Irdina
memandang wajah lelaki yang masih bertakhta di hatinya. Lelaki itu hanya
membatukan diri walaupun pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan oleh Irdina.
Sudah matikah hati lelaki itu terhadapnya? Ke mana janji manis madu yang
dilafazkan sebelum ini? Selama tiga tahun menyulam kasih, haruskah berakhir
begini?
“Kenapa
Latif? Apa salah aku hingga kau sanggup putuskan hubungan kita?” soal Irdina
sambil mengesat titisan air mata.
“Anggap
saja kita tak ada jodoh,” ujar Latif perlahan.
“Tiada
jodoh atau kau yang tak setia? Adakah semua perempuan yang kau usung adik
angkat kau? Bodohnya aku kerana percayakan kata-kata kau selama ini. Konon tak
ada hubungan cinta, sekadar adik angkat. Kalau tak cinta, kenapa kau minta
putus?”
“Ah!
Kau memang membosankan. Ke mana saja aku pergi, kau nak ambil tahu. Dengan
siapa aku keluar, kau perduli apa? Kau bukan bini aku. Kalau bini pun kau tak
ada hak nak halang aku. Aku lelaki. Boleh kahwin empat. Jika kau tak boleh
terima, get lost!”
Bagai
ditikam belati, pedih menusuk ke hati kata-kata terakhir Latif. Irdina sedar
kini, tiada guna dia merayu lagi. Semakin dirayu semakin keras Latif menolak.
“Ok!
Fine. Kau nak aku pergikan? Aku akan
pergi. Anggap saja aku dah mati dan tak wujud lagi dalam kamus hidup kau. Selamat
tinggal Latif Nawawi!”
Irdina
berlari ke tempat meletak kereta bersama deraian air mata yang meluncur laju.
Remuk redam membawa dendam di hati. Balkis yang sedang bersandar di kereta agak
terkejut melihat keadaan Irdina. Irdina masuk ke dalam kereta tanpa memperdulikan
Balkis. Balkis turut masuk dan duduk di kerusi sebelah pemandu. Matanya tidak
putus melihat Irdina.
“Kenapa
Kak Irdina? Apa kata Latif?” soal Balkis sambil matanya mengerling ke belakang
kerana Irdina mengundurkan kereta dengan laju.
Balkis
telan air liur bersama debaran di dada. Irdina berdiam diri dan memandu dalam
keadaan marah. Beberapa kali Irdina menekan hon meminta laluan daripada pemandu
yang lain. Selepas memasuki lebuh raya, Irdina menekan pedal minyak. Satu per
satu kereta yang berada di hadapannya di potong. Ke kiri dan ke kanan dia
mencelah. Menderum bunyi enjin apabila kelajuan ditambah. Kereta meluncur laju.
Balkis mengucap berkali-kali. Kecut perut melihat sepupunya itu bagai dirasuk
hantu. Memandu seperti menempah maut.
Irdina
hanya akan memperlahan kereta ketika melalui pondok tol dan selepas itu memecut
semula. Walaupun berulangkali Balkis meminta Irdina memperlahankan kenderaan,
Irdina tetap tidak perduli. “Kak Irdina!” jerit Balkis.
Irdina
menoleh sekilas dan meneruskan pemanduannya. Hati yang panas perlu ditenangkan.
Dia tidak perduli apa orang lain kata. Yang penting, hatinya puas. Andai takdir
menentukan yang ajalnya telah tiba, dia akan redha. Biar Latif Nawawi menyesal
kerana kehilangannya.
“Kak
Irdina! Berhenti buat kerja bodoh ni,” jerit Balkis.
“Biar
aku mati!”
“Kalau
Kak Irdina nak mati jangan babitkan aku.”
“Siapa
suruh kau ikut? Jadi kau pun kena mati sama,” ujar Irdina tanpa perasaan.
Matanya tertumpu ke hadapan.
Balkis
makin panik. Sekejap dia memandang ke hadapan dan sekejap memandang ke arah
Irdina. Air liur yang ditelan terasa payau. Tidak putus-putus dia berdoa dalam
hati.
“Tolonglah
Kak Irdina. Kalau Kak Irdina tak sayangkan nyawa, tolong fikirkan juga pengguna
lebuh raya yang lain. Jangan nanti ada yang jadi mangsa kerana kemarahan Kak
Irdina. Bayangkan sebab Kak Irdina, ada bayi yang kehilangan bapanya. Ada
isteri yang menjadi janda. Ada ibu yang kehilangan anak tunggalnya. Kasihan
mereka Kak Irdina,” ujar Balkis menukar taktik merayu. Dia tahu, hati Irdina mudah
lembut jika kena gaya memujuknya.
Tiada
respon daripada Irdina. Balkis makin resah. Otaknya ligat menyusun ayat untuk
memujuk Irdina.
“Kak
Irdina satu-satunya anak perempuan pak ngah. Kalau Kak Irdina tak sayangkan pak
ngah dan mak ngah, Kak Irdina teruskanlah niat membunuh diri tu. Tentu nanti
pak ngah dan mak ngah dapat malu. Anak perempuan kesayangan mati dalam
kesesatan.”
“Aku
tak sesat! Jangan kau pandai-pandai nak letak hukum.”
“Aku
dengar ustaz dalam radio cakap. Kalau sengaja memandu laju membabi buta, seolah
membunuh diri dan membunuh orang lain. Kak Irdina bukan pembunuh. Tolong
berhentikan kereta ni dan beritahu aku apa yang terjadi. Jangan simpan seorang
diri masalah Kak Irdina. Apa guna aku sebagai bff kalau tak boleh menolong?”
Irdina
menghela nafas dan berfikir buat seketika. Termakan dengan kata-kata Balkis,
Irdina mulai memperlahankan kereta dan memberikan isyarat masuk ke hentian R
& R Gurun Selatan. Irdina menghentikan kereta di bawah pokok tanpa
mematikan enjin. Dia tidak bercadang untuk turun. Sekadar untuk meluahkan rasa
yang terbuku di kalbu kepada Balkis.
“Kau
tahukan, aku sangat sayangkan Latif?”
Balkis
mengangguk. Matanya tepat memandang Irdina yang mulai menangis. Irdina menarik
tubuh Balkis lalu memeluknya. Dia menangis semahu-mahunya di bahu Balkis.
Balkis agak tergamam tetapi membiarkan sahaja sehingga tangisan Irdina reda.
“Maafkan
aku Balkis,” ujar Irdina sambil melepaskan pelukan. Lega sedikit hatinya bila dapat
menangis sepuasnya.
“Tak
mengapa. Bahu aku sedia berkhidmat bila Kak Irdina perlukan,” ujar Balkis
sambil tersenyum.
Irdina
tersenyum sambil mengesat saki baki air mata yang ada. Dia bersyukur mempunyai
Balkis, sepupu merangkap teman rapatnya. Walaupun Balkis muda dua tahun, tetapi
Balkis amat memahaminya. Jenaka Balkis sentiasa menceriakan hidupnya. Malah
banyak rahsia hati yang dikongsi bersama Balkis.
“Jadi,
betullah dia minta putus?” soal Balkis.
Irdina
mengangguk lemah.
“Hrmm...
aku dah agak dia akan kecewakan Kak Irdina juga. Betul mak aku cakap, orang
yang jalan gaya lompat gagak memang tak boleh dipercayai. Jenis ni bukan nak
setia dengan seorang.”
Irdina
hanya diam mendengar pandangan Balkis terhadap Latif. Dia pernah mendengar hal
sebegitu daripada mulut emak Balkis. Dahulu dia tidak mempercayai, tetapi kini
macam benar pula teori orang tua-tua itu.
“Kak
Irdina, jangan bazirkan air mata kerana makhluk tak guna tu. Tak rugi mana
putus dengan dia. Ramai lagi lelaki yang baik dan setia di luar sana,” ujar
Balkis yang sememangnya tidak menyukai sikap Latif.
“Tapi
aku sayangkan dia,” ujar Irdina lemah.
“Sayang
pun tak guna kalau dia sendiri yang tolak Kak Irdina. Tak payahlah nak
merayu-rayu dia. Lagipun Kak Irdina masih muda. Baru dua puluh tahun. Jauh lagi
perjalanan hidup kita. Mana tahu suatu hari nanti Kak Irdina akan kahwin dengan
doktor. Hidup senang lenang. Kalau kahwin dengan Latif, berlumba saja yang dia
tahu. Silap-silap, menjanda awal Kak Irdina.”
“Amboi!
Mulut tak ada insuran, bercakap mengalahkan mak nenek,” ujar Irdina lalu
menampar tangan Balkis.
“Yalah,
mak nenek ni la yang Kak Irdina usung kalau nak keluar. Kalau mak nenek ni tak
ada, jangan harap pak ngah nak lepaskan Kak Irdina keluar bebas.”
Irdina
tersenyum dan kemudian ketawa kecil melihat Balkis membuat mimik muka. Dia akui
kebenaran kata-kata Balkis. Jika dia ingin keluar ke mana-mana, pasti Balkis
yang disuruh oleh Pak Idris untuk menemaninya. Balkis memang rapat dengan
mereka semua dan kerap kali Balkis akan ke rumahnya tidak kira masa. Pak Idris
juga amat mempercayai Balkis.
“Balkis,
aku tak nak baliklah lagi. Alang-alang kita dah sampai Gurun, apa kata kita
terus ke Penang?”
“Aku
okey je. Tapi pak ngah bagi tak kita ke sana?”
“Kau
telefonlah minta kebenaran. Bagi tau yang kita nak shoping sekejap dan balik malam ni.”
“Pandailah
Kak Irdina ni. Bergaduh dengan Latif kat Kangar. Tup-tup sampai Gurun. Ni nak
pergi Penang pula? Gila apa ni?”
“Tolonglah
Balkis. Aku nak pergi tepi pantai. Nak tenangkan diri,” ujar Irdina separuh merayu.
“Baiklah,
aku telefon.”
Balkis
mengeluarkan telefonnya dan mendail nombor Pak Idris. Seperti yang dijangkakan,
apabila Balkis yang meminta izin mudah bagi Pak Idris membenarkannya. Irdina
tersenyum dan mengucapkan terima kasih buat Balkis. Dia mengundurkan kereta dan
meneruskan pemanduan ke Pulau Pinang.
Irdina
sebenarnya masih belajar di UiTM cawangan Arau manakala Balkis baru memasuki
tingkatan enam rendah. Irdina anak kedua daripada tiga orang adik beradik.
Abangnya, Ihsan bekerja di Kuala Lumpur dan adiknya Ilyas, masih bersekolah.
Ibunya, Mak Mesa hanyalah seorang suri rumah. Mereka tinggal di Kangar, Perlis.
Manakala, Balkis pula adalah anak Pak Su Bahari iaitu adik Pak Idris.
“Aku
rasa Kak Irdina kena ubah tabiat,” ujar Balkis memecahkan kebisuan mereka.
“Kenapa?”
“Kak
Irdina dah putus dengan Latif, jadi tabiat bawa kereta laju-laju kena
hentikan.”
“Apa
kaitan?” soal Irdina kurang faham.
“Latif
yang ajar Kak Irdina berlumba kereta. Jadi, perangai tu kena buang. Buang
bersama-sama memori Latif.”
Irdina
mendiamkan diri memikirkan kata-kata Balkis. Latif yang mengajarnya berlumba kereta
hingga menjadi kebiasaannya memandu laju. Dia tahu tabiat itu boleh
membahayakan nyawanya dan orang lain. Dahulu, demi cinta pada Latif dia sanggup
lakukan. Perlukah dia membuang tabiat itu bersama-sama cinta terhadap Latif?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan