Pengikut

Khamis, 23 Januari 2014

Abang King Kontrol - Bab 1 ( Versi cetak )



Irdina memandang wajah lelaki yang masih bertakhta di hatinya. Lelaki itu hanya membatukan diri walaupun pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan oleh Irdina. Sudah matikah hati lelaki itu terhadapnya? Ke mana janji manis madu yang dilafazkan sebelum ini? Selama tiga tahun menyulam kasih, haruskah berakhir begini?
“Kenapa Latif? Apa salah aku hingga kau sanggup putuskan hubungan kita?” soal Irdina sambil mengesat titisan air mata.
“Anggap saja kita tak ada jodoh,” ujar Latif perlahan.
“Tiada jodoh atau kau yang tak setia? Adakah semua perempuan yang kau usung adik angkat kau? Bodohnya aku kerana percayakan kata-kata kau selama ini. Konon tak ada hubungan cinta, sekadar adik angkat. Kalau tak cinta, kenapa kau minta putus?”
“Ah! Kau memang membosankan. Ke mana saja aku pergi, kau nak ambil tahu. Dengan siapa aku keluar, kau perduli apa? Kau bukan bini aku. Kalau bini pun kau tak ada hak nak halang aku. Aku lelaki. Boleh kahwin empat. Jika kau tak boleh terima, get lost!
Bagai ditikam belati, pedih menusuk ke hati kata-kata terakhir Latif. Irdina sedar kini, tiada guna dia merayu lagi. Semakin dirayu semakin keras Latif menolak.
“Ok! Fine. Kau nak aku pergikan? Aku akan pergi. Anggap saja aku dah mati dan tak wujud lagi dalam kamus hidup kau. Selamat tinggal Latif Nawawi!”
Irdina berlari ke tempat meletak kereta bersama deraian air mata yang meluncur laju. Remuk redam membawa dendam di hati. Balkis yang sedang bersandar di kereta agak terkejut melihat keadaan Irdina. Irdina masuk ke dalam kereta tanpa memperdulikan Balkis. Balkis turut masuk dan duduk di kerusi sebelah pemandu. Matanya tidak putus melihat Irdina.
“Kenapa Kak Irdina? Apa kata Latif?” soal Balkis sambil matanya mengerling ke belakang kerana Irdina mengundurkan kereta dengan laju.
Balkis telan air liur bersama debaran di dada. Irdina berdiam diri dan memandu dalam keadaan marah. Beberapa kali Irdina menekan hon meminta laluan daripada pemandu yang lain. Selepas memasuki lebuh raya, Irdina menekan pedal minyak. Satu per satu kereta yang berada di hadapannya di potong. Ke kiri dan ke kanan dia mencelah. Menderum bunyi enjin apabila kelajuan ditambah. Kereta meluncur laju. Balkis mengucap berkali-kali. Kecut perut melihat sepupunya itu bagai dirasuk hantu. Memandu seperti menempah maut.
Irdina hanya akan memperlahan kereta ketika melalui pondok tol dan selepas itu memecut semula. Walaupun berulangkali Balkis meminta Irdina memperlahankan kenderaan, Irdina tetap tidak perduli. “Kak Irdina!” jerit Balkis.
Irdina menoleh sekilas dan meneruskan pemanduannya. Hati yang panas perlu ditenangkan. Dia tidak perduli apa orang lain kata. Yang penting, hatinya puas. Andai takdir menentukan yang ajalnya telah tiba, dia akan redha. Biar Latif Nawawi menyesal kerana kehilangannya.
“Kak Irdina! Berhenti buat kerja bodoh ni,” jerit Balkis.
“Biar aku mati!”
“Kalau Kak Irdina nak mati jangan babitkan aku.”
“Siapa suruh kau ikut? Jadi kau pun kena mati sama,” ujar Irdina tanpa perasaan. Matanya tertumpu ke hadapan.
Balkis makin panik. Sekejap dia memandang ke hadapan dan sekejap memandang ke arah Irdina. Air liur yang ditelan terasa payau. Tidak putus-putus dia berdoa dalam hati.
“Tolonglah Kak Irdina. Kalau Kak Irdina tak sayangkan nyawa, tolong fikirkan juga pengguna lebuh raya yang lain. Jangan nanti ada yang jadi mangsa kerana kemarahan Kak Irdina. Bayangkan sebab Kak Irdina, ada bayi yang kehilangan bapanya. Ada isteri yang menjadi janda. Ada ibu yang kehilangan anak tunggalnya. Kasihan mereka Kak Irdina,” ujar Balkis menukar taktik merayu. Dia tahu, hati Irdina mudah lembut jika kena gaya memujuknya.
Tiada respon daripada Irdina. Balkis makin resah. Otaknya ligat menyusun ayat untuk memujuk Irdina.
“Kak Irdina satu-satunya anak perempuan pak ngah. Kalau Kak Irdina tak sayangkan pak ngah dan mak ngah, Kak Irdina teruskanlah niat membunuh diri tu. Tentu nanti pak ngah dan mak ngah dapat malu. Anak perempuan kesayangan mati dalam kesesatan.”
“Aku tak sesat! Jangan kau pandai-pandai nak letak hukum.”
“Aku dengar ustaz dalam radio cakap. Kalau sengaja memandu laju membabi buta, seolah membunuh diri dan membunuh orang lain. Kak Irdina bukan pembunuh. Tolong berhentikan kereta ni dan beritahu aku apa yang terjadi. Jangan simpan seorang diri masalah Kak Irdina. Apa guna aku sebagai bff kalau tak boleh menolong?”
Irdina menghela nafas dan berfikir buat seketika. Termakan dengan kata-kata Balkis, Irdina mulai memperlahankan kereta dan memberikan isyarat masuk ke hentian R & R Gurun Selatan. Irdina menghentikan kereta di bawah pokok tanpa mematikan enjin. Dia tidak bercadang untuk turun. Sekadar untuk meluahkan rasa yang terbuku di kalbu kepada Balkis.
“Kau tahukan, aku sangat sayangkan Latif?”
Balkis mengangguk. Matanya tepat memandang Irdina yang mulai menangis. Irdina menarik tubuh Balkis lalu memeluknya. Dia menangis semahu-mahunya di bahu Balkis. Balkis agak tergamam tetapi membiarkan sahaja sehingga tangisan Irdina reda.
“Maafkan aku Balkis,” ujar Irdina sambil melepaskan pelukan. Lega sedikit hatinya bila dapat menangis sepuasnya.
“Tak mengapa. Bahu aku sedia berkhidmat bila Kak Irdina perlukan,” ujar Balkis sambil tersenyum.
Irdina tersenyum sambil mengesat saki baki air mata yang ada. Dia bersyukur mempunyai Balkis, sepupu merangkap teman rapatnya. Walaupun Balkis muda dua tahun, tetapi Balkis amat memahaminya. Jenaka Balkis sentiasa menceriakan hidupnya. Malah banyak rahsia hati yang dikongsi bersama Balkis.
“Jadi, betullah dia minta putus?” soal Balkis.
Irdina mengangguk lemah.
“Hrmm... aku dah agak dia akan kecewakan Kak Irdina juga. Betul mak aku cakap, orang yang jalan gaya lompat gagak memang tak boleh dipercayai. Jenis ni bukan nak setia dengan seorang.”
Irdina hanya diam mendengar pandangan Balkis terhadap Latif. Dia pernah mendengar hal sebegitu daripada mulut emak Balkis. Dahulu dia tidak mempercayai, tetapi kini macam benar pula teori orang tua-tua itu.
“Kak Irdina, jangan bazirkan air mata kerana makhluk tak guna tu. Tak rugi mana putus dengan dia. Ramai lagi lelaki yang baik dan setia di luar sana,” ujar Balkis yang sememangnya tidak menyukai sikap Latif.
“Tapi aku sayangkan dia,” ujar Irdina lemah.
“Sayang pun tak guna kalau dia sendiri yang tolak Kak Irdina. Tak payahlah nak merayu-rayu dia. Lagipun Kak Irdina masih muda. Baru dua puluh tahun. Jauh lagi perjalanan hidup kita. Mana tahu suatu hari nanti Kak Irdina akan kahwin dengan doktor. Hidup senang lenang. Kalau kahwin dengan Latif, berlumba saja yang dia tahu. Silap-silap, menjanda awal Kak Irdina.”
“Amboi! Mulut tak ada insuran, bercakap mengalahkan mak nenek,” ujar Irdina lalu menampar tangan Balkis.
“Yalah, mak nenek ni la yang Kak Irdina usung kalau nak keluar. Kalau mak nenek ni tak ada, jangan harap pak ngah nak lepaskan Kak Irdina keluar bebas.”
Irdina tersenyum dan kemudian ketawa kecil melihat Balkis membuat mimik muka. Dia akui kebenaran kata-kata Balkis. Jika dia ingin keluar ke mana-mana, pasti Balkis yang disuruh oleh Pak Idris untuk menemaninya. Balkis memang rapat dengan mereka semua dan kerap kali Balkis akan ke rumahnya tidak kira masa. Pak Idris juga amat mempercayai Balkis.
“Balkis, aku tak nak baliklah lagi. Alang-alang kita dah sampai Gurun, apa kata kita terus ke Penang?”
“Aku okey je. Tapi pak ngah bagi tak kita ke sana?”
“Kau telefonlah minta kebenaran. Bagi tau yang kita nak shoping sekejap dan balik malam ni.”
“Pandailah Kak Irdina ni. Bergaduh dengan Latif kat Kangar. Tup-tup sampai Gurun. Ni nak pergi Penang pula? Gila apa ni?”
“Tolonglah Balkis. Aku nak pergi tepi pantai. Nak tenangkan diri,” ujar Irdina separuh merayu.
“Baiklah, aku telefon.”
Balkis mengeluarkan telefonnya dan mendail nombor Pak Idris. Seperti yang dijangkakan, apabila Balkis yang meminta izin mudah bagi Pak Idris membenarkannya. Irdina tersenyum dan mengucapkan terima kasih buat Balkis. Dia mengundurkan kereta dan meneruskan pemanduan ke Pulau Pinang.
Irdina sebenarnya masih belajar di UiTM cawangan Arau manakala Balkis baru memasuki tingkatan enam rendah. Irdina anak kedua daripada tiga orang adik beradik. Abangnya, Ihsan bekerja di Kuala Lumpur dan adiknya Ilyas, masih bersekolah. Ibunya, Mak Mesa hanyalah seorang suri rumah. Mereka tinggal di Kangar, Perlis. Manakala, Balkis pula adalah anak Pak Su Bahari iaitu adik Pak Idris.
“Aku rasa Kak Irdina kena ubah tabiat,” ujar Balkis memecahkan kebisuan mereka.
“Kenapa?”
“Kak Irdina dah putus dengan Latif, jadi tabiat bawa kereta laju-laju kena hentikan.”
“Apa kaitan?” soal Irdina kurang faham.
“Latif yang ajar Kak Irdina berlumba kereta. Jadi, perangai tu kena buang. Buang bersama-sama memori Latif.”
Irdina mendiamkan diri memikirkan kata-kata Balkis. Latif yang mengajarnya berlumba kereta hingga menjadi kebiasaannya memandu laju. Dia tahu tabiat itu boleh membahayakan nyawanya dan orang lain. Dahulu, demi cinta pada Latif dia sanggup lakukan. Perlukah dia membuang tabiat itu bersama-sama cinta terhadap Latif?

Selasa, 21 Januari 2014

Abang King Kontrol Akan Di terbitkan


Berita baik untuk semua peminat cerita Abang King Kontrol, Insya Allah novel ini akan diterbitkan pada bulan dua di bawah syarikat Gedebook Sdn Bhd. Sama-sama kita nantikan penerbitannya.
Insya Allah saya akan meletakkan sebahagian cerita ini berdasarkan versi cetak. Versi cetak agak berlainan sebab telah ditambah beberapa bab untuk memantapkan lagi cerita ini. Tunggu ya kemunculan Dr Razif dan Irdina Ilmuna...