Pengikut

Isnin, 3 Disember 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 12

Pagi itu setelah menghantar kedua-dua ibubapanya ke stesen bas ekspres, Sara Raihana terus memandu kereta Kancilnya menghala ke sekolah. Cuti sekolah telah berakhir dan dia perlu bertugas kembali. Jalan menuju ke sekolah tersebut agak lengang di waktu awal pagi tetapi akan sibuk bila Zoo Taiping dibuka.

“Assalamualaikum, cikgu.” Terdengar suara menyapanya dari belakang sebaik sahaja dia turun dari kereta. Dia menjawab salam tersebut tetapi apabila dia menoleh ke arah orang itu, dia terkejut.
“Chan? Eh… awak…” teragak-agak Sara Raihana kerana menyangkakan Chan Chee Hong bukan beragama Islam tetapi memberi salam.
“Saya dah memeluk Islamlah cikgu,” jawab Chan Chee Hong. “ Tapi cikgu jangan beritahu hal ini kepada orang lain. Hanya orang yang dekat dengan saya sahaja yang tahu perkara ini.”
“Alhamdulillah… syukur ke hadrat Allah. Insya Allah cikgu akan simpan rahsia ini,” jawab Sara Raihana sambil tersenyum walaupun senyumannya hambar dan tawar.
“Cikgu, saya nak ucapkan takziah sebab hari itu saya tak sempat nak ucapkan.”
“Terima kasih, Chan. Awak sungguh baik hati,” jawab Sara Raihana.
Wajahnya kembali muram kerana fikirannya kembali mengingati Izzat Hafis. Chan Chee Hong yang berasa bersalah menyebabkan Sara Raihana muram terus menawarkan bantuan untuk mengangkat buku atau barang Sara Raihana. Sara Raihana meminta Chan Chee Hong mengangkat buku kerja dan menyuruhnya meletakkan di mejanya di bilik guru. Dengan senang hati Chan Chee Hong melakukannya.
Rakan-rakan yang berjumpa dengan Sara Raihana mengucapkan takziah dan ada yang hanya mengusap-usap bahunya sebagai tanda simpati. Sepanjang pagi itu Sara Raihana lebih banyak menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya dan kurang berbual. Rakan-rakan yang memahami situasinya tidak mengambil hati. Seboleh-bolehnya mereka cuba membantu Sara Raihana dengan memberi sokongan moral.
 Ketika dia sedang asyik memeriksa buku pelajar, telefonnya berbunyi. Mak Zainab mengingatkan Sara Raihana untuk makan tengah hari di rumahnya dan menjemput Norita sekali. Sara Raihana yang tiada pilihan hanya mengiyakan sahaja walhal bekal makanan yang diberi oleh Mak Zainab pagi tadi masih belum terusik. Sara Raihana menghelakan nafasnya setelah selesai bercakap dengan ibu mentuanya itu. Ibu mentuanya terlalu mengambil berat soal makan minumnya dan sedikit sebanyak perasaan tidak selesa bertandang di hatinya. Dia tidak mahu membebankan ibu mentuanya.
“Sara, kenapa?” tanya Cikgu Maimunah yang perasan perubahan di wajah Sara Raihana.
“Tak ada apa-apa Kak Mai,” jawab Sara Raihana, perlahan.
“Kalau ada masalah beritahu Kak Mai. Kalau boleh tolong, Kak Mai akan tolong.”
“Ibu mentua Sara terlampau baik Kak Mai. Sara tak mahu dia bersusah payah kerana Sara.”
“Maksud Sara?”
“Pagi tadi, awal-awal lagi dia siapkan sarapan sebelum Sara bangun. Terasa segan pula.  Bila Sara kata tak makan awal pagi, dia bekalkan Sara makanan tu. Tengah hari ni pula dia suruh makan di rumahnya.”
“Mungkin dia sediakan awal sarapan sebab ada mak dan bapa Sara tak?”
“Mungkin juga.”
“Sara dah makan? Kak Mai tak nampak Sara makan pun. Turun kantin pun tak mahu. Bekal tu pun nampak tak terusik lagi.” Cikgu Maimunah cukup prihatin.
Sara Raihana hanya mengelengkan kepala tanda dia belum makan dan tidak terasa hendak makan.
“Patutlah mak mentua Sara bagi bekal, rupanya dia tahu menantu dia susah nak makan. Kenapa tak makan lagi? Nanti masuk angin perut tu, mak mentua Sara yang susah pula,” sambung Cikgu Maimunah.
“Kenapa pula dia yang susah? Bukan perut dia,” jawab Sara Raihana acuh tak acuh.
“Memanglah bukan perut dia tapi kalau Sara sakit, tentu dia susah hati.”
Sara Raihana hanya mendiamkan diri.
“Makanlah. Kalau tak nak makan sendiri, Kak Mai suapkan.” Cikgu Maimunah mengambil bekas makanan tersebut lalu membukanya. Dia mengambil sudu dan mencedok sedikit nasi lemak lalu disuakan ke mulut Sara Raihana.
“Hish… Kak Mai ni, Sara boleh suap sendirilah.” Pantas tangan Sara Raihana mengambil sudu di tangan Cikgu Maimunah. Cikgu Maimunah hanya melihat Sara Raihana menyuap sedikit nasi lemak ke mulut.
“Kak Mai nak?” pelawa Sara Raihana.
“Kak Mai dah makan tadi.”
“Kak Mai ni suruh Sara makan, tapi tak ada air. Tak boleh nak makan dah ni.” Sara Raihana mencari dalih untuk tidak meneruskan makannya. Sebelum sempat dia menutup bekas makanan tersebut, Cikgu Maimunah telah memberinya sebotol air mineral.
“Dah ada air, Kak Mai nak tengok Sara makan sampai habis.” Dia tahu, kalau tidak dipaksa tentu Sara Raihana tidak akan makan. Dia sedia maklum akan hal itu melalui ibu Sara Raihana, Mak Cik Rohaya yang telah menghubunginya agar memerhatikan keadaan Sara Raihana sewaktu di sekolah. Mak Cik Rohaya risau akan sikap Sara Raihana yang masih bersusah hati sehingga mengabaikan soal makan dan minumnya.
“Kak Mai pun sama macam mak, suka paksa Sara makan.”
Cikgu Maimunah hampir tergelak dengan jawapan Sara Raihana itu. Sara Raihana dilihatnya macam anak-anak remaja yang suka memprotes jika kehendaknya tidak dituruti.
“Mak pun mak lah. Janji Sara makan,” jawab Cikgu Maimunah sambil tersenyum. Dia hanya memerhatikan tingkah laku Sara Raihana yang lambat menyuap makanan ke mulut.
“Air kosong je Kak Mai?” tanya Sara Raihana sambil meletakkan kembali bekas makanan. Setakat ini baru tiga suapan kecil yang masuk ke perut Sara Raihana.
“Tak ada ke air Milo atau air teh ais? Baru berselera nak makan.” Sara Raihana cuba mencari dalih baru.
“Ooo… nak air manislah, ye? Tak apa, nanti Kak Mai cari mangsa,” sambil matanya melilau mencari-cari jika ada pelajar yang masuk ke bilik guru atau guru yang hendak ke kantin. Tiba-tiba dia tersenyum kerana Chan Chee Hong dan Amir sedang mengekori Ustazah Habsah dengan buku latihan yang penuh di tangan mereka.
Setelah Chan Chee Hong dan Amir meletakkan buku di meja Ustazah Habsah, Cikgu Maimunah segera memanggil mereka. Ustazah Habsah mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua.
“Kamu berdua nak ke mana? Kalau Cikgu minta tolong sikit boleh tak?” tanya Cikgu Maimunah, sebelum sempat mereka berdua melangkah pergi.
“Kami nak ke kantin. Cikgu nak suruh apa?” jawab Chan Chee Hong sambil matanya melihat wajah kelat Sara Raihana.
“Elok sangatlah tu. Kamu tolong belikan cikgu teh ais dan Cikgu Sara… Sara awak nak minum apa?”
Sara Raihana hanya menggelengkan kepalanya sambil berkata,“Tak payahlah. Susahkan Chan saja. Nanti tak sempat pula nak rehat. Waktu rehat pun bukan lama sangat.”
“Tak susahlah cikgu. Lagipun memang saya nak ke kantin. Bukan nak makan berat, sekadar beli roti dan air saja,” jelas Chan Chee Hong, jujur.
Sara Raihana tidak berkata apa-apa lagi. Segala dalihnya tidak menjadi. ‘Kenapalah budak Chan masuk waktu ni’, gerutu hatinya.
Cikgu Maimunah hanya tersenyum lebar sambil memberi wang kepada Chan Chee Hong dan meminta Chan Chee Hong membeli air Milo dan teh ais.
Sekejap sahaja air yang dipesan telah dihantar oleh Chan Chee Hong. Air bertukar tangan. Sara Raihana mengambil Milo ais dan Cikgu Maimunah mengambil teh ais. Apabila Chan Chee Hong hendak melangkah pergi, Sara Raihana segera memanggilnya untuk berbual-bual. Dia tahu jika ada Chan Chee Hong, Cikgu Maimunah tak akan memaksanya untuk makan lagi.
“Chan, bila awak memeluk agama Islam?” tanya Sara Raihana bila dia teringatkan perbualannya dengan Chan Chee Hong di tempat letak kereta pagi tadi.
“Hari yang cikgu pulang ke Penang tu.”
Sara Raihana cuba mengingati kembali hari tersebut.
“Kenapa tak beritahu saya awal-awal lagi?”
 “Saya takut ganggu cikgu kerana cikgu sibuk pada masa tu.” Mendatar jawapan Chan Chee Hong takut Sara Raihana terasa hati. Sara Raihana terdiam seketika kemudian menyambung,
“Tentu bagus kalau saya dapat lihat majlis pengislaman awak. Siapa yang Islamkan awak sebab saya rasa awak masih di bawah umur untuk mendaftar secara rasmi?”
 “Saya mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustazah Habsah sekeluarga dan Ustaz Hadi serta kawan Ustaz Hadi,” jawab Chan Chee Hong lurus dan jujur.
“Alhamdulillah. Okey, sebagai hadiah saya bagi air Milo ni untuk Chan.” Sara Raihana cuba berhelah lagi untuk mengelak dari makan.
“Ha… Jangan ambil Chan,” tegah cikgu Maimunah.
Chan Chee Hong hanya memerhati kedua-dua orang guru tersebut dengan kehairanan.
“Air tu Chan beli untuk Cikgu Sara kan? Dia tak habiskan makanan dia lagi, tau. Nanti tak ada air takut tercekik. Jadi kalau Cikgu Sara nak bagi hadiah, Chan minta hadiah yang lain.”
Chan Chee Hong hanya mengangguk, setuju. Sara Raihana menarik muka masam kerana Cikgu Maimunah seolah-olah dapat membaca fikirannya.
“Ada apa-apa lagi tak yang boleh saya tolong?” tanya Chan Chee Hong.
“Tak ada Chan. Terima kasih sebab tolong cikgu,” jawab Cikgu Maimunah.
 “Saya minta diri dulu cikgu, Assalamualaikum.”
Mereka mengganggukkan kepala sambil menjawab salam tersebut. Cikgu Maimunah berpesan agar Sara Raihana menghabiskan makanan dan minuman tersebut sebelum dia melangkah keluar untuk ke koperasi sekolah. Sara Raihana tidak mengikut pesanan Cikgu Maimunah sebaliknya meneruskan kerja-kerja memeriksa buku dan menyediakan bahan pengajaran.
Tengah hari tersebut, Norita telah bersiap sedia untuk pergi makan di rumah Mak Zainab tetapi Sara Raihana masih berlengah-lengah lagi dengan kerja-kerjanya.
“Sara, kata nak ajak aku pergi makan di rumah mak mentua kau. Ni dah pukul dua. Pukul berapa nak pergi?” tanya Norita yang sudah berasa lapar.
“Kejap lagi la. Aku nak habiskan ringkasan mengajar untuk esok,” jawab Sara Raihana acuh tak acuh.
“Ringkasan tu boleh buat di rumah. Aku dah lapar ni. Jom la kita pergi.”
“Kau pergilah dulu, bukankah kau bawa kereta sendiri hari ni?”
“Ya, tak ya juga. Aku lupa, selalu tumpang kau. Tapi tak eloklah kalau aku pergi seorang diri. Nanti mak mentua kau tanya, aku nak jawab apa?”
 “Tak apa. Kau beritahu dia yang aku balik lewat sikit.”
“Kenapalah kau ni Sara? Nak suruh makan pun susah. Aku tak kira, aku dah lapar. Jom balik.” Segera tangan Sara Raihana ditarik.
“Okey… aku balik.” Sara Raihana mengalah.
 Dia menutup buku ringkasan mengajar dan mengikut langkah Norita ke tempat letak kereta. Cuaca agak terik tanpa awan menutupi matahari. Norita dan Sara Raihana menuju ke kereta masing-masing tetapi belum sempat Norita membuka kunci keretanya dia melihat Sara Raihana jatuh tersepuk di tanah. Segera dia berlari untuk mendapatkan Sara Raihana. Dia memangku Sara Raihana sambil matanya melilau mencari kalau-kalau masih ada orang berdekatan tempat letak kereta tersebut.
“Kak Siti, tolong! Sara pengsan,” jerit Norita pada Cikgu Siti Aminah yang sedang berjalan menuju ke keretanya.
Cikgu Siti Aminah mendapatkan Norita. “Ya, Allah! Sara. Kenapa boleh jadi begini?” soal Cikgu Siti Aminah sambil tangannya menyentuh tubuh Sara Raihana. Dia cuba menyedarkan Sara Raihana, tetapi tidak berjaya.
“Kak  Siti tunggu Sara sekejap. Saya nak undurkan kereta saya ke sini. Saya nak bawa Sara ke hospital.”
Cikgu Siti Aminah mengangguk. Norita mengundurkan keretanya ke tempat Sara Raihana pengsan. Dia kemudiannya memanggil pekerja swasta yang sedang menyapu sampah. Mereka mengangkat Sara Raihana ke dalam kereta Norita lalu Norita segera membawa Sara Raihana ke hospital. Norita agak cemas melihat wajah pucat Sara Raihana. Sepanjang perjalanan, dia berdoa agar Allah menyelamatkan teman serumahnya itu.
Sara Raihana merasa lemah di seluruh badannya. Ada wayar air yang berselirat di tangannya. Matanya yang separuh celik diluaskan agar dapat melihat dengan jelas. Dia baru sedar yang dirinya sedang terbaring dan tangannya disambung dengan wayar ke bekas berisi air. ‘Di mana aku sekarang?’ Fikirannya cuba mencari jawapan. Seketika kemudian dia dapat melihat kelibat mak mentuanya bersama-sama Norita dan Cikgu Maimunah.
“Alhamdulillah, dah sedar pun.” Terdengar suara Mak Zainab berkata.
“Sara… Sara dengar tak?” tanya Cikgu Maimunah.
“Ya, Kak Mai. Apa yang terjadi Kak Mai? Sara ada di mana ni?”
“Sara di hospital. Tadi Sara pengsan akibat kekurangan air yang serius dalam badan,” terang Norita.
“Hospital? Kekurangan air yang serius?” Sara Raihana kehairanan.
“Itulah, orang suruh makan dan minum tak mahu. Siapa yang susah? Aku juga!” kata Norita sekadar mengusik.
“Ya, Sara. Lepas ni Sara kena jaga makan dan minum. Usah diikut perasaan sedih sampai menyeksa diri. Sara sedang menzalimi diri sendiri dengan tindakan begini. Redhalah pemergian Izzat jika Sara sayangkannya. Sara kena kuatkan diri, banyakkan ibadah dan ingat selalu pada Allah. Allah uji kita atas kemampuan kita agar kita dapat meningkatkan keimanan kepada-Nya. Banyakkan bersabar, Sara.”
Kata-kata Mak Zainab yang lembut membuatkan Sara Raihana terfikir seketika. Mak Zainab lebih menderita daripadanya kerana Mak Zainab telah kehilangan suami dan anak malah seorang lagi anak masih dirawat akibat kemalangan tersebut. Tapi tidak pernah dia melihat ibu mentuanya itu berkeluh kesah atau bersikap sepertinya. Malah Mak Zainab sentiasa nampak tenang. Dia terasa malu pada ibu mentuanya.
“Sara, kau tahu tak apa kata doktor?” tanya Norita setelah semua diam seketika.
“Manalah aku tahu.”
“Ooo… aku lupa, kau pengsan,” kata Norita sambil ketawa kecil. Dia kemudian menyambung. “Doktor kata keadaan kekurangan air yang berterusan boleh mengundang bahaya yang tidak dijangka seperti hipovolemik yang berlaku apabila jumlah darah yang dipam ke organ berkurangan. Ini akan mengakibatkan oksigen yang sampai ke organ dan tisu badan tidak mencukupi. Jika tidak di atasi segera, hipovolemik boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa minit.”
“Maafkan Sara. Sara janji lepas ni Sara akan ikuti pemakanan yang betul.” Perlahan nada suara Sara Raihana.
“Syukurlah… setiap kejadian ada hikmahnya,” kata Cikgu Maimunah pula.
“Terima kasih semua sebab bersusah payah kerana Sara. Ita, terima kasih kerana banyak menolong Sara,” kata Sara Raihana sambil memegang tangan Norita.
“Sama-sama kasih. Kau ni nampak saja kurus tapi berat betul bila aku nak angkat. Silap-silap aku pula yang pengsan,” jawab Norita, bergurau. Mereka semua ketawa kecil.

p/s pihak BP tulis buku ini terbit pada 7 Dis. 2012 tapi editor bgtau Jan. 2013.
Mana satu betul? Tengok http://www.bukuprima.com.my/

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ni bisa di sebut cinta cik janda ya kak hahaha,, jdi teringat blog sebelah punya ratuandrianadine,., judul ceritanya CINTA ENCIK DUDA .Umur tak jdi masalah.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Ya, janda tapi berhias. Tak susut nilai. Alignment dan balancing pun tak lari lagi..hi..hi..hi.