Mak Cik Melur masak. Isi ikan tongkol tu pun rasa sedap macam makan stik ikan,” ujarku sambil membasuh tanganku di singki.
“Sha suka stik ikan?” tanya Iskandar yang turut membasuh tangannya.
“Kalau di luar Negara, Sha selalu makan stik ikan salmon. Stik daging pun Sha suka,” jawabku sambil mengelap tangan.
“Err... Sha jangan marah kalau abang tanya.”
Aku panggung muka melihat wajah Iskandar. Matanya tepat memandangku seolah ada sesuatu yang dimusykilkannya.
“Tanyalah, Sha tak marah.”
“Kalau abang tanya, Sha jangan salah faham. Abang cuma nak kepastian bukan nak salahkan Sha. Mana yang tak betul, kita perbetulkan.”
“Baiklah. Abang jangan risau. Apa sahaja kesalahan dan perbuatan Sha yang tak betul daripada segi agama, abang boleh tegur. Sha memang tak tahu hukum hakam. Sha jahil.”
“Selain arak, Sha makan tak apa yang kawan-kawan bukan Islam Sha makan?”
Aku mengangguk. Memang benar sebelum ini aku tidak memperdulikan sangat tentang halal haram sesuatu makanan. Aku tidak mengambil kira soal sembelihan. Asalkan ikan dan daging lembu, aku makan. Tetapi aku tidak makan daging babi dan makanan yang pelik-pelik.
“Tak mengapalah. Barang dah lepas. Sha kena bertaubat dan jangan ulangi perbuatan lalu. Makanan yang kita makan sebenarnya akan jadi darah daging kita. Kalau kita makan makanan haram, hati jadi keras dan sukar menerima hidayah. Jiwa pun tak tenteram.”
Aku diam dan mengikut langkah Iskandar ke hadapan. Iskandar melabuhkan punggungnya di sofa dan aku duduk di sebelahnya.
“Adakah ALLAH akan terima taubat Sha?” tanyaku, perlahan.
“Insya-ALLAH, sayang. Asalkan sayang benar-benar bertaubat dan tinggalkan segala kemungkaran. Lakukan apa yang ALLAH perintah dan banyakkan beristighfar memohon keampunan ALLAH.”
 “Dosa Sha terlalu banyak. Dulu masa di sekolah Sha tak ambil berat apa yang ustaz ajar. Ketika di universiti pun, Sha jauhi kumpulan yang nak dakwah Sha. Sha jadikan mereka musuh dan Sha benci sesiapa bertudung. Pada Sha, mereka ni hipokrit. Paling Sha benci, Puteri Arysa.”
Aku ketap bibir mengingati wajah perempuan yang telah merampas kekasih hatiku suatu ketika dahulu. Apa lebihnya Puteri Arysa hingga Raja Azrin melepaskan kasih antara kami yang bertaut sekian lama? Raja Azrin tega menghancur leburkan hatiku setelah memperoleh apa yang diingini daripadaku. Iskandar meraih tanganku dan menggenggamnya. Senyuman tetap mekar di bibirnya.
“Boleh abang tahu siapa Puteri Arysa?” tanya Iskandar.
Aku kerutkan dahi berfikir sejenak.
“Abang kata semua rahsia Sha dalam poket abang? Bonda tak ceritakan pada abang tentang Raja Azrin Shah dan Puteri Arysa?” soalku hairan.
 Tiba-tiba terasa cuak pada Iskandar. Betulkah dia pernah bekerja dengan ayahanda dan bonda? Persoalan itu kembali menerpa.
“Bonda tak cerita secara detail tentang Raja Azrin. Malah nama Puteri Arysa pun tak pernah disebutnya,” ujar Iskandar, nampak jujur.
“Apa yang bonda cerita pada abang?” soalku, menguji setakat mana yang Iskandar tahu.
“Bonda beritahu Sha pernah putus cinta dengan Raja Azrin setelah setahun berkawan. Sha kecewa dan lepas tu Sha bawa diri ke luar Negara. Raja Azrin kahwin dengan orang lain. Err... Puteri Arysa kan?” tanya Iskandar teragak-agak.
Aku mengangguk lemah.
“Maafkan abang sebab dah buat Sha sedih.” Genggaman di tanganku makin dieratkan.
“Tak mengapa, perkara dah lepas. Cuma Sha kesal, benci buat diri Sha makin jauh daripada agama. Sha salahkan semua termasuk ALLAH. Sha bodohkan? Lelaki tu hidup bahagia sedangkan Sha pilih jalan berduka.”
 Aku ketawa kecil bagi menutup riak duka di wajahku. Aku tidak mahu memanjangkan soal itu lagi. Bimbang, luka lama berdarah kembali. Hingga ke saat ini, aku masih mengingati Raja Azrin Shah walaupun aku tahu dia tidak akan berpatah balik kepadaku. Iskandar menarikku ke dalam pelukannya. Aku membiarkan kerana aku memang mengharapkan sokongannya ketika hatiku terasa sedih.
“Sha jangan sedih. Abang ada untuk rawat segala duka Sha. Abangkan lagi handsome daripada Raja Azrin. Jadi, Sha tak rugi dapat abang,” kata Iskandar sambil mencuit hidungku.
Aku tergelak dengan kenyataannya kerana aku tahu Raja Azrin lebih kacak daripada Iskandar. Tetapi Iskandar mempunyai keistimewaan tersendiri dan aku mulai menyukai keistimewaan itu. 
 “Adakah Raja Azrin yang pertama?” soal Iskandar setelah lama kami mendiamkan diri.
“Maksud abang?” soalku kembali. Aku mendongak memandang wajahnya.
“Abang bukan yang pertamakan?” bisiknya rapat di telingaku.
Berderau darahku dibuatnya. Aku mulai faham maksud soalannya itu. Apa tujuan dia menyoalku? Adakah dia pun seperti Raja Azrin Shah yang akan pergi meninggalkanku setelah memperoleh diriku?
Aku meleraikan pelukannya dan bingkas bangun. Terasa diri begitu bodoh membiarkan sejarah lama berulang kembali. Cuma kali ini bersama Iskandar. Aku kesal kerana mudah tewas dengan godaan lelaki. Padahal aku baru sahaja kenal dia. Lelaki Melayu pula tu!
Aku berlari memasuki bilik dan menutup pintu. Sebelum sempat aku menguncinya, Iskandar menolak dan meloloskan diri. Cepat rupanya dia mengejarku. Aku mengundur ke belakang apabila Iskandar cuba meraih tanganku.
“Sayang, kenapa lari daripada abang? Abang tak bermaksud yang lain ketika abang tanyakan tu. Abang cuma nak Sha berterus terang. Abang tak nak ada salah faham antara kita. Kalau boleh Sha terangkan apa yang Raja Azrin dah buat pada Sha. Kenapa sampai Sha simpan rasa benci pada lelaki Melayu?”
Aku menggeleng-gelengkan kepala. Telingaku tekup dengan kedua-dua tangan. Tidak mahu mendengar nama Raja Azrin dan sejarah lamaku dibangkitkan semula. Aku bencikan dia. Aku benci terseksa sekian lama. Aku benci perasaan ini. Mencintai tetapi dikhianati. Kenapa perasaan ini datang lagi?
“Sayang...”
“Agghh! Pergii!”
Aku menjerit sekuat hati apabila Iskandar menyentuh tanganku. Bagaikan terkena histeria, aku menangis semahunya dan cuba melarikan diri. Iskandar pantas menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Dia cuba menenangkan diriku yang sedang meronta-ronta. Kedua-dua tanganku menumbuk dadanya. Iskandar pantas mengunci pergerakanku menyebabkan aku terkaku.
“Sha, jangan bertindak begini. Ingatkan ALLAH banyak-banyak. Istighfar Sha, istighfar!”
Iskandar mulai beristighfar dan aku mengikut sebutannya. Lama kelamaan aku kembali tenang. Iskandar melepaskan tangannya yang mengunci kaki dan tanganku. Aku menggosok-gosok tangan yang terasa sakit. Iskandar menarikku ke dalam pelukannya. Dia menguak rambutku dan memberikan ciuman di dahiku.
 “Sayang jangan mengamuk lagi. Abang janji tak akan tanya hal ni lagi. Abang minta maaf.”
Aku diam tanpa reaksi. Tak pasti apa yang kurasa ketika ini. Luka dan duka bersatu. Pedih dan pilu membelenggu. Marah dan sakit mengganggu. Cinta dan benci berpadu.
“Sayang, abang tak bermaksud nak lukakan hati sayang atau persoal diri sayang. Mungkin cara abang tadi tak kena. Sebenarnya, abang terima sayang seadanya. Abang cintakan sayang. Maafkan abang, sayang.”
Iskandar terus memelukku, menyalurkan kekuatan buat diriku. Sesekali tangannya mengusap lembut belakangku. Memujuk dan memberi kata-kata semangat.
“Abang, jangan tinggalkan Sha.”
Aku bersuara lemah setelah lama mendiamkan diri. Tubuhku terasa amat letih. Untuk mengangkat tangan pun terasa begitu payah. Seolah sistem badanku gagal berfungsi dengan baik ketika itu.
“Abang takkan tinggalkan Sha.”
“Janji?” soalku antara dengar dan tidak.
 “Ya, abang janji.”
Segaris senyum terukir di bibirku sambil memejamkan mata. Hati mulai terasa tenang. Entah kenapa, aku yakin dengan janji Iskandar. Aku dapat merasakan tubuhku diangkat dan diletakkan di atas katil. Terasa hangat ciuman selamat malam yang diberikannya di dahiku.
 


Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf