Pengikut

Ahad, 29 Julai 2012

Dengarkanlah Kisah Ini.


“Boring betullah! Asyik-asyik cerita kahwin paksa. Watak pula mesti anak orang kaya, anak Dato’, anak Tan Sri, anak Raja dan macam jenis anak. Kalau tak lelaki kaya dan sombong mesti watak perempuannya yang begitu. Jalan cerita dah boleh baca. Tak boleh blah betul aku.” Rungut Suraya sambil menghempaskan punggungnya di sofa.
“Apa kena kau ni? Angin tak ada, ribut tak ada tiba-tiba boring, bagai. Apahalnya?” tanya Maisarah kehairanan. Majalah di tangannya diletakkan ke tepi.
“Ini ha, novel yang aku baca ni. Temanya tak lari dari kahwin paksa, mula benci kemudian jatuh cinta. Macam tak ada tema lain nak dijadikan cerita. Buatlah cerita tentang perjuangan hidup seorang ibu tunggal ke, jerih perih seorang tentera di perantauan atau yang lain dari kisah cinta kahwin paksa. Buat cerita lawak ala-ala Zombi Kampung Pisang pun okey, apa?”
Maisarah tersenyum melihat wajah bosan Suraya. Dia tahu, kawan serumahnya itu amat meminati novel dan mempunyai koleksi novel yang agak banyak. Bila novel baru diterbitkan, pasti dia tidak ketinggalan untuk membelinya. Berlainan pula dengan Maisarah, dia kurang mengemari membaca novel. Mungkin keterbatasan waktu menyebabkannya sukar menghabiskan sebuah novel walaupun novel yang hanya setebal 400 muka surat. Tetapi Suraya boleh membaca novel setebal itu dalam masa sehari sahaja! Begitu obses tentang novel.
“Aku tak tahulah bab-bab ni. Aku jarang baca novel. Kalau aku baca novel dalam beberapa muka surat, aku pasti mengantuk.”
“Itulah kau. Tak ada feel langsung. Cuba kau baca dengan penuh penghayatan. Pasti kau pun rasa seronok dan teruja nak mengetahui kesudahan cerita yang kau baca. Kalau cerita tu sedih dan sama macam kisah benar, tentu amat mengesankan. Kadang-kadang boleh tangkap leleh bila baca.” Suraya tersengih sambil tangannya mencapai air di meja kopi. Dia menyisip air hingga habis.
“Wei! Tu air aku.” Maisarah separuh menjerit.
“Air kau ke? Aku ingat air Mira. Sorrylah, dah habis.”
“Agak-agaklah kalau nak minum. Sampai habis kau teguk. Aku baru minum sikit saja tadi.”
“Apalah yang ditengkarkan oleh kamu berdua? Aku nak tengok TV pun tak senang.” Kata Mira lalu menghampiri mereka berdua.
“Kami bukan bertengkar. Saja je gurau-gurau manja. Kau tak jumpa Jeff ke malam ni?” tanya Suraya sambil memerhati Mira mengambil tempat di sebelah Maisarah.
“Malaslah. Hari ni aku nak lepak di rumah saja.”
“Baguslah tu. Kalau setiap hari keluar pun tak elok. Walaupun Jeff tu tunang kau, bukan suami lagi tau. Dia masih haram buat kau.” Tegur Maisarah.
“Baiklah ustazah. Aku tahulah hal tu.” Jawab Mira sambil tersenyum kelat.
“Aku bukan ustazah. Bila bagi nasihat sikit dah naik taraf ustazah. Bukan hanya ustazah yang boleh bagi nasihat. Kerani cabuk macam aku pun boleh,” balas Maisarah.
Mira hanya tersengih. Dia amat maklum perangai teman-teman serumahnya itu. Mereka sering bergurau dan saling menasihati antara satu sama lain. Orang yang paling kerap dinasihati adalah dirinya sendiri.
“Su, apa kata kau sendiri tulis novel. Kau boleh buat cerita ikut kehendak kau. Kalau kau buat, nanti aku beli,” kata Mira menukar topik perbualan mereka. Dia tidak mahu jika Maisarah terus menegur berkaitan pergaulannya dengan tunangnya itu. Boleh bernanah telinga jika tidak kena gaya.
“Aku buat novel? Nak tulis pasal apa?” tanya Suraya yang sememangnya pernah terfikir akan hal itu. Jika tidak berpuas hati dengan novel orang, apa kata buatlah sendiri. Mungkin dengan cara itu dia boleh menghasilkan novel yang berlainan dari orang lain.
“Apa kata kau tulis tentang kisah Ani, sepupu aku. Aku memang dah lama nak minta kau tuliskan kisah dia,” kata Mira.
“Macam mana kisah tu? Cubalah kau cerita.” Suraya teruja.
Mira memulakan kisahnya. Maisarah dan Suraya mendengarnya dengan teliti. Ani atau Rohani merupakan anak bongsu dari empat orang adik beradik. Dia merupakan anak perempuan tunggal bagi pasangan suami isteri Pak Ishak dan Mak Kiah. Hari itu sedang berlangsung majlis perkahwinan Rohani dengan pasangannya Zain. Zain adalah menantu pilihan keluarga.
“Apa yang kau menungkan Ani? Sepatutnya hari ni kau gembira dan senyum saja. Ini tidak. Dari semalam aku lihat wajah kau tak ceria langsung. Kenapa Ani? Kau tak sukakah perkahwinan ni?” tanya Mira sambil duduk di birai katil bersebelahan Rohani. Ketika itu hanya tinggal mereka berdua di bilik tersebut.
“Entahlah Mira. Aku tak tahu sama ada aku patut gembira atau tidak. Hati aku masih teringatkan Halim.” kata Rohani, sayu. Ada kesedihan yang ditanggungnya ketika itu.
“Lupakanlah dia Ani. Relakan pemergiannya. Dia pun tentu suka dengan apa yang kau buat sekarang ni,” balas Mira perlahan.
 “Macam mana aku nak lupakan dia? Kami dah berkawan hampir 5 tahun. Lepas tu bertunang hampir setahun. Bila dah hampir sangat tarikh pernikahan kami dia pergi buat selama-lamanya. Tinggal aku sendiri menyulam duka nestapa.” Ada air jernih yang bertakung di kelopak mata Rohani. Perlahan-lahan air itu menitis mengenai jari yang merah berinai.
“Sabarlah Ani. Aku tahu kau sedih. Tapi cubalah kau kawal. Ingatlah bahawa kau dah jadi isteri Zain. Sama ada kau suka atau tidak, kau perlu patuh dan taat kepada dia. Sayangilah dia sepenuh hati. Jangan rosakkan hubungan kau dengan dia kerana kenangan lalu.”
“Itu aku tahu. Malah aku dah berazam untuk menjadi isteri solehah buat suami ku. Tapi hati aku tak mampu melupakan kenangan lalu. Masih tetap ada di hati walaupun aku cuba melupakannya.” Sayu suara Rohani kedengaran di telinga Mira.
Mira hanya mengangguk lesu. Dia tahu Rohani sukar melupakan arwah Halim yang meninggal akibat kemalangan jalan raya sehari sebelum majlis akad nikah mereka. Hati siapa yang tidak sedih? Seluruh keluarga mereka bersedih malah Rohani sendiri pengsan ketika mengetahui berita itu. Kesedihan begitu mencengkam jiwanya hinggakan dia menolak perkahwinan lain walaupun berkali-kali didesak oleh ibu bapanya. Setelah hampir 3 tahun kejadian itu, pinangan Zain diterimanya. Itu pun setelah dipujuk oleh ibunya. Mungkin sudah jodoh, maka mereka berjaya diijab kabulkan.
“Ani, kesatkanlah air mata kau. Sebentar lagi Zain akan masuk ke sini. Aku harap kau tunjukkanlah wajah ceria dan sambutlah suami kau sebaik mungkin.” Nasihat Mira.
Rohani segera mengesat air matanya dan cuba tersenyum. Selang beberapa ketika, Zain bersama-sama ibunya masuk ke bilik pengantin. Upacara menyarung cincin berjalan lancar dan Rohani berjaya mempamerkan wajah ceria. Lega hati Mira melihat sepupunya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Di sebalik senyuman, Rohani berperang dengan perasaan sedih.
“Ehem! Ehem! Keringlah tekak pula. Tak ada air ke buat penglipur lara ni?” tanya Mira sambil melihat wajah Suraya dan Maisarah yang kelihatan asyik ketika itu.
“Hish! Nak air pula. Ceritalah dulu. Potong stimlah kau ni. Lepas cerita nanti, aku buatkan kau seteko air.” Suraya bersuara.
“Nak sambung macam mana? Tak ada pelincir. Tekak pun kering ni. Kisah ni panjang lagi. Ni belum masuk bab yang betul-betul feeling. Cepatlah ambilkan aku air,” kata Mira sambil tersengih.
“Ya lah. Aku ambilkan.”
Suraya bangun ke peti sejuk dan mengambil air kosong. Tangannya sempat mencapai gelas yang tergantung di rak. Dia meletakkan botol air dan gelas di hadapan Mira. Mira menuang air dan meneguknya beberapa kali.
“Okey. Aku sambung balik. Majlis kenduri Ani berjalan lancar. Dia juga berusaha menerima Zain seadanya. Zain pula sebenarnya telah tahu kisah sedih Ani sebelum ni, sentiasa mengembirakan hati Ani. Ani bahagia hidup di samping Zain. Setelah setahun mereka berkahwin, Ani mengandung. Aku masih ingat masa Ani nak melahirkan.” Mira mengimbau kembali kenangan lalu.
Ketika itu, Ani sedang sakit untuk melahirkan anak sulungnya. Ibunya sentiasa berada di sisinya. Mak Kiah agak menjaga dan mengawal diri Rohani. Malah Zain ada ketikanya tidak dapat berkata apa-apa apabila Mak Kiah bersuara. Pernah dia melarang Rohani agar tidak pulang ke rumah mertuanya. Rohani yang sentiasa patuh kepada suruhan orang tuanya dan suami, terperangkap di dalam dilema. Adakah dia perlu mengikut ajakan Zain atau menurut suruhan ibunya? Tetapi Zain mudah dibawa berbincang. Dia mengambil sikap berlembut dan cuba mengelak konflik dengan mertuanya.
“Abang, Ani minta abang halalkan makan minum Ani dan doakan Ani selamat melahirkan.” Rohani memandang sayu ke wajah suaminya.
“Ani, abang halalkan segala-galanya. Abang doakan semoga Ani dan anak kita selamat. Abang akan tunggu Ani di sini. Abang benar-benar cintakan Ani.” Zain menggenggam tangan isterinya dan menciumnya.
Rohani tersenyum bahagia. “Ani pun cintakan abang. Ani harap Ani dapat lagi melihat wajah abang selepas ni.”
“Insya Allah Ani akan sentiasa lihat wajah abang. Nanti bila abang pergi kerja, Ani lihatlah saja anak kita. Pasti wajah dia sama macam abang.” Zain tersenyum bangga.
Rohani mengangguk sambil tersenyum. Seketika kemudian, Rohani dibawa masuk ke bilik bersalin oleh pembantu juru rawat. Ramai ahli keluarganya menunggu di luar. Tidak sampai dua jam, Rohani selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Berita itu disambut gembira oleh keluarganya. Zain melafazkan azan dan Qamat di telinga anaknya setelah dibenarkan berjumpa dengan Rohani. Keadaan Rohani agak lemah tetapi tetap ceria. Kegembiraan jelas terbayang di wajah kedua-dua suami isteri tersebut.
“Terima kasih Ani kerana melahirkan untuk abang seorang anak yang secomel ini.” Kata Zain sambil memberikan anaknya kepada Rohani.
“Sama-sama. Ani bersyukur kerana dapat menghadiahkan abang cahaya mata kita ni. Ani harap anak ini nanti akan menemani abang di dalam susah mahu pun senang.”
“Insya Allah Ani. Rahmani akan menemani kita berdua. Abang harap selepas ni, Ani dapat menghadiahkan lagi abang dengan anak yang lain. Abang harap selepas ni, perempuan pula.” Zain tersenyum lebar.
“Hish! Isteri kamu baru saja melahirkan, dah cakap nak anak lagi? Bagilah dia berehat dalam setahun dua. Biar rahim dia sembuh sebelum melahirkan anak yang lain.” Tegur Mak Kiah. Dia tidak berpuas hati dengan kata-kata menantunya. Ingat anaknya itu kilang memproses anak ke?
“Zain tahu. Saja je, Zain cakap. Kalau boleh Zain nak anak sampai cukup satu team bola.”
Mak Kiah menggelengkan kepalanya. Pak Ishak dan ibu bapa Zain hanya ketawa gembira. Zain duduk di sisi Rohani sambil membelai rambut anaknya. Rohani tersenyum gembira walaupun penat melahirkan masih terasa.
Anak lelaki mereka kemudiannya, dibawa pulang ke rumah Mak Kiah. Ini kerana Mak Kiah mahu Rohani menjalani pantang di rumahnya. Terpaksalah Zain berulang alik dengan jarak yang agak jauh untuk ke tempat kerjanya di Bandar. Seminggu selepas melahirkan, bahagian ari-ari Rohani terasa amat sakit dan berdenyut-denyut. Sebelum hari itu, dia telah merasakannya tetapi dia masih mampu bertahan. Ibunya hanya menyuruhnya memakan ubat-ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital kerana merasakan itu adalah sakit biasa selepas melahirkan.
“Mak, kenapa Ani rasa sakit sangat bahagian ari-ari ni? Rasa macam ada sesuatu di dalamnya. Berdenyut-denyut Ani rasa.” keluh Rohani ketika selesai menyusukan anaknya. Dia tidak dapat duduk dengan tenang kerana sakit yang dirasainya.
“Biasalah tu Ani. Nanti bila mak bidan datang berurut, baiklah tu. Mungkin darah ketul masih ada. Tapi bila dah berurut, keluarlah darah tu.” Jawab Mak Kiah sambil membetulkan lampin Rahmani.
“Tapi Ani rasa sakit sangat. Boleh tak jika Ani pergi klinik untuk buat pemeriksaan?” tanya Rohani dengan wajah yang berkerut.
“Tak payahlah. Nanti menyusahkan Zain saja. Dahlah sampai rumah pun lepas masuk Maghrib, nanti nak ke klinik tentu penat dibuatnya.”
Rohani terdiam mendengar kata-kata ibunya. Dia tahu suaminya seringkali kepenatan apabila tiba di rumah. Di dalam hatinya mengakui kebenaran kata-kata ibunya. Terbit rasa simpati kepada suaminya. Rohani tahu, Zain ringan tulang membantunya menjaga Rahmani di waktu malam. Ada ketika, Zain akan menyalin lampin anaknya tanpa mengejutkan Rohani.
“Tak mengapalah jika begitu. Ani akan tunggu Mak Bedah datang berurut esok.”
Mak Kiah menganggukkan kepalanya. Dia menepuk-nepuk lembut punggung Rahmani untuk menidurkan cucunya itu. Setelah Rahmani tertidur, Mak Kiah melangkah keluar dari bilik Rohani. Dia sempat membetulkan selimut Rohani yang tertidur akibat keletihan. Bibir Mak Kiah mengorak senyum. Kasih pada anak bongsunya itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Dia terlalu menyayangi Rohani kerana sikap Rohani yang tidak pernah membantahnya. Malah Rohani terlalu baik dan lemah lembut.
“Mak sayangkan Ani.” Kata Mak Kiah lalu mengucup lembut dahi anaknya. Hatinya terasa bahagia dan bangga dengan kehadiran cucu dari rahim Rohani. Dia berharap cucunya nanti akan mengikut perangai ibunya. Seorang anak dan isteri yang solehah.
Pada malam itu, Rohani mengalami demam panas. Sakit pada ari-arinya makin terasa perit. Sesekali Rohani menangis menahan kesakitan.
“Ani, abang rasa baik kita ke hospital daerah untuk buat pemeriksaan.” Wajah Zain jelas cemas melihat keadaan isterinya.
“Marilah kita pergi. Sakit ni rasa tak tertahan lagi. Macam ada sesuatu dalam perut Ani ni. Nak pegang pun rasa sakit.” Adu Rohani dengan wajah berkerut-kerut.
“Hish! Tak payahlah nak pergi malam-malam ni. Kalau sakit, makan saja panadol tu. Biasalah sakit lepas bersalin. Mak pun dulu sakit juga pada bahagian rahim. Tapi lepas berurut, tak apa-apa dah.” Mak Kiah cuba menghalang lagi.
“Tapi mak, Ani nampak pucat sangat. Demam pula tu. Zain takut sakitnya melarat nanti. Lebih baik Zain bawa ani ke hospital daerah untuk buat pemeriksaan.”
“Nak pergi hospital tu malam-malam buta begini? Mana ada doktor nak layan kita?” Mak Kiah masih membantah cadangan tersebut.
“Biarlah Zain bawa Ani, Kiah. Pucat benar wajah Ani, aku tengok.” Pak Ishak tiba-tiba bersuara. Dia juga tidak merasa senang dengan sikap isterinya yang keras kepala walaupun melibatkan soal kesihatan anak mereka sendiri.
“Nak bawa sangat, pergilah! Tapi jangan menyesal pula. Dah ke sana tak ada siapa nak layan. Malam-malam begini tentu misi pun tak mau buat kerja.” Mak Kiah berprasangka berdasarkan cerita-cerita negatif yang didengarinya tentang kati tangan hospital daerah itu. Terdapat beberapa kes kecuaian yang berlaku di hospital tersebut. Tetapi kebanyakan kes tidak dipanjangkan menyebabkan kaki tangan yang terlibat terlepas dari tindakan disiplin.
Akhirnya Rohani dibawa ke hospital daerah di mana dia melahirkan anaknya itu. Dia dimasukkan ke wad kecemasan. Di dalam wad tersebut terdapat beberapa kes lain yang menunggu. Disebabkan itu, Rohani hanya terbaring menahan kesakitan di katil pesakit. Hingga ke pagi baru keadaannya diperiksa. Dia menjalani x-ray dan doktor mendapati terdapat segumpal kapas yang tertinggal di dalam rahim Rohani. Kemungkinan kapas tersebut digunakan untuk menahan pendarahan pada rahim Rohani dan ianya tidak habis dikeluarkan oleh jururawat bertugas.
Berita itu benar-benar mengejutkan Zain dan mereka sekeluarga. Kebimbangan jelas terpancar di wajah Zain. Zain terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menemani Rohani di hospital tersebut. Setelah berbincang, Rohani disarankan dirujuk ke Hospital Besar yang terdapat di Bandar. Seboleh mungkin Zain ingin membawa Rohani ke hospital tersebut. Tetapi kedua-dua pemandu ambulan yang bertugas ketika itu telah keluar untuk mengambil pesakit yang terlibat di dalam kemalangan jalan raya. Zain terpaksa menunggu dengan resah.
“Ani, sabarlah sayang. Sekejap lagi apabila ambulan sampai, kita ke Hospital Besar. Ani perlu dibedah segera bagi mengeluarkan kapas yang tertinggal. Doktor cakap, takut dah jadi keracunan di dalam rahim Ani. Abang harap Ani dapat bertahan.” Zain menggenggam tangan Rohani seeratnya. Dia takut memikirkan keadaan isterinya yang semakin lemah.
“Abang, Ani rasa sakit sangat seluruh badan Ani. Jika Ani tak dapat bertahan, abang tolonglah jaga anak kita Rahmani dengan sebaik-baiknya. Ani harap abang akan sayangi Rahmani dan tidak mengabaikannya.” Tutur Rohani dalam kepayahan.
“Jangan kata begitu sayang. Abang nak Ani pulih seperti sedia kala dan hidup bahagia di samping abang. Abang tak mahu Ani fikir yang bukan-bukan. Abang yakin, Ani akan selamat,” kata Zain menahan sebak di hati. Diciumnya dahi Rohani untuk memberi perangsang kepada isterinya.
Rohani tersenyum memandang Zain. Mak Kiah yang ada di sisi Rohani telah menangis kerana menyesali sikapnya yang telah melarang anaknya membuat pemeriksaan sejak hari mula Rohani mengadu kesakitan. Jika dia bertindak lebih awal, tentu keadaan Rohani tidak selemah itu. Mungkin masalah yang dihadapi oleh Rohani dapat diketahui lebih awal. Tetapi apa guna? Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian nyawa Rohani menjadi taruhan.
“Mak, janganlah sedih. Mak tolonglah jaga Rahmani bila abang Zain ke tempat kerja. Mak jangan risaukan Ani. Ani tak apa-apa. Cuma Ani harap mak ampunkan dosa Ani dan halalkan makan minum Ani selama ini. Ani banyak buat dosa pada mak.” Rohani memegang tangan ibunya.
“Ani, mak halalkan segalanya. Mak ampunkan dosa-dosa Ani walaupun mak tahu Ani tak berdosa pada mak. Mak minta maaf pada Ani. Jika mak tak berkeras melarang Ani tentu dah lama Ani tahu masalah ni. Mak menyesal. Mak harap Ani akan selamat dan mak doakan agar Ani cepat sembuh.” Mak Kiah menyeka deraian air matanya.
“Ayah, ampunkan Ani, ayah.” kata Rohani kepada Pak Ishak.
Pak Ishak yang berusaha menahan air matanya turut menangis mendengar kata-kata Rohani. Dia dapat merasakan seoalah-olah Rohani sedang mengucapkan kata-kata terakhir buat mereka semua.
“Ayah ampunkan Ani. Ayah juga nak minta maaf pada Ani kerana gagal membawa Ani lebih awal ke sini.”
Rohani menggelengkan kepalanya. “Ayah tak salah, malah sesiapa pun tak salah. Mungkin takdir Ani begini.”
Wajahnya masih tersenyum walaupun jelas kelihatan dia sedang menanggung kesakitan yang mencengkam. Zain tidak putus-putus berdoa kepada Allah untuk keselamatan isterinya. Hatinya menjerit pilu melihat keadaan isterinya itu.
“Abang, ampunkan segala dosa Ani. Halalkanlah makan minum Ani.”
“Ani, abang halalkan segalanya. Abang redha dan ampunkan kesalahan Ani terhadap abang walaupun abang tahu Ani tak pernah buat salah pada abang.”
“Terima kasih. Abang, izinkan Ani melihat puas-puas wajah abang. Ani harap jodoh kita masih ada hingga ke akhirat nanti.” Rohani berkata sambil matanya menatap wajah suaminya.
Hati Zain makin sebak mendengar pemintaan isterinya itu. Tiada kata yang terkeluar dari mulutnya. Dia turut memandang wajah isterinya yang tersenyum manis. Air mata Zain gugur makin deras. Perlahan-lahan Rohani menutup matanya.
“Ingat Allah, sayang.” Bisik Zain dalam linangan air mata.
Zain membisikkan kalimah Allah di telinga isterinya. Dia yakin Rohani masih mendengar dan mengikut kata-katanya. Zain menggenggam erat tangan Rohani. Sejuk tangan isterinya ketika itu. Berkali-kali Zain mencium tangan isterinya. Pak Ishak segera mendapatkan jururawat bertugas untuk menolong mereka. Jururawat segera datang dan kemudiannya memanggil doktor bertugas. Doktor memeriksa keadaan Rohani.
“Maafkan kami. Kami dah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan anak pak cik dan isteri encik. Tapi kuasa Allah tiada siapa dapat menghalang. Rohani telah pergi baut selama-lamanya. Maaf sekali lagi.” Ucap doktor wanita dengan nada yang sugul.
Mak Kiah yang mendengar perkhabaran tersebut jatuh terduduk di lantai. Jika tidak kerana Pak Ishak yang memegangnya tentu badannya telah terhempas. Zain tetap memandang wajah isterinya yang kelihatan tenang seolah-olah sedang tidur nyenyak. Hatinya terpaksa merelakan perpisahan itu walaupun dengan berat hati.
“Waaaa... kenapa kau cerita kisah sedih ni?” tanya Suraya sambil menarik tisu di atas meja.
Mira yang ingin mencapai sehelai tisu agak terkejut. Habis tisu sekotak dikerjakan oleh Suraya dan Maisarah. Bergumpal-gumpal tisu lembab di letakkan di atas meja.
“Wei! Pengotorlah kau berdua ni. Tisu yang ada hingus pun kau orang letak di sini. Buanglah!” kata Mira sambil menyeka air mata dengan lengan bajunya.
“Siapa suruh kau cerita yang sedih-sedih? Tengok, habis semua dah menangis,” kata Maisarah.
“Aku tak suruh menangis pun. Aku cuma cerita kisah benar yang terjadi pada sepupu aku. Aku harap jika kita mengalami masalah macam arwah Ani cepat-cepatlah ke hospital. Jangan bertangguh bila rasa sakit. Kadangkala pengalaman seseorang tak sama dengan kita. Contohnya macam Mak Kiah, Mak Ngah aku tu. Dia sangka Ani sakit ari-ari yang biasa saja macam yang pernah dia alami. Tapi dia tak tahu kecuaian manusia telah mengakibatkan Ani mengalami keracunan di dalam darahnya.”
“Ya. Kita perlu beringat. Tapi kalau dah ajal, buat macam mana pun meninggal juga.” Suraya memberi pendapat.
“Jodoh pertemuan, ajal maut di dalam kekuasaan Allah. Kita hanya mampu mendoakan yang terbaik buat kita.” Maisarah menyambung pula.
“Jadi, macam mana? Jadi tak kau buatkan novel tentang kisah Ani ni?” tanya Mira.
“Insya Allah, jadi. Nanti aku nak jumpa Zain untuk dapatkan cerita yang lebih detail lagi. Cuma aku harap Zain mahu ceritanya diabadikan di dalam novel.”
“Aku rasa dia boleh beri kerjasama. Nanti bila dapat royalti, kau berilah pada dia sikit.”
“Itu sudah tentu. Janji dia setuju, soal royalti boleh bincang.”
Suraya pamer wajah gembira. Projek novelnya pasti berjaya. Mungkin boleh menjadi best seller jika dia berjaya mengolah cerita itu dengan baik. Namanya pasti akan menjadi sebutan ramai. Suraya tersenyum bangga.
“Hoi! Sudahlah tu berangan sikit-sikit. Hari dah lewat malam ni. Jom masuk tidur. Esok nak kerja,” sergah Mira membuat senyuman Suraya mati tiba-tiba.
“Ya la. Tak boleh nak angan-angan sikit. tapi jangan lupa, kenalkan aku dengan Zain.”
“Baiklah, mem! Aku harap lepas aku kenalkan Zain, dapatlah si Rahmani mak baru. Kesian budak tu, dah hampir 3 tahun maknya meninggal.”
“Aku jadi mak Rahmani?”
“Ya, apa salahnya? Kau pun belum berpunya. Eloklah kau cuba, mana tahu sangkut.” Mira tersenyum lebar.
“Banyaklah kau punya sangkut. Aku tak harap semua tu. Aku cuma nak jumpa dia untuk dengar sendiri kisah dia yang mengharukan hati aku. Lagi pun kau juga yang bagi cadangan untuk aku. Jadi jangan fikir yang bukan-bukan.” Suraya mempamerkan wajah cemberut.
Mira hanya tersenyum sambil melangkah menuju ke biliknya. Di dalam hatinya tetap berdoa agar Zain akan mendapat pengganti Rohani suatu hari nanti. Dia tahu Zain tidak pernah bersetuju untuk berkahwin lain semata-mata untuk menjaga Rahmani. Bagi Zain, Rahmani adalah segala-galanya buat dirinya. Cintanya pada Rohani tetap kukuh dan tidak pernah hilang. Kasih mereka tetap abadi walaupun tidak bersama lagi.






 sumber gambar: encik google.

Isnin, 16 Julai 2012

Nak Jadi Penulis Novel?

Sejak akhir ini, ramai yang nak jadi penulis novel dengan gambaran penulis novel bakal mendapat royalti tinggi dari penjualan buku yang ditulis. Bukan semua bernasib baik buku mereka menjadi best seller. Ada penulis yang tidak mendapat royalti setinggi mana. Kadangkala sekadar sebulan gaji seorang pengurus. Ada juga menulis sekadar suka-suka dan lebih kepada mengisi masa lapang (duit deme tak hairan sangat). Ada juga sekadar mencari kepuasan diri dan ingin berkongsi recah hidup manusia melalui penceritaan. Apa pun alasan anda untuk menjadi penulis, anda perlu ada beberapa perkara asas seperti di bawah.

Ada laptop.
Jika anda mempunyai lappy sendiri (kalau kongsi susah sikit, bukan tak boleh), anda ada idea dan jalan cerita yang nak ditulis, bermakna anda telah selangkah dalam usaha anda untuk menjadi penulis.

Ada kemahuan dan sabar.
Jika anda seorang yang sabar, anda boleh menjadi seorang penulis. Kerja menulis ni bukan ambil masa yang pendek. Jadi perlu sabar dan ada kemahuan menyiapkan jalan cerita walaupun terpaksa ambil masa setahun nak siapkan manuskrip penuh. (tu belum kena reject dgn penerbit. Kalau reject kena baiki, baiki dan baiki lagi hingga berjaya)

Ada cerita yang nak ditulis.
Anda boleh tulis apa saja dan seeloknya buatkan papan cerita dahulu supaya cerita tersusun dan tidak mengelirukan. Kenalpasti kategori apa yang anda pilih.

Ada identiti sendiri.
Jangan meniru penulisan orang lain! Anda perlu yakin pada diri sendiri dan hasilkan penulisan mengikut acuan anda sendiri. Jika anda suka Siti Rosmizah, contohnya janganlah tiru gaya penulisannya sebiji-sebiji. Anda boleh jadikannya sebagai rujukan. Bina ayat dan gaya penceritaan sendiri. Bukan ciplak!!

Ada maklumat yang betul dan tepat.
Jika anda hendak menulis sesebuah cerita mengenai seseorang contohnya, seorang doktor. Pastikan anda mengetahui kelulusan untuk menjadi doktor, anggaran umur menjadi doktor, skop atau bidang tugas doktor tersebut. Contohnya jika doktor tersebut adalah doktor pakar, janganlah anda tulis umurnya 23 tahun. Memang tak logik.

Ada penerbit.
Bila dah siap manuskrip, anda perlu menghantar manuskrip tersebut kepada bakal penerbit. Pastikan  syarikat penerbitan mana yang anda ingin hantar. Ada penerbitan yang 'mengikat' penulisnya dan tidak memberi penulisnya menulis untuk penerbitan yang lain. Tetapi ada juga penerbitan yang bebas dan tidak mengikat penulis.

Setakat ini sahaja buat kali ni. Apa yang tertulis di atas adalah berdasarkan pengalaman saya dalam bidang penulisan novel yang baru setahun jagung. Mungkin apa yang dipaparkan telah diketahui ramai tetapi saya ingin kongsikan terutama bagi adik-adik remaja yang baru belajar menulis. Teruskan menulis walau berapa pun umur anda. Jangan jadikan umur sebagai penghalang. Tetapi jadikan sebagai pendorong untuk mencapai kejayaan. Selamat menulis!














p/s Apa kaitan gambar ni dengan nak jadi penulis? Melalui gambar sebegini pun kadangkala idea menjelma. Saya selalu bawa nota kecil dan bila idea menjelma, saya catatkan dahulu. Takut terlupa masa nak mengarang sambungan cerita. Itu saya buat untuk novel pertama saya I Love You Cikgu. (Insya Allah akan diterbitkan tahun depan di bawah penerbitan Buku Prima.)