Pengikut

Sabtu, 29 Disember 2012

Aku Normal Bukan Songsang. - Bab 1



Salam buat semua. Saya dah edit cerita ANKA yang telah diberi nafas baru. Tajuk pun saya tukar agar 'lembut' sikit dan kalau editor baca tak terkejut sgt kot. Karya yang asal agak 'keras' hingga takut editor FP. Jadi saya 'lembutkan' balik cerita ni. Kalau bersesuaian akan diterbitkan kalau tak saya nak biar di blog saja. Harap dapat beri komen supaya dpt saya baiki lg cerita ni.
Jasmin terbaring di atas katil setelah menjalani rawatan pagi itu. Bagaikan ayam berak kapur keadaan dirinya. Sugul dan berkeluh kesah. Ada ketika dia rasa menyesal mengikut saranan keluarganya untuk menjalani rawatan di situ. Segala keseronokan dunia bagai direngut dari hidupnya. Baginya tempat itu seperti penjara yang penuh peraturan dan disiplin. Mahu atau tidak, dia terpaksa mengikutnya.
Kenapa mama dan papa tak call aku? Mereka dah lupakan aku ke? Kenapalah aku bodoh sangat, setuju nak jalani rawatan ni? Kalau aku tahu sakit macam ni, tentu aku tak ikut cakap mama dan Abang Syamir, bisik hati Jasmin.
 Matanya merenung kipas siling yang ligat berputar. Seligat putaran otaknya. Memori seminggu lepas mengebu di ingatan. Hari pertama dia tiba dan menjalani rawatan pemulihan secara Islam. Ketika itu dia dihantar oleh mama, papa dan abangnya. Papanya, Dato Malik merupakan kenalan lama Haji Manaf. Jika tidak kerana persahabatan mereka, Haji Manaf tidak akan menerima Jasmin kerana pusat rawatannya hanya dikhaskan untuk lelaki sahaja.
“Manaf, lama sungguh aku tak jumpa kau. Jika tak kerana Syamir ke sini dan kawan dengan Uzair, aku rasa tak akan tahu di mana kau berada,” kata Dato Malik tersenyum memandang Haji Manaf.
“Aku pun tak tahu yang Syamir ni anak kau. Bila Syamir tunjukkan gambar keluarga dia pada kami, baru aku tahu,” Haji Manaf turut tersenyum lebar.
“Aku lihat kau dah banyak berubah. Tak sangka kau sanggup tinggalkan segalanya dan hidup di sini,” kata Dato Malik lagi.
“Di sini aku dapat ketenangan dan dapat membesarkan Uzair serta Uwais mengikut amanah arwah Murni. Jauh dari kesibukan kota dan pengaruh liar. Malah aku dapat bantu anak bangsa yang tersasar hidupnya,” ujar Haji Manaf sambil memegang bahu Uwais adik Uzair.
Dato Malik menganggukkan kepalanya. Datin Zaleha hanya mendiamkan diri sambil tangannya menggenggam erat tangan Jasmin. Mata Jasmin meliar memerhatikan kawasan sekitar. Suasana yang jauh dari kesibukan kota dan agak terpencil menyebabkan kawasan di situ tampak tenang. Sesekali terdengar suara unggas berlagu riang.
“Mama! Baby tak mahu tinggal di sini. Baby nak balik ikut mama,” bisik Jasmin setelah lama mendiamkan diri.
“Tak boleh! Baby dah janji dengan kami semua yang baby nak berubah. Baby kena tinggal di sini dan jalani rawatan pemulihan. Bukan lama mana pun. Sebulan setengah aje,” tegas Datin Zaleha.
“Sampai hati mama tinggalkan baby di sini? Mama dah tak sayangkan baby ke?”
“Sebab sayanglah mama perlu tinggalkan baby. Jika baby sayangkan kami semua, jalanilah rawatan. Baby perlu tinggalkan semua tabiat buruk baby sebelum kembali ke rumah kita. Mama tak mahu apa yang berlaku pada Zana, terjadi pada baby pula. Baby pun dah janji nak berubah. Jadi buktikanlah.”
Jasmin menangis tersedu-sedu. Dia berada di situ pun hanya separuh hati. Desakan Syamir membuatkan ibu dan bapanya seolah-olah mendengar kata abangnya itu berbanding dirinya sendiri. Selama ini dia bebas menentukan arah hidupnya sendiri. Bebas berkawan dengan sesiapa sahaja yang disukainya dan segala permintaannya dipenuhi. Tetapi sejak abangnya mulai berkawan dengan Uzair dan mendapat rawatan di Teratak Murni, segala-galanya berubah. Malah ibu dan bapanya juga menyenangi perubahan diri Syamir. Kini dirinya pula perlu di make over.
“Min, hidup kita tak lama di dunia ni. Selagi ada peluang dan ruang, berubahlah. Ini semua demi masa depan Min juga,” kata Syamir sambil menepuk lembut bahu adiknya.
Jasmin mengelap air hidung dengan hujung lengan kemejanya. Badannya mulai menggigil. Dia menggosok-gosok lengannya bagi menahan rasa ketagihan yang mendatang. Tangannya pantas menyelongkar beg tangannya untuk mencari bekalan.
“Mana barang Min?” tempiknya setelah mendapati dadah yang disorokkan di dalam begnya tiada di situ.
“Abang dah buang. Mulai hari ni, Min kena berubah. Tiada lagi dadah yang merosakkan diri Min,” kata Syamir sambil mengambil beg tangan adiknya.
“Telefon dan segala barang Min, abang akan beri pada Uzair. Bila Min dah dibenarkan pulang, barulah Uzair akan serahkan barang-barang Min,” sambung Syamir.
Syamir menyerahkan beg tangan Jasmin kepada Uzair. Jasmin cuba merampas tetapi dihalang oleh abangnya. Uzair berlalu pergi untuk menyimpan beg tersebut.
“Abang tolonglah, Min tak tahan ni.”
Tubuh Jasmin menggigil teruk. Air hidungnya makin banyak yang keluar. Ketagihannya menyerang.
“Syamir, bawa Jasmin ke bilik air. Kita kena mandikan dia hingga rasa ketagih dia hilang,” kata Haji Manaf.
Syamir menurut suruhan Haji Manaf. Dia menarik tangan Jasmin untuk dibawa ke bilik air tetapi Jasmin cuba meloloskan dirinya.
“Min! Jangan lari,” kata Syamir sambil memeluk badan adiknya.
“Syamir, dukung Min. Jangan bagi dia terlepas,” perintah Dato Malik.
Datin Zaleha dan Hajah Rahimah hanya melihat pergelutan Jasmin dengan abangnya. Haji Manaf membuka pintu bilik air. Jasmin menjerit marah tetapi tidak dihiraukan oleh mereka. Dato Malik membantu Syamir mengangkat Jasmin. Tubuh Jasmin yang kecil memudahkan mereka berdua membawanya ke bilik air tersebut.
“Jirus dia,” arah Haji Manaf setelah Jasmin didudukkan di lantai bilik air secara paksa.
Syamir menjirus air ke atas kepala adiknya. Jasmin cuba bangun tetapi dipegang oleh bapanya. Habis basah baju Dato Malik dalam usaha Syamir memandikan Jasmin. Tubuh Jasmin menggigil kesejukan kerana dimandikan agak lama oleh abangnya. Pakaian Jasmin basah lencun. Datin Zaleha membalut tuala ke badan Jasmin setelah selesai Syamir memandikan adiknya.
“Malik, aku nak doakan Jasmin dulu,” kata Haji Manaf.
Dato Malik menganggukkan kepalanya dan melihat Haji Manaf berdiri di belakang Jasmin. Haji Manaf berdoa dan serentak dengan itu Jasmin menjerit kesakitan. Mereka yang lain hanya memerhati tanpa kata.
“Uzair bawakan air kelapa,” pinta Haji Manaf.
Uzair membawa gelas berisi air kelapa dan berdiri berhampiran Jasmin. Pakaian yang basah masih melekat di tubuh Jasmin tetapi terlindung dengan tuala yang diselubungnya. Uzair teragak-agak untuk memberikan air kepada Jasmin.
“Beri pada dia.”
Uzair duduk di sebelah Jasmin setelah mendengar arahan bapanya. Dia menyuakan air kepada Jasmin. Jasmin tidak mengambil air itu, sebaliknya menggigit tangan Uzair. Uzair menahan rasa sakit sambil Syamir meleraikan gigitan tersebut. Gelas di tangan Uzair diambil oleh Syamir.
“Min! Jangan buat begitu. Minum air ni!” marah Syamir sambil menyuakan air ke mulut Jasmin.
Jasmin menurut suruhan abangnya dengan hati yang berdongkol. Tidak sampai beberapa saat, Jasmin memuntahkan isi perutnya ke dalam timba yang ditadah oleh Uzair. Bisa menerpa ke segenap tulang belulangnya. Sakit yang dirasakan tidak tertanggung oleh badannya yang kurus itu. Jasmin meraung dan menangis tanpa memperdulikan orang sekeliling.
“Jasmin! Mari makan,” terdengar suara Hanina melaung dari luar bilik.
Lamunan Jasmin terhenti. Bayangan yang menjengah di mindanya turut hilang.
“Minah perasan lawa ni dah datang. Jaga kau, aku akan kenakan kau cukup-cukup bila ada peluang.” Hatinya mendongkol marah.
Jasmin senyum senget dan menuju ke pintu. Dia membuka pintu dan mencari kelibat Hanina tetapi tidak kelihatan. Senyumannya mati. Dia melangkah menuju ke dapur. Di pertengahan jalan dia bertembung Hajah Rahimah ibu kepada Hanina.
“Mak cik, boleh tak Min jalan-jalan di luar lepas sarapan?” tanya Jasmin sambil matanya mencari kelibat Uzair di halaman.
 Hatinya berlagu riang kerana terlihat Uzair sedang membersihkan halaman rumah. “Kalau Min nak keluar, jangan lama-lama sangat. Nanti Min kena belajar baca al-Quran pula.”
“Baiklah,” jawab Jasmin dengan berat hati sambil bergerak ke ruang makan di dapur.
Hati Jasmin menggerutu. Dia tidak suka dipaksa untuk membaca al-Quran. Malah melakukan solat pun dia keberatan. Jasmin duduk di hadapan talam yang berisi pulut ikan masin dan kelapa parut.
Ah! Pulut lagi. Aku bukannya suka makanan ni. Dah la kena makan dalam talam. Boring betul! bisik hati Jasmin.
Sudah menjadi tradisi Teratak Murni, mereka semua akan makan di dalam talam. Makanan akan dilonggokkan kepada empat bahagian. Setiap talam membolehkan empat orang makan secara serentak di dalam bentuk bulatan. Kaedah ini adalah untuk merapatkan ukhwah sesama mereka.
“Kenapa tak makan lagi?” tegur Hanina, anak ke tiga Hajah Rahimah.
“Tak ada makanan lain ke? Aku tak suka benda ni.”
“Makan sajalah. Banyak songeh pulak,” kata Hanina sambil menjeling geram.
Jasmin menarik muka masam melihat Hanina. Hatinya masih tidak menyenangi Hanina kerana kisah lama yang terjadi sewaktu mereka masih belajar di universiti. Sakit hatinya melihat Hanina sedang makan dengan sopan di hadapannya.
Nak tunjuk ayulah tu! Ingat aku pun tak boleh makan dengan ayu? bisik hati Jasmin.
Jasmin cuba untuk duduk secara bersimpuh tetapi duduknya tidak menjadi. Badannya menyenget dan bahunya melanggar Azimah yang berada di sebelahnya. Ini membuatkan Azimah ketawa terkekeh-kekeh.
“Azi! Jangan ketawakan orang,” larang Hanina kepada adik bongsunya yang berusia 12 tahun itu.
“Kak Hani tengoklah Kak Min. Nak bersimpuh pun tak reti. Susah-susah duduk bersilalah Kak Min,” kata Azimah dalam sisa tawanya.
Jasmin mencebikkan bibirnya dan kemudian duduk bersila semula. Matanya memerhati jari jemari Hanina yang sedang mengambil secubit pulut bergaul ikan masin dan kelapa parut. Hanina memasukkan pulut tersebut ke mulut dan mengunyahnya tanpa bunyi.
Kenapa dia makan tak keluar bunyi pun? Nak kata dia terus telan, nampak mengunyah juga. Cara dia makan tak macam aku atau pun kawan-kawan aku,  fikir Jasmin di dalam benaknya.
“Yang kau asyik tengok aku makan kenapa? Kalau kau nak memikat, salah oranglah,” kata-kata Hanina mengejutkan Jasmin.
“Amboi! Perempuan... jangan cabar. Kau belum kenal siapa Jasmin. Aku takut jika kau dah terpikat, hari-hari kau nak melekat dengan aku aje,” usik Jasmin menahan tawa.
Jasmin tahu Hanina masih keliru dengan dirinya angkara fitnah yang dilemparkan kepadanya sewaktu di universiti dahulu.
“Hisy! Tak kuasa aku. Cerminkanlah diri kau tu dulu.”
“Hari-hari aku bercermin. Muka aku pun cun melecun! Sebab tu lelaki dan perempuan terpikat,” kata Jasmin lalu ketawa besar.
Hanina mencebikkan mukanya. Azimah hanya melihat sambil mengerutkan keningnya. Hairan dengan sikap kedua-dua perempuan di hadapannya.
“Perempuan pun terpikat? Kak Min lesbian ke?” tanya Azimah kebingungan.
“Haaa... dan mangsa seterusnya Hanina!”
Jasmin ketawa terbahak-bahak. Seronok mengenakan Hanina yang dianggapnya berlagak alim. Hanina yang meradang bangun meninggalkan mereka berdua. Dia terus membasuh tangannya di sinki lalu keluar dari ruang tersebut. Hajah Rahimah yang ingin memasuki dapur, hairan melihat wajah Hanina yang kelihatan tegang dan marah.
“Kenapa Hani?”
“Min! Dia sengaja cari pasal. Tergamak dia nak pikat Hani.”
“Sabarlah Hani. Dia tu masih belum pulih. Fikiran dia pun tak menentu. Ummi rasa dia hanya nak mengusik Hani. Bukankah Min suka bergurau?”
“Nak bergurau pun agak-agaklah. Naik meremang bulu roma bila dia buat perangai gatal dia tu,” adu Hanina.
“Jangan ambil hati. Ummi yakin Min bukan seperti yang Hani fikir. Cuba kawan dengan dia baik-baik. Kalau dia tak betul, Hani tolong tegur. Min tu manja sikit tapi hati dia baik dan cekal. Bukan calang-calang orang yang sanggup jalani rawatan pemulihan di sini. Hani pun tahu peraturan di sini,” ujar Hajah Rahimah, lembut.
“Baiklah ummi. Hani cuba yang terbaik.”
“Begitulah sebaiknya. Tolong orang untuk berubah, besar pahalanya di sisi ALLAH. Kalau dia tak boleh pulih sepenuhnya, sikit pun jadilah.”
Hanina menganggukkan kepalanya dan kemudian meminta diri. Hajah Rahimah hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alurnya terlalu cepat, pasal jasmin nak jalan2 sebap nampak uzair, tup tup makan pulut,,n saat uzair nak kasih air kelapa, kurang menjiwai menurut saya, sebap kurang mendalami watak uzai, atau mungkin saya bru pertama baca ye,so blum tau watak2 hero .. Adinda

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Thanks atas ulasan. Jasmin imbas kembali dan ingat saat diberi air oleh uzair. Lamunan terhenti masa Hanina panggil. On the way nk ke dapur dia minta izin utk jln keluar (maksudnya lepas sarapan). sbb tu dia masuk dapur dulu n makan. Lps ni baru dia keluar. Harap ayat saya tak mengelirukan. Rasanya mcm saya dah letak ayat mudah dlm penceritaan ni.
Apa pun terima kasih krn sudi membaca.

Tanpa Nama berkata...

alay ktmu lg ngan kambing birahi hehe ngan kerbau yg cun melecun, emosi saya pernah tak stabil ktika bca saat min dlu selamatkan uwais yg nak tenggelam,,,geram ngan uzair .hehehe best lah acik cz dah update lg, trubat lah sgala rindu ni, best best *nany*

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Nany,
Edit sikit. Tp jalan cerita tetap sama. Sementara nak siapkan KIES 9, layan dulu cerita tak seberapa ni.

misza berkata...

Baru je baca, kena baca part setrusnya baru boleh faham betul². Tapi sebenarnya saya suka baca je, nak komen lebih-lebih tak pandai.