Pengikut

Selasa, 29 Januari 2013

Abang King Control ke? - Bab 18



Razif bergerak menuju ke arah keretanya. Dia mengeluarkan beg pakaian mereka lalu dibawanya ke kantin sekolah tersebut. Matanya mencari-cari Irdina tetapi tiada di situ. Hatinya terasa panas kerana Irdina engkar terhadap arahannya agar menunggu di situ. Setelah menanti seketika, Irdina muncul bersama anak saudaranya.
“Sayang ke mana? Bukankah abang suruh tunggu di sini?” tanya Razif dengan nada yang dilembutkan. Dia berusaha untuk mengawal kemarahannya.
“Irdina minta maaf. Tadi Athirah nak ke tandas. Kak Wina pula tengah bancuh susu, sebab tu Irdina temankan dia,” jelas Irdina.
“Abang maafkan.” Terasa suhu kemarahannya turun apabila mengetahui situasi sebenar.
“Razif takut Irdina lari ke? Nampak risau sangat tadi bila tengok Irdina tak ada,” kata Wina sambil ketawa kecil.
Razif hanya tersenyum tanpa mahu memberi komen.
“Jom kita naik. Mak dan abah dah bersihkan bilik darjah di atas,” kata Pak Cik Idris mengajak ahli keluarganya.
Mereka semua naik ke bilik yang dimaksudkan. Tikar yang dibawa dari rumah mereka, dihampar di atas lantai. Mereka duduk beramai-ramai di situ. Anak-anak saudara Irdina kemudiannya turun ke bawah untuk bermain-main. Pak Cik Idris, Ilyas dan Ihsan turun semula ke tingkat bawah.
Irdina mengeluarkan skirt panjang untuk menggantikan seluarnya yang basah. Dengan menggunakan kain sarung, Irdina menyalin seluarnya. Dia memakai skirt panjang yang diperbuat daripada kain jeans. Seluar yang basah disangkutkan di kerusi. Irdina duduk bersebelahan Razif dan dapat mendengar bunyi perut Razif yang sememangnya lapar.
“Abang lapar?” tanya Irdina.
“Lapar juga.”
Irdina bangun lalu mengambil biskut yang dibawa oleh Ihsan dari rumah mereka. Dia meletakkan bungkusan biskut tersebut di hadapan Razif. Mereka duduk dan makan biskut tersebut beberapa keping.
“Selama ini abang hanya lihat melalui televisyen mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan. Sekarang baru abang rasa sendiri kesusahan mereka,” kata Razif.
“Selalunya kita tidak akan menghargai nikmat yang Allah beri sehingga Allah menarik balik nikmat tersebut,” kata Irdina.
“Betul. Selalunya biskut begini abang jarang makan. Tapi hari ini rasa sedap pula bila perut rasa lapar.”
“Air kosong pun rasa sedap. Tapi jangan paksa Irdina minum hingga seliter lagi,” kata Irdina sambil ketawa.
“Abang minta maaf di atas perbuatan abang terhadap sayang. Abang akui, abang memang keterlaluan mengenakan sayang hari tu.”
“Tak mengapalah. Perkara dah lepas, nak buat macam mana?” jawab Irdina, perlahan. Agak pedih bila kenangan lalu diputar kembali.
“Abang janji akan jaga dan memberi kebahagiaan untuk sayang. Abang nak keluarga kita menjadi keluarga yang bertaqwa dan beriman kepada Allah.” Razif menggenggam erat tangan Irdina. Irdina hanya tersenyum.
Irdina menguap beberapa kali kerana keletihan dan mengantuk. Dia bangun dan mengambil beg pakaiannya untuk dijadikan alas tidur. Razif mengeluarkan kain pelekatnya lalu menyelimuti badan Irdina. Dia memerhati wajah isterinya yang telah tertidur. Polos dan sangat menarik. Perlahan-lahan dia merebahkan badannya di sisi Irdina. Tangannya dilengkarkan ke pinggang isterinya sebelum matanya terlelap.
“Kesian mak tengok depa berdua. Baru menikah dah kena duk penempatan banjir,” kata Mak Cik Mesa kepada menantunya.
“Nak buat macam mana mak? Dah takdir jadi banjir masa mereka baru menikah. Honey moon di penempatanlah jawabnya,” kata Wina sambil ketawa.
Mak Cik Mesa turut ketawa kecil sambil membaringkan badannya. Dia juga ingin melelapkan matanya. Wina hanya memerhati mereka yang telah terlelap. Dia menepuk perlahan badan Aiman untuk menidurkannya.
Beberapa ketika kemudian Irdina tersedar dari tidurnya dan mendapati wajah Razif berada hanya beberapa inci dari wajahnya. Dia mengamati wajah itu dan dapat melihat dengan jelas tunggul-tunggul kasar yang mulai memenuhi wajah Razif. Hatinya teringin menyentuh wajah itu tetapi mindanya melarang. Razif mengeliat kecil membuatkan Irdina menutup kembali matanya. Irdina berpura-pura sedang tidur dan dia dapat merasakan tangan Razif membelai wajahnya. Irdina  membuka matanya apabila dia merasakan mulut Razif melekat di pipinya.
“Sayang dah bangun?”
Irdina tersenyum malu. Dia bangun perlahan-lahan lalu duduk. Matanya memandang sekitar bilik tersebut dan mendapati Wina tertidur dengan kepalanya disandarkan ke kerusi. Anak kecilnya lena di pangkuan. Mak Cik Mesa juga sedang tidur secara mengiring membelakangi mereka. Razif yang turut duduk, melihat sekeliling. Dia kemudiannya menarik Irdina lalu memeluknya. Debaran jantung Irdina terasa kencang. Pun begitu, dia hanya membiarkan perlakuan Razif.
Tangan Razif mengelus pipi isterinya dengan lembut. Kucupan demi kucupan hinggap di dahi, pipi dan hidung Irdina. Dia dapat mendengar desahan nafas Irdina yang agak cemas. Tentunya isterinya itu kelemasan dengan belaiannya. Segaris senyuman terpamer di bibir Razif. Gelora jiwanya bagaikan tidak tertahan lagi. Perlahan-lahan dia merapatkan bibirnya ke bibir Irdina. Irdina hanya menahan nafas sambil matanya terpaku memandang wajah Razif yang hampir bersatu dengan wajahnya. Tinggal seinci lagi bibir mereka akan bersatu.
“Ehem!” Pak Cik Idris yang masuk secara tiba-tiba mengejutkan mereka berdua. Razif segera meleraikan pelukannya dan tersipu-sipu melihat bapa mertuanya. Irdina memusingkan tubuhnya menghadap dinding. Malu menerpa ke mukanya. Tertangkap ketika aksi 18 SX benar-benar membuatkannya seolah-olah hilang kepala.
“Mai makan. Abah dah ambik tapi tak dapat banyak, kena kongsilah.” Pak Cik Idris berpura-pura tidak melihat perbuatan anak dan menantunya sebentar tadi. Tangannya ligat meletakkan bungkusan makanan dan botol minuman. Pak Cik Idris kemudiannya melabuhkan punggungnya di penjuru bilik. Dia ingin berehat setelah lama menunggu bekalan makanan. Bekalan makanan mereka dihantar oleh sukarelawan.
Wina dan Mak Cik Mesa yang baru terjaga bangun menghampiri Pak Cik Idris. Tangan Razif mencuit Irdina. Irdina mengalihkan pandangannya ke wajah Razif. Razif memberi isyarat agar Irdina mengambil makanan tersebut. Irdina bangun lalu mengambil sebungkus makanan dan sebotol air. Dia membawa makanan tersebut dan duduk di sisi Razif.
“Kita kongsi nasi ni,” kata Irdina.
Irdina membuka bekas tersebut. Di dalamnya mengandungi nasi putih berlaukkan ikan sardin. Dengan menggunakan sudu plastik yang terdapat di dalam bungkusan itu, Irdina menyuapkan nasi ke mulut Razif dan dirinya silih berganti. Irdina melebihkan suapan ke mulut Razif berbanding dirinya kerana dia tidak gemarkan ikan sardin, lebih-lebih lagi tiada kicap di dalam nasi itu. Razif makan sambil matanya asyik merenung wajah Irdina. Dia merasakan tiap suapan yang diberikan oleh Irdina amat sedap walaupun hanya berlaukkan sardin tanpa kicap kegemarannya.
“Sayang, kalau hari-hari sayang suapkan abang tentu bahagia hidup abang.”
“Hari-hari?” Irdina berasa cuak.
“Ya, hari-hari.” Razif tersenyum.
“Kalau hari-hari Irdina tak boleh nak buat kerjalah. Kerja Irdina kadangkala tak tentu masa. Ada ketika kena buat overtime bila urusan tu penting. Kalau waktu begitu, Irdina akan balik malam. Abang pula, malam masih di klinik. Jadi tak bolehlah rasanya.” Irdina memberi alasan yang dirasakannya munasabah.
“Kalau begitu, sayang berhenti kerja. Abang mampu sara hidup sayang. Tiap bulan abang akan beri duit lebih dari gaji sayang sekarang. Jadi bolehlah sayang layan abang saja,” kata Razif membuatkan Irdina terdiam.
Hati Irdina menjadi bertambah sedih bila memikirkan kemungkinan itu. Sedangkan sehari suntuk bersama Razif, hatinya tidak tenteram inikan pula seumur hidup! Irdina melihat awan mendung melalui tingkap bilik darjah itu. Hatinya seperti awan mendung itu yang bila-bila masa akan menitiskan hujannya.
“Sayang, waktu Zohor dah nak masuk ni. Ada surau tak di sini?”
“Rasanya ada di blok sebelah.”
Irdina bangun untuk mengambil telekungnya dan kemudian mengekori Razif ke surau sekolah. Di dalam surau, terdapat tiga orang ibu muda yang mempunyai anak kecil berada di situ. Mungkin disebabkan surau tersebut mempunyai hamparan, maka mereka memilih untuk tinggal di situ. Suasana agak riuh dengan kanak-kanak yang berlari ke sana sini. Tirai pembahagi antara lelaki dan perempuan tidak berfungsi dengan baik menyebabkan seolah-olah tiada sekatan antaranya.
Razif mengambil wuduk di bahagian lelaki dan Irdina berwuduk di bahagian perempuan. Ramai penghuni mengambil wuduk untuk mengerjakan solat. Laungan azan diperdengarkan dan seketika kemudian mereka yang berada di dalam surau mendirikan solat. Tetapi ramai juga yang hanya berbual kosong di bawah ketika orang lain mendirikan solat. Seolah-olah seruan azan tidak memberi kesan di hati mereka. Bukankah mereka juga beragama Islam? Solat adalah tiang agama untuk diri sendiri. Jika masih sombong dan tidak mahu sujud kepada Allah, masihkah tidak malu mengaku diri seorang Islam? Sudah diuji dengan musibah, masih mampu bergelak ketawa. Hendak didatangkan peringatan bagai mana lagi? Adakah menunggu bumi diterbalikkan baru teringat untuk bersolat? Razif berasa insaf sendiri. Terasa begitu kerdilnya diri.
Irdina keluar dari surau dan menuju ke bilik tadi. Dia tidak nampak kelibat Razif di situ. Ada kelegaan di hatinya. Dia keluar dari bilik itu menuju ke hujung blok untuk melihat sekitar kawasan tersebut. Irdina mengeluarkan telefon lalu mendail nombor Balkis. Setelah memberi salam, dia bertanyakan khabar Balkis.
“Balkis, makbul juga doa kau. Aku memang terperangkap di dalam sebuah bilik bersama-sama Abang Razif sewaktu banjir. Tapi bilik ni bukan aku berdua saja, tapi dah jadi satu keluarga. Kalau duduk dalam bas, memang satu bas!” Kata Irdina lalu ketawa.
“Padan muka kau dan padan juga muka aku. Kita sama-sama terperangkap dan tak boleh balik. Selatan Thailand termasuk Hatyai pun banjir sebab tu jadi banjir besar tempat kita. Aku dengar Alor Setar pun dah banjir. Pekan Rabu yang tak pernah banjir pun dah naik air,” kata Balkis.
“Betul? Tentu lambat lagi nak surut air ni. Macam mana nak balik ke sana?”
“Aku pun risau. Tadi aku dah bagitau bos minta tambah cuti sebab aku rasa paling kurang tiga atau empat hari lagi baru kita boleh balik.”
“Aduh! Aku dah tak tahan duduk di sini. Sakit badan tidur atas lantai. Makan pun tak cukup, nasi dengan ikan sardin. Tak ada kicap,” kata Irdina dengan nada sedih.
Balkis ketawa di hujung talian. “Aku di sini lagi teruk. Sampai ada yang bertumbuk kerana berebut nasi.”
“Kenapa jadi macam tu? Tak boleh sabar ke?”
“Nasi yang dihantar sukarelawan tak cukup dan ramai yang tak dapat. Ada seorang budak yang tak dapat nasi lalu menangis. Ada seorang lelaki tu tak mahu beralah. Dia nak ambil juga nasi yang tinggal sebungkus. Apalagi, bapa budak tu tumbuklah lelaki yang tak mahu beralah. Kecoh jadinya.”
“Sebab sebungkus nasi boleh haru biru hidup. Aku pun rasa haru biru bila berkongsi sebungkus nasi dengan Abang Razif,” kata Irdina dengan nada sedih.
“Kenapa? Bukankah seharusnya Kak Irdina gembira? Dalam suasana pengantin baru, berkongsi makan tentu nampak sweet.”
Sweet apanya? Lepas ni sour. Aku nak kena layan dia hari-hari dan paling aku susah hati, aku kena berhenti kerja. Tak boleh pakai seluar jeans, kena pakai baju kurung atau jubah. Aku tak suka pakai jubah,” keluh Irdina.
“Baru sehari kahwin dah merungut. Aku tak dapat bayangkan kalau Kak Irdina terpaksa menghadapinya setiap hari, seumur hidup.”
“Masak aku jadinya. Hilanglah warna warni hidupku.”
Balkis ketawa lagi. Irdina mendengar nada yang menandakan ada satu panggilan masuk. Dia melihat seketika.
“Balkis sekejap. Abang Razif telefon,” kata Irdina lalu menekan butang menjawab panggilan Razif.
“Sayang ada di mana? Puas abang cari.”
“Ada di koridor hujung blok tempat kita duduk tadi.”
“Buat apa di sana?”
“Tengok permandangan dan berbual dengan Balkis.”
“Baiklah, abang ke situ. Jangan ke mana-mana,” kata Razif sambil meletakkan telefonnya.
“Balkis, aku tak boleh berbual lama-lama. Abang Razif dah cari aku. Lemasnya aku!”
“Nasib kaulah Labu!” kata Balkis sambil ketawa.
“Baiklah Labi, lain kali aku telefon lagi.” Irdina mematikan talian.
Irdina dapat melihat Razif menghampirinya dengan senyuman. Irdina membalas senyuman itu walaupun hatinya mengerutu.
“Sayang, berbual apa dengan Balkis?”
“Cerita tentang banjir dan keadaan kecoh di penempatan Balkis. Ada orang sampai bertumbuk sebab sebungkus nasi.”
“Sampai begitu sekali? Bila perut lapar, orang sanggup buat apa saja. Bayangkan, kita baru sehari tak makan dah kecoh. Kalau di Somalia yang berbulan-bulan tak dapat makan tentu lebih teruk. Ada yang terpaksa makan kulit pokok untuk terus hidup. Waktu sekarang ada duit pun tak guna, sebab tak ada kedai makan yang buka. Malah bekalan makan pun mungkin terputus sebab bantuan tak sampai.”
“Betul. Kita mungkin bernasib baik kawasan penempatan di sini masih ada bekalan makanan dan mudah bantuan untuk sampai. Kalau kawasan yang airnya dalam, mungkin sukar kerja-kerja mengagih bantuan. Kalau tak kena gaya, kena ikat perut dan berlaparlah.”
“Abang dengar tadi, pintu empang akan dibuka lagi. Kali ni mungkin menghala arah pusat bandar petang nanti.”
“Betul? Makin buruklah keadaan nanti. Kita mungkin tak boleh balik dalam masa terdekat,” keluh Irdina.
“Abang tak kisah selagi sayang ada di sisi abang. Di mana pun abang sanggup,” kata Razif sambil memeluk pinggang Irdina.
Razif memandang wajah Irdina yang masih memandang ke bawah. Dia menyentuh lembut wajah Irdina membuatkan Irdina berpaling ke arahnya. Razif mendekatkan wajahnya ke wajah Irdina. Ingin menyambung kembali adegan yang terganggu. Tetapi sebelum sempat bibirnya bertemu bibir Irdina, tiba-tiba mereka disergah dari belakang. Razif terpaksa membuat ‘brek kecemasan’. Muka Irdina membahang rasa malu. Tertangkap lagi!
“Kakak ni pengantin baru ke?” tanya seorang kanak-kanak perempuan yang mengejutkan mereka berdua.
 Irdina berpaling dengan senyuman malu. Dia melihat kanak-kanak perempuan itu berdiri bersebelahan Athirah anak saudaranya. “Macam mana adik tahu? Athirah beritahu ke?” tanya Irdina.
“Ada inai di tangan dan kaki kakak. Selalunya pengantin yang pakai begitu,” kata kanak-kanak itu lagi.
Irdina hanya tersenyum memandang mereka. Razif juga turut tersenyum.
“Kesian kakak.”
“Kenapa?”
“Tak dapat bersanding sebab banjir.”
Irdina dan Razif ketawa serentak mendengar kata-kata kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu dan Athirah berlari meninggalkan mereka berdua.

Jumaat, 25 Januari 2013

Abang King Control Ke? - Bab 17



Malam itu Pak Cik Idris menyuruh Razif tidur di rumahnya. Razif membawa semua pakaiannya supaya memudahkan mereka bertolak pulang keesokkan harinya. Hujan masih turun dan sesekali lebat. Irdina mengemas dan membasuh pinggan mangkuk di dapur. Razif berada di ruang hadapan, berbual-bual dengan keluarga Irdina.
“Abah, ayag dah naik kat taman belakang,” kata Ilyas yang masuk dengan pakaian yang basah.
“Ayag sungai dah melimpah?” tanya Pak Cik Idris.
“Dah. Ramai orang taman bawak kereta ke masjid,” sambung Ilyas lagi.
Pak Cik Idris mengambil payung lalu keluar untuk melihat air sungai. Beberapa orang keluarga Irdina juga turut keluar setelah hujan berhenti. Razif turut menyertai mereka untuk melihat paras air banjir. Irdina masuk ke biliknya setelah habis mengemas di dapur. Jam ketika itu telah menunjukkan hampir 11.00 malam. Dia mengunci pintu dan menyalin baju tidur. Sebuah majalah dan pemain muzik digital di ambil dari dalam begnya. Dia membaringkan diri sambil membaca majalah tersebut. Alat pendengar diletakkan di kedua-dua belah telinganya untuk mendengar lagu dari pemain muzik tersebut.
Razif masuk ke rumah selepas beberapa ketika. Kebanyakan ahli keluarga Irdina telah masuk tidur. Pak Cik Idris menyuruh Razif masuk ke bilik Irdina untuk tidur setelah melihat Razif menguap beberapa kali. Razif melangkah menuju ke bilik Irdina.
“Sayang, buka pintu. Abang ni.” Razif mengetuk pintu bilik. Tetapi Irdina tidak membukanya. Beberapa kali dia mencuba, akhirnya Razif berhenti mengetuk. Dia mengaru-garu kepala yang tidak gatal.
‘Isteri aku buat apa sampai tak dengar aku panggil? Tak bagi aku masuk ke? Aku nak tidur mana ni?’ Bisik hati Razif penuh resah.
Setelah beberapa ketika Razif berdiri di situ, Pak Cik Idris menghampirinya. “Irdina tak buka pintu?” tanya Pak Cik Idris.
“Tak. Dah lama saya panggil dan ketuk pintu.”
Pak Cik Idris mengetuk pintu bertalu-talu hingga menyedarkan kebanyakan ahli keluarga yang lain. Mereka keluar untuk melihat apa yang berlaku. Razif berasa malu kerana ramai ahli keluarga Irdina yang memandangnya dengan kehairanan.
“Kenapa Irdina tak bukak pintu? Macam nak pecah kita ketuk pintu ni, takkan tak dengag lagi?” tanya Pak Cik Idris.
“Dia pengsan kot.” Teka Mak Cik Mesa, risau.
Razif agak risau membayangkan hal itu.
“Kita pecah saja pintu ni.” Ilyas memberi cadangan.
Mereka bersetuju dengan cadangan itu dan mula merempuh pintu tetapi tidak berjaya.
“Apa kata, kita panjat siling dan pecahkan siling bilik dia.” Cadang Razif.
“Baiklah,” kata Pak Cik Idris. Dia mengarahkan Ilyas untuk mengambil tangga bagi memanjat siling. Mak Cik Mesa yang tidak putus asa terus memanggil Irdina. Irdina yang terdengar sayup-sayup panggilan ibunya, membuka mata.
“Ilyas dah ambil lampu picit?” tanya Ihsan.
“Dah,” kata Ilyas yang mula memanjat tangga sambil dibantu oleh abangnya.
“Nak buat apa panjat tangga tu?” tanya Irdina yang terjengul di muka pintu bilik.
“Astaghfirullah! Anak bertuah. Orang panggil sampai nak pecah pintu, tak bangun-bangun.” Mak Cik Mesa, marah.
Mereka semua memarahi Irdina kerana mengunci pintu. Irdina hanya mampu menundukkan kepalanya ketika itu. Razif menggelengkan kepalanya.
“Lain kali jangan dok kunci pintu kalau laki tak masuk lagi. Jangan bagi laki marah, nanti tak cium bau syurga,” bebel Pak Cik Idris sambil berlalu dari situ.
Mereka yang lain turut meninggalkan Irdina dan Razif. Masing-masing ingin menyambung tidur yang terganggu.
“Abang, maafkan Irdina. Irdina dah terbiasa kunci bilik sebelum tidur. Tadi tak sengaja terkunci.” Irdina mencapai tangan Razif lalu diciumnya.
“Lain kali jangan buat abang risau,” kata Razif.
Mereka melangkah masuk ke bilik dan Irdina mengambil majalah serta pemain muzik digitalnya untuk disimpan.
“Apa sayang buat sampai tak dengar panggilan kami tadi?” kata Razif sambil duduk di birai katil.
“Buat bodoh,” jawab Irdina sambil ketawa.
“Apa?”
“Tak… tadi Irdina tertidur masa baca dan dengar lagu. Mungkin Irdina tak dengar sebab alat pendengar tu masih di telinga,” terang Irdina yang masih berdiri berhampiran meja solek.
Razif melihat Irdina dari atas ke bawah. Dia mengagumi kecantikan isterinya yang nampak menarik di dalam gaun tidur berwarna merah jambu. Walaupun warna itu tidak disukai Razif, tetapi tidak mencacatkannya di mata Razif. Irdina agak resah dengan pandangan mata Razif yang terpaku melihatnya.
“Sayang nak berdiri di situ sepanjang malam?” tanya Razif dalam senyumannya.
“Ya… er… tak,” jawab Irdina gugup.
Razif ketawa kecil sambil bangun lalu menarik tangan Irdina untuk duduk di katil. “Sayang takut ke?” tanya Razif.
“Boleh tak kita sambung cerita Bayan Budiman?” tanya Irdina spontan.
“Bayan tak mengantuk ke?” tanya Razif sambil ketawa.
“Tak, bayan boleh bercerita hingga ke pagi.”
“Buat apa nak dengar cerita? Abang nak tidurlah, mengantuk sangat ni.”
“Kalau begitu, abang tidurlah dulu. Irdina nak sambung baca buku.” Irdina memberi alasan. Gementar hatinya, hanya Allah Yang Tahu.
“Macam mana abang nak tidur kalau lampu terpasang?”
Irdina menggaru kepala yang tidak gatal. Seboleh mungkin dia tidak mahu tidur sekatil dengan Razif. Hatinya masih belum dapat menerima Razif. Razif yang faham akan kerisauan Irdina hanya tersenyum.
“Sayang jangan risau. Sayang tidur sebelah sini, abang tidur sebelah sana. Bantal ni jadi sempadan. Boleh tak?” kata Razif memberi cadangan.
Irdina bersetuju dengan cadangan Razif lalu bangun menutup lampu. Razif meletakkan bantal peluk di tengah-tengah sebagai sempadan. Tidak sampai seminit, terdengar dengkuran Razif menandakan Razif telah tidur. Irdina menutup telinganya kerana tidak tahan dengan bunyi dengkuran tersebut.
‘Macam mana nak tidur kalau asyik dengar dengkuran yang bising ni?’ bisik hati Irdina.
Irdina teringatkan pemain muzik digitalnya. Dia mengambil alat tersebut lalu disumbatkan alat mendengar ke telinga. Muzik yang lembut dipasang dan dia merebahkan kepalanya. Akhirnya dia tertidur juga. Hujan makin lebat di luar. Kedinginan makin terasa menyebabkan Irdina mencapai bantal lalu memeluknya.
Sayup-sayup terdengar di telinga Irdina suara ibunya bercakap-cakap. Irdina dapat merasakan tubuhnya dipeluk dari belakang. Dalam gerak spontan dia menolak kasar tubuh di belakangnya hingga menyebabkan tubuh itu jatuh ke bawah.
“Aduh!” terdengar suara Razif mengadui.
Irdina berasa hairan seketika kerana sangkanya yang ditolak tadi adalah Balkis. Balkis pernah terpeluknya ketika mereka tidur berdua dan dia bertindak sebegitu sebelum ini.
“Alamak! Maaflah abang. Irdina tak sengaja.” Irdina baru tersedar kesilapannya apabila melihat Razif bangun sambil menggosok punggung.
Razif tidak berkata apa-apa dan perlahan-lahan naik ke atas katil. Dia mengambil bantal peluk di tangan Irdina lalu diletakkannya di tengah. Badannya direbahkan dengan membelakangkan Irdina. Irdina menjadi serba salah kerana perbuatannya itu.
“Abang, Irdina minta maaf.” Irdina menyentuh lengan Razif.
Razif masih tidak memperdulikan Irdina. Hati Irdina diburu perasaan bersalah. Irdina menarik bantal yang dijadikan sempadan lalu mendekati Razif.
“Abang, marahkan Irdina?” tanya Irdina sambil merapatkan wajahnya ke wajah Razif.
Razif yang kegelian ketika hujung rambut Irdina mengenai lehernya, ketawa kecil. Dia memusingkan badannya secara spontan membuatkan Irdina hilang keseimbangan. Irdina jatuh ke atas badan Razif. Ketika Irdina cuba bangun, Razif memeluknya.
“Abang… mak panggil tu,” kata Irdina.
Razif tidak memperdulikan kata-kata Irdina lalu merebahkan isterinya itu. Dia cuba merapatkan bibirnya ke bibir Irdina tetapi Irdina mengelak.
“Abang! Mak panggil,” kata Irdina menyedarkan Razif.
Mak Cik Mesa memanggil-manggil mereka di luar pintu dengan menyatakan rumah mereka telah dinaiki air pada bahagian dapur. Mereka bergegas keluar untuk melihat keadaan di dapur. Air telah memenuhi lantai dapur.
“Razif! Pergi ubah kereta ke masjid. Air makin naik, takut nanti tak boleh keluar,” arah Ihsan.
Razif segera mengambil kunci lalu keluar untuk mengubah keretanya. Irdina menolong ibunya mengangkat barang-barang di ruang hadapan. Setiap ahli keluarga mengangkat barang ke atas meja dan juga kerusi.
“Irdina, pi kemas bilik. Nanti nak kena angkat tilam tu,” kata Mak Cik Mesa.
Irdina masuk ke biliknya. Dia mula mengemas dan mengangkat beg pakaiannya. Razif pulang dengan berjalan kaki setelah meletakkan keretanya di kawasan masjid yang lebih tinggi. Dia masuk ke bilik sewaktu Irdina sedang menyusun bantal ke dalam almari.
“Sayang, lebih baik sayang tukar baju. Takut nanti kita kena keluar dari sini.”
“Kenapa? Air makin naik ke?”
“Tadi Abang Ihsan beritahu, enam pintu empang sudah dibuka dan airnya menghala ke sungai belakang rumah ni.”
Irdina menyalin pakaiannya setelah Razif keluar dari bilik untuk menolong yang lain mengubah barang. Mereka menyusun di atas meja sehingga tiada ruang untuk diletakkan barang. Azan subuh kedengaran dari arah masjid dan mereka kemudiannya bersolat di kawasan yang belum ditenggelami air.
Razif membawa beg pakaiannya dan beg pakaian Irdina keluar dari bilik tersebut. Mereka mengambil keputusan untuk berpindah setelah keseluruhan ruang di rumah itu digenangi air separas lutut. Keluarga Irdina membawa barang-barang keperluan dan barang berharga menuju ke penempatan banjir. Kawasan masjid telah dipenuhi oleh penduduk yang berpindah. Disebabkan tidak mahu berasa-asak, keluarga Irdina memilih penempatan di sekolah yang terletak berhadapan masjid.
“Abang letak kereta di mana?” tanya Irdina.
“Ada di sana.” Kata Razif sambil menunjuk ke arah keretanya.
“Irdina nak tinggalkan kasut dan beg dalam kereta.”
“Baiklah. Marilah ke sana.”
Irdina memasukkan kasutnya ke dalam kereta. Dia hanya memakai selipar dan mengambil beg tangannya. Razif turut meninggalkan beg pakaian mereka dan meletakkan beg-beg tersebut di but kereta.
“Rasa laparlah. Ada apa-apa untuk dimakan tak?” tanya Razif.
“Tadi tak sempat sediakan sarapan. Roti dan air kosong adalah mak bawa.”
“Kedai makan buka tak?” tanya Razif.
“Entahlah. Kalau nak cuba cari, boleh juga.” Jawab Irdina.
Mereka masuk ke dalam kereta dan bergerak menghala ke pusat bandar tetapi terpaksa berpatah balik kerana paras air agak tinggi di pertengahan jalan.
“Kita nak cari di mana?” tanya Razif.
“Abang ikut saja jalan ni hingga kita jumpa kedai makan,” cadang Irdina.
Razif mengikut saranan Irdina. Dia memandu perlahan sambil matanya melihat ke kiri dan kanan jalan. Terdapat sebuah kedai makan di situ tetapi tidak dibuka. Razif terpaksa berpatah balik setelah perjalanannya terhalang oleh banjir.
“Derasnya air tu,” kata Irdina sambil melihat aliran air yang bergelombang dan mengalir laju.
“Airnya nampak jernih. Rasa macam nak mandi pula,” kata Razif.
“Air dari empang, sebab tu jernih.”
Mereka akhirnya kembali ke sekolah setelah meletakkan kereta di pekarangan masjid. Kawasan sekolah turut digenangi air walaupun tidak begitu dalam. Razif melihat Irdina melipat kaki seluarnya untuk mengharungi air.
“Sayang… tak payah lipat kaki seluar tu. Nampak habis kaki sayang yang gebu tu,” kata Razif sambil melihat kaki Irdina.
“Nanti basahlah seluar ni.” Irdina cuba membantah.
“Nak basah atau nak tanggung dosa? Kalau abang biar, abang pun terpaksa tanggung dosa sayang.”
Irdina melepaskan lipatan di seluarnya. Dia melihat Razif melipat kaki seluar sebelum mengharungi air. Ada rasa tidak puas hati melihat keadaan itu. Seluar jeans yang dipakai oleh Irdina basah hingga ke paras lutut, tetapi seluar Razif tidak basah. Mereka mendapatkan ahli keluarga mereka yang sedang duduk di kantin sekolah.
“Ada roti lagi tak?” tanya Irdina.
“Anak-anak Kak Wina dah makan bagi habis tadi.” Kata Wina, isteri Ihsan.
“Makanan lain ada tak?” tanya Irdina.
“Tak ada. Tadi tak bawa banyak. Abang Ihsan dah balik ke rumah untuk ambil biskut dan air kosong,” jawab Wina lagi.
Irdina duduk di bangku kantin sambil mengibas kaki seluarnya yang basah. Razif yang duduk di sebelahnya hanya memerhatikan perbuatan Irdina.
“Sayang, lepas ni abang tak mahu sayang pakai seluar jeans lagi. Nampak bentuk paha dan kaki,” kata Razif.
Irdina mendengar rasa agak geram dengan larangan Razif. Seluar jeans adalah salah satu pakaian kegemarannya.
‘Aku hanya pakai jeans yang longgar dengan baju yang labuh. Tetapi kenapa dia masih melarang? Nak campak ke mana jeans aku nanti?’ kata hati Irdina.
“Abang nak suruh Irdina pakai baju kurung sepanjang masa?” tanya Irdina, tak puas hati.
“Itu yang sebaiknya. Kalau pakai jubah lagi manis rasanya,” kata Razif sambil tersenyum memandang Irdina.
‘Aduh! Nak kena ubah semuanya ke? Aku tak ada jubah, baju kurung pun boleh kira dengan jari,’ bisik hatinya.
Irdina menundukkan kepalanya memandang lantai. Hatinya menjadi gundah gulana memikirkan nasibnya nanti. Dia tahu bahawa dia pernah berjanji akan taat dan setia kepada suami, jadi segala larangan Razif terpaksa diikutinya walaupun berat baginya.
“Sayang, tengok bayi tu. Comelkan?” kata Razif sambil menunjukkan ke arah seorang bayi yang sedang ketawa mengekek apabila diagah oleh bapanya.
Irdina melihat bayi tersebut dan mengakui kata-kata Razif.
“Kalau boleh, abang pun nak anak yang comel dan sihat begitu,” kata Razif sambil memeluk pinggang Irdina.
Irdina terpaksa merelakan perbuatan Razif, walaupun hatinya tidak suka.
“Abang, boleh tak tolong ambil beg Irdina? Rasa sejuklah pakai seluar basah.”
“Baiklah. Sayang tunggu sini.”
Irdina hanya tersenyum sambil mengangguk.