Pengikut

Ahad, 23 September 2012

Abang King Control Ke? - bab 4




Irdina terbangun setelah dikejutkan oleh bunyi jam loceng. Dia memasuki bilik air untuk  membersihkan diri dan berwuduk. Seusai solat, Irdina mengejutkan Laila dan Balkis yang masih diulit mimpi.
“Wei! Bangun. Nanti terlepas Subuh pula,” gerak Irdina tetapi tidak dipedulikan oleh mereka berdua. Berkali-kali Irdina memanggil tetapi tetap tidak berkesan. Akhirnya Irdina bangun dan menutup tubuh mereka berdua dengan selimut.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Daripada ALLAH mereka datang kepada ALLAH mereka dikembalikan,” kata Irdina menyebabkan Laila dan Balkis bingkas bangun.
“Wei! Kami belum mati lagilah.” Laila menggosok matanya.
 “Solat itu lebih baik daripada tidur,” tegas Irdina.
“Aku tahulah,” kata Laila.
“Kalau tahu, bangunlah.”
Laila dan Balkis bangun dan menuju ke bilik air. Rumah itu mempunyai dua bilik air. Satu di belakang dan satu lagi di bilik Irdina yang merupakan bilik utama.
“Kan bagus macam tu. Bila kita tidur, syaitan mengikat kita dengan tiga ikatan. Bila kita bangun berzikir pada ALLAH, maka akan lepas satu ikatan. Jika kita berwuduk, maka akan lepas lagi satu ikatan dan bila kita solat maka terlepaslah kita dari ketiga-tiga ikatan tersebut,” terang Irdina setelah Laila dan Balkis berada di bilik itu semula.
“Baiklah ustazah.” Balkis ketawa kecil.
Laila juga turut ketawa dan menyebabkan Irdina yang mulanya serius turut ketawa. Mereka memang gemar bergurau dan saling tegur menegur antara satu sama lain.
Mereka bersiap-siap untuk ke tempat kerja setelah menunaikan solat. Laila menaiki keretanya sendiri dan keluar lebih awal daripada Irdina dan Balkis. Ketika Irdina dan Balkis keluar dari rumah, mereka ternampak jiran sebelah kiri rumah itu yang belum sempat dikenali mereka.
“Assalamualaikum,” Irdina menyapa wanita yang berumur lewat 30an itu.
Salamnya dijawab tetapi wanita itu masih tidak memandang wajah Irdina. Irdina cuba menegurnya buat kali kedua.
“Kak, apa khabar? Saya Irdina dan ini Balkis.”
“Hrmm...” jawab wanita itu acuh tak acuh sambil tangannya membuka pintu kereta.
“Apa nama kakak?” tanya Irdina lagi.
“Zetty. Aku tak ada masa nak layan kamu.” Agak kasar jawapan yang diberikan oleh Zetty.
Zetty masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi. Irdina pandang Balkis. Balkis pandang Irdina. Irdina kerut muka, Balkis angkat bahu dan tersengih.
“Maaflah jika isteri abang agak kasar tadi,” ujar seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di tepi kereta mereka.
“Tak mengapa,” jawab Irdina sopan.
“Nama abang, Bakar tapi orang panggil Burn. Adik, panggillah Abang Burn,” terang lelaki itu sambil tersenyum kepada mereka. Dia cuba menyuakan tangan untuk bersalam tetapi tidak disambut oleh Irdina dan Balkis. Akhirnya dia menarik kembali tangannya, kehampaan.
“Saya Irdina dan ini Balkis, sepupu saya.”
“Manis nama tu semanis orangnya.” Bakar senyum meleret memandang wajah Irdina.
“Abah! Jomlah cepat. Nanti lambat adik nak ke tadika.” Seorang kanak-kanak menarik seluar Bakar.
“Nantilah! Abah nak sembang dengan kakak ni kejap.”
Irdina melihat jam dan memasuki keretanya. Balkis telah duduk di kerusi sebelah pemandu.
“Janganlah pergi lagi. Abang nak kenal adik berdua. Minggu lepas abang sekeluarga balik kampung. Itu yang tak kenal penghuni rumah ni. Dah lama abang nak sapa adik-adik tapi tak berkesempatan. Masing-masing sibuk dengan kerja.” Bakar cuba menghalang.
“Maaflah Abang Burn. Kami dah lambat ni. Bila lapang kita berbual lagi.”
Irdina memasukkan gear dan memandu keluar daripada kawasan itu. Matanya sempat mengerling Bakar yang melambai-lambaikan tangan kepada mereka.
“Aduh! Yang suami terlebih ramah pula.” Rungut Irdina dan disambut tawa Balkis.
“Biasalah Kak Irdina. Lelaki mana tak terpikat tengok perempuan berdahi licin macam Kak Irdina.”
“Petang nanti aku nak ke kedai perabot. Nak beli katil dan tilam. Kau nak ikut tak?” tanya Irdina tanpa memberi respon ulasan Balkis.
“Okey, saja. Tapi aku rasa nak guna tilam toto yang ada tu,” kata Balkis.
“Terpulang pada kau.”
Mereka kemudiannya tiba di tempat kerja dan memulakan kerja seperti biasa. Petang itu, selepas waktu pejabat Irdina dan Balkis terus singgah di kedai perabot untuk membeli katil dan tilam. Setelah selesai urusan tersebut, mereka melangkah ke kereta untuk pulang. Balkis terperasan yang Irdina asyik memegang pipi sendiri.
“Kenapa Kak Irdina?” tanya Balkis.
“Aku rasa sakit gigilah. Berdenyut-denyut dibuatnya,” jawab Irdina sambil menghidupkan enjin kereta.
“Elok Kak Irdina pergi klinik gigi buat pemeriksaan.”
“Jumpa doktor gigilah perkara yang aku tak gemar.”
“Takkan nak biar sakit tu?”
“Aku makan penahan sakitlah nanti.”
“Jangan amalkan makan ubat penahan sakit. Lebih baik jumpa doktor. Takkan Kak Irdina takut?” Balkis ketawa kecil.
“Aku tak takut cuma tak gemar saja.” Irdina mempertahankan diri. Malu untuk mengaku yang dia sebenarnya takut berjumpa doktor gigi.
“Kalau begitu, pergilah klinik gigi. Jangan cakap saja,” cabar Balkis.
Irdina tersenyum kelat. Dia terpaksa menurut cadangan Balkis kerana sakit giginya agak mengganggu. Mereka tiba di rumah dan Irdina terus memasuki biliknya. Dia mandi dan berehat sambil menanti ketibaan perabot yang dipesan. Lewat petang itu, barulah perabotnya tiba.
“Aku ingat Kak Irdina nak beli katil dan tilam saja. Rupanya beli dengan set sofa  sekali.” Laila duduk di atas sofa sambil menguji keanjalannya.
“Aku rasa kosong sangat ruang depan ni. Sebab tu aku beli.”
“Baguslah. Bolehlah lepak sambil tengok tv di sini.”
 “Hari ni aku nak pergi klinik gigi. Siapa nak teman?”
“Malam ni aku dah janji dengan Irfan nak keluar beli perkakas dapur.” Laila beralasan.
“Aku pun nak jumpa Ariff.” Balkis turut memberi alasan.
Irdina tahu bahawa dia terpaksa pergi bersendirian ke klinik gigi. Setelah melakukan solat maghrib, Irdina bersiap-siap untuk ke klinik gigi. Dia tidak mengambil makan malam kerana kesakitan melunturkan seleranya. Dia memandu sendirian ke klinik gigi dan memarkirkan kereta berhampiran klinik itu. Itulah pertama kali dia menjejakkan kaki ke klinik gigi itu. Nasibnya baik kerana tidak ramai pelanggan di klinik ketika itu.
Irdina mendaftarkan namanya di kaunter. Menunggu dengan sabar gilirannya sambil membaca majalah yang terdapat di rak. Pembantu klinik memanggil nama Irdina seketika kemudian. Irdina masuk ke bilik rawatan dan duduk di atas kerusi khas untuk pemeriksaan gigi. Matanya meliar ke arah peralatan yang terdapat di ruang itu. Kecut perutnya. Semua rasa bercampur baur. Kaki dan tangannya mulai sejuk dan menggigil. Ingin bangun dan lari, terasa malu.
“Irdina Ilmuna, awak takut?” tanya doktor lelaki yang memakai penutup mulut.
“Ya… err… maksud saya tak.” Irdina, gugup.
Doktor itu ketawa kecil.
“Awak nak palam atau cabut gigi?” tanya doktor itu sambil merenung wajah kelat Irdina.
“Saya tak pasti. Tapi saya rasa sakit sangat gigi sebelah atas.” Irdina menunjukkan arah gigi itu.
Doktor  memeriksa gigi Irdina dengan alat di tangannya.
“Aduh!” Irdina mengaduh apabila doktor menyentuh bahagian yang bengkak.
“Saya tak boleh buat apa-apa hari ni. Gusi awak dah bengkak dan ada nanah di dalamnya. Saya akan beri ubat dan awak perlu makan untuk hilangkan bengkak serta nanah tu. Minggu depan awak perlu datang semula ke sini.”
Doktor itu menarik penutup mulutnya.
“Awak?” terkejut Irdina melihat wajah doktor itu. Semangatnya bagaikan hilang.
“Kenapa? Tak percaya?” tanya doktor itu sambil tersenyum.
Mata Irdina terpaku melihat senyuman doktor itu. Air liur yang ditelan menjadi kelat. Terasa ingin ghaibkan dirinya ketika itu juga. Tetapi apakan daya, dirinya bukan jin atau halimuman yang boleh menghilang sekelip mata.
“Saya minta maaf jika kelakuan saya sebelum ini menyakitkan hati doktor,” ujar Irdina, sopan. Dia tahu dia perlu berbuat baik kerana dia masih perlu ke klinik itu untuk rawatan seterusnya.
“Lain kali jangan sombong sangat. Kalau buat salah, cepat-cepat minta maaf.”
Razif masih merenung wajah Irdina. Dia terperasan lesung pipit yang terdapat di kedua-dua belah pipi Irdina ketika tersenyum. ‘Manis pula bila tersenyum,’ bisik hati Razif.
“Baiklah. Sekali lagi saya minta maaf,” ujar Irdina yang masih bersandar di kerusi. Rasa tidak selesa mencengkam hati.
“Saya pun minta maaf kerana bersikap kasar pada awak hari tu.” Razif tersenyum. Dia perlu bersikap profesional apabila bertugas. Lebih-lebih lagi, ketika itu Irdina adalah pelanggannya.
Irdina mengangguk. Matanya masih tepat memandang wajah Razif.
“Awak perlu menjaga kebersihan mulut dan gosok gigi dua kali sehari. Awak boleh gunakan flos untuk keluarkan sisa makanan di celah gigi. Tingkatkan pengambilan kalsium dan vitamin C. Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan kopi.” Nasihat Razif tentang penjagaan gigi.
‘Kenapalah banyak sangat pesan Mamat ni? Rasanya dia yang gedik sekarang ni,’ rungut Irdina di dalam hati.
“Awak dengar tak ni?” tanya Razif setelah melihat Irdina seperti acuh tak acuh.
“Saya dengar tuan doktor.” Perlahan jawapan Irdina.
“Jangan dengar saja, amalkan.”
‘Banyak songeh betul dia ni,’ bisik hati Irdina.
“Dapatkan pemeriksaan doktor gigi dua kali setahun dan sebelum mengandung. Awak mengandung tak?” Razif sengaja hendak mempermainkan Irdina.
“Kahwin pun belum, nak mengandung macam mana?” jawab Irdina, geram.
“Oo… tak kahwin lagi! Ingatkan dah kahwin. Hari tu siap nak panggil suami lagi.” Razif tersenyum mengejek.
“Dah habis ke belum? Kalau dah habis saya nak balik.” Irdina cuba untuk bangun.
“Tunggu sekejap.” Razif sengaja menahan Irdina daripada bangun. Entah kenapa, hatinya terasa ingin berbual lebih lama dengan Irdina.
“Apa lagi?” Irdina mulai marah.
“Boleh tak awak jangan marah-marah. Awak perlu datang minggu depan dan minggu berikutnya.”
“Kenapa pula?” Irdina cuak.
“Minggu depan saya nak cabut gigi yang rosak tu dan minggu berikutnya saya nak tampal gigi awak. Jika tak tampal, gigi tu akan rosak teruk. Awak perlu jaga gigi dengan lebih baik. Jika tak, gigi awak akan rosak lebih banyak lagi.”
Irdina menelan liur mendengar kata-kata Razif. Perasaannya antara mahu percaya dengan tidak kata-kata Razif. ‘Jangan-jangan doktor ni nak balas dendam pada aku tak? Sebab tu dia takut-takutkan aku,’ bisik hati Irdina.
“Jangan ingat saya nak balas dendam pada awak. Walaupun musuh saya, tapi saya kena rawat juga sebab itu adalah tugas doktor,” Razif menegakkan kerusi yang di duduki Irdina.
‘Macam tau-tau pula dia ni,’ hati Irdina berbisik lagi.
“Awak boleh pergi dan nanti ambil ubat di kaunter. Makan bagi habis ubat tu jangan buang,” pesan Razif.
Irdina tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada Razif. Dia melangkah keluar dan menunggu di kaunter ubat. Setelah membuat bayaran dan mengambil ubat, Irdina pulang ke rumah.
Apabila tiba di rumah dia mendapati Laila dan Balkis masih belum pulang. Dia menuju ke dapur untuk mengambil air. Ubat yang dipesan oleh Razif tidak dimakannya. Dia lebih rela menanggung sakit daripada menelan ubat terutama jenis tablet. Setelah itu dia masuk ke bilik untuk melakukan solat isyak.
“Aduh! Berdenyutnya rasa.”
Irdina membaringkan diri di atas katil. Matanya dipejamkan. Suasana menjadi sunyi dan sepi. Tiba-tiba Irdina dikejutkan oleh bunyi yang kuat dari arah luar rumah. Bunyi bising suara bertengkar. Irdina menyelak sedikit langsir tingkap. Dia dapat melihat beberapa orang lelaki dan perempuan sedang berdiri mengerumuni sebuah kereta. Disebabkan mereka betul-betul berada berhadapan pintu pagar rumahnya, jadi segala percakapan mereka dapat didengar dengan jelas.
“Siapa suruh kau tak beri isyarat nak belok?” soal seorang pemuda yang masih memakai topi keledar.
“Aku nak masuk kawasan rumah aku tak perlulah bagi isyarat. Mata kau letak di mana? Salahkan aku pula,” marah perempuan yang merupakan pemandu kereta Honda City itu.
“Kau yang salah. Buat apa aku nak bayar kau. Kau yang patut bayar,” balas  penunggang motorsikal.
Keadaan bertambah kecoh dengan campur tangan beberapa orang lelaki yang berada di situ. Irdina dapat melihat Laila yang baru pulang, terpaksa memberhentikan keretanya agak ke belakang. Laila melihat kejadian itu buat beberapa ketika dan kemudian masuk ke rumah. Irdina keluar daripada biliknya dan menyapa Laila.
“Laila, kenapa mereka tu?” tanya Irdina.
“Bergaduh sebab masing-masing tak mahu mengaku salah. Yang tengok bukan nak leraikan, jadi batu api pulak. Sekarang ni tengah tunggu polis datang. Aku rasa lambat lagilah baru nak selesai masalah mereka,” jawab Laila.
Irdina mengeluh sendiri. Gusinya terasa berdenyut-denyut. Dia memegang pipinya sambil menahan sakit.
“Kenapa Kak Irdina?” tanya Laila kehairanan.
“Sakit gigi, berdenyut-denyut. Rasa seram sejuk macam nak demam. Tadi doktor tu kata ada nanah dalam gusi aku.”
“Dah makan ubat?”
“Belum, kejap lagi aku makan.” Irdina sekadar menyedapkan hati Laila. Hakikatnya dia tidak mahu menelan sebarang ubat tablet kecuali jika ubat jenis cecair. Itupun yang manis sahaja. Yang pahit dia tidak akan telan.
“Ubat demam tak ada ke?”
“Tak ada. Tadi tak demam pun,” jawab Irdina.
“Kak Irdina nak beli ubat demam ke?” tanya Laila.
“Tak mengapalah. Mungkin sekejap lagi, kurang sikit sakitnya.”
“Betul? Kalau Kak Irdina nak, aku boleh pergi belikan ubat demam.”
“Tak payahlah. Aku tak apa-apa.”
“Kalau macam tu aku minta diri dulu. Nak masuk tidur.”
Irdina menganggukkan kepala dan melihat Laila masuk ke bilik. Irdina melangkah menuju ke dapur untuk mengambil air. Apabila dia meminum air, terasa ngilu pada giginya. Dia menahan rasa sakit buat seketika. Perlahan-lahan dia bergerak masuk ke biliknya untuk tidur. Bunyi bising masih kedengaran di luar rumah. Rasa tidak selesa menyelubungi jiwanya.
‘Kenapalah mereka ni tak boleh bertolak ansur. Hidup berjiran, kalau bermasam muka dan bergaduh takkan aman,’ rungut Irdina dalam hati.
Irdina memusing ke kiri dan kanan. Matanya sukar dilelapkan walaupun kepalanya terasa berat. Panas badannya makin meningkat dan dia menggigil menahan sakit. Irdina menyelubungkan dirinya dengan selimut tebal. Seketika kemudian Irdina tidak lagi mendengar bunyi bising di luar rumah. Dia tertidur buat beberapa ketika dan kemudian terjaga semula. Keadaan itu berlarutan sepanjang malam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ahak benar2 king control ni