“Boring
betullah! Asyik-asyik cerita kahwin paksa. Watak pula mesti anak orang kaya,
anak Dato’, anak Tan Sri, anak Raja dan macam jenis anak. Kalau tak lelaki kaya
dan sombong mesti watak perempuannya yang begitu. Jalan cerita dah boleh baca.
Tak boleh blah betul aku.” Rungut Suraya sambil menghempaskan punggungnya di
sofa.
“Apa
kena kau ni? Angin tak ada, ribut tak ada tiba-tiba boring, bagai. Apahalnya?”
tanya Maisarah kehairanan. Majalah di tangannya diletakkan ke tepi.
“Ini
ha, novel yang aku baca ni. Temanya tak lari dari kahwin paksa, mula benci
kemudian jatuh cinta. Macam tak ada tema lain nak dijadikan cerita. Buatlah
cerita tentang perjuangan hidup seorang ibu tunggal ke, jerih perih seorang
tentera di perantauan atau yang lain dari kisah cinta kahwin paksa. Buat cerita
lawak ala-ala Zombi Kampung Pisang pun okey, apa?”
Maisarah
tersenyum melihat wajah bosan Suraya. Dia tahu, kawan serumahnya itu amat
meminati novel dan mempunyai koleksi novel yang agak banyak. Bila novel baru
diterbitkan, pasti dia tidak ketinggalan untuk membelinya. Berlainan pula
dengan Maisarah, dia kurang mengemari membaca novel. Mungkin keterbatasan waktu
menyebabkannya sukar menghabiskan sebuah novel walaupun novel yang hanya
setebal 400 muka surat. Tetapi Suraya boleh membaca novel setebal itu dalam
masa sehari sahaja! Begitu obses tentang novel.
“Aku
tak tahulah bab-bab ni. Aku jarang baca novel. Kalau aku baca novel dalam
beberapa muka surat, aku pasti mengantuk.”
“Itulah
kau. Tak ada feel langsung. Cuba kau
baca dengan penuh penghayatan. Pasti kau pun rasa seronok dan teruja nak
mengetahui kesudahan cerita yang kau baca. Kalau cerita tu sedih dan sama macam
kisah benar, tentu amat mengesankan. Kadang-kadang boleh tangkap leleh bila
baca.” Suraya tersengih sambil tangannya mencapai air di meja kopi. Dia
menyisip air hingga habis.
“Wei!
Tu air aku.” Maisarah separuh menjerit.
“Air
kau ke? Aku ingat air Mira. Sorrylah,
dah habis.”
“Agak-agaklah
kalau nak minum. Sampai habis kau teguk. Aku baru minum sikit saja tadi.”
“Apalah
yang ditengkarkan oleh kamu berdua? Aku nak tengok TV pun tak senang.” Kata
Mira lalu menghampiri mereka berdua.
“Kami
bukan bertengkar. Saja je gurau-gurau manja. Kau tak jumpa Jeff ke malam ni?”
tanya Suraya sambil memerhati Mira mengambil tempat di sebelah Maisarah.
“Malaslah.
Hari ni aku nak lepak di rumah saja.”
“Baguslah
tu. Kalau setiap hari keluar pun tak elok. Walaupun Jeff tu tunang kau, bukan
suami lagi tau. Dia masih haram buat kau.” Tegur Maisarah.
“Baiklah
ustazah. Aku tahulah hal tu.” Jawab Mira sambil tersenyum kelat.
“Aku
bukan ustazah. Bila bagi nasihat sikit dah naik taraf ustazah. Bukan hanya
ustazah yang boleh bagi nasihat. Kerani cabuk macam aku pun boleh,” balas
Maisarah.
Mira
hanya tersengih. Dia amat maklum perangai teman-teman serumahnya itu. Mereka
sering bergurau dan saling menasihati antara satu sama lain. Orang yang paling
kerap dinasihati adalah dirinya sendiri.
“Su,
apa kata kau sendiri tulis novel. Kau boleh buat cerita ikut kehendak kau.
Kalau kau buat, nanti aku beli,” kata Mira menukar topik perbualan mereka. Dia
tidak mahu jika Maisarah terus menegur berkaitan pergaulannya dengan tunangnya
itu. Boleh bernanah telinga jika tidak kena gaya.
“Aku
buat novel? Nak tulis pasal apa?” tanya Suraya yang sememangnya pernah terfikir
akan hal itu. Jika tidak berpuas hati dengan novel orang, apa kata buatlah
sendiri. Mungkin dengan cara itu dia boleh menghasilkan novel yang berlainan
dari orang lain.
“Apa
kata kau tulis tentang kisah Ani, sepupu aku. Aku memang dah lama nak minta kau
tuliskan kisah dia,” kata Mira.
“Macam
mana kisah tu? Cubalah kau cerita.” Suraya teruja.
Mira
memulakan kisahnya. Maisarah dan Suraya mendengarnya dengan teliti. Ani atau
Rohani merupakan anak bongsu dari empat orang adik beradik. Dia merupakan anak
perempuan tunggal bagi pasangan suami isteri Pak Ishak dan Mak Kiah. Hari itu
sedang berlangsung majlis perkahwinan Rohani dengan pasangannya Zain. Zain
adalah menantu pilihan keluarga.
“Apa
yang kau menungkan Ani? Sepatutnya hari ni kau gembira dan senyum saja. Ini
tidak. Dari semalam aku lihat wajah kau tak ceria langsung. Kenapa Ani? Kau tak
sukakah perkahwinan ni?” tanya Mira sambil duduk di birai katil bersebelahan
Rohani. Ketika itu hanya tinggal mereka berdua di bilik tersebut.
“Entahlah
Mira. Aku tak tahu sama ada aku patut gembira atau tidak. Hati aku masih
teringatkan Halim.” kata Rohani, sayu. Ada kesedihan yang ditanggungnya ketika
itu.
“Lupakanlah
dia Ani. Relakan pemergiannya. Dia pun tentu suka dengan apa yang kau buat sekarang
ni,” balas Mira perlahan.
“Macam mana aku nak lupakan dia? Kami dah
berkawan hampir 5 tahun. Lepas tu bertunang hampir setahun. Bila dah hampir
sangat tarikh pernikahan kami dia pergi buat selama-lamanya. Tinggal aku
sendiri menyulam duka nestapa.” Ada air jernih yang bertakung di kelopak mata
Rohani. Perlahan-lahan air itu menitis mengenai jari yang merah berinai.
“Sabarlah
Ani. Aku tahu kau sedih. Tapi cubalah kau kawal. Ingatlah bahawa kau dah jadi
isteri Zain. Sama ada kau suka atau tidak, kau perlu patuh dan taat kepada dia.
Sayangilah dia sepenuh hati. Jangan rosakkan hubungan kau dengan dia kerana
kenangan lalu.”
“Itu
aku tahu. Malah aku dah berazam untuk menjadi isteri solehah buat suami ku.
Tapi hati aku tak mampu melupakan kenangan lalu. Masih tetap ada di hati walaupun
aku cuba melupakannya.” Sayu suara Rohani kedengaran di telinga Mira.
Mira
hanya mengangguk lesu. Dia tahu Rohani sukar melupakan arwah Halim yang
meninggal akibat kemalangan jalan raya sehari sebelum majlis akad nikah mereka.
Hati siapa yang tidak sedih? Seluruh keluarga mereka bersedih malah Rohani
sendiri pengsan ketika mengetahui berita itu. Kesedihan begitu mencengkam
jiwanya hinggakan dia menolak perkahwinan lain walaupun berkali-kali didesak
oleh ibu bapanya. Setelah hampir 3 tahun kejadian itu, pinangan Zain diterimanya.
Itu pun setelah dipujuk oleh ibunya. Mungkin sudah jodoh, maka mereka berjaya
diijab kabulkan.
“Ani,
kesatkanlah air mata kau. Sebentar lagi Zain akan masuk ke sini. Aku harap kau
tunjukkanlah wajah ceria dan sambutlah suami kau sebaik mungkin.” Nasihat Mira.
Rohani
segera mengesat air matanya dan cuba tersenyum. Selang beberapa ketika, Zain bersama-sama
ibunya masuk ke bilik pengantin. Upacara menyarung cincin berjalan lancar dan
Rohani berjaya mempamerkan wajah ceria. Lega hati Mira melihat sepupunya dapat
menyesuaikan diri dengan keadaan. Di sebalik senyuman, Rohani berperang dengan
perasaan sedih.
“Ehem!
Ehem! Keringlah tekak pula. Tak ada air ke buat penglipur lara ni?” tanya Mira
sambil melihat wajah Suraya dan Maisarah yang kelihatan asyik ketika itu.
“Hish!
Nak air pula. Ceritalah dulu. Potong stimlah kau ni. Lepas cerita nanti, aku
buatkan kau seteko air.” Suraya bersuara.
“Nak
sambung macam mana? Tak ada pelincir. Tekak pun kering ni. Kisah ni panjang
lagi. Ni belum masuk bab yang betul-betul feeling.
Cepatlah ambilkan aku air,” kata Mira sambil tersengih.
“Ya
lah. Aku ambilkan.”
Suraya
bangun ke peti sejuk dan mengambil air kosong. Tangannya sempat mencapai gelas
yang tergantung di rak. Dia meletakkan botol air dan gelas di hadapan Mira.
Mira menuang air dan meneguknya beberapa kali.
“Okey.
Aku sambung balik. Majlis kenduri Ani berjalan lancar. Dia juga berusaha
menerima Zain seadanya. Zain pula sebenarnya telah tahu kisah sedih Ani sebelum
ni, sentiasa mengembirakan hati Ani. Ani bahagia hidup di samping Zain. Setelah
setahun mereka berkahwin, Ani mengandung. Aku masih ingat masa Ani nak
melahirkan.” Mira mengimbau kembali kenangan lalu.
Ketika
itu, Ani sedang sakit untuk melahirkan anak sulungnya. Ibunya sentiasa berada
di sisinya. Mak Kiah agak menjaga dan mengawal diri Rohani. Malah Zain ada
ketikanya tidak dapat berkata apa-apa apabila Mak Kiah bersuara. Pernah dia
melarang Rohani agar tidak pulang ke rumah mertuanya. Rohani yang sentiasa patuh
kepada suruhan orang tuanya dan suami, terperangkap di dalam dilema. Adakah dia
perlu mengikut ajakan Zain atau menurut suruhan ibunya? Tetapi Zain mudah
dibawa berbincang. Dia mengambil sikap berlembut dan cuba mengelak konflik
dengan mertuanya.
“Abang,
Ani minta abang halalkan makan minum Ani dan doakan Ani selamat melahirkan.”
Rohani memandang sayu ke wajah suaminya.
“Ani,
abang halalkan segala-galanya. Abang doakan semoga Ani dan anak kita selamat.
Abang akan tunggu Ani di sini. Abang benar-benar cintakan Ani.” Zain
menggenggam tangan isterinya dan menciumnya.
Rohani
tersenyum bahagia. “Ani pun cintakan abang. Ani harap Ani dapat lagi melihat
wajah abang selepas ni.”
“Insya
Allah Ani akan sentiasa lihat wajah abang. Nanti bila abang pergi kerja, Ani
lihatlah saja anak kita. Pasti wajah dia sama macam abang.” Zain tersenyum
bangga.
Rohani
mengangguk sambil tersenyum. Seketika kemudian, Rohani dibawa masuk ke bilik
bersalin oleh pembantu juru rawat. Ramai ahli keluarganya menunggu di luar.
Tidak sampai dua jam, Rohani selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Berita itu
disambut gembira oleh keluarganya. Zain melafazkan azan dan Qamat di telinga anaknya
setelah dibenarkan berjumpa dengan Rohani. Keadaan Rohani agak lemah tetapi
tetap ceria. Kegembiraan jelas terbayang di wajah kedua-dua suami isteri
tersebut.
“Terima
kasih Ani kerana melahirkan untuk abang seorang anak yang secomel ini.” Kata
Zain sambil memberikan anaknya kepada Rohani.
“Sama-sama.
Ani bersyukur kerana dapat menghadiahkan abang cahaya mata kita ni. Ani harap
anak ini nanti akan menemani abang di dalam susah mahu pun senang.”
“Insya
Allah Ani. Rahmani akan menemani kita berdua. Abang harap selepas ni, Ani dapat
menghadiahkan lagi abang dengan anak yang lain. Abang harap selepas ni,
perempuan pula.” Zain tersenyum lebar.
“Hish!
Isteri kamu baru saja melahirkan, dah cakap nak anak lagi? Bagilah dia berehat
dalam setahun dua. Biar rahim dia sembuh sebelum melahirkan anak yang lain.”
Tegur Mak Kiah. Dia tidak berpuas hati dengan kata-kata menantunya. Ingat
anaknya itu kilang memproses anak ke?
“Zain
tahu. Saja je, Zain cakap. Kalau boleh Zain nak anak sampai cukup satu team bola.”
Mak
Kiah menggelengkan kepalanya. Pak Ishak dan ibu bapa Zain hanya ketawa gembira.
Zain duduk di sisi Rohani sambil membelai rambut anaknya. Rohani tersenyum
gembira walaupun penat melahirkan masih terasa.
Anak
lelaki mereka kemudiannya, dibawa pulang ke rumah Mak Kiah. Ini kerana Mak Kiah
mahu Rohani menjalani pantang di rumahnya. Terpaksalah Zain berulang alik
dengan jarak yang agak jauh untuk ke tempat kerjanya di Bandar. Seminggu
selepas melahirkan, bahagian ari-ari Rohani terasa amat sakit dan
berdenyut-denyut. Sebelum hari itu, dia telah merasakannya tetapi dia masih
mampu bertahan. Ibunya hanya menyuruhnya memakan ubat-ubat yang dibekalkan oleh
pihak hospital kerana merasakan itu adalah sakit biasa selepas melahirkan.
“Mak,
kenapa Ani rasa sakit sangat bahagian ari-ari ni? Rasa macam ada sesuatu di
dalamnya. Berdenyut-denyut Ani rasa.” keluh Rohani ketika selesai menyusukan
anaknya. Dia tidak dapat duduk dengan tenang kerana sakit yang dirasainya.
“Biasalah
tu Ani. Nanti bila mak bidan datang berurut, baiklah tu. Mungkin darah ketul
masih ada. Tapi bila dah berurut, keluarlah darah tu.” Jawab Mak Kiah sambil
membetulkan lampin Rahmani.
“Tapi
Ani rasa sakit sangat. Boleh tak jika Ani pergi klinik untuk buat pemeriksaan?”
tanya Rohani dengan wajah yang berkerut.
“Tak
payahlah. Nanti menyusahkan Zain saja. Dahlah sampai rumah pun lepas masuk
Maghrib, nanti nak ke klinik tentu penat dibuatnya.”
Rohani
terdiam mendengar kata-kata ibunya. Dia tahu suaminya seringkali kepenatan
apabila tiba di rumah. Di dalam hatinya mengakui kebenaran kata-kata ibunya.
Terbit rasa simpati kepada suaminya. Rohani tahu, Zain ringan tulang membantunya
menjaga Rahmani di waktu malam. Ada ketika, Zain akan menyalin lampin anaknya
tanpa mengejutkan Rohani.
“Tak
mengapalah jika begitu. Ani akan tunggu Mak Bedah datang berurut esok.”
Mak
Kiah menganggukkan kepalanya. Dia menepuk-nepuk lembut punggung Rahmani untuk
menidurkan cucunya itu. Setelah Rahmani tertidur, Mak Kiah melangkah keluar
dari bilik Rohani. Dia sempat membetulkan selimut Rohani yang tertidur akibat
keletihan. Bibir Mak Kiah mengorak senyum. Kasih pada anak bongsunya itu tidak
dapat digambarkan dengan kata-kata. Dia terlalu menyayangi Rohani kerana sikap
Rohani yang tidak pernah membantahnya. Malah Rohani terlalu baik dan lemah
lembut.
“Mak
sayangkan Ani.” Kata Mak Kiah lalu mengucup lembut dahi anaknya. Hatinya terasa
bahagia dan bangga dengan kehadiran cucu dari rahim Rohani. Dia berharap
cucunya nanti akan mengikut perangai ibunya. Seorang anak dan isteri yang
solehah.
Pada
malam itu, Rohani mengalami demam panas. Sakit pada ari-arinya makin terasa
perit. Sesekali Rohani menangis menahan kesakitan.
“Ani,
abang rasa baik kita ke hospital daerah untuk buat pemeriksaan.” Wajah Zain
jelas cemas melihat keadaan isterinya.
“Marilah
kita pergi. Sakit ni rasa tak tertahan lagi. Macam ada sesuatu dalam perut Ani
ni. Nak pegang pun rasa sakit.” Adu Rohani dengan wajah berkerut-kerut.
“Hish!
Tak payahlah nak pergi malam-malam ni. Kalau sakit, makan saja panadol tu.
Biasalah sakit lepas bersalin. Mak pun dulu sakit juga pada bahagian rahim.
Tapi lepas berurut, tak apa-apa dah.” Mak Kiah cuba menghalang lagi.
“Tapi
mak, Ani nampak pucat sangat. Demam pula tu. Zain takut sakitnya melarat nanti.
Lebih baik Zain bawa ani ke hospital daerah untuk buat pemeriksaan.”
“Nak
pergi hospital tu malam-malam buta begini? Mana ada doktor nak layan kita?” Mak
Kiah masih membantah cadangan tersebut.
“Biarlah
Zain bawa Ani, Kiah. Pucat benar wajah Ani, aku tengok.” Pak Ishak tiba-tiba
bersuara. Dia juga tidak merasa senang dengan sikap isterinya yang keras kepala
walaupun melibatkan soal kesihatan anak mereka sendiri.
“Nak
bawa sangat, pergilah! Tapi jangan menyesal pula. Dah ke sana tak ada siapa nak
layan. Malam-malam begini tentu misi
pun tak mau buat kerja.” Mak Kiah berprasangka berdasarkan cerita-cerita
negatif yang didengarinya tentang kati tangan hospital daerah itu. Terdapat
beberapa kes kecuaian yang berlaku di hospital tersebut. Tetapi kebanyakan kes
tidak dipanjangkan menyebabkan kaki tangan yang terlibat terlepas dari tindakan
disiplin.
Akhirnya
Rohani dibawa ke hospital daerah di mana dia melahirkan anaknya itu. Dia
dimasukkan ke wad kecemasan. Di dalam wad tersebut terdapat beberapa kes lain
yang menunggu. Disebabkan itu, Rohani hanya terbaring menahan kesakitan di
katil pesakit. Hingga ke pagi baru keadaannya diperiksa. Dia menjalani x-ray
dan doktor mendapati terdapat segumpal kapas yang tertinggal di dalam rahim
Rohani. Kemungkinan kapas tersebut digunakan untuk menahan pendarahan pada
rahim Rohani dan ianya tidak habis dikeluarkan oleh jururawat bertugas.
Berita
itu benar-benar mengejutkan Zain dan mereka sekeluarga. Kebimbangan jelas
terpancar di wajah Zain. Zain terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menemani
Rohani di hospital tersebut. Setelah berbincang, Rohani disarankan dirujuk ke
Hospital Besar yang terdapat di Bandar. Seboleh mungkin Zain ingin membawa
Rohani ke hospital tersebut. Tetapi kedua-dua pemandu ambulan yang bertugas
ketika itu telah keluar untuk mengambil pesakit yang terlibat di dalam
kemalangan jalan raya. Zain terpaksa menunggu dengan resah.
“Ani,
sabarlah sayang. Sekejap lagi apabila ambulan sampai, kita ke Hospital Besar.
Ani perlu dibedah segera bagi mengeluarkan kapas yang tertinggal. Doktor cakap,
takut dah jadi keracunan di dalam rahim Ani. Abang harap Ani dapat bertahan.”
Zain menggenggam tangan Rohani seeratnya. Dia takut memikirkan keadaan
isterinya yang semakin lemah.
“Abang,
Ani rasa sakit sangat seluruh badan Ani. Jika Ani tak dapat bertahan, abang
tolonglah jaga anak kita Rahmani dengan sebaik-baiknya. Ani harap abang akan
sayangi Rahmani dan tidak mengabaikannya.” Tutur Rohani dalam kepayahan.
“Jangan
kata begitu sayang. Abang nak Ani pulih seperti sedia kala dan hidup bahagia di
samping abang. Abang tak mahu Ani fikir yang bukan-bukan. Abang yakin, Ani akan
selamat,” kata Zain menahan sebak di hati. Diciumnya dahi Rohani untuk memberi
perangsang kepada isterinya.
Rohani
tersenyum memandang Zain. Mak Kiah yang ada di sisi Rohani telah menangis
kerana menyesali sikapnya yang telah melarang anaknya membuat pemeriksaan sejak
hari mula Rohani mengadu kesakitan. Jika dia bertindak lebih awal, tentu
keadaan Rohani tidak selemah itu. Mungkin masalah yang dihadapi oleh Rohani
dapat diketahui lebih awal. Tetapi apa guna? Menyesal dahulu pendapatan,
menyesal kemudian nyawa Rohani menjadi taruhan.
“Mak,
janganlah sedih. Mak tolonglah jaga Rahmani bila abang Zain ke tempat kerja.
Mak jangan risaukan Ani. Ani tak apa-apa. Cuma Ani harap mak ampunkan dosa Ani
dan halalkan makan minum Ani selama ini. Ani banyak buat dosa pada mak.” Rohani
memegang tangan ibunya.
“Ani,
mak halalkan segalanya. Mak ampunkan dosa-dosa Ani walaupun mak tahu Ani tak
berdosa pada mak. Mak minta maaf pada Ani. Jika mak tak berkeras melarang Ani
tentu dah lama Ani tahu masalah ni. Mak menyesal. Mak harap Ani akan selamat
dan mak doakan agar Ani cepat sembuh.” Mak Kiah menyeka deraian air matanya.
“Ayah,
ampunkan Ani, ayah.” kata Rohani kepada Pak Ishak.
Pak
Ishak yang berusaha menahan air matanya turut menangis mendengar kata-kata
Rohani. Dia dapat merasakan seoalah-olah Rohani sedang mengucapkan kata-kata
terakhir buat mereka semua.
“Ayah
ampunkan Ani. Ayah juga nak minta maaf pada Ani kerana gagal membawa Ani lebih
awal ke sini.”
Rohani
menggelengkan kepalanya. “Ayah tak salah, malah sesiapa pun tak salah. Mungkin
takdir Ani begini.”
Wajahnya
masih tersenyum walaupun jelas kelihatan dia sedang menanggung kesakitan yang
mencengkam. Zain tidak putus-putus berdoa kepada Allah untuk keselamatan
isterinya. Hatinya menjerit pilu melihat keadaan isterinya itu.
“Abang,
ampunkan segala dosa Ani. Halalkanlah makan minum Ani.”
“Ani,
abang halalkan segalanya. Abang redha dan ampunkan kesalahan Ani terhadap abang
walaupun abang tahu Ani tak pernah buat salah pada abang.”
“Terima
kasih. Abang, izinkan Ani melihat puas-puas wajah abang. Ani harap jodoh kita
masih ada hingga ke akhirat nanti.” Rohani berkata sambil matanya menatap wajah
suaminya.
Hati
Zain makin sebak mendengar pemintaan isterinya itu. Tiada kata yang terkeluar
dari mulutnya. Dia turut memandang wajah isterinya yang tersenyum manis. Air
mata Zain gugur makin deras. Perlahan-lahan Rohani menutup matanya.
“Ingat
Allah, sayang.” Bisik Zain dalam linangan air mata.
Zain
membisikkan kalimah Allah di telinga isterinya. Dia yakin Rohani masih
mendengar dan mengikut kata-katanya. Zain menggenggam erat tangan Rohani. Sejuk
tangan isterinya ketika itu. Berkali-kali Zain mencium tangan isterinya. Pak
Ishak segera mendapatkan jururawat bertugas untuk menolong mereka. Jururawat
segera datang dan kemudiannya memanggil doktor bertugas. Doktor memeriksa
keadaan Rohani.
“Maafkan
kami. Kami dah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan anak pak cik dan
isteri encik. Tapi kuasa Allah tiada siapa dapat menghalang. Rohani telah pergi
baut selama-lamanya. Maaf sekali lagi.” Ucap doktor wanita dengan nada yang
sugul.
Mak
Kiah yang mendengar perkhabaran tersebut jatuh terduduk di lantai. Jika tidak
kerana Pak Ishak yang memegangnya tentu badannya telah terhempas. Zain tetap
memandang wajah isterinya yang kelihatan tenang seolah-olah sedang tidur
nyenyak. Hatinya terpaksa merelakan perpisahan itu walaupun dengan berat hati.
“Waaaa...
kenapa kau cerita kisah sedih ni?” tanya Suraya sambil menarik tisu di atas
meja.
Mira
yang ingin mencapai sehelai tisu agak terkejut. Habis tisu sekotak dikerjakan
oleh Suraya dan Maisarah. Bergumpal-gumpal tisu lembab di letakkan di atas
meja.
“Wei!
Pengotorlah kau berdua ni. Tisu yang ada hingus pun kau orang letak di sini.
Buanglah!” kata Mira sambil menyeka air mata dengan lengan bajunya.
“Siapa
suruh kau cerita yang sedih-sedih? Tengok, habis semua dah menangis,” kata
Maisarah.
“Aku
tak suruh menangis pun. Aku cuma cerita kisah benar yang terjadi pada sepupu
aku. Aku harap jika kita mengalami masalah macam arwah Ani cepat-cepatlah ke
hospital. Jangan bertangguh bila rasa sakit. Kadangkala pengalaman seseorang
tak sama dengan kita. Contohnya macam Mak Kiah, Mak Ngah aku tu. Dia sangka Ani
sakit ari-ari yang biasa saja macam yang pernah dia alami. Tapi dia tak tahu
kecuaian manusia telah mengakibatkan Ani mengalami keracunan di dalam
darahnya.”
“Ya.
Kita perlu beringat. Tapi kalau dah ajal, buat macam mana pun meninggal juga.”
Suraya memberi pendapat.
“Jodoh
pertemuan, ajal maut di dalam kekuasaan Allah. Kita hanya mampu mendoakan yang
terbaik buat kita.” Maisarah menyambung pula.
“Jadi,
macam mana? Jadi tak kau buatkan novel tentang kisah Ani ni?” tanya Mira.
“Insya
Allah, jadi. Nanti aku nak jumpa Zain untuk dapatkan cerita yang lebih detail
lagi. Cuma aku harap Zain mahu ceritanya diabadikan di dalam novel.”
“Aku
rasa dia boleh beri kerjasama. Nanti bila dapat royalti, kau berilah pada dia
sikit.”
“Itu
sudah tentu. Janji dia setuju, soal royalti boleh bincang.”
Suraya
pamer wajah gembira. Projek novelnya pasti berjaya. Mungkin boleh menjadi best
seller jika dia berjaya mengolah cerita itu dengan baik. Namanya pasti akan
menjadi sebutan ramai. Suraya tersenyum bangga.
“Hoi!
Sudahlah tu berangan sikit-sikit. Hari dah lewat malam ni. Jom masuk tidur.
Esok nak kerja,” sergah Mira membuat senyuman Suraya mati tiba-tiba.
“Ya
la. Tak boleh nak angan-angan sikit. tapi jangan lupa, kenalkan aku dengan
Zain.”
“Baiklah,
mem! Aku harap lepas aku kenalkan Zain, dapatlah si Rahmani mak baru. Kesian
budak tu, dah hampir 3 tahun maknya meninggal.”
“Aku
jadi mak Rahmani?”
“Ya,
apa salahnya? Kau pun belum berpunya. Eloklah kau cuba, mana tahu sangkut.”
Mira tersenyum lebar.
“Banyaklah
kau punya sangkut. Aku tak harap semua tu. Aku cuma nak jumpa dia untuk dengar
sendiri kisah dia yang mengharukan hati aku. Lagi pun kau juga yang bagi
cadangan untuk aku. Jadi jangan fikir yang bukan-bukan.” Suraya mempamerkan
wajah cemberut.
Mira
hanya tersenyum sambil melangkah menuju ke biliknya. Di dalam hatinya tetap
berdoa agar Zain akan mendapat pengganti Rohani suatu hari nanti. Dia tahu Zain
tidak pernah bersetuju untuk berkahwin lain semata-mata untuk menjaga Rahmani.
Bagi Zain, Rahmani adalah segala-galanya buat dirinya. Cintanya pada Rohani
tetap kukuh dan tidak pernah hilang. Kasih mereka tetap abadi walaupun tidak
bersama lagi.
sumber gambar: encik google.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan