Pengikut

Isnin, 22 September 2014

Tergolek Hatiku Kerana Kamu - bab 4



“Assalamualaikum!" Salam yang diberi, mengejutkan aku dan Israr daripada lena. Mataku celik luas untuk melihat lelaki yang bersuarau garau di hadapan kami. Israr menjawab salam sambil membetulkan duduknya.
“Saudara buat apa kat sini?” tanya lelaki yang berbaju Melayu dan berkopiah.
“Maafkan kami. Kami dalam perjalanan balik kampung. Sebab letih, kami tumpang rehat kat sini. Cadangnya nak bertolak lepas solat subuh,” terang Israr sambil bangun untuk bersalaman dengan lelaki itu.
“Takpe. Ini rumah Allah. Sesiapa pun boleh tumpang rehat.”
“Terima kasih. Boleh tak saya dan isteri tumpang mandi kat sini?”
“Boleh. Dipersilakan.”
Israr mengambil beberapa keping wang kertas lalu diberi kepada lelaki itu sebagai sumbangan untuk masjid. Lelaki yang merupakan siak masjid mengucapkan terima kasih dan berlalu dari situ.
“Kenapa awak asyik mengaku saya isteri awak?”
“Bukan ke Ku Kiesha tahu sebabnya? Kenapa tanya lagi?” Israr tersenyum.
“Oh, lupa! Kalau awak mengaku saya isteri awak, orang akan kasihan dan sudi bantu. Tapi kalau mereka tahu awak takde apa-apa hubungan dengan saya, mesti pandangan mereka berbeza. Silap-silap awak dianggap nak larikan saya pulak.” Aku cuba tersenyum tetapi terasa hambar.
“Pergilah mandi. Lepas siap nanti sertai jemaah lain solat subuh,” arah Israr, lembut.
Aku tunduk melihat kakiku. Malu apabila perlu berterus terang.
“Awak kata tahu semua tentang saya, kan?”
“Ye.” Israr mengerutkan dahinya, hairan.
“Jadi awak tahu yang saya tak pernah solat dan tak tahu macam mana nak solat.”
“Abang tahu dan abang harap Ku Kiesha nak belajar. Peringkat mula, ikut je apa yang imam buat. Lihat makmum kat sebelah. Kalau mereka sujud, Ku Kiesha sujud la. Kalau tak tahu nak baca apa, ikut je bacaan imam. Buat macam budak-budak yang baru belajar.” Israr tersenyum sambil memandang wajahku yang nampak serba salah.
"Boleh ke macam tu? Saya takut berdosa, macam saya main-main pulak. Saya malu dengan Allah sebab saya tak pernah sujud kepada-Nya."
"Ku Kiesha baru nak belajar, jadi kalau salah tu dimaafkan. Bila Ku Kiesha takut dosa bermakna hati Ku Kiesha dah mula nak berubah. Jangan fikirkan sangat soal lain. Buat dulu, nanti bila kita dah sampai tempat selamat, abang akan ajar Ku Kiesha"
Hatiku tersentuh dengan kata-katanya.
"Awak, saya minta maaf sebab berkasar dengan awak semalam. Saya jugak nak ucapkan terima kasih sebab selamatkan nyawa saya."
"Dah kewajipan abang. Pergilah mandi. Tak lama lagi dah nak masuk subuh. Nanti tak sempat pulak Ku Kiesha nak siap."
"Baiklah."
Aku ambil beg sandang dan berlalu ke tandas wanita. Terkejut aku melihat keadaan di situ. Kotor dan menjijikkan. Hampir termuntah aku dibuatnya apabila pintu tandas pertama kutolak. Mangkuk tandas dipenuhi najis. Segera pintu tandas aku tutup. Aku berlari keluar dengan menekup mulut dan hidung.
"Wekk!" Aku termuntah di longkang.
Hairan aku dengan sikap orang yang mengaku Islam. Islam menitikberatkan kebersihan tetapi tandas masjid pun kotor, tidak terjaga. Belum lagi di tempat lain. Mana penghayatan tentang kebersihan dalam Islam? Tak seperti di negara Barat. Tandas mereka bersih, padahal mereka bukan Islam. Tapi aku yakin bukan salah Islam, tapi salah orang yang tak mengamalkannya.
"Kenapa Ku Kiesha?"
Aku menoleh dan terlihat Israr yang sudah berkain pelikat, memandangku dengan kehairanan.
"Err... tandas tu kotor sangat. Termuntah saya. Kalau saya tak mandi, boleh kan? Lagipun saya takde tuala. Semua pakaian saya ada dalam kereta Azni. Dalam beg sandang ni pun ada barang peribadi dan penjagaan diri je." Aku beralasan.
"Seeloknya, Ku Kiesha mandi supaya segar badan. Kalau takde tuala, Ku Kiesha ambil ni." Israr memberi tuala di tangannya.
"Err... takpelah. Saya tak biasa guna tuala orang lain. Biar saya basuh apa yang patut. Bila sampai nanti, baru saya mandi."
"Ikut suka Ku Kiesha. Abang hanya nasihat."
Israr bergegas ke tandas lelaki, meninggalkan aku yang masih teragak-agak di situ. Pundi kencing terasa tepu. Mundar-mandir aku berkawad di hadapan tandas, berusaha untuk tahan. Tetapi, aku tahu aku tidak mampu menghalangnya. Benteng pertahananku seakan hilang. Bila-bila masa boleh terkeluar.
Aku memasuki tandas itu semula dan menghampiri tandas kedua. Aku nekad, jika tandas itu pun tak boleh digunakan, aku akan kencing di tempat wuduk. Gasaklah, asal aku tidak terkencing dalam seluar. Apabila pintu tandas terbuka, aku tarik nafas lega. Tandas itu agak bersih. Walaupun masih ada rasa tidak selesa, aku biarkan sahaja. Air di pundi kencingku sudah mulai memberi isyarat terakhir untuk keluar.
Secara ala kadar aku membersihkan diri. Aku keluar menuju tempat berwuduk. Cuba berwuduk, tetapi aku gagal mengingati cara berwuduk yang pernah Inspektor Azni lakukan. Terasa kesal sebab tidak belajar. Walaupun ada keinginan untuk bertanya Inspektor Azni, tetapi aku pendamkan sahaja. Malah, ajakan Inspektor Azni untuk bersolat, aku pandang sepi. Lama aku renung paip air di ruang berwuduk. Akhirnya aku give-up.
'Ah, kenapa aku nak ikut cakap dia? Aku tak kenal dia. Dia mengaku kerja dengan ayahanda tapi ayahanda tak pernah kata apa-apa pun. Nama penuh dia pun aku tak tau. Jangan-jangan orang jahat yang menyamar tak?' Hati mula dipengaruhi bisikan syaitan. 'Tapi, dia dah bersusah payah selamatkan aku. Tak mungkin dia berniat jahat. Nampak baik je tu. Solat jugak. Orang jahat mana nak solat?' Akalku berperang dengan hati.
Akhirnya aku keluar dari tandas setelah azan berkumandang. Aku teragak-agak untuk memasuki ruang solat wanita. Separuh hatiku terasa ingin menurut saranan Israr. Belajar solat walaupun lebih kepada mengikut perlakuan imam. Separuh lagi melarang dengan alasan wudukku tidak sempurna kerana tidak pasti turutan berwuduk yang betul.
"Masuklah kalau nak solat." Terdengar suara perempuan menegurku dari belakang.
Aku menoleh dan memberikan senyuman kepada dua orang wanita yang lengkap bertelekung. Aku menggelengkan kepalaku. Mereka membalas senyumanku dan masuk ke dalam masjid. Mungkin pada anggapan mereka, aku uzur syaraie.
Aku berjalan menuju ke motosikal Israr. Vest kalis peluru serta jaket kulit terletak elok di atas motosikal. Vest berlubang tetapi tidak tembus. Jari-jemariku menyentuh bahagian yang berlubang itu.
"Kalau aku ikut keras kepala tak mahu pakai vest ni masa Azni suruh, mesti aku dah arwah. Nasib baik Azni bertegas. Aku dah kehilangan bodyguard dan kawan yang baik. Kalau aku tahu siapa dalang di sebalik semua ni, aku tak akan lepaskan. Aku tak akan maafkan dia. Dia dah buat aku hilang orang-orang yang aku sayang." Aku bermonolog. Wajahku sugul sesugulnya.
Aku duduk di bangku batu berhampiran motosikal. Mataku terpandang ke arah pintu masuk ruang solat. Mendengar bacaan yang dialunkan oleh imam membuat hatiku sayu. Tanpa sedar air mata mengalir di pipi. Ingatanku mengimbau hari terakhir aku melihat ayahanda dan bonda.
"Kiesha, ayahanda harap Kiesha berubah. Jangan pergi parti dan bergaul dengan orang-orang yang tak tentu pegangan agama mereka. Hiduplah sebagai seorang Islam yang patuh pada suruhan Allah. Hidup kita hanya sementara, Kiesha. Bertaubatlah selagi belum sampai ajal."
"Ayahanda, Kiesha muda lagilah. Belum masa nak mati. Nanti bila Kiesha dah tua, Kiesha taubatlah. Pada Kiesha, berkawan dengan orang bukan Islam lebih baik daripada yang Islam. Ramai Melayu yang Kiesha jumpa, hipokrit. Suka ambil kesempatan atas kedudukan dan kekayaan kita. Ayahanda pun tahukan, apa lelaki Melayu tu dah buat pada Kiesha? Tabur cinta murah. Lepas tu tinggalkan Kiesha. Kawan-kawan Kiesha yang bukan Islam ni lebih jujur dan tak ambil kesempatan. Mereka sentiasa ada waktu untuk Kiesha."
"Bonda tak mahu Kiesha terus sesat dan terpengaruh dengan mereka. Kiesha boleh berkawan, tapi berpada-padalah. Jangan ikut kesesatan hanya kerana marahkan Raja Azrin. Ramai lagi lelaki Muslim yang sesuai buat Kiesha." Bonda memegang tanganku bagi memujuk.
"Bonda, Kiesha dah besar. Dah tahu mana yang baik buat Kiesha. Bonda tak payah risaukan Kiesha. Kiesha tahu jaga diri." Nadaku tetap keras.
"Jaga diri dengan berpeleseran bersama lelaki? Tu yang Kiesha kata tahu jaga diri? Ayahanda takut suatu hari nanti Kiesha dirosakkan oleh mereka pulak. Paling ayahanda takut, Kiesha terpengaruh dengan cara hidup mereka. Nauzubillahiminzalik." Ayahanda menggeleng-geleng bimbang dengan kenyataan tersebut.
"Apa ayahanda merepek ni? Kiesha nak ke parti Jenny je. Bukan nak masuk agama mereka. Sejahil-jahil Kiesha, Kiesha takkan ikut agama mereka. Pada kami, urusan agama bukan perkara pokok. Ikut agama ke tak, sama je. Bukan Kiesha seorang yang minum arak, ramai lagi yang buat macam tu. Lagipun Kiesha tak berzina dengan mereka walaupun Kiesha sedar ada antara mereka yang buat." Suaraku mulai meninggi.
"Kiesha, tolonglah dengar nasihat ayahanda dan bonda. Kiesha seorang je anak kami. Kiesha adalah amanah buat ayahanda dan bonda. Ayahanda tahu selama ni, ayahanda dan bonda terlalu manjakan Kiesha. Segala kemahuan Kiesha kami turut. Kami takut nak tegur Kiesha bila Kiesha buat salah. Ayahanda sedar, hidup kita selama ni jauh dari agama. Kita lalai dalam laksanakan perintah dan larangan Allah. Tapi ayahanda bersyukur sebab diberi kesempatan bertaubat. Ayahanda harap Kiesha berubah. Kembalilah kepada agama kita, Kiesha. Kembalilah sebelum terlambat," pujuk ayahandaku, lembut.
"Kiesha tak mahu! Kalau ayahanda dan bonda nak berubah, silakan. Jangan libatkan Kiesha kalau ayahanda dan bonda tak nak kehilangan Kiesha," ujarku separuh mengugut. Aku berdiri untuk berlalu dari situ.
"Kiesha! Kenapa kurang ajar sangat ni? Bonda dan ayahanda tak pernah ajar Kiesha tinggikan suara masa bercakap. Sejak Kiesha belajar kat England, sikap Kiesha makin teruk. Bila tegur, terus mengamuk dan tinggikan suara. Kiesha nak jadi apa hah?" Bonda sudah tidak dapat mengawal kemarahannya. Siapa yang suka jika anak kesayangan mulai bersikap biadap? Tentu bonda dan ayahanda tidak boleh menerimanya.
"Bonda pun sama dengan ayahanda. Suka kongkong dan larang yang bukan-bukan. Kiesha nak pergi dari sini. Kiesha tak mahu tengok bonda dan ayahanda lagi. Kiesha harap bonda dan ayahanda tak cari Kiesha."
"Kiesha!"
Ayahanda yang marah menampar pipiku. Aku tergamam. Tidak aku sangka ayahanda kesayangan akan bertindak begini. Selama ini ayahanda tidak pernah mencuit apatah lagi menjentikku. Tetapi, hari ini ayahanda telah menampar mukaku. Pipiku terasa pijar. Sakit di pipi tidak sesakit rasa di hati.
"Kiesha benci ayahanda dan bonda! Kiesha tak kan balik rumah ini lagi. Selamat tinggal ayahanda dan bonda. Selamat tinggal buat selamanya!" Keras nada suaraku. Membantah dan tunjuk keras kepala.
Aku capai kunci kereta lalu berlari keluar. Pintu kereta aku buka kasar. Enjin dihidupkan. Berderam bunyinya. Tiada air mata yang mengalir di pipi. Aku keraskan hati sekeras tembok batu. Enggan kalah dengan ayahanda dan bonda. Pantas aku undurkan kereta. Melalui cermin pandang belakang, aku lihat bonda dan ayahanda memanggil sambil melambai tangan. Bonda jatuh tersepuk dengan linangan air mata. Ayahanda menanggalkan cermin mata, mengesat air mata yang berjurai.
"Ku Kiesha!"
Panggilan itu mengejutkan aku daripada kenangan lalu. Aku lihat wajah tenang di hadapanku. Mungkin kesan wuduk.
"Ku Kiesha tak solat?"
Aku geleng.
"Hmm... takpelah. Lepas ni, abang nak Ku Kiesha belajar. Jangan malu kalau tak tahu. Yang penting, Ku Kiesha kena taubat dan berubah."
"Kiesha nak taubat dan berubah. Kiesha berdosa dengan bonda dan ayahanda. Kiesha risau bonda dan ayahanda tak maafkan Kiesha. Kiesha kesal sebab berkasar dan keluar rumah hari tu. Kalau semua ni tak berlaku, tentu Kiesha terus hanyut. Betul kata ayahanda, bila bercampur dengan mereka, sikit sebanyak mereka cuba pengaruhi Kiesha. Benjy pernah pujuk Kiesha ikut agama dia. Tapi Kiesha tolak sebab pada Kiesha agama tak penting. Orang takde agama pun hidup macam orang lain. Makan pakai, kahwin, hidup senang dan tak perlu fikir soal halal haram. Semuanya boleh buat."
Israr melihat aku menangis. Dia hanya membiar aku meluahkan apa yang terbuku di hati.
"Kiesha betul-betul bodoh, hanyut dalam keseronokan dunia. Kiesha fikir umur muda untuk berhibur. Bila dah tua nanti, baru bertaubat. Tapi Kiesha lupa ajal maut di tangan Tuhan. Bila-bila masa Allah boleh ambil. Inspektor Azni pun muda lagi. Tapi Allah ambil nyawa dia ketika dia ada atas badan Kiesha. Mesti terlalu sakit kematian dia sedangkan dia tak tinggal solat. Kiesha pulak derhaka pada Allah, pada bonda dan ayahanda. Mesti lebih dahsyat kematian Kiesha. Kiesha tak nak mati lagi, Israr. Kiesha nak bertaubat. Tolonglah Kiesha, Israr."
Israr tersenyum gembira mendengar pengakuanku untuk bertaubat dengan rela hati.
"Ku Kiesha jangan bimbang. Tu dah tugas abang." Israr duduk mencangkung di sebelahku seperti memujuk. Tanpa paksa, aku menukar ganti nama diri kepada yang lebih sopan. Mungkin kerana aku telah selesa dengan Israr. Cuma aku masih tak mampu memanggilnya abang.
"Jom kita gerak sekarang. Lagi cepat kita keluar dari sini, lagi cepat kita sampai."
Kami sama-sama berdiri dan mengambil topi keledar. Israr menghulur vest kalis peluru kepadaku.
"Kalau Kiesha tak pakai, boleh tak?"
"Pakailah. Untuk keselamatan Ku Kiesha jugak. Kalau Ku Kiesha tak nak buka baju tu, sarungkan je kat atas. Lepas tu, Ku Kiesha pakai jaket ni." Israr menunjukkan jaket kulitnya.
Aku mengikut saranan Israr. Israr membutangkan vestku dan kemudian menyarungkan jaket ke tubuhku. Zip ditarik hingga ke atas. Aku hanya membiar segala perbuatan Israr. Hatiku seolah senang dengan layanan Israr. Tangan Israr pantas mengambil topi keledar lalu diletakkan di kepalaku. Mataku asyik merenung Israr ketika Israr mengikat tali topi keledar di daguku. Terlintas di minda, aku pernah melihat Israr sebelum ini, tapi di mana aku tidak pasti. Israr menjongketkan keningnya kepadaku.
"Kenapa renung abang macam tu? Ada apa-apa yang Ku Kiesha nak kata?"
Aku yang tersedar segera melarikan anak mata. Malu menerpa ke muka apabila tertangkap sedang khayal memerhati raut wajahnya.
"Err... takde apa-apa. Kiesha cuma tertanya, siapa awak yang sebenarnya?"
Israr mengetuk-ngetuk topi keledar di kepalaku. "Ku Kiesha akan tahu jugak nanti. Sabarlah, ye sayang." Wajahnya ceria.
Tergamam aku mendengar panggilan sayang yang diucapkan Israr. Bergetar hatiku mendengar lantunan suara Israr yang seakan menggoda. Aku memandang bibirnya yang masih terukir senyuman yang penuh rahsia. Senyuman yang membawa aliran dingin ke lubuk jantungku dan dipamkan ke seluruh pembuluh darah. Segar dan menyamankan. Perasaan yang pernah aku rasai suatu ketika dahulu, saat mencintai Raja Azrin Shah.
"Naiklah. Takkan abang nak dukung Ku Kiesha pulak."
Teguran Israr yang berada di atas motosikal membuatkan aku tersipu malu. Segera aku menaiki motosikal dengan senyuman di bibir.

Rabu, 3 September 2014

Tergolek Hatiku Kerana Kamu - Bab 3



Aku mengambil beg sandang dan bergerak ke arah motosikal. Ketika aku memakai topi keledar, hujung mataku tertangkap sebuah motosikal berkuasa tinggi sedang bergerak laju dari arah kiriku. Tiba-tiba aku terdengar suara Israr menjerit.
“Ku Kiesha, meniarap!”
Aku menoleh melihat Israr berlari ke arahku. Serentak dengan itu beberapa das tembakan mengenai tubuhku sebelum aku sempat berbuat apa-apa. Aku jatuh terlentang. Israr cuba mengejar dan menembak penunggang motorsikal yang melepaskan tembakan, tetapi mereka sempat melarikan diri. Keadaan menjadi gempar seketika. Israr menyimpan pistol dan mendekati diriku yang masih terbaring.
Mataku pejam rapat. Fikiran terawang-awang. Realiti dan fantasi seolah bersatu. Suasana hening bagai tiada sesiapa di sisi. Di penjuru kananku, terbentuk cahaya terang. Wajah-wajah kaku bonda dan ayahanda terlakar. Pucat tanpa senyum memandang tepat ke wajahku. Tanpa bicara, tetapi aku tahu mereka kecewa. Aku melihat keadaan ayahanda paling menyedihkan. Pakaiannya bercompang-camping, kotor dan buruk. Luluh terasa hatiku. Aku berlari sambil menghulurkan tangan, cuba mencapai tubuh mereka. Tetapi mereka semakin menjauh.
“Bonda! Ayahanda!”
Aku ingin mengejar tetapi tubuhku tidak mampu digerakkan. Seolah sistem tubuhku telah lumpuh. Lemah dan tak berdaya.
“Ku Kiesha!”
Tubuhku terasa digoncang berkali-kali. Suara memanggil namaku kuat menerobos telinga. Perlahan-lahan aku membuka kelopak mata. Wajah Israr yang paling dekat dalam pandangan kaburku.
“Shh... tenangkan diri. Ku Kiesha selamat.”
Aku masih kebingungan dan menangis teresak-esak. Air mata berjuraian di pipi. Tubuhku menggigil, luar kawalan. Aku berpaut pada lengan Israr apabila kewarasan fikiranku kembali.
“Kiesha takut.” Terlontar kata-kata itu dalam senduku.
Ya, benar aku memang takut. Takut kalau aku mati dan tidak sempat bertaubat. Bayangan bonda dan ayahanda sebentar tadi amat terkesan di hati. Adakah ayahanda paling ‘miskin’ berbanding bonda di sana?
Mungkin juga kerana ayahanda adalah ketua keluarga. Ketua yang menanggung dosa anak perempuan dan isterinya. Apatah lagi ayahanda tidak pernah melarang aku dan bonda melakukan perkara-perkara yang tersasar daripada hukum agama. Malangnya ayahandaku.
“Jangan takut. Abang akan lindungi Ku Kiesha, walau nyawa abang melayang.”
Aku terdengar Israr membahasakan dirinya sebagai abang. Tetapi aku tidak peduli. Mungkin dia anggap aku sebagai adiknya yang perlu dilindungi.
“Encik, perlu tak kami hubungi polis atau ambulans?” tanya tuan punya kedai makan.
Aku baru sedar yang kami sedang dikelilingi oleh beberapa orang pelanggan dan tuan punya kedai makan. Mereka memerhatikan kami dengan penuh tanda tanya.
“Err... takpe. Isteri saya selamat.”
Tangan Israr pantas membantu aku untuk bangun. Terkejut aku mendengar pengakuan Israr tetapi aku berlagak biasa. Tidak mahu pembohongan itu terkesan oleh mereka yang sedang melihat aksi kami berdua.
“Tadi orang tu tembak kena badan dia kan? Jaket tu pun berlubang,” tanya salah seorang daripada pelanggan.
 “Dia pakai vest kalis peluru. Okey semua. Kami minta diri dulu. Tolong jangan beritahu arah mana kami pergi sebab takut orang yang nak bunuh isteri saya datang balik.” Israr cuba yakinkan mereka semua.
“Kenapa nak bunuh? Ni mesti anak orang kaya sebab tu banyak musuh,” teka pemilik kedai makan.
Israr hanya tersenyum tanpa komen. Dia menolongku menaiki motosikal dan segera menghidupkan enjin.
“Lebih baik encik guna jalan kampung. Encik jalan je terus ikut tepi sungai. Lepas tu masuk jalan pintas dekat jalan kereta api. Jalan tu boleh tembus ke lebuh raya,” beritahu tuan punya kedai makan sambil menunjuk arah belakang kedainya.
Israr mengucapkan terima kasih dan mengikut saranannya. Berhati-hati Israr menunggang di lorong yang sempit. Setelah melepasi pintasan yang diberitahu, Israr tidak memasuki lebuh raya sebaliknya mengikut jalan kampung. Aku hanya diam di belakang motosikal. Rasa takut masih bersisa dalam hati.
Kami memasuki kawasan masjid dan Israr memarkirkan motosikal di bahagian belakang masjid yang agak tersorok. Aku turun dan duduk di atas tar. Semangatku hilang dengan kejadian sebentar tadi.
“Ku Kiesha, kita rehat dulu kat sini. Esok pagi kita gerak keluar.”
Aku hanya mengangguk lemah. Dia memapahku dan mencari tempat yang lebih sesuai untuk tidur. Aku rentap tangannya daripada menyentuh bahuku bila teringatkan sesuatu. Dia terpinga-pinga seketika.
“Kenapa awak kata saya isteri awak? Apa maksud awak sebenarnya?”
“Jangan marah, Ku Kiesha. Saya nak yakinkan orang yang ada kat kedai makan tu tadi. Kalau mereka percaya kita suami isteri, tentu mereka simpati dan tak bagitau arah kita dekat orang lain. Tengok, kan mereka bantu kita dengan tunjuk jalan lain.”
Aku diam memikirkan kata-katanya.
“Jom cari tempat untuk tidur.”
Aku menurut langkahnya perlahan-lahan. Israr membuka pagar kecil yang terdapat di kaki lima masjid. Kami berdua masuk ke ruang itu. Aku duduk bersandar di dinding masjid. Kami tak dapat memasuki ruang dalam masjid disebabkan pintunya berkunci. Mahu tak mahu, kami terpaksa pilih kaki lima masjid sebagai tempat berehat. Israr bersandar di sebelahku.
Aku lihat sekeliling. Sunyi sepi kawasan masjid. Hanya bunyi cicak yang kedengaran. Lantai simen tempat aku duduk terasa dingin dan lembab. Rasa tidak selesa menyengat hati. Mataku tercari-cari kalau-kalau ada karpet atau hamparan untuk dijadikan alas punggung, namun tiada. Hatiku hampa.