Pintu
bilik tamu diketuk. Irdina bangun perlahan-lahan membuka pintu. Mak Cik Sopiah
memaklumkan kepada Irdina bahawa Ihsan ingin pulang. Irdina segera keluar untuk
berjumpa abangnya.
“Irdina,
abang minta maaf kerana berkasar dengan Irdina. Abang harap selepas ni Irdina
akan hidup bahagia di samping Razif. Abang tumpang gembira, jika Irdina
gembira,” Ihsan mencium dahi adiknya setelah Irdina menyalaminya.
“Razif, tolong jaga Irdina baik-baik. Jangan
sia-siakan dia,” pesan Ihsan sambil bersalaman dengan Razif.
“Saya
berjanji akan bahagiakan dia dan menjaganya selagi hayat di kandung badan,”
janji Razif.
Ihsan
kemudiannya menaiki keretanya untuk pulang ke tempat kerja. Dia mengangkat tangan
kepada mereka bertiga. Irdina hanya memandang dengan pandangan yang kosong
kepulangan abangnya. Dia hanya mengikut langkah kaki tanpa mahu berfikir.
“Irdina,
mari makan bubur nasi,” ajak Mak Cik Sopiah.
Irdina
mengekori langkah Mak Cik Sopiah dan duduk di meja makan. Mak Cik Sopiah
menyendukkan bubur nasi ke dalam mangkuk dan menuangkan sedikit kicap kegemaran
Irdina. Dia memberikan mangkuk bubur itu kepada Irdina. Irdina hanya melihat
tanpa mahu menyentuhnya.
“Irdina,
makanlah. Jangan biar perut tu kosong. Lepas tu, makan ubat sekali.” Mak Cik
Sopiah, mengarah.
Irdina
makan tanpa kata. Dia seolah-olah hilang perasaan dan hanya menurut segala
suruhan tanpa protes. Bubur yang dimakan tidak banyak yang luak. Disebabkan
ingin segera keluar dari situ, Irdina bangun dan membawa mangkuk ke singki lalu
membasuhnya. Dia kemudiannya mengambil ubat yang diberikan oleh Mak Cik Sopiah
walaupun terasa sukar untuk menelannya. Setelah itu dia meminta diri untuk
pulang ke rumahnya.
“Nanti
sekejap. Biar abang periksa tekanan darah dan luka awak,” ujar Razif yang
nampak perubahan pada diri Irdina. Dia takut Irdina akan jatuh pengsan jika
tekanan darah makin rendah.
“Tak
mengapalah. Saya rasa cukup sihat sekarang.”
“Lebih
baik awak jangan balik lagi. Rehatlah di sini. Keadaan awak tak stabil. Abang
takut, tiba-tiba awak pitam.”
“Saya
nak balik. Lagi lama saya di sini, lagi kacau jiwa saya,” ujar Irdina berterus
terang.
“Irdina,
rehatlah dulu di sini. Kalau tinggal di sini, mak cik boleh tolong tengokkan,”
ujar Mak Cik Sopiah. Dia juga risau melihat keadaan Irdina yang jelas tidak
bermaya.
“Tak
mengapalah mak cik, saya boleh jaga diri sendiri. Terima kasih banyak kerana
menjaga dan menolong saya dua hari ini.” Irdina bangun untuk pulang.
Irdina
mengambil beg tangannya dan melangkah menuju pintu. Tetapi sebelum sempat dia
melangkah keluar, tiba-tiba badannya menjadi lemah dan pandangannya gelap.
Kepalanya bagaikan berpusing dan telinganya berdengung. Dia mendengar di hujung
telinga, namanya dipanggil. Seketika kemudian suasana menjadi sepi buat Irdina.
Dia pitam.
“Cepat
Razif! Tolong angkat Irdina.” Mak Cik Sopiah cemas.
Razif
segera mengangkat Irdina lalu meletakkannya di atas permaidani di ruang hadapan.
Nama Irdina dipanggil bertalu-talu oleh Razif dan Mak Cik Sopiah. Razif
meninggikan kaki Irdina daripada paras badan dengan meletakkan kusyen kecil di
bawah kaki Irdina.
“Mak,
tolong longgarkan tudung dia.”
Mak
Cik Sopiah menanggalkan pin tudung Irdina dan melonggarkan tudung itu. Razif
mencuba pelbagai cara untuk menyedarkan Irdina tetapi gagal. Irdina telah
pengsan sepenuhnya. Bibir Irdina kelihatan membiru. Razif mendongakkan kepala
Irdina dan membetulkan saluran penafasan. Dia juga mendapati gerak penafasan
Irdina agak lemah dan tersekat-sekat. Razif mengeluarkan ubat tablet yang
menghalang saluran penafasan Irdina. Mungkin ubat yang ditelan Irdina tidak
masuk ke perut tetapi masih tersekat di kerongkong.
“Razif,
kenapa Irdina tak sedar lagi? Risau mak tengok dia.”
“Razif
akan buat CPR supaya dia boleh bernafas dengan baik. Mak tolong ambilkan air.”
Mak Cik Sopiah segera bergerak ke dapur. Razif
membuat rawatan kecemasan dari mulut ke mulut. Ketika itu Mak Cik Idah jiran di
hadapan rumah Mak Cik Sopiah tiba di pintu hadapan. Dia berdiri di muka pintu
sambil melihat perbuatan Razif. Pada sangkaannya Razif sedang berciuman dengan
Irdina. Mak Cik Idah membatalkan niatnya untuk memasuki rumah itu dan berlalu
pergi.
Seketika
kemudian Irdina terbatuk kecil dan kembali bernafas dengan baik. Irdina membuka
matanya dan memandang ke arah Razif yang tersenyum memandangnya.
“Alhamdullillah,
Irdina dah sedar. Risau hati abang bila Irdina tak sedar tadi.”
“Apa
yang terjadi?” tanya Irdina cuba untuk bangun.
“Jangan
bangun lagi. Rehat dulu,” ujar Razif sambil tangannya menghalang Irdina bangun.
Razif
mengiringkan badan Irdina dalam posisi pemulihan.
“Irdina, maafkan abang atas apa yang terjadi
hari ini. Abang kesal sebab kesilapan abang, Irdina yang menerima padah. Tak
pasal-pasal wajah Irdina lebam-lebam.” Razif memandang wajah Irdina penuh
simpati.
“Apa
nak buat dah nasib badan.” keluh Irdina, lemah.
“Irdina,
walau apa yang terjadi selepas ini, abang akan bertanggungjawab. Abang tak mahu
Irdina terluka lagi. Kita lupakan segala kesilapan yang lepas dan kita bina
hidup baru. Abang sudi terima Irdina dan abang harap Irdina juga sudi terima
abang.”
Irdina
hanya mendiamkan diri. Sukar baginya untuk menerima Razif kerana hatinya masih
mengharapkan Ustaz Azmi. Mak Cik Sopiah tiba dengan segelas air di tangan. Dia
memberikan air kepada Razif. Razif menuangkan sedikit air ke tapak tangannya
dan membasahkan wajah Irdina. Irdina meminum sedikit air yang diberikan. Dia
memegang kepalanya yang masih terasa pening.
“Kenapa?
Irdina pening lagi ke?” tanya Razif.
“Ya,”
jawab Irdina.
“Razif,
angkat Irdina ke bilik. Biar dia berehat di sana.”
Razif
mengangkat Irdina dan kemudian membawanya ke bilik tamu. Mak Cik Sopiah
membukakan pintu bilik untuk Razif. Perlahan-lahan Irdina diletakkan oleh Razif
di atas katil. Irdina memejamkan matanya. Enggan melihat wajah Razif yang
begitu hampir dengannya.
“Irdina!”
Razif memanggil, takut jika Irdina tidak sedarkan diri lagi.
Irdina
membukakan matanya dan memandang Razif.
“Jangan
pejamkan mata Irdina. Abang takut Irdina pengsan semula.” Razif duduk di birai
katil. Razif memegang tangan Irdina dan memeriksa nadinya.
“Macam
mana Razif?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Badan
dia masih lemah, tapi nadi dan pernafasan dia dah stabil.”
“Kalau
begitu, Razif tengokkan Irdina sekejap. Mak nak naik ke atas untuk solat.
Razif, jangan buat benda tak senonoh pula pada dia,” pesan Mak Cik Sopiah.
“Percayalah
mak. Razif tak buat benda begitu. Razif masih tahu halal haram,” jawab Razif.
Dia tahu ibunya masih menaruh syak wasangka terhadapnya.
“Baguslah
kalau ingat halal haram. Jangan nak ambil kesempatan masa orang sakit. Kawal
diri tu. Tak lama lagi, bila dah halal, buatlah apa yang nak buat.” Mak Cik
Sopiah separuh berleter.
“Baiklah
mak,” jawab Razif.
Mak
Cik Sopiah meninggalkan bilik itu dengan pintu yang terbuka dan naik ke tingkat
atas. Razif melihat wajah Irdina yang kelihatan masih pucat. Irdina mengalihkan
wajahnya daripada memandang Razif.
“Irdina…
abang tahu Irdina bencikan abang,” ujar Razif, pelahan.
Irdina
tidak memberikan respon terhadap kata-kata Razif. Hatinya terasa hancur
berkecai.
“Abang
harap Irdina boleh maafkan abang. Kita perlu bina rumah tangga dalam suasana
harmoni tanpa permusuhan dan kebencian. Abang sebenarnya telah jatuh cinta pada
Irdina tetapi kerana sikap abang yang ego membuatkan abang menafikannya. Abang
sedar, sikap abang telah membuatkan Irdina membenci abang,” Razif meluahkan apa
yang ada di hatinya.
Ada
butiran jernih yang mengalir daripada kelopak mata Irdina. Kata-kata Razif
sedikit sebanyak menyentuh perasaannya. Fikirannya kusut. Bagaimana untuk dia
menerima Razif sedangkan tiada cinta di hatinya untuk Razif? Wajah Ustaz Azmi
muncul di minda. Ini membuatkan hatinya bertambah pilu. Razif menyeka air mata
Irdina sambil memujuknya.
“Abang,
jika tidak kerana abang masuk ke bilik tadi mungkin harapan Irdina untuk hidup
bersama Ustaz Azmi akan tercapai. Sebentar tadi dia maklumkan, ibu dia dah setuju
untuk masuk meminang,” kata Irdina dengan aliran air mata yang semakin deras.
Razif mendengar sambil menelan liur yang kelat.
Mak
Cik Idah datang ke rumah Razif dengan beberapa orang lelaki. Mereka diketuai
oleh Imam Kahar iaitu suami Mak Cik Idah sendiri. Bakar yang baru pulang daripada
mengambil anaknya di sekolah turut menyertai mereka. Mereka memberi salam
tetapi tiada jawapan. Pintu rumah Razif terbuka luas menyebabkan mereka terus
memasuki rumah itu.
“Tadi
saya lihat sendiri Razif tengah lakukan perbuatan keji dengan budak perempuan
rumah sebelah, atas permaidani ni,” ujar Mak Cik Idah sambil menunjukkan tempat
di mana dia melihat Razif dan Irdina.
“Kita
tak boleh biarkan maksiat berlaku di dalam taman kita ni,” kata salah seorang
daripada lelaki tersebut.
“Ya.
Kita kena cari di mana mereka bersembunyi,” sahut seorang lagi.
Mereka
terus menyerbu bilik yang terdapat di tingkat bawah termasuk bilik tamu.
“Imam!
Mereka ada di sini,” jerit Bakar sambil meluru ke arah Razif.
Razif
dan Irdina terkejut dengan kehadiran kumpulan itu. Tanpa kata, Bakar terus
menumbuk muka dan perut Razif. Razif jatuh terlentang di lantai.
“Jangan
Abang Burn!” tegah Irdina ketika melihat Bakar ingin menumbuk Razif lagi.
Terhoyong hayang Irdina turun dari katil untuk mendapatkan Razif.
“Kau
diam Irdina! Kenapa kau begitu keji hingga sanggup berzina dengan Razif?” Tuduh
Bakar penuh emosi marah.
“Abang
Burn jangan buat fitnah. Kami tak buat apa-apa pun.” Balas Irdina, geram.
Bakar
ingin menampar Irdina tetapi cepat dihalang oleh Razif.
“Abang
Burn jangan melampau. Irdina tengah sakit,” Razif menolak tubuh Bakar.
Bakar
bingkas bangun dan ingin bertindak balas. Razif segera melindungi Irdina dengan
tubuhnya. Irdina yang ketakutan bersembunyi di belakang Razif.
“Bakar!
Jangan bertindak melulu,” tegah Imam Kahar.
“Tapi
Abang Kahar kita tak boleh biarkan mereka berbuat maksiat,” bantah Bakar.
“Sabar!
Kita siasat dulu perkara ni,” tegas Imam Kahar.
“Razif,
mana mak kamu? Kenapa kamu berdua berada di bilik ni?” tanya Imam Kahar.
“Mak
ada di atas, tengah solat. Saya temankan Irdina sebab tadi dia pengsan.”
“Pengsan
apa? Aku nampak kau bercium dengan dia di depan rumah. Berani kau buat maksiat
di siang hari dengan pintu yang terbuka luas,” sanggah Mak cik Idah.
“Mak
Cik dah salah faham. Saya lakukan CPR pernafasan mulut ke mulut pada Irdina.
Dia hampir tak bernafas tadi,” terang Razif.
“CPR
atau kau sengaja buat alasan.” Bakar mencelah.
“Razif,
kenapa budak perempuan ni boleh ada di rumah ni? Cuba Razif ceritakan perkara
yang sebenar.” Imam Kahar pula bersuara.
“Irdina
demam panas sejak kelmarin. Mak ajak dia tinggal di sini sebab di rumah dia tak
ada sesiapa nak tengok. Takut pula ada orang ambil kesempatan panjat siling dan
buat onar macam dulu,” ujar Razif sambil matanya menjeling Bakar.
“Jaga
sikit mulut kau Razif.” Bakar mencekak leher baju Razif.
“Bakar!”
jerkah Imam Kahar, tidak setuju dengan tindakan Bakar. Bakar terpaksa
melepaskan leher baju Razif.
“Kenapa
ramai-ramai di sini? Bakar kenapa buat Razif begitu?” tanya Mak Cik Sopiah yang
baru masuk ke situ.
Mereka
semua mendiamkan diri sambil memerhati Mak Cik Sopiah. Irdina yang berdiri di
belakang Razif terasa pening dan hampir jatuh. Dia memegang bahu Razif untuk
menstabilkan diri. Razif segera memeluk tubuh Irdina lalu memimpinnya ke katil.
“Tengok
tu! Depan kita semua, mereka berpelukan,” kata Mak Cik Idah.
“Hisy!
Awak ni. Tengoklah keadaan budak tu. Pucat dan lemah sangat. Kalau Razif tak
pegang dia tentu dah jatuh tadi,” sanggah Imam Kahar.
Razif
membantu Irdina berbaring dan dia duduk di tepi katil untuk memeriksa keadaan Irdina.
“Cuba
Sopiah ceritakan apa yang berlaku di sini?” tanya Imam Kahar.
“Tadi
Irdina pitam di ruang hadapan. Razif dah berusaha untuk sedarkan dia tapi
gagal. Lepas Razif buat CPR mulut ke mulut, baru Irdina sedar. Keadaan dia
sangat lemah, sebab tu saya suruh dia tinggal di sini supaya mudah saya
menjaganya. Saya yang suruh Razif jaga dia sementara saya tunaikan solat,”
terang Mak Cik Sopiah.
“Kenapa
pipi dan bibir dia lebam?” tanya Mak Cik Idah.
“Sebenarnya
waktu kami pulang dari pasar, berlaku kemalangan kecil bila Razif brek
mengejut. Mulut Irdina terhempas dan luka. Razif dah tolong jahitkan luka yang
sebelah dalam,” terang Mak Cik Sopiah.
“Kalau
begitu, ini semua salah fahamlah. Kami minta maaf jika dah menyusahkan Sopiah
sekeluarga,” ujar Imam Kahar.
“Awak
patut minta maaf pada Razif dan yang lain. Sebab awak, tak pasal-pasal kita dah
tuduh orang yang bukan-bukan,” ujar Imam Kahar kepada isterinya.
Mak
Cik Idah meminta maaf kepada mereka bertiga dan mengakui kesilapannya.
“Bakar,
kamu patut minta maaf kepada mereka berdua. Kamu dah memukul Razif dan menuduh
mereka berzina,” arah Imam Kahar.
“Eleh!
Kak Sopiah saja reka cerita nak tutup perbuatan Razif dan Irdina yang berzina,”
tuduh Bakar.
“Ingatlah
Bakar bahawa ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “Dan orang-orang yang
menuduh wanita-wanita yang baik-baik, berbuat zina dan mereka tidak
mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka yang menuduh itu lapan
puluh kali dera dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya.
Dan mereka itulah orang-orang yang fasik,” ujar Imam Kahar lagi.
“Tapi
Abang Kahar, Kak Idah yang mula buat cerita. Kalau nak kena hukum, sepatutnya
Kak Idahlah.” Bakar mempertahankan diri.
“Aku
tak kata mereka berzina. Aku cuma kata mereka bercium dan buat maksiat. Jauh
bezanya. Lagi pun aku dah minta maaf. Kau tu yang tak insaf-insaf. Pantang ada
perempuan cantik, mulalah cari pasal. Entah-entah kau pukul Razif sebab kau
suka budak perempuan tu tak?” teka Mak Cik Idah.
“Kalau
aku suka apa salahnya? Aku boleh kahwin sampai empat,” akui Bakar dengan bangga.
“Jangan
beranganlah Bakar. Irdina tu bakal menantu aku. Aku dah bincang dengan keluarga
Irdina. Cuma tunggu tarikh yang sesuai untuk akad nikah,” ujar Mak Cik Sopiah.
“Apa?
Aku tak percaya!” Bakar memandang Razif dan Irdina.
“Terimalah
kenyataan Bakar,” ujar Mak Cik Sopiah.
“Irdina,
betul apa yang Mak Cik Sopiah cakap?” tanya Bakar.
“Ya.”
Jawab Irdina, lemah.
Bakar
terus keluar dari situ tanpa meminta maaf kepada Razif dan Irdina. Imam Bakar
dan yang lain meminta maaf kepada mereka bertiga dan kemudiannya keluar dari
rumah tersebut. Mak Cik Sopiah menghantar mereka hingga ke pintu hadapan dan kemudiannya
menutup pintu. Dia mendapatkan Razif dan Irdina, selepas itu.
“Razif,
macam mana keadaan Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah setelah melihat Razif keluar
dari bilik tamu.
“Dia
dah tidur. Biarkan dia berehat dulu.”
“Razif
tak ke klinik ke hari ni?” tanya ibunya setelah melihat jam menunjukkan 3.00
petang.
“Rasanya
tak. Razif nak solat dan berehat. Sakit kena penumbuk tak hilang lagi,” ujar
Razif sambil naik ke tingkat atas.
Mak
Cik Sopiah masuk ke bilik tamu perlahan-lahan lalu duduk di tepi katil. Dia
melihat wajah Irdina yang sedang lena dalam kelesuan. Hatinya terasa ingin
menyentuh wajah itu tetapi dia membatalkan niatnya. Mak Cik Sopiah merasa belas
bila melihat lebam di bibir dan pipi Irdina. Semuanya berpunca daripada Razif,
anak kesayangannya. Tapi seketika kemudian dia tersenyum kerana hajatnya akan
kesampaian akhirnya. Irdina akan menjadi menantunya.
5 ulasan:
Sian ustaz Azmi. frust...
wahh kesian ustz azmi..xsbr pulak tggu bab seterusnya...
Misza dan tanpa nama,
Kadangkala mencintai bukan bermakna memiliki.
semakin lama semakin best.. tak sabar tgu next episode.. harap dieorg kekal bhgia lps kawin...>iqa<
iqa,
Terima kasih krn masih berminat dengan cerita ni. Tunggu dan lihat king control tunjuk taringnya...
Catat Ulasan