CUTI persekolahan pertengahan penggal telah bermula. Sara
Raihana telah pulang bercuti di Bukit Mertajam. Pagi itu Sara Raihana sedang menikmati
sarapan yang telah disediakan ibunya dengan penuh berselera. Nasi lemak berlaukkan sambal bilis,
telur, kacang goreng dan timun amat kena pada tekaknya. Dia hanya berpeluang
menikmati air tangan ibunya itu bila dia pulang sewaktu cuti persekolahan.
Ketika itulah Mak Cik Rohaya akan menunjukkan kebolehan memasak
kerana setiap hari hanya dia dan suaminya, Pak Cik Majid sahaja yang berada di
rumah. Anak-anak semuanya telah berkeluarga dan mempunyai rumah masing-masing,
kecuali Sara Raihana. Hati Mak Cik Rohaya terasa lapang kerana Sara Raihana
telah kembali ceria dan selera makannya kembali seperti sediakala walaupun
masih agak memilih seperti dahulu.
Telefon Sara Raihana berbunyi menandakan ada panggilan masuk.
Segera telefon diangkat lalu dia memberi salam. Mak Cik Rohaya hanya memerhati
dan memasang telinga percakapan Sara Raihana dengan orang yang berada di
talian.
“Ada, cikgu tak ke mana-mana. Jemputlah datang. Tahu jalan nak ke
sini? Okey. Nanti telefon balik, bila dah dekat. Cikgu akan ambil Chan kat
depan stesen minyak Petronas. Okey, waalaikumussalam.”
Mak Cik Rohaya dapat mengagak seseorang akan datang ke rumahnya.
“Siapa nak datang, Sara?” tanya Mak Cik Rohaya.
“Pelajar sekolah Sara, Chan Chee Hong dan adiknya.”
“Hah, anak Cina?”
Mak Cik Rohaya agak terperanjat kerana tidak pernah ada orang Cina
yang datang ke rumah mereka.
“Ya, Cina. Tapi Chan dah memeluk Islam, cuma adiknya yang belum
lagi,” terang Sara Raihana sambil menyambung kembali suapan.
“Dia datang dengan apa? Naik bas?”
“Tak, dia pandu sendiri kereta papanya. Dia saja bawa adik dia
jalan-jalan makan angin kat Penang. Nak hilangkan stres belajar.”
Mak Cik Rohaya hanya mengangguk. Pak Cik Majid muncul di pintu
hadapan dengan membawa barangan yang baru dibeli di pasar. Mak Cik Rohaya
segera mengambil barang-barang itu dan memberitahu kedatangan Chan Chee Hong
dan adiknya.
“Sara, kita nak masak apa tengah hari ni? Anak-anak Cina tu makan
tak masakan Melayu?” tanya Mak Cik Rohaya ingin kepastian.
“Panggil Chan aje mak,” ujar Sara Raihana membetulkan panggilan
Mak Cik Rohaya.
“Chan dan adiknya membesar kat sekolah berasrama penuh sejak
tingkatan satu lagi. Bab-bab makan ni rasanya tak jadi masalah sebab hari-hari
mereka makan masakan Melayu kat asrama atau kantin,” sambung Sara Raihana.
“Oh, begitu. Baguslah. Tapi nak masak apa?”
“Masak apa-apapun tak apa, mak.”
“Apa kata kalau mak masak kerabu pucuk paku, sotong celup tepung,
ikan bakar cicah air asam dan ulam-ulam dengan sambal belacan,” cadang Mak Cik
Rohaya.
“Dengar pun dah pecah liur, mak,” kata Sara Raihana sambil
mengambil pucuk paku untuk dibasuh.
Hampir jam 11.30 pagi, Chan Chee Hong dan adiknya tiba di rumah
Sara Raihana. Mak Cik Rohaya dan Pak Cik Majid menjemput mereka masuk ke rumah
dan dihidangkan minuman ringan. Pelbagai soalan diajukan kepada Chan Chee Hong
dan Chan Lee Fong oleh Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya. Mereka ingin mengenali
kedua-dua remaja itu dengan lebih dekat.
Mak Cik Rohaya mengajak Sara Raihana dan Chan Lee Fong menolongnya
di dapur, manakala Chan Chee Hong duduk di ruang tamu bersama-sama Pak Cik
Majid.
“Bapa Chan tahu ke Chan datang ke sini?” tanya Pak Cik Majid.
“Tahu. Papa yang izinkan saya memandu keretanya dan bawak adik
saya jalan-jalan makan angin sekitar Penang.”
“Baguslah macam tu. Dah lama kamu dapat lesen?”
“Baru sebulan. Tapi sebelum dapat lesen pun saya dah memandu
kereta papa.”
“Bahaya memandu tanpa lesen. Tapi bila dah ada lesen, jangan pulak
kamu memandu laju-laju.”
“Insya-ALLAH. Saya tak bawak laju-laju dan ikut peraturan jalan
raya. Takut nanti papa tak bagi bawa kereta kalau tahu saya langgar peraturan
jalan raya,” jawab Chan Chee Hong jujur.
Pak Cik Majid terus bertanya Chan Chee Hong beberapa soalan
tentang pengislamannya, hubungan dengan ahli keluarga yang lain dan rancangan
masa hadapannya. Chan Chee Hong menjawab semua soalan itu dengan baik. Pak Cik
Majid terharu dengan cerita Chan Chee Hong tentang dirinya dan keazamannya
untuk terus kekal beriman kepada ALLAH.
Pak Cik Majid juga bertanyakan nama Islam Chan Chee Hong dan
apabila Chan Chee Hong memberitahunya, lantas Pak Cik Majid mencadangkan
dipanggil Iman sahaja kerana dia sukar menyebut nama yang panjang.
“Adik Iman tu, tak nak masuk Islam ke?”
“Tak tahulah, pak cik. Mungkin dia masih takut dan dalam proses
membina kekuatan diri. Bukan senang nak berhijrah, pak cik,” jawab Chan Chee
Hong.
Pak Cik Majid hanya mengangguk. Dari ruang dapur dia dapat
mendengar ketawa mesra Chan Lee Fong dengan anak dan isterinya. Hatinya berasa
senang melihat perkembangan itu. Mudah-mudahan anak itu juga akan menemui hidayah dan beriman
kepada ALLAH. Itulah doa Pak Cik Majid.
Setelah selesai makan tengah hari dan bersolat, mereka duduk
berbual-bual sambil berehat di ruang hadapan.
“Sedap sungguh kerabu pucuk paku dan ikan bakar yang mak cik buat
tadi. Berselera sungguh saya makan hari ni. Kalau macam ni hari-hari boleh
gemuk badan saya,” puji Chan Lee Fong.
“Mak cik masak biasa-biasa aje. Kamu suka masakan kampung?” tanya
Mak Cik Rohaya pula.
“Suka. Kalau ada kesempatan, saya nak belajar buat kerabu dan
lain-lain masakan Melayu.”
“Baguslah tu. Nanti bila kamu nak datang, tidur sini sekali,” ujar
Mak Cik Rohaya memberi cadangan.
“Pak cik panggil abang kamu Iman. Apa kata kalau pak cik panggil
kamu Aisyah. Boleh tak?” tanya Pak Cik Majid pula.
Chan Lee Fong hanya mengangguk setuju.
“Aisyah? Hmm... bagus jugak nama tu. Mudah mak cik nak panggil dan
lebih mesra. Apa kata kalau Iman dan Aisyah panggil kami ibu dan abah aje,
lebih mesra,” cadang Mak Cik Rohaya pula.
“Hah, abah setuju. Kamu Iman, Aisyah, setuju tak?” tanya Pak Cik
Majid pula.
“Saya setuju,” jawab Chan Chee Hong gembira.
“Saya pun setuju,” jawab Chan Lee Fong sambil bangun memeluk Mak
Cik Rohaya.
Dia sangat gembira kerana dia dapat merasakan kasih seorang ibu
dalam pelukan itu. Air matanya tiba-tiba menitis.
“Saya sangat terharu kerana ibu dan abah anggap kami macam anak
sedangkan kita bukan ada apa-apa hubungan keluarga. Saya tak pernah rasakan
kasih sayang yang sebegini kat rumah saya,” ujar Chan Lee Fong menyentuh
perasaan.
Rupa-rupanya kedua-dua beradik itu dahagakan kasih sayang dan
perhatian ibu bapa yang tidak diperoleh di rumah. Mak Cik Rohaya turut
mengalirkan air mata gembira dan dia juga berharap agar Chan Lee Fong turut
memeluk Islam. Sara Raihana yang hanya memerhati dari tadi bangun mendapatkan
Chan Lee Fong lalu dipeluknya.
“Kalau begitu, jangan panggil cikgu tapi panggil Kak Sara.”
“Saya pun boleh panggil Kak Sara?” tanya Chan Chee Hong.
“Boleh. Tapi bila kat sekolah kena panggil cikgu tau,” jawab Sara
Raihana sambil ketawa kecil.
Chan Chee Hong hanya tersenyum mendengar jawapan itu. Setelah lama
bersembang, Chan Lee Fong mencadangkan agar mereka semua pergi bersiar-siar di
Batu Feringgi kerana telah lama dia tidak pergi ke situ. Cadangan itu
dipersetujui tetapi Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya tidak turut serta kerana
perlu menolong jiran untuk persediaan kenduri pada esok hari.
Sara Raihana memandu kereta ditemani Chan Chee Hong dan Chan Lee
Fong. Pada mulanya Chan Chee Hong ingin memandu tetapi ditegah Sara Raihana
dengan alas an Sara Raihana lebih tahu selok-belok jalan ke Batu Feringgi. Akhirnya
Chan Chee Hong terpaksa akur.
Pemandangan di Pantai Batu Feringgi memang cantik dengan pasir
pantai yang putih dan halus. Sara Raihana berjalan beriringan dengan Chan Chee
Hong dan Chan Lee Fong sambil berbual-bual ringan. Sesekali mereka ketawa bila
ada kisah lucu yang diceritakan. Mereka kemudiannya berhenti sambil melihat
sekitar kawasan pantai itu. Deruan ombak menghempas pantai amat memukau mata
yang memandang dan mendamaikan telinga yang mendengar.
“Aisyah, awak nak mandi tak?” tanya Sara Raihana.
“Kalau Kak Sara mandi, baru saya mandi,” jawab Aisyah atau Chan
Lee Fong.
“Kak Sara tak bawa baju salin. Kalau kamu berdua nak mandi, Kak
Sara tunggu barang-barang kamu.”
“Kita jalan-jalan dahlah, tak payah mandi. Orang pun ramai petang
ni,” jawab Chan Chee Hong mewakili adiknya.
“Okey. Jom kita pergi ke gigi air,” ajak Sara Raihana. Dia sememangnya
suka bermain air laut.
Chan Chee Hong dan Chan Lee Fong melipat kaki seluar dan mula
bermain air. Sara Raihana mengangkat sedikit kaki seluarnya dan mula menyertai
mereka. Tangannya dikocak-kocak ke air dan tiba-tiba dia merasai ada percikan air mengenai
tubuhnya. Chan Chee Hong dan adiknya saling memercikkan air laut antara satu
sama lain sambil ketawa gembira. Apabila Chan Lee Fong mengelak, percikan air
yang ditolak Chan Chee Hong mengenai muka Sara Raihana yang duduk bertinggung
di belakang Chan Lee Fong. Ketawa mereka terhenti.
“Maafkan saya, Kak Sara,” ucap Chan Chee Hong sambil menghampiri
Sara Raihana lalu dia menyapu air yang terdapat di muka Sara Raihana dengan
tangannya. Tindakan spontan.
Seakan-akan terhenti degup jantung Sara Raihana dengan perbuatan
Chan Chee Hong itu. Dia cuba mengawal diri dan berlagak biasa.
“Tak apa. Kak Sara okey,” ujar Sara Raihana.
Serentak dengan itu tangannya menolak air ke arah Chan Chee Hong
dan mengenai tubuh Chan Chee Hong. Sara Raihana ketawa kerana dapat membalas semula. Dia segera
bangun dan berlindung di belakang Chan Lee Fong apabila dia melihat Chan Chee
Hong ingin membalas juga.
Terjadilah kejar mengejar kecil antara mereka. Chan Lee Fong hanya
ketawa apabila dirinya dijadikan perisai Sara Raihana untuk mengelak ‘serangan’
balas abangnya.
Tanpa mereka sedar, kejadian itu disaksikan sepasang mata yang cemburu
dengan hubungan baik antara mereka. Orang itu mula menghampiri mereka lalu
menyapa dan membuatkan senda gurau mereka berakhir di situ.
Mereka pulang ke rumah Sara Raihana ketika senja hampir menjelang.
Chan Chee Hong meminta izin untuk pulang ke rumahnya di Taiping, tetapi
dilarang keras Pak Cik Majid sekeluarga. Pak Cik Majid meminta Chan Chee Hong dan
adiknya tidur di rumah mereka pada malam itu sebelum pulang keesokan harinya.
Dia menyuruh Chan Chee Hong menelefon papanya untuk memberitahu akan hal itu.
Chan
Chee Hong mendail nombor papanya dan menerangkan masalah yang dialami dan
larangan Pak Cik Majid untuk dia memandu pada waktu malam. Papanya setuju agar
mereka tidur di rumah Pak Cik Majid kerana dia juga mengambil berat keselamatan
anaknya.
“Abah, papa dah setuju bagi saya dan Aisyah tidur kat sini,” ujar
Chan Chee Hong.
Sara Raihana bersyukur dengan keputusan itu kerana hatinya turut
risau jika Chan Chee Hong memandu pada waktu malam. Dia tidak mahu kejadian
yang pernah menimpa Izzat Hafis berlaku kepada Chan Chee Hong dan adiknya.
Mereka segera membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat
berjemaah. Pak Cik Majid menyuruh Chan Chee Hong, kamat setelah mereka bersiap
sedia untuk Solat Maghrib. Chan Chee Hong segera melafazkan kamat dan itu cukup mengharukan hati Mak Cik
Rohaya kerana dia tidak menyangka anak Cina itu begitu fasih sebutannya
walaupun dalam bahasa Arab.
Solat berjemaah dilakukan di ruang hadapan dengan disaksikan Chan Lee
Fong yang duduk di sofa. Asyik dia memerhatikan mereka menunaikan
solat. Ada ketenangan yang dilihat di situ. Dia pernah terbaca artikel
tentang solat dan kajian itu membuktikan gerakan dalam solat menyamai
senaman ringan yang mampu merawat penyakit kronik dan menghasilkan
keadaan otak yang tenang.
Perlakuan mereka bersalam-salaman sambil
berpelukan setelah solat berakhir turut mengharukan hati Chan Lee Fong
kerana dia dapat melihat perasaan saling mengasihi antara satu sama
lain.
Sejurus selepas makan malam dan Solat Isyak, mereka duduk berehat
sambil menonton televisyen. Mak Cik Rohaya menghidangkan kopi dan duduk
di sebelah Chan Lee Fong.
“Sara, nanti pinjamkan baju tidur Sara untuk Aisyah. Tentu dia tak
selesa nak tidur dengan seluar tebal ni,” kata Mak Cik Rohaya.
“Tak payah susah-susah, ibu. Saya tak kisah pakai baju ni untuk tidur,” jawab Chan Lee Fong.
“Tak susah pun. Mari ikut Kak Sara ke bilik, Aisyah pilih sendiri.
Aisyah tak kisahkan pakai baju Kak Sara?” kata Sara Raihana sambil
mengajak Chan Lee Fong ke bilik.
Mereka berlalu pergi meninggalkan Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya
yang leka menonton cerekarama. Chan Chee Hong yang kurang berminat
dengan cerita itu lebih banyak meneliti raut wajah Pak Cik Majid dan Mak
Cik Rohaya.
Pak Cik Majid sebenarnya berketurunan India Muslim, bertubuh kurus,
sederhana tinggi, berkulit hitam manis dan rambutnya separuh beruban.
Manakala Mak Cik Rohaya berketurunan Melayu, berkulit cerah, tubuh
sederhana gempal dan rendah serta memiliki sepasang mata bundar berwarna
keperang-perangan.
Mungkin pada waktu mudanya Mak Cik Rohaya tergolong dalam kategori wanita yang cantik, fikir Chan Chee Hong.
Sara Raihana keluar dari bilik dan meninggalkan Chan Lee Fong yang
ingin menukar baju. Sara Raihana duduk di sebelah Mak Cik Rohaya sambil
menikmati kopi yang hampir sejuk. Chan Chee Hong membandingkan diri Sara
Raihana dengan kedua-dua ibu bapanya. Sara Raihana mempunyai kulit yang
agak cerah, bertubuh kurus seperti bapanya tetapi tinggi sedikit
daripada ibunya. Mata Sara Raihana lebih mirip ibunya, warna perang
cair.
Chan Lee Fong keluar dengan memakai baju tidur jenis seluar milik
Sara Raihana. Baju itu kelihatan padan dengannya kerana ketinggiannya
hampir sama dengan Sara Raihana, cuma kaki seluarnya dilipatkan sedikit
kerana labuh. Dia turut menyertai mereka semua.
“Iman ada baju salin tak?” tanya Pak Cik Majid bila dia melihat Chan Chee Hong masih memakai baju yang sama.
“Tak ada,” jawab Chan Chee Hong berterus terang.
“Kalau macam tu, nanti Sara ambilkan baju-T yang Abang Cik belikan
untuk Sara. Baju tu besar dan Sara pakai sekali aje,” ujar Sara Raihana.
Pak Cik Majid mengangguk setuju. Setelah baju-T yang bertulis
‘Terengganu’ bertukar tangan, Chan Chee Hong menukar bajunya dengan baju
itu. Baju itu muat pada badannya.
“Padan elok dengan awak. Awak ambil teruslah baju tu. Kalau disimpan aje pun bukan ada siapa nak pakai,” kata Sara Raihana.
Chan Chee Hong hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Dia
berasa cukup bahagia kerana memakai baju orang yang disayangi. Malam itu
Chan Lee Fong tidur di bilik tetamu bersebelahan bilik Sara Raihana dan
Chan Chee Hong diberi bilik Abang Cik berhampiran dapur. Chan Chee Hong
lena dalam senyuman dan berharap impiannya akan menjadi kenyataan suatu
hari nanti.
Keesokan paginya, Chan Chee Hong dan adiknya bersiap-siap untuk
pulang ke Taiping. Setelah menjamah sarapan yang disediakan Mak Cik
Rohaya, mereka meminta izin untuk pulang.
“Hati-hati masa memandu,” pesan Pak Cik Majid.
“Nanti datanglah lagi,” kata Mak Cik Rohaya pula.
“Baiklah abah, ibu. Insya-ALLAH jika ada kesempatan kami akan datang lagi,” jawab Chan Chee Hong.
Matanya asyik mengerling ke arah Sara Raihana. Hatinya terasa sedih.
Jika diberi kesempatan mahu rasanya dia menghabiskan cutinya di rumah
Sara Raihana. Tapi apakan daya? Itu semua adalah mustahil.
Sara Raihana hanya tersenyum memandang kemesraan ibu bapanya dengan
kedua-dua remaja itu. Chan Lee Fong bersalam-salaman dan berpelukan
dengan Sara Raihana dan Mak Cik Rohaya sebagai tanda perpisahan. Dia
berasa sedih untuk meninggalkan keluarga itu yang sudah dianggap sebagai
keluarga angkatnya.
Chan Chee Hong menyalami Pak Cik Majid dan memeluknya. Dia hanya
tersenyum kepada Sara Raihana dan Mak Cik Rohaya. Setelah mengucapkan
salam, mereka pun berlalu pergi. Sara Raihana segera ke dapur untuk
mengemas pinggan mangkuk yang masih tidak berbasuh di singki. Pak Cik
Majid dan Mak Cik Rohaya masih berada di halaman rumah.
“Aya perasan tak Iman tu?” tanya Pak Cik Majid.
“Kenapa?” tanya Mak Cik Rohaya pula.
“Iman tu ada hati kat Sara. Cara dia perhatikan Sara pun dah menunjukkan dia suka,” duga Pak Cik Majid.
“Yalah, Aya pun perasan. Kalau betul-betul Iman mahukan Sara, apa salahnya? Lagipun Sara bukan ada yang punya.”
“Tak mungkinlah. Iman tu budak lagi. SPM pun belum ambil,” sangkal Pak Cik Majid.
“Sekarang budak lagi. Mana tahu suatu hari nanti bila dia dah bekerja, dia masuk meminang anak kita.”
“Iman tu muda daripada Sara. Tak mungkin Sara nak,” ujar Pak Cik Majid masih menolak telahan Mak Cik Rohaya.
“Muda pun apa salahnya? Kalau ada jodoh mereka, tak ke mana jua.”
“Entahlah, Aya. Apa-apapun kita serahkan aje pada ALLAH.”
Mak Cik Rohaya mengangguk menyetujui kata-kata suaminya. Dia berharap
suatu hari nanti Sara Raihana akan menemui pasangan hidup yang sesuai
dan sekali gus membuang status janda yang melekat padanya.
Bab 18
SARA Raihana hanya memerhati Norita yang baru pulang ke
rumah sewa. Wajahnya kelihatan gembira dan ceria. Dia membawa pulang popia
basah yang menjadi kegemaran Sara Raihana.
“Sara, aku belikan kau popia basah,” ujar Norita sambil
menghulurkan sebuah bungkusan kepada Sara Raihana.
“Terima kasih. Bestnya, sayang Ita,” ucap Sara
Raihana dan tangannya terus membuka bungkusan itu.
Bau popia yang harum membuka seleranya. Popia basah memang popular
di Taiping kerana keistimewaan intinya, bersaiz besar dan bersos cili yang
dibuat sendiri. Norita masuk ke dapur dan mencapai dua biji gelas kosong lalu
membawanya ke hadapan Sara Raihana yang sedang menikmati popia basah. Norita
membuka jus oren yang dibelinya lalu menuangkan ke dalam gelas-gelas itu.
“Kau keluar dengan Alif ke?” tanya Sara Raihana setelah Norita
duduk di sebelah.
“Ya, kami pergi makan Kuetiau Doli. Aku teringatkan kau. Itu yang
beli popia basah ni,” jawab Norita sambil memasukkan popia ke mulut.
Kuetiau Doli adalah kuetiau kerang yang terkenal di Bandar Taiping
dan diusahakan peniaga bumiputera bermula dari gerai biasa dan berkembang maju
sehingga menjadi sebuah restoran.
“Kau betul-betul serius ke dengan Alif?” Norita mengangguk.
“Alif cadang nak masuk meminang lepas raya puasa nanti.”
“Baguslah macam tu. Tak elok tunggu lama-lama, nanti dikebas
orang,” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.
“Tapi aku ada masalah. Ibu bapa aku tak tahu yang aku berkawan
dengan Alif. Aku takut mereka tak dapat terima pilihan aku,” kata Norita agak
perlahan.
“Aku rasa elok kau berterus terang aje dengan mereka.”
“Kau tak kenal ibu bapa aku. Bukan boleh dibawa berbincang.”
“Kau tak cuba pun lagi. Entah-entah mereka boleh terima Alif
dengan baik.”
“Aku harap begitulah. Sebenarnya aku tak nak lukakan hati ibu bapa
aku. Dulu masa kakak aku, Kak Ani nak kahwin dengan Abang Aman, ibu membantah
sebab ibu ada pilihan lain. Kak Ani yang tak puas hati dengan ibu, terus kahwin
lari dengan Abang Aman. Sampai sekarang Kak Ani tak pulang-pulang ke kampung.
Ibu malu bukan kepalang,” cerita Norita tanpa dipinta.
“Berapa lama dah Kak Ani larikan diri?” tanya Sara Raihana mulai
berminat dengan cerita Norita.
“Dah nak masuk dua tahun. Sebab tu aku takut hati dia terluka jika
tahu aku pun berkawan dengan orang luar, bukan orang Negeri.”
“Abang Aman tu orang mana?”
“Kelantan.”
“Aku simpati dengan kau tapi apa-apa hal pun kau kena bincang
baik-baik dengan Alif dan kemudian beritahu ibu bapa kau. Alif berani ke nak
jumpa ibu bapa kau, Ita?”
“Masa dia kata nak masuk meminang tadi, aku dah beritahu hal ni.
Dia kata sanggup pergi ke rumah aku kat kampung untuk berbincang.”
“Baguslah tu. Sekarang semuanya terletak atas kepandaian kau
mencairkan hati ibu bapa kau. Kata orang kalau nak tarik rambut dalam tepung,
tepung jangan berselerak, rambut jangan putus,” kata Sara Raihana sambil
menuang air ke gelasnya.
Norita hanya mendiamkan diri. Dalam hati mengiakan kata-kata Sara
Raihana.
“Macam mana cuti kau? Seronok?” tanya Norita, mengalihkan
persoalan tentang dirinya.
“Seronok sebab dah lama aku tak balik. Kau tahu tak, Chan pergi ke
rumah aku dengan adiknya,” kata Sara Raihana ceria.
“Chan ke sana?” soal Norita terkejut dengan perkhabaran itu.
“Ya, aku pun terkejut bila dia telefon kata nak ke rumah aku. Dia
bawa kereta bapa dia.”
“Dia dah ada lesen ke?”
“Baru dapat lesen dan sebab tulah dia bawa adik dia berjalan-jalan,”
terang Sara Raihana.
“Selalunya kalau budak lelaki dapat lesen tentu dia nak bawak awek
dia jalan-jalan. Ini tak, bawak adik dia pulak.”
“Manalah aku tahu. Dah dia kata macam tu, aku beritahu aje,” kata
Sara Raihana.
Dia juga memberitahu Norita yang mereka bersiar-siar di Batu
Feringgi dan kemudian tidur di rumahnya. Malah diceritakan juga yang ibu
bapanya telah menganggap mereka sebagai anak angkat.
“Aku hairanlah dengan Chan,” ujar Norita.
“Kenapa?”
“Kat sekolah aku nampak dia kerap cari kau. Sanggup pulak tu
tunggu kau kat tempat letak kereta setiap pagi. Bila cuti, dia bersusah payah
cari kau sampai ke Bukit Mertajam pulak. Jangan-jangan ada apa-apa tak?”
“Maksud kau?” Sara Raihana merenung Norita dengan hairan.
“Mungkin dia dah jatuh cinta kat kau, Sara?”
Soalan Norita membuatkan Sara Raihana terkejut. Berkerut dahinya
buat seketika. Betulkah begitu? Kalau betul, kenapa tak gembira? Pelbagai
persoalan menyerbu di kepalanya.
“Aku tak fikir begitu,” kata Sara Raihana cuba menafikan walaupun
dia tahu telahan Norita ada benarnya.
“Kalau betul dia cintakan kau, kau nak buat macam mana?” tanya
Norita terus menduga.
“Tak mungkinlah. Akukan lebih tua daripada dia. Dia dah macam adik
aku sendiri. Lebih-lebih lagi dia saudara baru yang perlu kita bimbing. Jadi
aku rasa tak salah kalau dia rapat dengan aku atas sebab tu. Kau jangan fikir
yang bukan-bukanlah, Ita,” ujar Sara Raihana terus menafikan.
“Tapi aku tak rasa dia hanya anggap kau sebagai kakak angkat dan
pembimbing. Aku yakin dia benar-benar syok kat kau. Kalau tak kenapa dia nak
buat semua tu?”
“Aku rasa Chan sukakan aku sebagai seorang kakak. Dia pun dah
anggap keluarga aku macam keluarga dia. Malah abah dan ibu aku setuju bila aku
kata aku nak tolong Chan kerana ALLAH. Chan masih perlukan bimbingan kita untuk
mantapkan iman dia.”
“Aku faham niat baik kau. Tapi boleh ke orang lain terima alasan
kau?”
“Hati orang kita tak boleh nak puaskan semuanya, Ita. Apa yang
penting, aku ikhlas nak tolong dia.” Mendatar suara Sara Raihana. Dia sedar
risiko yang bakal dihadapinya nanti.
“Betul, tapi hati-hatilah. Aku takut orang akan mengata kau kerana
tak memahami tujuan kau. Tapi aku lebih takut jika suatu hari, adik jadi abang
pulak,” ujar Norita sambil tersenyum penuh bermakna.
“Ada-ada aje kau ni. Dahlah, aku nak pergi gosok baju. Esok takut
lambat pulak nak ke sekolah,” kata Sara Raihana sambil bergerak masuk ke bilik.
Dia cuba mengelak daripada terus membicarakan soal itu.
Norita hanya melihat langkah Sara Raihana. Hatinya dapat merasakan
yang suatu hari perkara itu akan mendatangkan masalah kepada temannya itu. Dia
terus duduk melihat rancangan televisyen. Tetapi fikirannya mulai menerawang memikirkan
kesudahan hubungannya dengan Alif Ajmal.
2 ulasan:
macam aneh ya kak, namanya chan? Setahu nany orang cina tidak di panggil marga nya, chan itu kan marga? Boleh panggil marga tetapi dpanya ada tuan chan, atau nyonya/puan chan(istri dri keluarga chan) bgi yg blum kahwin kan pgl nya ,mr or ms chan, untuk chan ni sharusnya kan panggil, a hong untuk adik a fong,,stau nany j ya kak, jika di hong kong bgtu, tajt tau pula jika di malesya, by nany
Kalau secara rasmi memang ya. Tp kalau tak rasmi biasanya org melayu panggil pangkal mula. Akak pun ada kawan dgn cina dan panggil Tan aje tanpa miss dan seorg lagi, dia sdn bahasakan dirinya dgn pangkal mula, Chuah. Jadi rasanya di Malaysia perkara ni tak pelik..
Catat Ulasan