Pengikut

Khamis, 20 Disember 2012

Abang King Control ke? - Bab 12




Mereka tiba di klinik Razif seketika kemudian. Razif membukakan pintu kereta untuk Irdina dan mengajaknya masuk ke klinik. Irdina mengekori Razif ke bilik rawatan gigi manakala Mak Cik Sopiah berbual dengan pekerja di kaunter.
“Irdina, awak duduk di kerusi ni dulu.” Razif menunjukkan kerusi yang dimaksudkan.
“Siti, tolong sediakan alatan untuk menjahit luka,” ujar Razif kepada pembantu yang datang melihat keadaan Irdina.
Irdina berbaring di kerusi dan Razif melaras kedudukan kerusi agar memudahkan dia menjahit luka Irdina. Razif memakai sarung tangan sebelum memulakan kerja. Doktor Amran yang memasuki ruang tersebut turut melihat luka Irdina.
“Macam mana boleh luka? Kenapa tak bawa ke hospital aje,” tanya Doktor Amran.
“Aku brek mengejut dan muka dia terhantuk ke kerusi. Mungkin terkena bingkai plastik pengantung beg yang aku pasang di kepala kerusi. Luka kecil aje ni. Aku pun boleh jahit,” terang Razif.
“Siapa dia? Setahu aku kau mana ada kawan perempuan?” tanya Doktor Amran secara berbisik.
“Pada mak aku, dia bakal isteri aku.” Razif juga berbisik.
“Lawa,” bisik Doktor Amran, kemudian berlalu dari situ.
Razif hanya tersenyum mendengar komen Doktor Amran. Siti, pembantu Razif telah menyediakan peralatan yang diperlukan oleh Razif. Razif menaikkan sedikit kerusi Irdina dan dia duduk rapat dengan Irdina. Tangannya segera melakukan kerja-kerja menjahit luka di bahagian dalam mulut Irdina. Berkerut dahi Irdina menahan sakit walaupun Razif telah meletakkan ubat bius.
“Irdina, jangan bergerak. Susah abang nak jahit,” tegur Razif.
Siti hanya melihat wajah Razif apabila Razif menyebut perkataan abang terhadap Irdina. Dia membuat andaian bahawa Irdina adalah teman wanita Razif. Sepanjang proses rawatan, Irdina lebih banyak melarikan pandangan matanya daripada melihat wajah Razif. Ada ketika wajah Razif begitu hampir dengan wajahnya dan ini membuatkan perasaannya menjadi resah. Debarannya hebat terasa.
“Okey. Dah siap,” ujar Razif sambil membuka sarung tangan.
Razif membasuh tangannya dan kemudian mengelapnya di tuala kecil. Irdina cuba untuk bangun sambil di bantu oleh Siti. Ada rasa pening di kepala Irdina ketika dia hendak melangkah. Langkahnya menjadi goyah dan cepat-cepat Razif memegang lengannya. Razif membantu Irdina keluar dari situ. Mak Cik Sopiah yang melihat keadaan Irdina segera memegang Irdina hingga ke kereta.
“Razif, macam mana Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah setelah memasuki kereta.
“Luka dia dah Razif jahit. Insya ALLAH tak apa-apa. Tapi dia tak boleh makan makanan pejal untuk sementara waktu. Mungkin tadi, dia rasa pening sikit. Mak tak perlu risau. Pastikan dia rehat hari ni.”
“Kalau macam tu kita bawa dia balik dan bagi dia rehat di bilik tamu.”
Razif bersetuju dengan cadangan ibunya. Di dalam hatinya terbit rasa bersalah. Ketika menghidupkan enjin kereta, matanya terlihat telefon Irdina yang telah terburai. Dia membongkok untuk mengutip telefon itu. Irdina yang memejam matanya tidak menyedari keadaan telefonnya itu.
“Irdina,” panggil Razif.
Irdina membuka matanya dan melihat telefonnya yang terburai di atas tapak tangan Razif. Segera dia mengambil telefon itu dan mencantumkannya kembali. Seketika kemudian telefon itu dapat berfungsi seperti biasa.
“Macam mana telefon awak?” soal Razif.
“Okey.” Jawab Irdina dan kemudian menyandarkan kepalanya kembali.
Razif meneruskan pemanduannya hingga tiba di rumah. Mak Cik Sopiah membantu Irdina masuk ke rumah. Irdina dan Mak Cik Sopiah duduk di sofa.
“Saya nak baliklah mak cik,” pinta Irdina.
“Tak boleh. Irdina kena rehat di sini dulu. Mak cik tengok Irdina pening dan hampir nak jatuh. Bahaya kalau duduk seorang diri.”
“Tapi saya perlu simpan barang yang dibeli dalam peti ais. Takut rosak pula nanti.” Irdina memberi alasan.
“Soal tu jangan risau. Nanti mak cik suruh Razif hantarkan barang-barang tu ke rumah Irdina. Sekarang ikut mak cik baring di bilik.”
Mak Cik Sopiah memegang tangan Irdina. Irdina terpaksa menurut ajakan Mak Cik Sopiah. Pening yang mencengkam kepala membuatkannya ingin berehat. Irdina membuka tudungnya dan membaringkan diri di atas katil. Mak Cik Sopiah membuka dan melaraskan suhu pendingin hawa lalu menarik selimut menutupi badan Irdina. Mak Cik Sopiah kemudiannya keluar dari bilik itu.
“Razif, tolong hantarkan barang Irdina ke rumah dia. Tolong susun barang-barang dia dan jangan biar berselerak pula,” pesan Mak Cik Sopiah.
“Kunci rumah dia?” tanya Razif.
“Rasanya ada dalam beg tangan dia ni,” ujar Mak Cik Sopiah sambil membuka beg tangan Irdina yang berada di atas sofa.
Dia mengambil kunci rumah lalu memberikannya kepada Razif. Razif mengambil barang yang dibeli oleh Irdina dan membawanya ke rumah Irdina. Mak Cik Sopiah menutup pintu hadapan dan menghampiri beg Irdina. Dia ingin menutup kembali beg Irdina yang masih terbuka. Tiba-tiba deringan telefon Irdina berbunyi. Mak Cik Sopiah melihat di skrin dan tertera perkataan ‘ibu’ di situ. Segera Mak Cik Sopiah menekan butang jawab.
“Maaf, Irdina sedang tidur.” Beritahu Mak Cik Sopiah setelah memberi salam.
“Siapa yang cakap ni? Balkis ke?” tanya Mak Cik Mesa, ibu Irdina.
“Bukan. Saya ni Sopiah jiran Irdina. Dia sekarang ada di rumah saya. Tadi berlaku kemalangan kecil. Mulut dia luka sikit. Tapi dah pun dijahit,” terang Mak Cik Sopiah.
“Kena jahit? Macam mana boleh luka?” tanya Mak Cik Mesa, risau.
Mak Cik Sopiah menceritakan apa yang berlaku dan hubungan Irdina dengan Razif. Segala perbuatan Razif dan Irdina diceritakannya mengikut persepsinya sendiri. Mak Cik Sopiah menyatakan hajatnya untuk meminang Irdina dengan segera. Mak Cik Mesa yang terkejut mendengar hal itu terus bersetuju dengan cadangan Mak Cik Sopiah. Hati Mak Cik Mesa menjadi sedih memikirkan perbuatan Irdina yang dianggapnya telah mencontengkan arang ke muka mereka semua.
“Saya akan suruh abang Irdina ke rumah Sopiah petang nanti untuk bincangkan hal ni. Apa yang baik kami akan ikut. Dah lama Irdina putus tunang dan tiap kali orang datang minta dia, dia tolak. Takut juga rasa hati kalau-kalau dia tak mahu kahwin. Kali ni saya harap jadilah perkahwinannya. Kalau boleh saya tak mahu dia bertunang lama-lama. Percepatkan akad nikah. Tak mahu perkara dulu berulang,” ujar Mak Cik Mesa.
“Saya setuju. Anak saya ni pun jenis memilih. Dah masuk 32 tahun tapi tak mahu kahwin lagi. Kadangkala naik geram saya dibuatnya. Kalau akad nikah terus, akan mudah kerja kita.”
“Kalau nak cepat, kita buat cara cepat.”
Mak Cik Sopiah dan Mak Cik Mesa mencapai kata sepakat. Keputusan mereka dikira muktamad dan segala rayuan atau bantahan tidak akan dilayan. Perbualan mereka ditamatkan. Mak Cik Sopiah memasukkan kembali telefon ke dalam beg Irdina. Dia menutup kembali zip beg itu dan membawa beg masuk ke bilik tamu di mana Irdina sedang lena dengan nyenyaknya.
Di waktu yang sama, Razif sedang membersihkan ikan dan bahan basah yang lain sebelum menyimpannya di dalam peti ais Irdina. Dia kemudiannya mencuci kembali singki dapur. Segala sisa perut ikan dan lebihan kulit ayam di buang ke dalam tong sampah. Razif mengikat beg sampah dan kemudian membasuh tangannya. Tong sampah dikeluarkan melalui pintu dapur. Razif membasuh tangannya sekali lagi dan kemudian bergerak ke hadapan.
Razif memerhati sekeliling rumah itu dan kemudian melihat pintu bilik Irdina yang terbuka sedikit. Pintu bilik ditolak perlahan-lahan. Razif melangkah masuk ke bilik itu. Dia melihat bilik Irdina yang agak kemas. Matanya terhenti pada sebuah buku yang terletak di atas katil. Razif mengambil buku itu dan melihat jodolnya.
‘Rajin juga Irdina baca buku bertemakan Islam. Kisah Cinta Dalam Al-Quran. Menarik,’ bisik hati Razif.
Razif membelek seketika buku itu. Tiba-tiba terjatuh sebuah penanda buku. Dia mengambil penanda buku lalu membaca tulisan yang tertera di kedua-dua belah penanda itu.
Memaafkan bukan sekadar di mulut sahaja. Memaafkan yang sebenarnya bererti mengikhlaskan kesalahannya dan tidak lagi menyimpan dendam pada kesalahannya.
Senyumlah, tinggalkan sedihmu. Bahagialah, lupakan takutmu. Sakit yang kamu rasa, tak setara dengan bahagia yang akan kamu dapat.
Kata-kata yang terdapat pada penanda buku tersebut lebih merupakan kata-kata motivasi buat diri Irdina. Razif mengandaikan Irdina pernah bersedih kerana putus tunang dan telah berusaha melupakan tunangnya itu. Mak Cik Sopiah pernah menceritakan kisah Irdina yang telah putus tunang dan tindakan bekas tunangnya yang tidak membayar hutang, padanya. Terselit rasa simpati Razif pada diri Irdina. Razif memasukkan penanda buku tersebut dan kemudian meletakkan kembali di tempatnya.
Razif mengambil ubat Irdina dan keluar dari rumah itu. Setelah mengunci pintu, dia berjalan pulang ke rumah dan kemudian terus menuju ke dapur. Mak Cik Sopiah sedang sibuk membersihkan bahan basah yang dibeli tadi.
“Mak, macam mana Irdina?” tanya Razif.
“Dia dah tidur. Kesian mak pada dia. Baru nak baik demam dah dapat sakit lain.”
“Benda dah nak jadi, nak buat macam mana?” ujar Razif sambil meletakkan ubat Irdina. Dia mencapai gelas dan menuang air yang diambil dari dalam peti sejuk.
“Razif yang asyik tengok Irdina sampai tak nampak jalan. Lepas ni jangan nak nafi lagi. Abang Irdina nak datang sini untuk bincangkan hal kamu berdua.”
Tersembur air daripada mulut Razif mendengar kata-kata ibunya.
“Apa?” Razif terkejut.
“Hisy! Razif ni, tak senonoh betul. Habis basah peti ais ni.” Mak Cik Sopiah mengelap air yang disemburkan oleh Razif.
“Mak kata abang Irdina nak datang sini? Macam mana mak boleh hubungi mereka?” tanya Razif, hairan.
“Tadi ibu Irdina telefon masa mak nak tutup beg dia. Mak jawab panggilan tu dan cerita kisah kamu berdua. Ibu Irdina kata nak suruh abang Irdina datang petang ni. Mak nak bincangkan soal meminang dan akad nikah dengan abang Irdina.”
“Mak, jangan buat begitu. Nanti Irdina marah. Kesian dia,” ujar Razif. Di matanya terbayang wajah Irdina yang sedang bersedih.
“Depan mata mak, kamu berdua bermesra. Bila nak suruh kahwin tak mahu pula. Mak tak fahamlah apa yang kamu berdua nak? Nak tunggu sampai perut Irdina membesar baru kamu nak kahwin?” soal Mak Cik Sopiah, radang.
“Bukan macam tu mak. Razif dengan dia tak ada apa-apa hubungan. Mak dah salah faham.”
“Asyik-asyik kata mak salah faham. Tapi mak rasa ni semua alasan Razif saja. Bila abang dia datang, mak nak bincang soal hantaran dan minta mereka uruskan akad nikah dulu. Bagi yang wajib, lepas. Kenduri boleh buat kemudian. Razif jangan nak bantah pula. Mak dan ibu Irdina dah setuju,” ujar Mak Cik Sopiah dengan tegas.
Razif hanya mendiamkan diri. Di dalam fikirannya, dia perlu merancang sesuatu kerana dia tahu kedatangan abang Irdina pasti menimbulkan masalah buat mereka berdua. Irdina perlu diberitahu segera akan hal itu. Perlahan-lahan Razif mengambil telefonnya dan menelefon Irdina. Dia bergerak ke hadapan agar ibunya tidak mendengar perbualannya nanti.
Agak lama dia mendail nombor Irdina, tetapi tiada jawapan. Tanpa berfikir panjang, Razif mengambil keputusan untuk memanggil Irdina di bilik. Razif melangkah menuju ke bilik tamu setelah yakin ibunya tidak melihat akan perbuatannya itu. Dia mengetuk pintu bilik Irdina berkali-kali dengan perlahan. Takut ibunya terdengar.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sikitnya bap ni.

Tanpa Nama berkata...

wah, ustaz blum taulah ni ya? Ika

Imanisa riana @ sarimah berkata...

tanpa nama 1,
sikit pun jadilahkan dari tak ada.:)

Ika,
Ya, dia tak tahu lg.

misza berkata...

ustaz dengan balqis je la. ^_^

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Misza,
Boleh saja..

Jamilah Hasan berkata...

best,,,, cpt2 la sambung ye.... biar lah irdina n razif t,,, serasi bersama.... hehehe....

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Jamilah Hasan,
Insya-Allah. Memang mereka serasi bersama. ^_^