Pengikut

Sabtu, 8 Disember 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 17 & 18

CUTI persekolahan pertengahan penggal telah bermula. Sara Raihana telah pulang bercuti di Bukit Mertajam. Pagi itu Sara Raihana sedang menikmati sarapan yang telah disediakan ibunya dengan penuh berselera. Nasi lemak berlaukkan sambal bilis, telur, kacang goreng dan timun amat kena pada tekaknya. Dia hanya berpeluang menikmati air tangan ibunya itu bila dia pulang sewaktu cuti persekolahan.

Ketika itulah Mak Cik Rohaya akan menunjukkan kebolehan memasak kerana setiap hari hanya dia dan suaminya, Pak Cik Majid sahaja yang berada di rumah. Anak-anak semuanya telah berkeluarga dan mempunyai rumah masing-masing, kecuali Sara Raihana. Hati Mak Cik Rohaya terasa lapang kerana Sara Raihana telah kembali ceria dan selera makannya kembali seperti sediakala walaupun masih agak memilih seperti dahulu.

Telefon Sara Raihana berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Segera telefon diangkat lalu dia memberi salam. Mak Cik Rohaya hanya memerhati dan memasang telinga percakapan Sara Raihana dengan orang yang berada di talian.

“Ada, cikgu tak ke mana-mana. Jemputlah datang. Tahu jalan nak ke sini? Okey. Nanti telefon balik, bila dah dekat. Cikgu akan ambil Chan kat depan stesen minyak Petronas. Okey, waalaikumussalam.”
Mak Cik Rohaya dapat mengagak seseorang akan datang ke rumahnya.
“Siapa nak datang, Sara?” tanya Mak Cik Rohaya.
“Pelajar sekolah Sara, Chan Chee Hong dan adiknya.”
“Hah, anak Cina?”
Mak Cik Rohaya agak terperanjat kerana tidak pernah ada orang Cina yang datang ke rumah mereka.
“Ya, Cina. Tapi Chan dah memeluk Islam, cuma adiknya yang belum lagi,” terang Sara Raihana sambil menyambung kembali suapan.
“Dia datang dengan apa? Naik bas?”
“Tak, dia pandu sendiri kereta papanya. Dia saja bawa adik dia jalan-jalan makan angin kat Penang. Nak hilangkan stres belajar.”

Mak Cik Rohaya hanya mengangguk. Pak Cik Majid muncul di pintu hadapan dengan membawa barangan yang baru dibeli di pasar. Mak Cik Rohaya segera mengambil barang-barang itu dan memberitahu kedatangan Chan Chee Hong dan adiknya.
“Sara, kita nak masak apa tengah hari ni? Anak-anak Cina tu makan tak masakan Melayu?” tanya Mak Cik Rohaya ingin kepastian.
“Panggil Chan aje mak,” ujar Sara Raihana membetulkan panggilan Mak Cik Rohaya.
“Chan dan adiknya membesar kat sekolah berasrama penuh sejak tingkatan satu lagi. Bab-bab makan ni rasanya tak jadi masalah sebab hari-hari mereka makan masakan Melayu kat asrama atau kantin,” sambung Sara Raihana.
“Oh, begitu. Baguslah. Tapi nak masak apa?”
“Masak apa-apapun tak apa, mak.”
“Apa kata kalau mak masak kerabu pucuk paku, sotong celup tepung, ikan bakar cicah air asam dan ulam-ulam dengan sambal belacan,” cadang Mak Cik Rohaya.
“Dengar pun dah pecah liur, mak,” kata Sara Raihana sambil mengambil pucuk paku untuk dibasuh.

Hampir jam 11.30 pagi, Chan Chee Hong dan adiknya tiba di rumah Sara Raihana. Mak Cik Rohaya dan Pak Cik Majid menjemput mereka masuk ke rumah dan dihidangkan minuman ringan. Pelbagai soalan diajukan kepada Chan Chee Hong dan Chan Lee Fong oleh Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya. Mereka ingin mengenali kedua-dua remaja itu dengan lebih dekat.
Mak Cik Rohaya mengajak Sara Raihana dan Chan Lee Fong menolongnya di dapur, manakala Chan Chee Hong duduk di ruang tamu bersama-sama Pak Cik Majid.

“Bapa Chan tahu ke Chan datang ke sini?” tanya Pak Cik Majid.
“Tahu. Papa yang izinkan saya memandu keretanya dan bawak adik saya jalan-jalan makan angin sekitar Penang.”
“Baguslah macam tu. Dah lama kamu dapat lesen?”
“Baru sebulan. Tapi sebelum dapat lesen pun saya dah memandu kereta papa.”
“Bahaya memandu tanpa lesen. Tapi bila dah ada lesen, jangan pulak kamu memandu laju-laju.”
“Insya-ALLAH. Saya tak bawak laju-laju dan ikut peraturan jalan raya. Takut nanti papa tak bagi bawa kereta kalau tahu saya langgar peraturan jalan raya,” jawab Chan Chee Hong jujur.

Pak Cik Majid terus bertanya Chan Chee Hong beberapa soalan tentang pengislamannya, hubungan dengan ahli keluarga yang lain dan rancangan masa hadapannya. Chan Chee Hong menjawab semua soalan itu dengan baik. Pak Cik Majid terharu dengan cerita Chan Chee Hong tentang dirinya dan keazamannya untuk terus kekal beriman kepada ALLAH.
Pak Cik Majid juga bertanyakan nama Islam Chan Chee Hong dan apabila Chan Chee Hong memberitahunya, lantas Pak Cik Majid mencadangkan dipanggil Iman sahaja kerana dia sukar menyebut nama yang panjang.

“Adik Iman tu, tak nak masuk Islam ke?”
“Tak tahulah, pak cik. Mungkin dia masih takut dan dalam proses membina kekuatan diri. Bukan senang nak berhijrah, pak cik,” jawab Chan Chee Hong.

Pak Cik Majid hanya mengangguk. Dari ruang dapur dia dapat mendengar ketawa mesra Chan Lee Fong dengan anak dan isterinya. Hatinya berasa senang melihat perkembangan itu. Mudah-mudahan anak itu juga akan menemui hidayah dan beriman kepada ALLAH. Itulah doa Pak Cik Majid.
Setelah selesai makan tengah hari dan bersolat, mereka duduk berbual-bual sambil berehat di ruang hadapan.
“Sedap sungguh kerabu pucuk paku dan ikan bakar yang mak cik buat tadi. Berselera sungguh saya makan hari ni. Kalau macam ni hari-hari boleh gemuk badan saya,” puji Chan Lee Fong.
“Mak cik masak biasa-biasa aje. Kamu suka masakan kampung?” tanya Mak Cik Rohaya pula.
“Suka. Kalau ada kesempatan, saya nak belajar buat kerabu dan lain-lain masakan Melayu.”
“Baguslah tu. Nanti bila kamu nak datang, tidur sini sekali,” ujar Mak Cik Rohaya memberi cadangan.
“Pak cik panggil abang kamu Iman. Apa kata kalau pak cik panggil kamu Aisyah. Boleh tak?” tanya Pak Cik Majid pula.
Chan Lee Fong hanya mengangguk setuju.
“Aisyah? Hmm... bagus jugak nama tu. Mudah mak cik nak panggil dan lebih mesra. Apa kata kalau Iman dan Aisyah panggil kami ibu dan abah aje, lebih mesra,” cadang Mak Cik Rohaya pula.
“Hah, abah setuju. Kamu Iman, Aisyah, setuju tak?” tanya Pak Cik Majid pula.
“Saya setuju,” jawab Chan Chee Hong gembira.
“Saya pun setuju,” jawab Chan Lee Fong sambil bangun memeluk Mak Cik Rohaya.
Dia sangat gembira kerana dia dapat merasakan kasih seorang ibu dalam pelukan itu. Air matanya tiba-tiba menitis.
“Saya sangat terharu kerana ibu dan abah anggap kami macam anak sedangkan kita bukan ada apa-apa hubungan keluarga. Saya tak pernah rasakan kasih sayang yang sebegini kat rumah saya,” ujar Chan Lee Fong menyentuh perasaan.

Rupa-rupanya kedua-dua beradik itu dahagakan kasih sayang dan perhatian ibu bapa yang tidak diperoleh di rumah. Mak Cik Rohaya turut mengalirkan air mata gembira dan dia juga berharap agar Chan Lee Fong turut memeluk Islam. Sara Raihana yang hanya memerhati dari tadi bangun mendapatkan Chan Lee Fong lalu dipeluknya.

“Kalau begitu, jangan panggil cikgu tapi panggil Kak Sara.”
“Saya pun boleh panggil Kak Sara?” tanya Chan Chee Hong.
“Boleh. Tapi bila kat sekolah kena panggil cikgu tau,” jawab Sara Raihana sambil ketawa kecil.

Chan Chee Hong hanya tersenyum mendengar jawapan itu. Setelah lama bersembang, Chan Lee Fong mencadangkan agar mereka semua pergi bersiar-siar di Batu Feringgi kerana telah lama dia tidak pergi ke situ. Cadangan itu dipersetujui tetapi Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya tidak turut serta kerana perlu menolong jiran untuk persediaan kenduri pada esok hari.

Sara Raihana memandu kereta ditemani Chan Chee Hong dan Chan Lee Fong. Pada mulanya Chan Chee Hong ingin memandu tetapi ditegah Sara Raihana dengan alas an Sara Raihana lebih tahu selok-belok jalan ke Batu Feringgi. Akhirnya Chan Chee Hong terpaksa akur.

Pemandangan di Pantai Batu Feringgi memang cantik dengan pasir pantai yang putih dan halus. Sara Raihana berjalan beriringan dengan Chan Chee Hong dan Chan Lee Fong sambil berbual-bual ringan. Sesekali mereka ketawa bila ada kisah lucu yang diceritakan. Mereka kemudiannya berhenti sambil melihat sekitar kawasan pantai itu. Deruan ombak menghempas pantai amat memukau mata yang memandang dan mendamaikan telinga yang mendengar.

“Aisyah, awak nak mandi tak?” tanya Sara Raihana.
“Kalau Kak Sara mandi, baru saya mandi,” jawab Aisyah atau Chan Lee Fong.
“Kak Sara tak bawa baju salin. Kalau kamu berdua nak mandi, Kak Sara tunggu barang-barang kamu.”
“Kita jalan-jalan dahlah, tak payah mandi. Orang pun ramai petang ni,” jawab Chan Chee Hong mewakili adiknya.
“Okey. Jom kita pergi ke gigi air,” ajak Sara Raihana. Dia sememangnya suka bermain air laut.

Chan Chee Hong dan Chan Lee Fong melipat kaki seluar dan mula bermain air. Sara Raihana mengangkat sedikit kaki seluarnya dan mula menyertai mereka. Tangannya dikocak-kocak ke air dan tiba-tiba dia merasai ada percikan air mengenai tubuhnya. Chan Chee Hong dan adiknya saling memercikkan air laut antara satu sama lain sambil ketawa gembira. Apabila Chan Lee Fong mengelak, percikan air yang ditolak Chan Chee Hong mengenai muka Sara Raihana yang duduk bertinggung di belakang Chan Lee Fong. Ketawa mereka terhenti.

“Maafkan saya, Kak Sara,” ucap Chan Chee Hong sambil menghampiri Sara Raihana lalu dia menyapu air yang terdapat di muka Sara Raihana dengan tangannya. Tindakan spontan.
Seakan-akan terhenti degup jantung Sara Raihana dengan perbuatan Chan Chee Hong itu. Dia cuba mengawal diri dan berlagak biasa.
“Tak apa. Kak Sara okey,” ujar Sara Raihana.

Serentak dengan itu tangannya menolak air ke arah Chan Chee Hong dan mengenai tubuh Chan Chee Hong. Sara Raihana ketawa kerana dapat membalas semula. Dia segera bangun dan berlindung di belakang Chan Lee Fong apabila dia melihat Chan Chee Hong ingin membalas juga.
Terjadilah kejar mengejar kecil antara mereka. Chan Lee Fong hanya ketawa apabila dirinya dijadikan perisai Sara Raihana untuk mengelak ‘serangan’ balas abangnya.

Tanpa mereka sedar, kejadian itu disaksikan sepasang mata yang cemburu dengan hubungan baik antara mereka. Orang itu mula menghampiri mereka lalu menyapa dan membuatkan senda gurau mereka berakhir di situ.

Mereka pulang ke rumah Sara Raihana ketika senja hampir menjelang. Chan Chee Hong meminta izin untuk pulang ke rumahnya di Taiping, tetapi dilarang keras Pak Cik Majid sekeluarga. Pak Cik Majid meminta Chan Chee Hong dan adiknya tidur di rumah mereka pada malam itu sebelum pulang keesokan harinya. Dia menyuruh Chan Chee Hong menelefon papanya untuk memberitahu akan hal itu.

Chan Chee Hong mendail nombor papanya dan menerangkan masalah yang dialami dan larangan Pak Cik Majid untuk dia memandu pada waktu malam. Papanya setuju agar mereka tidur di rumah Pak Cik Majid kerana dia juga mengambil berat keselamatan anaknya.

“Abah, papa dah setuju bagi saya dan Aisyah tidur kat sini,” ujar Chan Chee Hong.
Sara Raihana bersyukur dengan keputusan itu kerana hatinya turut risau jika Chan Chee Hong memandu pada waktu malam. Dia tidak mahu kejadian yang pernah menimpa Izzat Hafis berlaku kepada Chan Chee Hong dan adiknya.

Mereka segera membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat berjemaah. Pak Cik Majid menyuruh Chan Chee Hong, kamat setelah mereka bersiap sedia untuk Solat Maghrib. Chan Chee Hong segera melafazkan kamat dan itu cukup mengharukan hati Mak Cik Rohaya kerana dia tidak menyangka anak Cina itu begitu fasih sebutannya walaupun dalam bahasa Arab.

Solat berjemaah dilakukan di ruang hadapan dengan disaksikan Chan Lee Fong yang duduk di sofa. Asyik dia memerhatikan mereka menunaikan solat. Ada ketenangan yang dilihat di situ. Dia pernah terbaca artikel tentang solat dan kajian itu membuktikan gerakan dalam solat menyamai senaman ringan yang mampu merawat penyakit kronik dan menghasilkan keadaan otak yang tenang.

Perlakuan mereka bersalam-salaman sambil berpelukan setelah solat berakhir turut mengharukan hati Chan Lee Fong kerana dia dapat melihat perasaan saling mengasihi antara satu sama lain.
Sejurus selepas makan malam dan Solat Isyak, mereka duduk berehat sambil menonton televisyen. Mak Cik Rohaya menghidangkan kopi dan duduk di sebelah Chan Lee Fong.

“Sara, nanti pinjamkan baju tidur Sara untuk Aisyah. Tentu dia tak selesa nak tidur dengan seluar tebal ni,” kata Mak Cik Rohaya.
“Tak payah susah-susah, ibu. Saya tak kisah pakai baju ni untuk tidur,” jawab Chan Lee Fong.
“Tak susah pun. Mari ikut Kak Sara ke bilik, Aisyah pilih sendiri. Aisyah tak kisahkan pakai baju Kak Sara?” kata Sara Raihana sambil mengajak Chan Lee Fong ke bilik.

Mereka berlalu pergi meninggalkan Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya yang leka menonton cerekarama. Chan Chee Hong yang kurang berminat dengan cerita itu lebih banyak meneliti raut wajah Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya.
Pak Cik Majid sebenarnya berketurunan India Muslim, bertubuh kurus, sederhana tinggi, berkulit hitam manis dan rambutnya separuh beruban. Manakala Mak Cik Rohaya berketurunan Melayu, berkulit cerah, tubuh sederhana gempal dan rendah serta memiliki sepasang mata bundar berwarna keperang-perangan.
Mungkin pada waktu mudanya Mak Cik Rohaya tergolong dalam kategori wanita yang cantik, fikir Chan Chee Hong.

Sara Raihana keluar dari bilik dan meninggalkan Chan Lee Fong yang ingin menukar baju. Sara Raihana duduk di sebelah Mak Cik Rohaya sambil menikmati kopi yang hampir sejuk. Chan Chee Hong membandingkan diri Sara Raihana dengan kedua-dua ibu bapanya. Sara Raihana mempunyai kulit yang agak cerah, bertubuh kurus seperti bapanya tetapi tinggi sedikit daripada ibunya. Mata Sara Raihana lebih mirip ibunya, warna perang cair.

Chan Lee Fong keluar dengan memakai baju tidur jenis seluar milik Sara Raihana. Baju itu kelihatan padan dengannya kerana ketinggiannya hampir sama dengan Sara Raihana, cuma kaki seluarnya dilipatkan sedikit kerana labuh. Dia turut menyertai mereka semua.

“Iman ada baju salin tak?” tanya Pak Cik Majid bila dia melihat Chan Chee Hong masih memakai baju yang sama.
“Tak ada,” jawab Chan Chee Hong berterus terang.
“Kalau macam tu, nanti Sara ambilkan baju-T yang Abang Cik belikan untuk Sara. Baju tu besar dan Sara pakai sekali aje,” ujar Sara Raihana.
Pak Cik Majid mengangguk setuju. Setelah baju-T yang bertulis ‘Terengganu’ bertukar tangan, Chan Chee Hong menukar bajunya dengan baju itu. Baju itu muat pada badannya.
“Padan elok dengan awak. Awak ambil teruslah baju tu. Kalau disimpan aje pun bukan ada siapa nak pakai,” kata Sara Raihana.

Chan Chee Hong hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Dia berasa cukup bahagia kerana memakai baju orang yang disayangi. Malam itu Chan Lee Fong tidur di bilik tetamu bersebelahan bilik Sara Raihana dan Chan Chee Hong diberi bilik Abang Cik berhampiran dapur. Chan Chee Hong lena dalam senyuman dan berharap impiannya akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Keesokan paginya, Chan Chee Hong dan adiknya bersiap-siap untuk pulang ke Taiping. Setelah menjamah sarapan yang disediakan Mak Cik Rohaya, mereka meminta izin untuk pulang.
“Hati-hati masa memandu,” pesan Pak Cik Majid.
“Nanti datanglah lagi,” kata Mak Cik Rohaya pula.
“Baiklah abah, ibu. Insya-ALLAH jika ada kesempatan kami akan datang lagi,” jawab Chan Chee Hong.

Matanya asyik mengerling ke arah Sara Raihana. Hatinya terasa sedih. Jika diberi kesempatan mahu rasanya dia menghabiskan cutinya di rumah Sara Raihana. Tapi apakan daya? Itu semua adalah mustahil.
Sara Raihana hanya tersenyum memandang kemesraan ibu bapanya dengan kedua-dua remaja itu. Chan Lee Fong bersalam-salaman dan berpelukan dengan Sara Raihana dan Mak Cik Rohaya sebagai tanda perpisahan. Dia berasa sedih untuk meninggalkan keluarga itu yang sudah dianggap sebagai keluarga angkatnya.

Chan Chee Hong menyalami Pak Cik Majid dan memeluknya. Dia hanya tersenyum kepada Sara Raihana dan Mak Cik Rohaya. Setelah mengucapkan salam, mereka pun berlalu pergi. Sara Raihana segera ke dapur untuk mengemas pinggan mangkuk yang masih tidak berbasuh di singki. Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya masih berada di halaman rumah.

“Aya perasan tak Iman tu?” tanya Pak Cik Majid.
“Kenapa?” tanya Mak Cik Rohaya pula.
“Iman tu ada hati kat Sara. Cara dia perhatikan Sara pun dah menunjukkan dia suka,” duga Pak Cik Majid.
“Yalah, Aya pun perasan. Kalau betul-betul Iman mahukan Sara, apa salahnya? Lagipun Sara bukan ada yang punya.”
“Tak mungkinlah. Iman tu budak lagi. SPM pun belum ambil,” sangkal Pak Cik Majid.
“Sekarang budak lagi. Mana tahu suatu hari nanti bila dia dah bekerja, dia masuk meminang anak kita.”
“Iman tu muda daripada Sara. Tak mungkin Sara nak,” ujar Pak Cik Majid masih menolak telahan Mak Cik Rohaya.
“Muda pun apa salahnya? Kalau ada jodoh mereka, tak ke mana jua.”
“Entahlah, Aya. Apa-apapun kita serahkan aje pada ALLAH.”
Mak Cik Rohaya mengangguk menyetujui kata-kata suaminya. Dia berharap suatu hari nanti Sara Raihana akan menemui pasangan hidup yang sesuai dan sekali gus membuang status janda yang melekat padanya.

Bab 18

SARA Raihana hanya memerhati Norita yang baru pulang ke rumah sewa. Wajahnya kelihatan gembira dan ceria. Dia membawa pulang popia basah yang menjadi kegemaran Sara Raihana.
“Sara, aku belikan kau popia basah,” ujar Norita sambil menghulurkan sebuah bungkusan kepada Sara Raihana.
“Terima kasih. Bestnya, sayang Ita,” ucap Sara Raihana dan tangannya terus membuka bungkusan itu.
Bau popia yang harum membuka seleranya. Popia basah memang popular di Taiping kerana keistimewaan intinya, bersaiz besar dan bersos cili yang dibuat sendiri. Norita masuk ke dapur dan mencapai dua biji gelas kosong lalu membawanya ke hadapan Sara Raihana yang sedang menikmati popia basah. Norita membuka jus oren yang dibelinya lalu menuangkan ke dalam gelas-gelas itu.

“Kau keluar dengan Alif ke?” tanya Sara Raihana setelah Norita duduk di sebelah.
“Ya, kami pergi makan Kuetiau Doli. Aku teringatkan kau. Itu yang beli popia basah ni,” jawab Norita sambil memasukkan popia ke mulut.
Kuetiau Doli adalah kuetiau kerang yang terkenal di Bandar Taiping dan diusahakan peniaga bumiputera bermula dari gerai biasa dan berkembang maju sehingga menjadi sebuah restoran.

“Kau betul-betul serius ke dengan Alif?” Norita mengangguk.
“Alif cadang nak masuk meminang lepas raya puasa nanti.”
“Baguslah macam tu. Tak elok tunggu lama-lama, nanti dikebas orang,” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.
“Tapi aku ada masalah. Ibu bapa aku tak tahu yang aku berkawan dengan Alif. Aku takut mereka tak dapat terima pilihan aku,” kata Norita agak perlahan.
“Aku rasa elok kau berterus terang aje dengan mereka.”
“Kau tak kenal ibu bapa aku. Bukan boleh dibawa berbincang.”
“Kau tak cuba pun lagi. Entah-entah mereka boleh terima Alif dengan baik.”
“Aku harap begitulah. Sebenarnya aku tak nak lukakan hati ibu bapa aku. Dulu masa kakak aku, Kak Ani nak kahwin dengan Abang Aman, ibu membantah sebab ibu ada pilihan lain. Kak Ani yang tak puas hati dengan ibu, terus kahwin lari dengan Abang Aman. Sampai sekarang Kak Ani tak pulang-pulang ke kampung. Ibu malu bukan kepalang,” cerita Norita tanpa dipinta.
“Berapa lama dah Kak Ani larikan diri?” tanya Sara Raihana mulai berminat dengan cerita Norita.
“Dah nak masuk dua tahun. Sebab tu aku takut hati dia terluka jika tahu aku pun berkawan dengan orang luar, bukan orang Negeri.”
“Abang Aman tu orang mana?”
“Kelantan.”
“Aku simpati dengan kau tapi apa-apa hal pun kau kena bincang baik-baik dengan Alif dan kemudian beritahu ibu bapa kau. Alif berani ke nak jumpa ibu bapa kau, Ita?”
“Masa dia kata nak masuk meminang tadi, aku dah beritahu hal ni. Dia kata sanggup pergi ke rumah aku kat kampung untuk berbincang.”
“Baguslah tu. Sekarang semuanya terletak atas kepandaian kau mencairkan hati ibu bapa kau. Kata orang kalau nak tarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus,” kata Sara Raihana sambil menuang air ke gelasnya.
Norita hanya mendiamkan diri. Dalam hati mengiakan kata-kata Sara Raihana.
“Macam mana cuti kau? Seronok?” tanya Norita, mengalihkan persoalan tentang dirinya.
“Seronok sebab dah lama aku tak balik. Kau tahu tak, Chan pergi ke rumah aku dengan adiknya,” kata Sara Raihana ceria.
“Chan ke sana?” soal Norita terkejut dengan perkhabaran itu.
“Ya, aku pun terkejut bila dia telefon kata nak ke rumah aku. Dia bawa kereta bapa dia.”
“Dia dah ada lesen ke?”
“Baru dapat lesen dan sebab tulah dia bawa adik dia berjalan-jalan,” terang Sara Raihana.
“Selalunya kalau budak lelaki dapat lesen tentu dia nak bawak awek dia jalan-jalan. Ini tak, bawak adik dia pulak.”
“Manalah aku tahu. Dah dia kata macam tu, aku beritahu aje,” kata Sara Raihana.
Dia juga memberitahu Norita yang mereka bersiar-siar di Batu Feringgi dan kemudian tidur di rumahnya. Malah diceritakan juga yang ibu bapanya telah menganggap mereka sebagai anak angkat.
“Aku hairanlah dengan Chan,” ujar Norita.
“Kenapa?”
“Kat sekolah aku nampak dia kerap cari kau. Sanggup pulak tu tunggu kau kat tempat letak kereta setiap pagi. Bila cuti, dia bersusah payah cari kau sampai ke Bukit Mertajam pulak. Jangan-jangan ada apa-apa tak?”
“Maksud kau?” Sara Raihana merenung Norita dengan hairan.
“Mungkin dia dah jatuh cinta kat kau, Sara?”

Soalan Norita membuatkan Sara Raihana terkejut. Berkerut dahinya buat seketika. Betulkah begitu? Kalau betul, kenapa tak gembira? Pelbagai persoalan menyerbu di kepalanya.
“Aku tak fikir begitu,” kata Sara Raihana cuba menafikan walaupun dia tahu telahan Norita ada benarnya.
“Kalau betul dia cintakan kau, kau nak buat macam mana?” tanya Norita terus menduga.
“Tak mungkinlah. Akukan lebih tua daripada dia. Dia dah macam adik aku sendiri. Lebih-lebih lagi dia saudara baru yang perlu kita bimbing. Jadi aku rasa tak salah kalau dia rapat dengan aku atas sebab tu. Kau jangan fikir yang bukan-bukanlah, Ita,” ujar Sara Raihana terus menafikan.
“Tapi aku tak rasa dia hanya anggap kau sebagai kakak angkat dan pembimbing. Aku yakin dia benar-benar syok kat kau. Kalau tak kenapa dia nak buat semua tu?”
“Aku rasa Chan sukakan aku sebagai seorang kakak. Dia pun dah anggap keluarga aku macam keluarga dia. Malah abah dan ibu aku setuju bila aku kata aku nak tolong Chan kerana ALLAH. Chan masih perlukan bimbingan kita untuk mantapkan iman dia.”
“Aku faham niat baik kau. Tapi boleh ke orang lain terima alasan kau?”
“Hati orang kita tak boleh nak puaskan semuanya, Ita. Apa yang penting, aku ikhlas nak tolong dia.” Mendatar suara Sara Raihana. Dia sedar risiko yang bakal dihadapinya nanti.
“Betul, tapi hati-hatilah. Aku takut orang akan mengata kau kerana tak memahami tujuan kau. Tapi aku lebih takut jika suatu hari, adik jadi abang pulak,” ujar Norita sambil tersenyum penuh bermakna.
“Ada-ada aje kau ni. Dahlah, aku nak pergi gosok baju. Esok takut lambat pulak nak ke sekolah,” kata Sara Raihana sambil bergerak masuk ke bilik. Dia cuba mengelak daripada terus membicarakan soal itu.
Norita hanya melihat langkah Sara Raihana. Hatinya dapat merasakan yang suatu hari perkara itu akan mendatangkan masalah kepada temannya itu. Dia terus duduk melihat rancangan televisyen. Tetapi fikirannya mulai menerawang memikirkan kesudahan hubungannya dengan Alif Ajmal.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

macam aneh ya kak, namanya chan? Setahu nany orang cina tidak di panggil marga nya, chan itu kan marga? Boleh panggil marga tetapi dpanya ada tuan chan, atau nyonya/puan chan(istri dri keluarga chan) bgi yg blum kahwin kan pgl nya ,mr or ms chan, untuk chan ni sharusnya kan panggil, a hong untuk adik a fong,,stau nany j ya kak, jika di hong kong bgtu, tajt tau pula jika di malesya, by nany

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Kalau secara rasmi memang ya. Tp kalau tak rasmi biasanya org melayu panggil pangkal mula. Akak pun ada kawan dgn cina dan panggil Tan aje tanpa miss dan seorg lagi, dia sdn bahasakan dirinya dgn pangkal mula, Chuah. Jadi rasanya di Malaysia perkara ni tak pelik..