Deringan jam membuatkan Irdina terbangun
daripada tidur. Dia duduk perlahan-lahan. Kepalanya masih terasa pusing.
Seketika kemudian, dia bergerak masuk ke bilik air dan membersihkan dirinya. Kedinginan
air menyebabkan dirinya menggigil. Setelah berwuduk, dia melakukan solat subuh.
Pening mencengkam membuatkan dia merebahkan badan di atas sejadah.
“Kak Irdina,” kejut Balkis.
Tangan Balkis hinggap di dahi
Irdina. Panas badan Irdina masih terasa. Irdina membuka matanya sedikit.
“Balkis, aku tak pergi kerja hari
ni. Kau bawalah kereta aku. Nanti beritahu bos aku MC,” beritahu Irdina.
“Kak Irdina nak ke klinik tak?”
“Aku tak apa-apa. Nanti petang bila
kau dah balik, kita ke klinik ambil MC.”
“Baiklah. Jika Kak Irdina rasa nak
ke klinik nanti, telefon aku.”
“Okey.”
“Kak Irdina tidurlah atas katil.
Atas lantai ni sejuk.” Balkis menolong Irdina ke katil.
Irdina berbaring dan melihat Balkis
keluar daripada biliknya. Balkis mengambil kunci kereta Irdina yang tersangkut
di pengantung kunci. Selepas mengunci pintu hadapan, Balkis menaiki kereta
Irdina. Irdina mendengar bunyi enjin keretanya yang dihidupkan oleh Balkis.
Seketika kemudian suasana menjadi sunyi apabila kebanyakan penghuni di taman
itu telah keluar bekerja.
Irdina melangkah ke dapur. Dia
mencapai gelas untuk meminum air. Matanya terpandang bungkusan sampah yang agak
berbau kerana terdapat kulit udang dan makanan basi. Tugas membuang sampah
selalunya dilakukan olehnya membuatkan sampah itu tidak diangkat keluar. Dia
telah lupa meminta tolong Balkis untuk membuangnya. Jadual pungutan sampah
adalah pada hari itu.
“Aku kena keluarkan sampah ni, jika
tak nanti busuk satu rumah.”
Dia memakai tudung dan mengeluarkan
bungkusan sampah lalu membuangkannya ke dalam tong sampah yang berada di luar
pagar rumah.
“Irdina tak kerja hari ke ni?” sapa jiran
sebelah kanan rumahnya yang sedang menyiram pokok.
“Saya ambil cuti. Demam,” jawab
Irdina, lemah.
“Tak pergi klinik?”
“Tak, mungkin petang ni lepas
Balkis balik.”
“Hisy! Tak elok tangguh jika sakit.
Nanti mak cik panggil anak mak cik, minta bawa Irdina ke klinik.”
“Tak payahlah mak cik.”
Mak Cik Sopiah tetap memanggil
anaknya walaupun ditegah oleh Irdina. Razif yang mendengar panggilan emaknya
segera keluar mendapatkan mereka berdua.
“Ada apa mak?” tanya Razif.
“Tolong bawa Irdina ke klinik. Dia
demam dan tak ada siapa di rumah,” pinta Mak Cik Sopiah.
Irdina terkejut melihat Razif.
Hatinya menjadi tidak menentu. Razif juga terkejut melihat Irdina tetapi dia
mengawal riak muka. Takut ketahuan oleh emaknya yang dia pernah bertengkar
dengan Irdina. Malu siot! Diakan doktor? Tak profesional bertengkar dengan
perempuan soal yang remeh.
‘Aduh! Kenapalah Mamat gedik ni ada
di sini? Ini mak dia ke? Macam tak kenalah pula. Mak dia baik, anak macam
hantu,’ rungut hati Irdina.
“Irdina, pergilah siap. Saya hantar
awak ke klinik.” Razif terperasan wajah Irdina kelihatan pucat dan tidak
bermaya.
“Tak mengapalah. Saya tak nak
menyusahkan doktor. Lagipun saya dah janji nak pergi dengan Balkis petang
nanti.” Irdina mencari alasan. Enggan menerima budi Razif.
“Kalau tiba-tiba awak pitam atau
demam awak makin tinggi, siapa nak tolong? Sekarang ni semua orang dah keluar
ke tempat kerja. Yang tinggal mak cik-mak cik yang tak boleh memandu kereta,”
kata Razif membuatkan hati Mak Cik Sopiah tidak tenang.
“Betul tu Irdina. Kalau jadi
apa-apa pada Irdina, tentu semua orang susah. Mak cik tengok muka Irdina pucat
sangat. Mak cik tak tahu pandu kereta. Kalau Razif dah keluar nanti, tak ada
siapa nak tolong Irdina pula.”
“Saya tak apa-apa. Mak cik jangan
risau.”
Irdina cuba melangkah tetapi
terhenti kerana pandangan matanya terasa gelap dan telinganya berdengung. Mak
Cik Sopiah segera memegang tangan Irdina.
“Kenapa Irdina?” Mak Cik Sopiah
agak cemas.
“Rasa nak gelap mata.”
“Razif, pergi ambil kereta. Mak nak
tolong Irdina salin baju. Nanti kita bawa dia ke klinik.” Arah Mak Cik Sopiah.
Razif mengangguk sambil memandang emaknya
memimpin tangan Irdina masuk ke rumah sewa Irdina. Dia segera pulang ke
rumahnya untuk mengambil kereta. Kereta diundurkan dan kemudian dia memandu
masuk ke ruang letak kereta di rumah Irdina. Dia menunggu Irdina dan emaknya
keluar. Mak Cik Sopiah memimpin Irdina masuk ke bahagian belakang kereta.
“Razif tunggu sekejap. Mak nak
salin baju dulu.”
“Baiklah.”
Mak Cik Sopiah terus berlalu dan
masuk ke rumahnya. Razif mengundurkan kereta dan kemudian berhenti di hadapan
rumahnya. Irdina bersandar dengan mata yang terpejam.
“Awak tak makan apa-apa ke? Nampak
lemah sangat,” tanya Razif.
“Tak, sejak kelmarin,” jawab Irdina
lemah.
“Patutlah. Awak makan ubat yang
saya beri tak?”
“Tak.”
“Awak sepatutnya makan walaupun
sedikit dan makan ubat. Inilah padahnya tak ikut cakap doktor.”
‘Berleter pula dah Mamat gedik ni,’
bisik hati Irdina.
“Awak ada penyakit lain tak sebelum
ni?”
“Tak. Cuma tekanan darah rendah
saja.” Irdina masih memejamkan matanya.
“Tekanan darah rendah tidak boleh
dipandang ringan, wahai Cik Irdina! Awak perlu makan makanan yang banyak mengandungi zat besi seperti hati, kerang,
kacang buncis dan bayam. Jika perlu, tambahkan sedikit pengambilan garam.”
Irdina hanya mendengar penerangan Razif tanpa
mahu memberi komen. Dia terasa bosan kerana Razif banyak menasihati dan ada
ketikanya kelihatan seperti berleter.
“Awak dengar tak Irdina?” tanya Razif sambil
melihat melalui cermin pandang belakang.
“Ya, saya dengar,” jawab Irdina, geram.
“Jangan berdiri terlalu lama atau berada
terlalu lama di bawah sinaran matahari. Lakukan aktiviti senaman secara
teratur. Itu semua dapat mengelakkan tekanan darah rendah,” terang Razif lagi.
“Doktor, boleh tak awak jangan bercakap
banyak sangat. Sakit kepala saya dibuatnya,” Irdina berterus terang.
“Saya cuma nak nasihatkan awak. Awak tak jaga
kesihatan diri. Bila sakit, semua orang susah.”
“Maaflah kalau saya menyusahkan doktor. Tak
payahlah hantar saya ke klinik. Nanti saya panggil sepupu saya balik,” kata
Irdina. Dia terasa hati dengan kata-kata Razif dan cuba keluar daripada kereta
itu.
Razif yang melihat perbuatan Irdina segera
keluar daripada keretanya dan menghalang Irdina.
“Kalau dah sakit buat cara sakit. Saya akan
hantar awak. Jangan nak keras kepala pula,” kata Razif sambil memegang tangan
Irdina untuk menyuruhnya duduk semula.
“Lepaslah. Saya tak suka lelaki pegang saya,”
Irdina terasa geram.
“Saya cuma nak tolong. Kalau tak terpaksa,
saya pun tak mahu pegang awak. Untuk pengetahuan awak, pegang anjing
lebih baik daripada pegang wanita yang bukan mahram tanpa ikatan yang sah.
Menyentuh anjing bukanlah satu dosa atau maksiat. Tapi, menyentuh wanita bukan
mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.”
“Tahu
pun.” Irdina membetulkan duduknya dengan muka yang masam. Sakit kepalanya makin
terasa dan dia memejamkan matanya sekali lagi. Razif masuk semula ke tempat
memandu dan seketika kemudian emaknya menyertai mereka.
“Maaflah
mak lambat sikit. Abang Razman telefon tadi,” kata Mak Cik Sopiah kepada Razif.
“Tak
apa. Apa Abang Razman cakap?” Tanya Razif sambil memandu keretanya.
“Isteri
dia dah selamat lahirkan anak perempuan awal pagi tadi.”
“Alhamdulillah.”
“Masuk
ni dah empat oranglah anak dia. Yang Razif, bila lagi?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Mulalah
tu. Bab ni mak tak payah risau. Sampai masa nanti Razif kahwin,” kata Razif
sambil matanya mencuri pandang Irdina yang masih memejamkan matanya.
Segala
percakapan mereka berdua didengari oleh Irdina tetapi dia tidak mahu
memperdulikannya. Rasa pening di kepala membuatkan otaknya malas berfikir
persoalan yang sering diajukan juga oleh emaknya, soal kahwin. Mak Cik Sopiah
yang terperasan anaknya memandang Irdina turut menolehkan kepalanya memandang
Irdina. Pada padangan matanya, Irdina agak sesuai dengan Razif. Jika Razif
mahu, bila-bila masa sahaja dia sanggup meminang Irdina.
“Razif,
kesian mak tengok Irdina. Pucat benar muka dia.”
“Dia
ada tekanan darah rendah. Bila tak makan sejak kelmarin, tu yang buat dia pucat
dan pening. Kalau dibiarkan boleh pitam. Perempuan, kadangkala suka menyeksa
diri. Nak kurus dan lawa, tak makan pun tak apa.”
Irdina
terasa sakit hati. Tuduhan Razif tentang soal itu tidak betul sama sekali. Dia
bukan sengaja tidak mahu makan tetapi seleranya hilang akibat sakit gigi.
Kenapa Razif boleh menuduhnya begitu sedangkan Razif tahu gusi Irdina bengkak
dan tentulah sukar untuk makan?
“Hisy!
Tak baik tuduh orang begitu,” sangkal Mak Cik Sopiah.
“Razif
tak tuduh dia. Razif cuma beritahu ada perempuan yang sanggup tak makan
semata-mata nak kuruskan badan sehingga menjadi Anoreksia Nervosa.”
“Ana
apa?” tanya Mak Cik Sopiah, hairan. Setahunya kebanyakan penyakit orang
Malaysia adalah kerana terlebih makan. Malah Malaysia menduduki tempat pertama
kadar obesiti tertinggi dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara. Fakta itu pun
diketahuinya melalui akhbar.
“Anoreksia
Nervosa. Penyakit tu jadi kerana gangguan makan atau penolakan makanan yang
mengakibatkan berat badan jadi kurang sampai ke peringkat bahaya. Orang begini
tidak pernah puas dengan penurunan berat badannya. Mereka cepat panik, cemas
dan alami tekanan jika berat badan bertambah walaupun sedikit.”
“Bahaya
juga bila tak makan. Terlebih pun tak elok, terkurang pun sama. Eloklah makan
ikut Sunnah, bersederhana saja.”
“Betul
tu. Apa-apa pun kalau berlebihan akan memudaratkan diri.” Razif mengakui
hakikat itu.
Razif
terus memandu dengan berhati-hati hingga ke Klinik Doktor Nadira. Irdina sempat
terlena sepanjang perjalanan menuju ke klinik itu. Mak Cik Sopiah memanggil
nama Irdina untuk menyedarkannya setelah mereka tiba di hadapan klinik.
Razif
membuka pintu untuk Irdina dan emaknya membantu Irdina masuk ke klinik. Razif
mendaftarkan nama Irdina berdasarkan kad pengenalan yang diberi oleh Irdina.
Razif sempat meneliti maklumat Irdina di kad pengenalan dan dia tersenyum melihat
gambar Irdina yang keanak-anakan. Setelah mendaftar nama Irdina, Razif ingin
melangkah ke bangku menunggu, tetapi terhenti apabila dia dipanggil oleh gadis
yang bertugas di bahagian kaunter pendaftaran.
“Encik,
ini kad pengenalan isteri encik.”
Razif
menoleh ke belakang dan dia melihat gadis itu menghulurkan kad pengenalan
Irdina kepadanya. Razif mengambil kad pengenalan tanpa banyak soal. Dia memberikan
kad pengenalan itu kepada emaknya yang hanya tersengih mendengar kata-kata
gadis tadi. Razif berpura-pura tidak tahu dan matanya dialihkan untuk melihat
siaran televisyen.
“Razif,
tolong tengokkan Irdina. Mak nak ke bilik air kejap.”
“Jangan
lama-lama sangat. Nanti siapa nak bantu Irdina?” Razif agak risau kalau-kalau
dia terpaksa memegang Irdina lagi.
“Razif
tolonglah dia kalau mak tak sempat datang balik,” pesan Mak Cik Sopiah sebelum berlalu
dari situ.
Irdina
hanya mampu melihat tanpa kata. Dia rasa agak tidak selesa duduk berdekatan
dengan Razif. Tiba-tiba nama Irdina dipanggil oleh pembantu doktor. Irdina cuba
bangun tetapi disebabkan dia bangun agak cepat, keseimbangan badannya tidak
stabil. Razif memaut bahu Irdina untuk menghalangnya daripada jatuh.
“Perlahan-lahan.
Pegang tangan saya.”
Irdina
terpaksa menurut saranan Razif dan dia mula melangkah masuk ke bilik
pemeriksaan bersama-sama Razif. Razif memberi salam pada Doktor Nadira dan
membiarkan Irdina duduk di kerusi berhampiran Doktor Nadira.
“Apa
masalah puan?” tanya Doktor Nadira.
Irdina
cuba menjawab pertanyaan Doktor Nadira tetapi Razif lebih dahulu berkata.
“Dia
demam dan rasanya ada tekanan darah rendah. Sejak kelmarin dia tak makan apa
pun.”
Irdina
hanya mendiamkan diri dan membiarkan Doktor Nadira memeriksa tekanan darahnya.
Lengan baju Irdina diselak oleh Doktor Nadira dan Razif memalingkan mukanya
daripada melihat aurat Irdina. Bahagian badan Irdina
juga turut diperiksa. Setelah selesai membuat pemeriksaan, Doktor Nadira
menulis sesuatu di kad rawatan.
“Isteri
encik perlu rehat yang cukup. Tekanan darahnya agak rendah. Tolong pastikan
isteri encik minum air kosong lebih banyak dan makan makanan yang mengandungi
zat besi contohnya bayam, kerang dan hati. Nanti saya akan bekalkan vitamin dan
ubat untuk demamnya,” kata Doktor Nadira.
Irdina
cuba membetulkan tanggapan doktor itu tentang status dirinya. Tetapi sebelum
sempat dia berkata, Doktor Nadira menyambung bicara.
“Isteri
encik bekerja tak?”
“Kerja.
Di mana Irdina?” tanya Razif sambil melihat Irdina.
“Syarikat
Juta Jaya,” ujar Irdina tanpa mahu melihat Razif. Hatinya menggerutu, marahi
Razif.
“Baiklah.
Saya akan beri puan cuti sakit selama dua hari. Puan perlu banyak berehat. Saya
rasa puan ni terlalu kuat bekerja hingga abaikan soal makan,” teka Doktor
Nadira.
“Sejak
kebelakangan ni, tugas saya bertambah kerana terpaksa memangku tugas kawan yang
bersalin. Kadangkala nak makan pun tak sempat.” Irdina mengakui hakikat
tersebut.
“Oh,
begitu! Patutlah puan keletihan. Encik kena pastikan isteri encik makan
mengikut waktu dan makan ubat mengikut arahan. Nanti ambil ubat di kaunter
depan,” kata Doktor Nadira.
“Baiklah
doktor. Saya akan pastikan dia makan dan berehat secukupnya,” akui Razif.
“Tapi
dia…” sebelum sempat Irdina menghabiskan ayatnya Razif cepat-cepat mencelah.
“Sayang,
dengar nasihat doktor tu. Malam ni abang tak akan kacau sayang dan akan pastikan
sayang rehat secukupnya,” ujar Razif bertujuan mempermainkan Irdina. Entah
kenapa, dia rasa seronok melihat wajah cemberut Irdina.
“Awak!”
Irdina meradang.
“Jangan
nak berawak-awak. Berapa kali abang suruh panggil abang. Marilah keluar, doktor
ni tentu nak rawat orang lain juga.” Razif membuka pintu bilik.
Irdina
menjeling tajam ke arah Razif dan mengucapkan terima kasih kepada Doktor
Nadira. Irdina melangkah keluar perlahan-lahan dan cuba untuk tidak memegang
Razif yang mengekori rapat di sisinya. Akhirnya Irdina berjaya duduk di bangku
menunggu tanpa bantuan Razif. Mak Cik Sopiah yang memandang mereka berdua hanya
tersenyum.
“Apa
kata doktor?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Doktor
suruh dia berehat dan jaga makan. Kerja kuat sangat sampai lupa nak makan.”
Razif berkata tanpa memberi peluang Irdina membuka mulut.
Irdina
hanya memerhati Razif dengan geram. Dia tidak suka akan sikap Razif yang selalu
memotong cakapnya atau tidak memberi peluang dia bercakap. Lebih menyakitkan
hatinya, Razif membiarkan mereka yang berada di klinik itu menganggapnya isteri
Razif.
“Nanti
mak cik buatkan sup untuk Irdina,” ujar Mak Cik Sopiah.
“Tak
payah susah-susahlah mak cik. Nanti saya minta Balkis belikan untuk saya.”
Irdina tidak mahu menyusahkan Mak Cik Sopiah dan yang pentingnya dia tidak mahu
terhutang budi.
“Tak
ada susahnya. Nanti Irdina rehat di rumah mak cik. Kalau duduk seorang diri di
rumah Irdina, siapa pun tak ada untuk bantu.”
“Saya
tak mahu susahkan mak cik. Biarlah saya tinggal di rumah saya saja.” Irdina
memberi alasan.
“Awak
ikutlah cakap mak. Takut tiba-tiba awak pitam tak ada siapa yang tahu. Jika duduk
di rumah kami, bolehlah mak tengok-tengokkan. Tak begitu mak?” Razif mencelah.
“Ya.
Duduklah hari ni di rumah mak cik. Bukan ada siapa di rumah mak cik. Rosnah dah
pergi sekolah dan Razif pun nak ke klinik dia nanti. Bila Balkis dan Laila dah
balik, Irdina baliklah ke rumah,” ujar Mak Cik Sopiah, memujuk.
Lama
Irdina berfikir dan kemudian bersetuju dengan saranan Mak Cik Sopiah. Mereka
pulang setelah Razif mengambil ubat dan membuat bayaran. Irdina ingin memberi
wangnya sebagai ganti tetapi ditolak oleh Razif.
“Tak
payah gantilah Irdina. Bukan berapa ringgit pun,” kata Mak Cik Sopiah.
“Saya
seganlah dengan mak cik sekeluarga. Banyak pertolongan mak cik dan doktor untuk
saya hari ni. Budi baik mak cik dan doktor tak terbalas rasanya,” ujar Irdina,
jujur.
“Kita
hidup berjiran ni umpama saudara. Kita ada hak sebagai Muslim dan hak sebagai
jiran. Jadi tak payahlah difikirkan tentang pertolongan yang tidak seberapa
ni,” Razif mencelah dan dipersetujui oleh Mak Cik Sopiah.
Irdina
tidak dapat berkata apa-apa lagi. Dia hanya menurut langkah Mak Cik Sopiah
dengan rasa longlai.
2 ulasan:
bila nak sambung kak. Kangen dah dngan dokter cinta eh gigi lah. Nak mreka bersama ya ya. Emy
Cerita ni saya tengah edit. Bila dah ok, saya akan postkan. Sabar ye...
Catat Ulasan