Pengikut

Selasa, 30 Julai 2013

KIES 9 bab 12

Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf


“Sha, ada road block di hadapan. Sha duduk diam-diam dan jangan bergerak,” kata Iskandar sambil memperlahankan van kami.
Aku segera mengenakan niqab dan duduk bersandar di bangku. Dalam hatiku berdoa agar tidak timbul sebarang masalah. Kedudukanku agak terlindung daripada pandangan luar. Kotak-kotak barang yang tersusun juga membantuku menyembunyikan diri. Aku mendiamkan diri apabila van kami berhenti di sekatan yang dibuat oleh pegawai JPJ. Iskandar memberi salam kepada anggota JPJ yang bertugas. Salam Iskandar dijawab.
“Minta lesen, encik.”
Pegawai JPJ itu meminta lesen memandu Iskandar dan Iskandar memberikannya. Setelah meneliti buat seketika, pegawai JPJ itu memulangkannya kepada Iskandar. Iskandar mengucapkan terima kasih. Pemanduan diteruskan setelah pegawai JPJ itu memberi isyarat membenarkannya meneruskan perjalanan. Aku menarik nafas lega setelah van bergerak. Niqab dan tudung aku tanggalkan. Aku menurunkan kembali kotak yang di letak bagi melindungi pandangan luar. Cermin gelangsar di belakang Iskandar, kutolak agar terbuka. Ini untuk memudahkan aku berbual dengan Iskandar.
“Syukur, dia tak periksa van pun,” ujarku.
“Ya, syukur. Tak perlu nak bersoal jawab dengan mereka. Kalau tak, tentu dia tanya kenapa Sha duduk di belakang?”
“Kalau dia tanya tadi, abang nak jawab apa?” aku menduga Iskandar.
“Abang jawab, Sha tengah alami alahan mengandung anak sulung. Asyik pening dan tak boleh duduk depan sebab nampak cahaya matahari. Nak kena duduk di tempat gelap baru tak pening,” ujar Iskandar lalu ketawa.
Aku tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Abang ni macam ada pengalaman aje. Abang dah pernah beristerikah sebelum ni?”
“Benda macam tu tak perlu beristeri pun boleh tahu. Iffah alami masalah tu masa mula mengandung dulu. Teruk juga Muhayat nak biasakan diri dengan keadaan tu. Iffah tak boleh bau benda wangi, terus muntah. Tapi kalau benda busuk, tak apa pula. Pelik betul orang mengandung ni.”
“Siapa Iffah dan Muhayat?”
“Iffah tu, adik  abang dan Muhayat pula suami dia. Sekarang mereka tinggal di New Zealand sebab Muhayat kerja di sana. Iffah baru aje lahirkan bayi perempuan. Sebab tu ibu dan abah pergi ke sana. Alang-alang dah pergi, ibu dan abah nak tinggal lama sikit. Nak main-main dengan cucu sulung.”
“Abang ada berapa beradik?” soalku untuk mengetahui latar belakang Iskandar dengan lebih lagi.
“Abang, dua beradik aje dengan adik abang.”
“Untung abang ada adik. Sha anak tunggal dan tak ada sesiapa dah.”
“Adik abang, adik Sha juga. Nanti abang kenalkan Sha dengan mereka.”
Aku tersenyum gembira mendengar pengakuan Iskandar. Paling tidak, aku masih mempunyai keluarga dan ibu bapa mentua. Tidaklah terasa hidup sebatang kara.
Keadaan berbukit menyebabkan siaran radio yang terpasang mengalami gangguan. Iskandar kemudiannya memasang lagu daripada CD yang terdapat di dalam van. Lagu dapat menghilangkan kebosanan semasa memandu. Itu yang diberitahunya kepadaku sebelum ini. Iskandar turut menyanyi mengikut rentak lagu Gangnam Style. Badannya terhinggut-hinggut dan sesekali jarinya diketuk-ketuk di stereng kereta.
Aku tertawa kecil melihat aksinya. Tanpa sedar tubuhku juga terikut-ikut rentak lagu itu. Riuh rendah van tersebut dengan suara sumbang kami berdua. Tiba-tiba Iskandar memperlahankan van dan memberi isyarat untuk berhenti di tepi jalan.
“Kenapa bang?” soalku agak hairan.
“Tayar pancit.”
Aku melihat Iskandar turun dari van. Cepat-cepat aku memakai semula tudung dan niqab. Aku turun dan memerhatikan tayar belakang yang hampir kempis.
“Bukankah abang dah periksa keadaan van ni sebelum bertolak?”
“Ya, semuanya okey termasuk tayar ni. Mungkin tadi waktu berhenti di masjid terkena paku,” ujar Iskandar sambil menunjukkan paku yang terbenam di tayar.
Terdapat sedikit pembinaan di masjid yang kami singgah tadi. Mungkin paku daripada kawasan pembinaan itu terjatuh hingga ke  petak parkir.
“Abang nak tukar tayar ni. Sayang duduklah dulu di tempat teduh.”
Iskandar menunjukkan pokok berhampiran untukku berteduh. Aku mengikut saranan Iskandar dan bergerak ke bawah pokok itu. Iskandar mengeluarkan alatan untuk menukar tayar. Aku hanya mampu memerhati kerana aku tidak tahu cara untuk menggantikan tayar. Iskandar mengeluarkan tayar simpanan dan dibawa ke sisi van. Dia duduk bertinggung untuk melonggarkan nat.
Mataku cepat menangkap kelibat beberapa orang lelaki yang menunggang motorsikal. Pelbagai aksi dibuat oleh mereka termasukkan aksi superman. Aku hanya tersenyum sinis melihat gelagat mereka.
“Nak tunjuk lagak tak kena tempat. Kalau jatuh, padan muka,” omelku perlahan.
Sedang asyik aku memerhati gelagat mereka, salah seorang yang membuat lagak mengangkat tayar hadapan, hilang kawalan. Motorsikalnya terbabas ke dalam belukar di tepi jalan. Dia jatuh tergolek bersama-sama pemboncengnya. Kawan-kawannya yang lain berpatah balik untuk melihat keadaannya.
“Bro! Lu tak apa-apa ke?” tanya pemuda berbaju T hitam gambar tengkorak.
“Wa okey! Small matter ni,” sahut pemuda yang terjatuh.
Aku hanya melihat pemuda yang terjatuh tadi mengangkat motorsikalnya. Iskandar masih tekun menukar tayar van. Mungkin kerana kedudukan Iskandar yang terlindung dari arah jalan, membuatkannya tidak menghiraukan situasi itu. Tentu pemuda-pemuda itu juga tidak mengetahui kewujudan Iskandar di situ.
“Hey! Tengok tu. Hantu purdah,” jerit pemuda berjaket gelap sambil menundingkan jari ke arahku.
Cis! Aku yang lawa macam ni, dia kata hantu purdah. Ini memang kurang ajar, bisik hatiku.
Pemuda-pemuda yang lain turut memandangku. Kemudian mereka saling memberi isyarat mata dan gerakan kepala antara mereka.
“Hantu kom-kom! Seorang pula tu,” sahut seorang yang lain sambil ketawa.
Mereka turun daripada motorsikal dan mula melangkah ke arahku. Aku telan air liur. Terasa kecut perutku memikirkan kemungkinan mereka berniat buruk.
“Abang!” Aku memanggil Iskandar setelah kumpulan lelaki itu kian dekat.
“Abang datang sayang!” sahut lelaki berbaju T hitam gambar tengkorak.
“Rupanya hantu ni boleh bercakap,” sahut seorang lagi.
 “Walaupun nampak mata aje, tapi rasanya cantik. Yang bertutup ni mesti barang baik punya. Jom kita kendurikan dia,” sampuk lelaki berjaket gelap.
Kawan-kawannya bersorak dan berbunyi seperti serigala yang sedang melolong. Aku cuba untuk mendapatkan Iskandar tetapi terhalang oleh mereka. Makin seronok mereka ketawa.
“Hoi!” jerkah Iskandar dari arah belakang mereka.
Mereka berpusing ke arah Iskandar. Jelas kelihatan mereka terkejut dengan sergahan itu. Tambahan pula di tangan Iskandar terdapat spanar yang digunakannya untuk mengetatkan nat. Pemuda yang seramai enam orang itu segera mengelilingi Iskandar. Dua orang pemuda mengeluarkan pisau lipat daripada jaket masing-masing. Iskandar menunggu mereka membuat serangan.
Hatiku resah gelisah. Tidak henti aku berdoa agar Iskandar selamat. Takut juga kerana Iskandar seorang diri berhadapan dengan mereka. Aku lihat Iskandar menepis setiap serangan. Lagak gayanya begitu tangkas, menepis dan menendang lelaki-lelaki itu. Spanar di tangannya tidak digunakan untuk memukul mereka. Dia hanya menggunakan spanar itu untuk menghalang tusukan pisau. Pisau di tangan lelaki itu terjatuh apabila Iskandar menendangnya.
Lelaki itu cuba menyerang lagi dan dengan menggunakan kekuatan kaki, Iskandar menendang ala-ala peninju Tomoi. Tersungkur lelaki itu menyembam bumi. Lelaki berbaju T hitam cuba menyerang. Nasibnya juga seperti lelaki tadi, tersembam ke bumi. Dua orang lelaki cuba menyerang secara serentak. Iskandar mengelak dan mereka berdua berlaga sesama sendiri.
Aku tergelak kecil melihat keadaan itu. Terasa lucu melihat mereka menyerang secara membabi buta sedangkan Iskandar punya skil yang baik dalam serangan dan mempertahankan diri. Begitu jelas perbezaan antara orang yang belajar seni mempertahankan diri dan yang tidak. Tidak lama masa yang diambil oleh Iskandar untuk menumpaskan mereka. Hatiku mengucap syukur dan bertambah kekagumanku terhadap Iskandar.
“Bangun!”
Iskandar menarik telinga pemuda berjaket gelap yang ingin ‘kendurikan’ aku sebentar tadi. Pemuda itu mengadui sakit tetapi tetap bangun mengikut arahan Iskandar. Iskandar berhenti di hadapan aku.
“Kau ada niat nak kendurikan isteri aku tadikan? Cepat minta maaf pada dia,” arah Iskandar sambil melepaskan telinga pemuda itu.
Pemuda itu menggosok-gosok telinganya dan kemudian meminta maaf padaku.
“Maafkan saya, kak.”
“Maaf aje?” soalku sekadar menambah ‘perisa’. Berdesing juga telinga kerana pemuda itu memanggilku, ‘kak’. Terasa tua dengan panggilan itu.
“Saya minta maaf dan saya janji tak akan buat lagi,” ujarnya sambil mengangkat sebelah tangan seolah berikrar. Mukanya menunjukkan kesungguhan.
“Baiklah. Saya maafkan kamu,” ujarku sambil tersenyum.
“Maafkan saya, abang.”
Lelaki itu meminta maaf daripada Iskandar sambil menyuakan tangan untuk bersalam. Iskandar menyambut salamnya dan menyatakan kesudiannya untuk memaafkan kesalahan pemuda itu. Dia kemudian memanggil kawan-kawannya yang lain untuk meminta maaf kepada kami berdua.
“Tentu umur kamu semua dalam belasan tahun lagikan?” soal Iskandar setelah dia habis menyalami mereka.
“Umur kami antara lapan belas ke dua puluh tahun,” ujar lelaki berjaket gelap.
“Muda sangat lagi. Sepatutnya kamu semua menghormati wanita tak kira tua atau muda. Bayangkan jika adik atau kakak kamu yang diganggu dan hendak dikendurikan. Tentu kamu rasa marahkan? Rasa nak pecahkan kepala lelaki yang sanggup buat begitu,” ujar Iskandar sambil memandang tepat ke arah pemuda-pemuda itu.
Mereka semua tertunduk mendengar kata-kata Iskandar. Masing-masing mengakui kebenaran kata-kata Iskandar dan meminta maaf.
“Kamu semua tak ada kerja yang lebih berfaedah untuk dibuatkah? Dah habis belajar?” soal Iskandar lagi.
“Kami semua dah lama berhenti belajar dan masih cari kerja,” jawab lelaki berbaju T hitam.
“Oh! Cari kerja. Hari ni hari bertuah kamu semua. Abang baik hati dan nak beri kamu semua kerja hari ni. Pasangkan tayar van tu sebagai denda kerana ganggu isteri abang,” arah Iskandar.
Pemuda-pemuda itu memerhati tayar van yang masih belum terpasang. Tayar yang pancit telah ditanggalkan oleh Iskandar. Tanpa banyak soal, mereka menghampiri van dan mulai memasang tayar.
“Sayang okey tak?” soal Iskandar sambil duduk di sebelahku.
“Okey,” jawabku sambil menyandarkan kepala ke bahunya.
“Sha hairanlah kenapa budak-budak lelaki tu masih nak ganggu Sha sedangkan Sha pakai macam ni.”
“Budak-budak tu mungkin sangka Sha seorang diri di kawasan yang sunyi ni dan nak cuba nasib. Mereka ni nak berlagak samseng tapi tak cukup ilmu nak jadi samseng. Sekadar samseng taik minyak, hampeh!” ujar Iskandar lalu ketawa.
 “Samseng pun kena ada ilmu? Ilmu samseng?” Aku ketawa dengan soalan sendiri.
Iskandar sekadar tersenyum tanpa mahu menjawab soalanku. Dia kemudiannya bangun setelah melihat pemuda-pemuda itu selesai memasang tayar. Aku melihat Iskandar menghulurkan wang kertas kepada pemuda-pemuda itu. Pemuda-pemuda itu mengucapkan terima kasih dan kemudian kembali ke motorsikal mereka. Mereka berlalu pergi setelah mengangkat tangan kepada Iskandar.
“Kenapa abang bagi mereka duit sedangkan mereka dah buat jahat pada kita?”
“Duit tu sebagai upah mereka pasang tayar. Lagipun mereka tu bukanlah jahat sangat. Mungkin kerana kurang didikan agama sebab tu mereka jadi begitu,” ujar Iskandar sambil membuka pintu van untukku.
Aku masuk ke dalam van dan terus menanggalkan jubah serta niqabku. Panas terasa membahang di dalam van. Iskandar menghidupkan enjin dan aku segera membuka pendingin udara ke tahap maksimum. Sempat jua terfikir di fikiranku.  Ini baru panas dunia. Bagaimana nanti panas di Padang Mahsyar? Matahari sejengkal atas kepala. Adakah aku mampu menahan panas itu sedangkan dosaku belum tentu diampun ALLAH? Perlahan-lahan aku menyandarkan badan sambil beristighfar.
 

Tiada ulasan: