Irdina
tersedar ketika merasakan sentuhan tangan seseorang di dahinya. Matanya dibuka
perlahan-lahan. Apabila dia menyedari Balkis berada di hadapannya, dia terus
bangun dan memeluk Balkis.
“Balkis…
aku nak balik.”
“Sebaiknya
Kak Irdina rehat saja di sini. Di sini ada doktor dan Mak Cik Sopiah yang boleh
jaga Kak Irdina,” ujar Balkis sambil meleraikan pelukannya.
“Aku
tak sanggup lama-lama di sini. Dua hari aku berada di sini dah mengubah seluruh
hidup aku. Aku dan Abang Razif akan kahwin tak lama lagi.”
“Aku
dah tahu hal ni daripada Mak Cik Sopiah. Tapi aku tak faham macam mana Kak
Irdina boleh setuju nak kahwin dengan Mamat yang kita kutuk dulu? Kak Irdina
dah jatuh cinta dengan dia ke?” tanya Balkis, hairan.
“Mungkin
ALLAH makbulkan doa kau,” ujar Irdina tanpa mahu menceritakan hal sebenar. Dia
tidak mahu mengingati peristiwa yang telah melukakan hatinya.
“Ya,
tak ya juga. Aku pernah doa masa di Pasar Mini tu. Tak sangka, makbul pula.”
Balkis ketawa.
Irdina
cuba ketawa tetapi bibirnya terasa sakit. Akhirnya dia hanya mengorak senyuman
nipis.
“Teruk
ke Kak Irdina terhempas ke kerusi hadapan sampai lebam-lebam dan berjahit?”
tanya Balkis.
“Mak
Cik Sopiah kata apa pasal kemalangan tu?” tanya Irdina ingin tahu. Dia takut
jika ceritanya nanti berbeza dengan cerita Mak Cik Sopiah.
“Mak
Cik Sopiah kata Abang Razif asyik pandang belakang untuk lihat Kak Irdina. Bila
kucing melintas, dia brek mengejut dan Kak Irdina terhempas ke kerusi hadapan.
Dia kata bahagian dalam mulut Kak Irdina luka dan kena jahit.”
“Awal kau balik hari ni? Selalunya petang baru
balik.” Irdina menyoal Balkis supaya Balkis tidak terus membicarakan hal itu.
“Awal
apa? Sekarang dah pukul 8.00 malam. Aku dah lama balik dan cari Kak Irdina di
sini. Waktu aku telefon, Kak Irdina tak angkat. Rupanya tidur mati,” ulas
Balkis.
“Dah
malam?” tanya Irdina tidak percaya.
“Ya,
malam.”
“Tadi
aku tidur, lepas Mak Cik Sopiah solat Zohor. Bermakna dah lama aku tidur.”
Irdina mengingati kembali.
Balkis
hanya menganggukkan kepalanya.
“Kenapa
Mak Cik Sopiah atau Abang Razif tak kejutkan aku?”
“Manalah
aku tahu. Mungkin Prince Charming tak
jumpa cari Sleeping Beauty untuk
memberi ciuman hikmat bagi menyedarkan Sleeping
Beauty,” Balkis bergurau.
“Banyaklah
kau punya Sleeping Beauty,” ujar
Irdina sambil tersenyum.
Tiba-tiba
Razif muncul di muka pintu yang terbuka. Dia melangkah masuk sambil tersenyum.
“Prince Charming dah datang. Tapi sayang Sleeping Beauty dah bangun. Kalau tidak
aku boleh tengok live aksi Prince Charming cium Sleeping Beauty macam dalam cerita tu,”
ujar Balkis sambil ketawa.
“Hisy!
Kau ni.” Irdina menampar tangan Balkis.
Razif
yang melihat, hanya tersenyum. Lapang hatinya melihat Irdina yang nampak
semakin pulih.
“Macam
mana Irdina?” tanya Razif.
“Rasa
makin baik. Kenapa tak kejutkan saya tadi?”
“Tak
sempat, nenek sihir dah masuk dulu. Kalau tak bolehlah Prince Charming kejutkan Sleeping
Beauty.” Razif ketawa.
“Amboi!
Sedap mulut saja panggil kita nenek sihir,” Balkis mencebikkan bibirnya.
Irdina
ketawa kecil melihat wajah Balkis. Tetapi cepat-cepat dia memegang pipi yang
terasa sengal.
“Irdina,
marilah keluar makan. Dah lama Irdina tak makan dan minum,” ajak Razif.
“Baiklah.
Abang Razif pergilah dulu, nanti saya keluar.”
Razif
keluar dari bilik. Irdina bangun perlahan-lahan lalu masuk ke bilik air. Dia
membersihkan dirinya dan kemudian mengambil wuduk. Seketika kemudian dia keluar
dan membentangkan sejadah. Balkis hanya memerhati Irdina melakukan solat.
Seusai berdoa, Irdina memakai tudung untuk keluar dari bilik itu.
“Irdina,
duduk di sini,” Mak Cik Sopiah menarik kerusi untuk Irdina.
Irdina
duduk di kerusi itu dan melihat hidangan yang memenuhi meja. Balkis duduk di
sebelah Irdina dan menyendukkan nasi untuk mereka. Razif yang duduk
bertentangan dengan Irdina asyik merenung wajah Irdina. Irdina yang terperasan
akan renungan itu hanya menundukkan wajahnya.
“Abang!”
panggil Rosnah sambil menyua pinggan nasi kepada abangnya.
Razif
mengambil pinggan itu. Mak Cik Sopiah yang memerhati tingkah laku Razif hanya
tersenyum sendirian. Mereka makan setelah berdoa. Irdina hanya mampu
menghabiskan separuh daripada bubur nasinya.
“Kenapa
tak habiskan Irdina?” tanya Razif.
“Dah
kenyang.”
“Makanlah
lagi. Mana nak ada tenaga kalau tak makan secukupnya,” sampuk Mak Cik Sopiah.
“Tak
larat nak habiskan. Balkis letak banyak sangat.” Irdina memberi alasan
sedangkan hakikatnya dia masih bersedih dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.
Ditambah pula, mulutnya masih terasa sakit setiap kali mengunyah makanan. Hal
ini membantutkan selera makannya.
“Mana
ada? Aku bubuh tak banyak mana pun,” bantah Balkis.
“Makanlah
Irdina. Jangan fikirkan sangat benda-benda lain sewaktu makan.” Mak Cik Sopiah
menasihati setelah berjaya mengesan riak di wajah Irdina.
Irdina
tidak mampu berdalih lagi. Lambat-lambat dia menghabiskan juga bubur nasi.
Apabila dia ingin membasuh pinggannya, Mak Cik Sopiah melarang. Razif mengajak
Irdina duduk di sofa agar memudahkannya memeriksa tahap kesihatan Irdina.
Irdina hanya menurut tanpa soal.
“Masih
rasa pening tak?” tanya Razif sambil memerhati wajah Irdina.
“Tak.”
Razif
memeriksa tekanan darah Irdina dan kemudian memeriksa nadinya. Setelah itu
Razif memeriksa luka di dalam mulut Irdina. Kedudukan Razif yang agak rapat
membuatkan Irdina tidak senang duduk. Matanya dipejamkan agar wajah Razif tidak
mengganggu jiwanya. Razif berlagak biasa walaupun sebenarnya agak terasa hati
melihat sikap Irdina yang tidak acuh kepadanya. Dia tahu Irdina menurut dalam
terpaksa.
“Abang
rasa keadaan Irdina dah semakin baik. Tapi kalau masih rasa pening dan nak
pitam cepat-cepat beritahu abang.”
“Boleh
saya balik? Saya tak mahu tidur di sini.”
“Apa
salahnya tidur di sini? Tak lama lagi pun Irdina kena tinggal di sini juga,”
ujar Razif sambil tersenyum.
Irdina
mengeluh. Dia sedar akan kenyataan itu. Tetapi sukar baginya untuk menerima
hakikat yang dia perlu berpindah masuk ke rumah itu dan tinggal sebilik dengan
Razif.
“Irdina
jangan risau. Malam ni, Irdina boleh balik ke rumah. Tapi minta Balkis temankan
Irdina di bilik. Abang tak mahu apa-apa terjadi pada Irdina. Kalau rasa tak
sihat, beritahu abang segera.”
Irdina
hanya menganggukkan kepalanya. Seketika kemudian, Balkis yang selesai menolong
Mak Cik Sopiah mengemas meja makan dan kerja-kerja membersih mengajak Irdina
pulang.
“Irdina
tunggu sekejap.” Mak Cik Sopiah mengambil sesuatu dari dalam beg tangannya. Mak
Cik Sopiah mengeluarkan sebentuk cincin dari kotaknya.
“Irdina,
mak cik minta maaf kerana tak sempat aturkan majlis pertunangan dengan abang Irdina
tadi. Keluarga Irdina setuju mak cik serahkan cincin pertunangan terus kepada
Irdina. Cincin ni mak cik beli sewaktu Irdina tidur tadi.”
Irdina
yang duduk di sofa hanya mendiamkan diri. Dia tidak menyangka Mak Cik Sopiah
akan bersusah payah untuk dirinya.
“Mak
Cik beri cincin ni sebagai tanda pertunangan Irdina dengan Razif,” ujar Mak Cik
Sopiah sambil menyarungkan cincin ke jari manis Irdina.
Irdina
menyalami Mak Cik Sopiah sambil mengucapkan terima kasih. Mak Cik Sopiah
memeluk Irdina dan mencium pipinya. Mereka yang menyaksikan hanya tersenyum
gembira. Tiada majlis rasmi seperti yang sepatutnya dilakukan. Pertunangan
mereka terlalu ringkas tanpa kehadiran kedua-dua belah keluarga. Hanya Balkis
yang mewakili keluarga Irdina. Ada hiba di hati Irdina. Terasa air matanya
bertakung di kelopak mata tetapi cepat dia mengawalnya agar tidak menitis di
pipi.
Razif
mengiringi Irdina dan Balkis untuk pulang ke rumah mereka. Dia mengekori
langkah Irdina dan Balkis dari belakang. Tiba-tiba mereka terdengar suara
kanak-kanak menangis dengan kuatnya dari arah hadapan.
“Kenapa
dengan Aman tu?” tanya Razif walaupun dia tahu soalannya itu tidak akan
dijawab.
Mereka
bertiga bergegas ke rumah Aman yang terletak bersebelahan rumah Mak cik Idah.
Ibu Aman, Kak Umi sedang berusaha mengeluarkan kepala Aman yang terlekat di
antara dua batang palang simen berbentuk seperti botol. Palang tersebut
merupakan tembok di antara rumah Kak Umi dengan rumah Mak Cik Idah.
“Macam
mana boleh jadi begini?” tanya Razif sambil melihat kepala Aman yang terlekat.
“Entahlah
Razif. Akak tengah lipat kain baju tadi. Aman ni kata nak main basikal di depan
ni. Alih-alih kepala dia melekat di sini,” jelas Kak Umi.
“Abang
Husin tak ada di rumah ke?” tanya Razif.
“Tak
balik lagi,” jawab Kak Umi.
“Macam
mana nak keluarkan kepala dia ni?” tanya Mak Cik Idah yang keluar untuk melihat
Aman.
Makin
ramai jiran datang melihat kejadian itu. Masing-masing memberi pendapat untuk
mengeluarkan kepala Aman yang sedang menangis.
“Aku
rasa kita patut ketuk saja palang simen ni,” Pak Cik Omar memberi cadangan.
“Hisy!
Mana boleh. Nanti kena kepala Aman pula,” bantah Mak Cik Idah.
“Kalau
macam tu, kita potong saja kepala Aman,” cadang Bakar.
“Gila
kau Bakar! Nak bunuh anak orang bolehlah,” marah Pak Cik Omar.
“Habis
tu nak buat macam mana?” tanya Bakar.
Razif
memujuk Aman supaya diam. Dia menyuruh Aman bertenang dan tidak meronta.
Perlahan-lahan Razif membantu Aman mengeluarkan kepalanya sedikit demi sedikit.
Akhirnya kepala Aman dapat dikeluarkan tanpa sebarang luka.
“Terima
kasih Razif kerana menolong Kak Umi,” kata Kak Umi.
Razif
hanya tersenyum sambil menggosok-gosok kepala Aman. Irdina yang memerhati hanya
tersenyum kepada Razif. Kak Umi membawa Aman masuk ke rumah. Jiran-jiran yang
lain mulai beransur pulang ke rumah. Bakar masih lagi menunggu di tepi jalan
untuk berbual dengan Irdina.
“Irdina!
Mari sini,” panggil Bakar.
“Kak
Irdina, Abang Burn panggil.” Balkis mencuit Irdina yang tidak memperdulikan
Bakar.
“Nak
apa Abang Burn?” tanya Razif sambil menghampiri Irdina. Dia takut jika Bakar
mengapa-apakan Irdina.
“Aku
nak bercakap dengan Irdina.” Bakar merapatkan jaraknya dengan mereka.
“Cakap
sajalah, tapi jangan dekati Irdina.” Razif memberi amaran.
“Apa
hak kau nak larang aku dekati dia?” tanya Bakar.
“Dia
tunang saya, Abang Burn. Jadi saya ada hak melarang,” tegas Razif.
“Hah!
Sejak bila pula dia jadi tunang kau?”
“Sejak
bila pun Abang Burn peduli apa? Jangan ganggu tunang saya. Jika tidak saya akan
bertindak.”
“Apa
kau nak buat? Tumbuk aku?” tanya Bakar sambil berdiri di hadapan Razif.
“Sudahlah
Abang Burn. Jangan ganggu saya.”
“Abang
Burn cuma nak bercakap dengan Irdina. Salahkah?”
“Salah!
Sebab saya bukan siapa-siapa pada Abang Burn. Lagipun tak elok dipandang
orang,” Irdina bertegas.
“Huh!
Sombongnya. Abang Burn bukan nak apa-apakan Irdina. Cuma nak cakap.”
“Apa
yang penting sangat? Cakaplah!” Irdina mulai bosan.
“Abang
Burn nak minta tolong Irdina, boleh tak?”
“Kalau
yang boleh di tolong, Insya ALLAH saya tolong.”
“Abang
Burn nak minta tolong Irdina hantarkan anak Abang Burn ke tadika esok. Kak
Zetty tak ada, buat Abang Burn kelam kabut pagi-pagi.”
“Selama
ni Abang Burn hantar sendiri, tak jadi masalah pun,” celah Razif.
“Tapi
Abang Burn terpaksa pusing merata tempat untuk hantar anak-anak. Sebab tu Abang
Burn nak minta tolong Irdina.”
“Kalau
begitu, biar saya yang hantar. Irdina tentu sibuk pagi-pagi,” pelawa Razif
sebelum sempat Irdina memberi jawapan.
“Aku
minta tolong Irdina bukan kau,” ujar Bakar, bengang.
“Saya
tolong pun sama macam Irdina tolong,” jawab Razif.
“Tak
sama. Orangnya berbeza.”
“Nak
kira orang atau nak kira pertolongan tu? Kalau sekadar nak hantar anak Abang
Burn, hari-hari saya boleh hantar,” ujar Razif yang dapat mengagak niat di
sebalik permintaan Bakar itu.
“Aku
tak suka kau. Jadi pertolongan kau pun aku tak suka. Irdina, boleh tak tolong
Abang Burn?” tanya Bakar sambil mendekati Irdina.
“Saya
bukan tak mahu tolong Abang Burn, tapi saya sendiri pun tak berapa sihat. Esok
pun, Balkis yang akan memandu. Saya rasa elok Abang Razif saja yang tolong
hantar,” Irdina menjarakkan dirinya daripada Bakar.
“Minta
tolong sikit pun payah, sombong sangat! Tak mengapa…ini hari kau lain kali
kalau jadi apa-apa jangan menyesal,” ujar Bakar sambil memasuki kawasan
rumahnya.
Irdina
terpinga-pinga melihat kemarahan Bakar. Razif menggelengkan kepalanya.
“Apa
masalah dia?” tanya Balkis, hairan.
“Dia
nak masuk jarum. Nak mengorat Irdina,” jawab Razif.
“Hisy!
Dah ada isteri cantik dengan anak yang berderet, pun masih nak menggatal lagi.
Adakah semua lelaki jenis tak cukup dengan seorang perempuan saja?” tanya
Balkis, geram.
“Bukan
semua lelaki tau. Abang Razif tak macam tu. Jenis yang rasa tak cukup-cukup tu
sebenarnya tak tahu bersyukur atas pemberian ALLAH. Ada yang tak mampu tapi
sengaja nak tunjuk hebat jika beristeri lebih.”
“Abang
Razif bolehlah mengaku sebab belum kahwin. Nanti dah kahwin, entah-entah sama
macam Abang Burn. Ligat mengorat perempuan lain,” usik Balkis.
“Hisy!
Kau ni doakan rumah tangga aku pula. Kau suka aku jadi macam Kak Zetty? Aku
takut doa kau makbul lagi,” celah Irdina.
“Opss!
Sorry. Terlupa yang Abang Razif nak
kahwin dengan Kak Irdina. Aku tarik balik kata-kata aku tu. Aku doakan rumah
tangga Kak Irdina dan Abang Razif akan bahagia dari dunia hingga akhirat.
Semoga Kak Irdina dan Abang Razif dikurniakan anak satu bas,” ujar Balkis
sambil ketawa.
“Balkis!
Kau ni memanglah. Suka kenakan aku.” Irdina mencubit lengan Balkis.
“Aduh!
Orang doa baik-baik, dia nak marah pula. Nanti aku doa supaya Kak Irdina dan
Abang Razif kahwin dalam banjir baru tau,” ujar Balkis dalam tawanya.
“Kenapa
banjir?” tanya Razif, hairan.
“Supaya
Abang Razif dan Kak Irdina tak dapat pergi ke mana-mana dan terkurung di bilik
saja. Confirm anak satu bas!” Balkis
ketawa lagi.
Razif
turut ketawa bila melihat Irdina menarik muka masam.
“Ada-ada
saja Balkis ni. Tapi bagus juga kalau banjirkan?” kata Razif sambil memandang
Irdina.
Irdina
hanya menjeling dan memasamkan mukanya kepada Razif.
“Jangan
marah gurau saja.”
Irdina
menarik tangan Balkis untuk masuk ke rumah mereka.
“Balkis,
tolong tengokkan Kak Irdina. Kalau ada apa-apa masalah beritahu Abang Razif,”
pesan Razif.
“Insya
ALLAH. Tapi saya tak boleh tengok lama-lama,” jawab Balkis, selamba.
“Kenapa?
Balkis nak ke mana?” tanya Razif, hairan.
“Kalau
asyik tengok Kak Irdina saja, bila masa saya nak tidur?” Balkis ketawa kerana
berjaya mengenakan Razif.
Razif
ketawa manakala Irdina hanya mampu tersenyum dengan jenaka Balkis. Mereka masuk
ke rumah setelah mengucapkan terima kasih kepada Razif. Razif pulang ke
rumahnya setelah memastikan Irdina selamat. Sebelum sempat Razif memasuki
rumahnya, Ustaz Azmi tiba dan memarkirkan keretanya di hadapan pagar rumah itu.
Ustaz Azmi memberi salam dan Razif menjawabnya.
“Dari
mana kau, Azmi?” tanya Razif.
“Aku
dari surau, ada ceramah tadi. Mak Cik Sopiah tak pergi ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Tak.”
“Selalunya
dia akan pergi bila ada ceramah. Kenapa tak pergi hari ni?”
“Ada
urusan sikit tadi, sebab tu dia tak pergi.”
Razif
agak resah untuk memberitahu hal sebenar. Mereka duduk di kerusi taman
berhadapan kolam ikan. Ustaz Azmi mengambil tempat duduk menghadap ke rumah
Irdina. Matanya memandang rumah Irdina yang kelihatan masih terang benderang.
Hatinya berbunga riang. Bila hati tengah angau, walaupun tidak nampak wajah
nampak rumah pun sudah memadai.
‘Tentu
Irdina belum tidur. Tetapi kenapa hingga kini Irdina tak balas mesej aku? Malah
telefon pun tak diangkat. Tak sudikah terima pinangan aku? Tapi bukankah itu yang
dia tunggu-tunggu?’ bisik hati Ustaz Azmi.
“Tunggu
sekejap. Aku pergi ambil air.” Razif bangun dan masuk ke rumahnya.
Kesempatan
itu digunakan oleh Ustaz Azmi untuk menelefon Irdina. Berkali-kali dia mendail
tetapi Irdina tidak menjawab.
‘Kenapa
tak angkat? Apa masalah dia?’ bisik hati Ustaz Azmi, kehairanan. Teka teki dan
kerisauan menjalar di kalbunya. Takut jika Irdina jatuh sakit dan tidak mampu
menjawab telefon.
Razif
muncul dengan membawa dulang berisi air dan biskut. Dia meletakkan dulang di atas
meja. Matanya sempat mencuri pandang wajah sugul Ustaz Azmi yang masih
memandang telefonnya.
“Minumlah
Azmi.”
“Terima
kasih.” Ustaz Azmi mencapai cawan air.
“Nampak
muram saja. Ada masalah ke?”
“Aku
risaulah. Dah banyak kali aku hantar mesej dan telefon tapi bakal isteri aku
tak balas atau angkat. Aku takut dia sakit sebab kelmarin dia tidak berapa
sihat,” ujar Ustaz Azmi yang masih tidak mengetahui situasi sebenar.
Bagai
ditumbuk dengan tumbukan padu, Razif terkedu. Serba salah melingkari diri.
Tanpa sengaja dia telah memisahkan dua jiwa yang sedang bercinta. Persoalan
demi persoalan menerpa di kotak fikirannya. Adakah dia perlu mengorbankan rasa
cintanya kepada Irdina demi persahabatannya dengan Ustaz Azmi? Tergamakkah dia
melukakan hati dan sekali gus memalukan emaknya? Apa yang perlu dilakukannya
kini?
“Razif,
ada tak Irdina datang ke rumah kau? Macam mana keadaannya. Demam lagi tak?”
tanya Ustaz Azmi bertalu-talu.
Razif
menelan liur. Bagaimana dia hendak menerangkan keadaan Irdina kepada Ustaz Azmi?
“Razif?”
Ustaz Azmi kehairanan melihat perubahan wajah Razif apabila nama Irdina
disebut.
“Aku
tak tahu. Kau tanyalah dia sendiri.”
Ustaz
Azmi mendiamkan dirinya. Mereka berbual hal yang lain buat beberapa ketika.
Ustaz Azmi terperasan yang Razif kurang bersemangat berbual dengannya dan
seolah-olah tidak menyenangi kehadirannya di situ.
“Tolong
beritahu Ros, aku tak ada seminggu mulai esok sebab aku kena bawa murid-murid
ke perkhemahan. Kelas dia terpaksa tangguh dulu.”
“Baiklah.
Nanti aku beritahu.”
“Razif
aku minta diri dulu.” Ustaz Azmi bangun untuk bersalaman dengan Razif.
Razif
mengiring Ustaz Azmi ke kereta. Dia menjawab salam yang diberi oleh Ustaz Azmi
sebelum Ustaz Azmi berlalu dari situ. Razif mengeluarkan telefonnya lalu
mendail nombor Irdina. Seketika kemudian telefonnya diangkat.
“Irdina,
abang nak cakap dengan Irdina sekejap.”
“Cakaplah,
saya dengar.”
“Tadi
Azmi datang jumpa abang. Dia tanyakan Irdina tetapi abang tak ceritakan apa-apa
pada dia. Dia kata Irdina tak balas mesej dan tak angkat telefon. Kenapa tak
mahu berterus terang dengan dia?”
“Abang
sajalah yang berterus terang.”
“Kenapa
bukan Irdina? Sepatutnya Irdina beritahu dia supaya dia tak tertanya-tanya.”
“Saya
dah cukup terluka sebelum ni. Bila dah sembuh, kenapa saya terluka lagi? Kalau
saya bercakap dengan dia seolah-olah saya menghiris hati sendiri. Pedih dan
perit.”
“Abang
minta maaf. Tapi biarlah abang yang rawat luka Irdina.”
“Abang mungkin mampu rawat dan jahit luka di
mulut saya tapi adakah abang mampu jahit luka-luka di hati saya?”
“Abang
berjanji akan membahagiakan Irdina dan mencintai Irdina sepenuh hati.
Lupakanlah segala kisah duka. Irdina perlu melangkah ke hadapan dan jangan lagi
menoleh ke belakang. Biarkan yang lepas menjadi lipatan sejarah. Abang harap
kita bina hidup baru bersama-sama. Kita boleh bahagia, percayalah.”
“Berilah
saya sedikit masa,” ucap Irdina perlahan.
“Ambillah
sebanyak mana masa yang Irdina perlukan. Abang akan tunggu hingga Irdina
benar-benar menerima abang.”
Irdina
hanya mendiamkan dirinya. Seketika kemudian dia meminta diri dan memutuskan
talian.
3 ulasan:
menanti bab seterusnya heee
Kesian Irdina, walaupun Razif merasakan Irdina ni macam banyak kawan lelaki tetapi Muaz tahu Irdina gadis yang bagaimana, sayangnya mereka tiada berjodoh kerana ibu Razif tetap mahukan Irdina. Perlukah Irdina berkorban begitu. Harap ada sinar buat Irdina dan Razif.
Tanpa nama dan seri ayu,
Teruskan mengikuti kisah mereka. Perlukah Irdina berkorban? Nantikan episod seterusnya. :)
Catat Ulasan