Pengikut

Rabu, 3 Oktober 2012

Abang King Control Ke? - 5



Deringan jam membuatkan Irdina terbangun daripada tidur. Dia duduk perlahan-lahan. Kepalanya masih terasa pusing. Seketika kemudian, dia bergerak masuk ke bilik air dan membersihkan dirinya. Kedinginan air menyebabkan dirinya menggigil. Setelah berwuduk, dia melakukan solat subuh. Pening mencengkam membuatkan dia merebahkan badan di atas sejadah.
“Kak Irdina,” kejut Balkis.
Tangan Balkis hinggap di dahi Irdina. Panas badan Irdina masih terasa. Irdina membuka matanya sedikit.
“Balkis, aku tak pergi kerja hari ni. Kau bawalah kereta aku. Nanti beritahu bos aku MC,” beritahu Irdina.
“Kak Irdina nak ke klinik tak?”
“Aku tak apa-apa. Nanti petang bila kau dah balik, kita ke klinik ambil MC.”
“Baiklah. Jika Kak Irdina rasa nak ke klinik nanti, telefon aku.”
“Okey.”
“Kak Irdina tidurlah atas katil. Atas lantai ni sejuk.” Balkis menolong Irdina ke katil.
Irdina berbaring dan melihat Balkis keluar daripada biliknya. Balkis mengambil kunci kereta Irdina yang tersangkut di pengantung kunci. Selepas mengunci pintu hadapan, Balkis menaiki kereta Irdina. Irdina mendengar bunyi enjin keretanya yang dihidupkan oleh Balkis. Seketika kemudian suasana menjadi sunyi apabila kebanyakan penghuni di taman itu telah keluar bekerja.
Irdina melangkah ke dapur. Dia mencapai gelas untuk meminum air. Matanya terpandang bungkusan sampah yang agak berbau kerana terdapat kulit udang dan makanan basi. Tugas membuang sampah selalunya dilakukan olehnya membuatkan sampah itu tidak diangkat keluar. Dia telah lupa meminta tolong Balkis untuk membuangnya. Jadual pungutan sampah adalah pada hari itu.
“Aku kena keluarkan sampah ni, jika tak nanti busuk satu rumah.”
Dia memakai tudung dan mengeluarkan bungkusan sampah lalu membuangkannya ke dalam tong sampah yang berada di luar pagar rumah.
 “Irdina tak kerja hari ke ni?” sapa jiran sebelah kanan rumahnya yang sedang menyiram pokok.
“Saya ambil cuti. Demam,” jawab Irdina, lemah.
“Tak pergi klinik?”
“Tak, mungkin petang ni lepas Balkis balik.”
“Hisy! Tak elok tangguh jika sakit. Nanti mak cik panggil anak mak cik, minta bawa Irdina ke klinik.”
“Tak payahlah mak cik.”
Mak Cik Sopiah tetap memanggil anaknya walaupun ditegah oleh Irdina. Razif yang mendengar panggilan emaknya segera keluar mendapatkan mereka berdua.
“Ada apa mak?” tanya Razif.
“Tolong bawa Irdina ke klinik. Dia demam dan tak ada siapa di rumah,” pinta Mak Cik Sopiah.
Irdina terkejut melihat Razif. Hatinya menjadi tidak menentu. Razif juga terkejut melihat Irdina tetapi dia mengawal riak muka. Takut ketahuan oleh emaknya yang dia pernah bertengkar dengan Irdina. Malu siot! Diakan doktor? Tak profesional bertengkar dengan perempuan soal yang remeh.
‘Aduh! Kenapalah Mamat gedik ni ada di sini? Ini mak dia ke? Macam tak kenalah pula. Mak dia baik, anak macam hantu,’ rungut hati Irdina.
“Irdina, pergilah siap. Saya hantar awak ke klinik.” Razif terperasan wajah Irdina kelihatan pucat dan tidak bermaya.
“Tak mengapalah. Saya tak nak menyusahkan doktor. Lagipun saya dah janji nak pergi dengan Balkis petang nanti.” Irdina mencari alasan. Enggan menerima budi Razif.
“Kalau tiba-tiba awak pitam atau demam awak makin tinggi, siapa nak tolong? Sekarang ni semua orang dah keluar ke tempat kerja. Yang tinggal mak cik-mak cik yang tak boleh memandu kereta,” kata Razif membuatkan hati Mak Cik Sopiah tidak tenang.
“Betul tu Irdina. Kalau jadi apa-apa pada Irdina, tentu semua orang susah. Mak cik tengok muka Irdina pucat sangat. Mak cik tak tahu pandu kereta. Kalau Razif dah keluar nanti, tak ada siapa nak tolong Irdina pula.”
“Saya tak apa-apa. Mak cik jangan risau.”
Irdina cuba melangkah tetapi terhenti kerana pandangan matanya terasa gelap dan telinganya berdengung. Mak Cik Sopiah segera memegang tangan Irdina.
“Kenapa Irdina?” Mak Cik Sopiah agak cemas.
“Rasa nak gelap mata.”
“Razif, pergi ambil kereta. Mak nak tolong Irdina salin baju. Nanti kita bawa dia ke klinik.” Arah Mak Cik Sopiah.
Razif mengangguk sambil memandang emaknya memimpin tangan Irdina masuk ke rumah sewa Irdina. Dia segera pulang ke rumahnya untuk mengambil kereta. Kereta diundurkan dan kemudian dia memandu masuk ke ruang letak kereta di rumah Irdina. Dia menunggu Irdina dan emaknya keluar. Mak Cik Sopiah memimpin Irdina masuk ke bahagian belakang kereta.
“Razif tunggu sekejap. Mak nak salin baju dulu.”
“Baiklah.”
Mak Cik Sopiah terus berlalu dan masuk ke rumahnya. Razif mengundurkan kereta dan kemudian berhenti di hadapan rumahnya. Irdina bersandar dengan mata yang terpejam.
“Awak tak makan apa-apa ke? Nampak lemah sangat,” tanya Razif.
“Tak, sejak kelmarin,” jawab Irdina lemah.
“Patutlah. Awak makan ubat yang saya beri tak?”
“Tak.”
“Awak sepatutnya makan walaupun sedikit dan makan ubat. Inilah padahnya tak ikut cakap doktor.”
‘Berleter pula dah Mamat gedik ni,’ bisik hati Irdina.
“Awak ada penyakit lain tak sebelum ni?”
“Tak. Cuma tekanan darah rendah saja.” Irdina masih memejamkan matanya.
“Tekanan darah rendah tidak boleh dipandang ringan, wahai Cik Irdina! Awak perlu makan makanan yang banyak mengandungi zat besi seperti hati, kerang, kacang buncis dan bayam. Jika perlu, tambahkan sedikit pengambilan garam.”
Irdina hanya mendengar penerangan Razif tanpa mahu memberi komen. Dia terasa bosan kerana Razif banyak menasihati dan ada ketikanya kelihatan seperti berleter.
“Awak dengar tak Irdina?” tanya Razif sambil melihat melalui cermin pandang belakang.
“Ya, saya dengar,” jawab Irdina, geram.
“Jangan berdiri terlalu lama atau berada terlalu lama di bawah sinaran matahari. Lakukan aktiviti senaman secara teratur. Itu semua dapat mengelakkan tekanan darah rendah,” terang Razif lagi.
“Doktor, boleh tak awak jangan bercakap banyak sangat. Sakit kepala saya dibuatnya,” Irdina berterus terang.
“Saya cuma nak nasihatkan awak. Awak tak jaga kesihatan diri. Bila sakit, semua orang susah.”
“Maaflah kalau saya menyusahkan doktor. Tak payahlah hantar saya ke klinik. Nanti saya panggil sepupu saya balik,” kata Irdina. Dia terasa hati dengan kata-kata Razif dan cuba keluar daripada kereta itu.
Razif yang melihat perbuatan Irdina segera keluar daripada keretanya dan menghalang Irdina.
“Kalau dah sakit buat cara sakit. Saya akan hantar awak. Jangan nak keras kepala pula,” kata Razif sambil memegang tangan Irdina untuk menyuruhnya duduk semula.
“Lepaslah. Saya tak suka lelaki pegang saya,” Irdina terasa geram.
“Saya cuma nak tolong. Kalau tak terpaksa, saya pun tak mahu pegang awak. Untuk pengetahuan awak, pegang anjing lebih baik daripada pegang wanita yang bukan mahram tanpa ikatan yang sah. Menyentuh anjing bukanlah satu dosa atau maksiat. Tapi, menyentuh wanita bukan mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.”
“Tahu pun.” Irdina membetulkan duduknya dengan muka yang masam. Sakit kepalanya makin terasa dan dia memejamkan matanya sekali lagi. Razif masuk semula ke tempat memandu dan seketika kemudian emaknya menyertai mereka.
“Maaflah mak lambat sikit. Abang Razman telefon tadi,” kata Mak Cik Sopiah kepada Razif.
“Tak apa. Apa Abang Razman cakap?” Tanya Razif sambil memandu keretanya.
“Isteri dia dah selamat lahirkan anak perempuan awal pagi tadi.”
“Alhamdulillah.”
“Masuk ni dah empat oranglah anak dia. Yang Razif, bila lagi?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Mulalah tu. Bab ni mak tak payah risau. Sampai masa nanti Razif kahwin,” kata Razif sambil matanya mencuri pandang Irdina yang masih memejamkan matanya.
Segala percakapan mereka berdua didengari oleh Irdina tetapi dia tidak mahu memperdulikannya. Rasa pening di kepala membuatkan otaknya malas berfikir persoalan yang sering diajukan juga oleh emaknya, soal kahwin. Mak Cik Sopiah yang terperasan anaknya memandang Irdina turut menolehkan kepalanya memandang Irdina. Pada padangan matanya, Irdina agak sesuai dengan Razif. Jika Razif mahu, bila-bila masa sahaja dia sanggup meminang Irdina.
“Razif, kesian mak tengok Irdina. Pucat benar muka dia.”
“Dia ada tekanan darah rendah. Bila tak makan sejak kelmarin, tu yang buat dia pucat dan pening. Kalau dibiarkan boleh pitam. Perempuan, kadangkala suka menyeksa diri. Nak kurus dan lawa, tak makan pun tak apa.”
Irdina terasa sakit hati. Tuduhan Razif tentang soal itu tidak betul sama sekali. Dia bukan sengaja tidak mahu makan tetapi seleranya hilang akibat sakit gigi. Kenapa Razif boleh menuduhnya begitu sedangkan Razif tahu gusi Irdina bengkak dan tentulah sukar untuk makan?
“Hisy! Tak baik tuduh orang begitu,” sangkal Mak Cik Sopiah.
“Razif tak tuduh dia. Razif cuma beritahu ada perempuan yang sanggup tak makan semata-mata nak kuruskan badan sehingga menjadi Anoreksia Nervosa.”
“Ana apa?” tanya Mak Cik Sopiah, hairan. Setahunya kebanyakan penyakit orang Malaysia adalah kerana terlebih makan. Malah Malaysia menduduki tempat pertama kadar obesiti tertinggi dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara. Fakta itu pun diketahuinya melalui akhbar.
“Anoreksia Nervosa. Penyakit tu jadi kerana gangguan makan atau penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan jadi kurang sampai ke peringkat bahaya. Orang begini tidak pernah puas dengan penurunan berat badannya. Mereka cepat panik, cemas dan alami tekanan jika berat badan bertambah walaupun sedikit.”
“Bahaya juga bila tak makan. Terlebih pun tak elok, terkurang pun sama. Eloklah makan ikut Sunnah, bersederhana saja.”
“Betul tu. Apa-apa pun kalau berlebihan akan memudaratkan diri.” Razif mengakui hakikat itu.
Razif terus memandu dengan berhati-hati hingga ke Klinik Doktor Nadira. Irdina sempat terlena sepanjang perjalanan menuju ke klinik itu. Mak Cik Sopiah memanggil nama Irdina untuk menyedarkannya setelah mereka tiba di hadapan klinik.
Razif membuka pintu untuk Irdina dan emaknya membantu Irdina masuk ke klinik. Razif mendaftarkan nama Irdina berdasarkan kad pengenalan yang diberi oleh Irdina. Razif sempat meneliti maklumat Irdina di kad pengenalan dan dia tersenyum melihat gambar Irdina yang keanak-anakan. Setelah mendaftar nama Irdina, Razif ingin melangkah ke bangku menunggu, tetapi terhenti apabila dia dipanggil oleh gadis yang bertugas di bahagian kaunter pendaftaran.
“Encik, ini kad pengenalan isteri encik.”
Razif menoleh ke belakang dan dia melihat gadis itu menghulurkan kad pengenalan Irdina kepadanya. Razif mengambil kad pengenalan tanpa banyak soal. Dia memberikan kad pengenalan itu kepada emaknya yang hanya tersengih mendengar kata-kata gadis tadi. Razif berpura-pura tidak tahu dan matanya dialihkan untuk melihat siaran televisyen.
“Razif, tolong tengokkan Irdina. Mak nak ke bilik air kejap.”
“Jangan lama-lama sangat. Nanti siapa nak bantu Irdina?” Razif agak risau kalau-kalau dia terpaksa memegang Irdina lagi.
“Razif tolonglah dia kalau mak tak sempat datang balik,” pesan Mak Cik Sopiah sebelum berlalu dari situ.
Irdina hanya mampu melihat tanpa kata. Dia rasa agak tidak selesa duduk berdekatan dengan Razif. Tiba-tiba nama Irdina dipanggil oleh pembantu doktor. Irdina cuba bangun tetapi disebabkan dia bangun agak cepat, keseimbangan badannya tidak stabil. Razif memaut bahu Irdina untuk menghalangnya daripada jatuh.
“Perlahan-lahan. Pegang tangan saya.”
Irdina terpaksa menurut saranan Razif dan dia mula melangkah masuk ke bilik pemeriksaan bersama-sama Razif. Razif memberi salam pada Doktor Nadira dan membiarkan Irdina duduk di kerusi berhampiran Doktor Nadira.
“Apa masalah puan?” tanya Doktor Nadira.
Irdina cuba menjawab pertanyaan Doktor Nadira tetapi Razif lebih dahulu berkata.
“Dia demam dan rasanya ada tekanan darah rendah. Sejak kelmarin dia tak makan apa pun.”
Irdina hanya mendiamkan diri dan membiarkan Doktor Nadira memeriksa tekanan darahnya. Lengan baju Irdina diselak oleh Doktor Nadira dan Razif memalingkan mukanya daripada melihat aurat Irdina. Bahagian badan Irdina juga turut diperiksa. Setelah selesai membuat pemeriksaan, Doktor Nadira menulis sesuatu di kad rawatan.
“Isteri encik perlu rehat yang cukup. Tekanan darahnya agak rendah. Tolong pastikan isteri encik minum air kosong lebih banyak dan makan makanan yang mengandungi zat besi contohnya bayam, kerang dan hati. Nanti saya akan bekalkan vitamin dan ubat untuk demamnya,” kata Doktor Nadira.
Irdina cuba membetulkan tanggapan doktor itu tentang status dirinya. Tetapi sebelum sempat dia berkata, Doktor Nadira menyambung bicara.
“Isteri encik bekerja tak?”
“Kerja. Di mana Irdina?” tanya Razif sambil melihat Irdina.
“Syarikat Juta Jaya,” ujar Irdina tanpa mahu melihat Razif. Hatinya menggerutu, marahi Razif.
“Baiklah. Saya akan beri puan cuti sakit selama dua hari. Puan perlu banyak berehat. Saya rasa puan ni terlalu kuat bekerja hingga abaikan soal makan,” teka Doktor Nadira.
“Sejak kebelakangan ni, tugas saya bertambah kerana terpaksa memangku tugas kawan yang bersalin. Kadangkala nak makan pun tak sempat.” Irdina mengakui hakikat tersebut.
“Oh, begitu! Patutlah puan keletihan. Encik kena pastikan isteri encik makan mengikut waktu dan makan ubat mengikut arahan. Nanti ambil ubat di kaunter depan,” kata Doktor Nadira.
“Baiklah doktor. Saya akan pastikan dia makan dan berehat secukupnya,” akui Razif.
“Tapi dia…” sebelum sempat Irdina menghabiskan ayatnya Razif cepat-cepat mencelah.
“Sayang, dengar nasihat doktor tu. Malam ni abang tak akan kacau sayang dan akan pastikan sayang rehat secukupnya,” ujar Razif bertujuan mempermainkan Irdina. Entah kenapa, dia rasa seronok melihat wajah cemberut Irdina.
“Awak!” Irdina meradang.
“Jangan nak berawak-awak. Berapa kali abang suruh panggil abang. Marilah keluar, doktor ni tentu nak rawat orang lain juga.” Razif membuka pintu bilik.
Irdina menjeling tajam ke arah Razif dan mengucapkan terima kasih kepada Doktor Nadira. Irdina melangkah keluar perlahan-lahan dan cuba untuk tidak memegang Razif yang mengekori rapat di sisinya. Akhirnya Irdina berjaya duduk di bangku menunggu tanpa bantuan Razif. Mak Cik Sopiah yang memandang mereka berdua hanya tersenyum.
“Apa kata doktor?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Doktor suruh dia berehat dan jaga makan. Kerja kuat sangat sampai lupa nak makan.” Razif berkata tanpa memberi peluang Irdina membuka mulut.
Irdina hanya memerhati Razif dengan geram. Dia tidak suka akan sikap Razif yang selalu memotong cakapnya atau tidak memberi peluang dia bercakap. Lebih menyakitkan hatinya, Razif membiarkan mereka yang berada di klinik itu menganggapnya isteri Razif.
“Nanti mak cik buatkan sup untuk Irdina,” ujar Mak Cik Sopiah.
“Tak payah susah-susahlah mak cik. Nanti saya minta Balkis belikan untuk saya.” Irdina tidak mahu menyusahkan Mak Cik Sopiah dan yang pentingnya dia tidak mahu terhutang budi.
“Tak ada susahnya. Nanti Irdina rehat di rumah mak cik. Kalau duduk seorang diri di rumah Irdina, siapa pun tak ada untuk bantu.”
“Saya tak mahu susahkan mak cik. Biarlah saya tinggal di rumah saya saja.” Irdina memberi alasan.
“Awak ikutlah cakap mak. Takut tiba-tiba awak pitam tak ada siapa yang tahu. Jika duduk di rumah kami, bolehlah mak tengok-tengokkan. Tak begitu mak?” Razif mencelah.
“Ya. Duduklah hari ni di rumah mak cik. Bukan ada siapa di rumah mak cik. Rosnah dah pergi sekolah dan Razif pun nak ke klinik dia nanti. Bila Balkis dan Laila dah balik, Irdina baliklah ke rumah,” ujar Mak Cik Sopiah, memujuk.
Lama Irdina berfikir dan kemudian bersetuju dengan saranan Mak Cik Sopiah. Mereka pulang setelah Razif mengambil ubat dan membuat bayaran. Irdina ingin memberi wangnya sebagai ganti tetapi ditolak oleh Razif.
“Tak payah gantilah Irdina. Bukan berapa ringgit pun,” kata Mak Cik Sopiah.
“Saya seganlah dengan mak cik sekeluarga. Banyak pertolongan mak cik dan doktor untuk saya hari ni. Budi baik mak cik dan doktor tak terbalas rasanya,” ujar Irdina, jujur.
“Kita hidup berjiran ni umpama saudara. Kita ada hak sebagai Muslim dan hak sebagai jiran. Jadi tak payahlah difikirkan tentang pertolongan yang tidak seberapa ni,” Razif mencelah dan dipersetujui oleh Mak Cik Sopiah.
Irdina tidak dapat berkata apa-apa lagi. Dia hanya menurut langkah Mak Cik Sopiah dengan rasa longlai.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bila nak sambung kak. Kangen dah dngan dokter cinta eh gigi lah. Nak mreka bersama ya ya. Emy

sarimahshaniza berkata...

Cerita ni saya tengah edit. Bila dah ok, saya akan postkan. Sabar ye...