Jasmin
meninggalkan ruang dapur setelah meminta izin dari Hajah Rahimah. Dia tersenyum
lebar bagi menjalankan misi membalas dendam. Sasarannya, Uzair. Dia bergerak ke
arah Uzair yang sedang leka menyapu daun kering.
“Ehem!
Abang Uzair...” panggil Jasmin dengan suara yang dimanjakan.
Uzair
tidak menyahut malah meneruskan kerjanya tanpa menoleh ke arah Jasmin. Jasmin
tidak berpuas hati. Dia perlu mendapatkan perhatian Uzair. Matlamatnya adalah
untuk mempermainkan lelaki itu. Hatinya membenci lelaki berperwatakan seperti
Uzair. Malah kali pertama melihat Uzair, perasaan benci pada lelaki itu
terpahat di hatinya.
“Assalamualaikum!
Tak jawab berdosa.”
“Waalaikumusalam.
Kau nak apa?” tanya Uzair, serius.
“Min
nak... Min nak...”
“Nak
apa?”
“Nak
abang!”
“Jangan
main-mainlah Min. Bukankah waktu sekarang Min patut belajar membaca al-Quran?” ujar
Uzair sambil menyalakan longgokkan daun kering.
“Min
tak main-main. Min serius nakkan abang. Abang sudi tak terima Min?” kata Jasmin
dengan riak muka yang dibuat seperti bersungguh.
Uzair
tidak menjawab pertanyaan Jasmin. Dia merasakan fikiran Jasmin masih dibelenggu
oleh kesan dadah. Pengambilan pil khayal atau ecstasy secara tidak disedari
boleh merosakkan organ-organ utama seperti otak, paru-paru, jantung dan sistem
saraf. Pil ini boleh menyebabkan perubahan mental, tingkah laku dan akhirnya
menyebabkan kematian. Jasmin cuba menghampiri Uzair tetapi langkahnya terhenti
kerana mendengar sapaan Hanina di belakangnya.
“Hai!
Tadi nak mengorat aku. Ni nak mengorat Abang Uzair pula? Otak kau ni memang dah
tak betul Min. Pergilah masuk. Ummi aku dah tunggu untuk ajar kau mengaji.”
Cis!
Perempuan ni. Kacau daun betul. Kenapa kau datang pada waktu yang salah? Aku
baru nak masuk gear dua, kau dah muncul, rungut hati Jasmin.
Jasmin
memusingkan badannya untuk melihat Hanina. Matanya tertumpu ke arah Uwais yang
sedang disorong oleh Hanina. Hatinya terasa jijik melihat air liur Uwais yang
sentiasa meleleh. Ada tuala kecil yang diselitkan di leher Uwais. Uwais
terkinja-kinja melihat Jasmin. Suka benar dia melihat rambut Jasmin yang
berwarna keperangan seperti bulu jagung. Sebelah kaki Uwais kecil dan agak
bengkok manakala sebelah lagi normal. Kedua-dua tangan Uwais tidak normal dan
mulutnya agak herot.
Jasmin
menghampiri Hanina lalu berbisik di telinganya.
“Hanina
sayang, aku akan pastikan kau dan Abang Uzair melekat pada aku suatu hari
nanti. Both of you stick to me like glue!”
kata Jasmin sengaja menyakitkan hati Hanina.
Mencerlung
mata Hanina mendengar kata-kata Jasmin. Sakit hatinya tidak terkata. Jasmin
ketawa sambil melangkah dari situ.
Hisy!
Kenapalah dia bawa budak Uwais tu? Aku allergic
betul tengok budak tu. Jika tak, bolehlah aku terus menjalankan misi aku,
gerutu hati Jasmin.
Jasmin
menoleh ke belakang dan dia dapat melihat Hanina sedang berbalas senyuman
dengan Uzair.
Ooo...
dengan Hanina berbalas senyum. Dengan aku, nak tengok pun haram! Jijik sangat
ke aku ni? Tak apa, satu hari nanti pasti kau tersungkur juga, bisik hati
Jasmin penuh dendam.
Jasmin
terus memasuki bilik air untuk berwuduk. Kini dia telah mengetahui cara-cara
berwuduk yang betul setelah diajar beberapa kali oleh Hajah Rahimah. Selesai
berwuduk, Jasmin mencapai buku Iqra dan duduk di hadapan Hajah Rahimah yang
sedang khusyuk berzikir. Hajah Rahimah menghentikan zikirnya dan memandang
wajah Jasmin.
“Mana
tudung kepala?” tegur Hajah Rahimah.
Jasmin
tersengih dan kemudian bangun untuk mengambil tudung kepala yang tersangkut di
rak telekung. Tudung itu disarungkan ke kepalanya. Dia melihat cermin untuk
membetulkan tudung tersebut. Jika tidak kerana terpaksa, dia tidak akan
mengenakan tudung.
Kelakarlah
tengok rupa aku ni. Macam gadis Melayu terakhir. Ayulah juga. Lebih ayu dari
Ayu Raudhah, bisik hati Jasmin sambil tersengih.
Jasmin
duduk semula di hadapan Hajah Rahimah. Dia membuka al-Quran dan mula membaca. Hajah
Rahimah menegur apabila salah bacaan Jasmin. Sukar bagi Jasmin menyebut huruf
dengan makhraj yang betul.
Apabila
Jasmin selesai mengaji, dia disuruh berzikir dan menunaikan solat sunat
sementara menunggu waktu tengah hari. Tengah hari dia dibenarkan berehat
seketika sehingga waktu Zohor. Selepas makan, pembelajaran agama akan
bersambung semula. Selepas Asar, dia perlu menjalani senaman untuk mengeluarkan
peluh. Sebelum Maghrib pula, dia akan mandi dan didoakan seperti diwaktu awal
pagi bagi menghilangkan kesan ketagihan dan racun dadah. Badannya turut diurut
bagi melancarkan aliran darah.
Jasmin
diberi minum air kelapa serta ubat herba setiap hari. Selalunya Jasmin akan
muntah apabila meminum air kelapa. Proses ini membolehkan segala racun dadah dikeluarkan
dari tubuhnya. Ubat herba digunakan untuk membantu memulihkan kesihatan badan. Pada
waktu malam dia disuruh menumpukan diri kepada ibadat. Begitulah rutin hidup
Jasmin selama berada di situ. Rawat dan beribadat. Itu yang diterapkan di Teratak
Murni.
Tengah
hari itu, Jasmin dikehendaki menolong Hanina memasak. Hajah Rahimah terpaksa
mengikut abangnya Haji Manaf ke Alor Setar untuk suatu urusan. Kesempatan itu
digunakan oleh Jasmin untuk mengusik Hanina lagi.
“Hani!
Kau dah dapat kerja ke belum?”
“Kenapa
kau tanya?”
“Jawab
ajelah. Dah dapat ke belum?”
“Belum.”
“Kalau
begitu, apa kata kau kerja dengan aku?” ujar Jasmin sambil menatap wajah Hanina.
Hanina
menghentikan kerja memotong sayur buat seketika. Dia memandang wajah Jasmin
untuk mencari kepastian. Bapa Jasmin merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan
mempunyai rangkaian pasaraya di seluruh negara. Hal ini amat dimaklumi oleh Hanina
sejak mereka di universiti lagi. Dia dan Jasmin belajar di universiti yang sama
dan umur mereka juga sebaya.
“Kerja
apa? Kalau setakat juru jual, aku tak mahu.”
“Apa
barang juru jual? Kau jadi pembantu aku. Mahu tak?”
“Pembantu
kau? Maksud kau setiausaha?”
“Tak,
pembantu peribadi aku. Tugas kau masak untuk aku, basuh baju aku, mandikan aku...
er... apa lagi ya? Hah! Cuci tandas,” kata Jasmin lalu ketawa.
“Itu
kerja orang gaji, bukan pembantu peribadi,” kata Hanina geram.
“Untuk
pengetahuan kau, aku bukan ada kerja. Jadi jawatan tu saja yang mampu aku bagi.
Soal gaji, papa aku boleh bayar.”
“Cis!
Dari jadi kuli kau lebih baik aku tinggal di sini. Walaupun hari-hari aku kena
bersihkan kandang lembu, aku suka. Mandikan lembu lebih baik dari mandikan
kau.”
“Orang
secantik kau sanggup buat kerja begitu? Hairan aku! Kau ikut aku sajalah. Cerah
masa depan kau,” kata Jasmin sambil menarik tudung Hanina.
“Hisy!
Aku tak mahu dan jangan kacau aku buat kerja.”
Hanina
membetulkan tudungnya. Dia menyambung kerja-kerjanya yang terbengkalai. Jasmin
masih mahu mengusik Hanina. Dia rasa terhibur melihat Hanina meradang.
“Min!
Jangan kacau.”
Hanina
menepis tangan Jasmin yang cuba mengambil senduk di tangannya.
“Sombong!
Orang nak tolong pun tak bagi.”
“Aku
bukan sombong. Cuma tak mahu berlama-lama di sini. Kalau cepat kerja aku siap,
cepatlah aku boleh blah dari sini.
Tengok muka kau, hilang mood aku nak
masak.”
Jasmin
tersenyum. Akal nakalnya muncul lagi.
“Hani sayang, kenapa kau tak beri aku tengok
rambut kau? Adakah kau ni botak atau rambut kau dah beruban?”
“Cakap
baik-baik sikit. Karang aku gulaikan kau.”
“Amboi!
Garangnya. Aku cuma nak tahu. Kenapa kau asyik bertudung walaupun depan aku?
Bukankah sesama perempuan Islam auratnya hanya antara pusat hingga lutut?”
“Memang
pun. Tetapi dengan kau, lain. Aku tak yakin kau dalam kategori mana. Dengan
lelaki kau bercinta, dengan perempuan pun kau berkasih mesra. Kau ni biseksual
ke? Takut aku bila dekat dengan kau,” kata Hanina berterus terang.
Hatinya
penuh rasa curiga terhadap Jasmin. Jasmin ketawa memandang wajah Hanina yang
kelihatan kelat.
“Hani,
aku perempuan normal. Kau suka sangat menaruh syak wasangka yang bukan-bukan.”
“Normal?
Zana tu siapa? Bukankah kekasih kau? Masa di universiti, heboh orang kata
tentang hubungan songsang kau berdua.”
“Kau
percaya?”
“Ya.”
“Huh!
Tak sangka orang yang bertudung, berpelajaran tinggi tapi berfikiran cetek.
Mudah terpengaruh dengan fitnah orang. Ingat, fitnah itu lebih dahsyat dari
membunuh. Dan fitnah juga boleh menjerumuskan kau ke neraka.”
Hanina
terdiam mendengar kata-kata Jasmin.
Biar
betul budak ni. Sekali smash aku, tak
terbalas pula. Tapi betul ke apa yang dikatakannya? bisik hati Hanina.
“Sikap kau yang membuat orang berfikiran
begitu. Tapi kalau kau normal kenapa pelik sangat hubungan kau dengan Zana?
Zana berpakaian seperti lelaki, dengan rambut pendeknya. Kau, walaupun
mengekalkan ciri-ciri kewanitaan tapi mesra sangat dengan Zana. Melentok liuk
dan berpelukan bila berjalan berdua.”
“Aku
memang sayangkan Zana tapi hubungan kami tak seperti yang semua orang sangka.
Dialah sahabat baik aku. Dia memahami jiwa aku dan sentiasa ada diwaktu susah
mahu pun senang. Dia bukan hanya kawan tapi juga kakak kesayangan aku. Cuma aku
kesal kerana dia pergi sebelum sempat bertaubat,” kata Jasmin perlahan.
Ada
mendung di wajahnya. Lama kelamaan titis-titis jernih mengalir di pipinya.
Hatinya pedih bila mengingati Zana atau nama penuhnya Rozana. Hanina hanya
mendiamkan diri melihat Jasmin. Hatinya tersentuh melihat Jasmin menangis
tersedu-sedu.
“Min,
aku minta maaf,” kata Hanina sambil memegang tangan Jasmin.
Jasmin
memandang Hanina. Tubuh Hanina dipeluknya erat. Hanina agak terkejut dengan
tindakan spontan Jasmin. Tetapi dia hanya membiarkan demi untuk memujuk hati
Jasmin yang masih bersedih dengan kematian Rozana sebulan lalu. Tiba-tiba Hanina
menolak kasar tubuh Jasmin.
“Jasmin!
Kau jangan melampau.”
Hanina
benar-benar marah dengan tindakan Jasmin.
“Apa
salah aku?”
“Kenapa
kau cium pipi aku?”
“Dah
kebiasaan aku. Janganlah marah,” jawab Jasmin dengan wajah bersahaja.
Tiada
lagi mendung tetapi muncul semula wajah nakal Jasmin.
“Aku
tak suka kau buat begitu. Jika nak berkawan dengan aku, kau ubah sikap tu.”
“Baiklah,
Hanina sayang.”
“Jangan
panggil aku sayang, boleh tak? Gegar tahi telinga aku dengar kau sebut begitu.”
“Sorry honey. I tak panggil sayang lagi.”
“Kau
ni Jasmin, sengaja nak naikkan darah aku,” kata Hanina dengan geram.
“Aku
suka honey. Jadi aku panggil kau honeylah. Boleh kan?,” ujar
Jasmin dengan mimik muka yang dimanjakan.
“Sudahlah!
Aku nak sambung masak. Kau pergilah main jauh-jauh,” kata Hanina lalu mengambil
kuali untuk memasak sayur.
Jasmin
duduk di kerusi sambil melihat kerja-kerja Hanina. Dia menompang dagu di meja
tanpa kata. Matanya tidak lepas dari menatap wajah Hanina.
“Jasmin!
Jangan renung aku begitu boleh tak? Kau ni merimaskanlah.”
“Aku
tak kacau kau pun. Yang kau nak rimas apa pasal? Jika dah tahu tak selesa,
bukalah tudung kau tu. Di sini bukan ada lelaki.”
Hanina
menjeling geram kepada Jasmin. Hatinya menggerutu sambil tangannya ligat
membuat kerja.
“Honey, janganlah marah. Nanti sayur Honey jadi masin pula.”
“Hisy!
Pergilah main jauh-jauh. Mengacau saja kau ni,” kata Hanina sambil menolak
kasar tubuh Jasmin.
“Honey suka main kasar ke? Tak takut
kalau aku cium honey lagi?” kata
Jasmin, tersengih.
“Honey kepala otak kau. Kalau kau cium
aku lagi, aku tak teragak-agak gulaikan kau.”
“Wow!
Takutnya,” kata Jasmin dengan aksinya. “Honey,
apa yang berasap tu?”
“Mana?”
tanya Hanina.
Matanya melingas ke kiri kanan, takut ada
benda yang terbakar.
“Tu
atas kepala honey! Berasap-asap,”
kata Jasmin sambil ketawa.
“Jasmin!”
Darah
Hanina benar-benar mendidih. Hanina mengejar Jasmin dengan senduk di tangan.
Jasmin melarikan dirinya hingga ke halaman rumah. Dia ketawa terbahak-bahak
hingga terkeluar air matanya. Suka benar hatinya kerana dapat mempermainkan Hanina.
4 ulasan:
Jasmin ni memang nakal erk?
Ya, dia memang nakal dan disalah anggap sbg biseksual.
hahaha kelakarlah min!
hmmmm...
Catat Ulasan