Pengikut

Sabtu, 20 April 2013

Abang King Control ke? - Bab 27



Irdina menanti kepulangan Balkis dengan sabar. Dia duduk dengan Razif di balkoni agar mereka nampak dengan jelas jika Balkis pulang. Selain mahu melihat Balkis, Irdina juga suka berada di situ pada waktu malam untuk melihat kereta kesayangannya. Hatinya akan terhibur bila dapat melihat, walaupun dari jauh.
“Abang, kalau abang nak tidur dulu pergilah. Irdina nak duduk di sini lagi.”
“Tak mengapa. Abang pun nak tengok reaksi mereka. Harap-harap ada jodoh mereka berdua.”
“Sudah lewat ni. Jangan-jangan Balkis balik naik teksi. Rosak rancangan kita.”
“Rasanya tak, sebab tadi abang dah pesan minta dia hantar Balkis tak kira apa pun terjadi.”
Beberapa ketika selepas itu, Balkis pulang dengan dihantar oleh Ustaz Azmi. Balkis turun dan mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Azmi. Ketika itu Bakar berada di hadapan rumahnya.
“Amboi, Ustaz! Usung anak dara orang malam-malam buta. Tak haram ke?” perli Bakar.
“Saya cuma hantar Balkis balik, salah ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Salah tu memang salah. Dia bukan siapa-siapa dengan ustaz. Nama saja ustaz, perangai mengalahkan orang jahil.”
“Abang Burn, jangan salahkan ustaz. Dia cuma tolong saya.” Bela Balkis.
“Tolong apa? Tolong menambahkan maksiat. Dulu sepupu kau buat maksiat sampai kahwin mengejut, ni kau pula. Eloklah tu, dengan kawan baik si Razif pula. Jangan-jangan kau pun sama macam sepupu kau, jual diri.” Tuduh Bakar.
“Abang Burn jangan tuduh Kak Irdina dan saya sebarangan. Abang Burn jangan suka buat fitnah. Ingatlah fitnah itu lebih zalim dari membunuh. Bawa-bawa bertaubatlah Abang Burn. Kubur dah memanggil, rumah dah menghalau.” Balkis mulai geram.
Bakar yang marah menghampiri Balkis menyebabkan Ustaz Azmi keluar dari keretanya dan menghalang Bakar.
“Abang Burn jangan berani dengan perempuan saja.”
“Yang kau nak bela dia kenapa?”
“Abang Burn nak buat apa pada dia?”
“Nak ajar sikit mulut dia yang celupar.”
“Abang Burn yang celupar dan menuduh kami yang bukan-bukan. Firman Allah di dalam Al-Quran Surah Al-Buruj ayat 10 yang bermaksud, Allah mengancam orang yang menyebarkan fitnah terhadap orang-orang beriman dengan azab yang membakar di dalam neraka Jahannam, kecuali kalau mereka bertaubat.” Ustaz Azmi berhujah, tegas.
“Nak tunjuk lagak konon. Ingat kau saja yang beriman, aku tidak?”
“Saya tak kata Abang Burn tak beriman. Cuma saya nak ingatkan orang yang buat fitnah, balasannya Neraka Jahannam.”
“Betul tu! Abang Burn ni boleh dikategorikan sebagai jiran yang suka menyakitkan hati jiran tetangga. Kalau tak silap Balkis ada satu hadis tentang hal ni. Ustaz ingat tak hadis tu?” tanya Balkis.
“Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya bermaksud Rasulullah s.a.w bersabda; Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya,” kata Ustaz Azmi, menambah perisa di hati Bakar.
“Ahh! Kau dua-dua ni sama saja. Ingat ustaz! Jangan sampai aku beritahu semua ahli kariah tentang kau dan Balkis. Nanti malu kau dan mak kau.”
“Kami tak buat salah. Jangan nak fitnah kami pula.” Balkis, marah.
“Hei, Balkis! Kau tu orang luar. Jangan nak buat onar di taman ni. Keturunan kau memang suka buat maksiat!” kata Bakar.
“Ini dah melampau! Sampai angkat keturunan, apa hal?” kata Balkis benar-benar meradang.
“Sabar Balkis. Tak ada gunanya kita berlawan cakap dengan Abang Burn. Balkis masuk dulu,” pintas Ustaz Azmi bagi meredakan kemarahan Balkis.
“Baiklah. Terima kasih, Abang Azmi sebab temankan Balkis. Senang-senang telefonlah Balkis. Nanti bolehlah kita buat maksiat lagi!” kata Balkis sambil melayangkan flying kiss dan melambai kepada Ustaz Azmi dengan gaya menggedik.
Ustaz Azmi ketawa kecil kerana dia tahu Balkis sengaja menyindir Bakar. Balkis melangkah masuk ke rumahnya. Ustaz Azmi masuk ke dalam keretanya dan berlalu dari situ meninggalkan Bakar yang sedang mengutuk mereka berdua.
“Abang, kenapalah Abang Burn suka buat fitnah?” tanya Irdina.
Mereka dapat mendengar dan menyaksikan peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Ada rasa bersalah di hati Irdina kerana rancangan mereka telah membuatkan Balkis menerima fitnah sepertinya.
“Entahlah. Tapi abang tahu, dia memang berdendam dengan abang. Apa saja yang berkaitan abang, dia tak suka. Dia pernah nak pikat sayang dan larang abang ganggu sayang. Sebab tu dia tumbuk abang masa mereka semua serbu ke bilik tamu dulu,” kata Razif.
“Irdina benar-benar takut masa mereka serbu dan tumbuk abang. Tak pernah Irdina temui jiran yang berhati busuk seperti Abang Burn tu. Dulu waktu kami tinggal di dalam kawasan taman yang bercampur kaum lain, tak pernah timbul masalah begini. Bila duduk di taman yang majoritinya kaum kita, penuh dengan masalah.”
“Abang pun tak tahulah kenapa jiran-jiran di sini tak boleh bersatu padu. Masing-masing nak tunjuk kuasa. Yang ada hubungan dengan orang politik, tunjuk lagak contohnya Abang Burn. Walaupun dah pernah buat salah tapi disokong kuat oleh orang politik, dia terpaksa diterima lagi oleh penduduk di sini.”
“Mak pernah cerita yang dulu di sini ada masalah kecurian dan pecah masuk ke rumah orang di waktu siang oleh salah seorang jiran. Tapi dia dah ditangkap.”
“Betul tu. Jiran di sini ada pelbagai ragam. Ada yang terang-terang berskandal bila suami tiada di rumah. Ada juga yang tak campur orang langsung, ada yang terlebih campur sampai hal-hal sulit rumah tangga orang dijadikan bahan bercerita.”
“Irdina kasihankan Balkis. Tak pasal-pasal dia dah kena fitnah. Takut nanti Abang Burn buat cerita, orang taman serbu Balkis pula.”
“Mungkin tidak! Selagi tiada lelaki bukan mahram di rumah mereka, tiada siapa boleh tuduh mereka berkhalwat.”
“Harap Balkis tak bencikan Irdina selepas ni.” Kata Irdina, lemah.
“Mungkin tidak. Cuba tengok tadi. Balkis boleh buat flying kiss dan lambai pada Azmi.”
“Itu cuma nak sakitkan hati Abang Burn.”
“Mungkin ya. Tapi itu satu permulaan dalam hubungan Balkis dan Azmi. Sayang jangan risau. Nanti sayang tanyakan Balkis dan minta maaf sekali.”
“Baiklah.”
“Marilah kita masuk, abang dah mengantuk.” Razif memegang tangan Irdina.
Mereka masuk dan menutup pintu balkoni. Razif mengunci pintu tersebut.
“Abang, Irdina nak telefon Balkis sekejap. Abang tidurlah dulu.” Irdina masih tidak senang hati jika tidak bercakap dengan Balkis.
“Baiklah.” Razif baring di atas katil.
Irdina duduk di meja komputer di sudut bilik tersebut. Dia mendail nombor Balkis dan sekejap sahaja Balkis menjawab panggilannya. “Balkis, aku minta maaf atas apa yang berlaku malam ni. Aku mengaku, aku dan Abang Razif sengaja nak temukan kau dengan Ustaz Azmi. Tapi aku tak sangka pula Abang Burn akan ada di depan rumah dia.”
“Terima kasih kerana kenalkan aku. Ustaz Azmi tu, boleh buat kawan juga. Tadi masa Abang Burn buat fitnah, Ustaz Azmi bacakan petikan tafsir Al-Quran dan hadis. Kagum juga aku. Rasa macam nak cair hati aku,” kata Balkis lalu ketawa.
“Kau tak marahkan aku?”
“Nak marah pun tak guna, benda dah jadi. Tapi, aku tahu niat Kak Irdina baik.”
“Kau ke mana dengan Ustaz Azmi? Lama baru balik.”
“Aku pergi dating, bercengkerama, memadu asmara di taman bunga.” Jawab Balkis sambil ketawa.
“Hah! Betul ke?” tanya Irdina, hairan.
“Tak betullah. Sebetulnya dia temankan aku beli tuala wanita dan barang-barang lain.”
“Hah! Dia tak rasa segan ke?”
“Segan, tak segan aku tak tahu. Tapi aku yang rasa tebal muka masa di kaunter. Dia selamba saja tolong bayar dan tolong bawa sekali.”
Irdina ketawa mendengar kata-kata Balkis. Hatinya senang sebab Balkis tidak menyimpan rasa marah terhadapnya. Mereka berbual beberapa ketika sebelum menamatkan perbualan. Irdina tersenyum sendiri lalu bangun mendapatkan Razif yang telah tertidur di katil. Perlahan-lahan Irdina merebahkan badannya agar tidak mengganggu tidur Razif.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tiada sambungan lagi ke cerita nier..tak sabar nak tunggu entry seterusnya..

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Cerita ni dlm proses olahan semula dan akan dibukukan juga suatu hari nanti. Sementara tu layan dulu buku ke dua saya KIES 9.

Tanpa Nama berkata...

A ah kak imanisa riana...buku kan trus,comfirm sy bli..hehe...romantik,sukenye!:-P

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Insya Allah. Masih menunggu jawapan penerbit. Doakanlah agar berhasil.