PERASAAN Iman tidak tenteram ketika itu. Berita yang diterimanya daripada Pak Cik Majid semalam, benar-benar menyesakkan jantungnya. Sara Raihana bakal berkahwin tidak lama lagi.
Hatinya menjerit
pedih. Kenapa Sara Raihana tidak mahu menunggunya? Adakah dia telah terlambat
dalam memenangi hati Sara Raihana? Kenapa sampai sekarang Sara Raihana
seolah-olah tidak mempedulikan perasaannya dan masih menganggap dirinya sebagai
seorang adik? Persoalan
itu bermain-main di
mindanya.
“Bro, kenapa
aku tengok kau resah gelisah aje? Apa yang tak kena?” tanya Munzir, teman
sebilik Iman.
“Aku susah hatilah, Munzir.
Awek aku, nak kena kebas. Aku cintakan dia separuh mati tapi dia macam tak
hargai cinta aku. Sanggup dia terima lamaran orang lain sedangkan aku mintak
dia tunggu aku. Bukannya lama mana, lepas aku kerja aku pinanglah dia.”
“Oh, kes patah
hatilah ni? Apa susah bro? Bunga bukan sekuntum. Kalau dia dah tolak
kau, elok kau pilih aje yang lain. Senang cerita dan tak memeningkan kepala
otak.”
“Masalahnya aku tak
boleh lepaskan dia. Aku cintakan dia sejak di bangku sekolah lagi. Aku tak nak
perempuan lain. Aku nakkan dia. Kau faham tak?” Agak keras kata-kata Iman.
“Woo...woo...relaks bro!
Aku cuma bagi cadangan. Kau jangan marahkan aku pulak.”
“Sorry. Aku
ter emo sikit.”
“No hallah bro!
Tapi aku nak nasihatkan kau sikit. Kalau kau betul-betul syokkan awek tu,
aku rasa kau kena ayat dia lebih lagi. Tunjukkan kesungguhan kau. Kalau perlu,
kau jumpa dia secara berdepan. Rayu dia habis-habisan. Buatlah apa aje asalkan
dia tahu kau memang nakkan dia.”
“Walaupun aku
terpaksa bawak dia lari ke Siam dan nikah kat sana?” tanya Iman sekadar
menduga.
“Apa salahnya? Tanam
pinang rapat-rapat biar senang puyuh berlari, kalau diayat-ayatkan pun tak
dapat, kau pujuk-pujuklah dan bawak lari. Nikah kat Siam pun okey, apa? Lepas balik
sini, kau kena bayar denda aje. Nikah tetap sah.”
“Err... aku rasa
kalau aku buat begitu, tentu dia akan bencikan aku. Aku nak dia terima aku
dengan rela dan bukan dalam bentuk paksaan. Aku tak nak hubungan baik aku dan dia
terpisah kerana kesilapan aku.” Perlahan nada suara Iman.
“Kalau macam tu, elok
kau bincang dengan dia baik-baik. Mana tahu hati dia berubah lepas tengok
keikhlasan kau.”
“Yalah, aku rasa
itulah yang sebaiknya. Berbincang dari hati ke hati. Biar dia tahu kesungguhan
aku. Mungkin selama ni dia anggap aku terkeliru antara cinta seorang kekasih dengan
kasih seorang adik kepada kakaknya. Aku tahu, hati aku tak keliru. Aku memang
cintakan dia dari dulu.”
“Kakak? Apa maksud
kau? Dia lebih tua daripada kau?” soal Munzir tayang muka hairan.
“Ya, dia lebih
berusia daripada aku dan merupakan guru kat sekolah aku.”
“Apa?” Bulat mata
Munzir kerana terkejut.
“Kenapa? Tak boleh ke
aku cintakan perempuan yang berusia lebih daripada aku? Bukan banyak pun
bezanya, setakat enam tahun aje. Tak jadi hal pada aku.”
“Aku respect kau,
bro! Kalau boleh bercinta dengan cikgu sendiri. Ini kes special.
Tentu lawa cikgu kau sebab tu kau tak nak lepaskan.”
“Dia cukup sempurna
bagi aku. Orangnya bukan aje lawa tapi tinggi keperibadiannya, pandai jaga
maruah diri, lemah lembut dan beriman. Pendek kata, dia ada pakej lengkap untuk
dijadikan isteri. Aku yakin dia mampu jadi isteri solehah seperti idamanku,”
ujar Iman tersenyum lebar
membayangkannya.
“Wah! Kalau perempuan
macam tu, memang patut kau kejar. Satu dalam seribu. Aku sokong kau, bro.
Berusahalah, semoga kau berjaya,” ujar Munzir sambil menepuk bahu Iman.
“Thanks, bro! Bersemangat
sikit rasanya nak pikat dia. Aku akan berusaha. Selagi dia tak diakad nikahkan,
selagi tu aku ada harapan.”
Iman dan Munzir
ketawa serentak. Munzir meminta diri untuk membeli makanan dan kemudian keluar
dari bilik, meninggalkan Iman seorang diri. Kesempatan itu digunakan Iman untuk
menelefon Sara Raihana. Iman menunggu dengan sabar. Sara Raihana masih tidak
mengangkat telefon walaupun
telah dua kali Iman
mendail nombornya. Kali ketiga barulah Sara Raihana menjawab panggilan Iman.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,”
jawab Sara Raihana.
“Kak Sara, Iman nak
berbual sikit dengan Kak Sara. Kak Sara sibuk tak?”
Iman masih
menggunakan panggilan ‘Kak’ kerana dia merasakan belum tiba masanya untuk dia
menukar panggilan itu. Dia akan menukar panggilan buat Sara Raihana kepada yang
lebih sesuai setelah dia bekerja. Itu azamnya.
“Nak kata tak sibuk,
memang sibuk. Tapi untuk Iman, Kak Sara akan dengar. Ada hal apa Iman telefon
Kak Sara? Nak tahu gosip pasal Kak Sara ke?” tanya Sara Raihana ketawa.
Sara Raihana sering
bergurau dengan Iman jika mereka berbual. Walaupun bukan selalu mereka berbual
tetapi topic perbualan mereka lebih kepada soal biasa dan kadangkala hal keluarga
Sara Raihana. Sesekali Iman akan bercerita perihal Aisyah. Tidak pernah Iman
membangkitkan soal cinta secara terang. Kerap kali Iman menghantar mesej
berbentuk ucapan biasa atau sekadar bertanya khabar jika rindunya mendatang kepada
Sara Raihana. Tetapi di dalam setiap mesejnya, Iman
akan selitkan
kata-kata, ‘ Please wait for me’. Berharap agar Sara Raihana terus menanti
dirinya walaupun dia tahu Sara Raihana menganggapnya sekadar adik sahaja.
“Err... betul ke Kak
Sara nak kahwin? Kenapa tak tunggu Iman?” soal Iman teragak-agak.
Sara Raihana hanya
ketawa di hujung talian.
“Kak Sara! Iman
serius ni. Betul ke Kak Sara nak kahwin?” Lebih tegas suara Iman.
Sara Raihana
menghentikan ketawanya.
“Iman, Kak Sara tak
pasti lagi. Hati Kak Sara masih berbelah bahagi. Tapi kalau dah jodoh, Kak Sara
terima aje.”
“Kenapa tak tunggu
Iman? Kenapa pilih orang lain?” Agak emosional soalan Iman.
“Iman, Kak Sara
mintak maaf. Kak Sara hanya anggap Iman sebagai adik dan tak mungkin terima
Iman atau tunggu Iman. Dah banyak kali Kak Sara suruh Iman cari gadis yang sesuai
untuk Iman dan jangan harapkan Kak Sara. Iman kena sedar, antara kita tak
mungkin bersatu. Iman hanyalah adik
buat Kak Sara dan
jika Kak Sara pilih orang lain, itu adalah hak Kak Sara.”
“Tapi Iman sayangkan
Kak Sara. Tolonglah jangan terima lamaran lelaki tu. Kak Sara pun baru aje
kenal dengan dia. Takkan Kak Sara nak terima dia dengan mudah?”
“Iman, soal terima atau tak itu adalah hak Kak
Sara. Kalau Kak Sara terima lamaran Farid pun, Iman tak boleh nak halang. Ini
soal hidup Kak Sara. Jika Iman nak teruskan hubungan kita, Kak Sara harap Iman
hormatinya,” tegas Sara Raihana.
“Iman sedar Iman tak
ada hak tapi Iman cuma mintak Kak Sara pertimbangkan dulu keputusan Kak Sara.
Jangan terima jika hati Kak Sara masih tak pasti. Iman tak nak Kak Sara kecewa.
Fikir masak-masak sebelum buat keputusan,” ujar Iman masih mengharap agar Sara
Raihana membatalkan
niat untuk berkahwin
dengan Farid.
“Terima kasih Iman
atas nasihat tu. Kak Sara akan fikirkan dulu dan bincang dengan Mak Zainab. Kak
Sara tak nak kecewakan Mak Zainab.”
“Kenapa Mak Zainab
pulak? Bukan ke sepatutnya Kak Sara berbincang dengan ibu dan abah?”
“Kak Sara ada sebab
tersendiri. Iman tak perlu tahu semuanya. Cukuplah Iman dengar dan lihat. Kak
Sara tak nak Iman campur tangan,” ujar Sara Raihana, tidak mahu menjelaskan di
sebalik kata-katanya itu.
“Kak Sara masih
anggap Iman orang luar? Tak nak berkongsi perasaan dan masalah?” Iman bernada
seperti berjauh hati.
“Bukan macam tu,
Iman. Ada sesetengah benda atau perkara perlu dikongsi dengan orang tertentu
aje. Soal Kak Sara dan Farid ada kaitan dengan Mak Zainab. Jadi Kak Sara rasa
Kak Sara perlu berbincang dengan dia dan bukan dengan mak atau abah. Jauh
sekali dengan Iman. Tapi Kak Sara harap Iman tak kecil hati. Kak Sara nak semua
orang gembira. Itu aje harapan Kak Sara.”
Iman melepaskan
sebuah keluhan. Terasa seperti dia telah gagal memenangi hati Sara Raihana.
“Jika itu keputusan
Kak Sara, Iman tak boleh nak kata apa. Tapi Iman masih berharap Kak Sara
fikirkan dulu masaknya sebelum terima
Farid.”
“Ya, Kak Sara akan
fikirkan. Kak Sara mintak diri dulu sebab nak keluar makan dengan Mak Zainab
dan Im. Hari ni hari lahir Im. Jadi nak makan yang istimewa sikit.” Suara Sara Raihana
berubah ceria bila menceritakan perihal Mak Zainab dan Imran.
“Oh, hari lahir Imran
rupanya. Tolong ucapkan selamat hari lahir untuk dia. Iman tak ada hadiah nak
beri buat masa ni. Hanya doa semoga dia panjang umur dan murah rezeki.”
“Amin... doa yang
ikhlas lahir daripada hati. Itu lebih baik daripada hadiah yang mahal.”
“Terima kasih.”
“Baiklah Iman. Jaga
diri baik-baik dan harap suatu hari nanti Iman akan berjaya dalam apa yang Iman
impikan.”
“Amin... Insya-ALLAH
impian Iman pasti berjaya dengan doa daripada Kak Sara. Iman harap Kak Sara
sentiasa doakan Iman. Iman harap sangat agar impian Iman akan jadi kenyataan
suatu hari nanti,” kata Iman tanpa menjelaskan impian sebenarnya.
Pada Sara Raihana,
impian Iman adalah untuk menjadi seorang jurutera tetapi bagi Iman, impian
sebenarnya adalah memiliki Sara Raihana.
“Bye, Iman.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Iman menatap skrin
telefon yang masih terpapar gambar Sara Raihana. Hati Iman tidak tenang. Sara
Raihana masih tidak memberi kata putus. Dia tidak pasti sama ada Sara Raihana
akan memilih Farid atau tidak. Apa yang mampu dilakukannya kini adalah berdoa
agar Sara Raihana membatalkan niat untuk berkahwin dengan Farid. Telefon Iman
berbunyi tiba-tiba. Segera Iman menekan butang jawab
setelah melihat nama
yang terpapar di skrin.
“Abang dah tahu ke
yang Kak Sara nak kahwin?” tanya Aishah setelah menjawab salam yang diberikan
Iman.
Sebenarnya, Aisyah
telah memeluk Islam sewaktu di tingkatan empat lagi.
“Dah,” jawab Iman,
malas.
“Abang nak buat apa
sekarang? Aisyah tahu abang kecewa, kan?”
“Ya, abang kecewa
tapi abang takkan menyerah kalah. Selagi mereka tak disahkan sebagai suami
isteri, abang masih ada peluang.”
“Apa rancangan abang?
Nak Aisyah pujuk Kak Sara?”
“Boleh jugak kalau
Aisyah nak pujuk. Tapi hati-hati. jangan sampai dia marahkan Aisyah dan abang.
Abang tak nak hubungan kita putus dengan dia gara-gara tersalah tindakan.”
“Abang jangan
risaulah. Aisyah tahu nak pujuk Kak Sara. Kalau perempuan cakap dengan
perempuan tentu lebih mudah.”
“Baiklah. Abang
harapkan Aisyah kali ni. Pandai-pandailah Aisyah bertindak.”
“Hmm... abang, mummy
hubungi abang tak lagi?” soal Aisyah menukar topik perbualan.
“Kenapa? Mummy jumpa
Aisyah ke?”
“Ya, tapi Aisyah tak
layan macam yang abang suruh.”
“Bagus. Abang tak nak
Aisyah berlembut hati dengan dia.”
“Papa tahu tak yang mummy
ada kat sini?”
“Papa tak tahu tapi
Aisyah jangan beritahu papa pulak. Takut papa mengamuk lagi. Kita perlu
yakinkan papa yang kita takkan ikut mummy kerana kita sayangkan papa.”
“Baiklah. Aisyah
takkan beritahu papa. Esok Aisyah nak balik ke rumah dan harap mummy takkan
cari Aisyah kat rumah pulak. Takut papa bertindak kasar pada mummy.”
“Aisyah beritahu mummy
yang Aisyah nak balik ke rumah?”
“Tak, malah Aisyah
tak bersua muka pun dengan mummy masa dia datang ke sini,” kata Aisyah
yang sedang belajar di peringkat Matrikulasi.
Ibu mereka sering
melawat mereka apabila berkesempatan pulang ke Malaysia. Ibu mereka akan merayu
agar mereka mengikutnya ke Amerika. Tetapi semua rayuan itu ditolak
mentah-mentah.
“Aisyah kena
hati-hati. Jika ada masalah beritahu aje pada papa. Biar papa halang mummy jika
mummy berkeras nak bawak Aisyah lari.”
“Abang jangan risau.
Aisyah bukan budak kecil lagi. Aisyah akan mengelak daripada mummy dan
minta bantuan papa jika keadaan mendesak.”
“Yalah. Nanti kalau
dah balik, pergilah jumpa Kak Sara. Cuba risik macam mana Farid tu. Apa-apa hal
beritahu abang.”
“Okey, roger and
out! Aisyah mintak diri dulu. Nanti Aisyah beritahu abang perkembangan Kak
Sara. Jangan risau sangat. Serah pada ALLAH. Mudah-mudahan jodoh abang dengan
Kak Sara tetap ada.”
“Terima kasih,
Aisyah. Moga ALLAH permudahkan urusan kita berdua.”
Iman menamatkan
perbualan dengan Aisyah. Matanya tertancap pada album gambar yang berada di
atas meja. Iman mencapai album gambar itu. Gambar-gambar sewaktu percutian di
Tasik Meromitik bersama-sama Sara Raihana direnungnya. Tiba-tiba dia mendapat
suatu idea. Senyumannya melebar. Dia perlu lakukannya sebelum terlambat. Akan dipujuk
hati Sara Raihana walau apapun caranya. Itu tekadnya.
Baca sambungan di http://buku.karangkraf.com/ilham/
Baca sambungan di http://buku.karangkraf.com/ilham/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan