...............................................................................................................
Bab 1
Razif
meneliti penampilan dirinya. Berpakaian serba hitam. Rambut tersisir kemas. Cukup
bergaya dan menawan. Sesuai dengan umurnya yang telah mencecah tiga puluhan. Masih
solo, masih teruna ‘trang tang-tang’. Bukan tiada siapa yang mahu, tetapi dia
yang terlebih perasan hingga sukar mencari pasangan. Nak buat macam manakan? Senah
Senget yang setengah gila minatkan dia pun tidak dilayan, inikan pula yang tidak
gila. Itulah Razif, anak kedua Mak Cik Sopiah yang agak cerewet dan memilih.
Pewangi
badan disembur sebagai pelengkap dandanan. Kunci kereta dicapai lalu dia
melangkah keluar dari bilik. Razif menyanyi kecil walaupun sedar suaranya
ibarat katak memanggil hujan. Nyanyiannya terhenti tiba-tiba. Bukanlah kerana
terlupa lirik tetapi hairan dan terkejut sahaja. Gara-gara emaknya tidak pernah
berkelakuan sedemikian. Buang tabiatkah dia? Terhendap-hendap di tepi tingkap
seperti sedang mengintip sesuatu.
‘Mak
skodeng siapa tu?’ Bisik hati Razif.
Jika
hendak dikatakan mengendap jiran sebelah, setahunya rumah sewa di sebelah rumahnya
itu masih tidak berpenghuni. Jadi apa yang menarik minat emaknya? Tidak mungkin
Pak Ishak kerana emaknya tidak suka dikaitkan dengan lelaki itu.
“Mak!”
Tiada respon. Begitu asyik Mak Cik
Sopiah memandang ke luar hingga tidak sedarkan kehadiran Razif di belakangnya.
“Hah! Mak buat apa tu?” sergah Razif
membuatkan Mak Cik Sopiah terlompat ke tepi. Lompatannya tidak ubah seperti
katak tua bersaiz besar, membuatkan Razif ketawa.
“Kurang
asam punya anak! Nasib baik mak tak ada penyakit jantung. Kalau tak, Razif kena
buat kenduri arwah untuk mak,” ujar Mak Cik Sopiah sambil mengurut dada. Terasa
melayang semangatnya apabila disergah begitu.
Razif
berhenti ketawa dan tersengih tanpa rasa bersalah.
“Hah!
Mak tengah skodeng Pak Ishakkan? Daripada mak simpan rasa, lebih baik mak luahkan
saja. Mana tahu, terbuka hati Pak Ishak nak beristeri tua,” usik Razif.
“Amboi!
Tak sayang mulut. Seronok sangat padankan mak dengan Pak Ishak. Razif
betul-betul nak jadi anak tiri dia? Nanti kalau dia jadi bapa tiri, tentu Senah
jadi adik tiri Razif. Sudah pasti dia akan ikut Razif ke mana saja sebab dah
jadi abang dia. Nakkah macam tu?”
“Tak
nak...tak nak. Selisih malaikat empat puluh empat...huhuhu.”
Kepala
Razif tergeleng-geleng apabila teringatkan Hasnah atau Senah Senget. Hasnah
dipanggil senget kerana kadang-kadang dia mengalami masalah mental atau
gangguan jiwa. Senah Senget sering mengekor dan mengajak Razif berkahwin
dengannya, membuatkan Razif tidak senang duduk.
“Kalau
tahu tak nak, jangan usik mak dengan Pak Ishak lagi.”
“Baiklah.
Razif janji tak usik mak dengan Pak Ishak lagi.” Razif mengangkat tangan seolah
berikrar.
Mak
Cik Sopiah tersenyum senang. Dia dan anak-anak sering bergurau dan selalunya
dia tidak ambil hati atas gurauan anak-anaknya. Padanya itulah perencah
kemesraan mereka dan pengerat kasih sayang. Sejak kematian suaminya sepuluh
tahun lalu, dia terpaksa mengambil alih tugas membesarkan anak-anak secara
sendirian.
“Apa
yang mak tengok sampai tak sedar Razif panggil?” soal Razif sambil memanjangkan
lehernya untuk melihat apa yang menjadi tarikan emaknya sebentar tadi.
“Cuba
Razif tengok gadis yang pakai baju pink
tu. Mak rasa dia sesuai dengan Razif.”
Razif
melihat sekilas kelibat gadis berbaju merah jambu yang ditunjuk oleh Mak Cik
Sopiah. Bukanlah dia anti perempuan, tetapi sebenarnya Razif tidak menyukai
warna pakaian gadis itu. Warna merah jambu adalah warna yang dibencinya.
“Perempuan
macam tu mak nak buat menantu? Tak payahlah mak. Bagi free pun Razif tak nak.”
“Amboi,
sombongnya! Free pun tak nak, ya?
Baiklah, mak doakan Razif bertemu jodoh dengan dia nanti,” ujar Mak Cik Sopiah
separuh geram. Sakit hatinya apabila Razif berkata begitu. Seolah diri Razif
sangat sempurna.
“Eh!
Mak ni. Main doa ikut suka hati. Razif tak naklah. Mak pun tahu pendirian Razifkan?
Kalau boleh Razif nak perempuan yang sentiasa patuh dan taat pada suami dan
dapat menjaga mak. Biar tak cantik tapi pekerti dia cukup cantik dan sempurna.”
Razif
mengulangi pendiriannya. Tetapi emaknya bagaikan tidak memahami. Pada Razif, mencari
isteri bukan seperti mencari ikan di pasar. Hendak mencari ikan pun kena pilih
juga. Bukan main borong sahaja. Silap-silap terbeli ikan yang busuk di kepala.
Perempuan pun macam ikanlah juga. Kena pilih, kena tengok. Bukan main sambar sahaja.
Takut terpilih yang sudah membusuk atau sudah di robek kucing peliharaan.
Sememangnya
Razif seorang yang agak cerewet. Tapi bukan salah Mak Cik Sopiah bila Razif jadi begitu. Semuanya salah perempuan di luar
sana. Bukan lelaki, bukan pondan. Tetapi PEREMPUAN! Semuanya telah jelas. Bukti
pun ada. Akhbar yang dibaca semalam menyiarkan laporan kajian yang mendapati seramai
39% wanita di Malaysia bersikap curang pada pasangan. Tinggi peratusannya.
Malah menduduki tempat ke tiga di dunia! Hebat bukan kecurangan perempuan?
Siaran radio pun hangat membicarakan soal itu.
“Mak
tak fahamlah dengan Razif ni. Rahayu, anak Ustaz Zaki yang baru pulang dari
Mesir tu bukannya calang-calang orang. Lulusan universiti. Ustazah pula tu.
Kalau Razif nak, boleh mak pinangkan,” kata Mak Cik Sopiah berharap.
“Razif
tak mahu orang hebat macam tu. Takut apa yang berlaku pada Abang Hamzah, jadi
pada Razif pula. Bekas isteri Abang Hamzah dulu pun macam tu. Tengok apa yang
jadi? Kena tangkap basah dengan suami orang.” Razif mengingatkan Mak Cik Sopiah
tentang sepupunya itu.
“Takkan
semua macam Najwa. Mungkin satu dalam seribu. Razif tak boleh samakan Rahayu
macam tu. Mak yakin Rahayu budak baik dan boleh jadi isteri yang solehah.”
“Mula-mula
memanglah nampak baik. Kak Najwa dulu pun baik. Pijak semut pun tak mati. Tapi
dalam senyap boleh main kayu tiga dengan suami orang. Lepas Abang Hamzah buat
umrah dan berdoa di Mekah, semuanya terbongkar. Selama ni bila Abang Hamzah out station, dia bawa masuk jantan lain.”
Razif
mencapai akhbar yang dibelinya kelmarin lalu ditunjukkan kepada emaknya.
“Cuba
mak tengok surat khabar ni. Peratus perempuan curang, tinggi di Malaysia. Sebab
tu nak pilih isteri kena hati-hati. Takut terpilih buku tebu. Jangan kata
manis, makan pun tak boleh.”
Mak
Cik Sopiah mencebikkan bibirnya. “Mak tak yakin dengan kajian ni. Apa bukti
kata benda ni betul? Tak ada pun orang datang tanya mak soal ni masa mereka
buat soal selidik.”
“Aduh
mak! Bukan semua orang mereka tanya. Soal selidik ni berdasarkan sejumlah kecil
penduduk di Malaysia,” jelas Razif sambil menggeleng kepala. Kadangkala Mak Cik
Sopiah boleh tahan loyar buruknya.
“Jadi
kajian tu tak boleh pakailah sebab mereka tak tanya semua orang termasuk mak.
Macam mana nak tentukan wanita curang sebanyak tu? Mereka sukat pakai apa?
Takkan sukat pakai gantang, macam beras.”
“Entahlah
mak. Kalau kita bahaskan benda ni pun tak selesai. Pokok pangkalnya, ramai
perempuan yang curang tapi tak termasuk mak. Mak tetap setia dengan arwah abah
hingga akhir hayat abah. Kalau boleh, Razif nak cari isteri seperti mak.
Sempurna!”
“Mak
tak sempurna, Razif. Banyak kekurangan mak. Mak harap Razif jangan terlalu
memilih. Isteri boleh dididik. Yang penting diri Razif sendiri. Mantapkan
keimanan Razif.” Mak Cik Sopiah cuba menyedarkan Razif.
“Mak,
jika satu hari nanti Razif bertemu dengan gadis yang memenuhi syarat, Razif
akan beritahu mak. Buat masa sekarang, mak jangan risaukan sangat soal jodoh
Razif. Lagipun Razif bukannya tua, baru 32 tahun.”
“Tak
tua lagi? Razman dulu umur baya Razif ni dah ada anak dua. Jika tak kerana
bercerai dengan Hanis dulu, mungkin anak dia dah bersusun papan sekarang.” Mak
Cik Sopiah mengingati anak sulungnya, Razman.
“Sebab
tulah Razif tak mahu kahwin terburu-buru. Umur belum masuk 40 tahun dah
bercerai-berai. Yang jadi mangsa anak-anak.”
Mak
Cik Sopiah hanya menggelengkan kepala. Matanya sempat mengerling Razif yang
sedang memusingkan kunci kereta di hujung jari.
“Mak,
Razif nak ke Pasar Mini dan jumpa Azmi sekejap. Mak nak pesan apa-apa tak?”
“Hrmm...
Razif belikan telur sepapan dan kicap.”
“Lain?”
“Itu
sajalah. Nanti jangan balik lewat sangat. Mak nak guna telur untuk buat kek.
Rosnah nak bawa kek ke sekolah esok.”
Razif
menganggukkan kepala dan meninggalkan Mak Cik Sopiah keseorangan di rumah. Mak
Cik Sopiah telah lama menjanda setelah kematian suaminya sepuluh tahun yang
lalu. Kini Mak Cik Sopiah tinggal bersama-sama Razif dan anak bongsunya Rosnah.
Razman pula menetap di Kedah setelah berkahwin semula dengan perempuan di sana.
2 ulasan:
Okyyyyy jeee na min !!!
Bestnya nakkkkk lagiiii
Catat Ulasan