Razif
memandu kereta berwarna hitam dengan berhati-hati. Razif merupakan seorang
lelaki yang begitu cermat dan sentiasa mematuhi peraturan jalanraya. Apabila
tiba di Pasar Mini dia mendapati tempat parkir telah penuh. Razif memerhati
kalau-kalau ada kenderaan yang ingin keluar dari situ. Nasibnya agak baik
kerana ada sebuah kereta sedang mengundur. Razif memberi isyarat untuk memasuki
parkir sambil menunggu kereta itu keluar.
Sebelum
sempat Razif memasuki parkir, dia terkejut kerana sebuah kereta Kancil berwarna
merah jambu telah memintasnya dengan laju dan mengambil parkir itu. Bahang
kemarahan hinggap di hati dengan sikap biadap pemandu kereta Kancil. Razif
memberhentikan keretanya betul-betul di belakang kereta Kancil.
“Hoi!
Kenapa ambil parking aku?” tanya
Razif kepada pemandu kereta Kancil.
“Amboi!
Cantiknya bahasa. Ingat orang tak ada nama? Main hoi-hoi, pula,” jawab gadis
berbaju merah jambu dan bertudung putih yang memandu kereta Kancil.
“Dah
aku tak tahu nama kau. Lagipun kenapa kau biadap sangat ambil parking aku?”
“Parking kau? Mana ada nama kau di sini
dan aku rasa kau yang biadap. Letak kereta kau belakang kereta aku buat apa?
Ingat hebat sangat?”
“Kau
yang salah tak mahu mengaku. Kalau kau tak mahu ubah kereta kau, aku tak akan
alihkan kereta aku,” ugut Razif dalam geram.
“Wei,
Burung gagak! Kalau kau tak ubah kereta kau, aku tak jamin kereta hitam kau
masih hitam lagi nanti. Takut bertukar warna jadi pink.”
“Amboi!
Mulut tak ada insuran. Ingat aku takut sangat dengan kau? Kalau kau berani
sentuh kereta aku, aku pun tak jamin kereta pink
kau masih pink lagi. Silap-silap jadi
hitam semuanya.” Balas Razif tidak mahu kalah.
“Kak
Irdina, jangan dilayan orang begini. Jomlah masuk,” kata gadis berbaju biru
yang berada di sebelah gadis berbaju merah jambu itu.
“Betul
tu! Lagi lama aku layan gagak hitam yang biadap ni, lagi lambat kita boleh
balik,” kata Irdina kepada sepupunya Balkis.
Walaupun
hatinya masih membengkak terhadap Razif, Irdina tetap mengekori Balkis. Razif
hanya melihat langkah mereka yang memasuki Pasar Mini berhadapan parkir itu. Hati
Razif mengerutu marah. Dia kemudiannya membiarkan keretanya menghalang kereta
Kancil dan turut masuk ke Pasar Mini yang sama. Razif mengambil bakul yang
tersedia dan mula mencari barang yang diperlukannya. Ketika meneliti pisau
cukur yang terletak di rak, telinganya dapat menangkap percakapan kedua-dua
gadis tadi yang berada di lorong bersebelahan rak itu.
“Kak
Irdina, Mamat gagak tadi nampak handsome
juga. Aku rasa Kak Irdina dan dia memang padan.” Balkis ketawa.
“Simpang
malaikat empat puluh empat. Tak mahu aku lelaki macam tu,” ujar Irdina sambil
matanya meneliti label barangan yang diambilnya.
“Jangan
takbur sangat. Nanti ALLAH jodohkan Kak Irdina berdua, baru tahu,” usik Balkis
lagi. Makin kuat ketawanya.
“Apa
kena kau ni? Mamat tu pun kita tak kenal, yang kau pandai-pandai doakan aku
dengan dia buat apa? Entah-entah laki orang, bapak ayam atau pendatang tanpa
izin. Tak mahulah aku cari bala. Masalah yang aku tanggung pun dah banyak.
Tarik balik doa kau.” Marah Irdina. Balkis hanya tersengih tanpa kata.
Razif
yang mendengar terasa hangat di hati. Geram kerana dia dituduh yang bukan-bukan
oleh Irdina.
‘Aku
yang handsome dia kata pendatang
tanpa izin. Bapak ayam? Huh! Memang kurang ajar. Kalau aku dapat perempuan ni,
aku tenyeh-tenyeh mulut dia. Biar dia tahu siapa aku sebenarnya.’ Gerutu Razif
di dalam hati. Mahu sahaja rasanya dia bersemuka dengan gadis bermulut celupar
itu dan membidas setiap tuduhan yang dilontarkan. Tetapi apabila difikirkan
malu kepada orang lain, dia hanya mendiamkan diri.
“Balkis,
tengok senarai sekejap. Apa lagi yang nak kena beli?” tanya Irdina.
“Kicap
dan telur tak ambil lagi,” jawab Balkis.
“Okey.
Aku cari kicap, kau ambil telur.”
Razif
turut teringat bahawa dia tidak mengambil kicap lagi. Dia bergerak ke arah rak
yang menempatkan pelbagai jenis botol. Dari jauh dia dapat melihat kicap
kegemarannya. Tangannya segera mengambil botol kicap yang terdapat di rak itu.
“Hoi,
pak cik! Kenapa ambil kicap aku?” tanya Irdina yang tiba-tiba terjengul di
hadapan Razif.
“Banyaklah
pak cik kau. Bila aku kahwin dengan mak saudara kau?” soal Razif sambil
merenung tepat ke wajah Irdina. Dia dapat merasakan itulah peluangnya untuk
membalas rasa sakit hatinya terhadap tuduhan Irdina sebentar tadi.
“Tak
semestinya kahwin dengan mak saudara aku, baru di panggil pak cik. Aku panggil
pak cik sebab hormatkan kau yang dah tua. Satu lagi, pulangkan kicap aku!”
‘Eh!
Aku yang masih muda ni dikatakan tua? Tak apa. Aku tahulah nak ajar kau. Tunjuk
biadap sebab nak pikat akulah ni. Bukan aku tak tahu perangai perempuan jenis
gedik, semua sama saja’, bisik hati Razif penuh perasan.
“Kau
punya?” tanya Razif sengaja menayang botol kicap itu di hadapan mata Irdina.
“Ya,
aku yang punya,” Irdina cuba mengambil botol di tangan Razif.
Tanpa
sedar, jaraknya makin dekat dengan Razif. Razif segera menyorokkan botol itu di
belakangnya. Jangkauan Irdina terhenti. Tidak mungkin dia merapatkan lagi
jaraknya ke tubuh Razif. Bibirnya diketap rapat tanda geram. Matanya bulat
merenung wajah Razif. Razif mencebik sinis.
“Mana
ada nama kau di botol ni. Lagipun banyak lagi kicap atas rak tu. Kenapa nak
berebut dengan aku? Kau ni memang gedikkan?” Razif memasukkan botol kicap ke
dalam bakulnya.
Irdina
geram dengan perbuatan Razif. Kicap yang diambil Razif itu merupakan botol
terakhir yang terdapat di situ. Irdina hanya menyukai kicap jenama itu dan
tidak yang lain. Dia perlu mendapatkannya.
“Tolonglah
beralah sikit dengan orang perempuan. Ambillah kicap lain. Beri aku kicap tu,” Irdina
menukar taktik bercakap dengan lebih lembut. Dia berharap Razif akan memberikan
kicap itu.
“Kenapa
lelaki saja yang perlu beralah? Ini kicap kegemaran aku. Jadi aku tak akan beri
pada orang lain, walaupun kau jadi tunang aku!”
“Siapa
yang ingin jadi tunang kau? Perangai dahlah teruk, kedekut pula tu,” kata
Irdina geram.
“Aku
pun tak ingin, gedik!” Razif melepaskan geram sebagai balasan kerana Irdina
mengutuknya tadi.
“Apa
gedik-gedik? Sejak tadi kau asyik panggil aku begitu.”
Razif
tersenyum sumbing. Seronok boleh membalas kutukan Irdina dan seronok bertikam
lidah dengannya.
“Gedik
syok sendiri! Nak mengorat aku tapi buat-buat kata nak ambil kicap di tangan
aku.” Ketawa Razif terhambur juga.
“Kurang
ajar! Ingat aku gedik sangat dengan kau. Kalau tak kerana kicap tu, aku tak mau
cakap dengan kau. Bagi balik kicap tu pada aku!” kata Irdina, keras. Mukanya
telah merah menahan marah.
“Maaf. Aku dah ambil. Kalau kau nak, cari yang
lain.” Razif bergerak ke arah kaunter bayaran sambil tersenyum puas. Terasa
kemenangan di pihaknya.
Irdina
yang tidak berpuas hati merengus marah. Dia melihat sekeliling. Terdapat
beberapa orang yang memerhatikan gelagat mereka sedari tadi. Ada yang ketawa
dan ada yang menggeleng kepala. Malu menyerbu ke mukanya.
“Kak
Irdina, kenapa bergaduh dengan Mamat tu? Pasal kicap pun riuh sekedai. Buat
malu saja orang tengok,” tegur Balkis yang muncul di hadapan Irdina.
“Aku
bukan nak gaduh tapi dia tak mahu bagi kicap aku. Kicap tu tinggal satu saja
lagi. Kalau tak ada kicap tu, aku tak seleralah nak makan.”
“Kak
Irdina ni macam budak-budak. Makan apa saja mesti nak letak kicap tu. Kicap
lain banyak lagi, ambillah.”
“Aku
mana makan kicap jenama lain selain kicap tu.”
“Hrmm…
aku rasa elok Kak Irdina kahwin dengan tauke kicap Qaseh tu. Hari-hari boleh
dapat kicap percuma,” kutuk Balkis sambil ketawa.
Irdina
hanya menjeling melihat Balkis. Hatinya geram tiap kali disindir begitu.
Walaupun begitu dia tidak pernah marah pada Balkis. Irdina bertanyakan pekerja
Pasar Mini kalau-kalau masih ada kicap Qaseh di dalam simpanan mereka. Tetapi
jawapan yang diberikan oleh pekerja itu mengecewakannya. Kicap yang diambil
oleh Razif adalah kicap terakhir. Mereka berdua melangkah keluar setelah
membuat bayaran. Irdina mendapati kereta Razif masih menghalang keretanya untuk
keluar. Kepalanya ditoleh ke kiri dan kanan untuk mencari Razif tetapi hampa.
Razif tidak kelihatan.
“Mangkuk
tingkat bocor betul Mamat gedik ni,” marah Irdina.
Balkis
turut bercekak pinggang melihat kereta Razif. Sakit hati Irdina terasa
membuak-buak. Sudahlah kicap kegemarannya diambil oleh Razif dan dirinya
digelar gedik syok sendiri, keretanya pula tersekat di parkir. Dia menekan hon
kereta beberapa kali untuk menarik perhatian Razif.
“Mamat
gedik ni pekak ke apa? Dah beberapa kali aku hon, tak muncul-muncul lagi.
Melingkup ke mana?”
“Apa
kata kita tengok di kedai makan hujung sana. Mungkin dia ada di situ,” cadang
Balkis.
Irdina
terpaksa bersetuju dengan Balkis dan mula melangkah menuju ke kedai yang
dimaksudkan. Dari jauh dia dapat melihat Razif sedang duduk berbual dengan
seorang lelaki yang memakai kopiah.
“Kak
Irdina berani ke masuk ke situ? Ramainya orang lelaki… seram.”
“Seram
juga aku nak masuk. Tapi kalau kita tak masuk, macam mana kita nak balik? Perut
aku dah berkeroncong ni. Tentu Laila tengah tunggu kita balik untuk makan,”
jawab Irdina dengan wajah kelat.
Akhirnya
mereka memberanikan diri memasuki kedai makan yang majoriti di dalamnya adalah
lelaki. Perlahan-lahan mereka menuju ke meja yang di duduki oleh Razif dan
Ustaz Azmi.
“Saudara!
Tolong ubah kereta. Kami nak keluar,” pinta Irdina tetapi matanya memandang ke
arah Balkis. Dia sengaja tidak mahu memandang Razif. Sakit hatinya masih ada.
“Apa?
Saudari cakap dengan siapa?” tanya Razif pura-pura tidak tahu. Sengaja dia
mengambil peluang itu untuk mengajar Irdina yang dirasakan biadap.
“Hoi,
saudara! Jangan nak cari gaduh. Bagi mukalah sikit pada kami. Tolonglah ubah
kereta kau tu kalau tak mahu aku langgar,” ujar Irdina yang mula radang dengan
sikap Razif yang dirasakan sengaja mengambil kesempatan.
“Tengoklah
ustaz! Perempuan zaman sekarang. Dahlah tak sopan, berani pula tu ugut aku.
Anak siapalah dia ni, gediknya! Kesian pada mak dan bapa dia.” Razif sengaja menyakitkan
hati Irdina.
Ustaz
Azmi hanya tersenyum melihat gelagat mereka berdua.
“Ustaz,
tolong nasihatkan lelaki perasan ni. Minta dia ubah kereta dia. Saya ni
bukanlah baik sangat. Kalau sabar saya hilang, silap-silap kereta dia saya
hancurkan nanti. Masa tu jangan nak nangis,” kata Irdina sambil memandang Ustaz
Azmi. Matanya tidak sanggup memandang Razif ketika itu. Membahang sahaja
rasanya.
“Sabar,
jangan ikutkan rasa marah. Perkara kecil tak perlu dibesar-besarkan. Razif, aku
rasa elok kau ubah kereta kau supaya tak mengganggu urusan mereka,” nasihat
Ustaz Azmi, lembut.
“Tapi
perempuan macam ni perlu diajar agar berbudi bahasa. Suka-suka hati dia
tengking orang dan tak minta maaf pula tu. Sombong bukan main. Nasib baik bukan
bini aku. Kalau bini aku tahulah aku nak ajarnya,” Razif masih enggan beralah.
Hati
Irdina terasa makin panas. Mahu sahaja dia menjawab kata-kata Razif tetapi
disebabkan oleh gelengan Balkis membuatkannya mendiamkan diri. Dia hanya
memerhati Ustaz Azmi, mohon simpati.
“Razif
pergilah ubah kereta tu,” pinta Ustaz Azmi yang faham pandangan mata Irdina.
Razif
terpaksa akur dengan permintaan Ustaz Azmi yang merupakan sahabat baiknya. Dia
bangun dan melangkah keluar kedai. Irdina dan Balkis mengucapkan terima kasih
kepada Ustaz Azmi dan memohon maaf atas gangguan mereka. Mereka juga melangkah
keluar menuju ke tempat meletak kereta. Razif menunggu di keretanya sehingga
Irdina dan Balkis tiba. Mereka agak hairan kerana Razif tidak mengubah lagi
kereta tetapi sebaliknya hanya bersandar di tepi kereta Irdina.
“Hah!
Kenapa tak ubah lagi?” tanya Irdina, keras.
“Aku
boleh ubah jika kau minta maaf pada aku. Ingat, orang perempuan jangan sombong
sangat dan perlu sopan bila berkata.” Razif menasihat dalam sindiran.
“Aku
bukan isteri kau untuk kau nasihatkan. Lagipun, kau juga buat salah. Pasal apa
aku saja yang kena minta maaf?” tanya Irdina dengan matanya terjegil memandang
Razif.
“Kau
ingat suami saja boleh beri nasihat? Nasihat boleh diberi oleh sesiapa saja.
Ingat, kau tu perempuan. Kalau kau bini orang, aku simpati pada laki kau,” kata
Razif lagi.
“Kalau
aku bini orang pun apa kau peduli? Laki aku boleh nasihatkan aku, orang lain
kirim salam. Cepat ubah kereta kau sebelum aku panggil laki aku,” balas Irdina,
bengang.
Razif
hanya mencebikkan bibirnya dan kemudian masuk ke keretanya. Dia sengaja
melambat-lambatkan untuk mengubah kereta itu hingga membuatkan Irdina mengambil
tindakan mengundurkan keretanya. Razif yang terkejut segera menekan pedal
minyak untuk mengelak rempuhan kereta Irdina. Nasibnya baik kerana berjaya
mengelak. Dia mengurut-urut dada yang terkejut dengan tindakan berani Irdina.
“Kak
Irdina ni buat aku terkejut saja.” Balkis turut mengurut dadanya, terkejut walaupun
dia sebenarnya amat maklum dengan sikap Irdina ketika memandu. Watak lembut
Irdina akan berubah bila memegang stereng.
“Siapa
suruh dia sengaja buat lambat-lambat?” tanya Irdina sambil memandu keluar daripada
kawasan itu.
“Bila
Kak Irdina ada laki? Siap nak panggil konon,” tanya Balkis lalu ketawa.
Irdina
juga turut ketawa kerana tadi dia telah mengaku pada Razif mempunyai suami
padahal dia masih belum berkahwin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan