Pengikut

Rabu, 9 Januari 2013

Abang King Control Ke? - Bab 15



Irdina tersedar ketika merasakan sentuhan tangan seseorang di dahinya. Matanya dibuka perlahan-lahan. Apabila dia menyedari Balkis berada di hadapannya, dia terus bangun dan memeluk Balkis.
“Balkis… aku nak balik.”
“Sebaiknya Kak Irdina rehat saja di sini. Di sini ada doktor dan Mak Cik Sopiah yang boleh jaga Kak Irdina,” ujar Balkis sambil meleraikan pelukannya.
“Aku tak sanggup lama-lama di sini. Dua hari aku berada di sini dah mengubah seluruh hidup aku. Aku dan Abang Razif akan kahwin tak lama lagi.”
“Aku dah tahu hal ni daripada Mak Cik Sopiah. Tapi aku tak faham macam mana Kak Irdina boleh setuju nak kahwin dengan Mamat yang kita kutuk dulu? Kak Irdina dah jatuh cinta dengan dia ke?” tanya Balkis, hairan.
“Mungkin ALLAH makbulkan doa kau,” ujar Irdina tanpa mahu menceritakan hal sebenar. Dia tidak mahu mengingati peristiwa yang telah melukakan hatinya.
“Ya, tak ya juga. Aku pernah doa masa di Pasar Mini tu. Tak sangka, makbul pula.” Balkis ketawa.
Irdina cuba ketawa tetapi bibirnya terasa sakit. Akhirnya dia hanya mengorak senyuman nipis.
“Teruk ke Kak Irdina terhempas ke kerusi hadapan sampai lebam-lebam dan berjahit?” tanya Balkis.
“Mak Cik Sopiah kata apa pasal kemalangan tu?” tanya Irdina ingin tahu. Dia takut jika ceritanya nanti berbeza dengan cerita Mak Cik Sopiah.
“Mak Cik Sopiah kata Abang Razif asyik pandang belakang untuk lihat Kak Irdina. Bila kucing melintas, dia brek mengejut dan Kak Irdina terhempas ke kerusi hadapan. Dia kata bahagian dalam mulut Kak Irdina luka dan kena jahit.”
 “Awal kau balik hari ni? Selalunya petang baru balik.” Irdina menyoal Balkis supaya Balkis tidak terus membicarakan hal itu.
“Awal apa? Sekarang dah pukul 8.00 malam. Aku dah lama balik dan cari Kak Irdina di sini. Waktu aku telefon, Kak Irdina tak angkat. Rupanya tidur mati,” ulas Balkis.
“Dah malam?” tanya Irdina tidak percaya.
“Ya, malam.”
“Tadi aku tidur, lepas Mak Cik Sopiah solat Zohor. Bermakna dah lama aku tidur.” Irdina mengingati kembali.
Balkis hanya menganggukkan kepalanya.
“Kenapa Mak Cik Sopiah atau Abang Razif tak kejutkan aku?”
“Manalah aku tahu. Mungkin Prince Charming tak jumpa cari Sleeping Beauty untuk memberi ciuman hikmat bagi menyedarkan Sleeping Beauty,” Balkis bergurau.
“Banyaklah kau punya Sleeping Beauty,” ujar Irdina sambil tersenyum.
Tiba-tiba Razif muncul di muka pintu yang terbuka. Dia melangkah masuk sambil tersenyum.
Prince Charming dah datang. Tapi sayang Sleeping Beauty dah bangun. Kalau tidak aku boleh tengok live aksi Prince Charming cium Sleeping Beauty macam dalam cerita tu,” ujar Balkis sambil ketawa.
“Hisy! Kau ni.” Irdina menampar tangan Balkis.
Razif yang melihat, hanya tersenyum. Lapang hatinya melihat Irdina yang nampak semakin pulih.
“Macam mana Irdina?” tanya Razif.
“Rasa makin baik. Kenapa tak kejutkan saya tadi?”
“Tak sempat, nenek sihir dah masuk dulu. Kalau tak bolehlah Prince Charming kejutkan Sleeping Beauty.” Razif ketawa.
“Amboi! Sedap mulut saja panggil kita nenek sihir,” Balkis mencebikkan bibirnya.
Irdina ketawa kecil melihat wajah Balkis. Tetapi cepat-cepat dia memegang pipi yang terasa sengal.
“Irdina, marilah keluar makan. Dah lama Irdina tak makan dan minum,” ajak Razif.
“Baiklah. Abang Razif pergilah dulu, nanti saya keluar.”
Razif keluar dari bilik. Irdina bangun perlahan-lahan lalu masuk ke bilik air. Dia membersihkan dirinya dan kemudian mengambil wuduk. Seketika kemudian dia keluar dan membentangkan sejadah. Balkis hanya memerhati Irdina melakukan solat. Seusai berdoa, Irdina memakai tudung untuk keluar dari bilik itu.
“Irdina, duduk di sini,” Mak Cik Sopiah menarik kerusi untuk Irdina.
Irdina duduk di kerusi itu dan melihat hidangan yang memenuhi meja. Balkis duduk di sebelah Irdina dan menyendukkan nasi untuk mereka. Razif yang duduk bertentangan dengan Irdina asyik merenung wajah Irdina. Irdina yang terperasan akan renungan itu hanya menundukkan wajahnya.
“Abang!” panggil Rosnah sambil menyua pinggan nasi kepada abangnya.
Razif mengambil pinggan itu. Mak Cik Sopiah yang memerhati tingkah laku Razif hanya tersenyum sendirian. Mereka makan setelah berdoa. Irdina hanya mampu menghabiskan separuh daripada bubur nasinya.
“Kenapa tak habiskan Irdina?” tanya Razif.
“Dah kenyang.”
“Makanlah lagi. Mana nak ada tenaga kalau tak makan secukupnya,” sampuk Mak Cik Sopiah.
“Tak larat nak habiskan. Balkis letak banyak sangat.” Irdina memberi alasan sedangkan hakikatnya dia masih bersedih dengan apa yang berlaku ke atas dirinya. Ditambah pula, mulutnya masih terasa sakit setiap kali mengunyah makanan. Hal ini membantutkan selera makannya.
“Mana ada? Aku bubuh tak banyak mana pun,” bantah Balkis.
“Makanlah Irdina. Jangan fikirkan sangat benda-benda lain sewaktu makan.” Mak Cik Sopiah menasihati setelah berjaya mengesan riak di wajah Irdina.
Irdina tidak mampu berdalih lagi. Lambat-lambat dia menghabiskan juga bubur nasi. Apabila dia ingin membasuh pinggannya, Mak Cik Sopiah melarang. Razif mengajak Irdina duduk di sofa agar memudahkannya memeriksa tahap kesihatan Irdina. Irdina hanya menurut tanpa soal.
“Masih rasa pening tak?” tanya Razif sambil memerhati wajah Irdina.
“Tak.”
Razif memeriksa tekanan darah Irdina dan kemudian memeriksa nadinya. Setelah itu Razif memeriksa luka di dalam mulut Irdina. Kedudukan Razif yang agak rapat membuatkan Irdina tidak senang duduk. Matanya dipejamkan agar wajah Razif tidak mengganggu jiwanya. Razif berlagak biasa walaupun sebenarnya agak terasa hati melihat sikap Irdina yang tidak acuh kepadanya. Dia tahu Irdina menurut dalam terpaksa.
“Abang rasa keadaan Irdina dah semakin baik. Tapi kalau masih rasa pening dan nak pitam cepat-cepat beritahu abang.”
“Boleh saya balik? Saya tak mahu tidur di sini.”
“Apa salahnya tidur di sini? Tak lama lagi pun Irdina kena tinggal di sini juga,” ujar Razif sambil tersenyum.
Irdina mengeluh. Dia sedar akan kenyataan itu. Tetapi sukar baginya untuk menerima hakikat yang dia perlu berpindah masuk ke rumah itu dan tinggal sebilik dengan Razif.
“Irdina jangan risau. Malam ni, Irdina boleh balik ke rumah. Tapi minta Balkis temankan Irdina di bilik. Abang tak mahu apa-apa terjadi pada Irdina. Kalau rasa tak sihat, beritahu abang segera.”
Irdina hanya menganggukkan kepalanya. Seketika kemudian, Balkis yang selesai menolong Mak Cik Sopiah mengemas meja makan dan kerja-kerja membersih mengajak Irdina pulang.
“Irdina tunggu sekejap.” Mak Cik Sopiah mengambil sesuatu dari dalam beg tangannya. Mak Cik Sopiah mengeluarkan sebentuk cincin dari kotaknya.
“Irdina, mak cik minta maaf kerana tak sempat aturkan majlis pertunangan dengan abang Irdina tadi. Keluarga Irdina setuju mak cik serahkan cincin pertunangan terus kepada Irdina. Cincin ni mak cik beli sewaktu Irdina tidur tadi.”
Irdina yang duduk di sofa hanya mendiamkan diri. Dia tidak menyangka Mak Cik Sopiah akan bersusah payah untuk dirinya.
“Mak Cik beri cincin ni sebagai tanda pertunangan Irdina dengan Razif,” ujar Mak Cik Sopiah sambil menyarungkan cincin ke jari manis Irdina.
Irdina menyalami Mak Cik Sopiah sambil mengucapkan terima kasih. Mak Cik Sopiah memeluk Irdina dan mencium pipinya. Mereka yang menyaksikan hanya tersenyum gembira. Tiada majlis rasmi seperti yang sepatutnya dilakukan. Pertunangan mereka terlalu ringkas tanpa kehadiran kedua-dua belah keluarga. Hanya Balkis yang mewakili keluarga Irdina. Ada hiba di hati Irdina. Terasa air matanya bertakung di kelopak mata tetapi cepat dia mengawalnya agar tidak menitis di pipi.
Razif mengiringi Irdina dan Balkis untuk pulang ke rumah mereka. Dia mengekori langkah Irdina dan Balkis dari belakang. Tiba-tiba mereka terdengar suara kanak-kanak menangis dengan kuatnya dari arah hadapan.
“Kenapa dengan Aman tu?” tanya Razif walaupun dia tahu soalannya itu tidak akan dijawab.
Mereka bertiga bergegas ke rumah Aman yang terletak bersebelahan rumah Mak cik Idah. Ibu Aman, Kak Umi sedang berusaha mengeluarkan kepala Aman yang terlekat di antara dua batang palang simen berbentuk seperti botol. Palang tersebut merupakan tembok di antara rumah Kak Umi dengan rumah Mak Cik Idah.
“Macam mana boleh jadi begini?” tanya Razif sambil melihat kepala Aman yang terlekat.
“Entahlah Razif. Akak tengah lipat kain baju tadi. Aman ni kata nak main basikal di depan ni. Alih-alih kepala dia melekat di sini,” jelas Kak Umi.
“Abang Husin tak ada di rumah ke?” tanya Razif.
“Tak balik lagi,” jawab Kak Umi.
“Macam mana nak keluarkan kepala dia ni?” tanya Mak Cik Idah yang keluar untuk melihat Aman.
Makin ramai jiran datang melihat kejadian itu. Masing-masing memberi pendapat untuk mengeluarkan kepala Aman yang sedang menangis.
“Aku rasa kita patut ketuk saja palang simen ni,” Pak Cik Omar memberi cadangan.
“Hisy! Mana boleh. Nanti kena kepala Aman pula,” bantah Mak Cik Idah.
“Kalau macam tu, kita potong saja kepala Aman,” cadang Bakar.
“Gila kau Bakar! Nak bunuh anak orang bolehlah,” marah Pak Cik Omar.
“Habis tu nak buat macam mana?” tanya Bakar.
Razif memujuk Aman supaya diam. Dia menyuruh Aman bertenang dan tidak meronta. Perlahan-lahan Razif membantu Aman mengeluarkan kepalanya sedikit demi sedikit. Akhirnya kepala Aman dapat dikeluarkan tanpa sebarang luka.
“Terima kasih Razif kerana menolong Kak Umi,” kata Kak Umi.
Razif hanya tersenyum sambil menggosok-gosok kepala Aman. Irdina yang memerhati hanya tersenyum kepada Razif. Kak Umi membawa Aman masuk ke rumah. Jiran-jiran yang lain mulai beransur pulang ke rumah. Bakar masih lagi menunggu di tepi jalan untuk berbual dengan Irdina.
“Irdina! Mari sini,” panggil Bakar.
“Kak Irdina, Abang Burn panggil.” Balkis mencuit Irdina yang tidak memperdulikan Bakar.
“Nak apa Abang Burn?” tanya Razif sambil menghampiri Irdina. Dia takut jika Bakar mengapa-apakan Irdina.
“Aku nak bercakap dengan Irdina.” Bakar merapatkan jaraknya dengan mereka.
“Cakap sajalah, tapi jangan dekati Irdina.” Razif memberi amaran.
“Apa hak kau nak larang aku dekati dia?” tanya Bakar.
“Dia tunang saya, Abang Burn. Jadi saya ada hak melarang,” tegas Razif.
“Hah! Sejak bila pula dia jadi tunang kau?”
“Sejak bila pun Abang Burn peduli apa? Jangan ganggu tunang saya. Jika tidak saya akan bertindak.”
“Apa kau nak buat? Tumbuk aku?” tanya Bakar sambil berdiri di hadapan Razif.
“Sudahlah Abang Burn. Jangan ganggu saya.”
“Abang Burn cuma nak bercakap dengan Irdina. Salahkah?”
“Salah! Sebab saya bukan siapa-siapa pada Abang Burn. Lagipun tak elok dipandang orang,” Irdina bertegas.
“Huh! Sombongnya. Abang Burn bukan nak apa-apakan Irdina. Cuma nak cakap.”
“Apa yang penting sangat? Cakaplah!” Irdina mulai bosan.
“Abang Burn nak minta tolong Irdina, boleh tak?”
“Kalau yang boleh di tolong, Insya ALLAH saya tolong.”
“Abang Burn nak minta tolong Irdina hantarkan anak Abang Burn ke tadika esok. Kak Zetty tak ada, buat Abang Burn kelam kabut pagi-pagi.”
“Selama ni Abang Burn hantar sendiri, tak jadi masalah pun,” celah Razif.
“Tapi Abang Burn terpaksa pusing merata tempat untuk hantar anak-anak. Sebab tu Abang Burn nak minta tolong Irdina.”
“Kalau begitu, biar saya yang hantar. Irdina tentu sibuk pagi-pagi,” pelawa Razif sebelum sempat Irdina memberi jawapan.
“Aku minta tolong Irdina bukan kau,” ujar Bakar, bengang.
“Saya tolong pun sama macam Irdina tolong,” jawab Razif.
“Tak sama. Orangnya berbeza.”
“Nak kira orang atau nak kira pertolongan tu? Kalau sekadar nak hantar anak Abang Burn, hari-hari saya boleh hantar,” ujar Razif yang dapat mengagak niat di sebalik permintaan Bakar itu.
“Aku tak suka kau. Jadi pertolongan kau pun aku tak suka. Irdina, boleh tak tolong Abang Burn?” tanya Bakar sambil mendekati Irdina.
“Saya bukan tak mahu tolong Abang Burn, tapi saya sendiri pun tak berapa sihat. Esok pun, Balkis yang akan memandu. Saya rasa elok Abang Razif saja yang tolong hantar,” Irdina menjarakkan dirinya daripada Bakar.
“Minta tolong sikit pun payah, sombong sangat! Tak mengapa…ini hari kau lain kali kalau jadi apa-apa jangan menyesal,” ujar Bakar sambil memasuki kawasan rumahnya.
Irdina terpinga-pinga melihat kemarahan Bakar. Razif menggelengkan kepalanya.
“Apa masalah dia?” tanya Balkis, hairan.
“Dia nak masuk jarum. Nak mengorat Irdina,” jawab Razif.
“Hisy! Dah ada isteri cantik dengan anak yang berderet, pun masih nak menggatal lagi. Adakah semua lelaki jenis tak cukup dengan seorang perempuan saja?” tanya Balkis, geram.
“Bukan semua lelaki tau. Abang Razif tak macam tu. Jenis yang rasa tak cukup-cukup tu sebenarnya tak tahu bersyukur atas pemberian ALLAH. Ada yang tak mampu tapi sengaja nak tunjuk hebat jika beristeri lebih.”
“Abang Razif bolehlah mengaku sebab belum kahwin. Nanti dah kahwin, entah-entah sama macam Abang Burn. Ligat mengorat perempuan lain,” usik Balkis.
“Hisy! Kau ni doakan rumah tangga aku pula. Kau suka aku jadi macam Kak Zetty? Aku takut doa kau makbul lagi,” celah Irdina.
“Opss! Sorry. Terlupa yang Abang Razif nak kahwin dengan Kak Irdina. Aku tarik balik kata-kata aku tu. Aku doakan rumah tangga Kak Irdina dan Abang Razif akan bahagia dari dunia hingga akhirat. Semoga Kak Irdina dan Abang Razif dikurniakan anak satu bas,” ujar Balkis sambil ketawa.
“Balkis! Kau ni memanglah. Suka kenakan aku.” Irdina mencubit lengan Balkis.
“Aduh! Orang doa baik-baik, dia nak marah pula. Nanti aku doa supaya Kak Irdina dan Abang Razif kahwin dalam banjir baru tau,” ujar Balkis dalam tawanya.
“Kenapa banjir?” tanya Razif, hairan.
“Supaya Abang Razif dan Kak Irdina tak dapat pergi ke mana-mana dan terkurung di bilik saja. Confirm anak satu bas!” Balkis ketawa lagi.
Razif turut ketawa bila melihat Irdina menarik muka masam.
“Ada-ada saja Balkis ni. Tapi bagus juga kalau banjirkan?” kata Razif sambil memandang Irdina.
Irdina hanya menjeling dan memasamkan mukanya kepada Razif.
“Jangan marah gurau saja.”
Irdina menarik tangan Balkis untuk masuk ke rumah mereka.
“Balkis, tolong tengokkan Kak Irdina. Kalau ada apa-apa masalah beritahu Abang Razif,” pesan Razif.
“Insya ALLAH. Tapi saya tak boleh tengok lama-lama,” jawab Balkis, selamba.
“Kenapa? Balkis nak ke mana?” tanya Razif, hairan.
“Kalau asyik tengok Kak Irdina saja, bila masa saya nak tidur?” Balkis ketawa kerana berjaya mengenakan Razif.
Razif ketawa manakala Irdina hanya mampu tersenyum dengan jenaka Balkis. Mereka masuk ke rumah setelah mengucapkan terima kasih kepada Razif. Razif pulang ke rumahnya setelah memastikan Irdina selamat. Sebelum sempat Razif memasuki rumahnya, Ustaz Azmi tiba dan memarkirkan keretanya di hadapan pagar rumah itu. Ustaz Azmi memberi salam dan Razif menjawabnya.
“Dari mana kau, Azmi?” tanya Razif.
“Aku dari surau, ada ceramah tadi. Mak Cik Sopiah tak pergi ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Tak.”
“Selalunya dia akan pergi bila ada ceramah. Kenapa tak pergi hari ni?”
“Ada urusan sikit tadi, sebab tu dia tak pergi.”
Razif agak resah untuk memberitahu hal sebenar. Mereka duduk di kerusi taman berhadapan kolam ikan. Ustaz Azmi mengambil tempat duduk menghadap ke rumah Irdina. Matanya memandang rumah Irdina yang kelihatan masih terang benderang. Hatinya berbunga riang. Bila hati tengah angau, walaupun tidak nampak wajah nampak rumah pun sudah memadai.
‘Tentu Irdina belum tidur. Tetapi kenapa hingga kini Irdina tak balas mesej aku? Malah telefon pun tak diangkat. Tak sudikah terima pinangan aku? Tapi bukankah itu yang dia tunggu-tunggu?’ bisik hati Ustaz Azmi.
“Tunggu sekejap. Aku pergi ambil air.” Razif bangun dan masuk ke rumahnya.
Kesempatan itu digunakan oleh Ustaz Azmi untuk menelefon Irdina. Berkali-kali dia mendail tetapi Irdina tidak menjawab.
‘Kenapa tak angkat? Apa masalah dia?’ bisik hati Ustaz Azmi, kehairanan. Teka teki dan kerisauan menjalar di kalbunya. Takut jika Irdina jatuh sakit dan tidak mampu menjawab telefon.
Razif muncul dengan membawa dulang berisi air dan biskut. Dia meletakkan dulang di atas meja. Matanya sempat mencuri pandang wajah sugul Ustaz Azmi yang masih memandang telefonnya.
“Minumlah Azmi.”
“Terima kasih.” Ustaz Azmi mencapai cawan air.
“Nampak muram saja. Ada masalah ke?”
“Aku risaulah. Dah banyak kali aku hantar mesej dan telefon tapi bakal isteri aku tak balas atau angkat. Aku takut dia sakit sebab kelmarin dia tidak berapa sihat,” ujar Ustaz Azmi yang masih tidak mengetahui situasi sebenar.
Bagai ditumbuk dengan tumbukan padu, Razif terkedu. Serba salah melingkari diri. Tanpa sengaja dia telah memisahkan dua jiwa yang sedang bercinta. Persoalan demi persoalan menerpa di kotak fikirannya. Adakah dia perlu mengorbankan rasa cintanya kepada Irdina demi persahabatannya dengan Ustaz Azmi? Tergamakkah dia melukakan hati dan sekali gus memalukan emaknya? Apa yang perlu dilakukannya kini?
“Razif, ada tak Irdina datang ke rumah kau? Macam mana keadaannya. Demam lagi tak?” tanya Ustaz Azmi bertalu-talu.
Razif menelan liur. Bagaimana dia hendak menerangkan keadaan Irdina kepada Ustaz Azmi?
“Razif?” Ustaz Azmi kehairanan melihat perubahan wajah Razif apabila nama Irdina disebut.
“Aku tak tahu. Kau tanyalah dia sendiri.”
Ustaz Azmi mendiamkan dirinya. Mereka berbual hal yang lain buat beberapa ketika. Ustaz Azmi terperasan yang Razif kurang bersemangat berbual dengannya dan seolah-olah tidak menyenangi kehadirannya di situ.
“Tolong beritahu Ros, aku tak ada seminggu mulai esok sebab aku kena bawa murid-murid ke perkhemahan. Kelas dia terpaksa tangguh dulu.”
“Baiklah. Nanti aku beritahu.”
“Razif aku minta diri dulu.” Ustaz Azmi bangun untuk bersalaman dengan Razif.
Razif mengiring Ustaz Azmi ke kereta. Dia menjawab salam yang diberi oleh Ustaz Azmi sebelum Ustaz Azmi berlalu dari situ. Razif mengeluarkan telefonnya lalu mendail nombor Irdina. Seketika kemudian telefonnya diangkat.
“Irdina, abang nak cakap dengan Irdina sekejap.”
“Cakaplah, saya dengar.”
“Tadi Azmi datang jumpa abang. Dia tanyakan Irdina tetapi abang tak ceritakan apa-apa pada dia. Dia kata Irdina tak balas mesej dan tak angkat telefon. Kenapa tak mahu berterus terang dengan dia?”
“Abang sajalah yang berterus terang.”
“Kenapa bukan Irdina? Sepatutnya Irdina beritahu dia supaya dia tak tertanya-tanya.”
“Saya dah cukup terluka sebelum ni. Bila dah sembuh, kenapa saya terluka lagi? Kalau saya bercakap dengan dia seolah-olah saya menghiris hati sendiri. Pedih dan perit.”
“Abang minta maaf. Tapi biarlah abang yang rawat luka Irdina.”
 “Abang mungkin mampu rawat dan jahit luka di mulut saya tapi adakah abang mampu jahit luka-luka di hati saya?”
“Abang berjanji akan membahagiakan Irdina dan mencintai Irdina sepenuh hati. Lupakanlah segala kisah duka. Irdina perlu melangkah ke hadapan dan jangan lagi menoleh ke belakang. Biarkan yang lepas menjadi lipatan sejarah. Abang harap kita bina hidup baru bersama-sama. Kita boleh bahagia, percayalah.”
“Berilah saya sedikit masa,” ucap Irdina perlahan.
“Ambillah sebanyak mana masa yang Irdina perlukan. Abang akan tunggu hingga Irdina benar-benar menerima abang.”
Irdina hanya mendiamkan dirinya. Seketika kemudian dia meminta diri dan memutuskan talian.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

menanti bab seterusnya heee

Unknown berkata...

Kesian Irdina, walaupun Razif merasakan Irdina ni macam banyak kawan lelaki tetapi Muaz tahu Irdina gadis yang bagaimana, sayangnya mereka tiada berjodoh kerana ibu Razif tetap mahukan Irdina. Perlukah Irdina berkorban begitu. Harap ada sinar buat Irdina dan Razif.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tanpa nama dan seri ayu,
Teruskan mengikuti kisah mereka. Perlukah Irdina berkorban? Nantikan episod seterusnya. :)