Sedih dan rindu yang
amat sangat. Itulah perasaanku ketika ini. Potret di tangan kutatap tanpa jemu.
Kenapa orang yang aku sayangi terlalu cepat pergi menghadap Ilahi? Kenapa bukan
orang yang ku benci itu? Hatiku menyebal sendiri. Potret di tangan diletakkan
di sisi. Telefon yang berbunyi sejak dari tadi aku angkat dengan perasaan
malas. Aku menjawab salam yang diberi.
“Ngah,
nanti baliklah ke rumah nenek. Abah, mama dan adik akan tunggu Ngah di sana.”
Suara lelaki yang ku benci itu menusuk ke gegendang telinga.
“Tengoklah.”
Jawabku acuh tidak acuh.
“Jangan
begitu Ngah. Ngah patut balik ke rumah nenek dan kita sambut Hari Raya di sana.
Abah tak mahu lagi Ngah dan Shah sambut raya berdua macam tahun lepas.”
Aku
diam tidak mahu membalas kata-katanya. Memang aku bercadang dengan Shah, adik
aku untuk menyambut Hari Raya berdua di rumah kami atau lebih tepat rumah arwah
ibu kami. Hati aku akan tenang jika tidak menatap wajah perempuan itu. Ya,
perempuan yang abah suruh kami berempat panggil mama. Tidakkah abah sedar, kami
bertiga bencikan perempuan itu kecuali adik bongsuku yang berusia enam tahun?.
Disebabkan dia, abah juga kami benci.
“Ngah,
abah berharap sangat Ngah dan Shah pulang ke rumah nenek. Banyak kali dah nenek
tanya pasal Ngah dan Shah. Sudahlah Along tak mahu balik lagi ke sini, Ngah dan
Shah pun macam nak buang abah saja.” Sayu kedengaran suara bapaku.
“Ngah
dan Shah tak buang abah, tapi abah yang lupakan kami. Abah tatanglah isteri
abah tu dan lupakan kami semua seperti selalu. Kami semua dah mati macam ibu
buat abah.” Jawabku agak pedas dan kurang ajar.
“Ngah...
abah minta maaf jika perkahwinan abah ni buat Ngah, Along dan Shah berjauh
hati. Tindakan abah berkahwin lain demi kamu semua. Demi anak-anak abah. Tapi
tak sangka sebab perkara kecil kamu bertiga sanggup menghukum abah sehingga
begini. Along lari ke London dan tak mahu pulang-pulang. Ngah dan Shah pula
asyik melarikan diri dari abah. Tak bolehkah kamu semua maafkan abah dan mama?”
Lirih suara abah di pendengaranku.
Tetapi
disebabkan hati batu, aku bekukan perasaanku. Tidak mahu mendengar rayuannya.
“Sedikit pada abah tapi sangat besar pada kami. Perempuan tu tak berhak
mengusik apa saja barang di rumah ibu terutama gambar ibu. Bila dia buang
gambar ibu bermakna dia sengaja membakar perasaan kami. Kenapa dia nak ganggu
semua harta benda ibu sedangkan dia tidak berhak di situ?” Suaraku mulai
bergetar menahan marah.
“Siapa
kata dia tidak berhak? Dia isteri abah, jadi rumah tu pun hak dia juga.” Abah
masih mempertahankan perempuan itu.
“Hak?
Hak apa? Rumah tu arwah ibu yang beli. Bukan abah yang beli. Jadi dia tidak
berhak walau seinci pun. Kenapa dia sibuk nak mengubah segalanya? Nak tunjuk
dia berkuasa? Tak sedar diri menumpang di rumah ibu.” Makin tinggi nada
suaraku.
“Ngah!
Jaga mulut tu. Abah tak pernah ajar Ngah sebiadap begini. Kenapa Ngah berubah
laku? Mana Ngah yang peramah dan taat pada kedua ibu bapanya?”
“Anggap
saja Ngah tu dah mati. Yang ada hanya jasad saja.”
“Ngah...
sampai hati Ngah cakap begitu? Abah tak tahu macam mana nak pujuk Ngah lagi.
Tapi abah harap Ngah sudi maafkan abah dan mama. Abah akan tunggu kepulangan
Ngah dan Shah. Jika Ngah dan Shah masih ada rasa hormat pada nenek, pulanglah.
Pulang untuk nenek walaupun bukan untuk abah.” Pujuk abah buat kali terakhir
sebelum dia memutuskan talian telefon.
Aku
melepaskan sebuah keluhan Telefon ku campakkan ke tepi dan aku membaringkan
tubuhku. Kepala yang sedikit pening ku picit-picit. Hatiku masih panas.
Teringat kembali pertengkaran Along dengan abah setelah tiga bulan abah
berkahwin dengan perempuan itu. Ketika itu kami semua berada di rumah arwah
ibu. Sebenarnya bapaku mempunyai sebuah lagi rumah tetapi dijadikan rumah sewa.
Oleh sebab itu dia membawa pulang perempuan itu ke rumah kami.
“Abah,
tolong tegur mama. Kami semua tak suka mama usik gambar ibu atau apa saja
barang kepunyaan ibu. Tolong sedarkan dia kedudukannya di dalam rumah ni. Dia
hanyalah isteri abah tapi bukan ibu kami. Jadi jangan berlagak nak rampas kuasa
tu.” Agak keras nada suara Along.
“Jangan
kurang ajar, Long! Jaga percakapan bila bercakap dengan abah.” Terjegil biji
mata abah menatap wajah Along.
Aku,
Shah dan Aiman adik bongsuku hanya memerhati adegan tersebut. Perempuan
tersebut telah menghilangkan diri di bilik setelah ‘puas’ membuang potret ibu
yang sekian lama tergantung di ruang tamu. Kenapa hanya potret ibu yang
diturunkan? Kenapa tidak gambar-gambar kami sekali? Pandai sungguh perempuan
itu menyelongkar dan membuang barangan ibu ketika kami tiada di rumah. Along,
aku dan Shah melawat pusara ibu ketika itu manakala Aiman keluar bermain di
ruamh jiran. Hanya tinggal perempuan itu dan abah. Kenapa abah tidak melarang?
Adakah kasih abah pada ibu turut terkubur bersama-sama jasad ibu?
“Bukan
Along sengaja nak kurang ajar tapi mama yang buat Along jadi kurang ajar. Abah
sebagai suami hanya membiarkan saja. Tak bolehkah abah larang mama? Kenapa
gambar ibu, mama buang?”
“Mama
bukan buang, dia hanya turunkan. Nanti bila gambar mama siap, abah akan
letakkan di situ. Ibu dah tiada, jadi elok kita simpan saja gambarnya.”
Penerangan
abah menambah sakitnya hati kami. “Kenapa perlu turunkan? Kalau dibiarkan bukan
mendatangkan kudis. Kalau nak di letakkan sangat gambar mama, letak sajalah.
tapi gambar ibu jangan sentuh. Kami tak suka ada orang luar memandai di dalam
rumah ini.” Mata Along mulai berkaca-kaca. Bila-bila masa saja air jernih yang
bermain di tubir matanya akan gugur.
Along
agak rapat dengan arwah ibu dan dia sering menolong ibu melakukan kerja-kerja
rumah walaupun dia lelaki. Aku satu-satunya anak perempuan keluarga kami juga
rapat dengan ibu. Malah aku mengambil alih tugas memasak sewaktu ibu terlantar
sakit. Kanser payu dara yang dihidapi ibu telah merebak dengan cepat dan tidak
lama selepas itu ibu meninggal dunia.
“Siapa
yang Along kata orang luar tu? Itu mama kamu semua. Sama taraf dengan arwah ibu
kamu. Ingat, abah tak mahu sesiapa lagi menimbulkan masalah pada mama. Terima
dia sebagaimana dia menerima kamu semua. Mama tu baik orangnya dan kamu semua
beruntung dapat penganti ibu kamu.”
“Bukan
pengganti untuk kami. Tapi pengganti untuk abah. Supaya memuaskan nafsu abah.
maklumlah ibu dah lama sakit. Tak sampai tiga bulan ibu meninggal, abah segera
cari ganti. Abah memang pentingkan nafsu dari perasaan anak-anak.” Keras tutur
kata Along. Along benar-benar kecewa dengan sikap bapa.
“Along!
Jangan kurang ajar dengan abah,” kata abah sambil tangannya tinggi di angkat
seolah-olah hendak menampar wajah Along. Seketika kemudian tangan digenggam dan
diturunkan. Abah cuba menahan sabar.
“Tamparlah!
Itu yang abah nak buatkan?” Along memandang tepat ke wajah abah.
“Jangan
cabar, Along. Along sebagai anak yang paling tua sepatutnya menunjukkan contoh
teladan yang baik tetapi abah kecewa, Along gagal bertindak begitu.” Tegang
wajah abah.
“Along
pun kecewa. Kecewa sangat-sangat dengan abah. Tak mengapalah jika abah rasa
arwah ibu tak penting lagi pada abah. Biarlah Along gantung gambar ibu di bilik
Along.”
“Tak
perlu buat begitu sebab mama dah buangkan gambar tu dalam tong sampah pagi
tadi. Mama buang sebab bingkai gambar tu jatuh dan pecah. Gambar tu pula
terkoyak. Tadi, lori sampah dah ambil.” Tiba-tiba mama mencelah. Benar-benar
membuatkan kami semua berdiri dan memandang tepat ke arahnya.
Along
yang sedia marah, terus menerkam ke arah mama. Ingin diajar sedikit perempuan
yang membuat hidup kami yang sedia kacau menjadi bilau. Abah segera menghalang
dan tanpa sedar telah menolak tubuh Along. Along jatuh terduduk. Aku segera
mendapatkan Along dan membantunya bangun. Makin menyirap darah kami melihat wajah
bersahaja perempuan itu. Jika tiada abah, pasti lembik perempuan itu kami
kerjakan.
“Along
jangan buat begitu pada mama. Jika Along berkasar juga, abah tak teragak-agak
laporkan pada polis.” Gertak abah.
Along
tersenyum sinis. “Terima kasih abah. Hari ni kami semua dah melihat hati abah
yang sebenarnya. Selepas ni, abah buatlah apa saja mengikut kehendak abah. Kami
tak kan halang atau campur tangan lagi.” Sebaik selesai menuturkan kata-kata itu,
Along mencapai kunci motorsikalnya dan keluar dari rumah meninggalkan abah yang
masih termangu-mangu.
Aku
meraup muka. Kenangan itu mendera perasaanku. Telah lima tahun Along membawa
diri di perantauan selepas pergaduhan tersebut. Along telah berkahwin setelah
tiga tahun berada di sana tanpa memberitahu abahku. Kami hanya mengetahui
berita perkahwinannya melalui Shah yang sering dihubunginya. Shah dan Along
agak rapat, mungkin kerana mereka sama-sama anak lelaki. Lima tahun Along tidak
beraya bersama kami dan bermakna lima tahun juga aku dan Shah membawa diri
ketika Syawal menjelma. Jika abah berhari raya di rumah nenek di kampung, kami
berdua akan beraya di rumah arwah ibu di Bandar. Jika abah beraya di Bandar,
kami pula akan ke kampung. Kini abah di kampung dan kami berdua berada di Bandar.
Shah
masih bersekolah di tingkatan enam atas manakala aku telah pun menamatkan
pelajaranku di universiti. Sekarang aku telah bekerja di salah sebuah syarikat
swasta di Bandar. Abah telah membawa mama dan adik berpindah setelah rumah yang
disewakannya itu dikosongkan, empat tahun yang lalu. Jarang sekali mama
menjejakkan kakinya ke rumah kami lagi. Mungkin tahu kami tidak suka dia berada
di situ. Hati kami masih tercalar dengan perbuatannya. Walau berkali-kali dia
meminta maaf, tetapi hati kami tetap degil dan enggan memaafkannya.
“Ngah!”
panggil Shah sambil mengetuk pintu bilik aku.
Aku
yang tersedar dari lamunan panjang, bangun untuk mendapatkannya. Setelah pintu
bilik di buka, Shah mengajak aku ke ruang tamu.
“Ada
apa? Ngah nak rehatlah. Mengantuk.” Aku beralasan sedangkan mataku tidak mahu
terpejam sejak tadi.
“Marilah
ke depan. Ada seseorang nak jumpa Ngah.”
“Siapa?”
tanya aku kehairanan. Tak mungkin Hamzah bakal tunangku. Dia dah pun pulang ke
kampungnya di Johor.
“Ada
la. Orang yang pasti Ngah rindukan,” jawab Shah sambil tersenyum manis.
Berkerut
dahiku memikirkannya tetapi kaki tetap juga melangkah menuju ke ruang hadapan.
Mulutku terlopong melihat susuk tubuh di hadapanku. Ya, Allah! Benarkah apa
yang aku lihat ini? Hati aku melonjak riang dan tanpa sedar, aku terus memeluk erat
tubuh lelaki di hadapanku. Air mataku begitu murah mengalir saat itu. Shah
hanya tersengih dan begitu juga perempuan di sebelahnya. Perempuan? Siapa
perempuan itu? Pelukanku leraikan dan mataku tertumpu kepada perempuan yang
berdiri di sebelah Shah. Berjubah dan bertudung hitam. Kelihatan anggun
tersenyum kepadaku.
“Ini
Amni, isteri abang.” Terang Along dengan senyum di bibir.
Aku
segera menyalaminya dan kemudian tubuh itu ku rangkul erat. Aku dapat merasakan
perutnya sedikit membusung ke hadapan. Mataku di halakan ke perutnya.
“Berapa
bulan?”
“Dah
masuk lima bulan,” jawabnya dengan sopan.
“Kak
Long akan bersalin di sini?” tanyaku teruja.
“Ya
dan kami bercadang terus tinggal di sini. Kak Long dah habis belajar. Along pun
dah dapat tawaran kerja di sini dengan syarikat yang sama.” jelas Along sambil
memeluk bahu isterinya.
“Baguslah!
Nanti dapatlah Along jadi wakil Ngah masa rombongan Hamzah masuk meminang.” Aku
tersenyum lebar membayangkannya. Tak perlu lagi otakku bersusah payah
memikirkan siapa yang patut berbincang mengenai majlis pertunanganku. Aku tidak
suka jika abah yang membincangkannya. Jika abah datang, bermakna mama pun akan
datang. Suatu hal yang paling hendak aku elakkan.
Along
hanya mengangguk sambil tersenyum. Aku turut
tersenyum.
“Ngah,
kita balik ke rumah nenek.”
Kata-kata
Along membunuh senyumanku. “Perempuan tu ada di sana.” Aku berkata dengan
malas.
“Along
tahu. Along rasa elok kita pulang ke sana dan sambut raya bersama-sama.”
“Along
dah lupa apa yang perempuan tu buat pada kita?” tanyaku beremosi semula.
“Along
tak lupa tapi Along cuba memaafkannya. Ngah dan Shah pun patut berbuat begitu.
Dah lima tahun kita mengabaikan perasaan abah. Kita menzalimi abah dan juga
diri kita sendiri dengan membenci sesuatu yang tidak harus dibenci.” Lembut
tutur kata Along.
Mata
Along yang bening kutatap penuh hairan. Along telah berubah? Tapi kenapa?
“Kenapa
Long? Mudah sangat Long nak maafkannya sedangkan dulu Long yang beria-ia
membencinya.”
“Jika
kita mampu memberi maaf bermakna kita telah meninggikan martabat diri kita. Kenapa
perlu kita membenci dan berdendam sedangkan itu tidak akan ke mana. Tengoklah
keadaan kita. Lima tahun Along berada di perantauan dan cuba melupakan abah.
Along membelakangkan abah dalam semua urusan. Tapi apa yang Along dapat? Hanya
rasa bersalah dan terus bersalah. Nasib baik Along dapat isteri yang banyak
menasihatkan Along tentang tanggungjawab Along terhadap abah. Tak jemu dia
nasihatkan Along walaupun pernah Along marah-marah pada dia. Mungkin berkat doa
dan kesungguhannya, hati Along mulai berubah. Along cuba melihat dari sudut
pandangan abah. Along letakkan diri Along sebagai diri abah. Along bayangkan
perasaannya selama ini. Bila Amni mengandung, baru Along dapat perasaan tu.
Perasaan seorang ayah terhadap anaknya.”
Aku
hanya diam memerhatikan Along yang menggenggam tangan isterinya. Mungkin benar
apa yang Along kata. Along ku lihat banyak berubah dan mungkin juga
perubahannya sedikit sebanyak disebabkan oleh isteri dan anaknya itu.
“Mungkin
Ngah dan Shah tak faham sebab tak merasainya sendiri. Tapi percayalah Ngah. Ngah
sendiri akan merasai hidup berkeluarga setelah berkahwin dengan Hamzah. Ketika
itu Ngah akan faham perasaan seorang ibu atau seorang ayah. Kasih sayang yang
tulus dan ikhlas tidak pernah padam buat anak-anak. Cuma kadangkala situasi yang
berlaku menyebabkan kasih sayang tu terlindung di mata kita. Tetapi ia tetap
ada malah tak pernah berubah pun.” Along terus berhujah.
Aku
memikirkan kata-kata Along. Sukar untuk ku menerimanya buat masa itu. Hatiku
masih menolak keras untuk memberi maaf kepada abah dan mama. Aku pandang wajah
Shah. Shah juga hanya diam membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Kak
Long tentu dah penat. Pergilah berehat di bilik. Ngah nak solat Asar dulu,” kataku
sambil bangun menuju bilikku. Tidak mahu berlama-lama lagi di situ kerana aku
tahu emosiku masih tidak stabil dan sedang bergolak hebat ketika itu. Aku perlu
menenangkan diri. Perlu.
................................................................
Esok, Hari Raya akan
disambut dengan meriah di seluruh Negara. Takbir Raya telah kedengaran di
masjid-masjid dan surau sekitar kediamanku. Perasaan sayu dan pilu menyelubungi
hatiku. Terasa rumah yang kudiami amat kosong dan sepi. Along dan isterinya
telah bertolak dari kelmarin untuk menyambut Hari Raya di rumah nenek. Kini
tinggal aku dan Shah di rumah tersebut. Shah ku lihat sedang asyik menonton
rancangan di televisyen.
“Shah,
perlukah kita mengalah?” tanyaku sambil melabuhkan punggung di sofa
bersebelahan Shah.
Shah
menoleh untuk melihat wajahku. Ada kerutan di dahinya. Mungkin pelik memikirkan
pertanyaanku.
“Ngah
nak balik ke?” tanya Shah tanpa mahu menjawab soalanku.
“Entah!
Tapi hati Ngah rasa tak sedap saja. Macam ada sesuatu yang tak kena.” Aku
berterus terang.
“Perasaan
Ngah saja tu. Tadi Along dah telefon beritahu semua yang ada di sana
sihat-sihat belaka. Tapi nenek asyik tanya pasal kita.”
“Ngah
rindukan keluarga kita yang dulu. Dulu kita buat persiapan raya bersama-sama.
Cat rumah, tukar langsir, mop rumah dan sediakan kuih-kuih raya. Ibu pandai
buat kuih dan tak menang tangan Ngah tolong buatkannya. Ngah ingat lagi, ibu
suka buat kuih tat nenas sebab abah sukakan kuih tu. Ngah pun suka rasa kuih
yang gebu dan nenas yang masam manis.” Aku tersenyum membayangkannya.
“Shah
suka kuih maamur yang ibu buat. Inti dia lain dari yang dijual di kedai. Inti
kacang yang dimasak dengan susu dan gula kemudian digentel, memang istimewa. Saiz
dia pun besar dan sangat sedap. Macam terasa-rasa kesedapannya di tekak Shah.”
Kami
sama-sama tersenyum. Aku mencapai balang kuih maamur yang ku buat mengikut
resepi arwah ibu. Balang ku hulur kepada Shah. Shah mengambil kuih itu dan
memasukkan ke dalam mulut. Terpejam matanya untuk menghayati rasa kuih
tersebut.
“Ngah,
kenapa rasa kuih Ngah tak pernah sama macam yang ibu buat?” tanya Shah setelah
selamat kuih itu melalui tekaknya.
Aku
hanya diam mendengar komen Shah. Memang tidak akan sama kerana air tangan ibu
dan air tangan aku tidak mungkin akan sama. Ibu membuatnya dengan rasa kasih
sayang dan keikhlasan seorang ibu. Hati aku pula penuh rasa benci dan dendam,
Jika ada kasih pun tak mungkin sama dengan kasih ibu. Walau berkali-kali aku
cuba membuat maamur dan tat nenas, aku tetap gagal menemui rasa seperti yang
dibuat ibu.
‘Ibu,
Ngah rindukan ibu. Rindu sangat-sangat,’ bisik hatiku. Dalam diam menitis air
mataku. Cepat-cepat ku seka sebelum terlihat oleh Shah. Tidak mahu dilihat
lemah di hadapan adikku itu.
Kami
terus menonton tanpa kata. Kemeriahan kanak-kanak bermain mercun dan bunga api
di luar, tidak aku hiraukan. Malah tayangan gambar yang aku tonton terasa
kosong. Aku gagal memahami apa yang ku tonton walaupun ketika itu hero
pujaanku, Aaron Aziz yang melakonkannya. Adakah Hari Raya kami kali ini akan
menjadi seperti Hari Raya sebelumnya? Menziarahi pusara ibu di waktu pagi
setelah selesai solat dan kemudian memerap di rumah menonton rancangan yang
disiarkan di televisyen. Hendak ke rumah jiran, terasa segan. Malah ke rumah
kawan-kawan lain juga aku enggan. Hanya Shah yang akan berkunjung ke rumah
kawannya dan aku lebih selesa di hadapan televisyen dengan pintu rumah yang ku
tutup rapat. Enggan menerima tetamu.
................................................
Kawasan perkuburan
dipenuhi ramai pengunjung ketika itu. Jika tidak kerana Hari Raya, pasti kawasan
ini akan terbiar sunyi. Aku dan Shah duduk di tepi pusara ibu. Kami berdua
membacakan surah Yassin untuk ibu. Setelah selesai, air mawar dan bunga-bungaan
kami taburkan.
‘Ibu,
Ngah minta ampun dan maaf. Ngah gagal menjadi kakak yang baik buat adik-adik
Ngah. Ngah masih tak mampu maafkan abah dan perempuan tu. Hati Ngah masih
sakit. Sakit dengan perbuatan perempuan tu. Dia buat abah lupakan ibu dan kami.
Dulu abah kata abah tetap sayang ibu walaupun dia berkahwin dengan perempuan
tu. Tapi kenapa Ngah tak nampak lagi kasih abah pada ibu? Abah lebihkan
perempuan tu dalam segala hal. Pusara ibu pun, abah dah tak kunjungi lagi.
Semua abah buat untuk jaga hati perempuan tu. Ngah tahu perempuan tu cemburukan
ibu sebab ibu lebih cantik dari dia. Kulit ibu putih gebu sedangkan dia berkulit
gelap. Sebab cemburu, dia pecahkan gambar ibu dan buang gambar ibu di dalam
tong sampah. Perbuatan yang sangat biadap dan tidak boleh dimaafkan,’ bisik
hatiku dengan rasa marah yang masih bersisa.
“Ngah!
Jom kita balik.” Shah mencuit lenganku.
Aku
cuma menganggukkan kepala dan mengikut langkahnya keluar dari kawasan itu.
Tiba-tiba aku mendengar bunyi telefon bimbitku. Aku melihat sekilas dan menekan
butang jawab setelah ku lihat nama yang tertera. Aku menjawab salam yang
diberi.
“Ngah
balik segera. Abah kemalangan dan sedang koma.” Suara Along yang cemas
kedengaran di hujung talian.
Aku
terkejut. Seolah jantungku terhenti berdegup. Air mata merembes laju. Tidak
percaya dengan apa yang ku dengar.
“Kenapa
Ngah?” tanya Shah dengan risau.
Aku
menghulurkan telefon kepada Shah kerana aku tidak mampu lagi mendengar apa yang
bakal Along beritahu. Berkerut-kerut dahi Shah mendengar kata-kata Along. Air
mataku mengalir makin laju. Terbayang wajah abah yang redup di ruang mata.
Terngiang-ngiang suara abah merayuku pulang. Teganya hatiku membiarkan seorang
bapa merayu-rayu anak sendiri. Aku seolah-olah tidak berhati perut. Berterusan
menyeksa perasaan abah.
Hatiku
berdoa agar aku diberi kesempatan oleh Allah untuk memohon maaf dari abah. Aku
berdosa dan dosa itu hanya boleh dihapuskan dengan meminta maaf pada empunya
badan. Adakah aku akan berkesmpatan berbuat begitu? Kekesalan mulai menimpa
hati. Jika aku mengikut nasihat Along dan membuang segala egoku, mungkin kini
aku sedang berada bersama-sama abah. Memohon kemaafannya. Sempatkah lagi aku
berbuat begitu?
Shah
menyerahkan kembali telefon kepadaku. Dia mengambil kunci kereta di tanganku
dan mengarahkan aku agar masuk ke kereta. Aku hanya menurut dengan lemah. Shah
memandu pulang ke rumah dan mengarahkan aku bersiap-siap untuk pulang ke
kampung. Tanpa bantahan, aku hanya menurut suruhan Shah. Shah aku lihat lebih
tenang dari diriku sendiri. Tiada air mata yang mengalir di pipinya sedangkan
aku telah karam dalam tangisan penyesalan.
“Ngah,
bawa bertenang. Doakan agar abah selamat dan akan sedar ketika kita pulang.”
“Nak
bertenang macam mana? Jika apa-apa terjadi pada abah, kita akan menanggung dosa
yang amat besar. Dosa menderhakai bapa dan ibu tiri. Shah tak rasakah semua
itu? Atau Shah memang tak ada perasaan?” Marah ku dengan sikapnya yang ku rasa
tidak peka dengan keadaan.
“Habis
tu Ngah nak suruh Shah buat apa? Nak menjerit, hempuk kepala atau nak menangis
hingga bengkak mata? Semua tu tak guna Ngah. Tak guna! Yang patut kita buat
sekarang, doakan keselamatan abah. Jika Ngah sayangkan abah, berhenti berfikir
yang bukan-bukan dan tolong doakan untuk abah.” Tegas sekali suara Shah.
Aku
terdiam. Tidak pernah Shah bersuara seperti itu kepadaku sebelum ini. Tangannya
pantas mengambil beg di tanganku dan membawanya ke kereta. Aku hanya mengikut
dan masuk ke tempat pemandu.
“Ngah
duduk sebelah. Biar Shah yang pandu. Ngah tak sesuai memandu dalam emosi yang
tak stabil.”
Sekali
lagi aku hanya akur dengan suruhannya. Shah memandu dengan berhati-hati. Kami
tiba di kampung setelah empat jam memandu. Kami terus ke hospital di mana abah
di tempatkan. Kaki ku rasa amat berat untuk melangkah. Terasa setiap langkah
membawa beban dosa yang maha berat. Menyedari langkahku yang lambat, Shah
segera memegang tanganku dan mempercepatkan langkahnya. Aku terpaksa membuka
langkah bagi menyaingi langkah Shah.
Apabila
tiba di hadapan wad ICU, kami tidak dibenarkan masuk. Ramai yang berkumpul di
situ. Aku mendekati mereka dan menyalami seorang demi seorang. Langkahku
terhenti di hadapan mama. Teragak-agak untuk ku menghulurkan tangan kepadanya.
Hatiku masih berbelah bagi. Tiba-tiba mama memelukku dengan tangisannya. Aku
hanya berdiri kaku.
“Ngah,
maafkan mama. Mama sedar mama dan lakukan kesalahan yang besar pada Ngah dan
semua anak abah. Mama tak seharusnya cemburu pada arwah ibu Ngah. Sebab
cemburu, mama bertindak bodoh. Mama dah terima pengajarannya. Mama gagal dapat
kasih sayang yang sepatutnya mama dapat. Tapi mama tak salahkan kamu semua. Kamu
berhak marah atas apa yang mama buat. Mama dah maafkan kamu semua. Mama harap,
Ngah dan Shah maafkanlah abah. Abah sangat sayangkan ibu Ngah hingga kerap kali
memanggil mama dengan nama ibu Ngah. Cinta dia pada ibu Ngah tak pernah padam. Abah
tak salah dalam soal ni. Apa yang abah buat sekadar menjaga hati mama agar
tidak terasa tersisih dalam keluarganya. Abah terlalu baik, Ngah.”
Betulkah
apa yang aku dengar? Mama menyesal dan meminta maaf. Betulkah cinta abah masih
utuh pada ibu? Tidakkah terhapus cinta itu dengan kehadiran mama? Air mataku
makin lebat mengalir. Aku dapat merasakan tangan mama menyeka alirannya.
“Mama,
maafkan Ngah.” Aku tunduk menyalami tangannya.
Mama
tersenyum dan sekali lagi tubuhku dirangkulnya. Aku cuba tersenyum tetapi
terasa hambar senyumanku itu. Rangkulan di badanku dilepaskan. Shah turut
meminta maaf kepada mama. Tubuh Shah turut dipeluk oleh mama. Dalam sedih aku
terasa gembira. Seolah keluarga kami bersatu semula. Mataku terarah ke pintu
wad. Hatiku masih rawan memikirkan nasib abah yang masih tidak sedarkan diri.
“Ngah,
kalau Ngah nak masuk dengan Shah dah boleh. Tadi doktor dah izinkan,” kata-kata
Along membuatkan aku segera melangkah ke pintu wad.
Shah
mengekori langkahku duduk bersebelahan abahku yang terlantar di katil. Aku
meraih tangan abah lalu kucium. Air mataku menitis lagi.
“Abah,
Ngah datang dengan Shah. Tolonglah sedar abah supaya kami berpeluang untuk
meminta maaf pada abah. Kami sedar yang kami berdosa pada abah. Tanpa keampunan
abah, hidup kami tidak aman. Selama ini hati Ngah dibutakan dengan rasa marah
dan dendam. Ngah gagal memahami hati abah. Ngah tuduh abah dah lupakan ibu sedangkan
cinta abah pada ibu tetap teguh. Mama dah beritahu tadi, yang tindakan abah hanya
sekadar menjaga hati mama. Adakah abah tak cintakan mama? Adakah hanya rasa
tanggungjawab menyebabkan abah bertahan dengan semua ni? Kami membenci abah,
tapi abah masih tetap sayangkan kami. Ngah menyesal abah. Bangunlah abah...
bangunlah.”
Shah
yang berada di sisiku turut memegang tangan abah. Air matanya turut laju
membasahi pipi.
“Abah,
Shah juga minta maaf. Shah cuba membenci abah tapi makin Shah cuba, makin sakit
diri Shah. Shah sedar, Shah tak mampu membenci kerana Shah sangat sayangkan
abah. Tapi Shah kesal kerana mengikut nafsu marah dan gagal menyedarkan Ngah
agar jangan membenci abah. Syukurlah Along dah sedar dan tak berdendam lagi.
Kini Shah harap abah sedarlah. Baliklah kepada kami kerana kami perlukan abah
untuk melengkapkan keluarga kita. Abah, mama, Along, kak Long, Ngah, Shah dan
adik. Kita adalah keluarga. Abahlah ketuanya. Jika tiada ketua, pincanglah
keluarga kita. Bangunlah abah. Bangun dan jadilah ketua yang membanggakan kami
semua.”
Sebelah
tanganku memeluk bahu Shah dan sebelah lagi menggenggam tangan abah. Air mata
kami bagaikan bergabung dan mengalir laju. Tiba-tiba aku merasakan abah
membalas genggaman tanganku, walau matanya masih tertutup rapat. Aku melihat
wajah Shah.
“Shah,
abah genggam tangan Ngah. Abah dah sedar Shah,” kata ku dengan gembira.
Shah
turut melihat ke arah tanganku. Aku melepaskan tangan abah untuk memberi
peluang kepada Shah. Tangan Shah turut digenggam oleh abah. Hati kami terasa
gembira dengan perkembangan itu. Shah segera memanggil jururawat bertugas untuk
memaklumkan hal tersebut. Jururawat itu datang memeriksa dan kemudian bergegas
mendapatkan doktor. Kami diarahkan untuk keluar sebentar setelah doktor tersebut
tiba. Doktor ingin melakukan pemeriksaan lebih teliti dengan perkembangan
tersebut.
Berita
itu kami khabarkan kepada semua yang berada di luar wad. Masing-masing terus
berdoa agar abah akan sedar dan selamat dari keadaan koma. Sebenarnya abah
telah dilanggar ketika hendak ke masjid bagi menunaikan solat Hari Raya.
Motorsikal yang dinaikinya dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu laju oleh
seorang anak muda yang baru memperoleh lesen.
Setelah
menunggu beberapa ketika, kami dikhabarkan bahawa abah telah sedar sepenuhnya.
Kami mengucap syukur ke hadrat Ilahi. Setitis cahaya mulai menyinari hidup kami
di Aidil Fitri. Kami dibenarkan berjumpa dengan abah dan abah kelihatan gembira
kerana keluarganya telah bersatu semula. Moga ketenangan akan kami peroleh.
Moga kedamaian milik kami sekeluarga. Moga cahaya di Aidil Fitri akan menyatukan
hati-hati kami semula. Insya Allah...
p/s Al Fatihah untuk
arwah ibu, bapa, abang dan kakak ku. Moga Allah merahmati dan moga berbahagia di
sana.
( Sebahagian kisah ini
adalah kisah benar. Aku berharap cahaya Aidil Fitri menyinari dan menyatukan
hati-hati kami kembali)
1 ulasan:
menangis bace cerita ni....al fatihah buat keluarga aunty , okey....:)
Catat Ulasan