Pengikut

Khamis, 3 Januari 2013

Abang King Control Ke? - bab 14



Pintu bilik tamu diketuk. Irdina bangun perlahan-lahan membuka pintu. Mak Cik Sopiah memaklumkan kepada Irdina bahawa Ihsan ingin pulang. Irdina segera keluar untuk berjumpa abangnya.
“Irdina, abang minta maaf kerana berkasar dengan Irdina. Abang harap selepas ni Irdina akan hidup bahagia di samping Razif. Abang tumpang gembira, jika Irdina gembira,” Ihsan mencium dahi adiknya setelah Irdina menyalaminya.
 “Razif, tolong jaga Irdina baik-baik. Jangan sia-siakan dia,” pesan Ihsan sambil bersalaman dengan Razif.
“Saya berjanji akan bahagiakan dia dan menjaganya selagi hayat di kandung badan,” janji Razif.
Ihsan kemudiannya menaiki keretanya untuk pulang ke tempat kerja. Dia mengangkat tangan kepada mereka bertiga. Irdina hanya memandang dengan pandangan yang kosong kepulangan abangnya. Dia hanya mengikut langkah kaki tanpa mahu berfikir.
“Irdina, mari makan bubur nasi,” ajak Mak Cik Sopiah.
Irdina mengekori langkah Mak Cik Sopiah dan duduk di meja makan. Mak Cik Sopiah menyendukkan bubur nasi ke dalam mangkuk dan menuangkan sedikit kicap kegemaran Irdina. Dia memberikan mangkuk bubur itu kepada Irdina. Irdina hanya melihat tanpa mahu menyentuhnya.
“Irdina, makanlah. Jangan biar perut tu kosong. Lepas tu, makan ubat sekali.” Mak Cik Sopiah, mengarah.
Irdina makan tanpa kata. Dia seolah-olah hilang perasaan dan hanya menurut segala suruhan tanpa protes. Bubur yang dimakan tidak banyak yang luak. Disebabkan ingin segera keluar dari situ, Irdina bangun dan membawa mangkuk ke singki lalu membasuhnya. Dia kemudiannya mengambil ubat yang diberikan oleh Mak Cik Sopiah walaupun terasa sukar untuk menelannya. Setelah itu dia meminta diri untuk pulang ke rumahnya.
“Nanti sekejap. Biar abang periksa tekanan darah dan luka awak,” ujar Razif yang nampak perubahan pada diri Irdina. Dia takut Irdina akan jatuh pengsan jika tekanan darah makin rendah.
“Tak mengapalah. Saya rasa cukup sihat sekarang.”
“Lebih baik awak jangan balik lagi. Rehatlah di sini. Keadaan awak tak stabil. Abang takut, tiba-tiba awak pitam.”
“Saya nak balik. Lagi lama saya di sini, lagi kacau jiwa saya,” ujar Irdina berterus terang.
“Irdina, rehatlah dulu di sini. Kalau tinggal di sini, mak cik boleh tolong tengokkan,” ujar Mak Cik Sopiah. Dia juga risau melihat keadaan Irdina yang jelas tidak bermaya.
“Tak mengapalah mak cik, saya boleh jaga diri sendiri. Terima kasih banyak kerana menjaga dan menolong saya dua hari ini.” Irdina bangun untuk pulang.
Irdina mengambil beg tangannya dan melangkah menuju pintu. Tetapi sebelum sempat dia melangkah keluar, tiba-tiba badannya menjadi lemah dan pandangannya gelap. Kepalanya bagaikan berpusing dan telinganya berdengung. Dia mendengar di hujung telinga, namanya dipanggil. Seketika kemudian suasana menjadi sepi buat Irdina. Dia pitam.
“Cepat Razif! Tolong angkat Irdina.” Mak Cik Sopiah cemas.
Razif segera mengangkat Irdina lalu meletakkannya di atas permaidani di ruang hadapan. Nama Irdina dipanggil bertalu-talu oleh Razif dan Mak Cik Sopiah. Razif meninggikan kaki Irdina daripada paras badan dengan meletakkan kusyen kecil di bawah kaki Irdina.
“Mak, tolong longgarkan tudung dia.”
Mak Cik Sopiah menanggalkan pin tudung Irdina dan melonggarkan tudung itu. Razif mencuba pelbagai cara untuk menyedarkan Irdina tetapi gagal. Irdina telah pengsan sepenuhnya. Bibir Irdina kelihatan membiru. Razif mendongakkan kepala Irdina dan membetulkan saluran penafasan. Dia juga mendapati gerak penafasan Irdina agak lemah dan tersekat-sekat. Razif mengeluarkan ubat tablet yang menghalang saluran penafasan Irdina. Mungkin ubat yang ditelan Irdina tidak masuk ke perut tetapi masih tersekat di kerongkong.
“Razif, kenapa Irdina tak sedar lagi? Risau mak tengok dia.”
“Razif akan buat CPR supaya dia boleh bernafas dengan baik. Mak tolong ambilkan air.”
 Mak Cik Sopiah segera bergerak ke dapur. Razif membuat rawatan kecemasan dari mulut ke mulut. Ketika itu Mak Cik Idah jiran di hadapan rumah Mak Cik Sopiah tiba di pintu hadapan. Dia berdiri di muka pintu sambil melihat perbuatan Razif. Pada sangkaannya Razif sedang berciuman dengan Irdina. Mak Cik Idah membatalkan niatnya untuk memasuki rumah itu dan berlalu pergi.
Seketika kemudian Irdina terbatuk kecil dan kembali bernafas dengan baik. Irdina membuka matanya dan memandang ke arah Razif yang tersenyum memandangnya.
“Alhamdullillah, Irdina dah sedar. Risau hati abang bila Irdina tak sedar tadi.”
“Apa yang terjadi?” tanya Irdina cuba untuk bangun.
“Jangan bangun lagi. Rehat dulu,” ujar Razif sambil tangannya menghalang Irdina bangun.
Razif mengiringkan badan Irdina dalam posisi pemulihan.
 “Irdina, maafkan abang atas apa yang terjadi hari ini. Abang kesal sebab kesilapan abang, Irdina yang menerima padah. Tak pasal-pasal wajah Irdina lebam-lebam.” Razif memandang wajah Irdina penuh simpati.
“Apa nak buat dah nasib badan.” keluh Irdina, lemah.
“Irdina, walau apa yang terjadi selepas ini, abang akan bertanggungjawab. Abang tak mahu Irdina terluka lagi. Kita lupakan segala kesilapan yang lepas dan kita bina hidup baru. Abang sudi terima Irdina dan abang harap Irdina juga sudi terima abang.”
Irdina hanya mendiamkan diri. Sukar baginya untuk menerima Razif kerana hatinya masih mengharapkan Ustaz Azmi. Mak Cik Sopiah tiba dengan segelas air di tangan. Dia memberikan air kepada Razif. Razif menuangkan sedikit air ke tapak tangannya dan membasahkan wajah Irdina. Irdina meminum sedikit air yang diberikan. Dia memegang kepalanya yang masih terasa pening.
“Kenapa? Irdina pening lagi ke?” tanya Razif.
“Ya,” jawab Irdina.
“Razif, angkat Irdina ke bilik. Biar dia berehat di sana.”
Razif mengangkat Irdina dan kemudian membawanya ke bilik tamu. Mak Cik Sopiah membukakan pintu bilik untuk Razif. Perlahan-lahan Irdina diletakkan oleh Razif di atas katil. Irdina memejamkan matanya. Enggan melihat wajah Razif yang begitu hampir dengannya.
“Irdina!” Razif memanggil, takut jika Irdina tidak sedarkan diri lagi.
Irdina membukakan matanya dan memandang Razif.
“Jangan pejamkan mata Irdina. Abang takut Irdina pengsan semula.” Razif duduk di birai katil. Razif memegang tangan Irdina dan memeriksa nadinya.
“Macam mana Razif?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Badan dia masih lemah, tapi nadi dan pernafasan dia dah stabil.”
“Kalau begitu, Razif tengokkan Irdina sekejap. Mak nak naik ke atas untuk solat. Razif, jangan buat benda tak senonoh pula pada dia,” pesan Mak Cik Sopiah.
“Percayalah mak. Razif tak buat benda begitu. Razif masih tahu halal haram,” jawab Razif. Dia tahu ibunya masih menaruh syak wasangka terhadapnya.
“Baguslah kalau ingat halal haram. Jangan nak ambil kesempatan masa orang sakit. Kawal diri tu. Tak lama lagi, bila dah halal, buatlah apa yang nak buat.” Mak Cik Sopiah separuh berleter.
“Baiklah mak,” jawab Razif.
Mak Cik Sopiah meninggalkan bilik itu dengan pintu yang terbuka dan naik ke tingkat atas. Razif melihat wajah Irdina yang kelihatan masih pucat. Irdina mengalihkan wajahnya daripada memandang Razif.
“Irdina… abang tahu Irdina bencikan abang,” ujar Razif, pelahan.
Irdina tidak memberikan respon terhadap kata-kata Razif. Hatinya terasa hancur berkecai.
“Abang harap Irdina boleh maafkan abang. Kita perlu bina rumah tangga dalam suasana harmoni tanpa permusuhan dan kebencian. Abang sebenarnya telah jatuh cinta pada Irdina tetapi kerana sikap abang yang ego membuatkan abang menafikannya. Abang sedar, sikap abang telah membuatkan Irdina membenci abang,” Razif meluahkan apa yang ada di hatinya.
Ada butiran jernih yang mengalir daripada kelopak mata Irdina. Kata-kata Razif sedikit sebanyak menyentuh perasaannya. Fikirannya kusut. Bagaimana untuk dia menerima Razif sedangkan tiada cinta di hatinya untuk Razif? Wajah Ustaz Azmi muncul di minda. Ini membuatkan hatinya bertambah pilu. Razif menyeka air mata Irdina sambil memujuknya.
“Abang, jika tidak kerana abang masuk ke bilik tadi mungkin harapan Irdina untuk hidup bersama Ustaz Azmi akan tercapai. Sebentar tadi dia maklumkan, ibu dia dah setuju untuk masuk meminang,” kata Irdina dengan aliran air mata yang semakin deras. Razif mendengar sambil menelan liur yang kelat.
Mak Cik Idah datang ke rumah Razif dengan beberapa orang lelaki. Mereka diketuai oleh Imam Kahar iaitu suami Mak Cik Idah sendiri. Bakar yang baru pulang daripada mengambil anaknya di sekolah turut menyertai mereka. Mereka memberi salam tetapi tiada jawapan. Pintu rumah Razif terbuka luas menyebabkan mereka terus memasuki rumah itu.
“Tadi saya lihat sendiri Razif tengah lakukan perbuatan keji dengan budak perempuan rumah sebelah, atas permaidani ni,” ujar Mak Cik Idah sambil menunjukkan tempat di mana dia melihat Razif dan Irdina.
“Kita tak boleh biarkan maksiat berlaku di dalam taman kita ni,” kata salah seorang daripada lelaki tersebut.
“Ya. Kita kena cari di mana mereka bersembunyi,” sahut seorang lagi.
Mereka terus menyerbu bilik yang terdapat di tingkat bawah termasuk bilik tamu.
“Imam! Mereka ada di sini,” jerit Bakar sambil meluru ke arah Razif.
Razif dan Irdina terkejut dengan kehadiran kumpulan itu. Tanpa kata, Bakar terus menumbuk muka dan perut Razif. Razif jatuh terlentang di lantai.
“Jangan Abang Burn!” tegah Irdina ketika melihat Bakar ingin menumbuk Razif lagi. Terhoyong hayang Irdina turun dari katil untuk mendapatkan Razif.
“Kau diam Irdina! Kenapa kau begitu keji hingga sanggup berzina dengan Razif?” Tuduh Bakar penuh emosi marah.
“Abang Burn jangan buat fitnah. Kami tak buat apa-apa pun.” Balas Irdina, geram.
Bakar ingin menampar Irdina tetapi cepat dihalang oleh Razif.
“Abang Burn jangan melampau. Irdina tengah sakit,” Razif menolak tubuh Bakar.
Bakar bingkas bangun dan ingin bertindak balas. Razif segera melindungi Irdina dengan tubuhnya. Irdina yang ketakutan bersembunyi di belakang Razif.
“Bakar! Jangan bertindak melulu,” tegah Imam Kahar.
“Tapi Abang Kahar kita tak boleh biarkan mereka berbuat maksiat,” bantah Bakar.
“Sabar! Kita siasat dulu perkara ni,” tegas Imam Kahar.
“Razif, mana mak kamu? Kenapa kamu berdua berada di bilik ni?” tanya Imam Kahar.
“Mak ada di atas, tengah solat. Saya temankan Irdina sebab tadi dia pengsan.”
“Pengsan apa? Aku nampak kau bercium dengan dia di depan rumah. Berani kau buat maksiat di siang hari dengan pintu yang terbuka luas,” sanggah Mak cik Idah.
“Mak Cik dah salah faham. Saya lakukan CPR pernafasan mulut ke mulut pada Irdina. Dia hampir tak bernafas tadi,” terang Razif.
“CPR atau kau sengaja buat alasan.” Bakar mencelah.
“Razif, kenapa budak perempuan ni boleh ada di rumah ni? Cuba Razif ceritakan perkara yang sebenar.” Imam Kahar pula bersuara.
“Irdina demam panas sejak kelmarin. Mak ajak dia tinggal di sini sebab di rumah dia tak ada sesiapa nak tengok. Takut pula ada orang ambil kesempatan panjat siling dan buat onar macam dulu,” ujar Razif sambil matanya menjeling Bakar.
“Jaga sikit mulut kau Razif.” Bakar mencekak leher baju Razif.
“Bakar!” jerkah Imam Kahar, tidak setuju dengan tindakan Bakar. Bakar terpaksa melepaskan leher baju Razif.
“Kenapa ramai-ramai di sini? Bakar kenapa buat Razif begitu?” tanya Mak Cik Sopiah yang baru masuk ke situ.
Mereka semua mendiamkan diri sambil memerhati Mak Cik Sopiah. Irdina yang berdiri di belakang Razif terasa pening dan hampir jatuh. Dia memegang bahu Razif untuk menstabilkan diri. Razif segera memeluk tubuh Irdina lalu memimpinnya ke katil.
“Tengok tu! Depan kita semua, mereka berpelukan,” kata Mak Cik Idah.
“Hisy! Awak ni. Tengoklah keadaan budak tu. Pucat dan lemah sangat. Kalau Razif tak pegang dia tentu dah jatuh tadi,” sanggah Imam Kahar.
Razif membantu Irdina berbaring dan dia duduk di tepi katil untuk memeriksa keadaan Irdina.
“Cuba Sopiah ceritakan apa yang berlaku di sini?” tanya Imam Kahar.
“Tadi Irdina pitam di ruang hadapan. Razif dah berusaha untuk sedarkan dia tapi gagal. Lepas Razif buat CPR mulut ke mulut, baru Irdina sedar. Keadaan dia sangat lemah, sebab tu saya suruh dia tinggal di sini supaya mudah saya menjaganya. Saya yang suruh Razif jaga dia sementara saya tunaikan solat,” terang Mak Cik Sopiah.
“Kenapa pipi dan bibir dia lebam?” tanya Mak Cik Idah.
“Sebenarnya waktu kami pulang dari pasar, berlaku kemalangan kecil bila Razif brek mengejut. Mulut Irdina terhempas dan luka. Razif dah tolong jahitkan luka yang sebelah dalam,” terang Mak Cik Sopiah.
“Kalau begitu, ini semua salah fahamlah. Kami minta maaf jika dah menyusahkan Sopiah sekeluarga,” ujar Imam Kahar.
“Awak patut minta maaf pada Razif dan yang lain. Sebab awak, tak pasal-pasal kita dah tuduh orang yang bukan-bukan,” ujar Imam Kahar kepada isterinya.
Mak Cik Idah meminta maaf kepada mereka bertiga dan mengakui kesilapannya.
“Bakar, kamu patut minta maaf kepada mereka berdua. Kamu dah memukul Razif dan menuduh mereka berzina,” arah Imam Kahar.
“Eleh! Kak Sopiah saja reka cerita nak tutup perbuatan Razif dan Irdina yang berzina,” tuduh Bakar.
“Ingatlah Bakar bahawa ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, berbuat zina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka yang menuduh itu lapan puluh kali dera dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik,” ujar Imam Kahar lagi.
“Tapi Abang Kahar, Kak Idah yang mula buat cerita. Kalau nak kena hukum, sepatutnya Kak Idahlah.” Bakar mempertahankan diri.
“Aku tak kata mereka berzina. Aku cuma kata mereka bercium dan buat maksiat. Jauh bezanya. Lagi pun aku dah minta maaf. Kau tu yang tak insaf-insaf. Pantang ada perempuan cantik, mulalah cari pasal. Entah-entah kau pukul Razif sebab kau suka budak perempuan tu tak?” teka Mak Cik Idah.
“Kalau aku suka apa salahnya? Aku boleh kahwin sampai empat,” akui Bakar dengan bangga.
“Jangan beranganlah Bakar. Irdina tu bakal menantu aku. Aku dah bincang dengan keluarga Irdina. Cuma tunggu tarikh yang sesuai untuk akad nikah,” ujar Mak Cik Sopiah.
“Apa? Aku tak percaya!” Bakar memandang Razif dan Irdina.
“Terimalah kenyataan Bakar,” ujar Mak Cik Sopiah.
“Irdina, betul apa yang Mak Cik Sopiah cakap?” tanya Bakar.
“Ya.” Jawab Irdina, lemah.
Bakar terus keluar dari situ tanpa meminta maaf kepada Razif dan Irdina. Imam Bakar dan yang lain meminta maaf kepada mereka bertiga dan kemudiannya keluar dari rumah tersebut. Mak Cik Sopiah menghantar mereka hingga ke pintu hadapan dan kemudiannya menutup pintu. Dia mendapatkan Razif dan Irdina, selepas itu.
“Razif, macam mana keadaan Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah setelah melihat Razif keluar dari bilik tamu.
“Dia dah tidur. Biarkan dia berehat dulu.”
“Razif tak ke klinik ke hari ni?” tanya ibunya setelah melihat jam menunjukkan 3.00 petang.
“Rasanya tak. Razif nak solat dan berehat. Sakit kena penumbuk tak hilang lagi,” ujar Razif sambil naik ke tingkat atas.
Mak Cik Sopiah masuk ke bilik tamu perlahan-lahan lalu duduk di tepi katil. Dia melihat wajah Irdina yang sedang lena dalam kelesuan. Hatinya terasa ingin menyentuh wajah itu tetapi dia membatalkan niatnya. Mak Cik Sopiah merasa belas bila melihat lebam di bibir dan pipi Irdina. Semuanya berpunca daripada Razif, anak kesayangannya. Tapi seketika kemudian dia tersenyum kerana hajatnya akan kesampaian akhirnya. Irdina akan menjadi menantunya.

5 ulasan:

misza berkata...

Sian ustaz Azmi. frust...

Tanpa Nama berkata...

wahh kesian ustz azmi..xsbr pulak tggu bab seterusnya...

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Misza dan tanpa nama,
Kadangkala mencintai bukan bermakna memiliki.

Tanpa Nama berkata...

semakin lama semakin best.. tak sabar tgu next episode.. harap dieorg kekal bhgia lps kawin...>iqa<

Imanisa riana @ sarimah berkata...

iqa,
Terima kasih krn masih berminat dengan cerita ni. Tunggu dan lihat king control tunjuk taringnya...