Pengikut

Jumaat, 25 Januari 2013

Abang King Control Ke? - Bab 17



Malam itu Pak Cik Idris menyuruh Razif tidur di rumahnya. Razif membawa semua pakaiannya supaya memudahkan mereka bertolak pulang keesokkan harinya. Hujan masih turun dan sesekali lebat. Irdina mengemas dan membasuh pinggan mangkuk di dapur. Razif berada di ruang hadapan, berbual-bual dengan keluarga Irdina.
“Abah, ayag dah naik kat taman belakang,” kata Ilyas yang masuk dengan pakaian yang basah.
“Ayag sungai dah melimpah?” tanya Pak Cik Idris.
“Dah. Ramai orang taman bawak kereta ke masjid,” sambung Ilyas lagi.
Pak Cik Idris mengambil payung lalu keluar untuk melihat air sungai. Beberapa orang keluarga Irdina juga turut keluar setelah hujan berhenti. Razif turut menyertai mereka untuk melihat paras air banjir. Irdina masuk ke biliknya setelah habis mengemas di dapur. Jam ketika itu telah menunjukkan hampir 11.00 malam. Dia mengunci pintu dan menyalin baju tidur. Sebuah majalah dan pemain muzik digital di ambil dari dalam begnya. Dia membaringkan diri sambil membaca majalah tersebut. Alat pendengar diletakkan di kedua-dua belah telinganya untuk mendengar lagu dari pemain muzik tersebut.
Razif masuk ke rumah selepas beberapa ketika. Kebanyakan ahli keluarga Irdina telah masuk tidur. Pak Cik Idris menyuruh Razif masuk ke bilik Irdina untuk tidur setelah melihat Razif menguap beberapa kali. Razif melangkah menuju ke bilik Irdina.
“Sayang, buka pintu. Abang ni.” Razif mengetuk pintu bilik. Tetapi Irdina tidak membukanya. Beberapa kali dia mencuba, akhirnya Razif berhenti mengetuk. Dia mengaru-garu kepala yang tidak gatal.
‘Isteri aku buat apa sampai tak dengar aku panggil? Tak bagi aku masuk ke? Aku nak tidur mana ni?’ Bisik hati Razif penuh resah.
Setelah beberapa ketika Razif berdiri di situ, Pak Cik Idris menghampirinya. “Irdina tak buka pintu?” tanya Pak Cik Idris.
“Tak. Dah lama saya panggil dan ketuk pintu.”
Pak Cik Idris mengetuk pintu bertalu-talu hingga menyedarkan kebanyakan ahli keluarga yang lain. Mereka keluar untuk melihat apa yang berlaku. Razif berasa malu kerana ramai ahli keluarga Irdina yang memandangnya dengan kehairanan.
“Kenapa Irdina tak bukak pintu? Macam nak pecah kita ketuk pintu ni, takkan tak dengag lagi?” tanya Pak Cik Idris.
“Dia pengsan kot.” Teka Mak Cik Mesa, risau.
Razif agak risau membayangkan hal itu.
“Kita pecah saja pintu ni.” Ilyas memberi cadangan.
Mereka bersetuju dengan cadangan itu dan mula merempuh pintu tetapi tidak berjaya.
“Apa kata, kita panjat siling dan pecahkan siling bilik dia.” Cadang Razif.
“Baiklah,” kata Pak Cik Idris. Dia mengarahkan Ilyas untuk mengambil tangga bagi memanjat siling. Mak Cik Mesa yang tidak putus asa terus memanggil Irdina. Irdina yang terdengar sayup-sayup panggilan ibunya, membuka mata.
“Ilyas dah ambil lampu picit?” tanya Ihsan.
“Dah,” kata Ilyas yang mula memanjat tangga sambil dibantu oleh abangnya.
“Nak buat apa panjat tangga tu?” tanya Irdina yang terjengul di muka pintu bilik.
“Astaghfirullah! Anak bertuah. Orang panggil sampai nak pecah pintu, tak bangun-bangun.” Mak Cik Mesa, marah.
Mereka semua memarahi Irdina kerana mengunci pintu. Irdina hanya mampu menundukkan kepalanya ketika itu. Razif menggelengkan kepalanya.
“Lain kali jangan dok kunci pintu kalau laki tak masuk lagi. Jangan bagi laki marah, nanti tak cium bau syurga,” bebel Pak Cik Idris sambil berlalu dari situ.
Mereka yang lain turut meninggalkan Irdina dan Razif. Masing-masing ingin menyambung tidur yang terganggu.
“Abang, maafkan Irdina. Irdina dah terbiasa kunci bilik sebelum tidur. Tadi tak sengaja terkunci.” Irdina mencapai tangan Razif lalu diciumnya.
“Lain kali jangan buat abang risau,” kata Razif.
Mereka melangkah masuk ke bilik dan Irdina mengambil majalah serta pemain muzik digitalnya untuk disimpan.
“Apa sayang buat sampai tak dengar panggilan kami tadi?” kata Razif sambil duduk di birai katil.
“Buat bodoh,” jawab Irdina sambil ketawa.
“Apa?”
“Tak… tadi Irdina tertidur masa baca dan dengar lagu. Mungkin Irdina tak dengar sebab alat pendengar tu masih di telinga,” terang Irdina yang masih berdiri berhampiran meja solek.
Razif melihat Irdina dari atas ke bawah. Dia mengagumi kecantikan isterinya yang nampak menarik di dalam gaun tidur berwarna merah jambu. Walaupun warna itu tidak disukai Razif, tetapi tidak mencacatkannya di mata Razif. Irdina agak resah dengan pandangan mata Razif yang terpaku melihatnya.
“Sayang nak berdiri di situ sepanjang malam?” tanya Razif dalam senyumannya.
“Ya… er… tak,” jawab Irdina gugup.
Razif ketawa kecil sambil bangun lalu menarik tangan Irdina untuk duduk di katil. “Sayang takut ke?” tanya Razif.
“Boleh tak kita sambung cerita Bayan Budiman?” tanya Irdina spontan.
“Bayan tak mengantuk ke?” tanya Razif sambil ketawa.
“Tak, bayan boleh bercerita hingga ke pagi.”
“Buat apa nak dengar cerita? Abang nak tidurlah, mengantuk sangat ni.”
“Kalau begitu, abang tidurlah dulu. Irdina nak sambung baca buku.” Irdina memberi alasan. Gementar hatinya, hanya Allah Yang Tahu.
“Macam mana abang nak tidur kalau lampu terpasang?”
Irdina menggaru kepala yang tidak gatal. Seboleh mungkin dia tidak mahu tidur sekatil dengan Razif. Hatinya masih belum dapat menerima Razif. Razif yang faham akan kerisauan Irdina hanya tersenyum.
“Sayang jangan risau. Sayang tidur sebelah sini, abang tidur sebelah sana. Bantal ni jadi sempadan. Boleh tak?” kata Razif memberi cadangan.
Irdina bersetuju dengan cadangan Razif lalu bangun menutup lampu. Razif meletakkan bantal peluk di tengah-tengah sebagai sempadan. Tidak sampai seminit, terdengar dengkuran Razif menandakan Razif telah tidur. Irdina menutup telinganya kerana tidak tahan dengan bunyi dengkuran tersebut.
‘Macam mana nak tidur kalau asyik dengar dengkuran yang bising ni?’ bisik hati Irdina.
Irdina teringatkan pemain muzik digitalnya. Dia mengambil alat tersebut lalu disumbatkan alat mendengar ke telinga. Muzik yang lembut dipasang dan dia merebahkan kepalanya. Akhirnya dia tertidur juga. Hujan makin lebat di luar. Kedinginan makin terasa menyebabkan Irdina mencapai bantal lalu memeluknya.
Sayup-sayup terdengar di telinga Irdina suara ibunya bercakap-cakap. Irdina dapat merasakan tubuhnya dipeluk dari belakang. Dalam gerak spontan dia menolak kasar tubuh di belakangnya hingga menyebabkan tubuh itu jatuh ke bawah.
“Aduh!” terdengar suara Razif mengadui.
Irdina berasa hairan seketika kerana sangkanya yang ditolak tadi adalah Balkis. Balkis pernah terpeluknya ketika mereka tidur berdua dan dia bertindak sebegitu sebelum ini.
“Alamak! Maaflah abang. Irdina tak sengaja.” Irdina baru tersedar kesilapannya apabila melihat Razif bangun sambil menggosok punggung.
Razif tidak berkata apa-apa dan perlahan-lahan naik ke atas katil. Dia mengambil bantal peluk di tangan Irdina lalu diletakkannya di tengah. Badannya direbahkan dengan membelakangkan Irdina. Irdina menjadi serba salah kerana perbuatannya itu.
“Abang, Irdina minta maaf.” Irdina menyentuh lengan Razif.
Razif masih tidak memperdulikan Irdina. Hati Irdina diburu perasaan bersalah. Irdina menarik bantal yang dijadikan sempadan lalu mendekati Razif.
“Abang, marahkan Irdina?” tanya Irdina sambil merapatkan wajahnya ke wajah Razif.
Razif yang kegelian ketika hujung rambut Irdina mengenai lehernya, ketawa kecil. Dia memusingkan badannya secara spontan membuatkan Irdina hilang keseimbangan. Irdina jatuh ke atas badan Razif. Ketika Irdina cuba bangun, Razif memeluknya.
“Abang… mak panggil tu,” kata Irdina.
Razif tidak memperdulikan kata-kata Irdina lalu merebahkan isterinya itu. Dia cuba merapatkan bibirnya ke bibir Irdina tetapi Irdina mengelak.
“Abang! Mak panggil,” kata Irdina menyedarkan Razif.
Mak Cik Mesa memanggil-manggil mereka di luar pintu dengan menyatakan rumah mereka telah dinaiki air pada bahagian dapur. Mereka bergegas keluar untuk melihat keadaan di dapur. Air telah memenuhi lantai dapur.
“Razif! Pergi ubah kereta ke masjid. Air makin naik, takut nanti tak boleh keluar,” arah Ihsan.
Razif segera mengambil kunci lalu keluar untuk mengubah keretanya. Irdina menolong ibunya mengangkat barang-barang di ruang hadapan. Setiap ahli keluarga mengangkat barang ke atas meja dan juga kerusi.
“Irdina, pi kemas bilik. Nanti nak kena angkat tilam tu,” kata Mak Cik Mesa.
Irdina masuk ke biliknya. Dia mula mengemas dan mengangkat beg pakaiannya. Razif pulang dengan berjalan kaki setelah meletakkan keretanya di kawasan masjid yang lebih tinggi. Dia masuk ke bilik sewaktu Irdina sedang menyusun bantal ke dalam almari.
“Sayang, lebih baik sayang tukar baju. Takut nanti kita kena keluar dari sini.”
“Kenapa? Air makin naik ke?”
“Tadi Abang Ihsan beritahu, enam pintu empang sudah dibuka dan airnya menghala ke sungai belakang rumah ni.”
Irdina menyalin pakaiannya setelah Razif keluar dari bilik untuk menolong yang lain mengubah barang. Mereka menyusun di atas meja sehingga tiada ruang untuk diletakkan barang. Azan subuh kedengaran dari arah masjid dan mereka kemudiannya bersolat di kawasan yang belum ditenggelami air.
Razif membawa beg pakaiannya dan beg pakaian Irdina keluar dari bilik tersebut. Mereka mengambil keputusan untuk berpindah setelah keseluruhan ruang di rumah itu digenangi air separas lutut. Keluarga Irdina membawa barang-barang keperluan dan barang berharga menuju ke penempatan banjir. Kawasan masjid telah dipenuhi oleh penduduk yang berpindah. Disebabkan tidak mahu berasa-asak, keluarga Irdina memilih penempatan di sekolah yang terletak berhadapan masjid.
“Abang letak kereta di mana?” tanya Irdina.
“Ada di sana.” Kata Razif sambil menunjuk ke arah keretanya.
“Irdina nak tinggalkan kasut dan beg dalam kereta.”
“Baiklah. Marilah ke sana.”
Irdina memasukkan kasutnya ke dalam kereta. Dia hanya memakai selipar dan mengambil beg tangannya. Razif turut meninggalkan beg pakaian mereka dan meletakkan beg-beg tersebut di but kereta.
“Rasa laparlah. Ada apa-apa untuk dimakan tak?” tanya Razif.
“Tadi tak sempat sediakan sarapan. Roti dan air kosong adalah mak bawa.”
“Kedai makan buka tak?” tanya Razif.
“Entahlah. Kalau nak cuba cari, boleh juga.” Jawab Irdina.
Mereka masuk ke dalam kereta dan bergerak menghala ke pusat bandar tetapi terpaksa berpatah balik kerana paras air agak tinggi di pertengahan jalan.
“Kita nak cari di mana?” tanya Razif.
“Abang ikut saja jalan ni hingga kita jumpa kedai makan,” cadang Irdina.
Razif mengikut saranan Irdina. Dia memandu perlahan sambil matanya melihat ke kiri dan kanan jalan. Terdapat sebuah kedai makan di situ tetapi tidak dibuka. Razif terpaksa berpatah balik setelah perjalanannya terhalang oleh banjir.
“Derasnya air tu,” kata Irdina sambil melihat aliran air yang bergelombang dan mengalir laju.
“Airnya nampak jernih. Rasa macam nak mandi pula,” kata Razif.
“Air dari empang, sebab tu jernih.”
Mereka akhirnya kembali ke sekolah setelah meletakkan kereta di pekarangan masjid. Kawasan sekolah turut digenangi air walaupun tidak begitu dalam. Razif melihat Irdina melipat kaki seluarnya untuk mengharungi air.
“Sayang… tak payah lipat kaki seluar tu. Nampak habis kaki sayang yang gebu tu,” kata Razif sambil melihat kaki Irdina.
“Nanti basahlah seluar ni.” Irdina cuba membantah.
“Nak basah atau nak tanggung dosa? Kalau abang biar, abang pun terpaksa tanggung dosa sayang.”
Irdina melepaskan lipatan di seluarnya. Dia melihat Razif melipat kaki seluar sebelum mengharungi air. Ada rasa tidak puas hati melihat keadaan itu. Seluar jeans yang dipakai oleh Irdina basah hingga ke paras lutut, tetapi seluar Razif tidak basah. Mereka mendapatkan ahli keluarga mereka yang sedang duduk di kantin sekolah.
“Ada roti lagi tak?” tanya Irdina.
“Anak-anak Kak Wina dah makan bagi habis tadi.” Kata Wina, isteri Ihsan.
“Makanan lain ada tak?” tanya Irdina.
“Tak ada. Tadi tak bawa banyak. Abang Ihsan dah balik ke rumah untuk ambil biskut dan air kosong,” jawab Wina lagi.
Irdina duduk di bangku kantin sambil mengibas kaki seluarnya yang basah. Razif yang duduk di sebelahnya hanya memerhatikan perbuatan Irdina.
“Sayang, lepas ni abang tak mahu sayang pakai seluar jeans lagi. Nampak bentuk paha dan kaki,” kata Razif.
Irdina mendengar rasa agak geram dengan larangan Razif. Seluar jeans adalah salah satu pakaian kegemarannya.
‘Aku hanya pakai jeans yang longgar dengan baju yang labuh. Tetapi kenapa dia masih melarang? Nak campak ke mana jeans aku nanti?’ kata hati Irdina.
“Abang nak suruh Irdina pakai baju kurung sepanjang masa?” tanya Irdina, tak puas hati.
“Itu yang sebaiknya. Kalau pakai jubah lagi manis rasanya,” kata Razif sambil tersenyum memandang Irdina.
‘Aduh! Nak kena ubah semuanya ke? Aku tak ada jubah, baju kurung pun boleh kira dengan jari,’ bisik hatinya.
Irdina menundukkan kepalanya memandang lantai. Hatinya menjadi gundah gulana memikirkan nasibnya nanti. Dia tahu bahawa dia pernah berjanji akan taat dan setia kepada suami, jadi segala larangan Razif terpaksa diikutinya walaupun berat baginya.
“Sayang, tengok bayi tu. Comelkan?” kata Razif sambil menunjukkan ke arah seorang bayi yang sedang ketawa mengekek apabila diagah oleh bapanya.
Irdina melihat bayi tersebut dan mengakui kata-kata Razif.
“Kalau boleh, abang pun nak anak yang comel dan sihat begitu,” kata Razif sambil memeluk pinggang Irdina.
Irdina terpaksa merelakan perbuatan Razif, walaupun hatinya tidak suka.
“Abang, boleh tak tolong ambil beg Irdina? Rasa sejuklah pakai seluar basah.”
“Baiklah. Sayang tunggu sini.”
Irdina hanya tersenyum sambil mengangguk.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Abang king Control sudah bermula.. kena Irdina terima segalanya..hahaha :)

Imanisa riana @ sarimah berkata...

ya...maka bermulalah. :)

Tanpa Nama berkata...

cpt2 lha msuk kan bab seterusnya heheh