Pengikut

Jumaat, 14 Disember 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 27

“SARA, bangun. Dah sampai,” kata Iman mengejutkan Sara Raihana setelah tiba di rumah ibu bapa Sara Raihana.

Sara Raihana bangun perlahan-lahan sambil menggeliat kecil. Iman yang memerhati hanya tersenyum dengan aksi yang nampak comel pada pandangan matanya. Sara Raihana yang terperasan akan renungan Iman segera membetulkan duduk. Bajunya juga dibetulkan takut kalau ada bahagian yang terselak ketika tertidur tadi.

Iman membuka kereta dan bersalam serta berpelukan dengan Pak Cik Majid. Sudah lama dia tidak berkunjung ke rumah itu. Sara Raihana turun lalu menyalami ibu dan bapanya. Iman mengeluarkan beg pakaian mereka berdua dan kemudian menuruti langkah mereka yang lain untuk masuk ke rumah.

Sara Raihana terus menuju ke bilik dan dituruti Mak Cik Rohaya. Seketika kemudian Mak Cik Rohaya keluar dari bilik bagi mencari minyak panas. Iman hanya memandang dengan kehairanan. Sara Raihana sakit? Tapi sakit apa? Persoalan itu berlegar-legar di kepala. Tapi yang pasti, dia akan bertanyakan Sara Raihana sendiri.

“Iman, mari makan dulu,” pelawa Pak Cik Majid sambil bangun mengajak Iman ke dapur.
“Ibu dan Sara tak makan sekali ke?” tanya Iman setelah duduk di kerusi.
“Tak payah tunggu mereka. Tadi ibu suruh Iman makan dulu dengan abah sebab lambat lagi kalau nak tunggu mereka berdua,” kata Pak Cik Majid.

Iman makin hairan. Apa yang dibuat mereka dua beranak sehinggakan makan tengah hari pun dilewatkan. Pak Cik Majid perasan perubahan air muka Iman apabila Sara Raihana dan ibunya tidak makan bersama-sama.

“Iman jangan risau. Sara tak apa-apa. Biasalah orang perempuan,” kata Pak Cik Majid sambil menyenduk nasi ke pinggan Iman.
“Selalu ke Sara sakit macam tu?” tanya Iman walaupun tidak tahu apa penyakit Sara Raihana.
“Kadangkala tetapi awal-awal tu memanglah sakit sikit,” kata Pak Cik Majid membuatkan Iman makin bingung.
Ketika dia ingin menyoal lagi, tiba-tiba Mak Cik Rohaya masuk ke dapur dan menuju ke singki untuk membasuh tangan. Mak Cik Rohaya kemudian duduk di sebelah Pak Cik Majid untuk makan tengah hari.
“Sara mana, ibu?” tanya Iman bila kelibat Sara Raihana tidak kelihatan.
“Dia tidur. Letih gamaknya,” jawab Mak Cik Rohaya.
“Iman dah pandai makan guna tangan ya, tak macam dulu, guna sudu dan garpu,” kata Pak Cik Majid setelah dia terperasan akan hal itu.
“Iman dah belajar makan gunakan tangan. Kawan-kawan Iman kebanyakannya orang Melayu dan tak lama lagipun nak dapat isteri Melayu. Kena sesuaikan dirilah,” jawab Iman tersenyum lebar.
“Tambah lagi Iman,” kata Pak Cik Majid sambil menghulurkan pinggan nasi tambah. Iman menambah nasi dan makan dengan berselera.

IMAN duduk di ruang hadapan bersama-sama Pak Cik Majid sambil berbual kosong setelah selesai makan tengah hari. Mak Cik Rohaya pula masuk ke bilik Sara Raihana untuk menjenguk keadaan anaknya. Seketika kemudian dia keluar semula lalu duduk di tepi Pak Cik Majid.
“Iman dah tanya Sara soal perkahwinan kamu berdua?” tanya Pak Cik Majid.
“Dah, tapi dia masih tak beri kata putus, malah mintak tempoh untuk berfikir dulu,” kata Iman seolah-olah mengadu.
“Ibu ada cakap dalam telefon dengan dia pagi tadi, tapi dia memang menolak perkahwinan ni. Sekejap kata tak sedia, sekejap kata Iman muda, sekejap kata malu sebab Iman anak murid dia. Pening dah ibu nak pujuk,” kata Mak Cik Rohaya yang amat berharap agar Sara Raihana segera berkahwin.

Iman yang mendengar penerangan Mak Cik Rohaya hanya tersenyum kelat. Kesabarannya menanti sehingga hampir lapan tahun diharapkan akan membuahkan hasil. Dia memang berharap sangat agar Sara Raihana sudi menerimanya.
“Iman jangan mudah menyerah kalah. Selagi Sara tak kahwin lagi, harapan untuk Iman tetap ada,” kata Pak Cik Majid memberi semangat.
Pak Cik Majid memang sangat suka jika Iman yang menjadi menantunya kerana dia tahu hati budi Iman dan dia yakin Iman mampu membahagiakan anaknya. Iman hanya tersenyum. Semangatnya pulih selepas mendengar kata-kata Pak Cik Majid.

“Iman, ibu harap Iman bersabarlah. Pujuk Sara elok-elok. Insya-ALLAH kalau ada jodoh kamu berdua takkan ke mana,” kata Mak Cik Rohaya pula.
“Insya-ALLAH. Iman akan pujuk Sara sehingga dia boleh terima Iman. Iman tahu dia jugak cintakan Iman tapi dia tak nak mengaku,” kata Iman dengan yakin.
“Abah pun yakin dia tunggu kamu sebab sebelum ni ramai yang cuba meminang dia tetapi dia menolak,” kata Pak Cik Majid membuatkan Iman bertambah yakin Sara Raihana sememangnya mencintainya.
“Tapi kenapa dia menolak kalau dia tunggu Iman?” tanya Mak Cik Rohaya.
“Mungkin dia malu atau sengaja menguji kesungguhan Iman,” teka Pak Cik Majid.
“Mungkin jugak, sebab tu dia berdolak-dalik bila ditanya,” kata Mak Cik Rohaya pula.
“Iman cuti sampai bila?” tanya Pak Cik Majid setelah lama mereka mendiamkan diri.
“Minggu depan,” jawab Iman.
“Iman ada masa yang panjang untuk pujuk Sara. Dia tu kalau cakap secara berdepan, Insya-ALLAH boleh. Tapi kalau cakap dalam telefon, silap-silap diletaknya jika ada yang tak kena. Kadangkala susah kita nak berbincang dengan dia kat telefon. Sebab tulah abah suruh dia balik ke sini dengan Iman supaya senang nak berbincang,” kata Pak Cik Majid lagi.

Iman yang mendengar hanya mengangguk. Dia perlu meyakinkan Sara Raihana bahawa dia mampu menjadi suami yang terbaik untuk Sara Raihana.
Malam itu, Pak Cik Majid memanggil Iman dan Sara Raihana untuk berbincang tentang perkahwinan mereka. Mak Cik Rohaya membawa sedulang air kopi ‘O’ untuk membasahkan tekak. Sara Raihana telah pulih daripada rasa sakitnya setelah mendapat rehat yang cukup. Dia juga sudah mengambil makan malamnya bersama-sama ibu bapanya dan Iman.

“Sara, abah nak tahu apa keputusan Sara tentang rancangan Iman untuk berkahwin dengan Sara?” tanya Pak Cik Majid.
“Abah, bagilah masa untuk Sara fikirkan,” kata Sara Raihana.
“Nak fikir sampai bila?” tanya Pak Cik Majid yang mula bosan dengan sikap anaknya.
“Sampai Sara betul-betul bersedia.”
“Bila?”
Tiada jawapan yang keluar daripada mulut Sara Raihana. Iman hanya memerhati perbincangan kedua-dua beranak itu.
“Sara nak tunggu apa lagi?” tanya Mak Cik Rohaya pula.
Sara Raihana hanya mendiamkan diri.
“Sara menolak sebab Iman muda dan bekas anak murid Sara?” telah Mak Cik Rohaya.
Sara Raihana masih menunduk tanpa respons. Hatinya mengiakan sahaja telahan ibunya.
“Umur Iman dengan Sara hanya beza enam tahun aje sedangkan Rasulullah berkahwin semasa umurnya 25 tahun manakala Siti Khadijah pulak telah berusia 40 tahun. Jarak usia 15 tahun tetapi hidup Baginda amat bahagia sehinggakan tahun wafatnya Siti Khadijah disebut tahun kesedihan,” kata Pak Cik Majid cuba memujuk.
“Itu Siti Khadijah. Jauh bezanya dengan Sara,” sangkal Sara Raihana.
“Bukan ke Nabi Muhammad contoh ikutan terbaik?” tanya Iman tiba-tiba.
“Ya, Sara tak nafikan. Tapi perkahwinan kita tak mungkin jadi begitu.”
“Kenapa? Sara tak percaya Iman mampu bahagiakan Sara? Tak mampu pikul tanggungjawab sebagai seorang suami?” tanya Iman bertubi-tubi. Geram hatinya dengan penolakan Sara Raihana.
“Sara tak nak Iman buat keputusan mengikut nafsu. Sara tak sesuai untuk Iman.”
“Iman yakin keputusan Iman tepat dan tak mengikut nafsu. Iman jugak yakin Sara amat sesuai untuk Iman. Berilah peluang untuk Iman buktikan kasih Iman pada Sara.”
“Kenapa Iman suka mendesak?” Sara Raihana mulai bengang.
“Sebab Iman cintakan Sara. Iman tak nak kehilangan Sara.”
“Iman hanya keliru.”
“Sara yang keliru.”
Terkebil-kebil mata Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya menyaksikan perbalahan mereka.
Fine! Sara yang keliru. So what? Iman nak buat apa? Nak paksa Sara? Sara bencilah dipaksa-paksa!” kata Sara Raihana sambil bangun lalu masuk ke bilik.

Iman terkulat-kulat setelah dimarahi Sara Raihana. Dia tidak menyangka hati Sara Raihana sekeras itu. Mak Cik Rohaya dan Pak Cik Majid saling berpandangan. Belum apa-apa, Sara Raihana dan Iman telah bergaduh.
“Iman sabarlah, ya. Kita beri peluang pada Sara,” pujuk Pak Cik Majid.
Iman hanya mengangguk lesu.
Malam itu Sara Raihana dan Iman masing-masing tidak dapat melelapkan mata. Berbagai-bagai persoalan singgah di dalam fikiran. Iman masih mengharap dan mula merangka strategi untuk memikat hati Sara Raihana. Selagi Sara Raihana belum berkahwin, peluang untuknya masih ada. Bagi Sara Raihana pula, masih mencari-cari jawapan untuk teka-teki yang bermain di hati. Akhirnya mereka lena ketika ayam sudah mula berkokok.

PAGI itu setelah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapanya, Sara Raihana terus menaiki kereta Iman tanpa mempedulikannya. Perang dingin telah tercetus antara dia dan Iman.
“Iman, jangan ambil hati sangat dengan kelakuan Sara. Emosinya agak mudah terganggu dan tak stabil bila haid,” terang Mak Cik Rohaya.
“Tak apa, ibu. Iman faham,” jawab Iman.

Mak Cik Rohaya hanya tersenyum. Pak Cik Majid bersalaman dan berpelukan dengan Iman. Dia turut menasihati Iman agar bersabar dan memberi masa untuk Sara Raihana berfikir dengan tenang. Iman berjanji akan menuruti segala nasihat yang diberikan. Iman kemudian menaiki kereta dan memandu keluar dari situ.

Iman hanya memerhati telatah Sara Raihana yang memasamkan muka sambil memandang keluar. Tiada gurau senda atau sebarang kata yang keluar daripada bibirnya. Iman teringat akan artikel yang telah dibacanya tentang wanita yang mengalami haid.
Wanita akan mengalami simptom atau gejala yang tidak selesa dalam tempoh haid. Di dalam tempoh itu wanita akan mengalami masalah seperti sakit kepala, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan. Iman yakin Sara Raihana juga mengalami masalah itu.

“Sara, Iman tahu Sara sedang alami simptom akibat haid. Sebab tulah Sara mudah meradang,” kata Iman memulakan bicara.
Dia cuba berbual-bual dengan Sara Raihana. Sara Raihana terasa malu apabila Iman menyentuh soal haid yang dialaminya. Geram hatinya melihat Iman tersengih bila menuturkan kata-kata itu.
“Iman, boleh tak jangan sentuh soal tu?” kata Sara Raihana dengan nada geram.
“Kenapa?” Iman rasa seronok kerana Sara Raihana telah mula bercakap dengannya walaupun nadanya menunjukkan kemarahan.
“Bencilah Iman ni,” kata Sara Raihana sambil memalingkan muka.
Iman hanya ketawa dan itu menambah sakit hati Sara Raihana.
“Iman mintak maaf. Bukan sengaja Iman nak ketawa tapi telatah Sara memang melucukan.”
“Apa yang lucunya? Sara tak nampak pun apa-apa yang melucukan.”
“Iman mintak maaf jika dah menyinggung perasaan Sara.”

Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Kemudian dia menekan perut apabila terasa sedikit ketidakselesaan. Iman hanya memerhati dengan penuh minat. Sara Raihana yang terperasan pandangan mata Iman menghentikan perbuatannya menekan perut. Tapi seketika kemudian mukanya dikerutkan apabila rasa sakit mencengkam abdomen.

“Kenapa, Sara? Rasa sakit kat bahagian perut ke?” tanya Iman.
“Boleh tak jangan menyibuk?” kata Sara Raihana meradang.
“Kelmarin Sara jugak suruh Iman ambil tahu hal orang perempuan.”
“Bila masa? Sara tak kata pun.”
“Masa Sara kata Sara cuti dan kata kalau Iman tak tahu hal perempuan macam mana nak kahwin,” kata Iman sambil mengangkat kening.
“Aduh, tak payah ambil tahulah.”
“Kalau tak ambil tahu macam mana Iman nak faham tentang diri Sara?”
“Susahlah cakap dengan Iman ni.”
“Sara, jika kita nak kahwin kita kena tahu segalanya tentang diri pasangan kita.”
Sara Raihana hanya mencebik.
“Sara pun patut ambil tahu tentang diri Iman,” sambung Iman lagi.
“Siapa yang nak kahwin dengan Iman?” kata Sara Raihana sambil menjeling.
“Saralah yang nak kahwin dengan Iman,” kata Iman sambil tersenyum.
“Sara tak kata pun.”
“Tak apa. Sara boleh lakukan Solat Istikharah dulu. Jika kita dah tunaikan Solat Istikharah dengan jiwa yang bersih, Insya-ALLAH kecenderungan hati dan petunjuk daripada-NYA akan datang. Setelah menyerahkan segalanya kepada ALLAH, hilangkan perasaan was-was dan ragu-ragu agar keputusan yang terbaik itu memang merupakan kebenaran dan bukan kerana hawa nafsu. Apapun keputusan Sara, Iman akan terima.”

Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Selepas itu mereka berdua hanya melayan perasaan masing-masing dan diam sehingga tiba ke destinasi. Iman menghantar Sara Raihana ke rumah Mak Zainab sebelum pulang ke rumah.

Sara Raihana akui Muhamad Nur Iman telah banyak berubah baik daripada segi penampilan mahupun keimanan kepada ALLAH berbanding lapan tahun yang lalu. Dia tidak menipu, memang hatinya telah terpikat dengan perawakan Muhamad Nur Iman sekarang. Tapi benarkah dia telah bersedia menjadi isteri kepada Muhamad Nur Iman, bekas pelajarnya sendiri?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wah best lah

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Telah ada dipasaran..