Pengikut

Selasa, 10 Mac 2015

Zombi Betty La Soya ( Ada Hantu?) Bab 1




Zulkamal duduk tercantuk di perdu pokok asam. Tangan sibuk memasukkan secubit tembakau berwarna hitam ke dalam daun rokok. Digulung kemas-kemas dan kemudian diselitkan ke celah bibir yang hampir legam. Api dinyalakan di hujung rokok. Asap disedut rakus, memasuki rongga paru-paru. Terpejam-pejam matanya menikmati hisapan, berkhayal seketika seperti orang terkena candu.
Wajah dipaling ke kiri. Hampir meletus ketawa Zulkamal bila dia terpandang muka Hassan yang bertepek bedak sejuk pekat. Putih melepak mengalahkan pelakon opera Cina. Pantas dia mengunci mulut dengan telapak tangan. Terhingut-hingut badannya. Berusaha menahan ketawa. Jika diikutkan hati, mahu dia gelak guling melihat rupa Hassan. Tetapi dia bimbang suaranya akan menganggu rancangan mereka malam itu. Hassan menghulur bekas bedak sejuk kepada Zulkamal.
“Sapu cepat!” arah Hassan separuh berbisik.
Zulkamal menyambut huluran Hassan dengan tangan kiri. Rokok yang masih berada di tangan kanan, dijepit ke mulut. Asap disedut beberapa kali. Rokok yang masih berbaki dibuang ke tanah. Bedak sejuk yang berada dalam bekas ditepek ke muka. Terbit rasa lucu di hati bila membayangkan wajah sendiri. Meletus ketawa tanpa sedar tetapi cepat-cepat Zulkamal menutup mulutnya. Bibir dikatup kemas.
“Jangan gelak la. Nanti aku pun tergelak jugak. Kalau dah dua-dua tergelak, hancur rancangan kita.” Hassan mengingatkan sambil tangannya menolak sedikit tubuh Zulkamal.
“Okey, okey. Aku serius. Tak nak gelak dah.”
 Zulkamal menarik dan melepas nafas berulang kali. Cuba berlagak selamba. Dia mendongak ke langit melihat bulan mengambang penuh. Mulut separuh ternganga.Terpana seketika melihat keindahan malam. Mengagumi ciptaan Ilahi.
“Zul, okey tak kalau macam ni?” Hassan menyalakan lampu suluh di bawah dagunya. Mulut tersengih menampakkan gigi.
Zulkamal alih pandangannya kepada Hassan.
“Oh, mak kau!”
Zulkamal terduduk. Tangannya mengurut dada. Cuba mengambil semangat yang hampir terbang akibat terkejut.
“Ish, kau ni. Kok ye pun, jangan la letak lampu macam tu. Dah sebijik macam zombi,” rungut Zulkamal selajur bangun perlahan-lahan.
Hassan tersengih lagi.
“Kira make-up aku dah okey la ni?”
“Okey dah tu. Mana pancing yang aku pesan?”
“Tu.”
 Hassan menunjukkan arah rod pancing yang tersandar di motorsikalnya. Zulkamal mengambil rod pancing dan bungkusan yang tergantung di pemegang motorsikal. Dibeleknya tali pancing dan benda yang berada dalam bungkusan.
“Tahan ke tali ni?”
“Tahan! Ah Seng yang rekomenkan. Dia cakap ikan marlin pun boleh kita tangkap guna tali ni.”
“Kau cakap kita nak pancing kat mana?” Zulkamal terasa cuak. Takut rahsia mereka akan bocor.
“Aku cakap nak pancing ikan besar macam ikan marlin. Tu yang Ah Seng bagi tali ni. Kau jangan takut la. Rahsia kita gerenti selamat.”
Zulkamal diam. Tangan ligat mengeluarkan benda yang masih berada dalam bungkusan. Diikatnya kemas-kemas di tali pancing. Setelah siap, dia memusing kekili dan melepaskannya berulang kali. Menguji daya tahan tali.
“Okey. Dah siap.” Zulkamal berpuas hati.
Hassan memberi isyarat agar Zulkamal diam. Jarinya menunjuk arah jambatan. Zulkamal mengangguk faham setelah melihat kelibat tiga orang yang baru turun dari kereta dan berjalan ke bahagian bawah jambatan. Tanpa berlengah, Hassan dan Zulkamal mengambil posisi masing-masing.
Di bawah jambatan, Pak Midon sedang bersiap-siap untuk upacara mandi bunga. Guri berisi pelbagai bunga dan campuran air yang dipuja, diletakkan di atas batu di tengah-tengah sungai. Air sungai agak cetek ketika itu, hanya separas lutut. Dua orang gadis sudah bersiap sedia di tebing. Menanti jam dua belas malam, waktu untuk Pak Midon memulakan ritual.
“Biha, aku rasa tak sedap hati la,” ujar Zimah secara berbisik.
“Kenapa? Bukan ke kau dah setuju nak temankan aku buang sial?” Sabiha turut berbisik.
“Aku cuma nak temankan kau bukannya nak mandi sekali. Ni tak pasal-pasal, aku pun kena mandi. Kalau tak mandi konon tak mujarab. Aku takut semua ni helah Pak Midon nak kenakan kita. Seram aku tengok dia tu.”
Zimah kerling Pak Midon yang membaca mentera sambil menusuk-nusuk keris ke dalam guri. Raut wajah Pak Midon yang bermisai lenting dengan kening yang beruban menambahkan garang wajah itu.
“Jangan nak buruk sangka atau fikir yang bukan-bukan. Setahu aku dah ramai yang dapat jodoh lepas mandi bunga Pak Midon. Kau ikut je la. Lagipun umur kau dan aku kan sama je. Mungkin nanti kita sama-sama dapat jodoh.”
“Ye ke? Aku kurang yakin sebenarnya. Jangan berjodoh dengan Pak Midon sudah.”
“Ish, Pak Midon tu kan dah ada isteri! Kalau dia nak, tentu dah berderet isteri dia.”
Sabiha tetap mempertahankan Pak Midon kerana dia yakin Pak Midon dapat menyelesaikan masalah berat jodoh yang dia hadapi. Bukanlah dia terlalu memilih. Dia sudi menerima jika ada yang meminang. Tetapi hingga kini tiada sesiapa pernah merisik atau bersungguh untuk memperisterikannya. Kawan lelaki pun sekadar kawan setugas dan juga kawan yang hanya menghabiskan beras.
Berlainan pula dengan Zimah. Sudah beberapa kali dipinang tetapi dia yang menolak kerana yang datang meminang ganyut-ganyut belaka. Sebaya umur datuknya sahaja. Yang muda-muda, tiada yang meminta. Kalau Dato’ bergelar mungkin dia terima tetapi ini datuk bertongkat, nak buat apa? Sudahlah kerepot, tua pula. Sudahlah tua, gigi pun tak ada.
“Baru seorang, boleh tambah lagi tu.”
Sabiha mencebik bibir, tidak puas hati. Sebelum sempat dia buka mulut terdengar suara Pak Midon memanggil mereka. Sabiha ingin melangkah tetapi terhenti bila Zimah menariknya agak kuat.
“Kenapa kau ni?” soal Sabiha meradang.
“Tu... tu...”
Zimah tunding arah pokok di hujung jambatan. Badan mulai menggeletar. Kaki seolah terpasak di bumi. Peluh sejuk merenik di dahi. Ketakutan membius diri. Sabiha memusingkan badan, melihat arah yang ditunjuk Zimah. Terjojol biji matanya. Degupan jantung seolah terhenti. Tubuh menggigil, mulut terkunci. Panik dan takut menusuk hati. Tubuh Zimah dirangkul erat. Mata dipejam rapat-rapat. Enggan melihat objek putih yang melambai-lambai mereka berdua.
“Apa tu Zimah?”
“Han...tu kot. Kau ten...gok la.”
“Aku pejam mata, takut.”
“Aku pun.”
Tubuh mereka terketar-ketar. Bila-bila masa boleh terkucil. Tambahan pula, kaki bagai melekat ke bumi.
“Biha! Zimah! Dok tunggu apa lagi aih? Mai la sini,” ujar Pak Midon separuh bengang. Dia masih berdiri di tengah sungai.
Panggilan Pak Midon tidak diperduli oleh Sabiha dan Zimah. Mereka masih berpelukan dengan mata terpejam. Pak Midon melangkah ke tebing. Jika diikutkan hati, dia ingin segera menyelesaikan kerjanya. Sudah bosan dengan gelagat kedua-dua perempuan itu yang dianggap cerewet. Dia masih bersabar kerana upah lima ribu ringgit yang bakal diperolehnya.
“Oit, cepat la turun! Pukui dua belas tengah malam ni la paling mujarab. Kalau lambat, takut tak jadi.” Lanjut gaya percakapan Pak Midon mengikut loghat Melayu Pattani.
“Pak Midon jampi apa sampai hantu pun keluar?” Zimah memberanikan diri membuka kelopak matanya, memandang arah Pak Midon.
“Ish, mulut chapoi sangat aih! Dok seru menatang tu buat pa? Tak yah dok merepek la Zimah. Pak Midon tak nampak apa pun. Baik hampa pi turun, mandi.”
“Pak Midon cakap apa? Tak faham la,” ujar Zimah selajur matanya melingas ke kiri kanan mencari objek tadi. Tetapi objek itu tidak kelihatan lagi. Zimah tarik nafas lega. Dia mencuit lengan Sabiha yang masih memejam mata.
“Benda tu dah takde, Biha.”
Sabiha celikkan mata dan pandang sekeliling. Tangannya yang masih memaut kemas tubuh Zimah dilepaskan. Dia tersengih melihat Pak Midon yang masam mencuka.
“Kalau malam ni kita batalkan boleh tak? Saya rasa tak sedap hati la Pak Midon. Nanti bila senang kita datang lain.” Sabiha cakap sehabis lembut. Takut juga jika Pak Midon naik angin.
“Tak boleh! Kena buat malam ni jugak. Jom, Pak Midon mandikan. Lagi cepat hampa buat, lagi cepat dapat jodoh. Kalau terlepas malam ni, jodoh tak dak terus.”
Mendengar kata-kata itu, buat Sabiha kecut perut. Dia menarik tangan Zimah untuk turun ke dalam sungai. Sebelum sempat kakinya mencecah air, Zimah menjerit dengan kuat dan kemudian jatuh pengsan. Sabiha menoleh. Jantungnya bagaikan beku. Lidah terkelu, tubuh terkaku seolah terkena renjatan elektrik kuasa tinggi.
“”Awat pulak Zimah ni? Dok tak dok, pengsan.”
Pak Midon duduk mencangkung di sebelah Zimah. Dia berusaha untuk menyedarkan Zimah. Terbit hairan di hati melihat Sabiha yang tegak bagaikan bendera.
“Yang hang dok berdiri macam patung supermarket ni buat apa? Mai tolong aku ni.”
Tiba-tiba Pak Midon merasakan sesuatu hinggap di belakangnya. Pantas dia memusingkan kepala.
“Arghhh!”
Terjerit Pak Midon melihat objek bulat berambut panjang terbuai-buai depan matanya. Lututnya berlaga kerana mengeletar. Takut menyerbu tangkai hati. Spontan Pak Midon terkencing dalam seluar. Terus dia buka langkah seribu tanpa berpaling lagi.
Sabiha ingin menjerit memanggil Pak Midon tetapi suaranya seperti tersekat di kerongkong. Tidak pernah dia merasakan ketakutan sebegitu. Habis bergegar seluruh badan. Dia cuba mengejutkan Zimah tetapi tidak berjaya. Ekor matanya mengerling arah objek yang menakutkan itu. Dapat dia melihat objek itu seolah ditarik naik ke atas. Sempat dia terpandang lembaga bermuka putih berdiri di atas jambatan. Sabiha merebahkan badannya di sebelah Zimah, pura-pura pengsan. Mata dipejam rapat.   

Tiada ulasan: