Pengikut

Selasa, 30 Julai 2013

Kies 9 cinta selamanya - bab 9



Aku tersedar daripada lena dan memandang sekeliling. Sunyi sepi tanpa kelibat Iskandar di situ. Aku bangun dan bersandar di kepala katil. Mengingati kembali apa yang terjadi sebelum ini, membuat aku termenung sendiri.
Adakah apa yang aku buat ini betul? Hatiku memang mengharapkan dia sentiasa ada untukku. Menegur dan membimbingku ke jalan ALLAH. Tapi jika tiada ikatan antara aku dan dia, tidakkah itu mengundang dosa? Bagaimana nak mensucikan diri jika dalam waktu yang sama diri bergelumang dosa? Aku dah janji nak berubah tapi aku masih ulang kesalahan yang sama, aku bermonolog sendiri.
Cincin di jari kutatap lama. Cuba mencari maksud di sebalik pemberian Iskandar itu. Adakah Iskandar juga seperti Dennis dan Nancy kawanku yang berkahwin bulan lepas? Tetapi sebelum berkahwin secara rasmi, mereka berdua duduk bersama dan saling bertukar cincin. Mereka menganggap pemberian cincin itu melambangkan perkahwinan mereka. Mendaftarkan perkahwinan, sekadar memenuhi syarat sahaja.
Bolehkah di dalam agama Islam berbuat seperti Dennis dan Nancy? Hatiku berbelah bagi. Sejahil-jahil aku, rasanya perkara itu tidak dibolehkan. Setahu aku, seorang perempuan perlu menyatakan persetujuan jika ingin mengahwini seseorang lelaki. Malah lelaki itu perlu melafazkan akad. Tetapi aku tidak menjalani sebarang upacara tersebut. Jadi jelas dan nyata, aku bukan isteri Iskandar.
Pintu bilikku dibuka dan Iskandar terjengul di pintu. Dia tersenyum sambil menghampiriku.
“Sayang dah bangun rupanya. Macam mana sekarang? Dah okey?” tanya Iskandar sambil duduk di sebelahku.
Aku tersenyum dan mengangguk. Aku membiarkan Iskandar memegang dan mencium tanganku. Rasa bahagia diperlakukan begitu. Tetapi tidakkah perbuatan ini juga berdosa?
“Abang, tidakkah perbuatan kita ni berdosa? Sha nak bertaubat tapi abang buat dosa Sha makin bertambah. Bukankah kita dah lakukan dosa besar kerana berzina dan hidup macam suami isteri tanpa ikatan yang sah?” ujarku meluahkan apa yang terbuku di hati.
Wajah Iskandar jelas terkejut. Tubuhku dipusing bagi menghadap dirinya. Matanya tajam melihat ke bola mataku. Berdesup rasanya hingga ke jantungku.
“Siapa kata kita berdosa? Sha isteri abang dan hubungan kita halal. Tiada istilah zina tapi apa yang kita lakukan adalah ibadah. Sha dapat pahala sebab layan abang dengan baik. Bagaimana Sha boleh fikir yang kita tiada ikatan?” soal Iskandar, tegas.
“Tapi Sha tak tahu pun bila akad nikah kita? Serasanya Sha tak pernah bersetuju nak kahwin dengan abang. Kenal abang pun tak.” Aku mulai keliru.
“Ayahanda kata, Sha sendiri yang setuju dan Sha tandatangan surat beri izin ayahanda jalankan akad nikah bagi pihak Sha. Takkan Sha dah lupa?” ujar Iskandar dengan dahi berkerut. Mungkin hairan kerana aku tidak mengetahuinya.
“Bila masa Sha bersetuju? Ayahanda tak beri apa-apa surat pun untuk Sha tandatangan. Abang tengok tak surat tu?” soalku masih tidak berpuas hati.
“Abang tengok sendiri surat tu. Memang tandatangan Sha pun. Takkan Sha tak baca masa tandatangan?”
“Masalahnya, Sha tak tahu pun surat tu wujud. Kebiasaannya Sha akan baca terlebih dahulu sebelum turunkan tandatangan pada mana-mana dokumen.”
Iskandar garu kepala yang tidak gatal. Aku merenungnya untuk mencari jawapan. Jika benar aku isterinya, aku amat bersyukur. Jika tidak, aku ingin halalkan hubungan kami.
“Itu abang tak tahu. Apa yang pasti, memang Sha dah setuju. Ayahanda dan bonda yang sahkannya. Sha jangan risau, akad nikah kita sah dan menepati hukum syarak. Ayahanda wakil dan wali Sha. Jadi tanpa kehadiran Sha pun akad nikah tetap sah.”
Berkerut dahiku memikirkan kata-kata Iskandar. Sebahagian hatiku menerima dan sebahagian lagi menolak.
“Kalau kita dah kahwin, tentu ada surat nikahnya. Mana? Tunjukkan pada Sha.”
“Surat tu abang tertinggal di rumah sewa abang di Kuala Lumpur. Surat nikah Sha tak adakah? Ayahanda kata nak serahkan sendiri pada Sha bersama-sama duit mas kahwin dan hantaran. Abang dah beri cek RM10,000 pada ayahanda.”
“Sha tak tahu sama ada surat nikah dan cek tu ada atau tidak. Ayahanda tak kata apa-apa pun tentang perkahwinan Sha. Bonda pun tak cakap apa-apa sedangkan bonda selalunya beritahu Sha apa aje yang berlaku dalam keluarga. Bila tarikh akad nikah kita?”
“Tiga minggu lepas, iaitu hari Khamis 15 Mac. Mungkin bonda dan ayahanda tak sempat nak beritahu Sha atau mungkin juga mereka nak beri kejutan pada Sha. Kalau ikut perancangan, dua bulan lagi baru majlis resepsi kita akan dibuat.”
Aku terdiam memikirkan kata-kata Iskandar. Jika benar kata Iskandar, bagaimana ayahanda atau bonda mendapatkan tandatanganku? Adakah aku menandatangai surat itu sewaktu mabuk atau khayal? Seingat aku, aku tidak pernah pulang ke rumah jika mabuk dan aku tidak pernah mengambil pil khayal. Ketika di rumah, aku sentiasa memastikan diriku waras dan normal dipandangan mata bonda dan ayahanda.  Aku hanya akan minum ketika di kelab malam atau di parti kawanku. Di tempat lain, aku elakkan berbuat begitu.
“Abang, Sha lapar. Ada apa-apa tak untuk dimakan?”
Aku sengaja mencari alasan untuk elakkan diri daripada terus memikirkan masalah ini. Apa yang aku hadapi sekarang terlalu berat untuk diselesaikan dalam masa yang singkat. Buat masa sekarang, aku terima segala kata-kata Iskandar. Tetapi bila ada peluang, aku akan siasat kebenarannya. Aku perlu mendapatkan telefon untuk menghubungi Shila, sepupu merangkap pembantu peribadiku.
“Marilah ke dapur. Tadi Adli datang hantar makanan tengah hari. Abang tunggu Sha bangun untuk makan bersama,” ujar Iskandar dengan wajah ceria.
Aku bangun dan menuruti langkah Iskandar ke dapur. Suasana rumah begitu sunyi dan kelibat Mak Cik Melur juga tiada.
“Mak Cik Melur tak balik lagi?” soalku sambil mencuci tangan di singki.
 Aku turut membasuh sedikit wajahku. Takut jika ada tahi mata yang bertempek. Maklumlah aku baru bangun tidur.
“Dia dah balik. Tadi dia kata nak ikut Adli ke Bandar. Nak beli barang dapur,” jawab Iskandar sambil menarik kerusi untukku.
Aku duduk di kerusi dan memandang lauk di hadapanku. Selera makanku seolah tertutup melihat ayam goreng bersalut tepung. Ayam sebegitu mengingatkan aku makanan kegemaran Raja Azrin Shah. Telah lama aku tidak menjamah ayam goreng bagi mengelakkan diri mengingatinya. Tetapi kerap kali aku gagal. Ternyata hatiku masih merinduinya.
Iskandar menyendukkan nasi untukku. Dia meletakkan daging masak hitam ke dalam pingganku. Aku membiarkan dan mengambil sedikit sayur. Apabila Iskandar ingin meletakkan ayam goreng, aku menghalang.
“Sha tak makan ayam goreng.” Aku memberi alasan.
“Oh! Maaf, abang tak tahu.”
“Tak mengapa,” jawabku lemah.
Mataku labuhkan ke pinggan nasi. Aku gagahkan diri menyuap nasi ke mulut. Bau ayam goreng yang dimakan oleh Iskandar benar-benar mengganggu ketenanganku. Terlayar di minda wajah Raja Azrin yang menyaup cebisan ayam goreng ke mulutnya. Ketika itu kami berada di restoran makanan segera kegemaran Raja Azrin.
“Rain, kita kahwin,” ujarku setelah lama memerhati wajah Raja Azrin.
“Kenapa?” soalnya acuh tak acuh.
“Takkan kita nak terus begini? You tak rasa berdosakah?”
“I ingat you tak kisah soal dosa.”
“I cintakan you sepenuh hati. Sebab tu I masih terima you walaupun you dah nodai I. I nak you kotakan janji you dan bertanggungjawab atas apa yang you buat pada I. Kita kahwin dan I akan maafkan semua kesalahan you.”
 Aku merayu untuk ke sekian kalinya. Telah banyak kali Raja Azrin Shah cuba mengelak jika soal kahwin dibangkitkan. Pelbagai alasan diberikan. Khabar angin yang kudengar tentang hubungannya dengan Puteri Arysa benar-benar merungsingkanku.
“I tak minta, tapi you sendiri yang serahkan body you. You ingat dengan serah body, you dah boleh ikat I? Sorry, family I dah tetapkan jodoh I. I kena ikut pilihan family. I harap you faham dan hubungan kita setakat ini aje.”
“Apa maksud you sebenarnya? You bawa I ke rumah you dan masukkan pil khayal dalam minuman I. Bila I tak sedar, you rogol I. Itu yang you kata I serahkan body pada you? Pandai you pujuk I supaya tak ambil tindakan terhadap you. You kata nak bertanggungjawab tapi sekarang you nak putuskan hubungan kita?” suaraku lantang bagaikan panahan petir.
Aku tidak memperdulikan banyak mata yang melihat adegan spontan yang kami paparkan.
“Ya! Kita putus. Bagi I, perempuan macam you tak layak dijadikan isteri. Belum apa-apa dah serah body pada lelaki.  Entah berapa jantan sebelum ni pun I tak tahu. You sengaja ikut I balik ke rumah dan goda I. Itu perangkap you untuk kahwin dengan I kan? I tak nak kutip sisa orang. I nak isteri yang masih suci macam Arysa.”
Berdesing telingaku mendengar kata-katanya. Akukah yang bersalah dalam soal ini? Setelah dia merosakkan diriku dengan mudah dia memutuskan hubungan kami. Mana pergi janji manisnya selama ini? Janji akan mencintai dan membahagiakanku selamanya. Bodohnya aku kerana mempercayai janji seorang ‘buaya’.
“Baru sekarang you kata I tak layak jadi isteri you. Masa you nakkan tubuh I, macam-macam taktik you guna. Tak dapat cara baik, you guna cara keji. Beribu janji you tabur, pujuk rayu semanis madu semuanya palsu belaka. I tak perduli apa alasan you. I nak you bertanggungjawab atas apa yang you dah buat pada I. I mengandungkan anak you, tahu tak?”  Lava kemarahanku kian menggelegak melihatkan wajah Raja Azrin yang bersahaja.
 “You mengandung? So, you ingat jika you mengandung, I akan kahwin dengan you? I tak rasa itu anak I. Mungkin jantan lain yang buntingkan you dan you senang-senang nak perangkap I.”
“Ini anak you! I tak ada hubungan dengan orang lain. Sama ada you suka atau tidak, you kena bertanggungjawab.”
“Hey! Kiesha. You dengar baik-baik apa yang I nak kata. I tak boleh terima you walau apa pun alasan you. I cadangkan you carilah jantan lain yang rela jadi pak sanggup atau you gugurkan aje kandungan you tu,” ujar Raja Azrin Shah dengan senyum sinisnya.
Aku tidak dapat menerima kata-katanya. Begitu hina sekali dia perlakukan diriku. Setelah maruahku dicarik-carik, begitu mudah dia berlepas tangan. Habis madu sepah di buang. Aku merenung Raja Azrin, marah.
Tanganku mencapai gelas berisi air oren di hadapanku. Marah yang membahang membuat aku menyimbah air ke muka lelaki yang sedang leka mengunyah ayam goreng. Jelas terlihat di mataku rupanya yang terkejut. Bulat matanya merenungku.
“Sayang, kenapa ni?” soalnya kehairanan.
Mendengar suaranya membuatkan aku kembali ke alam nyata. Terlopong mulutku melihat wajah Iskandar yang basah bermandikan air oren. Segera aku bangun dan menghampirinya. Serba salah aku dibuatnya. Pantas jari jemariku mengesat wajahnya tanpa menyedari aku belum membasuh tangan.
“Ahh!” terjerit Iskandar apabila jari jemariku yang masih terlekat cili mengenai matanya.
“Maafkan Sha. Sha tak sengaja.”
Aku makin panik melihat Iskandar menutup matanya yang kepedihan.
“Sha, bawa abang ke singki,” arah Iskandar sambil tangannya terawang-awang cuba mencapai tanganku.
Aku memaut tubuh Iskandar dan membawanya ke singki. Paip air kubuka dan dia mulai membasuh mukanya. Aku turut membasuh tanganku.
“Abang, Sha minta maaf. Abang tak apa-apakah?”
Aku mulai risau dan membelek wajahnya bagi memastikan dia tidak tercedera. Iskandar membuka matanya dan merenung wajahku penuh tanda tanya.
“Kenapa Sha mandikan abang dengan air oren?”
“Err... Sha minta maaf. Tadi terbawa-bawa. Rasa macam Raja Azrin yang ada depan Sha. Sha marahkan dia dan Sha pernah curahkan air ke wajah dia,” terangku takut-takut.
Aku gigit bibir. Berdebar menanti kata-kata daripada Iskandar. Iskandar tersenyum dan menarikku ke dalam pelukannya.
“Eee...abang basah.” Aku menahan diri daripada dipeluk.
“Sha yang buat abang basah. Abang tak kira, abang nak peluk Sha juga.”
Iskandar cuba mencapai tubuhku tetapi aku cepat melarikan diri ke ruang hadapan. Dia mengejarku menyebabkan aku terpusing-pusing sekeliling sofa bagi mengelakkan diri.
“Sha tak larat dah. Maafkan Sha.”
Aku berhenti setelah penat berpusing-pusing beberapa kali. Iskandar menarikku ke dalam pelukannya dan aku hanya menurut. Habis basah bajuku apabila terkena tubuh Iskandar yang basah dan melekit. Iskandar ketawa dan aku turut ketawa bersama-samanya.


Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf

Tiada ulasan: