Pengikut

Isnin, 31 Disember 2012

Aku Normal Bukan Songsang - Bab 2



Jasmin meninggalkan ruang dapur setelah meminta izin dari Hajah Rahimah. Dia tersenyum lebar bagi menjalankan misi membalas dendam. Sasarannya, Uzair. Dia bergerak ke arah Uzair yang sedang leka menyapu daun kering.
“Ehem! Abang Uzair...” panggil Jasmin dengan suara yang dimanjakan.
Uzair tidak menyahut malah meneruskan kerjanya tanpa menoleh ke arah Jasmin. Jasmin tidak berpuas hati. Dia perlu mendapatkan perhatian Uzair. Matlamatnya adalah untuk mempermainkan lelaki itu. Hatinya membenci lelaki berperwatakan seperti Uzair. Malah kali pertama melihat Uzair, perasaan benci pada lelaki itu terpahat di hatinya.
“Assalamualaikum! Tak jawab berdosa.”
“Waalaikumusalam. Kau nak apa?” tanya Uzair, serius.
“Min nak... Min nak...”
“Nak apa?”
“Nak abang!”
“Jangan main-mainlah Min. Bukankah waktu sekarang Min patut belajar membaca al-Quran?” ujar Uzair sambil menyalakan longgokkan daun kering.
“Min tak main-main. Min serius nakkan abang. Abang sudi tak terima Min?” kata Jasmin dengan riak muka yang dibuat seperti bersungguh.
Uzair tidak menjawab pertanyaan Jasmin. Dia merasakan fikiran Jasmin masih dibelenggu oleh kesan dadah. Pengambilan pil khayal atau ecstasy secara tidak disedari boleh merosakkan organ-organ utama seperti otak, paru-paru, jantung dan sistem saraf. Pil ini boleh menyebabkan perubahan mental, tingkah laku dan akhirnya menyebabkan kematian. Jasmin cuba menghampiri Uzair tetapi langkahnya terhenti kerana mendengar sapaan Hanina di belakangnya.
“Hai! Tadi nak mengorat aku. Ni nak mengorat Abang Uzair pula? Otak kau ni memang dah tak betul Min. Pergilah masuk. Ummi aku dah tunggu untuk ajar kau mengaji.”
Cis! Perempuan ni. Kacau daun betul. Kenapa kau datang pada waktu yang salah? Aku baru nak masuk gear dua, kau dah muncul, rungut hati Jasmin.
Jasmin memusingkan badannya untuk melihat Hanina. Matanya tertumpu ke arah Uwais yang sedang disorong oleh Hanina. Hatinya terasa jijik melihat air liur Uwais yang sentiasa meleleh. Ada tuala kecil yang diselitkan di leher Uwais. Uwais terkinja-kinja melihat Jasmin. Suka benar dia melihat rambut Jasmin yang berwarna keperangan seperti bulu jagung. Sebelah kaki Uwais kecil dan agak bengkok manakala sebelah lagi normal. Kedua-dua tangan Uwais tidak normal dan mulutnya agak herot.
Jasmin menghampiri Hanina lalu berbisik di telinganya.
“Hanina sayang, aku akan pastikan kau dan Abang Uzair melekat pada aku suatu hari nanti. Both of you stick to me like glue!” kata Jasmin sengaja menyakitkan hati Hanina.
Mencerlung mata Hanina mendengar kata-kata Jasmin. Sakit hatinya tidak terkata. Jasmin ketawa sambil melangkah dari situ.
Hisy! Kenapalah dia bawa budak Uwais tu? Aku allergic betul tengok budak tu. Jika tak, bolehlah aku terus menjalankan misi aku, gerutu hati Jasmin.
Jasmin menoleh ke belakang dan dia dapat melihat Hanina sedang berbalas senyuman dengan Uzair.
Ooo... dengan Hanina berbalas senyum. Dengan aku, nak tengok pun haram! Jijik sangat ke aku ni? Tak apa, satu hari nanti pasti kau tersungkur juga, bisik hati Jasmin penuh dendam.
Jasmin terus memasuki bilik air untuk berwuduk. Kini dia telah mengetahui cara-cara berwuduk yang betul setelah diajar beberapa kali oleh Hajah Rahimah. Selesai berwuduk, Jasmin mencapai buku Iqra dan duduk di hadapan Hajah Rahimah yang sedang khusyuk berzikir. Hajah Rahimah menghentikan zikirnya dan memandang wajah Jasmin.
“Mana tudung kepala?” tegur Hajah Rahimah.
Jasmin tersengih dan kemudian bangun untuk mengambil tudung kepala yang tersangkut di rak telekung. Tudung itu disarungkan ke kepalanya. Dia melihat cermin untuk membetulkan tudung tersebut. Jika tidak kerana terpaksa, dia tidak akan mengenakan tudung.
Kelakarlah tengok rupa aku ni. Macam gadis Melayu terakhir. Ayulah juga. Lebih ayu dari Ayu Raudhah, bisik hati Jasmin sambil tersengih.
Jasmin duduk semula di hadapan Hajah Rahimah. Dia membuka al-Quran dan mula membaca. Hajah Rahimah menegur apabila salah bacaan Jasmin. Sukar bagi Jasmin menyebut huruf dengan makhraj yang betul.
Apabila Jasmin selesai mengaji, dia disuruh berzikir dan menunaikan solat sunat sementara menunggu waktu tengah hari. Tengah hari dia dibenarkan berehat seketika sehingga waktu Zohor. Selepas makan, pembelajaran agama akan bersambung semula. Selepas Asar, dia perlu menjalani senaman untuk mengeluarkan peluh. Sebelum Maghrib pula, dia akan mandi dan didoakan seperti diwaktu awal pagi bagi menghilangkan kesan ketagihan dan racun dadah. Badannya turut diurut bagi melancarkan aliran darah.
Jasmin diberi minum air kelapa serta ubat herba setiap hari. Selalunya Jasmin akan muntah apabila meminum air kelapa. Proses ini membolehkan segala racun dadah dikeluarkan dari tubuhnya. Ubat herba digunakan untuk membantu memulihkan kesihatan badan. Pada waktu malam dia disuruh menumpukan diri kepada ibadat. Begitulah rutin hidup Jasmin selama berada di situ. Rawat dan beribadat. Itu yang diterapkan di Teratak Murni.
Tengah hari itu, Jasmin dikehendaki menolong Hanina memasak. Hajah Rahimah terpaksa mengikut abangnya Haji Manaf ke Alor Setar untuk suatu urusan. Kesempatan itu digunakan oleh Jasmin untuk mengusik Hanina lagi.
“Hani! Kau dah dapat kerja ke belum?”
“Kenapa kau tanya?”
“Jawab ajelah. Dah dapat ke belum?”
“Belum.”
“Kalau begitu, apa kata kau kerja dengan aku?” ujar Jasmin sambil menatap wajah Hanina.
Hanina menghentikan kerja memotong sayur buat seketika. Dia memandang wajah Jasmin untuk mencari kepastian. Bapa Jasmin merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan mempunyai rangkaian pasaraya di seluruh negara. Hal ini amat dimaklumi oleh Hanina sejak mereka di universiti lagi. Dia dan Jasmin belajar di universiti yang sama dan umur mereka juga sebaya.
“Kerja apa? Kalau setakat juru jual, aku tak mahu.”
“Apa barang juru jual? Kau jadi pembantu aku. Mahu tak?”
“Pembantu kau? Maksud kau setiausaha?”
“Tak, pembantu peribadi aku. Tugas kau masak untuk aku, basuh baju aku, mandikan aku... er... apa lagi ya? Hah! Cuci tandas,” kata Jasmin lalu ketawa.
“Itu kerja orang gaji, bukan pembantu peribadi,” kata Hanina geram.
“Untuk pengetahuan kau, aku bukan ada kerja. Jadi jawatan tu saja yang mampu aku bagi. Soal gaji, papa aku boleh bayar.”
“Cis! Dari jadi kuli kau lebih baik aku tinggal di sini. Walaupun hari-hari aku kena bersihkan kandang lembu, aku suka. Mandikan lembu lebih baik dari mandikan kau.”
“Orang secantik kau sanggup buat kerja begitu? Hairan aku! Kau ikut aku sajalah. Cerah masa depan kau,” kata Jasmin sambil menarik tudung Hanina.
“Hisy! Aku tak mahu dan jangan kacau aku buat kerja.”
Hanina membetulkan tudungnya. Dia menyambung kerja-kerjanya yang terbengkalai. Jasmin masih mahu mengusik Hanina. Dia rasa terhibur melihat Hanina meradang.
“Min! Jangan kacau.”
Hanina menepis tangan Jasmin yang cuba mengambil senduk di tangannya.
“Sombong! Orang nak tolong pun tak bagi.”
“Aku bukan sombong. Cuma tak mahu berlama-lama di sini. Kalau cepat kerja aku siap, cepatlah aku boleh blah dari sini. Tengok muka kau, hilang mood aku nak masak.”
Jasmin tersenyum. Akal nakalnya muncul lagi.
 “Hani sayang, kenapa kau tak beri aku tengok rambut kau? Adakah kau ni botak atau rambut kau dah beruban?”
“Cakap baik-baik sikit. Karang aku gulaikan kau.”
“Amboi! Garangnya. Aku cuma nak tahu. Kenapa kau asyik bertudung walaupun depan aku? Bukankah sesama perempuan Islam auratnya hanya antara pusat hingga lutut?”
“Memang pun. Tetapi dengan kau, lain. Aku tak yakin kau dalam kategori mana. Dengan lelaki kau bercinta, dengan perempuan pun kau berkasih mesra. Kau ni biseksual ke? Takut aku bila dekat dengan kau,” kata Hanina berterus terang.
Hatinya penuh rasa curiga terhadap Jasmin. Jasmin ketawa memandang wajah Hanina yang kelihatan kelat.
“Hani, aku perempuan normal. Kau suka sangat menaruh syak wasangka yang bukan-bukan.”
“Normal? Zana tu siapa? Bukankah kekasih kau? Masa di universiti, heboh orang kata tentang hubungan songsang kau berdua.”
“Kau percaya?”
“Ya.”
“Huh! Tak sangka orang yang bertudung, berpelajaran tinggi tapi berfikiran cetek. Mudah terpengaruh dengan fitnah orang. Ingat, fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh. Dan fitnah juga boleh menjerumuskan kau ke neraka.”
Hanina terdiam mendengar kata-kata Jasmin.
Biar betul budak ni. Sekali smash aku, tak terbalas pula. Tapi betul ke apa yang dikatakannya? bisik hati Hanina.
 “Sikap kau yang membuat orang berfikiran begitu. Tapi kalau kau normal kenapa pelik sangat hubungan kau dengan Zana? Zana berpakaian seperti lelaki, dengan rambut pendeknya. Kau, walaupun mengekalkan ciri-ciri kewanitaan tapi mesra sangat dengan Zana. Melentok liuk dan berpelukan bila berjalan berdua.”
“Aku memang sayangkan Zana tapi hubungan kami tak seperti yang semua orang sangka. Dialah sahabat baik aku. Dia memahami jiwa aku dan sentiasa ada diwaktu susah mahu pun senang. Dia bukan hanya kawan tapi juga kakak kesayangan aku. Cuma aku kesal kerana dia pergi sebelum sempat bertaubat,” kata Jasmin perlahan.
Ada mendung di wajahnya. Lama kelamaan titis-titis jernih mengalir di pipinya. Hatinya pedih bila mengingati Zana atau nama penuhnya Rozana. Hanina hanya mendiamkan diri melihat Jasmin. Hatinya tersentuh melihat Jasmin menangis tersedu-sedu.
“Min, aku minta maaf,” kata Hanina sambil memegang tangan Jasmin.
Jasmin memandang Hanina. Tubuh Hanina dipeluknya erat. Hanina agak terkejut dengan tindakan spontan Jasmin. Tetapi dia hanya membiarkan demi untuk memujuk hati Jasmin yang masih bersedih dengan kematian Rozana sebulan lalu. Tiba-tiba Hanina menolak kasar tubuh Jasmin.
“Jasmin! Kau jangan melampau.”
Hanina benar-benar marah dengan tindakan Jasmin.
“Apa salah aku?”
“Kenapa kau cium pipi aku?”
“Dah kebiasaan aku. Janganlah marah,” jawab Jasmin dengan wajah bersahaja.
Tiada lagi mendung tetapi muncul semula wajah nakal Jasmin.
“Aku tak suka kau buat begitu. Jika nak berkawan dengan aku, kau ubah sikap tu.”
“Baiklah, Hanina sayang.”
“Jangan panggil aku sayang, boleh tak? Gegar tahi telinga aku dengar kau sebut begitu.”
Sorry honey. I tak panggil sayang lagi.”
“Kau ni Jasmin, sengaja nak naikkan darah aku,” kata Hanina dengan geram.
“Aku suka honey. Jadi aku panggil kau honeylah. Boleh kan?,” ujar Jasmin dengan mimik muka yang dimanjakan.
“Sudahlah! Aku nak sambung masak. Kau pergilah main jauh-jauh,” kata Hanina lalu mengambil kuali untuk memasak sayur.
Jasmin duduk di kerusi sambil melihat kerja-kerja Hanina. Dia menompang dagu di meja tanpa kata. Matanya tidak lepas dari menatap wajah Hanina.
“Jasmin! Jangan renung aku begitu boleh tak? Kau ni merimaskanlah.”
“Aku tak kacau kau pun. Yang kau nak rimas apa pasal? Jika dah tahu tak selesa, bukalah tudung kau tu. Di sini bukan ada lelaki.”
Hanina menjeling geram kepada Jasmin. Hatinya menggerutu sambil tangannya ligat membuat kerja.
Honey, janganlah marah. Nanti sayur Honey jadi masin pula.”
“Hisy! Pergilah main jauh-jauh. Mengacau saja kau ni,” kata Hanina sambil menolak kasar tubuh Jasmin.
Honey suka main kasar ke? Tak takut kalau aku cium honey lagi?” kata Jasmin, tersengih.
Honey kepala otak kau. Kalau kau cium aku lagi, aku tak teragak-agak gulaikan kau.”
“Wow! Takutnya,” kata Jasmin dengan aksinya. “Honey, apa yang berasap tu?”
“Mana?” tanya Hanina.
 Matanya melingas ke kiri kanan, takut ada benda yang terbakar.
“Tu atas kepala honey! Berasap-asap,” kata Jasmin sambil ketawa.
“Jasmin!”
Darah Hanina benar-benar mendidih. Hanina mengejar Jasmin dengan senduk di tangan. Jasmin melarikan dirinya hingga ke halaman rumah. Dia ketawa terbahak-bahak hingga terkeluar air matanya. Suka benar hatinya kerana dapat mempermainkan Hanina.

4 ulasan:

misza berkata...

Jasmin ni memang nakal erk?

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Ya, dia memang nakal dan disalah anggap sbg biseksual.

Tanpa Nama berkata...

hahaha kelakarlah min!

Tanpa Nama berkata...

hmmmm...