Aku
mengambil beg sandang dan bergerak ke arah motosikal. Ketika aku memakai topi
keledar, hujung mataku tertangkap sebuah motosikal berkuasa tinggi sedang
bergerak laju dari arah kiriku. Tiba-tiba aku terdengar suara Israr menjerit.
“Ku Kiesha,
meniarap!”
Aku menoleh
melihat Israr berlari ke arahku. Serentak dengan itu beberapa das tembakan
mengenai tubuhku sebelum aku sempat berbuat apa-apa. Aku jatuh terlentang.
Israr cuba mengejar dan menembak penunggang motorsikal yang melepaskan
tembakan, tetapi mereka sempat melarikan diri. Keadaan menjadi gempar seketika.
Israr menyimpan pistol dan mendekati diriku yang masih terbaring.
Mataku pejam
rapat. Fikiran terawang-awang. Realiti dan fantasi seolah bersatu. Suasana
hening bagai tiada sesiapa di sisi. Di penjuru kananku, terbentuk cahaya
terang. Wajah-wajah kaku bonda dan ayahanda terlakar. Pucat tanpa senyum
memandang tepat ke wajahku. Tanpa bicara, tetapi aku tahu mereka kecewa. Aku
melihat keadaan ayahanda paling menyedihkan. Pakaiannya bercompang-camping,
kotor dan buruk. Luluh terasa hatiku. Aku berlari sambil menghulurkan tangan,
cuba mencapai tubuh mereka. Tetapi mereka semakin menjauh.
“Bonda!
Ayahanda!”
Aku ingin
mengejar tetapi tubuhku tidak mampu digerakkan. Seolah sistem tubuhku telah
lumpuh. Lemah dan tak berdaya.
“Ku Kiesha!”
Tubuhku
terasa digoncang berkali-kali. Suara memanggil namaku kuat menerobos telinga.
Perlahan-lahan aku membuka kelopak mata. Wajah Israr yang paling dekat dalam
pandangan kaburku.
“Shh...
tenangkan diri. Ku Kiesha selamat.”
Aku masih
kebingungan dan menangis teresak-esak. Air mata berjuraian di pipi. Tubuhku
menggigil, luar kawalan. Aku berpaut pada lengan Israr apabila kewarasan
fikiranku kembali.
“Kiesha
takut.” Terlontar kata-kata itu dalam senduku.
Ya, benar aku
memang takut. Takut kalau aku mati dan tidak sempat bertaubat. Bayangan bonda
dan ayahanda sebentar tadi amat terkesan di hati. Adakah ayahanda paling
‘miskin’ berbanding bonda di sana?
Mungkin juga kerana
ayahanda adalah ketua keluarga. Ketua yang menanggung dosa anak perempuan dan
isterinya. Apatah lagi ayahanda tidak pernah melarang aku dan bonda melakukan
perkara-perkara yang tersasar daripada hukum agama. Malangnya ayahandaku.
“Jangan
takut. Abang akan lindungi Ku Kiesha, walau nyawa abang melayang.”
Aku terdengar
Israr membahasakan dirinya sebagai abang. Tetapi aku tidak peduli. Mungkin dia
anggap aku sebagai adiknya yang perlu dilindungi.
“Encik, perlu
tak kami hubungi polis atau ambulans?” tanya tuan punya kedai makan.
Aku baru
sedar yang kami sedang dikelilingi oleh beberapa orang pelanggan dan tuan punya
kedai makan. Mereka memerhatikan kami dengan penuh tanda tanya.
“Err...
takpe. Isteri saya selamat.”
Tangan Israr
pantas membantu aku untuk bangun. Terkejut aku mendengar pengakuan Israr tetapi
aku berlagak biasa. Tidak mahu pembohongan itu terkesan oleh mereka yang sedang
melihat aksi kami berdua.
“Tadi orang
tu tembak kena badan dia kan? Jaket tu pun berlubang,” tanya salah seorang
daripada pelanggan.
“Dia pakai vest kalis peluru. Okey semua. Kami
minta diri dulu. Tolong jangan beritahu arah mana kami pergi sebab takut orang
yang nak bunuh isteri saya datang balik.” Israr cuba yakinkan mereka semua.
“Kenapa nak
bunuh? Ni mesti anak orang kaya sebab tu banyak musuh,” teka pemilik kedai
makan.
Israr hanya
tersenyum tanpa komen. Dia menolongku menaiki motosikal dan segera menghidupkan
enjin.
“Lebih baik
encik guna jalan kampung. Encik jalan je terus ikut tepi sungai. Lepas tu masuk
jalan pintas dekat jalan kereta api. Jalan tu boleh tembus ke lebuh raya,”
beritahu tuan punya kedai makan sambil menunjuk arah belakang kedainya.
Israr
mengucapkan terima kasih dan mengikut saranannya. Berhati-hati Israr menunggang
di lorong yang sempit. Setelah melepasi pintasan yang diberitahu, Israr tidak
memasuki lebuh raya sebaliknya mengikut jalan kampung. Aku hanya diam di
belakang motosikal. Rasa takut masih bersisa dalam hati.
Kami memasuki
kawasan masjid dan Israr memarkirkan motosikal di bahagian belakang masjid yang
agak tersorok. Aku turun dan duduk di atas tar. Semangatku hilang dengan
kejadian sebentar tadi.
“Ku Kiesha,
kita rehat dulu kat sini. Esok pagi kita gerak keluar.”
Aku hanya
mengangguk lemah. Dia memapahku dan mencari tempat yang lebih sesuai untuk
tidur. Aku rentap tangannya daripada menyentuh bahuku bila teringatkan sesuatu.
Dia terpinga-pinga seketika.
“Kenapa awak
kata saya isteri awak? Apa maksud awak sebenarnya?”
“Jangan
marah, Ku Kiesha. Saya nak yakinkan orang yang ada kat kedai makan tu tadi.
Kalau mereka percaya kita suami isteri, tentu mereka simpati dan tak bagitau
arah kita dekat orang lain. Tengok, kan mereka bantu kita dengan tunjuk jalan
lain.”
Aku diam
memikirkan kata-katanya.
“Jom cari
tempat untuk tidur.”
Aku menurut
langkahnya perlahan-lahan. Israr membuka pagar kecil yang terdapat di kaki lima
masjid. Kami berdua masuk ke ruang itu. Aku duduk bersandar di dinding masjid.
Kami tak dapat memasuki ruang dalam masjid disebabkan pintunya berkunci. Mahu
tak mahu, kami terpaksa pilih kaki lima masjid sebagai tempat berehat. Israr
bersandar di sebelahku.
Aku lihat
sekeliling. Sunyi sepi kawasan masjid. Hanya bunyi cicak yang kedengaran.
Lantai simen tempat aku duduk terasa dingin dan lembab. Rasa tidak selesa
menyengat hati. Mataku tercari-cari kalau-kalau ada karpet atau hamparan untuk
dijadikan alas punggung, namun tiada. Hatiku hampa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan