Pengikut
Sabtu, 28 November 2015
Ada Hantu? bab 4 dan 5
Baca sambungan zombi betty la soya di wattpad. klik link di bawah.
zombi betty la soya 4
zombi betty la soya 5
Selasa, 24 November 2015
Zombi Betty La Soya - Bab 3
Zulkamal
dan Hassan terus bergegas ke bahagian dapur sebaik selesai menunaikan solat
isyak berjemaah di masjid. Secara automatik mereka jadi ringan tulang menolong
kerja-kerja menghidang jika ada kenduri yang dibuat di masjid. Jika tiada
kenduri, tiadalah muka mereka di masjid itu. Malam itu, rezeki mereka agak
murah. Gulai kambing kegemaran turut menjadi hidangan. Mereka makan hingga
tiada lagi ruang dalam perut yang boleh diisi. Sendat sesendatnya.
“Zul,
aku rasa tak larat nak bangun dah ni. Macam nak tidur kat sini je,” ujar Hassan
yang tersandar di dinding masjid.
“Mata
aku pun dah berat ni. Tapi takkan la kita nak tidur kat sini. Nanti bising
pulak mak aku. Jomlah kita blah.”
Zulkamal
menarik tangan Hassan bagi memudahkan Hassan bangun. Hassan mengekori langkah
Zulkamal ke tempat letak motorsikal. Setelah enjin motorsikal dihidupkan,
mereka berdua meninggalkan pekarangan masjid.
“Zul,
berhenti jap! Aku nak terkencing.” Hassan yang membonceng menepuk bahu
Zulkamal.
Zulkamal
memberhentikan motorsikal dan menoleh ke belakang. Hassan melompat turun dan
berlari ke tepi semak untuk membuang air. Tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari
arah hadapan menyuluh lampu tinggi ke arah Zulkamal. Zulkamal mengangkat
tangannya menghadang muka yang terasa silau. Kereta itu berhenti di hadapan
motorsikal Zulkamal dan merendahkan suluhan lampunya. Zulkamal tetap di atas
motorsikal sambil memerhati pemandu lelaki yang keluar dari kereta mewah itu.
“Assalamualaikum!”
sapa lelaki itu, agak mesra.
“Waalaikumusalam,”
jawab Zulkamal, separuh hairan.
“Tumpang
tanya, kat mana rumah Ustaz Zulkamal?”
“Ustaz
Zulkamal? Setahu saya, tak dak ustaz nama gitu kat kampung ni. Kalau Zulkamal,
tu nama saya.”
Lelaki
itu berpatah balik ke kereta dan bercakap dengan lelaki berbaju kot yang berada
di bahagian tempat duduk belakang. Seketika kemudian, lelaki berbaju kot keluar
dan menghampiri Zulkamal. Hassan yang selesai dengan urusan hajat kecilnya
turut menyertai.
“Saya
Datuk Zain.” Lelaki itu berjabat tangan dengan Zulkamal dan Hassan.
“Saya
Syukor.” Lelaki yang memandu memperkenalkan diri.
Zulkamal
dan Hassan turut memberitahu nama mereka berdua.
“Sabiha
yang bagi tau, Zul ni seorang ustaz. Kami datang sini pun sebab dia rekomen,”
terang Datuk Zain.
“Kak
Biha gurau saja tu. Saya ni tak layak dipanggil ustaz.” Zulkamal ketawa.
Hassan
turut ketawa. Dia dan Zulkamal sebenarnya hanya lulus SPM setakat cukup makan
sahaja. Kerja pun tidak menentu. Kerap kali kena buang sebab curi tulang dan
ponteng kerja. Datuk Zain menyangka Zulkamal sengaja merendah diri dengan
berkata begitu. Kebetulan pula Zulkamal memakai jubah mini dan serban milik
arwah bapanya. Sudah menjadi kebiasaan Zulkamal akan memakai pakaian itu jika
ke masjid. Pada pendapatnya, jika dia memakai pakaian arwah bapanya, maka
bapanya turut mendapat pahala. Penampilan diri Zulkamal dengan janggut sejemput,
membuatkan dirinya kelihatan ala-ala imam muda lagaknya.
“Sebenarnya
saya nak minta tolong Zul, halau jin kat rumah yang baru saya beli. Biha bagi tau
yang Zul ni hebat orangnya dan serba boleh. Hari tu pun Zul dah tolong dia.
Sebab tu saya cari Zul hari ni. Saya ni kurang percaya bomoh sebab selalu jumpa
jenis penipu. Mungkin ustaz tak macam tu. Jadi, buat permulaan saya akan bagi dua
ribu ringgit. Jika masalah ni selesai, saya akan tambah lagi lima ribu sebagai
upah.”
Terlopong
mulut Hassan mendengar jumlah yang ditawarkan. Jumlah itu besar bagi mereka
berdua dan boleh menyelesaikan masalah kewangan mereka yang meruncing. Tanpa
berlengah, Hassan terus bersuara.
“Kacang
saja tu Datuk. Bab tangkap-tangkap jin ni, Zul memang terer. Jin dalam botol kicap,
dalam botol cuka, dalam botol oren, semua dia tangkap.”
Terbeliak
mata Zulkamal melihat Hassan. Tidak menyangka Hassan akan berkata begitu. Mana
dia tahu tangkap jin? Tangkap ayam pun selalu terlepas, inikan pula nak tangkap
jin yang bersifat angin, tak nampak pada pandangan mata. Tak kenal bentuk atau
rupa.
‘Nak
petik pun agak-agak la,’ kutuk hati Zulkamal. “San, kau jangan nak
pandai-pandai. Aku mana boleh buat semua tu,” marah Zulkamal.
“Betul
ke Datuk akan bagi kami duit sebanyak tujuh ribu?” soal Hassan tanpa
memperdulikan Zulkamal. Duit lebih mengujakannya.
“Ya, betul. Saya akan bayar tujuh ribu ringgit
kalau masalah saya selesai.”
“Hah,
tujuh ribu? Gila apa ni?” Zulkamal agak
terkejut bila dia menyedari jumlah keseluruhan yang ditawarkan oleh Datuk Zain.
Mulut terlopong, lidah bagai diglu.
Datuk
Zain yang melihat wajah Zulkamal mula rasa tak senang hati. Pada pendapatnya
jumlah yang ditawarkan adalah rendah. Mungkin disebab itu, Zulkamal hanya
bungkam tanpa reaksi untuk bersetuju.
“Err...tak
cukup ke? Kalau gitu saya tambah seribu lagi jadi lapan ribu.” Datuk Zain
membuat tawaran. Kalau boleh dia hendak Zulkamal segera bersetuju kerana dia tidak
mahu membazirkan masa mencari orang lain untuk menyelesaikan masalah itu.
“Hah,
lapan ribu? Kami setuju.” Hassan terus memberi persetujuan tanpa berunding
dengan Zulkamal.
“Aku
tak boleh San.” Zulkamal mulai cuak.
“Setuju
saja la Zul. Aku empat, kau empat. Kira adillah tu. Kau nak banyak mana lagi? Aku
rasa Datuk dah murah hati bagi banyak tu.”
“Kami
ni datang dari jauh. Takkan nak hampakan pulak? Jadi, setuju sajalah ustaz
Zul.” Syukor mencelah.
Ketika
Zulkamal hendak membuka mulut, Datuk Zain bersuara.
“Sebenarnya
Zul, kami dah dengar cerita Biha tentang jasa Zul pada mereka berdua. Kalau
takde Zul dan Hassan malam tu, tentu Biha dan Zimah dah jadi mangsa bomoh
penipu tu. Sebab tu saya percaya pada Zul dan Hassan. Zul dan Hassan sajalah
harapan kami. Kena tolong jugak-jugak, tak boleh tidak.”
“Tapi...”
Sebelum
sempat Zulkamal menyambung ayatnya Hassan pula memintas.
“Bila
boleh kami pergi tengok rumah tu?”
“Kalau
boleh esok pagi kita ke sana. Esok kami datang ambil Zul dan Hassan.”
“Baiklah
kalau gitu. Bagi nombor telefon Datuk supaya senang kami hubungi,” tambah Hassan
dengan semangat.
Datuk
Zain menghulurkan kad niaganya kepada Hassan dan mengambil nombor telefon Hassan.
Mereka bersalaman setelah Datuk Zain meminta diri untuk beredar.
“San!
Kenapa kau tipu Datuk tu? Aku bukannya tahu nak halau jin,” sergah Zulkamal setelah
kereta Datuk Zain bergerak meninggalkan mereka.
“Relaks
brother relaks! Small matter je ni. Esok kita tengok dulu rumah Datuk tu. Ada jin
atau tak, belakang kira. Janji lapan ribu milik kita.”
“Gila
kau! Buatnya ada jin betul, nahas kita. Kalau jin tu ikut kau balik rumah,
padan muka nanti!” Zulkamal masih rasa ragu dengan rancangan Hassan.
“Huh,
capoi sungguh mulut tu! Dah la kita berdiri tengah jalan gelap dan sunyi ni.
Bulu roma aku dah berdiri. Jomlah balik. Esok kita cerita lain.” Hassan
menggosok kedua-dua lengannya.
“Kau
ni pandai-pandai je mengaku kat Datuk tu. Esok-esok aku jugak yang susah.”
Hassan
tidak membalas kata-kata Zulkamal. Dia tahu benar sikap Zulkamal. Kalau marah
selalunya tidak lama. Malah apabila seseorang meminta tolong, pasti Zulkamal
akan menolong. Zulkamal menghantar Hassan pulang. Dia kemudian memecut laju motorsikalnya
membelah kegelapan malam. Kumat kamit mulutnya membaca surah al-Quran apabila
terpaksa melintasi tanah perkuburan yang terletak pertengahan jalan menuju ke
rumahnya. Takut juga Zulkamal jika cerita tentang ‘perempuan’ membonceng
motorsikal menjadi kenyataan.
Ahad, 29 Mac 2015
Ada Hantu (Zombi Betty la soya) - bab 2
Zulkamal
menyimpan pancing dan kemudian menanggalkan kain putih yang menyelubungi
tubuhnya. Hassan yang bersembunyi di sebalik pokok mendapatkan Zulkamal. Mereka
ketawa terbahak-bahak sambil berjalan ke arah tebing sungai.
“Tak
sangka, tok moh pun penakut. Misai melenting tak guna seduit.” Hassan mengutuk
Pak Midon.
“Bodoh
betul perempuan berdua tu. Senang saja kena tipu dengan Pak Midon.” Zulkamal
menambah.
Sabiha
yang mendengar kata-kata mereka, terasa sakit hati. Tetapi dia tetap mematikan
diri. Memasang telinga segala perbualan Zulkamal dan Hassan.
“Dua-dua dah pengsan. Kita nak tinggalkan atau
nak kejutkan mereka?” soal Hassan.
“Kejutkan
la. Kalau kita tinggalkan takut nanti orang jahat jumpa, nahas pulak. Jadi kes
rogol dan bunuh, menyesal kita.”
Mereka
membersihkan bedak yang bertepek di muka dengan air sungai. Muka yang basah
dilap dengan baju sendiri. Zulkamal mencabut daun keladi di tepi tebing lalu diceduknya
air menggunakan daun keladi itu. Dengan pantas dia melangkah ke arah Zimah dan
Sabiha. Tiba-tiba kakinya tersandung batu menyebabkan air yang berada dalam
daun keladi tertumpah ke muka Sabiha.
Kelam
kabut Sabiha bingkas duduk. Sesak nafas seketika bila air yang tercurah, masuk
ke dalam lubang hidungnya. Dia terbatuk-batuk kecil setelah berjaya
mengeluarkan air dari rongga hidung. Perit terasa di hidung, membuat hatinya
bertambah radang.
“Opss... sorry kak. Tak sengaja,” ujar Zulkamal
dalam sengih.
Sabiha hanya menjeling Zulkamal. Tangannya
sibuk menggoncang tubuh Zimah yang masih tidak sedar. Hassan datang membawa air
di dalam daun keladi.
“Kak,
nah air. Sapukan sikit ke muka dia,” ujar Hassan selajur menyua daun keladi
berisi air.
Sabiha
mengambil sedikit air lalu disapukan ke muka Zimah. Perlahan-lahan Zimah
membuka kelopak mata. Menyedari kehadiran Zulkamal dan Hassan membuatkan Zimah
berusaha untuk duduk. Sabiha membantunya.
“Kamu
berdua ni siapa?” soal Sabiha.
“Saya
Zulkamal dan yang ni, Hassan.”
Makin
lebar sengih Zulkamal dan Hassan. Zimah memandang keliling tanpa memperdulikan
Zulkamal dan Hassan.
“Eh,
mana Pak Midon? Tak kan dia pun pengsan tengok hantu?”
“Dah
cabut lari,” ujar Sabiha sambil berdiri.
Dia
menghulurkan tangan membantu Zimah untuk berdiri. Zimah menyambut tangan Sabiha
dan berdiri perlahan-lahan.
“Kamu
berdua nampak tak hantu tadi?” soal Sabiha pura-pura tidak tahu.
Zulkamal
dan Hassan saling berpandangan. Hassan memberi isyarat agar Zulkamal
merahsiakan perkara sebenar.
“Sebenarnya
kak, kami yang jadi hantu tadi. Tapi tujuan kami baik. Kami nak selamatkan
kakak berdua dari jadi mangsa Pak Midon. Lagipun, perbuatan mandi bunga dan
buang sial, tak dak dalam Islam. Tu semua amalan khurafat.” Zulkamal berterus
terang.
“Oh,
hantu yang kat pokok dan jambatan tu kamu berdua la? Yang kepala terapung tu,
kamu buat macam mana?” soal Sabiha tidak puas hati.
“Yang
bertenggek kat pokok tu, Hassan. Saya berdiri kat atas jambatan dan guna
pancing, turun naikkan kepala patung tu. Tak sangka pula kakak berdua boleh pengsan.
Ingatkan lari macam Pak Midon. Maafkan kami berdua, kak”.
“Maaf?
Mudah je kau cakap, maaf. Nasib baik kami tak lemah jantung. Kalau kami mati
tadi, tak sempat nak kawin,” bebel Sabiha.
“Kakak
berdua patut ucap terima kasih kat kami, bukannya marah. Kami dah tolong kakak
sebenarnya. Pak Midon tu, bomoh penipu. Banyak dah orang bandar yang dia tipu.
Tapi yang pelik, masih ada yang percayakan dia. Sanggup habis duit beribu-ribu
ringgit.” Zulkamal mula berceramah.
Sabiha
mencebikkan bibir. Zimah tertunduk malu. Terfikir juga di mindanya kebenaran
kata-kata Zulkamal. Patutlah hatinya tidak tenang bila menemani Sabiha berubat
dengan Pak Midon. Pernah juga dia suarakan rasa itu tetapi cepat-cepat
disangkal oleh Sabiha yang sangat percayakan kaedah berbomoh. Zimah tahu,
Sabiha telah banyak berhabis duit berjumpa dengan pelbagai jenis bomoh. Tetapi
dia bernasib baik, tidak ada bomoh yang mengambil kesempatan mencabul atau
merogolnya. Cuma wang ringgit sahaja yang habis.
“Jodoh
pertemuan ketentuan Allah. Berdoalah supaya Allah percepatkan jodoh kakak
berdua. Jika kakak masih melakukan perbuatan khufur, macam mana Allah nak
tunaikan permintaan kakak?” Hassan pula menambah, sesi kaunseling tepi sungai.
Berdesing
telinga Sabiha. Nasihat Zulkamal dan Hassan dirasakan seperti menyindirnya. Dia
rasakan Zulkamal dan Hassan hanya berlagak alim. Zimah pula terasa malu dan
kesal mengikut Sabiha.
“Maafkan
kakak berdua. Kakak rasa malu pada adik berdua. Memang hati kecil kakak, rasa
benda yang kakak buat ni tak betul. Mungkin desakan dan rasa terhina kerana
sukar dapat jodoh, buat kakak pilih cara ni,” akui Zimah.
Terjegil
mata Sabiha melihat Zimah. Tidak menyangka Zimah termakan kata-kata Zulkamal
dan Hassan. Zimah yang perasan renungan Sabiha, menggenggam tangan Sabiha.
“Biha,
betul kata mereka berdua ni. Kita dah tersasar jauh dalam usaha nak cari jodoh.
Niat bukan menghalalkan cara, Biha.”
“Tapi...”
“Baik
kita balik je Biha. Nasib baik jugak jadi gini. Selamat lima ribu ringgit tu,”
sambung Zimah tanpa memberi peluang Sabiha berkata.
“Lima
ribu? Mak ai, banyaknya.” Tergeleng-geleng kepala Zulkamal.
“Bagi
kat kami pun berbaloi. Boleh le kami tolong kakak berdua cari jodoh.” Hassan
tersengih.
Sabiha
tidak berkata apa-apa. Hati berdongkol geram mendengar kata-kata Hassan. Dia
merasakan Hassan sengaja memperolokkan dirinya.
“Terima
kasih la buat adik berdua. Boleh tak bagi kakak nombor telefon adik? Nanti
senang kakak nak minta tolong atau tanya bab agama yang kakak tak tau.”
Sabiha
bermanis muka, sekadar untuk mendapatkan nombor telefon Zulkamal. Dalam hati
tersimpan dendam serta azam untuk mengenakan Zulkamal dan Hassan. Teragak-agak
Zulkamal untuk memberi nombor telefonnya. Tetapi melihat mimik muka Sabiha yang
mengharap, Zulkamal memberikannya.
“Terima
kasih sekali lagi dan maafkan kakak berdua. Hari pun dah lewat ni, kakak minta
diri dulu,” ujar Sabiha dengan senyuman yang sengaja diukir.
Sabiha
dan Zimah terus berlalu ke kereta yang terletak di bawah pokok. Zulkamal dan
Hassan melambaikan tangan setelah kereta Sabiha melepasi mereka. Zulkamal berjabat
tangan dengan Hassan. Puas hati mereka kerana berjaya menghalang Pak Midon
melakukan perkara khurafat.
Selasa, 10 Mac 2015
Zombi Betty La Soya ( Ada Hantu?) Bab 1
Zulkamal
duduk tercantuk di perdu pokok asam. Tangan sibuk memasukkan secubit tembakau
berwarna hitam ke dalam daun rokok. Digulung kemas-kemas dan kemudian
diselitkan ke celah bibir yang hampir legam. Api dinyalakan di hujung rokok.
Asap disedut rakus, memasuki rongga paru-paru. Terpejam-pejam matanya menikmati
hisapan, berkhayal seketika seperti orang terkena candu.
Wajah
dipaling ke kiri. Hampir meletus ketawa Zulkamal bila dia terpandang muka Hassan
yang bertepek bedak sejuk pekat. Putih melepak mengalahkan pelakon opera Cina. Pantas
dia mengunci mulut dengan telapak tangan. Terhingut-hingut badannya. Berusaha
menahan ketawa. Jika diikutkan hati, mahu dia gelak guling melihat rupa Hassan.
Tetapi dia bimbang suaranya akan menganggu rancangan mereka malam itu. Hassan menghulur
bekas bedak sejuk kepada Zulkamal.
“Sapu
cepat!” arah Hassan separuh berbisik.
Zulkamal
menyambut huluran Hassan dengan tangan kiri. Rokok yang masih berada di tangan
kanan, dijepit ke mulut. Asap disedut beberapa kali. Rokok yang masih berbaki dibuang
ke tanah. Bedak sejuk yang berada dalam bekas ditepek ke muka. Terbit rasa lucu
di hati bila membayangkan wajah sendiri. Meletus ketawa tanpa sedar tetapi
cepat-cepat Zulkamal menutup mulutnya. Bibir dikatup kemas.
“Jangan
gelak la. Nanti aku pun tergelak jugak. Kalau dah dua-dua tergelak, hancur
rancangan kita.” Hassan mengingatkan sambil tangannya menolak sedikit tubuh
Zulkamal.
“Okey,
okey. Aku serius. Tak nak gelak dah.”
Zulkamal menarik dan melepas nafas berulang
kali. Cuba berlagak selamba. Dia mendongak ke langit melihat bulan mengambang
penuh. Mulut separuh ternganga.Terpana seketika melihat keindahan malam. Mengagumi
ciptaan Ilahi.
“Zul,
okey tak kalau macam ni?” Hassan menyalakan lampu suluh di bawah dagunya. Mulut
tersengih menampakkan gigi.
Zulkamal
alih pandangannya kepada Hassan.
“Oh,
mak kau!”
Zulkamal
terduduk. Tangannya mengurut dada. Cuba mengambil semangat yang hampir terbang
akibat terkejut.
“Ish,
kau ni. Kok ye pun, jangan la letak lampu macam tu. Dah sebijik macam zombi,”
rungut Zulkamal selajur bangun perlahan-lahan.
Hassan
tersengih lagi.
“Kira
make-up aku dah okey la ni?”
“Okey
dah tu. Mana pancing yang aku pesan?”
“Tu.”
Hassan menunjukkan arah rod pancing yang
tersandar di motorsikalnya. Zulkamal mengambil rod pancing dan bungkusan yang
tergantung di pemegang motorsikal. Dibeleknya tali pancing dan benda yang
berada dalam bungkusan.
“Tahan
ke tali ni?”
“Tahan!
Ah Seng yang rekomenkan. Dia cakap ikan marlin pun boleh kita tangkap guna tali
ni.”
“Kau
cakap kita nak pancing kat mana?” Zulkamal terasa cuak. Takut rahsia mereka
akan bocor.
“Aku
cakap nak pancing ikan besar macam ikan marlin. Tu yang Ah Seng bagi tali ni.
Kau jangan takut la. Rahsia kita gerenti selamat.”
Zulkamal
diam. Tangan ligat mengeluarkan benda yang masih berada dalam bungkusan.
Diikatnya kemas-kemas di tali pancing. Setelah siap, dia memusing kekili dan
melepaskannya berulang kali. Menguji daya tahan tali.
“Okey.
Dah siap.” Zulkamal berpuas hati.
Hassan
memberi isyarat agar Zulkamal diam. Jarinya menunjuk arah jambatan. Zulkamal
mengangguk faham setelah melihat kelibat tiga orang yang baru turun dari kereta
dan berjalan ke bahagian bawah jambatan. Tanpa berlengah, Hassan dan Zulkamal
mengambil posisi masing-masing.
Di
bawah jambatan, Pak Midon sedang bersiap-siap untuk upacara mandi bunga. Guri
berisi pelbagai bunga dan campuran air yang dipuja, diletakkan di atas batu di
tengah-tengah sungai. Air sungai agak cetek ketika itu, hanya separas lutut.
Dua orang gadis sudah bersiap sedia di tebing. Menanti jam dua belas malam,
waktu untuk Pak Midon memulakan ritual.
“Biha,
aku rasa tak sedap hati la,” ujar Zimah secara berbisik.
“Kenapa?
Bukan ke kau dah setuju nak temankan aku buang sial?” Sabiha turut berbisik.
“Aku
cuma nak temankan kau bukannya nak mandi sekali. Ni tak pasal-pasal, aku pun
kena mandi. Kalau tak mandi konon tak mujarab. Aku takut semua ni helah Pak
Midon nak kenakan kita. Seram aku tengok dia tu.”
Zimah
kerling Pak Midon yang membaca mentera sambil menusuk-nusuk keris ke dalam
guri. Raut wajah Pak Midon yang bermisai lenting dengan kening yang beruban menambahkan
garang wajah itu.
“Jangan
nak buruk sangka atau fikir yang bukan-bukan. Setahu aku dah ramai yang dapat
jodoh lepas mandi bunga Pak Midon. Kau ikut je la. Lagipun umur kau dan aku kan
sama je. Mungkin nanti kita sama-sama dapat jodoh.”
“Ye
ke? Aku kurang yakin sebenarnya. Jangan berjodoh dengan Pak Midon sudah.”
“Ish,
Pak Midon tu kan dah ada isteri! Kalau dia nak, tentu dah berderet isteri dia.”
Sabiha
tetap mempertahankan Pak Midon kerana dia yakin Pak Midon dapat menyelesaikan
masalah berat jodoh yang dia hadapi. Bukanlah dia terlalu memilih. Dia sudi
menerima jika ada yang meminang. Tetapi hingga kini tiada sesiapa pernah
merisik atau bersungguh untuk memperisterikannya. Kawan lelaki pun sekadar
kawan setugas dan juga kawan yang hanya menghabiskan beras.
Berlainan
pula dengan Zimah. Sudah beberapa kali dipinang tetapi dia yang menolak kerana
yang datang meminang ganyut-ganyut belaka. Sebaya umur datuknya sahaja. Yang
muda-muda, tiada yang meminta. Kalau Dato’ bergelar mungkin dia terima tetapi
ini datuk bertongkat, nak buat apa? Sudahlah kerepot, tua pula. Sudahlah tua, gigi
pun tak ada.
“Baru
seorang, boleh tambah lagi tu.”
Sabiha
mencebik bibir, tidak puas hati. Sebelum sempat dia buka mulut terdengar suara Pak
Midon memanggil mereka. Sabiha ingin melangkah tetapi terhenti bila Zimah
menariknya agak kuat.
“Kenapa
kau ni?” soal Sabiha meradang.
“Tu...
tu...”
Zimah
tunding arah pokok di hujung jambatan. Badan mulai menggeletar. Kaki seolah
terpasak di bumi. Peluh sejuk merenik di dahi. Ketakutan membius diri. Sabiha
memusingkan badan, melihat arah yang ditunjuk Zimah. Terjojol biji matanya.
Degupan jantung seolah terhenti. Tubuh menggigil, mulut terkunci. Panik dan
takut menusuk hati. Tubuh Zimah dirangkul erat. Mata dipejam rapat-rapat. Enggan
melihat objek putih yang melambai-lambai mereka berdua.
“Apa
tu Zimah?”
“Han...tu
kot. Kau ten...gok la.”
“Aku
pejam mata, takut.”
“Aku
pun.”
Tubuh
mereka terketar-ketar. Bila-bila masa boleh terkucil. Tambahan pula, kaki bagai
melekat ke bumi.
“Biha!
Zimah! Dok tunggu apa lagi aih? Mai la sini,” ujar Pak Midon separuh bengang.
Dia masih berdiri di tengah sungai.
Panggilan
Pak Midon tidak diperduli oleh Sabiha dan Zimah. Mereka masih berpelukan dengan
mata terpejam. Pak Midon melangkah ke tebing. Jika diikutkan hati, dia ingin
segera menyelesaikan kerjanya. Sudah bosan dengan gelagat kedua-dua perempuan
itu yang dianggap cerewet. Dia masih bersabar kerana upah lima ribu ringgit yang
bakal diperolehnya.
“Oit,
cepat la turun! Pukui dua belas tengah malam ni la paling mujarab. Kalau
lambat, takut tak jadi.” Lanjut gaya percakapan Pak Midon mengikut loghat
Melayu Pattani.
“Pak
Midon jampi apa sampai hantu pun keluar?” Zimah memberanikan diri membuka
kelopak matanya, memandang arah Pak Midon.
“Ish,
mulut chapoi sangat aih! Dok seru menatang tu buat pa? Tak yah dok merepek la
Zimah. Pak Midon tak nampak apa pun. Baik hampa pi turun, mandi.”
“Pak
Midon cakap apa? Tak faham la,” ujar Zimah selajur matanya melingas ke kiri kanan
mencari objek tadi. Tetapi objek itu tidak kelihatan lagi. Zimah tarik nafas
lega. Dia mencuit lengan Sabiha yang masih memejam mata.
“Benda
tu dah takde, Biha.”
Sabiha
celikkan mata dan pandang sekeliling. Tangannya yang masih memaut kemas tubuh
Zimah dilepaskan. Dia tersengih melihat Pak Midon yang masam mencuka.
“Kalau
malam ni kita batalkan boleh tak? Saya rasa tak sedap hati la Pak Midon. Nanti
bila senang kita datang lain.” Sabiha cakap sehabis lembut. Takut juga jika Pak
Midon naik angin.
“Tak
boleh! Kena buat malam ni jugak. Jom, Pak Midon mandikan. Lagi cepat hampa
buat, lagi cepat dapat jodoh. Kalau terlepas malam ni, jodoh tak dak terus.”
Mendengar
kata-kata itu, buat Sabiha kecut perut. Dia menarik tangan Zimah untuk turun ke
dalam sungai. Sebelum sempat kakinya mencecah air, Zimah menjerit dengan kuat
dan kemudian jatuh pengsan. Sabiha menoleh. Jantungnya bagaikan beku. Lidah
terkelu, tubuh terkaku seolah terkena renjatan elektrik kuasa tinggi.
“”Awat
pulak Zimah ni? Dok tak dok, pengsan.”
Pak
Midon duduk mencangkung di sebelah Zimah. Dia berusaha untuk menyedarkan Zimah.
Terbit hairan di hati melihat Sabiha yang tegak bagaikan bendera.
“Yang
hang dok berdiri macam patung supermarket ni buat apa? Mai tolong aku ni.”
Tiba-tiba
Pak Midon merasakan sesuatu hinggap di belakangnya. Pantas dia memusingkan
kepala.
“Arghhh!”
Terjerit
Pak Midon melihat objek bulat berambut panjang terbuai-buai depan matanya.
Lututnya berlaga kerana mengeletar. Takut menyerbu tangkai hati. Spontan Pak
Midon terkencing dalam seluar. Terus dia buka langkah seribu tanpa berpaling
lagi.
Sabiha
ingin menjerit memanggil Pak Midon tetapi suaranya seperti tersekat di
kerongkong. Tidak pernah dia merasakan ketakutan sebegitu. Habis bergegar
seluruh badan. Dia cuba mengejutkan Zimah tetapi tidak berjaya. Ekor matanya
mengerling arah objek yang menakutkan itu. Dapat dia melihat objek itu seolah
ditarik naik ke atas. Sempat dia terpandang lembaga bermuka putih berdiri di
atas jambatan. Sabiha merebahkan badannya di sebelah Zimah, pura-pura pengsan.
Mata dipejam rapat.
Langgan:
Catatan (Atom)