SETELAH lapan tahun meninggalkan alam persekolahan, Muhamad Nur Iman Chan telah
berjaya
menjadi seorang jurutera di salah sebuah syarikat swasta di Gebeng, Kuantan.
Telah dua tahun dia menjawat jawatan itu. Janjinya pada Ustazah Habsah agar
menyimpan dahulu rasa cintanya terhadap Sara Raihana sehingga dia mendapat
pekerjaan, tetap dipegang. Kini tibalah masa untuk merealisasikan impiannya
itu. Peluang bertemu Sara Raihana menjelma apabila dia pulang bercuti sempena
pemergian ibu angkatnya ke Tanah Suci kerana menunaikan umrah.
Pada
pagi Sabtu itu, Iman menghantar mesej meminta izin untuk bercakap dengan Sara
Raihana dan dia membalas dengan jawapan ‘ya’. Tidak sampai seminit, telefon
Sara Raihana berbunyi dan dia segera mengangkat panggilan telefon itu. Setelah
menjawab salam dan bertanya khabar, Iman memberitahu bahawa dia akan ke rumah
Sara Raihana.
“Iman
ni, dah berapa kali Kak Sara kata jangan panggil Sara aje. Panggil Kak Sara
sebab Iman tu muda daripada Kak Sara.”
“Iman
tak peduli, Iman nak panggil Sara jugak, lebih mesra.”
“Degillah Iman ni. Kalau panggil Kak Sara pun
mesra jugak.”
“Tak,
sebab Iman tak nak title kak tu ganggu rasa dalam hati Iman.”
“Ganggu
rasa apa? Cinta?” duga Sara Raihana sambil ketawa, terasa lucu.
“Kalau
Iman kata Iman cintakan Sara, macam mana?” soal Iman.
“Kalau
macam tu Kak Sara kata, Kak Sara pun cintakan Iman,” balas Sara Raihana sambil
ketawa kerana menganggap Iman tidak serius. Malah bila dia berkata begitu pun dianggapnya
sekadar bergurau.
“Sara,
boleh tak jumpa Iman? Iman nak bincang sesuatu dengan Sara.”
“Boleh.
Jumpa Kak Sara kat rumah Mak Zainab,” kata Sara Raihana.
“Janganlah
sebut Kak Sara. Sebut aje Sara macam yang Sara cakap dengan orang lain.”
“Mengada-ngada
betullah Iman ni. Janggal nak sebut Sara aje dengan Iman.”
“Cubalah.
Lama-lama jadi biasa, tak janggal dah.”
“Baiklah,
Iman sayang. Sara cuba,” jawab Sara Raihana sambil ketawa dan ketawanya juga
disambut Iman.
“Iman
pergi sekarang, boleh?”
“Boleh.
Kak...opss...Sara mintak diri dulu. Mak dah panggil tu.”
“Kirim
salam untuk mak cik. Untuk Sara, Iman kirim salam rindu di angin lalu,” kata
Iman dengan ketawa yang masih bersisa.
“Baiklah.
Bye,” kata Sara Raihana sambil ketawa dan kemudian mematikan talian.
Sara
Raihana keluar dari bilik untuk melihat apa yang menyebabkan Mak Zainab
memanggilnya. Mak Zainab memanggil Sara Raihana untuk memberitahu bahawa dia hendak
menziarahi kematian di hujung kampung dengan Kak Su. Sara Raihana memberitahu
akan kedatangan Iman.
“Sara
ajaklah Iman keluar. Mak takut nanti jiran kata apa pulak bila tengok Sara
tinggal berdua kat rumah dengan Iman.”
“Baiklah,
mak. Nanti Sara ajak dia pergi jogging kat taman tasik. Dah lama Sara
tak jogging.”
Mak
Zainab hanya mengangguk dan meminta diri untuk ke rumah Kak Su. Sara Raihana
mendail nombor Iman dan meminta dia berpakaian sukan. Iman bersetuju. Iman tiba
di rumah Sara Raihana tidak sampai setengah jam kemudian. Mereka menaiki kereta
Iman untuk ke taman tasik.
“Cantik
kereta Iman. Baru beli, ya?” kata Sara Raihana setelah lama berada di dalam
kereta Satria Neo hitam itu.
“Ya.
Sara nak cuba bawak?” tanya Iman.
“Tak
apa. Kak Sara dah lama tak bawak kereta manual,” kata Sara Raihana sambil
menekankan sedikit perkataan ‘Kak Sara’ itu.
“Berapa
kali Iman kata, sebut Sara aje, boleh?” Nada suara Iman agak tegas. Dia
benar-benar maksudkannya.
“Baiklah.
‘Sara aje’ nak tanya Iman, nak berhenti kat mana?” kata Sara Raihana cuba
bercanda.
Iman
yang terperasan akan sebutan itu ketawa.
“Kalau
kita berhenti kat situ boleh tak?” cadang Iman sambil menunjuk ke arah tempat
letak kereta berhampiran pokok besar berhadapan tempat menaiki bot.
Sara
Raihana bersetuju. Iman meletakkan keretanya di situ. Mereka melintas jalan dan
mengikut trek jogging yang terdapat di situ. Kawasan Taman Tasik yang
luas menyebabkan orang ramai boleh beriadah atau melakukan aktiviti bersama-sama
keluarga dengan selesa. Setelah hampir 15 minit berlari, Iman mengajak Sara
Raihana berhenti. Sara Raihana mengelap peluh di muka dengan tuala kecil yang
dibawanya.
“Iman
kata nak beritahu sesuatu. Apa dia?”
“Iman cintakan Sara dan Iman nak masuk
meminang Sara.”
“Hah?
Iman bergurau, ya?” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.
“Tak.”
“Tak
mungkin. Kak Sara tak sesuai untuk Iman.”
“Jangan
sebut Kak Sara, boleh?”
“Apalah
Iman ni. Tak selesa tau kalau tak sebut Kak Sara.”
“Iman
tak peduli. Payah sangat ke nak tunaikan permintaan Iman yang sekecil tu?”
tanya Iman sambil merapatkan jarak dirinya dengan Sara Raihana.
Sara
Raihana mengundurkan diri tetapi tersekat dengan pagar yang berada di
belakangnya. Iman merapatkan wajahnya ke wajah Sara Raihana.
“Iman
tak pernah anggap Sara sebagai kakak, tapi Iman anggap Sara sebagai kekasih dan
bakal isteri Iman,” ujar Iman separuh berbisik.
Sara
Raihana terdiam mendengar pengakuan itu dan lidahnya terkelu. Benarkah semua
itu? Adakah Iman bergurau? Dia merenung mata Iman untuk mencari jawapan. Mata
itu menunjukkan keazaman dan keyakinan terhadap dirinya. Dia dapat merasakan
kesungguhan Iman kali ini.
“Sara,
Iman serius nak jadikan Sara sebagai isteri Iman,” kata Iman setelah mereka
lama mendiamkan diri.
“Kak...err...Sara
ingatkan Iman main-main,” jawab Sara Raihana teragak-agak menyebut namanya
sendiri.
“Percayalah
Sara, Iman tak main-main. Pada abah dan ibu pun Iman dah beritahu hasrat Iman.”
Agak
terkejut Sara Raihana mendengarnya. Dia tidak menyangka Iman akan bertindak
begitu sebelum bertanya kepadanya. Dia dapat merasakan satu masalah besar bakal
dihadapinya nanti. Sara Raihana berjalan ke tepi tasik dan duduk di bangku
batu. Iman menuruti dari belakang dan
duduk
di sebelahnya. Mereka menghayati keindahan alam di tepi tasik itu. Pokok-pokok
yang merimbun meredupkan kawasan tasik, air yang beralun tenang dengan sesekali
kelibat ikan melompat menambahkan kedamaian berada di kawasan itu.
“Iman,
boleh tak kalau Iman lupakan Sara dan cari perempuan lain yang lebih muda?”
kata Sara Raihana sambil melihat seekor burung raja udang yang sedang menangkap
sasarannya di tengah tasik.
“Kenapa
nak lupakan Sara sedangkan Iman betul-betul cintakan Sara? Iman tak perlukan
sesiapa kecuali Sara.”
“Tapi
Sara tak cintakan Iman.” Sara Raihana mula membahasakan dirinya mengikut kehendak
Iman.
“Kalau
Sara tak cintakan Iman, kenapa Sara tak kahwin sampai sekarang? Bukan ke itu
menunjukkan Sara tunggu Iman?”
Lidah
Sara Raihana kelu untuk berkata. Benarkah begitu? Hatinya sendiri tidak pasti.
“Sara
tak kahwin bukan sebab Iman,” kata Sara Raihana perlahan.
“Habis
tu sebab apa?”
Sara
Raihana hanya mendiamkan diri. Perlukah dia berterus terang? Hatinya
gundah-gulana.
“Sara,
pandang Iman.”
Iman
menyuruh Sara Raihana memandang ke arahnya kerana mata Sara Raihana asyik
memandang ke tempat lain. Sara Raihana memandang Iman sekilas dan kemudian memalingkan
mukanya semula.
“Kalau
Sara tak boleh pandang wajah Iman sekarang bermakna Sara berbohong.”
Terasa
diri dicabar, Sara Raihana memandang tepat ke mata Iman. Tetapi renungan mata
Iman membuatkan dia melarikan anak matanya semula.
“Sara, Iman tahu Sara cintakan Iman tetapi
sengaja Sara nafikan,” ujar Iman membuat telahan.
“Tolonglah
Iman. Jangan buat Sara serba salah.”
“Kenapa?”
Sara
Raihana tidak menjawab. Fikirannya gagal mencari ayat yang sesuai dan hanya
memandang sepasang kekasih yang sedang berjalan berpegangan tangan di seberang
tasik.
“Sara,
kenapa Sara hanya mendiamkan diri? Cakaplah sesuatu.”
“Iman
nak Sara bagi jawapan yang macam mana?” tanya Sara Raihana.
“Jawapan
yang ada dalam hati Sara.”
“Kalau
dari dalam hati Sara, tiada jawapan,” kata Sara Raihana sambil menunduk.
“Tak
adakah rasa sayang pada Iman?” duga Iman.
“Sara
sayang Iman macam adik Sara. Sukar nak ubah rasa tu.”
“Belajarlah
mencintai Iman, perlahan-lahan.” Lama Sara Raihana mendiamkan diri.
“Entahlah
Iman, Sara buntu.”
“Berilah
peluang untuk Iman. Iman perlukan seseorang yang boleh beri kekuatan hidup.
Seorang isteri yang dapat bantu Iman terus kekal di jalan ALLAH. Jadilah cahaya
untuk Iman, Sara.”
“Berilah
masa untuk Sara.”
“Baiklah,
tapi jangan lama sangat.”
“Kenapa?”
“Iman
tak nak mati merindu.”
“Kalau
selama ni Iman boleh bersabar, kenapa tak boleh terus bersabar?”
“Kesabaran
pun ada had, Sara. Sara nak tengok Iman jadi macam orang gila kerana Sara?”
“Iman
ni menakutkan Sara.”
“Tolonglah,
Sara. Tetapkan satu jangka masa supaya Iman jelas. Jangan biar Iman menunggu.”
Lama
Sara Raihana berfikir.
“Setahun?”
“Lama
sangat. Iman bagi tempoh Sara tentukan dalam tiga bulan ni.”
Tanpa
berfikir panjang Sara Raihana bersetuju. Mungkin juga dia sudah bosan kerana
terlalu didesak Iman.
Cahaya
matahari pagi yang menembusi daun-daun pokok mengenai wajah Sara Raihana tetapi
tidak dipedulikan. Iman masih setia berada di sisinya.
“Hai,
Sara,” tegur seorang lelaki yang berhenti di hadapan mereka.
“Hai,
Kapten Haikal. Lama tak jumpa,” balas Sara Raihana sambil tersenyum riang
memandang lelaki itu.
Iman
yang berada di sebelah mengangkat muka untuk melihat wajah orang yang dipanggil
Kapten Haikal. Hati Iman tertanya-tanya, siapakah lelaki yang nampak mesra
dengan Sara Raihana itu? Hatinya dipenuhi api cemburu. Terperasan yang
kedua-dua lelaki itu saling berpandangan, Sara Raihana bangun untuk
memperkenalkan mereka berdua.
“Iman,
mari Sara kenalkan kawan Sara. Ini Kapten Haikal,” kata Sara Raihana kepada
Iman.
Iman
bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Kapten Haikal.
“Kapten
Haikal dari Batalion keenam Rejimen Askar Melayu Diraja,” ujar Kapten Haikal
memperkenalkan diri dengan bangga.
“Engineer
Muhamad Nur Iman dari Kuantan, Pahang,” kata Iman tidak mahu kalah dan
sekali gus menerbitkan ketawa Kapten Haikal dan Sara Raihana.
Sebelum
sempat Sara Raihana berkata tiba-tiba telefonnya berbunyi. Apabila dilihatnya
di skrin tertera nama ibunya, dia menjawab panggilan itu sambil menjarakkan
diri daripada mereka berdua.
“Dah lama Kapten kenal Sara?” tanya Iman
berbaur rasa cemburu.
“Lama
jugak, dah lima bulan. Kami sering bertemu kat sini apabila jogging. I love
her. She is really gorgeous and has a really unique look to her,”
kata Kapten Haikal membuatkan hati Iman meradang.
“Saya
dah kenal dia selama lapan tahun dan kami akan berkahwin tak lama lagi,” kata
Iman sambil memerhati ke arah Sara Raihana yang sedang bercakap sesuatu yang
serius dengan ibunya.
“Betul
ke? Sara tak pernah sebut pun sebelum ni. I ingat available lagi. I’m
sorry, but don’t worry, I bukan jenis yang ambil hak orang,” kata Kapten
Haikal lalu meminta diri untuk meneruskan larian.
Sara
Raihana yang melihat Kapten Haikal hanya membalas lambaian tangan Kapten Haikal
padanya. Sejurus selepas Kapten Haikal berlalu, Iman menghampiri Sara Raihana
yang masih bercakap dengan ibunya. Sesekali dia mengangguk dan memandang Iman.
Akhirnya bila dia mematikan talian, dia menyampaikan salam ibunya kepada Iman.
Iman menjawab salam yang dikirim.
“Iman,
ibu beritahu abah suruh Sara ajak Iman balik Bukit Mertajam hari ni sebab abah
nak jumpa kita berdua. Iman nak ke mana-mana tak?”
“Tak
ke mana-mana. Bila Sara nak bertolak balik?”
“Kalau
boleh kita bertolak sebelum tengah hari ni.”
“Kalau
macam tu kita lari sampai ke kereta. Siapa kalah kena drive,” kata Iman
sambil mengangkat kening.
Sara
Raihana terus berlari meninggalkan Iman dan Iman yang tertinggal di belakang
memecut dan memotong Sara Raihana apabila hampir 50 meter daripada kereta. Sara
Raihana yang tahu dia akan kalah membuat helah kerana dia tidak mahu memandu
kereta Iman. Dia agak lemah memandu kereta jenis manual.
“Iman, tolong!” panggil Sara Raihana sambil
berhenti berlari dan berpura-pura menekan perut.
Iman
yang terlajak ke hadapan berpatah balik dan agak cemas apabila melihat Sara
Raihana yang kelihatan seperti sedang kesakitan.
“Sara
kenapa? Sakit perut ke?” tanya Iman cuba memegang belakang Sara Raihana yang
sedang menekan perutnya, sedikit membongkok.
“Iman,
tolong.”
“Tolong
apa? Sakit kat mana?” Makin risau Iman dibuatnya.
“Tolong
pandu kereta sebab Sara yang menang.”
Sara
Raihana cepat-cepat berlari ke kereta. Iman yang sedar telah ditipu cuba
mengejar tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana Sara Raihana terlebih dahulu
telah sampai dan melonjak kegirangan. Iman berhenti di hadapan Sara Raihana sambil
memerhatikannya dengan senyuman melebar.
“Mengelat!
Mana aci,” kata Iman.
“Aci
kat India,” jawab Sara Raihana sambil ketawa gembira.
Iman
juga turut ketawa dengan gurauan Sara Raihana.
“Oh,
pandai mengenakan Iman ya.”
“Kalau
tak pandai, tak jadi cikgu,” jawab Sara Raihana dengan ketawa yang masih
bersisa.
“Sebab
cikgu, Iman jatuh cinta,” kata Iman sambil menghampiri Sara Raihana menyebabkan
Sara Raihana diam terpaku di situ.
Iman
berdiri begitu hampir dengannya dan menyebabkan dia tersandar ke pintu hadapan
kereta. Iman meletakkan kedua-dua tangannya di atas bumbung kereta dengan Sara Raihana
berada di antara kedua-dua tangannya. Jantung Sara Raihana berdegup kencang.
Sara Raihana mendongak melihat wajah Iman yang sememangnya lebih tinggi
daripadanya. Iman tersenyum nakal melihat kegugupan Sara Raihana.
Serentak
dengan itu tangan kanannya yang memegang kunci menekan butang buka, sementara
tangan kirinya pula dilalukan betul-betul di tepi pinggang Sara Raihana untuk membuka
pintu kereta. Dia dapat mendengar Sara Raihana menarik nafas cemas.
“Cepatlah
naik,” kata Iman sambil ketawa kerana dapat mengenakan Sara Raihana.
Sara
Raihana yang tersedar bahawa Iman mempermainkannya tersenyum malu dan terus
menaiki
kereta
itu. Sewaktu Iman sedang memandu, Sara Raihana mencuri pandang wajah Iman.
Dalam hatinya mengakui Iman bertambah kacak bila telah dewasa dan raut wajahnya
ala-ala
pelakon
Hong Kong, Aaron Kwok. Cuma hidungnya tidak semancung pelakon itu.
5 ulasan:
hah,sara tak jadi kahwin ngan farid ya??
Ya dan ada sebab yg buat dia tak kahwin dgn Farid. Nk tahu kena baca cerita ni sampai habis.
Buku ni pun dh ada dipasaran.
Salam..Betul ke novel ni dh ada dipasaran..Wah! Bestnya..Tpi syg tak dpt sain lah dri novelis..Hehe.. ~,~
Waalaikumusalam. Kata editor kanan BP buku ni dah ada dipasaran. Tp akak sendiri pun tak tahu. Mungkin area KL dulu kot.
Kalau jumpa, bolehlah sain.
Insya-Allah akak cuba buat kalendar ILYC. Nanti sesiapa yg nak boleh akak kirimkan.
Baru ingat nak cari kat jusco bukit indah johor.. Rupanya kat area kl dlu ek! Okey gak kalau nak kasi kalendar ngan sain sekali. Mesti best punya...Kita nak satu eh..~,~ thanks..
Catat Ulasan