Pengikut

Ahad, 10 Ogos 2014

Tergolek Hatiku Kerana Kamu - Bab 2



 Israr menghentikan motorsikalnya di tepi belukar. Dia menanggalkan topi keledar setelah turun daripada motorsikal. Mukanya tampak serius dan bengis.
 “Turun sekarang!” jerkahnya.
Aku terkulat-kulat, menurut dengan rasa takut. Kecut perut lihat pandangan matanya yang menikam ke wajahku.
“Kau ingat aku ni apa? Tak boleh ke kau disiplinkan sikit diri tu dan jangan nak goda aku waktu aku menunggang.”
“Eh, bila masa pulak aku goda kau? Aku cuma kesatkan tangan ke baju kau je. Jangan nak perasan sangat. Muka macam mawas. Kau ingat badan kau cukup hebat buat aku tergoda? Tolong sikit, ye. Mamak jual nasi kandar lagi handsome dan macho dari kau. You are not my type!” luahku geram.
Apa yang keluar adalah spontan dan sekadar untuk menyakitkan hatinya. Hilang sudah ganti nama awak dan saya. Malah hilang juga rasa takut kepadanya.
“Dan lagi satu, ambil balik jaket busuk kau ni.”
Aku buka jaket lalu kulempar ke arahnya. Jaket itu tak berbau busuk sebenarnya. Hanya berbau minyak wangi lelaki. Keras dan menusuk hidung. Aku suka bau itu. Sungguh lelaki. Tetapi kerana ego, aku jual mahal. Dia dapat tangkap jaket yang kubaling. Keningnya dijongketkan sedikit. Senyuman sinis terukir di bibirnya.
“Jangan menyesal jika sejuk.”
“Biar aku sejuk dan beku. Jangan harap nak pakai jaket kau yang berbau hapak tu. Berapa tahun kau tak basuh jaket tu? Kalau campak dalam kolam tentu mati semua ikan.”
Dia cium jaket dengan selamba. Mulutnya tersenyum lebar.
“Wangi. Kau ni memang ada masalah hidung gamaknya? Takpe. Kalau kau tak nak pakai, aku pakai. Tapi aku tak mahu kau lekatkan badan kau belakang aku, faham! Jangan goda aku. Aku lelaki normal,” ujarnya dengan wajah yang serius.
“Apa masalah kau hah? Aku dah kata yang aku pening. Kau bawa motor macam mat rempit. Aku takut terjatuh. Tu je. Takde niat nak goda kau, bodoh!”
Mulutku makin menjadi lancang. Pada hal tadi, aku terhutang nyawa padanya. Malah aku tak ucap terima kasih pun kerana selamatkan aku. Sombong betulkan aku?
Aku lihat dia buka kotak barang yang terdapat di hujung tempat duduk motorsikal. Sebotol air mineral dikeluarkan lalu dicampakkan kepadaku. Nasib baik aku sempat sambut. Jika tak, mungkin kena mukaku. Hati mengerutu, marah.
“Basuh muka kau.”
Aku ikut arahannya dengan hati yang mendongkol geram. Darah yang terlekat di mukaku, tanggal bersama aliran air. Mataku sempat melirik bajunya. Kesan darah jelas di tempat aku terpegang tadi. Dia tanggalkan baju. Mengesat tubuhnya bagi menghilangkan kesan darah. Tiada luka di situ. Mungkin darah itu berpunca daripada percikan darah orang lain.
Mataku terpaku pada otot di badannya. ‘Cantik, sungguh cantik dan tegap! Tentu rajin buat senaman dan angkat berat ni.’ Aku buat penilaian sendiri. Naluri kewanitaanku terasa bangkit semula. ‘Ish, kalaulah aku dapat...’
“Apa yang kau pandang? Jangan ingat aku sama macam lelaki yang selalu kau berkepit tu.”  
Aku terkejut. Khayal yang ingin menjengah minda terbang melayang. Dia tahukah kehidupan aku sebelum ini? Cara dia menuduhku seolah dia tahu kegemaranku yang lepas. Berkepit dengan lelaki bertubuh sasa dan kacak. Tapi bukan semua lelaki. Hanya yang terpilih dan penuh sifat kelakian. ‘Sotong’ atau separa ‘sotong’ tolak ke tepi. Dan yang paling penting, bukan lelaki Melayu. Citarasaku cukup tinggi.
Aku mencebik dan larikan pandangan. Tapi ekor mata tetap melirik ketika dia ambil sehelai baju T hitam dalam beg yang terletak dalam kotak tadi. Baju, dipakainya. Sendat dan melekat di badan.
‘Ah, sengaja nak goncang hati aku kan? Tayang body nak goda aku. Eh, nanti! Dia Melayukan? Oh no... rejected him!’
“Salin baju kau. Aku tak mau orang syak sesuatu bila tengok baju kau penuh darah.”  
Tegurannya membuatkan aku meneliti diri sendiri. Betul katanya. Blausku terkena darah Inspektor Azni. Hamis dan memualkan. Kepalaku mulai terasa pening.
“Kau ada baju salin tak?” soalnya sambil memandang tepat ke wajahku.
Aku terduduk lesu, tak perduli soalannya. Pening menguasai diri. Dia capai beg sandangku. Sehelai baju biru gelap berlengan pendek diambilnya. Tanpa amaran, dia tarik blausku ke atas. Aku hanya biarkan blausku ditanggalkan kerana aku tahu badanku tak terdedah pada pandangan matanya. Vest kalis peluru masih terlekat kemas di badanku. Baju T disarungkan ke tubuhku.
“Dah, kita gerak sekarang!”
Perlahan-lahan aku bangun, ekori langkahnya. Jaketnya disua kepadaku tetapi aku menggeleng. Dia angkat bahu dan kemudian menyarung jaket ke tubuhnya. Aku duduk di belakang sambil memeluk beg sandang. Kesejukan mulai terasa. Menggigil tubuhku menahan deruan angin sejuk. Makin kemas pelukanku pada beg sandang. Sejak tadi, aku berusaha tidak memeluk tubuhnya. Aku masih teringatkan kata-katanya yang menjengkelkan hatiku.
‘Jangan goda aku. Aku lelaki normal.’ Aku meniru kata-katanya dengan mulut mencebik tanpa mengeluarkan suara. Suara hanya bergema dalam hati.
‘Ingat bagus sangat? Tak ingin aku dekat dengan kau, mawas! Nak goda kau? Kirim salam! Tapi, kenapa mata aku asyik lekat kat otot-otot badan dia? Ah, hati dan fikiranku tak sehaluan dah. Parah ni,’ desis hatiku.
Israr menambah kelajuan motorsikalnya. Aku kecut perut. Tubuh yang sengaja aku tegak dan jarakkan, mengelonsor rapat ke tubuhnya. Tiba di selekoh, dia membelok dan merendahkan motorsikal seperti pelumba di litar lumba. Pantas tanganku memaut tubuhnya dengan erat bagi mengimbangi tubuhku. Aku terpaksa mengikut arah ‘baringan’ yang dibuat olehnya. Ke kiri dan ke kanan.
‘Ah, dia memang sengaja!’ benakku menggerutu.
Rasa takut dan kesejukan mencengkam tubuhku. Aku cuba yakinkan diri agar bertahan. Terketar-ketar tanganku menepuk bahunya setelah terasa diri hampir kekejangan. Dia memusing sekilas untuk melihat. Aku beri isyarat agar berhenti kerana suaraku tak mampu terlontar keluar.
Memahami isyarat yang diberi, dia memperlahankan motorsikal. Berhenti di bahu jalan. Aku melompat turun dan duduk di atas batu besar. Tangan yang sejuk dan hampir membeku, aku gosok berkali-kali. Aku hembus udara dari mulut agar dapat sedikit kepanasan.
“Hah, itulah sombong sangat! Orang bagi jaket tak mau. Pakai baju pendek malam-malam macam ni memanglah tak cerdik,” ejek Israr, sengaja memanas hatiku.
 “Habis tu, baju ni je yang ada. Nak buat macam mana?” Aku menjeling geram.
“Dah tahu baju pendek, pakailah jaket ni. Yang berlagak lawa pasal pe? Ingat aku nak tergoda?” kutuk dia lagi.
“Berapa kali aku nak cakap? Jangan tuduh aku nak goda kau. You are not my type!”
You are not my type, konon! Yang asyik renung dan peluk aku tu siapa? Polong?” Dia mengajuk cakapku dengan aksi sekali.
“Eee... perasannya!” Dalam menahan sejuk, aku berbalas kata dengannya.
Dia buka jaket di tubuhnya lalu dihulur kepadaku.
“Pakai dan jangan banyak songeh,” arah Israr, tegas. Mungkin dia kasihan melihat diriku yang menggigil.
Tanpa malu, aku mengambil jaket itu dan menyarung ke tubuh. Zip ditarik hingga ke atas untuk mendapatkan kepanasan. ‘Gasaklah, asal aku tak sejuk.’
“Jom, kita gerak. Aku rasa kat depan sana ada kedai makan. Mungkin mereka buka lagi.”
Menonong aku menurut ajakan dia. Perut aku cepat lapar jika sejuk. Tetapi belum sempat aku menaiki motorsikal, pundi kencingku terasa ingin terburai.
 “Awak... saya nak buang air. Tolong cari tandas jap.”
Aku ubah kembali kata ganti diri dan bersuara sehabis lembut. Aku terdesak. Hendak minta pertolongan orang mesti cakap baik-baik.
 “Pergilah sebalik belukar tu. Buanglah sebanyak mana nak buang.”
Bulat mataku memandangnya. Dia sudah menaikkan kemarahanku. Sanggup dia suruh aku buang air di sebalik belukar yang gelap? Tidak ada sifat gentleman langsung.
“Huh, aku ni perempuan! Takkan nak buang air kat tempat terbuka? Gelap pulak tu.” Mukaku merah padam menahan kencing dan juga marah. Ganti nama pun sudah bertukar.
“Bukan ada siapa yang nampak. Tempat tu tersorok. Kalau kau takut gelap, aku temankan.” Dia angkat kening untuk melihat reaksiku.
‘Amboi, nak skodeng aku! Dasar lelaki Melayu,’gerutu hatiku. “Janganlah buat lawak bodoh sekarang. Cepatlah cari tandas. Aku dah tak tahan ni.”
Mukaku berkerut-kerut menahan kencing.  Aku bimbang akan terkencing di dalam seluar, kalau berlama-lama lagi. Geram betul rasa hati kerana dia masih boleh ketawa. Ingat aku tengah buat lawak senario ke?
“Jom cepat! Jangan kencing atas motorsikal aku.”
Sambil menjeling aku naik atas motorsikalnya. Dia memecut laju dan sekejap sahaja kami telah tiba di kedai makan. Setelah menanggalkan topi keledar, aku berlari ke belakang kedai makan. Mencari tandas sudah pasti.
‘Ah, leganya dapat buang air.’
Terasa nikmat selepas menanggung siksa menahannya. Nikmat Allah yang selalu dipandang remeh. Bayangkan Allah menarik nikmat itu. Nak buang air kecil macam mana?
“Ee... selekehnya. Jatuh saham aku macam ni,” ujarku sambil membelek wajah di cermin.
Solekanku telah cair kerana aku telah membasuh muka dengan air mineral sebelum ini. Pantas jari jemariku membuka beg sandang dan mengeluarkan krim pencuci muka. Aku cuci wajahku walaupun air paip seolah dingin membeku. Telingaku terdengar deringan telefon. Pastinya telefon aku kerana hanya aku seorang berada di dalam bilik air ketika itu. Butang jawab kutekan bila mengenalpasti pemanggilnya. Aku ceritakan serba sedikit tentang kejadian sebentar tadi.
“Kiesha selamat. Ayah Bad jangan risau. Israr dah selamatkan Kiesha tadi.”
“Siapa Israr? Ayah Bad tak kenal dia pun. Jangan-jangan orang jahat.”
“Dia kata dia kawan Azni. Azni sempat minta bantuan sebelum kena tembak.”
“Baguslah tu. Kiesha ada kat mana sekarang? Dah sampai ke?”
“Kiesha berhenti makan kat kedai makanan laut Idaman. Tadi kami baru keluar dari lebuh raya dan masuk jalan bandaran.”
“Kawasan mana? Kuala Kangsar ke?”
“Ye. Nasib baik kedai ni bukak sampai lewat malam. Jika tak, tentu Kiesha kelaparan.”
“Okey, Kiesha. Nanti bila Kiesha sampai, bagitau Ayah Bad.”
“Okey. Bye, Ayah Bad.”
 Talianku matikan dan telefon aku masukkan ke dalam beg sandang. Setelah merapikan wajah, aku keluar mendapatkan Israr. Aku lihat dia duduk di meja makan dan di hadapannya terdapat dua pinggan nasi goreng serta minuman panas. Tanpa berlengah aku duduk menghadap Israr dan memegang cawan yang berisi air panas, cuba memanaskan tangan. Kemudian aku capai pinggan nasi goreng. Perut telah berkeroncong minta diisi. Sebelum sempat nasi kusuap, Israr menegur.
“Kita baca doa dulu.”
Aku menadah tangan sambil membuang pandang keluar kedai. Malu dengan tegurannya. Selama ini aku tidak pernah membaca doa makan apatah lagi Bismillah. Bila Israr selesai membacakan doa, aku aminkan sahaja. Nasi kusuap tanpa bunyi.
 “Kau telefon siapa tadi?”
 “Kenapa?” tanya aku kehairanan. Macam tahu-tahu aku berbual di telefon sebentar tadi.
“Betullah kau telefon seseorang.” Renungan tajam diberikan kepadaku.
“Aku tak telefon tapi Ayah Bad yang telefon. Ayah Bad bimbang lepas tahu pasal serangan tadi.”
Aku pamer wajah bersahaja. Apa yang perlu digusarkan? Ayah Bad, bapa saudaraku. Bukan musuhku.
“Kau bagitau tak lokasi kita?”
“Aku laparlah. Boleh tak, kita makan dulu sebelum cakap?”
Aku sengaja tidak mahu menjawab soalannya. Cawan air aku pegang dengan kedua-dua tanganku. Cuba memanaskan tangan yang masih menggigil. Kesejukan masih terasa. Tambahan tadi, aku basuh muka menggunakan air yang sememangnya sejuk.
“Sejuk sangat ke?” tanya dia dengan nada yang lebih lembut.
Aku angguk lemah.
“Kau pernah tinggal kat England kan? Kat sana lebih sejuk rasanya.”
“Memanglah sejuk. Lebih sejuk daripada sekarang. Tapi musim tu, aku pakai baju tebal dan cari sumber yang boleh panaskan badan.”
“Termasuk lelaki dan arak?” tanya Israr tanpa selindung.
“Apa kau peduli? Hidup aku, akulah yang tentukan. Tak kiralah aku nak cari kepanasan daripada lelaki atau arak. Ayahanda pun tak sekepoh kau, tahu tak?” Aku menjeling tajam ke arahnya. Benci bila ada orang yang menegur hala tuju hidupku.
“Sebab aku bukan ayahanda kaulah aku kepoh. Aku tak mau kau terus hidup dalam dosa dan maksiat. Bawalah bertaubat. Tadi pun nyawa kau dah hampir melayang. Takkan tak serik lagi? Kalau dah mati dan tak sempat bertaubat, miskin kau nanti di akhirat. Silap-silap terpanggang dalam api neraka. Kau nak begitu?” Mulut dia begitu lancang.
Aku mengetap bibir menahan marah. Tetapi lidahku seolah kelu untuk berkata. Terbayang kematian yang hampir mengamit diriku sebentar tadi. Betulkah aku akan terpanggang di dalam neraka? Jika difikirkan dosaku, itu semua tidak mustahil. Aku memang berdosa. Sangat-sangat berdosa. Adakah Israr tahu apa yang telah aku lakukan sebelum ini? Aku menundukkan pandangan. Kenapa Allah masih memanjangkan usiaku?
“Cepatlah makan. Aku takut ada orang ikut kita lepas kau dedahkan lokasi.”
Aku memanggungkan muka. Terkejut dengan kenyataannya.
“Kenapa terkejut? Kau dah dedahkan lokasi kitakan?”
Kepalaku angguk, perlahan. Dia menghela nafas menahan amarah. Jelas kelihatan wajahnya serius kembali. Pandangan matanya menikam. Aku tertunduk menahan debar dan rasa bersalah. Kami makan tanpa bicara. Seboleh mungkin dia ingin cepat pergi dari situ. Selepas beberapa minit, dia bangun ke kaunter bayaran. 

p/s Kredit gambar Fizo Omar.... buku ini akan berada dipasaran bulan September ini, Insya Allah.

Tiada ulasan: