“SARA, bangun. Dah sampai,” kata Iman mengejutkan Sara Raihana setelah
tiba di rumah ibu bapa Sara Raihana.
Sara Raihana bangun perlahan-lahan sambil
menggeliat kecil. Iman yang memerhati hanya tersenyum dengan aksi yang nampak
comel pada pandangan matanya. Sara Raihana yang terperasan akan renungan Iman
segera membetulkan duduk. Bajunya juga dibetulkan takut kalau ada bahagian yang
terselak ketika tertidur tadi.
Iman membuka kereta dan bersalam serta berpelukan dengan Pak Cik
Majid. Sudah lama dia tidak berkunjung ke rumah itu. Sara Raihana turun lalu
menyalami ibu dan bapanya. Iman mengeluarkan beg pakaian mereka berdua dan
kemudian menuruti langkah mereka yang lain untuk masuk ke rumah.
Sara Raihana terus menuju ke bilik dan dituruti Mak Cik Rohaya.
Seketika kemudian Mak Cik Rohaya keluar dari bilik bagi mencari minyak panas.
Iman hanya memandang dengan kehairanan. Sara Raihana sakit? Tapi sakit apa?
Persoalan itu berlegar-legar di kepala. Tapi yang pasti, dia akan bertanyakan Sara
Raihana sendiri.
“Iman, mari makan dulu,” pelawa Pak Cik Majid sambil bangun
mengajak Iman ke dapur.
“Ibu dan Sara tak makan sekali ke?” tanya Iman setelah duduk di
kerusi.
“Tak payah tunggu mereka. Tadi ibu suruh Iman makan dulu dengan
abah sebab lambat lagi kalau nak tunggu mereka berdua,” kata Pak Cik Majid.
Iman makin hairan. Apa yang dibuat mereka dua beranak sehinggakan
makan tengah hari pun dilewatkan. Pak Cik Majid perasan perubahan air muka Iman
apabila Sara Raihana dan ibunya tidak makan bersama-sama.
“Iman jangan risau. Sara tak apa-apa. Biasalah orang perempuan,”
kata Pak Cik Majid sambil menyenduk nasi ke pinggan Iman.
“Selalu ke Sara sakit macam tu?” tanya Iman walaupun tidak tahu
apa penyakit Sara Raihana.
“Kadangkala tetapi awal-awal tu memanglah sakit sikit,” kata Pak
Cik Majid membuatkan Iman makin bingung.
Ketika dia ingin menyoal lagi, tiba-tiba Mak Cik Rohaya masuk ke
dapur dan menuju ke singki untuk membasuh tangan. Mak Cik Rohaya kemudian duduk
di sebelah Pak Cik Majid untuk makan tengah hari.
“Sara mana, ibu?” tanya Iman bila kelibat Sara Raihana tidak
kelihatan.
“Dia tidur. Letih gamaknya,” jawab Mak Cik Rohaya.
“Iman dah pandai makan guna tangan ya, tak macam dulu, guna sudu
dan garpu,” kata Pak Cik Majid setelah dia terperasan akan hal itu.
“Iman dah belajar makan gunakan tangan. Kawan-kawan Iman
kebanyakannya orang Melayu dan tak lama lagipun nak dapat isteri Melayu. Kena
sesuaikan dirilah,” jawab Iman tersenyum lebar.
“Tambah lagi Iman,” kata Pak Cik Majid sambil menghulurkan pinggan
nasi tambah. Iman menambah nasi dan makan dengan berselera.
IMAN duduk di ruang hadapan bersama-sama Pak Cik Majid sambil berbual
kosong setelah selesai makan tengah hari. Mak Cik Rohaya pula masuk ke bilik
Sara Raihana untuk menjenguk keadaan anaknya. Seketika kemudian dia keluar semula
lalu duduk di tepi Pak Cik Majid.
“Iman dah tanya Sara soal perkahwinan kamu berdua?” tanya Pak Cik
Majid.
“Dah, tapi dia masih tak beri kata putus, malah mintak tempoh
untuk berfikir dulu,” kata Iman seolah-olah mengadu.
“Ibu ada cakap dalam telefon dengan dia pagi tadi, tapi dia memang
menolak perkahwinan ni. Sekejap kata tak sedia, sekejap kata Iman muda, sekejap
kata malu sebab Iman anak murid dia. Pening dah ibu nak pujuk,” kata Mak Cik
Rohaya yang amat berharap agar Sara Raihana segera berkahwin.
Iman yang mendengar penerangan Mak Cik Rohaya hanya tersenyum
kelat. Kesabarannya menanti sehingga hampir lapan tahun diharapkan akan
membuahkan hasil. Dia memang berharap sangat agar Sara Raihana sudi menerimanya.
“Iman jangan mudah menyerah kalah. Selagi Sara tak kahwin lagi,
harapan untuk Iman tetap ada,” kata Pak Cik Majid memberi semangat.
Pak Cik Majid memang sangat suka jika Iman yang menjadi menantunya
kerana dia tahu hati budi Iman dan dia yakin Iman mampu membahagiakan anaknya. Iman
hanya tersenyum. Semangatnya pulih selepas mendengar kata-kata Pak Cik Majid.
“Iman, ibu harap Iman bersabarlah. Pujuk Sara elok-elok. Insya-ALLAH
kalau ada jodoh kamu berdua takkan ke mana,” kata Mak Cik Rohaya pula.
“Insya-ALLAH. Iman akan pujuk Sara sehingga dia boleh terima Iman.
Iman tahu dia jugak cintakan Iman tapi dia tak nak mengaku,” kata Iman dengan
yakin.
“Abah pun yakin dia tunggu
kamu sebab sebelum ni ramai yang cuba meminang dia tetapi dia menolak,” kata
Pak Cik Majid membuatkan Iman bertambah yakin Sara Raihana sememangnya
mencintainya.
“Tapi kenapa dia menolak kalau dia tunggu Iman?” tanya Mak Cik
Rohaya.
“Mungkin dia malu atau sengaja menguji kesungguhan Iman,” teka Pak
Cik Majid.
“Mungkin jugak, sebab tu dia berdolak-dalik bila ditanya,” kata
Mak Cik Rohaya pula.
“Iman cuti sampai bila?” tanya Pak Cik Majid setelah lama mereka
mendiamkan diri.
“Minggu depan,” jawab Iman.
“Iman ada masa yang panjang untuk pujuk Sara. Dia tu kalau cakap
secara berdepan, Insya-ALLAH boleh. Tapi kalau cakap dalam telefon, silap-silap
diletaknya jika ada yang tak kena. Kadangkala susah kita nak berbincang dengan
dia kat telefon. Sebab tulah abah suruh dia balik ke sini dengan Iman supaya
senang nak berbincang,” kata Pak Cik Majid lagi.
Iman yang mendengar hanya mengangguk. Dia perlu meyakinkan Sara
Raihana bahawa dia mampu menjadi suami yang terbaik untuk Sara Raihana.
Malam itu, Pak Cik Majid memanggil Iman dan Sara Raihana untuk
berbincang tentang perkahwinan mereka. Mak Cik Rohaya membawa sedulang air kopi
‘O’ untuk membasahkan tekak. Sara Raihana telah pulih daripada rasa sakitnya
setelah mendapat rehat yang cukup. Dia juga sudah mengambil makan malamnya
bersama-sama ibu bapanya dan Iman.
“Sara, abah nak tahu apa keputusan Sara tentang rancangan Iman
untuk berkahwin dengan Sara?” tanya Pak Cik Majid.
“Abah, bagilah masa untuk Sara fikirkan,” kata Sara Raihana.
“Nak fikir sampai bila?”
tanya Pak Cik Majid yang mula bosan dengan sikap anaknya.
“Sampai Sara betul-betul bersedia.”
“Bila?”
Tiada jawapan yang keluar daripada mulut Sara Raihana. Iman hanya
memerhati perbincangan kedua-dua beranak itu.
“Sara nak tunggu apa lagi?” tanya Mak Cik Rohaya pula.
Sara Raihana hanya mendiamkan diri.
“Sara menolak sebab Iman muda dan bekas anak murid Sara?” telah
Mak Cik Rohaya.
Sara Raihana masih menunduk tanpa respons. Hatinya mengiakan
sahaja telahan ibunya.
“Umur Iman dengan Sara hanya beza enam tahun aje sedangkan
Rasulullah berkahwin semasa umurnya 25 tahun manakala Siti Khadijah pulak telah
berusia 40 tahun. Jarak usia 15 tahun tetapi hidup Baginda amat bahagia
sehinggakan tahun wafatnya Siti Khadijah disebut tahun kesedihan,” kata Pak Cik
Majid cuba memujuk.
“Itu Siti Khadijah. Jauh bezanya dengan Sara,” sangkal Sara Raihana.
“Bukan ke Nabi Muhammad contoh ikutan terbaik?” tanya Iman
tiba-tiba.
“Ya, Sara tak nafikan. Tapi perkahwinan kita tak mungkin jadi
begitu.”
“Kenapa? Sara tak percaya Iman mampu bahagiakan Sara? Tak mampu
pikul tanggungjawab sebagai seorang suami?” tanya Iman bertubi-tubi. Geram
hatinya dengan penolakan Sara Raihana.
“Sara tak nak Iman buat keputusan mengikut nafsu. Sara tak sesuai
untuk Iman.”
“Iman yakin keputusan Iman tepat dan tak mengikut nafsu. Iman
jugak yakin Sara amat sesuai untuk Iman. Berilah peluang untuk Iman buktikan
kasih Iman pada Sara.”
“Kenapa Iman suka
mendesak?” Sara Raihana mulai bengang.
“Sebab Iman cintakan Sara. Iman tak nak kehilangan Sara.”
“Iman hanya keliru.”
“Sara yang keliru.”
Terkebil-kebil mata Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya menyaksikan
perbalahan mereka.
“Fine! Sara yang keliru. So what? Iman nak
buat apa? Nak paksa Sara? Sara bencilah dipaksa-paksa!” kata Sara Raihana sambil
bangun lalu masuk ke bilik.
Iman terkulat-kulat setelah dimarahi Sara Raihana. Dia tidak menyangka
hati Sara Raihana sekeras itu. Mak Cik Rohaya dan Pak Cik Majid saling
berpandangan. Belum apa-apa, Sara Raihana dan Iman telah bergaduh.
“Iman sabarlah, ya. Kita beri peluang pada Sara,” pujuk Pak Cik
Majid.
Iman hanya mengangguk lesu.
Malam itu Sara Raihana dan Iman masing-masing tidak dapat
melelapkan mata. Berbagai-bagai persoalan singgah di dalam fikiran. Iman masih
mengharap dan mula merangka strategi untuk memikat hati Sara Raihana. Selagi
Sara Raihana belum berkahwin, peluang untuknya masih ada. Bagi Sara Raihana
pula, masih mencari-cari jawapan untuk teka-teki yang bermain di hati. Akhirnya
mereka lena ketika ayam sudah mula berkokok.
PAGI itu setelah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapanya, Sara Raihana
terus menaiki kereta Iman tanpa mempedulikannya. Perang dingin telah tercetus
antara dia dan Iman.
“Iman, jangan ambil hati sangat dengan kelakuan Sara. Emosinya
agak mudah terganggu dan tak stabil bila haid,” terang Mak Cik Rohaya.
“Tak apa, ibu. Iman faham,” jawab Iman.
Mak Cik Rohaya hanya tersenyum. Pak Cik Majid bersalaman dan
berpelukan dengan Iman. Dia turut menasihati Iman agar bersabar dan memberi
masa untuk Sara Raihana berfikir dengan tenang. Iman berjanji akan menuruti
segala nasihat yang diberikan. Iman kemudian menaiki kereta dan memandu keluar
dari situ.
Iman hanya memerhati telatah Sara Raihana yang memasamkan muka
sambil memandang keluar. Tiada gurau senda atau sebarang kata yang keluar
daripada bibirnya. Iman teringat akan artikel yang telah dibacanya tentang
wanita yang mengalami haid.
Wanita akan mengalami simptom atau gejala yang tidak selesa dalam
tempoh haid. Di dalam tempoh itu wanita akan mengalami masalah seperti sakit
kepala, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang,
kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan. Iman
yakin Sara Raihana juga mengalami masalah itu.
“Sara, Iman tahu Sara sedang alami simptom akibat haid. Sebab
tulah Sara mudah meradang,” kata Iman memulakan bicara.
Dia cuba berbual-bual dengan Sara Raihana. Sara Raihana terasa
malu apabila Iman menyentuh soal haid yang dialaminya. Geram hatinya melihat
Iman tersengih bila menuturkan kata-kata itu.
“Iman, boleh tak jangan sentuh soal tu?” kata Sara Raihana dengan
nada geram.
“Kenapa?” Iman rasa seronok kerana Sara Raihana telah mula bercakap
dengannya walaupun nadanya menunjukkan kemarahan.
“Bencilah Iman ni,” kata Sara Raihana sambil memalingkan muka.
Iman hanya ketawa dan itu menambah sakit hati Sara Raihana.
“Iman mintak maaf. Bukan sengaja Iman nak ketawa tapi telatah Sara
memang melucukan.”
“Apa yang lucunya? Sara tak nampak pun apa-apa yang melucukan.”
“Iman mintak maaf jika dah menyinggung perasaan Sara.”
Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Kemudian dia menekan perut
apabila terasa sedikit ketidakselesaan. Iman hanya memerhati dengan penuh
minat. Sara Raihana yang terperasan pandangan mata Iman menghentikan perbuatannya menekan
perut. Tapi seketika kemudian mukanya dikerutkan apabila rasa sakit mencengkam
abdomen.
“Kenapa, Sara? Rasa sakit kat bahagian perut ke?” tanya Iman.
“Boleh tak jangan menyibuk?” kata Sara Raihana meradang.
“Kelmarin Sara jugak suruh Iman ambil tahu hal orang perempuan.”
“Bila masa? Sara tak kata pun.”
“Masa Sara kata Sara cuti dan kata kalau Iman tak tahu hal
perempuan macam mana nak kahwin,” kata Iman sambil mengangkat kening.
“Aduh, tak payah ambil tahulah.”
“Kalau tak ambil tahu macam mana Iman nak faham tentang diri
Sara?”
“Susahlah cakap dengan Iman ni.”
“Sara, jika kita nak kahwin kita kena tahu segalanya tentang diri
pasangan kita.”
Sara Raihana hanya mencebik.
“Sara pun patut ambil tahu tentang diri Iman,” sambung Iman lagi.
“Siapa yang nak kahwin
dengan Iman?” kata Sara Raihana sambil menjeling.
“Saralah yang nak kahwin dengan Iman,” kata Iman sambil tersenyum.
“Sara tak kata pun.”
“Tak apa. Sara boleh lakukan Solat Istikharah dulu. Jika kita dah
tunaikan Solat Istikharah dengan jiwa yang bersih, Insya-ALLAH kecenderungan
hati dan petunjuk daripada-NYA akan datang. Setelah menyerahkan segalanya
kepada ALLAH, hilangkan perasaan was-was dan ragu-ragu agar keputusan yang
terbaik itu memang merupakan kebenaran dan bukan kerana hawa nafsu. Apapun
keputusan Sara, Iman akan terima.”
Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Selepas itu mereka berdua
hanya melayan perasaan masing-masing dan diam sehingga tiba ke destinasi. Iman
menghantar Sara Raihana ke rumah Mak Zainab sebelum pulang ke rumah.
Sara Raihana akui Muhamad Nur Iman telah banyak berubah baik
daripada segi penampilan mahupun keimanan kepada ALLAH berbanding lapan tahun
yang lalu. Dia tidak menipu, memang hatinya telah terpikat dengan perawakan Muhamad
Nur Iman sekarang. Tapi benarkah dia telah bersedia menjadi isteri kepada
Muhamad Nur Iman, bekas pelajarnya sendiri?
2 ulasan:
wah best lah
Telah ada dipasaran..
Catat Ulasan