“Assalamualaikum,
cikgu.” Terdengar suara menyapanya dari belakang sebaik sahaja dia turun dari
kereta. Dia menjawab salam tersebut tetapi apabila dia menoleh ke arah orang
itu, dia terkejut.
“Chan?
Eh… awak…” teragak-agak Sara Raihana kerana menyangkakan Chan Chee Hong bukan
beragama Islam tetapi memberi salam.
“Saya
dah memeluk Islamlah cikgu,” jawab Chan Chee Hong. “ Tapi cikgu jangan beritahu
hal ini kepada orang lain. Hanya orang yang dekat dengan saya sahaja yang tahu
perkara ini.”
“Alhamdulillah…
syukur ke hadrat Allah. Insya Allah cikgu akan simpan rahsia ini,” jawab Sara
Raihana sambil tersenyum walaupun senyumannya hambar dan tawar.
“Cikgu,
saya nak ucapkan takziah sebab hari itu saya tak sempat nak ucapkan.”
“Terima
kasih, Chan. Awak sungguh baik hati,” jawab Sara Raihana.
Wajahnya
kembali muram kerana fikirannya kembali mengingati Izzat Hafis. Chan Chee Hong
yang berasa bersalah menyebabkan Sara Raihana muram terus menawarkan bantuan
untuk mengangkat buku atau barang Sara Raihana. Sara Raihana meminta Chan Chee
Hong mengangkat buku kerja dan menyuruhnya meletakkan di mejanya di bilik guru.
Dengan senang hati Chan Chee Hong melakukannya.
Rakan-rakan
yang berjumpa dengan Sara Raihana mengucapkan takziah dan ada yang hanya
mengusap-usap bahunya sebagai tanda simpati. Sepanjang pagi itu Sara Raihana
lebih banyak menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya dan kurang berbual.
Rakan-rakan yang memahami situasinya tidak mengambil hati. Seboleh-bolehnya
mereka cuba membantu Sara Raihana dengan memberi sokongan moral.
Ketika dia sedang asyik memeriksa buku
pelajar, telefonnya berbunyi. Mak Zainab mengingatkan Sara Raihana untuk makan
tengah hari di rumahnya dan menjemput Norita sekali. Sara Raihana yang tiada
pilihan hanya mengiyakan sahaja walhal bekal makanan yang diberi oleh Mak
Zainab pagi tadi masih belum terusik. Sara Raihana menghelakan nafasnya setelah
selesai bercakap dengan ibu mentuanya itu. Ibu mentuanya terlalu mengambil
berat soal makan minumnya dan sedikit sebanyak perasaan tidak selesa bertandang
di hatinya. Dia tidak mahu membebankan ibu mentuanya.
“Sara,
kenapa?” tanya Cikgu Maimunah yang perasan perubahan di wajah Sara Raihana.
“Tak
ada apa-apa Kak Mai,” jawab Sara Raihana, perlahan.
“Kalau
ada masalah beritahu Kak Mai. Kalau boleh tolong, Kak Mai akan tolong.”
“Ibu
mentua Sara terlampau baik Kak Mai. Sara tak mahu dia bersusah payah kerana
Sara.”
“Maksud
Sara?”
“Pagi
tadi, awal-awal lagi dia siapkan sarapan sebelum Sara bangun. Terasa segan
pula. Bila Sara kata tak makan awal
pagi, dia bekalkan Sara makanan tu. Tengah hari ni pula dia suruh makan di
rumahnya.”
“Mungkin
dia sediakan awal sarapan sebab ada mak dan bapa Sara tak?”
“Mungkin
juga.”
“Sara
dah makan? Kak Mai tak nampak Sara makan pun. Turun kantin pun tak mahu. Bekal
tu pun nampak tak terusik lagi.” Cikgu Maimunah cukup prihatin.
Sara
Raihana hanya mengelengkan kepala tanda dia belum makan dan tidak terasa hendak
makan.
“Patutlah
mak mentua Sara bagi bekal, rupanya dia tahu menantu dia susah nak makan.
Kenapa tak makan lagi? Nanti masuk angin perut tu, mak mentua Sara yang susah
pula,” sambung Cikgu Maimunah.
“Kenapa
pula dia yang susah? Bukan perut dia,” jawab Sara Raihana acuh tak acuh.
“Memanglah
bukan perut dia tapi kalau Sara sakit, tentu dia susah hati.”
Sara
Raihana hanya mendiamkan diri.
“Makanlah.
Kalau tak nak makan sendiri, Kak Mai suapkan.” Cikgu Maimunah mengambil bekas
makanan tersebut lalu membukanya. Dia mengambil sudu dan mencedok sedikit nasi
lemak lalu disuakan ke mulut Sara Raihana.
“Hish…
Kak Mai ni, Sara boleh suap sendirilah.” Pantas tangan Sara Raihana mengambil
sudu di tangan Cikgu Maimunah. Cikgu Maimunah hanya melihat Sara Raihana
menyuap sedikit nasi lemak ke mulut.
“Kak
Mai nak?” pelawa Sara Raihana.
“Kak
Mai dah makan tadi.”
“Kak
Mai ni suruh Sara makan, tapi tak ada air. Tak boleh nak makan dah ni.” Sara
Raihana mencari dalih untuk tidak meneruskan makannya. Sebelum sempat dia
menutup bekas makanan tersebut, Cikgu Maimunah telah memberinya sebotol air
mineral.
“Dah
ada air, Kak Mai nak tengok Sara makan sampai habis.” Dia tahu, kalau tidak
dipaksa tentu Sara Raihana tidak akan makan. Dia sedia maklum akan hal itu
melalui ibu Sara Raihana, Mak Cik Rohaya yang telah menghubunginya agar
memerhatikan keadaan Sara Raihana sewaktu di sekolah. Mak Cik Rohaya risau akan
sikap Sara Raihana yang masih bersusah hati sehingga mengabaikan soal makan dan
minumnya.
“Kak
Mai pun sama macam mak, suka paksa Sara makan.”
Cikgu
Maimunah hampir tergelak dengan jawapan Sara Raihana itu. Sara Raihana
dilihatnya macam anak-anak remaja yang suka memprotes jika kehendaknya tidak
dituruti.
“Mak
pun mak lah. Janji Sara makan,” jawab Cikgu Maimunah sambil tersenyum. Dia
hanya memerhatikan tingkah laku Sara Raihana yang lambat menyuap makanan ke
mulut.
“Air
kosong je Kak Mai?” tanya Sara Raihana sambil meletakkan kembali bekas makanan.
Setakat ini baru tiga suapan kecil yang masuk ke perut Sara Raihana.
“Tak
ada ke air Milo atau air teh ais? Baru berselera nak makan.” Sara Raihana cuba
mencari dalih baru.
“Ooo…
nak air manislah, ye? Tak apa, nanti Kak Mai cari mangsa,” sambil matanya
melilau mencari-cari jika ada pelajar yang masuk ke bilik guru atau guru yang
hendak ke kantin. Tiba-tiba dia tersenyum kerana Chan Chee Hong dan Amir sedang
mengekori Ustazah Habsah dengan buku latihan yang penuh di tangan mereka.
Setelah
Chan Chee Hong dan Amir meletakkan buku di meja Ustazah Habsah, Cikgu Maimunah
segera memanggil mereka. Ustazah Habsah mengucapkan terima kasih kepada mereka
berdua.
“Kamu
berdua nak ke mana? Kalau Cikgu minta tolong sikit boleh tak?” tanya Cikgu
Maimunah, sebelum sempat mereka berdua melangkah pergi.
“Kami
nak ke kantin. Cikgu nak suruh apa?” jawab Chan Chee Hong sambil matanya
melihat wajah kelat Sara Raihana.
“Elok
sangatlah tu. Kamu tolong belikan cikgu teh ais dan Cikgu Sara… Sara awak nak
minum apa?”
Sara
Raihana hanya menggelengkan kepalanya sambil berkata,“Tak payahlah. Susahkan
Chan saja. Nanti tak sempat pula nak rehat. Waktu rehat pun bukan lama sangat.”
“Tak
susahlah cikgu. Lagipun memang saya nak ke kantin. Bukan nak makan berat,
sekadar beli roti dan air saja,” jelas Chan Chee Hong, jujur.
Sara
Raihana tidak berkata apa-apa lagi. Segala dalihnya tidak menjadi. ‘Kenapalah
budak Chan masuk waktu ni’, gerutu hatinya.
Cikgu
Maimunah hanya tersenyum lebar sambil memberi wang kepada Chan Chee Hong dan
meminta Chan Chee Hong membeli air Milo dan teh ais.
Sekejap
sahaja air yang dipesan telah dihantar oleh Chan Chee Hong. Air bertukar
tangan. Sara Raihana mengambil Milo ais dan Cikgu Maimunah mengambil teh ais.
Apabila Chan Chee Hong hendak melangkah pergi, Sara Raihana segera memanggilnya
untuk berbual-bual. Dia tahu jika ada Chan Chee Hong, Cikgu Maimunah tak akan
memaksanya untuk makan lagi.
“Chan,
bila awak memeluk agama Islam?” tanya Sara Raihana bila dia teringatkan
perbualannya dengan Chan Chee Hong di tempat letak kereta pagi tadi.
“Hari
yang cikgu pulang ke Penang tu.”
Sara
Raihana cuba mengingati kembali hari tersebut.
“Kenapa
tak beritahu saya awal-awal lagi?”
“Saya takut ganggu cikgu kerana cikgu sibuk
pada masa tu.” Mendatar jawapan Chan Chee Hong takut Sara Raihana terasa hati.
Sara Raihana terdiam seketika kemudian menyambung,
“Tentu
bagus kalau saya dapat lihat majlis pengislaman awak. Siapa yang Islamkan awak
sebab saya rasa awak masih di bawah umur untuk mendaftar secara rasmi?”
“Saya mengucapkan dua kalimah syahadah di
hadapan Ustazah Habsah sekeluarga dan Ustaz Hadi serta kawan Ustaz Hadi,” jawab
Chan Chee Hong lurus dan jujur.
“Alhamdulillah.
Okey, sebagai hadiah saya bagi air Milo ni untuk Chan.” Sara Raihana cuba
berhelah lagi untuk mengelak dari makan.
“Ha…
Jangan ambil Chan,” tegah cikgu Maimunah.
Chan
Chee Hong hanya memerhati kedua-dua orang guru tersebut dengan kehairanan.
“Air
tu Chan beli untuk Cikgu Sara kan? Dia tak habiskan makanan dia lagi, tau.
Nanti tak ada air takut tercekik. Jadi kalau Cikgu Sara nak bagi hadiah, Chan
minta hadiah yang lain.”
Chan
Chee Hong hanya mengangguk, setuju. Sara Raihana menarik muka masam kerana Cikgu
Maimunah seolah-olah dapat membaca fikirannya.
“Ada
apa-apa lagi tak yang boleh saya tolong?” tanya Chan Chee Hong.
“Tak
ada Chan. Terima kasih sebab tolong cikgu,” jawab Cikgu Maimunah.
“Saya minta diri dulu cikgu, Assalamualaikum.”
Mereka
mengganggukkan kepala sambil menjawab salam tersebut. Cikgu Maimunah berpesan
agar Sara Raihana menghabiskan makanan dan minuman tersebut sebelum dia
melangkah keluar untuk ke koperasi sekolah. Sara Raihana tidak mengikut pesanan
Cikgu Maimunah sebaliknya meneruskan kerja-kerja memeriksa buku dan menyediakan
bahan pengajaran.
Tengah
hari tersebut, Norita telah bersiap sedia untuk pergi makan di rumah Mak Zainab
tetapi Sara Raihana masih berlengah-lengah lagi dengan kerja-kerjanya.
“Sara,
kata nak ajak aku pergi makan di rumah mak mentua kau. Ni dah pukul dua. Pukul
berapa nak pergi?” tanya Norita yang sudah berasa lapar.
“Kejap
lagi la. Aku nak habiskan ringkasan mengajar untuk esok,” jawab Sara Raihana
acuh tak acuh.
“Ringkasan
tu boleh buat di rumah. Aku dah lapar ni. Jom la kita pergi.”
“Kau
pergilah dulu, bukankah kau bawa kereta sendiri hari ni?”
“Ya,
tak ya juga. Aku lupa, selalu tumpang kau. Tapi tak eloklah kalau aku pergi
seorang diri. Nanti mak mentua kau tanya, aku nak jawab apa?”
“Tak apa. Kau beritahu dia yang aku balik
lewat sikit.”
“Kenapalah
kau ni Sara? Nak suruh makan pun susah. Aku tak kira, aku dah lapar. Jom
balik.” Segera tangan Sara Raihana ditarik.
“Okey…
aku balik.” Sara Raihana mengalah.
Dia menutup buku ringkasan mengajar dan
mengikut langkah Norita ke tempat letak kereta. Cuaca agak terik tanpa awan
menutupi matahari. Norita dan Sara Raihana menuju ke kereta masing-masing
tetapi belum sempat Norita membuka kunci keretanya dia melihat Sara Raihana
jatuh tersepuk di tanah. Segera dia berlari untuk mendapatkan Sara Raihana. Dia
memangku Sara Raihana sambil matanya melilau mencari kalau-kalau masih ada
orang berdekatan tempat letak kereta tersebut.
“Kak
Siti, tolong! Sara pengsan,” jerit Norita pada Cikgu Siti Aminah yang sedang
berjalan menuju ke keretanya.
Cikgu
Siti Aminah mendapatkan Norita. “Ya, Allah! Sara. Kenapa boleh jadi begini?”
soal Cikgu Siti Aminah sambil tangannya menyentuh tubuh Sara Raihana. Dia cuba
menyedarkan Sara Raihana, tetapi tidak berjaya.
“Kak Siti tunggu Sara sekejap. Saya nak undurkan
kereta saya ke sini. Saya nak bawa Sara ke hospital.”
Cikgu
Siti Aminah mengangguk. Norita mengundurkan keretanya ke tempat Sara Raihana
pengsan. Dia kemudiannya memanggil pekerja swasta yang sedang menyapu sampah.
Mereka mengangkat Sara Raihana ke dalam kereta Norita lalu Norita segera
membawa Sara Raihana ke hospital. Norita agak cemas melihat wajah pucat Sara
Raihana. Sepanjang perjalanan, dia berdoa agar Allah menyelamatkan teman
serumahnya itu.
Sara
Raihana merasa lemah di seluruh badannya. Ada wayar air yang berselirat di
tangannya. Matanya yang separuh celik diluaskan agar dapat melihat dengan
jelas. Dia baru sedar yang dirinya sedang terbaring dan tangannya disambung
dengan wayar ke bekas berisi air. ‘Di mana aku sekarang?’ Fikirannya cuba
mencari jawapan. Seketika kemudian dia dapat melihat kelibat mak mentuanya
bersama-sama Norita dan Cikgu Maimunah.
“Alhamdulillah,
dah sedar pun.” Terdengar suara Mak Zainab berkata.
“Sara…
Sara dengar tak?” tanya Cikgu Maimunah.
“Ya,
Kak Mai. Apa yang terjadi Kak Mai? Sara ada di mana ni?”
“Sara
di hospital. Tadi Sara pengsan akibat kekurangan air yang serius dalam badan,”
terang Norita.
“Hospital?
Kekurangan air yang serius?” Sara Raihana kehairanan.
“Itulah,
orang suruh makan dan minum tak mahu. Siapa yang susah? Aku juga!” kata Norita
sekadar mengusik.
“Ya,
Sara. Lepas ni Sara kena jaga makan dan minum. Usah diikut perasaan sedih
sampai menyeksa diri. Sara sedang menzalimi diri sendiri dengan tindakan
begini. Redhalah pemergian Izzat jika Sara sayangkannya. Sara kena kuatkan
diri, banyakkan ibadah dan ingat selalu pada Allah. Allah uji kita atas
kemampuan kita agar kita dapat meningkatkan keimanan kepada-Nya. Banyakkan
bersabar, Sara.”
Kata-kata
Mak Zainab yang lembut membuatkan Sara Raihana terfikir seketika. Mak Zainab
lebih menderita daripadanya kerana Mak Zainab telah kehilangan suami dan anak
malah seorang lagi anak masih dirawat akibat kemalangan tersebut. Tapi tidak
pernah dia melihat ibu mentuanya itu berkeluh kesah atau bersikap sepertinya.
Malah Mak Zainab sentiasa nampak tenang. Dia terasa malu pada ibu mentuanya.
“Sara,
kau tahu tak apa kata doktor?” tanya Norita setelah semua diam seketika.
“Manalah
aku tahu.”
“Ooo…
aku lupa, kau pengsan,” kata Norita sambil ketawa kecil. Dia kemudian
menyambung. “Doktor kata keadaan kekurangan air yang berterusan boleh
mengundang bahaya yang tidak dijangka seperti hipovolemik yang berlaku apabila jumlah darah yang dipam ke organ
berkurangan. Ini akan mengakibatkan oksigen yang sampai ke organ dan tisu badan
tidak mencukupi. Jika tidak di atasi segera, hipovolemik boleh menyebabkan
kematian dalam masa beberapa minit.”
“Maafkan
Sara. Sara janji lepas ni Sara akan ikuti pemakanan yang betul.” Perlahan nada
suara Sara Raihana.
“Syukurlah…
setiap kejadian ada hikmahnya,” kata Cikgu Maimunah pula.
“Terima
kasih semua sebab bersusah payah kerana Sara. Ita, terima kasih kerana banyak
menolong Sara,” kata Sara Raihana sambil memegang tangan Norita.
“Sama-sama
kasih. Kau ni nampak saja kurus tapi berat betul bila aku nak angkat.
Silap-silap aku pula yang pengsan,” jawab Norita, bergurau. Mereka semua ketawa
kecil.
p/s pihak BP tulis buku ini terbit pada 7 Dis. 2012 tapi editor bgtau Jan. 2013.
Mana satu betul? Tengok http://www.bukuprima.com.my/
p/s pihak BP tulis buku ini terbit pada 7 Dis. 2012 tapi editor bgtau Jan. 2013.
Mana satu betul? Tengok http://www.bukuprima.com.my/
2 ulasan:
ni bisa di sebut cinta cik janda ya kak hahaha,, jdi teringat blog sebelah punya ratuandrianadine,., judul ceritanya CINTA ENCIK DUDA .Umur tak jdi masalah.
Ya, janda tapi berhias. Tak susut nilai. Alignment dan balancing pun tak lari lagi..hi..hi..hi.
Catat Ulasan