Malam itu Pak
Cik Idris menyuruh Razif tidur di rumahnya. Razif membawa semua pakaiannya
supaya memudahkan mereka bertolak pulang keesokkan harinya. Hujan masih turun
dan sesekali lebat. Irdina mengemas dan membasuh pinggan mangkuk di dapur.
Razif berada di ruang hadapan, berbual-bual dengan keluarga Irdina.
“Abah,
ayag dah naik kat taman belakang,” kata Ilyas yang masuk dengan pakaian yang
basah.
“Ayag
sungai dah melimpah?” tanya Pak Cik Idris.
“Dah.
Ramai orang taman bawak kereta ke masjid,” sambung Ilyas lagi.
Pak
Cik Idris mengambil payung lalu keluar untuk melihat air sungai. Beberapa orang
keluarga Irdina juga turut keluar setelah hujan berhenti. Razif turut menyertai
mereka untuk melihat paras air banjir. Irdina masuk ke biliknya setelah habis
mengemas di dapur. Jam ketika itu telah menunjukkan hampir 11.00 malam. Dia
mengunci pintu dan menyalin baju tidur. Sebuah majalah dan pemain muzik digital
di ambil dari dalam begnya. Dia membaringkan diri sambil membaca majalah
tersebut. Alat pendengar diletakkan di kedua-dua belah telinganya untuk
mendengar lagu dari pemain muzik tersebut.
Razif
masuk ke rumah selepas beberapa ketika. Kebanyakan ahli keluarga Irdina telah
masuk tidur. Pak Cik Idris menyuruh Razif masuk ke bilik Irdina untuk tidur
setelah melihat Razif menguap beberapa kali. Razif melangkah menuju ke bilik
Irdina.
“Sayang,
buka pintu. Abang ni.” Razif mengetuk pintu bilik. Tetapi Irdina tidak
membukanya. Beberapa kali dia mencuba, akhirnya Razif berhenti mengetuk. Dia
mengaru-garu kepala yang tidak gatal.
‘Isteri
aku buat apa sampai tak dengar aku panggil? Tak bagi aku masuk ke? Aku nak
tidur mana ni?’ Bisik hati Razif penuh resah.
Setelah
beberapa ketika Razif berdiri di situ, Pak Cik Idris menghampirinya. “Irdina
tak buka pintu?” tanya Pak Cik Idris.
“Tak.
Dah lama saya panggil dan ketuk pintu.”
Pak
Cik Idris mengetuk pintu bertalu-talu hingga menyedarkan kebanyakan ahli
keluarga yang lain. Mereka keluar untuk melihat apa yang berlaku. Razif berasa
malu kerana ramai ahli keluarga Irdina yang memandangnya dengan kehairanan.
“Kenapa
Irdina tak bukak pintu? Macam nak pecah kita ketuk pintu ni, takkan tak dengag
lagi?” tanya Pak Cik Idris.
“Dia
pengsan kot.” Teka Mak Cik Mesa, risau.
Razif
agak risau membayangkan hal itu.
“Kita
pecah saja pintu ni.” Ilyas memberi cadangan.
Mereka
bersetuju dengan cadangan itu dan mula merempuh pintu tetapi tidak berjaya.
“Apa
kata, kita panjat siling dan pecahkan siling bilik dia.” Cadang Razif.
“Baiklah,”
kata Pak Cik Idris. Dia mengarahkan Ilyas untuk mengambil tangga bagi memanjat
siling. Mak Cik Mesa yang tidak putus asa terus memanggil Irdina. Irdina yang terdengar
sayup-sayup panggilan ibunya, membuka mata.
“Ilyas
dah ambil lampu picit?” tanya Ihsan.
“Dah,”
kata Ilyas yang mula memanjat tangga sambil dibantu oleh abangnya.
“Nak
buat apa panjat tangga tu?” tanya Irdina yang terjengul di muka pintu bilik.
“Astaghfirullah!
Anak bertuah. Orang panggil sampai nak pecah pintu, tak bangun-bangun.” Mak Cik
Mesa, marah.
Mereka
semua memarahi Irdina kerana mengunci pintu. Irdina hanya mampu menundukkan
kepalanya ketika itu. Razif menggelengkan kepalanya.
“Lain
kali jangan dok kunci pintu kalau laki tak masuk lagi. Jangan bagi laki marah,
nanti tak cium bau syurga,” bebel Pak Cik Idris sambil berlalu dari situ.
Mereka
yang lain turut meninggalkan Irdina dan Razif. Masing-masing ingin menyambung
tidur yang terganggu.
“Abang,
maafkan Irdina. Irdina dah terbiasa kunci bilik sebelum tidur. Tadi tak sengaja
terkunci.” Irdina mencapai tangan Razif lalu diciumnya.
“Lain
kali jangan buat abang risau,” kata Razif.
Mereka
melangkah masuk ke bilik dan Irdina mengambil majalah serta pemain muzik
digitalnya untuk disimpan.
“Apa
sayang buat sampai tak dengar panggilan kami tadi?” kata Razif sambil duduk di
birai katil.
“Buat
bodoh,” jawab Irdina sambil ketawa.
“Apa?”
“Tak…
tadi Irdina tertidur masa baca dan dengar lagu. Mungkin Irdina tak dengar sebab
alat pendengar tu masih di telinga,” terang Irdina yang masih berdiri
berhampiran meja solek.
Razif
melihat Irdina dari atas ke bawah. Dia mengagumi kecantikan isterinya yang
nampak menarik di dalam gaun tidur berwarna merah jambu. Walaupun warna itu
tidak disukai Razif, tetapi tidak mencacatkannya di mata Razif. Irdina agak
resah dengan pandangan mata Razif yang terpaku melihatnya.
“Sayang
nak berdiri di situ sepanjang malam?” tanya Razif dalam senyumannya.
“Ya…
er… tak,” jawab Irdina gugup.
Razif
ketawa kecil sambil bangun lalu menarik tangan Irdina untuk duduk di katil.
“Sayang takut ke?” tanya Razif.
“Boleh
tak kita sambung cerita Bayan Budiman?” tanya Irdina spontan.
“Bayan
tak mengantuk ke?” tanya Razif sambil ketawa.
“Tak,
bayan boleh bercerita hingga ke pagi.”
“Buat
apa nak dengar cerita? Abang nak tidurlah, mengantuk sangat ni.”
“Kalau
begitu, abang tidurlah dulu. Irdina nak sambung baca buku.” Irdina memberi
alasan. Gementar hatinya, hanya Allah Yang Tahu.
“Macam
mana abang nak tidur kalau lampu terpasang?”
Irdina
menggaru kepala yang tidak gatal. Seboleh mungkin dia tidak mahu tidur sekatil
dengan Razif. Hatinya masih belum dapat menerima Razif. Razif yang faham akan
kerisauan Irdina hanya tersenyum.
“Sayang
jangan risau. Sayang tidur sebelah sini, abang tidur sebelah sana. Bantal ni
jadi sempadan. Boleh tak?” kata Razif memberi cadangan.
Irdina
bersetuju dengan cadangan Razif lalu bangun menutup lampu. Razif meletakkan
bantal peluk di tengah-tengah sebagai sempadan. Tidak sampai seminit, terdengar
dengkuran Razif menandakan Razif telah tidur. Irdina menutup telinganya kerana
tidak tahan dengan bunyi dengkuran tersebut.
‘Macam
mana nak tidur kalau asyik dengar dengkuran yang bising ni?’ bisik hati Irdina.
Irdina
teringatkan pemain muzik digitalnya. Dia mengambil alat tersebut lalu
disumbatkan alat mendengar ke telinga. Muzik yang lembut dipasang dan dia
merebahkan kepalanya. Akhirnya dia tertidur juga. Hujan makin lebat di luar.
Kedinginan makin terasa menyebabkan Irdina mencapai bantal lalu memeluknya.
Sayup-sayup
terdengar di telinga Irdina suara ibunya bercakap-cakap. Irdina dapat merasakan
tubuhnya dipeluk dari belakang. Dalam gerak spontan dia menolak kasar tubuh di
belakangnya hingga menyebabkan tubuh itu jatuh ke bawah.
“Aduh!”
terdengar suara Razif mengadui.
Irdina
berasa hairan seketika kerana sangkanya yang ditolak tadi adalah Balkis. Balkis
pernah terpeluknya ketika mereka tidur berdua dan dia bertindak sebegitu
sebelum ini.
“Alamak!
Maaflah abang. Irdina tak sengaja.” Irdina baru tersedar kesilapannya apabila
melihat Razif bangun sambil menggosok punggung.
Razif
tidak berkata apa-apa dan perlahan-lahan naik ke atas katil. Dia mengambil
bantal peluk di tangan Irdina lalu diletakkannya di tengah. Badannya direbahkan
dengan membelakangkan Irdina. Irdina menjadi serba salah kerana perbuatannya
itu.
“Abang,
Irdina minta maaf.” Irdina menyentuh lengan Razif.
Razif
masih tidak memperdulikan Irdina. Hati Irdina diburu perasaan bersalah. Irdina
menarik bantal yang dijadikan sempadan lalu mendekati Razif.
“Abang,
marahkan Irdina?” tanya Irdina sambil merapatkan wajahnya ke wajah Razif.
Razif
yang kegelian ketika hujung rambut Irdina mengenai lehernya, ketawa kecil. Dia
memusingkan badannya secara spontan membuatkan Irdina hilang keseimbangan.
Irdina jatuh ke atas badan Razif. Ketika Irdina cuba bangun, Razif memeluknya.
“Abang…
mak panggil tu,” kata Irdina.
Razif
tidak memperdulikan kata-kata Irdina lalu merebahkan isterinya itu. Dia cuba
merapatkan bibirnya ke bibir Irdina tetapi Irdina mengelak.
“Abang!
Mak panggil,” kata Irdina menyedarkan Razif.
Mak
Cik Mesa memanggil-manggil mereka di luar pintu dengan menyatakan rumah mereka
telah dinaiki air pada bahagian dapur. Mereka bergegas keluar untuk melihat
keadaan di dapur. Air telah memenuhi lantai dapur.
“Razif!
Pergi ubah kereta ke masjid. Air makin naik, takut nanti tak boleh keluar,” arah
Ihsan.
Razif
segera mengambil kunci lalu keluar untuk mengubah keretanya. Irdina menolong
ibunya mengangkat barang-barang di ruang hadapan. Setiap ahli keluarga
mengangkat barang ke atas meja dan juga kerusi.
“Irdina,
pi kemas bilik. Nanti nak kena angkat tilam tu,” kata Mak Cik Mesa.
Irdina
masuk ke biliknya. Dia mula mengemas dan mengangkat beg pakaiannya. Razif
pulang dengan berjalan kaki setelah meletakkan keretanya di kawasan masjid yang
lebih tinggi. Dia masuk ke bilik sewaktu Irdina sedang menyusun bantal ke dalam
almari.
“Sayang,
lebih baik sayang tukar baju. Takut nanti kita kena keluar dari sini.”
“Kenapa?
Air makin naik ke?”
“Tadi
Abang Ihsan beritahu, enam pintu empang sudah dibuka dan airnya menghala ke
sungai belakang rumah ni.”
Irdina
menyalin pakaiannya setelah Razif keluar dari bilik untuk menolong yang lain
mengubah barang. Mereka menyusun di atas meja sehingga tiada ruang untuk
diletakkan barang. Azan subuh kedengaran dari arah masjid dan mereka
kemudiannya bersolat di kawasan yang belum ditenggelami air.
Razif
membawa beg pakaiannya dan beg pakaian Irdina keluar dari bilik tersebut.
Mereka mengambil keputusan untuk berpindah setelah keseluruhan ruang di rumah
itu digenangi air separas lutut. Keluarga Irdina membawa barang-barang
keperluan dan barang berharga menuju ke penempatan banjir. Kawasan masjid telah
dipenuhi oleh penduduk yang berpindah. Disebabkan tidak mahu berasa-asak,
keluarga Irdina memilih penempatan di sekolah yang terletak berhadapan masjid.
“Abang
letak kereta di mana?” tanya Irdina.
“Ada
di sana.” Kata Razif sambil menunjuk ke arah keretanya.
“Irdina
nak tinggalkan kasut dan beg dalam kereta.”
“Baiklah.
Marilah ke sana.”
Irdina
memasukkan kasutnya ke dalam kereta. Dia hanya memakai selipar dan mengambil
beg tangannya. Razif turut meninggalkan beg pakaian mereka dan meletakkan
beg-beg tersebut di but kereta.
“Rasa
laparlah. Ada apa-apa untuk dimakan tak?” tanya Razif.
“Tadi
tak sempat sediakan sarapan. Roti dan air kosong adalah mak bawa.”
“Kedai
makan buka tak?” tanya Razif.
“Entahlah.
Kalau nak cuba cari, boleh juga.” Jawab Irdina.
Mereka
masuk ke dalam kereta dan bergerak menghala ke pusat bandar tetapi terpaksa
berpatah balik kerana paras air agak tinggi di pertengahan jalan.
“Kita
nak cari di mana?” tanya Razif.
“Abang
ikut saja jalan ni hingga kita jumpa kedai makan,” cadang Irdina.
Razif
mengikut saranan Irdina. Dia memandu perlahan sambil matanya melihat ke kiri
dan kanan jalan. Terdapat sebuah kedai makan di situ tetapi tidak dibuka. Razif
terpaksa berpatah balik setelah perjalanannya terhalang oleh banjir.
“Derasnya
air tu,” kata Irdina sambil melihat aliran air yang bergelombang dan mengalir
laju.
“Airnya
nampak jernih. Rasa macam nak mandi pula,” kata Razif.
“Air
dari empang, sebab tu jernih.”
Mereka
akhirnya kembali ke sekolah setelah meletakkan kereta di pekarangan masjid.
Kawasan sekolah turut digenangi air walaupun tidak begitu dalam. Razif melihat
Irdina melipat kaki seluarnya untuk mengharungi air.
“Sayang…
tak payah lipat kaki seluar tu. Nampak habis kaki sayang yang gebu tu,” kata
Razif sambil melihat kaki Irdina.
“Nanti
basahlah seluar ni.” Irdina cuba membantah.
“Nak
basah atau nak tanggung dosa? Kalau abang biar, abang pun terpaksa tanggung
dosa sayang.”
Irdina
melepaskan lipatan di seluarnya. Dia melihat Razif melipat kaki seluar sebelum
mengharungi air. Ada rasa tidak puas hati melihat keadaan itu. Seluar jeans
yang dipakai oleh Irdina basah hingga ke paras lutut, tetapi seluar Razif tidak
basah. Mereka mendapatkan ahli keluarga mereka yang sedang duduk di kantin
sekolah.
“Ada
roti lagi tak?” tanya Irdina.
“Anak-anak
Kak Wina dah makan bagi habis tadi.” Kata Wina, isteri Ihsan.
“Makanan
lain ada tak?” tanya Irdina.
“Tak
ada. Tadi tak bawa banyak. Abang Ihsan dah balik ke rumah untuk ambil biskut
dan air kosong,” jawab Wina lagi.
Irdina
duduk di bangku kantin sambil mengibas kaki seluarnya yang basah. Razif yang
duduk di sebelahnya hanya memerhatikan perbuatan Irdina.
“Sayang,
lepas ni abang tak mahu sayang pakai seluar jeans lagi. Nampak bentuk paha dan
kaki,” kata Razif.
Irdina
mendengar rasa agak geram dengan larangan Razif. Seluar jeans adalah salah satu
pakaian kegemarannya.
‘Aku
hanya pakai jeans yang longgar dengan baju yang labuh. Tetapi kenapa dia masih
melarang? Nak campak ke mana jeans aku nanti?’ kata hati Irdina.
“Abang
nak suruh Irdina pakai baju kurung sepanjang masa?” tanya Irdina, tak puas
hati.
“Itu
yang sebaiknya. Kalau pakai jubah lagi manis rasanya,” kata Razif sambil
tersenyum memandang Irdina.
‘Aduh!
Nak kena ubah semuanya ke? Aku tak ada jubah, baju kurung pun boleh kira dengan
jari,’ bisik hatinya.
Irdina
menundukkan kepalanya memandang lantai. Hatinya menjadi gundah gulana
memikirkan nasibnya nanti. Dia tahu bahawa dia pernah berjanji akan taat dan
setia kepada suami, jadi segala larangan Razif terpaksa diikutinya walaupun
berat baginya.
“Sayang,
tengok bayi tu. Comelkan?” kata Razif sambil menunjukkan ke arah seorang bayi
yang sedang ketawa mengekek apabila diagah oleh bapanya.
Irdina
melihat bayi tersebut dan mengakui kata-kata Razif.
“Kalau
boleh, abang pun nak anak yang comel dan sihat begitu,” kata Razif sambil
memeluk pinggang Irdina.
Irdina
terpaksa merelakan perbuatan Razif, walaupun hatinya tidak suka.
“Abang,
boleh tak tolong ambil beg Irdina? Rasa sejuklah pakai seluar basah.”
“Baiklah.
Sayang tunggu sini.”
Irdina hanya
tersenyum sambil mengangguk.
3 ulasan:
Abang king Control sudah bermula.. kena Irdina terima segalanya..hahaha :)
ya...maka bermulalah. :)
cpt2 lha msuk kan bab seterusnya heheh
Catat Ulasan