Pengikut

Rabu, 12 Disember 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 24


SETELAH lapan tahun meninggalkan alam persekolahan, Muhamad Nur Iman Chan telah
berjaya menjadi seorang jurutera di salah sebuah syarikat swasta di Gebeng, Kuantan. Telah dua tahun dia menjawat jawatan itu. Janjinya pada Ustazah Habsah agar menyimpan dahulu rasa cintanya terhadap Sara Raihana sehingga dia mendapat pekerjaan, tetap dipegang. Kini tibalah masa untuk merealisasikan impiannya itu. Peluang bertemu Sara Raihana menjelma apabila dia pulang bercuti sempena pemergian ibu angkatnya ke Tanah Suci kerana menunaikan umrah.
Pada pagi Sabtu itu, Iman menghantar mesej meminta izin untuk bercakap dengan Sara Raihana dan dia membalas dengan jawapan ‘ya’. Tidak sampai seminit, telefon Sara Raihana berbunyi dan dia segera mengangkat panggilan telefon itu. Setelah menjawab salam dan bertanya khabar, Iman memberitahu bahawa dia akan ke rumah Sara Raihana.
“Iman ni, dah berapa kali Kak Sara kata jangan panggil Sara aje. Panggil Kak Sara sebab Iman tu muda daripada Kak Sara.”
“Iman tak peduli, Iman nak panggil Sara jugak, lebih mesra.”
 “Degillah Iman ni. Kalau panggil Kak Sara pun mesra jugak.”
“Tak, sebab Iman tak nak title kak tu ganggu rasa dalam hati Iman.”
“Ganggu rasa apa? Cinta?” duga Sara Raihana sambil ketawa, terasa lucu.
“Kalau Iman kata Iman cintakan Sara, macam mana?” soal Iman.
“Kalau macam tu Kak Sara kata, Kak Sara pun cintakan Iman,” balas Sara Raihana sambil ketawa kerana menganggap Iman tidak serius. Malah bila dia berkata begitu pun dianggapnya sekadar bergurau.
“Sara, boleh tak jumpa Iman? Iman nak bincang sesuatu dengan Sara.”
“Boleh. Jumpa Kak Sara kat rumah Mak Zainab,” kata Sara Raihana.
“Janganlah sebut Kak Sara. Sebut aje Sara macam yang Sara cakap dengan orang lain.”
“Mengada-ngada betullah Iman ni. Janggal nak sebut Sara aje dengan Iman.”
“Cubalah. Lama-lama jadi biasa, tak janggal dah.”
“Baiklah, Iman sayang. Sara cuba,” jawab Sara Raihana sambil ketawa dan ketawanya juga disambut Iman.
“Iman pergi sekarang, boleh?”
“Boleh. Kak...opss...Sara mintak diri dulu. Mak dah panggil tu.”
“Kirim salam untuk mak cik. Untuk Sara, Iman kirim salam rindu di angin lalu,” kata Iman dengan ketawa yang masih bersisa.
“Baiklah. Bye,” kata Sara Raihana sambil ketawa dan kemudian mematikan talian.
Sara Raihana keluar dari bilik untuk melihat apa yang menyebabkan Mak Zainab memanggilnya. Mak Zainab memanggil Sara Raihana untuk memberitahu bahawa dia hendak menziarahi kematian di hujung kampung dengan Kak Su. Sara Raihana memberitahu akan kedatangan Iman.
“Sara ajaklah Iman keluar. Mak takut nanti jiran kata apa pulak bila tengok Sara tinggal berdua kat rumah dengan Iman.”
“Baiklah, mak. Nanti Sara ajak dia pergi jogging kat taman tasik. Dah lama Sara tak jogging.”
Mak Zainab hanya mengangguk dan meminta diri untuk ke rumah Kak Su. Sara Raihana mendail nombor Iman dan meminta dia berpakaian sukan. Iman bersetuju. Iman tiba di rumah Sara Raihana tidak sampai setengah jam kemudian. Mereka menaiki kereta Iman untuk ke taman tasik.
“Cantik kereta Iman. Baru beli, ya?” kata Sara Raihana setelah lama berada di dalam kereta Satria Neo hitam itu.
“Ya. Sara nak cuba bawak?” tanya Iman.
“Tak apa. Kak Sara dah lama tak bawak kereta manual,” kata Sara Raihana sambil menekankan sedikit perkataan ‘Kak Sara’ itu.
“Berapa kali Iman kata, sebut Sara aje, boleh?” Nada suara Iman agak tegas. Dia benar-benar maksudkannya.
“Baiklah. ‘Sara aje’ nak tanya Iman, nak berhenti kat mana?” kata Sara Raihana cuba bercanda.
Iman yang terperasan akan sebutan itu ketawa.
“Kalau kita berhenti kat situ boleh tak?” cadang Iman sambil menunjuk ke arah tempat letak kereta berhampiran pokok besar berhadapan tempat menaiki bot.
Sara Raihana bersetuju. Iman meletakkan keretanya di situ. Mereka melintas jalan dan mengikut trek jogging yang terdapat di situ. Kawasan Taman Tasik yang luas menyebabkan orang ramai boleh beriadah atau melakukan aktiviti bersama-sama keluarga dengan selesa. Setelah hampir 15 minit berlari, Iman mengajak Sara Raihana berhenti. Sara Raihana mengelap peluh di muka dengan tuala kecil yang dibawanya.
“Iman kata nak beritahu sesuatu. Apa dia?”
 “Iman cintakan Sara dan Iman nak masuk meminang Sara.”
“Hah? Iman bergurau, ya?” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.
“Tak.”
“Tak mungkin. Kak Sara tak sesuai untuk Iman.”
“Jangan sebut Kak Sara, boleh?”
“Apalah Iman ni. Tak selesa tau kalau tak sebut Kak Sara.”
“Iman tak peduli. Payah sangat ke nak tunaikan permintaan Iman yang sekecil tu?” tanya Iman sambil merapatkan jarak dirinya dengan Sara Raihana.
Sara Raihana mengundurkan diri tetapi tersekat dengan pagar yang berada di belakangnya. Iman merapatkan wajahnya ke wajah Sara Raihana.
“Iman tak pernah anggap Sara sebagai kakak, tapi Iman anggap Sara sebagai kekasih dan bakal isteri Iman,” ujar Iman separuh berbisik.
Sara Raihana terdiam mendengar pengakuan itu dan lidahnya terkelu. Benarkah semua itu? Adakah Iman bergurau? Dia merenung mata Iman untuk mencari jawapan. Mata itu menunjukkan keazaman dan keyakinan terhadap dirinya. Dia dapat merasakan kesungguhan Iman kali ini.
“Sara, Iman serius nak jadikan Sara sebagai isteri Iman,” kata Iman setelah mereka lama mendiamkan diri.
“Kak...err...Sara ingatkan Iman main-main,” jawab Sara Raihana teragak-agak menyebut namanya sendiri.
“Percayalah Sara, Iman tak main-main. Pada abah dan ibu pun Iman dah beritahu hasrat Iman.”
Agak terkejut Sara Raihana mendengarnya. Dia tidak menyangka Iman akan bertindak begitu sebelum bertanya kepadanya. Dia dapat merasakan satu masalah besar bakal dihadapinya nanti. Sara Raihana berjalan ke tepi tasik dan duduk di bangku batu. Iman menuruti dari belakang dan
duduk di sebelahnya. Mereka menghayati keindahan alam di tepi tasik itu. Pokok-pokok yang merimbun meredupkan kawasan tasik, air yang beralun tenang dengan sesekali kelibat ikan melompat menambahkan kedamaian berada di kawasan itu.
“Iman, boleh tak kalau Iman lupakan Sara dan cari perempuan lain yang lebih muda?” kata Sara Raihana sambil melihat seekor burung raja udang yang sedang menangkap sasarannya di tengah tasik.
“Kenapa nak lupakan Sara sedangkan Iman betul-betul cintakan Sara? Iman tak perlukan sesiapa kecuali Sara.”
“Tapi Sara tak cintakan Iman.” Sara Raihana mula membahasakan dirinya mengikut kehendak Iman.
“Kalau Sara tak cintakan Iman, kenapa Sara tak kahwin sampai sekarang? Bukan ke itu menunjukkan Sara tunggu Iman?”
Lidah Sara Raihana kelu untuk berkata. Benarkah begitu? Hatinya sendiri tidak pasti.
“Sara tak kahwin bukan sebab Iman,” kata Sara Raihana perlahan.
“Habis tu sebab apa?”
Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Perlukah dia berterus terang? Hatinya gundah-gulana.
“Sara, pandang Iman.”
Iman menyuruh Sara Raihana memandang ke arahnya kerana mata Sara Raihana asyik memandang ke tempat lain. Sara Raihana memandang Iman sekilas dan kemudian memalingkan mukanya semula.
“Kalau Sara tak boleh pandang wajah Iman sekarang bermakna Sara berbohong.”
Terasa diri dicabar, Sara Raihana memandang tepat ke mata Iman. Tetapi renungan mata Iman membuatkan dia melarikan anak matanya semula.
 “Sara, Iman tahu Sara cintakan Iman tetapi sengaja Sara nafikan,” ujar Iman membuat telahan.
“Tolonglah Iman. Jangan buat Sara serba salah.”
“Kenapa?”
Sara Raihana tidak menjawab. Fikirannya gagal mencari ayat yang sesuai dan hanya memandang sepasang kekasih yang sedang berjalan berpegangan tangan di seberang tasik.
“Sara, kenapa Sara hanya mendiamkan diri? Cakaplah sesuatu.”
“Iman nak Sara bagi jawapan yang macam mana?” tanya Sara Raihana.
“Jawapan yang ada dalam hati Sara.”
“Kalau dari dalam hati Sara, tiada jawapan,” kata Sara Raihana sambil menunduk.
“Tak adakah rasa sayang pada Iman?” duga Iman.
“Sara sayang Iman macam adik Sara. Sukar nak ubah rasa tu.”
“Belajarlah mencintai Iman, perlahan-lahan.” Lama Sara Raihana mendiamkan diri.
“Entahlah Iman, Sara buntu.”
“Berilah peluang untuk Iman. Iman perlukan seseorang yang boleh beri kekuatan hidup. Seorang isteri yang dapat bantu Iman terus kekal di jalan ALLAH. Jadilah cahaya untuk Iman, Sara.”
“Berilah masa untuk Sara.”
“Baiklah, tapi jangan lama sangat.”
“Kenapa?”
“Iman tak nak mati merindu.”
“Kalau selama ni Iman boleh bersabar, kenapa tak boleh terus bersabar?”
“Kesabaran pun ada had, Sara. Sara nak tengok Iman jadi macam orang gila kerana Sara?”
“Iman ni menakutkan Sara.”
“Tolonglah, Sara. Tetapkan satu jangka masa supaya Iman jelas. Jangan biar Iman menunggu.”
Lama Sara Raihana berfikir.
“Setahun?”
“Lama sangat. Iman bagi tempoh Sara tentukan dalam tiga bulan ni.”
Tanpa berfikir panjang Sara Raihana bersetuju. Mungkin juga dia sudah bosan kerana terlalu didesak Iman.
Cahaya matahari pagi yang menembusi daun-daun pokok mengenai wajah Sara Raihana tetapi tidak dipedulikan. Iman masih setia berada di sisinya.
“Hai, Sara,” tegur seorang lelaki yang berhenti di hadapan mereka.
“Hai, Kapten Haikal. Lama tak jumpa,” balas Sara Raihana sambil tersenyum riang memandang lelaki itu.
Iman yang berada di sebelah mengangkat muka untuk melihat wajah orang yang dipanggil Kapten Haikal. Hati Iman tertanya-tanya, siapakah lelaki yang nampak mesra dengan Sara Raihana itu? Hatinya dipenuhi api cemburu. Terperasan yang kedua-dua lelaki itu saling berpandangan, Sara Raihana bangun untuk memperkenalkan mereka berdua.
“Iman, mari Sara kenalkan kawan Sara. Ini Kapten Haikal,” kata Sara Raihana kepada Iman.
Iman bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Kapten Haikal.
“Kapten Haikal dari Batalion keenam Rejimen Askar Melayu Diraja,” ujar Kapten Haikal memperkenalkan diri dengan bangga.
Engineer Muhamad Nur Iman dari Kuantan, Pahang,” kata Iman tidak mahu kalah dan sekali gus menerbitkan ketawa Kapten Haikal dan Sara Raihana.
Sebelum sempat Sara Raihana berkata tiba-tiba telefonnya berbunyi. Apabila dilihatnya di skrin tertera nama ibunya, dia menjawab panggilan itu sambil menjarakkan diri daripada mereka berdua.
 “Dah lama Kapten kenal Sara?” tanya Iman berbaur rasa cemburu.
“Lama jugak, dah lima bulan. Kami sering bertemu kat sini apabila jogging. I love her. She is really gorgeous and has a really unique look to her,” kata Kapten Haikal membuatkan hati Iman meradang.
“Saya dah kenal dia selama lapan tahun dan kami akan berkahwin tak lama lagi,” kata Iman sambil memerhati ke arah Sara Raihana yang sedang bercakap sesuatu yang serius dengan ibunya.
“Betul ke? Sara tak pernah sebut pun sebelum ni. I ingat available lagi. I’m sorry, but don’t worry, I bukan jenis yang ambil hak orang,” kata Kapten Haikal lalu meminta diri untuk meneruskan larian.
Sara Raihana yang melihat Kapten Haikal hanya membalas lambaian tangan Kapten Haikal padanya. Sejurus selepas Kapten Haikal berlalu, Iman menghampiri Sara Raihana yang masih bercakap dengan ibunya. Sesekali dia mengangguk dan memandang Iman. Akhirnya bila dia mematikan talian, dia menyampaikan salam ibunya kepada Iman. Iman menjawab salam yang dikirim.
“Iman, ibu beritahu abah suruh Sara ajak Iman balik Bukit Mertajam hari ni sebab abah nak jumpa kita berdua. Iman nak ke mana-mana tak?”
“Tak ke mana-mana. Bila Sara nak bertolak balik?”
“Kalau boleh kita bertolak sebelum tengah hari ni.”
“Kalau macam tu kita lari sampai ke kereta. Siapa kalah kena drive,” kata Iman sambil mengangkat kening.
Sara Raihana terus berlari meninggalkan Iman dan Iman yang tertinggal di belakang memecut dan memotong Sara Raihana apabila hampir 50 meter daripada kereta. Sara Raihana yang tahu dia akan kalah membuat helah kerana dia tidak mahu memandu kereta Iman. Dia agak lemah memandu kereta jenis manual.
 “Iman, tolong!” panggil Sara Raihana sambil berhenti berlari dan berpura-pura menekan perut.
Iman yang terlajak ke hadapan berpatah balik dan agak cemas apabila melihat Sara Raihana yang kelihatan seperti sedang kesakitan.
“Sara kenapa? Sakit perut ke?” tanya Iman cuba memegang belakang Sara Raihana yang sedang menekan perutnya, sedikit membongkok.
“Iman, tolong.”
“Tolong apa? Sakit kat mana?” Makin risau Iman dibuatnya.
“Tolong pandu kereta sebab Sara yang menang.”
Sara Raihana cepat-cepat berlari ke kereta. Iman yang sedar telah ditipu cuba mengejar tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana Sara Raihana terlebih dahulu telah sampai dan melonjak kegirangan. Iman berhenti di hadapan Sara Raihana sambil memerhatikannya dengan senyuman melebar.
“Mengelat! Mana aci,” kata Iman.
“Aci kat India,” jawab Sara Raihana sambil ketawa gembira.
Iman juga turut ketawa dengan gurauan Sara Raihana.
“Oh, pandai mengenakan Iman ya.”
“Kalau tak pandai, tak jadi cikgu,” jawab Sara Raihana dengan ketawa yang masih bersisa.
“Sebab cikgu, Iman jatuh cinta,” kata Iman sambil menghampiri Sara Raihana menyebabkan Sara Raihana diam terpaku di situ.
Iman berdiri begitu hampir dengannya dan menyebabkan dia tersandar ke pintu hadapan kereta. Iman meletakkan kedua-dua tangannya di atas bumbung kereta dengan Sara Raihana berada di antara kedua-dua tangannya. Jantung Sara Raihana berdegup kencang. Sara Raihana mendongak melihat wajah Iman yang sememangnya lebih tinggi daripadanya. Iman tersenyum nakal melihat kegugupan Sara Raihana.
Serentak dengan itu tangan kanannya yang memegang kunci menekan butang buka, sementara tangan kirinya pula dilalukan betul-betul di tepi pinggang Sara Raihana untuk membuka pintu kereta. Dia dapat mendengar Sara Raihana menarik nafas cemas.
“Cepatlah naik,” kata Iman sambil ketawa kerana dapat mengenakan Sara Raihana.
Sara Raihana yang tersedar bahawa Iman mempermainkannya tersenyum malu dan terus menaiki
kereta itu. Sewaktu Iman sedang memandu, Sara Raihana mencuri pandang wajah Iman. Dalam hatinya mengakui Iman bertambah kacak bila telah dewasa dan raut wajahnya ala-ala
pelakon Hong Kong, Aaron Kwok. Cuma hidungnya tidak semancung pelakon itu.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hah,sara tak jadi kahwin ngan farid ya??

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Ya dan ada sebab yg buat dia tak kahwin dgn Farid. Nk tahu kena baca cerita ni sampai habis.
Buku ni pun dh ada dipasaran.

Tanpa Nama berkata...

Salam..Betul ke novel ni dh ada dipasaran..Wah! Bestnya..Tpi syg tak dpt sain lah dri novelis..Hehe.. ~,~

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Waalaikumusalam. Kata editor kanan BP buku ni dah ada dipasaran. Tp akak sendiri pun tak tahu. Mungkin area KL dulu kot.
Kalau jumpa, bolehlah sain.
Insya-Allah akak cuba buat kalendar ILYC. Nanti sesiapa yg nak boleh akak kirimkan.

Tanpa Nama berkata...

Baru ingat nak cari kat jusco bukit indah johor.. Rupanya kat area kl dlu ek! Okey gak kalau nak kasi kalendar ngan sain sekali. Mesti best punya...Kita nak satu eh..~,~ thanks..