Pengikut

Selasa, 4 Disember 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 13 & 14

Mak Zainab telah menetapkan agar Sara Raihana makan di rumahnya pada waktu makan tengah hari dan malam, setelah Sara Raihana dibenarkan pulang ke rumah. Sara Raihana terpaksa menurut dan kerap kali membawa Norita bersamanya. Mak Zainab mengajak Sara Raihana tinggal dengannya tetapi Sara Raihana seringkali menolak dengan alasan menemani Norita yang tinggal keseorangan. Hubungan mereka menjadi semakin mesra dan setiap hari Sara Raihana membawa Mak Zainab ke hospital melawat Imran Hafis.

Imran Hafis telah dibenarkan pulang ke rumah setelah hampir sebulan tinggal di hospital. Mak Zainab amat gembira kerana Imran Hafis telah pulih walaupun kakinya masih bersimen. Anak Kak Su, jiran sebelahnya tidak lagi datang untuk menemaninya waktu malam setelah adanya Imran Hafis. Hari-hari yang mereka lalui banyak mengajar mereka erti kesabaran dan kasih sayang sesama sendiri.
Sara Raihana telah mengajak Norita menemaninya untuk membawa Imran Hafis ke hospital bagi membuka balutan simen di kaki Imran Hafis. Mak Zainab turut serta bersama-sama mereka. Setelah selesai semua urusan berkaitan Imran Hafis, mereka bergerak ke tempat letak kereta di pekarangan hospital tersebut. Sara Raihana memimpin Imran Hafis yang masih bertongkat apabila berjalan. Sakit masih terasa di kakinya.
“Mak, tu Mak Ngah Milah kan?” Imran Hafis bersuara sambil menunjuk kepada dua orang perempuan yang sedang berjalan menuju ke arah mereka.
“Kak Milah, lama tak jumpa apa khabar?” tegur Mak Zainab sambil tangannya disuakan ke arah Mak Ngah untuk bersalam.
“Hah! Kau Nab, aku ingat siapa tadi.” Mak Ngah menyambut tangan Mak Zainab dengan endah tak endah sahaja.
“Kak Milah buat apa di sini?” Mak Zainab masih bersuara mesra.
“Aku ke sini nak ambil ubat. Macam-macam sakit menimpa aku. Ni semua menantu kau punya pasal,” kasar percakapan Mak Ngah, mengejutkan mereka semua.
“Astaghfirullah… Kenapa Kak Milah cakap macam tu?”
“Betullah apa aku cakap. Menantu kau ni pembawa sial. Tak berapa jam kahwin dah menyebabkan empat nyawa termasuk anak dan laki aku terbunuh!” Kata-kata Mak Ngah penuh emosi marah.
“Tak adanya sial pada menantu aku ni. Semua yang berlaku adalah takdir Allah. Allah yang tentukan jodoh pertemuan, ajal dan maut seseorang. Jangan salahkan Sara dalam soal ni,” jawab Mak Zainab, tegas.
“Itulah kau! Masa aku suruh Izzat kahwin dengan Lina kau tolak. Kalau Izzat kahwin dengan Lina mungkin dia tak mati lagi. Laki dan anak aku pun tentu hidup termasuk abang Razak,” kata Mak Ngah sambil menunjukkan anaknya Marlina yang berada di sebelahnya.
Marlina memandang Sara Raihana dengan pandangan mengejek. Ada riak-riak sedih di wajah Sara Raihana.
“Mengucap Kak Milah. Kalau dah ajal, meninggallah juga walau dengan siapa pun Izzat kahwin.” Mak Zainab cuba menenangkan Mak Ngah yang terus-terusan menyalahkan Sara Raihana. Sara Raihana dan Norita saling berpandangan tanpa kata.
“Mudahlah kau cakap. Aku yang terpaksa tanggung semua. Apa benda yang abang Salim tinggal untuk aku? Laki kau mati, kau dapat duit pencen, dapat pampasan. Aku tak dapat apa-apa malah hilang segalanya.” Marah Mak Ngah tidak terkawal bagaikan dirasuk hantu. Ramai pengunjung hospital yang memandang ke arah mereka.
“Sabar Kak Milah. Kita di tempat awam ni.” Suara Mak Zainab masih tenang.
“Apa sabar-sabar? Semua ni berlaku kerana sial menantu kau ni. Kenapa bukan dia saja yang mati?” terjegil mata Mak Ngah memarahi Sara Raihana.
Mak Zainab menggelengkan kepala melihat sikap Mak Ngah. Sara Raihana hanya mendiamkan diri di belakang Mak Zainab. Hatinya pedih dituduh sebegitu. Sedaya upaya dia menahan airmatanya dari mengalir. Norita segera memberi isyarat kepada Sara Raihana agar masuk ke dalam kereta. Mereka memimpin Imran Hafis masuk dan mengajak Mak Zainab untuk segera beredar dari situ.Norita memandu kereta Wiranya keluar dari kawasan hospital tanpa mempedulikan Mak Ngah yang masih memaki hamun mereka.
“Sara, jangan ambil hati tentang apa yang Mak Ngah kata.” Mak Zainab memujuk Sara Raihana.
“Mungkin betul apa yang Mak Ngah kata. Sara pembawa sial. Sara yang menyebabkan mereka meninggal.” Air mata Sara Raihana mengalir jua di pipi.
“Tak baik kata begitu Sara. Tiada manusia yang membawa sial. Mungkin sudah ajal mereka meninggal pada hari yang sama. Kita tak mampu menahan walau sesaat pun jika ajal menjemput. Jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Mak tak mahu dengar lagi Sara kata begitu. Biarlah Mak Ngah menuduh Sara, tapi mak tahu kebenarannya. Sara menantu mak yang baik.”
Sara Raihana tidak mampu berkata apa-apa. Perasaannya bercampur baur ketika itu. Tetapi apa yang dia tahu, dia amat bertuah kerana mendapat mak mentua yang sangat penyayang. Mereka mendiamkan diri hingga tiba di rumah Mak Zainab. Sara Raihana memasuki rumah tersebut dengan langkah yang longlai. Berlainan dengan Norita. Dia terus ke dapur untuk mengambil air yang sememangnya ada di dalam peti sejuk. Rumah Mak Zainab dianggap macam rumahnya sendiri lebih-lebih lagi Mak Zainab pun tidak kisah dia berkelakuan begitu.
“Kak Ita, tolong ambilkan Im air,” jerit Imran Hafis dari ruang hadapan. Dia duduk di sofa sambil matanya menatap rancangan televisyen.
“Okey. Tunggu sekejap.”
Norita keluar dengan membawa sedulang air lalu diberi kepada Imran Hafis, Sara Raihana dan Mak Zainab. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di sisi Sara Raihana.
“Mak, kenapa Mak Ngah marah sangat pada Sara?” tanya Sara Raihana membuka kata.
“Entahlah Sara. Tapi rasanya Mak Ngah bukan marahkan Sara, tapi marahkan mak,” jawab Mak Zainab.
“Kenapa nak marah mak cik? Mak cik bukan buat apa-apa pun,” sampuk Norita.
“Hati manusia kita bukan dapat teka. Rasanya dia marah sebab kisah-kisah lama tapi bila ditambah dengan kejadian kemalangan tu makin maraklah jadinya,” jelas Mak Zainab.
“Sara tak faham. Cuba mak cerita kenapa dia boleh jadi macam tu,” pinta Sara Raihana.
Mak Zainab pun memulakan ceritanya. “Abah Izzat adalah anak ke tiga daripada empat beradik. Mak Long Hawa anak sulung, ke dua Pak Ngah Salim dan yang bongsu meninggal sewaktu masih kecil. Tok Wan Izzat dah pun bahagi-bahagikan harta pusakanya sebelum meninggal. Abah dapat tanah tapak rumah ini manakala Pak Ngah Salim dapat rumah dan tanah yang Tok Wan tinggal. Long Hawa dapat sebahagian tanah dusun dan sebahagian lagi Tok Wan suruh Pak Ngah dan abah kongsi berdua. Selalunya Pak Ngah akan mengirimkan bahagian abah bila tiba masa mengutip hasil.”
Mak Zainab berhenti untuk meneguk air. Mungkin kering kerongkong bila bercakap panjang.
“Jadi apa yang membuatkan Mak Ngah marah kalau Pak Ngah pun dapat bahagiannya,” tanya Sara Raihana tidak sabar.
“Mak Ngah kata Tok Wan tak adil dalam pembahagian harta sebab abah dapat tanah kawasan pinggir bandar yang lebih bernilai harganya tapi mereka dapat kawasan kampung dengan rumah pusaka yang dah rosak. Tapi rasanya dia paling marah sebab abah berkahwin dengan mak dan bukan dengannya. Bila dia tak dapat jodohkan Izzat dengan Lina, makin bertambah marahnya.”
“Ooo… ini kes cemburulah, ya. Patutlah berapi marahnya… api cemburu!” sampuk Norita pula sambil ketawa kecil.
Sara Raihana menampar geram paha Norita kerana mengganggu Mak Zainab bercerita. Mak Zainab turut ketawa melihat gelagat mereka berdua.
“Sambung lagi mak, kacau saja Ita ni,” kata Sara Raihana.
“Tak apalah setakat tu dulu cerita pasal Mak Ngah. Nanti bila ada masa mak cerita lagi. Asar dah masuk ni, jom kita solat dulu,” kata Mak Zainab menutup kisah lamanya sambil bangun untuk bersolat.
Walaupun ada sedikit rasa kecewa kerana Mak Zainab memberhentikan ceritanya tetapi Sara Raihana terpaksa akur. Dia pasti, lambat laun dia akan tahu rahsia Mak Ngah yang sebenarnya.
“Jom Ita, solat.” Ajak Sara Raihana.
“Cuti,” jawab Norita sambil membaringkan dirinya di atas sofa. Sara Raihana tersenyum kecil lalu melangkah masuk ke biliknya.
 
Bab 14
“Tolonglah Kak Mai, Sara. Hajar tak dapat ikut rombongan ke Taman Negara Pulau Pinang.” Cikgu Maimunah memujuk Sara Raihana untuk menggantikan tempat Hajar yang terpaksa menarik diri dari menjadi salah seorang guru pengiring rombongan tersebut.
 Sara Raihana hanya mendiamkan diri memikirkan permintaan tersebut. Melihatkan tiada jawapan di bibir Sara Raihana, Cikgu Maimunah terus memujuk. Seboleh-bolehnya dia mahu Sara Raihana mengikutinya melakukan aktiviti luar bilik darjah tersebut, agar Sara Raihana tidak terus diselimuti kedukaan. Dia mahu menceriakan hati Sara Raihana.
 “Pengetua minta Kak Mai carikan pengganti Hajar untuk cukupkan bilangan guru pengiring perempuan. Kita dah ada 2 orang guru lelaki.”
Walaupun dia keberatan tetapi disebabkan Cikgu Maimunah meminta tolong, dia bersetuju untuk menggantikan tempat Hajar. Persetujuan Sara Raihana cukup mengembirakan Cikgu Maimunah. “Kak Mai nak jumpa pengetua, nak beritahu yang Sara dah setuju. Nanti boleh pengetua keluarkan surat perlantikan guru pengiring untuk Sara.”
“Tak payah susah-susahlah Kak Mai. Tak ada surat perlantikan pun tak apa. Sara tak kisah.”
“Jangan begitu. Surat perlantikan tu penting kerana surat tu boleh jadi bukti bertulis bahawa kita menjalankan tugas rasmi. Secara tidak langsung surat tu boleh mengelakkan kita dari dikenakan tindakan undang-undang jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada pelajar yang kita bawa. Jika tiada surat itu, semua kesalahan akan ditanggung sendiri oleh guru tersebut,” terang Cikgu Maimunah panjang lebar.
“Oh! begitu rupanya. Terima kasih kerana beritahu kerana Sara tak tahu semua itu,” jawab Sara Raihana, jujur.
“Kak Mai yang patut berterima kasih kerana Sara sudi menggantikan tempat Hajar. Okey lah Sara. Kak Mai nak minta diri dulu. Nak jumpa pengetua.”
“Baiklah. Yang mana boleh, Sara akan tolong.”
Tiba hari yang ditetapkan, rombongan yang diketuai oleh Cikgu Maimunah berkumpul dan mendengar taklimat aktiviti. Bas bergerak ke destinasi dituju setelah bacaan doa dibacakan. Mereka tiba di pejabat Perhutanan Taman Negara Pulau Pinang yang terletak di Teluk Bahang jam 10.00 pagi. Para pelajar mengambil kesempatan bergambar di sekitar pejabat tersebut dan kawasan jeti berhampiran. Permandangan di situ memang menarik dengan kebiruan air laut yang mendamaikan. Walaupun merupakan Taman Negara terkecil, tetapi banyak spesies flora dan fauna termasuk yang jarang ditemui serta hampir pupus ada di situ. Bukan sahaja suasananya mendamaikan, malah rimbunan pokok-pokok menjadikan Taman Negara itu sejuk dan cantik selain kebersihannya dijaga.
Cikgu Maimunah menunjukkan surat kebenaran lawatan dan senarai nama pelajar kepada pegawai bertugas di kaunter pendaftaran sebelum diberi permit untuk memasuki kawasan tersebut. Mereka kemudiannya berkumpul di hadapan bangunan tersebut untuk bergambar kenangan. Cikgu Maimunah sekali lagi mengingatkan peraturan masuk ke hutan dan larangan yang perlu dipatuhi pelajar dan guru.
Mereka mula bergerak beramai-ramai mengikut kumpulan melalui jalan darat. Cikgu Bahar dan Cikgu Jalil mengiringi kumpulan pelajar yang bergerak pantas ke hadapan. Manakala Cikgu Maimunah dan Sara Raihana mengikuti kumpulan pelajar yang berjalan perlahan di belakang. Aktiviti ini agak mencabar juga bagi sesiapa yang kurang stamina atau kurang lasak.
Trek permulaan agak mudah untuk dilalui kerana berturap dengan tar. Tetapi selepas melepasi titi kecil, tiada lagi trek berturap malah mereka terpaksa mendaki bukit melalui lorong kecil. Tidak sampai 1 km mereka mendaki, beberapa orang pelajar perempuan dan pelajar lelaki yang berbadan gempal berhenti rehat. Cikgu Maimunah mengarahkan yang lain untuk berhenti sebentar. Kumpulan yang mengikuti Cikgu Bahar dan Cikgu Jalil telah tidak kelihatan. Mungkin mereka telah jauh ke hadapan.
“Cikgu saya rasa tak larat nak daki lagi. Naik semput dibuatnya,” kata Muis yang berbadan gempal.
“Kita jalan sikit lagi, lepas daki bukit ni kita akan berjumpa jalan yang landai.” Cikgu Maimunah cuba memujuk.
“Nak daki bukit yang tinggi tu? Err… tak sanggup dah cikgu,” jawab Muis lagi dengan kepalanya digelengkan berkali-kali.
“Ya lah Cikgu. Kami pun dah tak larat. Semput rasanya kalau kami daki lagi.” Mengaku pula seorang pelajar perempuan sambil kawan di sebelahnya menyokongnya.
“Tak kan nak biarkan kamu bertiga turun sendiri. Siapa nak jaga kamu nanti?” soal Cikgu Maimunah.
“Tak apa lah cikgu. Kami dah besar, dah tingkatan dua pun. Kami boleh jaga diri sendiri,” jawab Muis mewakili kawan-kawannya.
“Hish… tak boleh jadi ni. Sara, awak tolong ikut pelajar yang lain hingga sampai ke Tasik Meromitik. Kak Mai nak turun dengan pelajar-pelajar ni. Takut pula kalau tinggal mereka di tempat mula tadi.”
“Baiklah Kak Mai. Insya Allah saya akan pastikan mereka tiba di sana,” jawab Sara Raihana memberi keyakinan kepada Cikgu Maimunah.
“Chan, kamu tolong Cikgu Sara tengok-tengokkan adik-adik yang lain,” arah Cikgu Maimunah.
Kebanyakan pelajar yang mengikuti rombongan tersebut adalah terdiri dari pelajar tingkatan dua dan hanya ada beberapa pelajar senior yang memegang jawatan di dalam Koperasi Sekolah termasuklah Chan Chee Hong yang turut serta.
“Okey, cikgu. Tanggung beres. Cikgu Sara pun saya akan jaga,” jawab Chan Chee Hong sambil tersenyum lebar.
“Ada-ada saja kamu ni Chan.” Cikgu Maimunah ketawa kecil sambil mengajak pelajar yang ingin menuruni bukit bergerak. Lima orang pelajar mengikuti Cikgu Maimunah dan meninggalkan enam orang lagi termasuk Chan Chee Hong.
“Jom, kita bergerak. Pastikan jangan ada yang terpisah dari kumpulan ini,” arah Sara Raihana.
 Mereka semua meneruskan pendakian bukit mengikut lorong yang tersedia. Sara Raihana terperasan yang hanya Chan Chee Hong sahaja pelajar lelaki dan yang lainnya pelajar perempuan.
“Chan, you are a thorn among roses,” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.
How lucky I’am,” Chan Chee Hong membalas dengan sengihan. Hatinya berlagu ria kerana peluang untuk mendekati Sara Raihana terbuka luas.
Apabila tiba di sebatang anak sungai mereka berhenti seketika. Peluang ini digunakan oleh lima orang pelajar perempuan tersebut untuk bermain air bukit yang sejuk dan nyaman. Sara Raihana cuba menelefon Cikgu Maimunah tetapi tidak dapat kerana tiada liputan di atas bukit.
“Chan, telefon awak ada line tak?” tanya Sara Raihana kepada Chan Chee Hong.
“Tak ada cikgu,” jawab Chan Chee Hong sambil membelek-belek telefonnya.
“Jauh lagi ke nak sampai?” tanya Julia, salah seorang pelajar perempuan tersebut.
“Entah, saya tak tahu. Saya tak pernah sampai ke sini. Cikgu Maimunah saja yang pernah datang ke sini dua tahun lepas,” jawab Sara Raihana jujur.
“Tak apa, kita ikut sahaja trek ini sampai ke hujung. Nanti jumpalah tu,” kata Chan Chee Hong penuh yakin.
Mereka terus bergerak sehinggalah sampai ke laluan yang menuruni bukit. Laluan tersebut agak licin dan mempunyai rekahan tanah yang luas. Mereka berhenti dan memikirkan bagaimana hendak menuruninya. Chan Chee Hong menawarkan diri untuk turun dahulu dan berdiri di bahagian bawah cerun. Ketinggiannya dapat membantu pelajar yang lain untuk turun. Mereka berpaut pada akar pokok dan kemudian memegang tangan Chan Chee Hong sebagai sokongan ketika menuruni cerun tersebut. Sara Raihana teragak-agak untuk turun kerana dia tidak mahu memegang tangan Chan Chee Hong.
 ‘Nak pegang ke tak? Kalau tak pegang takut jatuh pula,’ bisik hati Sara Raihana.
“Cikgu lekaslah turun.  Jangan takut. Cikgu pegang akar tu kemudian pegang tangan saya.” Chan Chee Hong memberi arahan.
Sara Raihana yang tiada pilihan menuruti suruhan Chan Chee Hong. Dia memegang akar dan kemudiannya menghulurkan tangannya untuk memegang Chan Chee Hong. Tetapi sebelum sempat tangannya dapat berpaut pada Chan Chee Hong, kakinya tergelincir dan akar yang dipegang terlepas. Badannya terus melayang ke arah Chan Chee Hong. Chan Chee Hong yang tergamam terus memaut pinggang Sara Raihana dan menyebabkan mereka jatuh ke tanah.
“Aduhhh…” Sara Raihana mengadui. Sakit terasa di kedua-dua telapak tangannya kerana dia jatuh tersembam. Badannya berada di atas Chan Chee Hong.
Chan Chee Hong terkelu walaupun sakit terasa di bahagian belakangnya, dia merasakan seperti mendapat bonus kerana Sara Raihana berada betul-betul di dalam dakapannya. Sedetik terasa waktu terhenti, seolah-olah dunia miliknya sahaja. Telinga Sara Raihana dapat mendengar degupan jantung Chan Chee Hong yang kencang. Seketika dia terleka mendengarkannya tetapi apabila fikiran warasnya datang, cepat-cepat dia bangun dan duduk di tepi Chan Chee Hong. Mukanya merona merah tetapi cuba disembunyikan. Dia cuba membantu Chan Chee Hong bangun.
“Cikgu! Abang Chan!” Panggilan Mira menyedarkan mereka bahawa bukan hanya mereka yang berada di situ.
“Cikgu tak apa-apa?” tanya Mira lagi.
“Tak, okey je… Chan awak okey tak?” tanya Sara Raihana kepada Chan Chee Hong yang duduk mengadap Sara Raihana sambil menggosok-gosokkan kepalanya yang terasa pening.
“Tak apa cikgu, sikit saja,” jawab Chan Chee Hong.
“Ya  Allah! Chan, siku awak berdarah. Mira, mana first aid kit yang awak bawa?” Sara Raihana gagal menyembunyikan perasaan cemasnya.
“Ada dalam beg Julia,” jawab Mira sambil menolong Julia membuka beg bagi mengambil kotak ubat tersebut.
Sara Raihana segera mengambil kapas dan mencuci luka Chan Chee Hong.
“Aduh…” Chan Chee Hong menarik tangannya. Tindakan spontan.
“Maafkan saya. Saya dah menyebabkan Chan luka dan sakit.” Wajah Sara Raihana dilihat seperti hendak menangis.
“Tak apa cikgu. Sikit saja luka ni. Tadi sebab pedih tu yang saya mengadui. Cikgu letakkanlah ubat, saya akan tahan,” jawab Chan Chee Hong separuh memujuk.
Sara Raihana meneruskan kerja-kerja mencuci luka di kedua-dua siku Chan Chee Hong. Pelajar-pelajar yang lain hanya memerhatikan sahaja. Mungkin mereka tidak mahu mengganggu Sara Raihana yang sedang merawat Chan Chee Hong. Selepas menyapu antiseptik, Sara Raihana meletakkan pula ubat luka di atas kapas lalu ditekapkan di atas luka tersebut.
Chan Chee Hong asyik memandang wajah Sara Raihana yang hanya sekaki sahaja jaraknya dari wajahnya. Wajah itu ditatap sepuas-puasnya. Sara Raihana yang terperasan akan tatapan mata Chan Chee Hong terus memanggungkan kepalanya. Mata mereka bertaut dan buat seketika mata itu mengasyikkan jiwa remaja Chan Chee Hong. Dia terbuai seketika menyaksikan keindahan sepasang mata kurniaan Allah. Sara Raihana turut terkelu dan merasakan debaran jantungnya bertambah kencang. Tangannya pantas bekerja melekatkan balutan diluka tersebut.
“Okey… siap.” Sara Raihana bingkas bangun dan membiarkan Chan Chee Hong terpinga-pinga.
“Cikgu, tangan cikgu pun luka. Letaklah ubat dulu.” Kata-kata Mira membuatkan Sara Raihana baru tersedar yang sikunya berdarah dan kedua-dua telapak tangannya calar-balar.
“Okey, Cikgu pula duduk. Biar saya yang ubatkan cikgu.” Chan Chee Hong bangun sambil tangannya ingin mengambil kotak ubat dari tangan Mira.
“Err… tak payah susah-susah Chan. Saya boleh buat sendiri.” Sara Raihana mengambil ubat dan merawat lukanya sendiri sambil dibantu oleh Mira. Hatinya masih berdebar kencang kerana dia tahu Chan Chee Hong masih merenungnya. Dia tidak selesa dengan perasaannya kini. Tetapi dia cuba berlagak tenang.
“Untung siapa jadi cikgu, kan Intan.” Julia bersuara kepada kawan di sebelahnya seolah-olah mengejek.
“Kenapa?” tanya Intan sambil mengerutkan dahinya. Tidak faham maksud tersirat Julia.
“Ya, lah. Guru boleh jadi macam-macam. Sekejap jadi juru pandu arah, sekejap jadi pengawal pengiring, sekejap jadi doktor…”
“Sekejap jadi pesakit.” Sara Raihana menyampuk sebelum sempat Julia menghabiskan ayatnya.
Mereka semua ketawa serentak tetapi Julia hanya mencebikkan bibirnya. Kemudian, mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba ke destinasi yang ditetapkan. Dari atas titi yang menyambungkan bahagian bukit dengan bahagian pantai, mereka dapat melihat kumpulan pelajar yang mengikuti kedua-dua guru lelaki tersebut sedang mandi-manda di dalam Tasik Meromitik tersebut.
“Subhanallah… cantiknya tempat ini,” kata Sara Raihana terpegun dengan apa yang disaksikannya.
Mereka bergambar beramai-ramai di atas titi berlatar belakangkan tasik dan laut.
“Cikgu Sara! Mana Cikgu Maimunah?” tanya Cikgu Jalil apabila Sara Raihana menghampiri mereka yang duduk di bawah pokok.
“Cikgu Maimunah turun balik tadi. Ada 5 orang pelajar yang tak dapat teruskan perjalanan,” beritahu Sara Raihana.
“Kita bagi masa pelajar yang baru sampai rehat dalam 30 minit. Nanti kita ke hujung sana untuk lihat tempat pengumpulan dan penetasan penyu,” beritahu Cikgu Jalil sambil tangannya menunjuk ke arah tempat tersebut.
Sara Raihana meminta diri untuk berjalan-jalan sambil melihat kawasan sekitar.  Tasik Meromitik ini sebenarnya terletak di dalam kawasan Taman Negara di Pantai Keranchut, Pulau Pinang. Tasik ini merupakan fenomena bermusim yang berlaku apabila beting pasir terjadi berhampiran pantai berikutan tindakan angin dan ombak yang kerap. Beting ini akan menghalang pergerakan air laut yang dibawa oleh ombak besar sehingga membentuk sebuah lagun bermusim yang kemudiannya terjadinya Tasik Meromitik.
“Cikgu Sara!” panggil Chan Chee Hong dari arah belakang.
Sara Raihana menghentikan langkahnya dan memerhatikan Chan Chee Hong yang berlari mendapatkannya.
“Kenapa?”
“Nak ambil gambar dengan cikgu boleh tak?”
“Tadikan dah ambil.”
“Tadi beramai-ramai. Saya nak ambil berdua saja dengan cikgu.”
Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Separuh hatinya ingin menolak permintaan Chan Chee Hong tetapi separuh lagi tidak mahu menghampakan permintaan itu.
“Bolehlah cikgu, please. Sebagai kenang-kenangan saja,” pujuk Chan Chee Hong. Mimik mukanya amat mengharap.
“Okey. Tapi nak ambil di mana?” termakan juga Sara Raihana dengan pujukan Chan Chee Hong.
“Kita ambil dekat batu besar yang hampir beting pasir tu.” Cadang Chan Chee Hong. Senyumannya melebar kerana berjaya memujuk Sara Raihana. Peluang hanya datang sekali dan dia tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut. Misinya adalah untuk mendekati hati Sara Raihana.
Mereka bergerak ke arah yang dimaksudkan. Chan Chee Hong memanggil salah seorang pelajar perempuan yang berada tidak jauh dari situ untuk menolong mengambil gambar mereka. Beberapa posisi diambil dan akhirnya mereka bergerak ke tepi tasik.
“Cikgu, terima kasih kerana sudi bergambar dengan saya,” kata Chan Chee Hong sambil matanya memandang Sara Raihana yang duduk bermain-main air tasik.
Sekumpulan pelajar yang mandi manda telah keluar untuk menukarkan pakaian mereka. Sara Raihana hanya mengangguk sambil tangannya terus bermain-main dengan air tersebut.
“Chan, cuba awak rasa air tasik ni.”
Chan Chee Hong duduk bertinggung di tepi Sara Raihana sambil memasukkan tangannya ke dalam air tersebut.
“Ada dua rasa, panas dan sejuk,” kata Chan Chee Hong penuh berminat.
“Kalau awak nak tahu, tasik ni mempunyai dua lapisan air yang berbeza suhu dan ketumpatan. Air laut yang lebih berat akan berada di bawah dan air tasik yang merupakan  air tawar akan berada di atas. Suhu air di sebelah atas adalah sejuk tetapi di sebelah bawah pula, panas. Tetapi fenomena ini hanya terjadi pada peralihan musim monson Timur Laut dalam bulan November-Mac dan angin monson Barat Daya dalam bulan Mei-September,” terang Sara Raihana panjang lebar, maklumlah Cikgu Geografi.
“Hebat sungguh ciptaan Allah,” puji Chan Chee Hong.
Buat seketika mereka memandang sekeliling arah bukit hingga ke laut. “Jom, Chan. Cikgu Jalil dah bagi isyarat tu. Kita kena bergerak ke tempat pengumpulan dan penetasan penyu di hujung tanjung sana,” kata Sara Raihana sambil menunjuk ke arah Cikgu Jalil dan Cikgu Bahar.
Mereka bergerak beramai-ramai ke Pusat Penetasan dan Pemuliharaan Penyu. Pegawai bertugas memberikan penerangan kepada mereka semua. Pusat itu diadakan bagi membolehkan pelancong termasuk pelajar serta penyelidik mengenali habitat haiwan tersebut secara lebih dekat. Pantai Keranchut merupakan salah satu lokasi persinggahan penyu spesies agar dan penyu lipas yang aktif bertelur sepanjang tahun. Biasanya penyu-penyu jenis itu akan naik ke pantai pada waktu malam untuk mengelak daripada terserempak dengan manusia dan haiwan pemangsa. Terdapat beberapa kemudahan disediakan untuk pelancong di situ.
 
gambar Tasik meromitik dr blog saya. Boleh baca dan lihat gambar tasik ini di 

Tiada ulasan: