Irdina terbangun setelah dikejutkan oleh
bunyi jam loceng. Dia memasuki bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk. Seusai solat,
Irdina mengejutkan Laila dan Balkis yang masih diulit mimpi.
“Wei! Bangun. Nanti terlepas Subuh
pula,” gerak Irdina tetapi tidak dipedulikan oleh mereka berdua. Berkali-kali
Irdina memanggil tetapi tetap tidak berkesan. Akhirnya Irdina bangun dan
menutup tubuh mereka berdua dengan selimut.
“Innalillahiwainnailaihirojiun.
Daripada ALLAH mereka datang kepada ALLAH mereka dikembalikan,” kata Irdina
menyebabkan Laila dan Balkis bingkas bangun.
“Wei! Kami belum mati lagilah.”
Laila menggosok matanya.
“Solat itu lebih baik daripada tidur,” tegas
Irdina.
“Aku tahulah,” kata Laila.
“Kalau tahu, bangunlah.”
Laila dan Balkis bangun dan menuju
ke bilik air. Rumah itu mempunyai dua bilik air. Satu di belakang dan satu lagi
di bilik Irdina yang merupakan bilik utama.
“Kan bagus macam tu. Bila kita
tidur, syaitan mengikat kita dengan tiga ikatan. Bila kita bangun berzikir pada
ALLAH, maka akan lepas satu ikatan. Jika kita berwuduk, maka akan lepas lagi
satu ikatan dan bila kita solat maka terlepaslah kita dari ketiga-tiga ikatan
tersebut,” terang Irdina setelah Laila dan Balkis berada di bilik itu semula.
“Baiklah ustazah.” Balkis ketawa
kecil.
Laila juga turut ketawa dan menyebabkan
Irdina yang mulanya serius turut ketawa. Mereka memang gemar bergurau dan
saling tegur menegur antara satu sama lain.
Mereka bersiap-siap untuk ke tempat
kerja setelah menunaikan solat. Laila menaiki keretanya sendiri dan keluar
lebih awal daripada Irdina dan Balkis. Ketika Irdina dan Balkis keluar dari
rumah, mereka ternampak jiran sebelah kiri rumah itu yang belum sempat dikenali
mereka.
“Assalamualaikum,” Irdina menyapa
wanita yang berumur lewat 30an itu.
Salamnya dijawab tetapi wanita itu
masih tidak memandang wajah Irdina. Irdina cuba menegurnya buat kali kedua.
“Kak, apa khabar? Saya Irdina dan
ini Balkis.”
“Hrmm...” jawab wanita itu acuh tak
acuh sambil tangannya membuka pintu kereta.
“Apa nama kakak?” tanya Irdina
lagi.
“Zetty. Aku tak ada masa nak layan
kamu.” Agak kasar jawapan yang diberikan oleh Zetty.
Zetty masuk ke dalam keretanya dan
berlalu pergi. Irdina pandang Balkis. Balkis pandang Irdina. Irdina kerut muka,
Balkis angkat bahu dan tersengih.
“Maaflah jika isteri abang agak
kasar tadi,” ujar seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di tepi kereta mereka.
“Tak mengapa,” jawab Irdina sopan.
“Nama abang, Bakar tapi orang
panggil Burn. Adik, panggillah Abang Burn,” terang lelaki itu sambil tersenyum
kepada mereka. Dia cuba menyuakan tangan untuk bersalam tetapi tidak disambut
oleh Irdina dan Balkis. Akhirnya dia menarik kembali tangannya, kehampaan.
“Saya Irdina dan ini Balkis, sepupu
saya.”
“Manis nama tu semanis orangnya.”
Bakar senyum meleret memandang wajah Irdina.
“Abah! Jomlah cepat. Nanti lambat
adik nak ke tadika.” Seorang kanak-kanak menarik seluar Bakar.
“Nantilah! Abah nak sembang dengan
kakak ni kejap.”
Irdina melihat jam dan memasuki
keretanya. Balkis telah duduk di kerusi sebelah pemandu.
“Janganlah pergi lagi. Abang nak
kenal adik berdua. Minggu lepas abang sekeluarga balik kampung. Itu yang tak
kenal penghuni rumah ni. Dah lama abang nak sapa adik-adik tapi tak
berkesempatan. Masing-masing sibuk dengan kerja.” Bakar cuba menghalang.
“Maaflah Abang Burn. Kami dah
lambat ni. Bila lapang kita berbual lagi.”
Irdina memasukkan gear dan memandu
keluar daripada kawasan itu. Matanya sempat mengerling Bakar yang
melambai-lambaikan tangan kepada mereka.
“Aduh! Yang suami terlebih ramah
pula.” Rungut Irdina dan disambut tawa Balkis.
“Biasalah Kak Irdina. Lelaki mana
tak terpikat tengok perempuan berdahi licin macam Kak Irdina.”
“Petang nanti aku nak ke kedai
perabot. Nak beli katil dan tilam. Kau nak ikut tak?” tanya Irdina tanpa
memberi respon ulasan Balkis.
“Okey, saja. Tapi aku rasa nak guna
tilam toto yang ada tu,” kata Balkis.
“Terpulang pada kau.”
Mereka kemudiannya tiba di tempat
kerja dan memulakan kerja seperti biasa. Petang itu, selepas waktu pejabat
Irdina dan Balkis terus singgah di kedai perabot untuk membeli katil dan tilam.
Setelah selesai urusan tersebut, mereka melangkah ke kereta untuk pulang.
Balkis terperasan yang Irdina asyik memegang pipi sendiri.
“Kenapa Kak Irdina?” tanya Balkis.
“Aku rasa sakit gigilah.
Berdenyut-denyut dibuatnya,” jawab Irdina sambil menghidupkan enjin kereta.
“Elok Kak Irdina pergi klinik gigi
buat pemeriksaan.”
“Jumpa doktor gigilah perkara yang
aku tak gemar.”
“Takkan nak biar sakit tu?”
“Aku makan penahan sakitlah nanti.”
“Jangan amalkan makan ubat penahan
sakit. Lebih baik jumpa doktor. Takkan Kak Irdina takut?” Balkis ketawa kecil.
“Aku tak takut cuma tak gemar
saja.” Irdina mempertahankan diri. Malu untuk mengaku yang dia sebenarnya takut
berjumpa doktor gigi.
“Kalau begitu, pergilah klinik
gigi. Jangan cakap saja,” cabar Balkis.
Irdina tersenyum kelat. Dia
terpaksa menurut cadangan Balkis kerana sakit giginya agak mengganggu. Mereka
tiba di rumah dan Irdina terus memasuki biliknya. Dia mandi dan berehat sambil
menanti ketibaan perabot yang dipesan. Lewat petang itu, barulah perabotnya
tiba.
“Aku ingat Kak Irdina nak beli
katil dan tilam saja. Rupanya beli dengan set sofa sekali.” Laila duduk di atas sofa sambil
menguji keanjalannya.
“Aku rasa kosong sangat ruang depan
ni. Sebab tu aku beli.”
“Baguslah. Bolehlah lepak sambil
tengok tv di sini.”
“Hari ni aku nak pergi klinik gigi. Siapa nak
teman?”
“Malam ni aku dah janji dengan
Irfan nak keluar beli perkakas dapur.” Laila beralasan.
“Aku pun nak jumpa Ariff.” Balkis
turut memberi alasan.
Irdina tahu bahawa dia terpaksa pergi
bersendirian ke klinik gigi. Setelah melakukan solat maghrib, Irdina
bersiap-siap untuk ke klinik gigi. Dia tidak mengambil makan malam kerana
kesakitan melunturkan seleranya. Dia memandu sendirian ke klinik gigi dan
memarkirkan kereta berhampiran klinik itu. Itulah pertama kali dia menjejakkan
kaki ke klinik gigi itu. Nasibnya baik kerana tidak ramai pelanggan di klinik
ketika itu.
Irdina mendaftarkan namanya di
kaunter. Menunggu dengan sabar gilirannya sambil membaca majalah yang terdapat
di rak. Pembantu klinik memanggil nama Irdina seketika kemudian. Irdina masuk
ke bilik rawatan dan duduk di atas kerusi khas untuk pemeriksaan gigi. Matanya
meliar ke arah peralatan yang terdapat di ruang itu. Kecut perutnya. Semua rasa
bercampur baur. Kaki dan tangannya mulai sejuk dan menggigil. Ingin bangun dan
lari, terasa malu.
“Irdina Ilmuna, awak takut?” tanya
doktor lelaki yang memakai penutup mulut.
“Ya… err… maksud saya tak.” Irdina,
gugup.
Doktor itu ketawa kecil.
“Awak nak palam atau cabut gigi?”
tanya doktor itu sambil merenung wajah kelat Irdina.
“Saya tak pasti. Tapi saya rasa sakit
sangat gigi sebelah atas.” Irdina menunjukkan arah gigi itu.
Doktor memeriksa gigi Irdina dengan alat di
tangannya.
“Aduh!” Irdina mengaduh apabila
doktor menyentuh bahagian yang bengkak.
“Saya tak boleh buat apa-apa hari
ni. Gusi awak dah bengkak dan ada nanah di dalamnya. Saya akan beri ubat dan
awak perlu makan untuk hilangkan bengkak serta nanah tu. Minggu depan awak
perlu datang semula ke sini.”
Doktor itu menarik penutup
mulutnya.
“Awak?” terkejut Irdina melihat
wajah doktor itu. Semangatnya bagaikan hilang.
“Kenapa? Tak percaya?” tanya doktor
itu sambil tersenyum.
Mata Irdina terpaku melihat
senyuman doktor itu. Air liur yang ditelan menjadi kelat. Terasa ingin ghaibkan
dirinya ketika itu juga. Tetapi apakan daya, dirinya bukan jin atau halimuman
yang boleh menghilang sekelip mata.
“Saya minta maaf jika kelakuan saya
sebelum ini menyakitkan hati doktor,” ujar Irdina, sopan. Dia tahu dia perlu
berbuat baik kerana dia masih perlu ke klinik itu untuk rawatan seterusnya.
“Lain kali jangan sombong sangat.
Kalau buat salah, cepat-cepat minta maaf.”
Razif masih merenung wajah Irdina.
Dia terperasan lesung pipit yang terdapat di kedua-dua belah pipi Irdina ketika
tersenyum. ‘Manis pula bila tersenyum,’ bisik hati Razif.
“Baiklah. Sekali lagi saya minta
maaf,” ujar Irdina yang masih bersandar di kerusi. Rasa tidak selesa mencengkam
hati.
“Saya pun minta maaf kerana
bersikap kasar pada awak hari tu.” Razif tersenyum. Dia perlu bersikap
profesional apabila bertugas. Lebih-lebih lagi, ketika itu Irdina adalah
pelanggannya.
Irdina mengangguk. Matanya masih
tepat memandang wajah Razif.
“Awak perlu menjaga kebersihan
mulut dan gosok gigi dua kali sehari. Awak boleh gunakan flos untuk keluarkan
sisa makanan di celah gigi. Tingkatkan pengambilan kalsium dan vitamin C.
Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan kopi.” Nasihat Razif tentang
penjagaan gigi.
‘Kenapalah banyak sangat pesan Mamat
ni? Rasanya dia yang gedik sekarang ni,’ rungut Irdina di dalam hati.
“Awak dengar tak ni?” tanya Razif
setelah melihat Irdina seperti acuh tak acuh.
“Saya dengar tuan doktor.” Perlahan
jawapan Irdina.
“Jangan dengar saja, amalkan.”
‘Banyak songeh betul dia ni,’ bisik
hati Irdina.
“Dapatkan pemeriksaan doktor gigi
dua kali setahun dan sebelum mengandung. Awak mengandung tak?” Razif sengaja
hendak mempermainkan Irdina.
“Kahwin pun belum, nak mengandung
macam mana?” jawab Irdina, geram.
“Oo… tak kahwin lagi! Ingatkan dah
kahwin. Hari tu siap nak panggil suami lagi.” Razif tersenyum mengejek.
“Dah habis ke belum? Kalau dah
habis saya nak balik.” Irdina cuba untuk bangun.
“Tunggu sekejap.” Razif sengaja
menahan Irdina daripada bangun. Entah kenapa, hatinya terasa ingin berbual
lebih lama dengan Irdina.
“Apa lagi?” Irdina mulai marah.
“Boleh tak awak jangan marah-marah.
Awak perlu datang minggu depan dan minggu berikutnya.”
“Kenapa pula?” Irdina cuak.
“Minggu depan saya nak cabut gigi
yang rosak tu dan minggu berikutnya saya nak tampal gigi awak. Jika tak tampal,
gigi tu akan rosak teruk. Awak perlu jaga gigi dengan lebih baik. Jika tak,
gigi awak akan rosak lebih banyak lagi.”
Irdina menelan liur mendengar
kata-kata Razif. Perasaannya antara mahu percaya dengan tidak kata-kata Razif. ‘Jangan-jangan
doktor ni nak balas dendam pada aku tak? Sebab tu dia takut-takutkan aku,’
bisik hati Irdina.
“Jangan ingat saya nak balas dendam
pada awak. Walaupun musuh saya, tapi saya kena rawat juga sebab itu adalah
tugas doktor,” Razif menegakkan kerusi yang di duduki Irdina.
‘Macam tau-tau pula dia ni,’ hati
Irdina berbisik lagi.
“Awak boleh pergi dan nanti ambil
ubat di kaunter. Makan bagi habis ubat tu jangan buang,” pesan Razif.
Irdina tersenyum dan mengucapkan
terima kasih kepada Razif. Dia melangkah keluar dan menunggu di kaunter ubat.
Setelah membuat bayaran dan mengambil ubat, Irdina pulang ke rumah.
Apabila tiba di rumah dia mendapati
Laila dan Balkis masih belum pulang. Dia menuju ke dapur untuk mengambil air.
Ubat yang dipesan oleh Razif tidak dimakannya. Dia lebih rela menanggung sakit daripada
menelan ubat terutama jenis tablet. Setelah itu dia masuk ke bilik untuk melakukan
solat isyak.
“Aduh! Berdenyutnya rasa.”
Irdina membaringkan diri di atas
katil. Matanya dipejamkan. Suasana menjadi sunyi dan sepi. Tiba-tiba Irdina
dikejutkan oleh bunyi yang kuat dari arah luar rumah. Bunyi bising suara
bertengkar. Irdina menyelak sedikit langsir tingkap. Dia dapat melihat beberapa
orang lelaki dan perempuan sedang berdiri mengerumuni sebuah kereta. Disebabkan
mereka betul-betul berada berhadapan pintu pagar rumahnya, jadi segala
percakapan mereka dapat didengar dengan jelas.
“Siapa suruh kau tak beri isyarat
nak belok?” soal seorang pemuda yang masih memakai topi keledar.
“Aku nak masuk kawasan rumah aku
tak perlulah bagi isyarat. Mata kau letak di mana? Salahkan aku pula,” marah
perempuan yang merupakan pemandu kereta Honda City itu.
“Kau yang salah. Buat apa aku nak
bayar kau. Kau yang patut bayar,” balas penunggang motorsikal.
Keadaan bertambah kecoh dengan
campur tangan beberapa orang lelaki yang berada di situ. Irdina dapat melihat
Laila yang baru pulang, terpaksa memberhentikan keretanya agak ke belakang.
Laila melihat kejadian itu buat beberapa ketika dan kemudian masuk ke rumah.
Irdina keluar daripada biliknya dan menyapa Laila.
“Laila, kenapa mereka tu?” tanya
Irdina.
“Bergaduh sebab masing-masing tak
mahu mengaku salah. Yang tengok bukan nak leraikan, jadi batu api pulak.
Sekarang ni tengah tunggu polis datang. Aku rasa lambat lagilah baru nak
selesai masalah mereka,” jawab Laila.
Irdina mengeluh sendiri. Gusinya
terasa berdenyut-denyut. Dia memegang pipinya sambil menahan sakit.
“Kenapa Kak Irdina?” tanya Laila
kehairanan.
“Sakit gigi, berdenyut-denyut. Rasa
seram sejuk macam nak demam. Tadi doktor tu kata ada nanah dalam gusi aku.”
“Dah makan ubat?”
“Belum, kejap lagi aku makan.”
Irdina sekadar menyedapkan hati Laila. Hakikatnya dia tidak mahu menelan
sebarang ubat tablet kecuali jika ubat jenis cecair. Itupun yang manis sahaja.
Yang pahit dia tidak akan telan.
“Ubat demam tak ada ke?”
“Tak ada. Tadi tak demam pun,”
jawab Irdina.
“Kak Irdina nak beli ubat demam
ke?” tanya Laila.
“Tak mengapalah. Mungkin sekejap lagi,
kurang sikit sakitnya.”
“Betul? Kalau Kak Irdina nak, aku
boleh pergi belikan ubat demam.”
“Tak payahlah. Aku tak apa-apa.”
“Kalau macam tu aku minta diri
dulu. Nak masuk tidur.”
Irdina menganggukkan kepala dan
melihat Laila masuk ke bilik. Irdina melangkah menuju ke dapur untuk mengambil
air. Apabila dia meminum air, terasa ngilu pada giginya. Dia menahan rasa sakit
buat seketika. Perlahan-lahan dia bergerak masuk ke biliknya untuk tidur. Bunyi
bising masih kedengaran di luar rumah. Rasa tidak selesa menyelubungi jiwanya.
‘Kenapalah mereka ni tak boleh
bertolak ansur. Hidup berjiran, kalau bermasam muka dan bergaduh takkan aman,’ rungut
Irdina dalam hati.
Irdina memusing ke kiri dan kanan.
Matanya sukar dilelapkan walaupun kepalanya terasa berat. Panas badannya makin
meningkat dan dia menggigil menahan sakit. Irdina menyelubungkan dirinya dengan
selimut tebal. Seketika kemudian Irdina tidak lagi mendengar bunyi bising di
luar rumah. Dia tertidur buat beberapa ketika dan kemudian terjaga semula. Keadaan
itu berlarutan sepanjang malam.
1 ulasan:
ahak benar2 king control ni
Catat Ulasan