Bakal terbit september ini...tunggu ye....
Bab 1
Kesepian
mengundang lara di hati. Kematian kedua-dua ayahanda dan bonda beri impak
mendalam di jiwaku. Sangkaku, tanpa mereka aku tak mengapa. Konon tabah, konon
degil. Tapi baru dua minggu mereka pergi, hidupku jadi huru hara. Perit getir
makin terasa. Apatah lagi, diriku pula jadi sasaran musuh.
Pandangan kosong kulemparkan ke arah Inspektor Azni.
Hampir tiga hari aku tinggal bersama Inspektor Azni di rumahnya. Pilihanku
sendiri, demi keselamatan diri. Kini aku akan dipindahkan ke tempat yang masih
dirahsiakan. Atas persetujuanku juga. Vest kalis peluru yang terdampar di
hadapanku, aku tolak ke tepi. Inspektor Azni yang melihat perbuatanku
menghampiri.
“Tengku Kiesha Khalila tolong bagi kerjasama! Pakai
baju ni untuk keselamatan.” Tegas arahan Inspektor Azni. Apabila dia menyebut
nama penuhku, bermakna dia serius.
Mahu tak mahu, aku terpaksa sambut hulurannya.
Lambat-lambat kutanggalkan blaus dan sarung vest kalis peluru. Inspektor Azni
menolongku mengenakan butang vest. Bila selesai, aku pakai semula blausku. Inspektor
Azni tersenyum sekilas. Puas hati barangkali.
“Kita dah boleh gerak sekarang. Skuad pengiring pun
dah siap sedia kat luar.”
Aku angguk dan turut langkah Inspektor Azni keluar
dari rumah itu. Sebuah Alphard putih dengan pintu terbuka menantiku. Aku diarah
masuk ke dalam. Tanpa soal, aku patuh. Aku tahu tugas mereka lindungi nyawaku.
“Azni, saya nak call
Ayah Bad jap. Nak bagi tau yang saya selamat,” pintaku setelah beberapa ketika.
“Okey, jap je tau. Tapi jangan bagitau arah kita,
takut ada orang curi dengar,” arah Inspektor Azni.
Aku angguk, faham. Sejak semalam aku tidak
dibenarkan hubungi sesiapa. Mereka nak pastikan keadaan terkawal dan selamat. Aku
dail nombor Ayah Bad atau nama sebenarnya Tengku Badrul Zaman, bapa saudara
yang aku sayangi. Ayah Bad, sangat ambil berat tentang diriku lebih-lebih lagi
setelah kejadian pembunuhan kedua-dua bonda dan ayahanda. Hati terasa gembira
apabila Ayah Bad menjawab panggilanku.
“Syukurlah Kiesha selamat. Ayah Bad bimbang sangat tak
dapat hubungi Kiesha. Kiesha ada kat mana sekarang?” Tengku Badrul Zaman
bersuara girang.
“Ayah Bad jangan risau. Kiesha on the way ke tempat perlindungan. Kami dah masuk lebuh raya arah
utara. Tapi Kiesha tak boleh bagitau Ayah Bad tempat tu.”
“Takpe Kiesha. Janji Kiesha selamat. Ayah Bad tak mau
kehilangan Kiesha pulak.”
“Sepanjang Kiesha takde, Ayah Bad tolong tengokkan
syarikat, ye.”
“Jangan bimbang. Ayah Bad akan jaga syarikat dengan
baik. Nanti bila kes ni selesai, Kiesha ambil alih balik syarikat tu. Ayah Bad
akan tunggu Kiesha.”
“Terima kasih, Ayah Bad. Jika takde Ayah Bad, Kiesha
tak tahu nak buat macam mana.”
“Dah kewajipan Ayah Bad jaga Kiesha. Ayah Bad sayangkan
Kiesha dan tak mahu Kiesha diapakan pulak. Polis pun masih tak dapat tangkap
pembunuh tu. Jadi, Kiesha perlu jaga diri baik-baik tau. Nanti bila dah sampai,
Kiesha bagitau Ayah Bad ye.”
“Okey. Kiesha minta
diri dulu.”
“Eh, Kiesha! Riz kirim salam. Dia ada kat sini. Dia
pun risaukan Kiesha.”
“Oh, Riz pun ada? Bagitau dia yang Kiesha okey je.
Nanti Kiesha call dia bila lapang.”
Terlayar di minda wajah kacak sepupuku, Tengku Budriz
anak Tengku Badrul Zaman dengan isteri keduanya Tengku Indah Maheran.
“Okey. Bye Kiesha.”
“Bye.”
Telefon kucampak ke dalam beg sandang. Mataku sempat
kerling Inspektor Azni yang asyik bercakap di telefon. Dua anggota polis lelaki
di hadapanku dalam keadaan siap sedia, awasi jalan. Pemandu Alphard pula memandu
dengan tenang. Aku bersandar dengan mata terpejam. Mengharap encik mimpi datang
bertandang.
“Puan!!”
Tempikan kuat
mengejutkanku. Terpisat-pisat aku bangun. Sebuah kereta pacuan empat roda memintas
laju. Beberapa das tembakan dilepaskan. Peluru melayang-layang mengenai cermin
dan dinding kereta. Mataku celik luas. Jantung seolah berhenti berdegup. Aku
terkaku. Takut dan panik meresap kalbu. Inspektor Azni menarikku agar meniarap.
Badannya dijadikan perisai melindungi tubuhku. Kereta yang kami naiki hilang kawalan.
Menghentam tembok. Pemandu tersepit di tempat duduk. Kepala terkulai. Darah
membasahi wajah.
“Tengku! Tengku okey?” Inspektor Azni, cemas. Dia
segera memeriksa tubuhku.
“Okey.”
“Saya akan lindungi Tengku. Jangan bangun, terus
meniarap,” bisiknya. Matanya tajam mengawasi keadaan di luar.
Dua anggota polis yang bersama kami, berbalas
tembakan dengan penyerang. Aku pejamkan mata. Takut dengar bunyi tembakan yang
kuat. Jantungku bagaikan luruh. Tak tahu apa yang perlu aku lakukan.
“Kita terkepung puan!”
“Terus bertahan. Saya dah minta bantuan.”
Aku tidak tahu bila masanya dia minta bantuan. Mungkin aku terlalu
takut hingga tak dengar apa-apa kecuali bunyi tembakan sahaja. Menggeletar
tubuhku tiap kali bunyi tembakan mengenai dinding kereta. Kepada siapa harusku
gantung pengharapan agar nyawaku tidak berakhir di sini? Adakah kepada Allah
sedangkan aku tidak pernah sujud kepada-Nya? Tanpa sedar mulutku menyebut nama
Ilahi.
‘Ya Allah, selamatkanlah diriku, ya Allah!’ Doaku dalam hati. Doa orang
berdosa. Orang yang selama ini menjauhi Allah kerana mengejar keseronokan
dunia.
Keadaan jadi semakin genting apabila kedua-dua polis itu tewas dalam
drama tembak menembak. Bunyi derap kaki semakin jelas menghampiri kami.
“Azni, saya takut.” Air mata berlinangan. Terasa
nyawaku di hujung tanduk.
“Saya akan lindungi Tengku. Jangan bangun,” arah Inspektor
Azni.
Tangannya
pantas memasukkan peluru ke pistol. Dia panggungkan kepala dan melepaskan
tembakan. Aku terus berdoa. Malu menerpa ke dasar hati. Sekian lama aku tidak menyebut
nama Ilahi. Aku begitu sombong dan riak dengan kekayaan ayahandaku yang
merimpah ruah hingga aku lupa segalanya. Sedangkan itu adalah daripada Allah.
Aku sedar yang aku abaikan segalanya. Rukun Iman dan
rukun Islam aku tolak ke tepi. Agamaku hanya tertera di kad pengenalan bukan di
hati. Hidupku bergelumang dosa. Dalam keadaan terdesak, tahu pula aku
mengingati Allah. Hati mengutuk diri sendiri.
Tembakan makin mendekat. Menarik pergi semangatku.
Dapat aku rasakan pintu kereta di buka kasar. Serentak dengan itu tubuh Inspektor
Azni menghempap belakangku. Aku toleh sedikit dan terpandang wajahnya yang
dipenuhi darah, terkulai di atas kepalaku. Darahnya menitis mengenai pipiku.
Aku ingin jerit tetapi mulutku seakan terkunci. Diri dibius ketakutan. Aku tahu
bila-bila masa sahaja ajalku akan tiba.
“Ya Allah, Ya Allah! Ampunkanlah segala dosaku.
Berilah peluang untukku bertaubat kepada-Mu. Aku janji akan berubah. Selamatkanlah
diriku Ya Allah.”
Aku terus berdoa dan berjanji dengan getaran hebat
di dada. Menggigil seluruh tubuhku. Seluruh urat nadiku seolah telah membeku. Kematian
terbayang di mata. Ketakutan bermaharaja di jiwa. Tiada daya upayaku di saat
itu kecuali menyerah pada Yang Esa.
‘Ya Allah... tolonglah,’ rayuku dalam hati.
“Cepat
alihkan dia!” Terdengar suara memberi arahan.
Aku dapat rasakan tubuh Inspektor Azni sedang
dialihkan. Air mataku makin laju membasahi pipi. Aku pasrah jika begini pengakhiran
hidupku. Mataku pejam serapat-rapatnya. Bimbang jika aku buka mata, aku akan melihat pistol
yang akan menghancur lebur kepalaku. Makin kuat aku berdoa memohon keampunan
Ilahi. Terdengar picu ditarik.
Hatiku mengucap kalimah syahadah berulang kali. Menunggu
saat kepalaku bersepai. Tentu sakit dan azab kematianku. Malaikat maut tentu
merentap nyawaku dengan kasar sesuai dengan dosa-dosaku yang menggunung. Aku
takut. Benar-benar takut. Terasa sia-sia hidupku selama ini. Segala apa yang
aku banggakan tidak dapat membantuku. Adakah Allah akan ampunkan segala dosaku?
Taubat di hujung nyawa, adakah diterima Allah?
‘Ya Allah, jika ini pengakhiran hidupku, ampunkanlah
dosaku ya Allah. Allah... Allah... Allah,’ bisik hatiku pasrah. Saat kematian
mendekati, aku hanya mampu menyebut nama Ilahi.
Tembakan kuat bergema di hujung kepala. Jantungku seakan
terhenti. Suasana hening menyelubungi diri. Adakah aku telah mati? Mataku masih
tertutup rapat. Telingaku menangkap suara mengerang kesakitan. Tiba-tiba, tubuhku
ditarik. Aku cuba melawan dan meronta walaupun aku tahu, aku tidak mungkin terselamat.
“Ku Kiesha, berhenti
meronta! Saya kawan Azni.” Lelaki yang menarikku, memperkenalkan diri.
Aku segera memeluknya, erat. Sangat erat sebenarnya
kerana aku dapat mendengar degupan jantungnya. Terasa kehadirannya amat bererti
saat aku di ambang maut. Seolah dia ‘malaikat penyelamatku’. Pelukanku
dileraikannya. Mukanya tampak sedikit terkejut dengan perbuatanku.
“Kita perlu beredar. Cepat gerak!” tegas lelaki itu
sambil menyelitkan pistol semi automatik ke pinggangnya.
Aku angguk, tetapi mataku tetap terpaku melihat raut
wajahnya yang ditumbuhi jambang meliar.
‘Selekeh,’ bisik hatiku. Sempat lagi aku menilai
dirinya di saat genting begini.
Dia membuka
jaket yang terikat di pinggang dan memakaikannya ke tubuhku. Aku seperti terpukau
membiarkan perlakuan itu. Mataku melekat ke bola matanya yang bagaikan helang.
Pandangannya tajam memukau. Zip jaket ditarik hingga hujung daguku.
Aku tersentak. Nafasku sesak. Hembusan nafasnya
menyapa mukaku. Dia mencapai beg sandangku lalu disangkutkan ke bahuku. Aku
sedikit terkejut. Tanganku ditarik pantas ke motorsikal berkuasa tinggi. Aku
terpaksa berlari anak mengikut langkahnya yang panjang.
“Apa nama awak?” tanyaku sambil berlari.
“Israr.”
“Israr? Pelik nama tu? Israr bin apa?” tanyaku
bertalu-talu.
Tanpa mahu menjawab soalanku dia mencapai topi
keleder jenis bertutup penuh lalu disarungkan ke kepalaku. Aku terdiam ketika
tangannya pantas mengenakan tali pengikat. Terpaku mataku melihat aksinya yang
kelihatan ala-ala hero pujaanku Bruce Willis dalam filem Die Hard. Pantas dan
cekap setiap gerakannya. Penuh dengan sifat kelakian. Mulutku hampir terlopong.
Mengagumi seketika lelaki Melayu itu.
“Naik cepat!”
Arahan kerasnya mengejutkanku. Segera aku duduk di
belakangnya. Sebelum sempat aku betulkan duduk, dia memecut laju membelah
kegelapan malam. Mataku tertangkap mayat yang bergelimpangan bermandikan darah.
Ngeri terasa. Badan kurapatkan ke belakang Israr serapatnya apabila terasa
tubuhku tidak stabil. Tanganku memeluk tubuhnya, kemas. Aku mudah mabuk bila melihat
darah. Lebih-lebih lagi bau hanyir darah Inspektor Azni masih terlekat di
mukaku.
“Hey, jangan rapat sangat!” jerit Israr kepadaku.
Dia terpaksa
menjerit bagi mengatasi deruman enjin motorsikal. Aku angkat pelindung muka
plastik pada topi keleder.
“Saya rasa
peninglah. Bukannya nak menggatal!” tempikku geram.
‘Tolonglah, setakat muka serabut macam mawas, aku
tak heran!’ bisik hatiku dengan sombong.
“Kenapa?” jeritnya lagi.
“Mabuk darah!”
“Okey, kau boleh peluk tapi jangan rapatkan badan
kau.”
‘Huh, jika tak terpaksa aku tak ingin peluk kau! You
are not my type. Serabut dan berbau,’ kutuk hatiku.
Dalam mengutuk, tanganku tetap memeluk erat
tubuhnya. Cuma badan aku tidak dirapatkan seperti tadi. Terasa ketul-ketulan
ototnya yang hanya dibaluti baju T putih. Aku amati baju T itu.
‘Ah, baju T murah! Takde class langsung,’ cemuh hatiku. Aku terfikir kemudian, ‘jaket yang
aku pakai ni jaket dia. Tentu busuk dan berbau dah badan aku dengan peluh dia.
Eee... bencinya! Tapi nak buat macam mana? Kalau aku tanggalkan nanti jatuh
pulak. Lepas ni kalau berhenti, aku tak mahu dah pakai jaket dia. Eh, kenapa
baju dia basah? Peluh ke? Tapi agak melekit.’
Aku paut tubuhnya dengan sebelah tangan dan sebelah
tangan lagi aku bawa ke hidungku. Aku ingin memastikan rasa melekit yang kupegang
adalah peluh atau darah. Manalah tahu dia terluka ketika menyelamatkan aku. Aku
hidu bau itu.
‘Hamis! Dia berdarah?’ Berkali-kali aku mengesat-ngesat
tanganku di belakang bajunya.
“Hoi, kau buat apa?” tempiknya lalu memperlahankan
kelajuan motorsikalnya.
Aku terkejut dan menghentikan perbuatanku serta
merta.
2 ulasan:
Bestla citer ni.. da bole bli ke novelnye..
Dah ada di pasaran sekarang. Boleh beli secara online kat pts bookcafe.com.my MPH atau pembekal buku yg lain
Catat Ulasan