“Razif,
mak dah ajak jiran baru kita makan di sini malam ni. Razif janganlah ke
mana-mana sebab mak nak kenalkan Razif dengan gadis yang mak sebutkan hari tu.”
Mak Cik Sopiah tersenyum lebar menyatakan hasratnya.
“Razif
tak kisah kalau mak nak jemput siapa pun makan di sini. Tapi jangan ajak Razif
atau nak kenalkan Razif pada mana-mana perempuan.” Razif melipat akhbar yang
dibacanya lalu diletakkan di atas meja.
Mak
Cik Sopiah melepaskan sebuah keluhan. Pelbagai usaha telah dilakukannya untuk
mencari jodoh buat Razif tetapi hasilnya tetap sama. Razif enggan dan menolak
mentah-mentah pilihan emaknya. Disuruh
cari sendiri, pelbagai alasan diberi.
“Budak
ni lain Razif. Mak tengok dia cukup sopan, taat pada agama dan mahu ikut mak ke
surau dengar ceramah agama. Mana ada gadis yang macam tu di sini? Selalu yang
pergi ke surau, golongan tua. Umur dia pun padan dengan Razif, baru dua puluh
enam tahun.” Mak Cik Sopiah masih tidak berputus asa untuk mempromosikan jiran
baharunya itu. Berharap agar Razif berminat.
“Lain
apanya mak? Perempuan semuanya sama. Mak belum kenal hati budi dia, jadi mak
kata semuanya baiklah. Walaupun dia rajin ke surau, tak semestinya dia sesuai
untuk Razif. Apa kata mak perkenalkan saja pada Azmi. Azmi pun masih solo.”
“Mak
dah kenalkan Azmi dengan dia masa kami ke surau semalam. Tapi mak tak rasa dia
padan dengan Azmi. Lebih padan dengan Razif.”
“Apa
yang istimewa sangat dia tu sampai mak beria-ia nak jodohkan dia dengan Razif?”
Razif mulai cuak dengan sikap emaknya yang masih mendesak.
“Banyak
keistimewaannya kalau nak cerita. Tapi paling mak suka sikap sabar dia. Dulu
dia pernah kena tipu dengan tunang dia. Bekas tunang dia minta dia buat
pinjaman untuk majlis perkahwinan mereka. Lepas dapat duit, tunang dia lesap.
Dia cukup sabar walaupun sangat malu. Macam-macam orang kata pada dia tapi dia
tak balas.”
“Mana
mak tahu semua cerita dia ni? Dia yang ceritakan pada mak ke?” Razif
mencebikkan bibirnya.
“Kawan
dia yang cerita masa dia tak ada di rumah. Mak sengaja tanyakan kawan dan sepupu dia sebab nak kenal hati budi
dia. Memang tak silap pilihan mak.” Mak Cik Sopiah berbangga dengan risikannya
itu.
“Pada
Razif, dia adalah seorang yang bodoh dan mudah dipermainkan oleh lelaki.
Entah-entah bekas tunang dia tinggalkan dia sebab dia dah ditebuk tupai.
Manalah kita nak tahukan? Luar nampak cukup baik, tapi dalam siapa tahu?”
“Hisy!
Tak baik buruk sangka pada orang. Razif tak kenal dia, jadi Razif tak layak nak
nilai dia macam mana. Mak dah dua minggu kenal dengan dia. Jadi mak tahulah
betul atau tak cerita kawan dan sepupu dia tu.” Mak Cik Sopiah, bengang.
“Hati-hati
mak. Razif hanya nasihatkan aje. Terpulang pada mak. Tapi Razif tetap tak nak
jumpa dia atau mana-mana perempuan pun. Razif nak minta diri dulu. Lepas solat
maghrib nanti, Razif nak keluar jumpa Azmi.”
Mak
Cik Sopiah hanya mampu memandang langkah Razif yang menuju ke arah tangga untuk
ke tingkat atas. Hampa terasa di hati. Rancangan yang diatur, gagal lagi.
‘Hrmm...Tak
menjadi lagi. Susah betul nak suruh kawin. Takkan anak aku pondan pula? Err...tak...tak.
Dia hanya memilih, bukan pondan.’ Tergeleng-geleng kepala Mak Cik Sopiah
menafikan sendiri apa yang bermain di fikirannya. Tangannya terus mengacau kuah
mee kari di dalam periuk.
“Mak!”
“Eh!
Pondan...eh...anak bertuah...eh....”
Mak
Cik Sopiah terlatah dan senduk yang di tangannya terpelanting. Sekejap dia
memegang kepalanya dan sekejap memegang pipi Rosnah, adik Razif. Rosnah ketawa
terkekeh-kekeh. Mak Cik Sopiah mengurut-urut dadanya apabila kewarasannya
datang semula. Semput dibuatnya dengan gelagat anak-anak yang suka menyergah.
“Ros
nak bagi mak mati cepatkah?”
“Maaflah
mak. Ros tak sengaja. Ros panggil mak berkali-kali tapi mak buat dek aje.”
Rosnah mengambil senduk di lantai dan meletakkannya ke dalam singki. Makcik
Sopiah menutup api dapur dan kemudian menarik kerusi untuk duduk. Rosnah turut
menarik kerusi sebelah emaknya lalu duduk.
“Jadi
tak rancangan yang mak atur tu?”
“Tak.”
Lemah jawapan Mak Cik Sopiah.
“Hrmm...Ros
dah agak. Abang Razif tentu tak mahu. Jadi macam mana malam ni?”
“Teruskan
juga sebab mak dah masak banyak. Mereka pun dah setuju nak datang.”
“Abang
Razif ni tolak tuah betul. Orang nak bagi kawin pun tak mahu. Kalau Ros, lama
dah setuju,” ujar Rosnah lalu ketawa.
“Huh!
Tak habis belajar dah fikir nak kawin. Ingat, SPM hujung tahun ni. Jangan nak
seronok saja.”
“Relakslah
mak. Ros hanya bergurau. Takkan Ros nak kawin sedangkan cita-cita Ros tak
tercapai lagi.”
“Tahu
tak apa. Ros pergilah mandi. Maghrib pun dah nak masuk sekejap lagi. Nanti
lepas maghrib, Ros tolong mak siapakan meja.”
“Baiklah
mak. Ros naik dulu.”
Rosnah
meninggalkan Mak Cik Sopiah seorang diri. Lama Mak Cik Sopiah duduk sambil
memikirkan rancangan lain bagi memperkenalkan Razif dengan pilihannya itu.
Setelah azan berkumandang, Mak Cik Sopiah bangun dan menuju ke biliknya.
Seusai
menunaikan solat, Razif bergegas keluar rumah. Tidak mahu dia bertembung dengan
tetamu emaknya itu. Sebenarnya, Razif tidak pernah melihat jiran barunya sejak mereka
menduduki rumah itu. Dia hanya mengetahui kewujudan mereka melalui
cerita-cerita yang disampaikan oleh emaknya.
Razif
menuju ke kedai makan yang sering dikunjunginya. Sengaja dia menghabiskan masa
berbual panjang dengan kawan baiknya Ustaz Azmi. Setelah
yakin tetamu-tetamu emaknya telah pulang, barulah Razif balik ke rumah.
Mak Cik Sopiah yang masih belum
tidur, menyambut kepulangan anaknya. Razif duduk di sofa dan Mak Cik Sopiah
turut mengambil tempat bersebelahan Razif.
“Razif, kenapa lambat sangat?
Tetamu kita dah pun balik”
“Razif seganlah mak. Mereka
semuanya perempuan. Biarlah mak dan Ros saja yang layan mereka.”
“Apa yang nak disegankan? Mak dan
Ros pun ada. Mereka tu jiran kita. Kena saling kenal mengenal. Manalah tahu,
kalau terserempak di jalan, boleh juga tegur menegur.” Mak Cik Sopiah cuba
memasukkan jarum.
“Tak kenal pun tak apa. Tak rugi
apa-apa pun,” jawab Razif acuh tak acuh.
“Mak rasa rugi. Mereka tu semuanya
baik-baik belaka. Terutama...” sebelum sempat Mak Cik Sopiah menghabiskan ayatnya,
Razif terus memotong.
“Razif tak mahu!. Mak ni mudah sangat tertipu
dengan luaran seseorang. Kita tak tahu hati budi dia. Jangan-jangan dia pun
termasuk kategori 39% perempuan curang di Malaysia.”
“Hisy! Tak baik beranggapan buruk
terhadap orang. Mak bukan nak suruh Razif terus kahwin. Kenal-kenallah dulu.
Kalau sesuai, mak boleh masuk meminang.”
Razif tidak menjawab saranan emaknya.
Dia bangun dan meminta diri untuk ke biliknya. Mak Cik Sopiah hanya mampu
mengeluh dan turut melangkah menaiki anak tangga menuju bilik sendiri. Razif
yang telah memasuki biliknya, menghampiri pintu gelungsur. Dia membuka pintu
lalu berdiri di balkoni. Matanya memerhati ke arah rumah sewa sebelah.
‘Eh! Macam pernah nampak kereta pink tu. Minah gedik tu ke jiran aku?’ bisik
hati Razif.
Dia cuba mengamati nombor plat
kereta Kancil berwarna merah jambu tetapi kedudukan kereta itu yang sedikit
terlindung menyukarkan Razif mengecamnya.
‘Tak mungkin Minah gedik tu. Diakan
dah kahwin. Aku rasa ada lagi Minah yang minat warna pink. Warna perempuan gedik.’ Razif bermonolog sendiri.
Dia sememangnya tidak menyukai
warna merah jambu kerana bekas kakak iparnya dahulu menyukai warna itu. Padanya,
wanita yang menyukai warna merah jambu wanita yang tidak setia dan suka
menggoda. Sama seperti bekas kakak iparnya dahulu.
‘Mak nak suruh aku kenal dengan
Minah begitu? Huh! Bagi free pun aku
tak mahu.’ bisik hati Razif, sombong.
Razif melangkah masuk semula ke
dalam biliknya. Dia mengunci pintu dan kemudian menyalin pakaiannya. Pakaian kotor
dimasukkan ke dalam bakul cucian. Dia menyarung pakaian tidur dan merebahkan
badannya di atas katil. Matanya memerhati biliknya yang kelihatan kemas dan
bersih. Razif amat teliti tentang kebersihan dan dia sentiasa memastikan
biliknya teratur dan bersih. Matanya sukar dilelapkan. Kata-kata emaknya
tentang mencari jodoh, seakan-akan bergema di telinganya.
‘Siapakah jodoh aku nanti? Aku
harap akan mendapat isteri yang patuh dan taat padaku. Tak curang dan sentiasa
mendahulukan diri aku. Aku nak isteri aku menepati ciri-ciri isteri solehah.
Jika tak jumpa begitu, aku tak mahu kahwin,’ bisik hati Razif sambil mulutnya
mengukir senyum. Perlahan-lahan matanya terlelap juga.
1 ulasan:
alah tadi jual mahal sangat encik doktor, kata bagi free pun tak nak.
Catat Ulasan